Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pelajar cedera dibelasah kerana tak hormat senior

    Pelajar cedera dibelasah kerana tak hormat senior

    POLIS sedang menyiasat kes seorang pelajar yang dibelasah sekumpulan senior hingga mengalami beberapa kecederaan di muka dan kepala, dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Taman Melawati, Isnin lalu.

    Kejadian itu dipercayai berlaku apabila mangsa didakwa tidak menghormati sekumpulan pelajar tingkatan 5 sekolah terbabit.

    Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, pada awalnya mangsa ditumbuk di bahagian dada kiri, dicekik dan ditendang bahagian belakang badan oleh seorang pelajar dikenalinya ketika berada di tangga sekolah, kira-kira 9.30 pagi.

    Katanya, mangsa turut diugut akan disiku bahagian muka sekiranya tidak berjumpa di Anjung Selera.

    Selepas itu ujar beliau, terdapat lima suspek mengajak mangsa ke Bukit Mar Mar Kemensah, lalu dipukul.

    “Mangsa mengalami kecederaan bahagian dahi kepala, luka di bahagian tepi kening kiri, rahang di bahagian muka kiri serta belakang tengkuk mengalami kesakitan dan bengkak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, seorang suspek menumbuk muka mangsa sebanyak empat kali dan kejadian itu dilihat oleh kira-kira 10 hingga 15 pelajar.

    “Kes kini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya lapor FMT.

    Terdahulu, tular satu video dikongsi warganet di Instagram yang memaparkan seorang pelajar teruk dipukul sekumpulan pelajar lain sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

  • Lanjutan kontrak Azam ‘rosak’ imej PM tentang rasuah- Gomez

    Lanjutan kontrak Azam ‘rosak’ imej PM tentang rasuah- Gomez

    AKTIVIS anti-rasuah Edmund Terence Gomez berkata, lanjutan kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki telah merosakkan kredibiliti Datuk Seri Anwar Ibrahim

    Beliau hairan mengapa Perdana Menteri melankutkan kontrak Azam sedangkan Anwar sering bercakap tentang usaha menghapuskan rasuah.

    “Bagaimana kontraknya (Azam) boleh dilanjutkan apabila reputasinya dipersoalkan? Lanjutan kontrak ini terletak di bawah seorang perdana menteri yang bercakap tentang menghapuskan rasuah.

    “Ia satu kerosakan serius terhadap (kredibiliti) Anwar dan beliau perlu menjelaskan mengapa beliau membenarkan lanjutan itu,” katanya memetik laporan FMT.

    Gomez meletak jawatan daripada panel penasihat SPRM pada Disember 2021 berikutan laporan mengenai dakwaan terhadap Azam berhubung isu pemilikan saham korporat secara meluas walaupun terdapat had RM100,000 ke atas pegangan ekuiti untuk kakitangan awam.

    Azam berkata, beliau memberi kebenaran kepada adiknya untuk membeli saham menggunakan akaunnya pada 2015, dan pihak atasannya dimaklumkan mengenai perkara itu.

    Ketika Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan panel penasihat SPRM membersihkan Azam daripada salah laku, beberapa kumpulan pemantau dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) menggesa siasatan dibuka berhubung perkara itu.

    Pada Rabu, tempoh perkhidmatan Azam telah dilanjutkan selama setahun. Kontraknya sepatutnya tamat pada 12 Mei.

    Azam dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020, berikutan peletakan jawatan pendahulunya, Latheefa Koya, selepas kejatuhan kerajaan PH.

    Sementara itu, bekas presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Ramon Navaratnam berkata, kerajaan perlu menjelaskan mengapa ia memilih untuk melanjutkan kontrak Azam berikutan kontroversi dagangan saham.

    Beliau berkata, ini amat penting dalam memastikan keyakinan orang ramai terhadap keputusan kerajaan.

    “Orang ramai mesti mempunyai kepercayaan dan keyakinan penuh terhadap keputusan (kerajaan) (untuk menyambung kontrak),” katanya.

  • Di mana ada UMNO, di situ Pejuang ‘tadak’ – Mukhriz 

    Di mana ada UMNO, di situ Pejuang ‘tadak’ – Mukhriz 

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) bakal mengikut ‘jalur’ Melayu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

    Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, dalam masa sama, pihaknya bagaimanapun tidak akan berkompromi terhadap Melayu yang terpalit dengan kleptokrasi.

    “Kami masih terbuka untuk berbincang (menghadapi PRN) tetapi seperti disarankan Tun Dr. Mahathir Mohamad, kami akan ikut jalur Melayu itu.

    “Jadi boleh fahamlah bahawa ada pihak yang kami tak boleh ikut. Satu lagi, walaupun Melayu tetapi terpalit dengan kleptokrasi, itu pun kami tak boleh juga.

    “Saya dah nyatakan sejak dulu bahawa kami berpegang teguh dengan prinsip di mana UMNO, di situ kami ‘tadak’,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika hadir ke Majlis Jamuan Aidilfitri anjuran Pertubuhan Prihatin Kubang Pasu di sebuah inap desa dekat Kampung Naga, Jitra di Kedah, malam tadi.

    Majlis itu turut dihadiri Tun Dr. Mahathir bersama isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali serta Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah.

    Sementara itu Mukhriz berkata, Pejuang belum membuat keputusan untuk bersama dengan mana-mana pihak menjelang PRN akan datang.

    “Kita belum buat keputusan dan apabila ada kata putusnya nanti, kami akan buat pengumuman. Perkara ini memang banyak dibincang dalam kepimpinan parti dan yang penting pada masa ini, adalah penyertaan kami dalam Proklamasi Orang Melayu.

    “Kami mendokong dan setuju dengan hasrat di sebalik proklamasi tersebut. Itu sebabnya ramai ahli kita telah menandatangani proklamasi itu,” katanya.

    Mukhriz dalam pada itu masih belum bersedia mendedahkan sama ada beliau dan Amiruddin akan terus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra serta Anak Bukit dalam PRN akan datang.

    “Yang itu tunggu dan lihat,” katanya.

  • Prosiding 5 kes tuntutan palsu bekas MB Perlis dipindah ke mahkamah KL

    Prosiding 5 kes tuntutan palsu bekas MB Perlis dipindah ke mahkamah KL

    PROSIDING lima kes tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man di Mahkamah Sesyen Kangar dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Harian Metro melaporkan sebutan semula kes itu ditetapkan pada 9 Jun ini di hadapan Hakim Azura Alwi, yang akan menggabungkan lima lagi pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM1.06 juta.

    Permohonan pemindahan kes itu dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Rehab Abdul Shukur mengikut Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah di hadapan Hakim Norsalha Hamzah ketika sebutan semula kes itu.

    Peguam Burhanudeen Abdul Wahid dan Ramli Shariff yang mewakili Azlan, 64, tidak membantah permohonan pemindahan kes itu.

    Terdahulu, Azlan yang hadir di mahkamah pada 9 pagi kelihatan tenang dan ceria sambil ditemani peguam dan beberapa penyokongnya.

    Pada 10 April lalu, Azlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika menjadi menteri besar Perlis.

    Dua hari kemudian, beliau mengaku tidak bersalah atas lima lagi pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM1.06 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

  • Tarikh perbicaraan kes pengubahan wang Rosmah dikosongkan

    Tarikh perbicaraan kes pengubahan wang Rosmah dikosongkan

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pagi ini membenarkan permohonan pasukan pembelaan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengosongkan perbicaraan yang dijadualkan hari ini.

    Malaysiakini melaporkan, surat representasi Rosmah memetik ‘perkembangan baru’ untuk pihak pendakwaan menarik balik kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai RM7 juta terhadapnya.

    Susulan itu, tarikh perbicaraan hari ini, 28 Jun; 6, 7, 28, dan 31 Julai; serta 1, 2, dan 11 Ogos telah dikosongkan, dengan perbicaraan ditetapkan bermula pada 24 Ogos jika Peguam Negara menolak surat representasi.

  • Budak tunggang motosikal maut rempuh tiang lampu

    Budak tunggang motosikal maut rempuh tiang lampu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG budak lelaki berusia 13 tahun maut manakala adiknya berusia 12 tahun pula cedera parah selepas motosikal dinaiki melanggar tiang lampu di Taman Seri Impian, Kluang malam tadi.

    Kejadian pada pada pukul 11.29 malam itu mengorbankan Muhammad Farish Hafiy manakala adiknya, Muhammad Amin Asyraf patah kaki kanan dan lebam di dahi.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kedua-dua beradik tersebut yang beralamat di Bandar Seri Impian di Kluang menaiki motosikal jenis Honda Wave.

    “Hasil siasatan awal di tempat kejadian didapati motosikal itu dipercayai datang dari arah kawasan perumahan Taman Seri Impian menghala ke lampu isyarat di Jalan Kota Tinggi-Kluang.

    “Tiba di tempat kejadian, motosikal tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar tiang lampu jalan yang berada di tengah pembahagi jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, akibat kemalangan itu, penunggangnya, Muhammad Farish Hafiy yang tidak memiliki lesen cedera parah di kepala dan

    meninggal dunia di tempat kejadian.

    Kata Bahrin, Muhammad Amin Asyraf pula patah kaki kanan dan lebam di dahi
    sebelum dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang.

    Menurutnya, dalam kejadian tersebut kedua-dua beradik berkenaan tidak memakai topi keledar dan motosikal tersebut atas nama ibu mereka.

    Katanya, siasatan mendapati cukai jalan dan insuran motosikal berkenaan telah tamat tempoh.

    “Pemilik akan dipanggil untuk tindakan saman di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) iaitu 1987 mana-mana pemilik kenderaan tidak boleh membenarkan orang tiada lesen memandu atau menunggang kenderaannya,” jelasnya.

    Tambahnya, kes tersebut juga disiasat mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987.

  • Kalau Anwar jumpa RM1 bilion duit saya, saya bagi dia separuh – Mahathir

    Kalau Anwar jumpa RM1 bilion duit saya, saya bagi dia separuh – Mahathir

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TUN Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuktikan dakwaan kononnya beliau memiliki wang yang banyak.

    Menurutnya, beliau bukanlah orang yang berduit dan hanya Anwar saja yang mengatakan dirinya memiliki wang.

    “Saya tak ada duit dan yang kata saya ada duit ini Anwar. Sebab itu saya tanya dia kalau tau saya ada duit, tunjuklah di mana duitnya.

    “Kalau beliau jumpa 1 billion duit saya, saya bagi dia separuh. Jawab tuduhan konon saya ada bilion, mukhriz ada bilion, ada jet dan sebagainya, tunjuk semua.

    “Kita dah bawa ke mahkamah, pergilah ke mahkamah. Beliau kata nak jawab di mahkamah, beliau jawablah,” katanya dalam sidang akhbar ketika hadir ke Majlis Jamuan Aidilfitri anjuran Pertubuhan Prihatin Kubang Pasu di sebuah inap desa dekat Kampung Naga, Jitra di Kedah, malam tadi.

    Selepas Tun Mahathir mengemukakan saman terhadapnya baru-baru ini, Perdana Menteri terus mengulangi gesaan dan cabaran agar Tun Mahathir mendedahkan segala aset dimiliki diri dan keluarganya.

    Menurut Anwar, beliau setuju sekiranya Tun Mahathir dan Tun Daim Zainuddin mahu berjuang untuk Melayu namun harta yang berbilion-bilion, anak ada pesawat, kapal, bank di luar negara – semua wang itu perlu dibawa balik untuk diberikan kepada orang Melayu di Malaysia.

    Terdahulu Tun Mahathir mengemukakan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan Perdana Menteri Mac lalu, yang didakwa membawa maksud Mahathir membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya.

    Dalam sidang akhbar sama, Tun Dr. Mahathir berkata, Anwar tidak perlu mencabar mana-mana pihak untuk berkongsi kekayaan dengan orang Melayu kerana beliau seharusnya memberi contoh kepada semua orang dengan terlebih dulu berbuat demikian.

    “Nak cabar buat apa? Dulu beliau pun bekas pemimpin Melayu juga, jadi beliau perlu isytihar hartanya dululah.

    “Beliau patut bagi contoh kepada semua orang. Tak payah cabar orang lainlah,” katanya.

  • PRN adalah ‘nyawa’ terhadap survival Kerajaan Perpaduan

    PRN adalah ‘nyawa’ terhadap survival Kerajaan Perpaduan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, keputusan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi akan memberi kesan terhadap kelangsungan survival Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Jelas beliau, sama ada menang atau kalah, PRN tersebut akan mempengaruhi kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) itu.

    “Jika PH dan BN di Semenanjung mencapai kemenangan selesa dalam PRN di enam negeri terbabit, besar kemungkinan kerjasama dua gabungan politik itu akan mengalami perubahan kualitatif yang menjurus kepada transformasi bentuk dan intipati.

    “Jika Anwar Ibrahim berjaya memimpin gabungan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan memasuki PRN di enam negeri nanti dengan keadaan tersusun dan teratur dan tidak bertanding melawan sesama sendiri.

    “Sebaliknya, siapa jua calon-calon yang bertanding adalah mewakili kehendak dan mandat dari kerajaan perpaduan walau apapun logo parti yang dipakai, maka imej kerajaan perpaduan akan muncul dengan wajah yang penuh wibawa mewakili gabungan super mega,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Beliau berkata, Anwar tentu tidak mahu mengulangi kesilapan kerajaan persekutuan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan BN di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memasuki PRN di Melaka dan Johor setahun lalu dalam keadaan berpecah dan caca-merba.

    Kata Hassan, situasi tersebut mengakibatkan gabungan politik itu bertempur sesama sendiri dalam PRN berkenaan.

    Justeru katanya, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada Ahad ini di Kuala Lumpur wajar diberi perhatian serius.

    Menurutnya, ini kerana akan menentukan hala tuju dua gabungan politik berkenaan dabn l
    Langkah mengadakan konvensyen tersebut merupakan satu inisiaif positif bagi Kerajaan Perpaduan yang kini mentadbir di Putrajaya.

    “Ia memberi makna kerjasama parti-parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan ini ingin diterjemahkan menjadi kerjasama politik yang lebih mantap dan tersusun dari peringkat atas hinggalah ke peringkat akar umbi di ranting-ranting dan di cawangan-cawangan organisasi parti di seluruh negara.

    “Kewujudan konvensyen nasional ini juga memberi petanda bahawa kerjasama dalam bentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat kerajaan Persekutuan bukanlah sekadar muafakat semusim dan sepenggal hingga ke pilihanraya umum akan datang sahaja,” katanya.

    Tambahnya, usaha secara sedar atau tidak sedang diatur untuk membentuk satu pakatan berupa gabungan mega yang memayungi PH dan BN.

    Keperluan mengadakan konvensyen nasional Kerajaan Perpaduan itu kata Hassan, begitu mendesak kerana didorong cabaran yang sedang menanti iaitu PRN di enam negeri itu tidak lama lagi.

  • Tun Dr. Mahathir tinggalkan GTA

    Tun Dr. Mahathir tinggalkan GTA

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TUN Dr. Mahathir Mohamad mendakwa beliau kini sudah tidak mempunyai kaitan dengan Gerakan Tanah Air (GTA) yang pernah dipimpinnya sebagai pengerusi sebelum ini.

    Menurutnya, GTA ketika ini sudah tidak berfungsi dan bergerak dengan beliau juga kini bukanlah ahli mana-mana parti politik.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau kini hanya orang Melayu yang sedar berkenaan masalah kaum tersebut dan tugasnya adalah untuk menyedarkan orang Melayu mengenainya.

    “Yang itu lama (GTA), sekarang tak ada apa dah… Pasal GTA tak jadi, tak dapat tolong kita sebab itu adalah parti politik.

    “Kita dapati sebagai parti, kita tak boleh menang. Kita dah lawan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan GTA serta Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), kalah 125 kerusi.

    “Jadi nampaknya sebagai parti, kita tak boleh menang. Kalau kita nak menang serta perjuangkan nasib orang Melayu, kita kena dapat sokongan orang Melayu dan sebab itu, saya tak kira parti dah,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika hadir ke Majlis Jamuan Aidilfitri anjuran Pertubuhan Prihatin Kubang Pasu di sebuah inap desa dekat Kampung Naga, Jitra di Kedah, malam tadi.

    Hadir sama isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Md. Ali, anaknya yang juga Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir serta Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah.

    Pada majlis itu, Mukhriz bersama Amiruddin turut menandatangani Proklamasi Orang Melayu untuk diserahkan kepada bekas Tun Mahathir.

    Ditanya pihak mana yang akan disokongnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, Tun Mahathir berkata beliau akan menyokong semua orang Melayu dan bukan lagi parti.

    Beliau juga memaklumkan, perbincangan akan dijalankan dengan semua pihak yang menyertai Proklamasi Orang Melayu mengenai peranan boleh dimainkan mereka dalam usaha mendapatkan semula dominan dalam politik.

    Menjawab dakwaan sinis Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang menggelarnya sebagai ketua umum PN semata-mata kerana PAS dan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menandatangani proklamasi tersebut, Tun Mahathir berkata perkara itu tidak sepatutnya ditimbulkan.

    “Kita cuma minta mereka tandatangan sebagai tanda setuju mengenai masalah dihadapi orang Melayu yang dicatat dalam proklamasi. Proklamasi bukan parti.

    “Kita cuma nak gerak orang Melayu sebab Melayu tak tahu apa yang terjadi kepada mereka sekarang ini,” katanya.

    Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan dakwaan Abdul Hadi bahawa orang Melayu sedang ditipu secara terang-terangan, Tun Mahathir berkata perkara itu merupakan sesuatu yang boleh dibincangkan.

    “Itu kita bincangkan, apa dimaksudkan Abdul Hadi apabila beliau kata orang Melayu ditipu.

    “Mungkin benar, kita nak tahulah,” katanya.

  • Undi tidak percaya terhadap Idrus ‘pertama kali dalam sejarah’, kata bekas peguam negara

    Undi tidak percaya terhadap Idrus ‘pertama kali dalam sejarah’, kata bekas peguam negara

    SEORANG bekas peguam negara menyifatkan undi tidak percaya yang dibuat pada Rabu oleh ahli profesion guaman terhadap Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun sebagai ‘belum pernah berlaku dalam sejarah negara’.

    “Setakat yang saya ingat, tiada organisasi pernah mengambil pendirian sebegitu terhadap peguam negara yang sedang berkhidmat,” kata Tan Sri Abu Talib Othman, yang menjadi peguam negara antara 1980 dan 1993.

    Beliau seterusnya menggambarkan Idrus sebagai seorang penjawat awam yang bersih dan taat, namun enggan mengulas lanjut.

    FMT juga telah menghubungi Idrus untuk mendapatkan komen.

    Badan Peguam meluluskan usul tidak percaya terhadap Idrus ketika mesyuarat agung luar biasa pada Rabu.

    Usul yang dikemukakan untuk diundi menyatakan bahawa Badan Peguam tidak percaya kepada peguam negara atas ‘kegagalannya mempertahankan badan kehakiman dan menegakkan kedaulatan undang-undang’.

    Dalam usulnya, peguam-peguam tersebut memetik dakwaan serangan terhadap hakim Mahkamah Rayuan Nazlan Ghazali, hakim perbicaraan bagi kes SRC International bekas perdana menteri Najib Razak.

    Idrus ialah bekas peguam cara negara sebelum dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan pada 2014.

    Beliau meletak jawatan sebagai hakim Mahkamah Persekutuan dan menerima pelantikan sebagai peguam negara sejurus selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac 2020.

    Tempoh perkhidmatan Idrus, yang sepatutnya berakhir awal tahun ini, baru-baru ini dilanjutkan selama enam bulan hingga 2 September.

    Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa peguam negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri.

    Perlembagaan juga memperuntukkan bahawa beliau perlu turut memikul tanggungjawab sebagai pendakwa raya.

    Badan Peguam turut menegur tingkah laku Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, yang menurutnya, melemahkan kebebasan badan kehakiman.

    Bulan lepas, Azalina berkata, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Nazlan merumuskan bahawa beliau telah melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan ketika menjadi hakim perbicaraan kes SRC.

    Dalam surat bertarikh 20 Mac kepada peguam bela mewakili Najib, Shafee & Co, Azalina mengesahkan bahawa Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali telah melanggar kod dan mempunyai konflik kepentingan.

    Beliau berkata, ini berdasarkan laporan penemuan SPRM bertarikh 20 Februari, yang diberikan oleh agensi itu kepadanya.

    Pada 20 April, media melaporkan bahawa 175 peguam membuat petisyen untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa Badan Peguam bagi membahaskan usul mengutuk ‘serangan keji’ terhadap kebebasan badan kehakiman dan ‘menegakkan kedaulatan undang-undang’.