Author: Wartawan WartaRakyat

  • Raih kemenangan besar dalam PRN, buktikan rakyat tolak kerajaan sedia ada

    Raih kemenangan besar dalam PRN, buktikan rakyat tolak kerajaan sedia ada

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEMENANGAN besar dicapai Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, mampu menghadirkan isyarat bahawa rakyat tidak lagi mahu dipimpin oleh kerajaan diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu akan dibuktikan apabila tiba masanya nanti.

    Malah katanya, kerajaan sedia ada insya Allah akan tumbang apabila PN mengambil alih kesemua enam negeri yang bakal menghadapi PRN.

    “Kita tahu kali ini, kita akan buktikan dalam kemenangan PRN kali ini. Kalau kita menang besar, ia akan menyebabkan mereka tahu bahawa rakyat tak mahu lagi kerajaan yang ada hari ini.

    “Mereka tak mahu kerajaan Malaysia dipimpin oleh ‘Tok Non’ ini. Insya Allah kerajaan ini akan jatuh apabila kita dapat mengambil semua enam negeri dalam PRN akan datang,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Himpunan Jentera Pilihan Raya PN di Guar Chempedak di Yan malam tadi.

    Mengulas lanjut katanya, gabungan tersebut tidak berhasrat untuk mencari kesalahan orang lain sekiranya PN mengambil alih kerajaan sedia ada satu masa nanti.

    “Yang lebih penting buat kita adalah mencari pemimpin untuk mengatur Kabinet menjadi lebih baik supaya segala yang dilakukan adalah sesuatu yang benar-benar bertanggungjawab demi masa depan agama, bangsa dan negara.

    “Jangan sekali-kali kita ikut perangai orang macam ini. Kalau kita ambil alih kerajaan sedia ada, jangan cari masalah orang sebaliknya tengok masa depan serta cari perkara lebih baik di depan kita,” katanya.

    Dalam pada itu Hamzah berkata, tindakan mengaitkan namanya dengan pertuduhan kes rasuah di mahkamah baru-baru ini, dilakukan oleh mereka yang berniat ‘busuk’.

    Sambil mempersoalkan mengapa beliau dituduh bersubahat dengan individu berkenaan, Hamzah turut mendakwa kerajaan telah bersifat zalim dalam hal itu.

    Katanya, beliau tidak tahu mengapa namanya dikaitkan dengan kes tersebut sedangkan beliau langsung tidak mengambil duit individu berkenaan walaupun satu sen.

    “Selepas raya, individu ini ‘depa’ (SPRM) ‘charge’ (tuduh). Selepas itu pada hari sama, barulah SPRM ‘mai’ pejabat saya untuk temubual dan rakam sesuatu yang mereka mahu dari saya.

    “Saya beritahu yang saya tak tahu pun mereka (tertuduh) ini buat kerja apa. Saya tak tahu dan kalau mereka nak tuduh, itu ‘depa’ punya pasal.

    “Satu sen pun saya tak ambil dari individu ini, kenapa nak kait dengan nama saya? Inilah dia kerajaan zalim, kerja mereka yang berniat busuk,” katanya.

  • Dahulu kawasan ‘jin bertendang’, Dataran Batu Putih kini dikunjungi ramai

    Dahulu kawasan ‘jin bertendang’, Dataran Batu Putih kini dikunjungi ramai

    guane

    DATARAN Batu Putih (DBP) yang terletak antara Kampung Gong Beris dan juga Batangan Marang serta Kalang Warisan di Pulau Manis Serada Kuala Terengganu merupakan antara dua lokasi pelancongan komuniti yang semakin mendapat perhatian ramai.

    Setiap hujung minggu dan juga ketika cuti umum kedua-dua lokasi berkenaan sentiasa dipenuhi para pengunjung termasuk dari luar daerah.

    Malah ada juga para pengunjung yang datang dari Lembah Klang, Selatan dan Utara membawa keluarga maing-masing bercuti ke lokasi ini.

    Kebanyakan mereka ke sini untuk bersantai sambil menjamu selera menikmati kuih muih tempatan di samping menyaksikan keindahan pemandangan alam semula jadi yang menarik.

    Ini kerana di kedua-dua lokasi tersebut memiliki pelbagai produk serta keindahan yang tersendiri seperti sungai, pepohon nipah dan bakau manakala pada sebelah malam pula terdapat cahaya kunang-kunang.

    Apa yang menarik, Dataran Batu Putih dan Kalang Warisan suatu ketika dahulu masyarakat setempat pernah menggelarkannya sebagai kawasan ‘jin bertendang’ ekoran ia ditumbuhi oleh pokok-pokok besar terbiar dan juga semak samun.

    Bagaimanapun sejak empat tahun lalu kawasan ini telah berubah wajah apabila Kerajaan Negeri Terengganu mengambil inisiatif membangunkannya sebagai lokasi pelancongan komuniti.

    Proses awal pembangunan dilakukan sendiri secara gotong rowing oleh masyarakat setempat manakala kerajaan negeri pula cuba membantu dari segi keindahan dan infrastrukur.

    Selain Dataran Batu Putih dan Kalang Warisan, lain-lain lokasi pelancongan komuniti yang dibangunkan ialah Sungai Merchang, Pengkalan Berangan, Jenang, Jambu Bongkok, Pulau Serai, Pantai Angin Berbisik, Kampung Mangkuk dan Sentol Patah.

    Pendekatan itu diambil memandangkan produk pelancongan membabitkan komuniti setempat mempunyai daya tarikan tersendiri untuk diaplikasikan dalam kalangan masyarakat.

    Selain keunikan alam semula jadi dan juga aktiviti harian penduduk ia turut melibatkan makanan.

    Bagi Dataran Batu Putih, penulis pernah terlibat pada peringkat awal dengan aktiviti projek tanaman kelapa mataq yang dijayakan oleh penduduk.

    Projek dinamakan Rancangan Tanaman Berkelompok (RTB) itu pada peringkat awal membabitkan 30 orang peserta dan diawasi oleh Jabatan Pertanian.

    Sebahagian besar peserta yang menjayakannya telah berjaya menuai hasil di mana kelapa mataq mereka turut dijadikan air nira (tuak) selain minuman air kelapa muda.

    Melihat kepada perkembangan itu, akhirnya dicadangkan pula pembukaan lokasi pelancongan komuniti yang dinamakan Dataran Batu Putih.

    Maka itu, wujudlah beberapa lot gerai tradisional beratapkan daun nipah bagi memberi peluang kepada penduduk menjual produk yang ada di kampung ini.

    Antara produk yang diketengahkan ialah manisan kerek (gula melaka) air nira atau tuak, ikan celup tepung, keropok goreng dan kopi nisang asli.

    Sementara di Kalang Warisan yang mula dibangunkan sejak dua tahun lalu turut mengentengahkan aktiviti memanah, berkayak dan berkhemah kepada para pengunjung.

    Suatu ketika dahulu, ‘kalang’ atau pengkalan paling utama adalah Kalang Masjid yang pernah menjadi laluan utama untuk ke masjid serta ke Makam Tok Pulau Manis.

    Kalang ini juga dikatakan pernah menjadi lokasi persinggahan Sultan Terengganu, Sultan Ismail Nasiruddin Shah suatu ketika dahulu.

    Bagi memajukan sektor pelancongan komuniti, Kerajaan Terengganu sebelum ini telah menyalurkan peruntukan bernilai RM1 juta dalam usaha untuk mengindahkan sebanyak 39 lokasi terpilih di negeri ini.

    Malah, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman mengatakan bahawa pendekatan itu diambil sejajar dengan Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Negeri Terengganu yang menyasarkan kewujudan minima 40 pusat pelancongan komuniti.

    Beliau seterus berharap, melalui pendekatan tersebut ia mampu menyumbang kegiatan ekonomi kepada penduduk setempat, sekaligus turut membuka peluang pekerjaan.

    Melihat keada sambutan orang ramai terhadap lokasi pelancongan komuniti ini, penulis berharap setiap aktiviti perlu dikembangkan secara konsisten termasuk demonstrasi kerja-kerja anyaman dan kraft serta makanan popular seperti akok, menganang, che Abas demam, otok-otok, sata, ketupat sotong, nekbat, lemper nyur dan pulut nyur.

  • PN yakin sapu bersih DUN di utara Selangor

    PN yakin sapu bersih DUN di utara Selangor

    GELOMBANG undi Melayu yang disaksikan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tampak tidak surut dan mungkin membalikkan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Hulu Selangor.

    Kerusi itu antara yang mencatatkan kejutan apabila pertama kali jatuh kepada Pas yang bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN).

    Sebelum ini, kerusi itu dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Parlimen berkenaan mempunyai tiga kerusi DUN di bawahnya iaitu Hulu Bernam, Kuala Kubu Bharu dan Batang Kali.

    Ahli Parlimen Hulu Selangor, Hasnizan Harun berkata, pengundi di kawasan itu yang sebelum ini setia kepada UMNO, sudah mula terbuka.

    “Sebelum saya menang, memang sukar untuk kami (Pas) tembus ke tempat-tempat tertentu terutama kawasan Felda.

    “Sekarang mereka tiada masalah menjemput saya ke program-program mereka,” katanya dalam wawancara bersama MalaysiaNow.

    Hasnizam yang juga Bendahari Pas Selangor berkata, hubungan dengan Muafakat Nasional (MN) juga masih tidak putus meskipun UMNO Pusat memilih haluan berbeza.

    Disebabkan itu katanya, Pas berjaya memecah tembok kubu UMNO di kawasan-kawasan Melayu – hasil daripada usaha mendekati pengundi bertahun-tahun.

    Rekod Pas yang bertanding di kerusi tersebut menunjukkan mereka pernah tewas dengan angka puluhan ribu undi, terutama di kawasan Felda.

    Pada PRU14, beliau mendapat tempat ketiga di DUN Batang Kali.

    Pada PRU15, Hasnizam berkata, jentera PN bergerak memasuki ke kawasan hulu dan pedalaman yang tidak dilawati oleh calon lain.

    Ini membuahkan hasil apabila beliau menang.

    Di kerusi Batang Kali, Harumaini Omar dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) merupakan penyandang kerusi manakala Hulu Bernam dan Kuala Kubu Bharu masing-masing dimenangi oleh Rosni Sohar daripada Barisan Nasional (BN) dan Lee Kee Hiong daripada Pakatan Harapan (PH).

    Daripada tiga kerusi itu, Batang Kali dan Hulu Bernam adalah dua kerusi majoriti Melayu yang disasarkan untuk dirampas PN.

    Kuala Kubu Bharu pula mungkin lebih mencabar ekoran peratusan Melayu yang hanya 50 peratus.

    “Hubungan dengan kawan-kawan dalam MN tidak putus. Ini berkait dengan kemenangan di Hulu Selangor,” katanya merujuk kepada kerjasama politik UMNO dan Pas yang kini sudah tamat.

    Selangor mempunyai 56 kerusi DUN, daripada jumlah itu, PH menang 51 kerusi, PAS (1) dan BN (4) pada PRU14.

    PH kemudian hilang enam kerusi setelah Bersatu berpecah daripada gabungan itu.

    Hasnizam juga melahirkan keyakinan mengenai keupayaan Pas menawan undi BN yang tidak berpuas hati dengan tindakan bergabung dengan PH.

    Dalam pada itu, katanya, antara isu yang mendapat perhatian rakyat sekarang ialah infrastruktur luar bandar yang masih perlu ditambah, antaranya jambatan Batang Kali, klinik kesihatan dan kolej komuniti.

    Menurut beliau, penduduk di beberapa taman perumahan di Serendah juga terkesan dengan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) apabila lori dan trak pembinaan tidak mahu membuat laluan alternatif.

    Sebaliknya, mereka menggunakan jalan-jalan di taman perumahan sehingga merosakkan jalan dan membahayakan kanak-kanak.

  • Pemaju boleh mohon laksana projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia

    Pemaju boleh mohon laksana projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIMBALAN Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pemaju hartanah swasta boleh membuat permohonan untuk projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM).

    Menurut Ahli Parlimen Johor Bahru itu, ini bagi menjadikan PPAM sebagai sebahagian daripada kediaman jualan mereka.

    “Permohonan dan pertanyaan berhubung perkara ini boleh dibawa ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menyelia projek tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat PPAM Pangsapuri Seri Permata di Johor Bahru, semalam.

    Turut hadir Pengarah TH Tebrau Land, Syamin Ibrahim, Pengerusinya, Peh Lian Hua dan Pengarah Urusannya, Lim Cheng Chun.

    Dalam perkembangan sama, Akmal Nasrullah memuji inisiatif pemaju perumahan TH Tebrau Land yang menjadikan sebanyak 692 unit daripada keseluruhan 1,388 unit buat kakitangan kerajaan dan keluarganya.

    Langkah tersebut katanya, boleh dilaksana pemaju lain pada masa depan sebagai satu tanggungjawab sosial korporat mereka.

    “Tindakan ini juga dapat mewujudkan satu komuniti masyarakat majmuk dimana ia terdiri daripada orang awam dan juga kakitangan kerajaan, jadi kediaman ini nanti bukan melibatkan satu segmen masyarakat sahaja,” katanya.

    Sementara itu, Syamim memberitahu, unit kediaman PPAM di pangsapuri itu dijual bermula pada harga RM289,000 untuk satu lot letak kenderaan manakala RM309,000 untuk dua lot letak kenderaan.

    Katanya, projek berkenaan melibatkan tiga blok bangunan setinggi 49 tingkat dengan 50 peratus daripadanya adalah unit kediaman PPAM yang berukuran 975 kaki persegi dengan tiga bilik dan dua bilik air.

    “Langkah ini dibuat sebagai menyahut seruan kerajaan supaya setiap rakyat termasuk kakitangan kerajaan memiliki rumah kediaman selari

    dengan konsep ‘Satu Keluarga Satu Rumah’.

    “Tawaran unit kediaman PPAM ini adalah 35 peratus lebih rendah berbanding unit bukan PPAM bertujuan untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah kediaman selesa di tengah bandar raya Johor Bahru,” jelasnya.

    Syamin berkata, unit kediaman bukan PPAM ditawarkan bermula pada harga RM380,000 hingga RM463,000.

    Menurutnya, projek tersebut kini mencapai tahap 55 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku pertama 2025.

  • Wanita suspek amang seksual didakwa esok

    Wanita suspek amang seksual didakwa esok

    SEORANG wanita yang ditahan sebelum ini susulan kes amang seksual fizikal terhadap anak lelakinya berusia 14 tahun di Puncak Alam, akan didakwa Mahkamah Sesyen Klang, esok.

    Ketua Polis Kuala Selangor Ramli Kasa ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

    “Kita akan bawa suspek (wanita) untuk dituduh esok,” katanya lapor Berita Harian.

    Pada 4 Mei lalu, media melaporkan suspek direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.

    Ramli dilaporkan berkata, suspek berusia 33 tahun direman bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 14 dan Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Katanya, wanita itu ditahan di kediamannya di Puncak Alam selepas polis menerima laporan daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mendapat maklumat mengenai perbuatan itu menerusi sebuah video yang diperoleh daripada individu tidak dikenali.

    Dua hari kemudian, seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit menyebarkan video adegan itu.

    Suspek lelaki yang menetap di Bandar Sri Damansara itu memiliki dua rekod jenayah iaitu kes pemerasan dan rogol selain telefon bimbitnya dirampas bagi membantu siasatan.

  • Lelaki maut, bakal tunang parah selepas balik beli cincin pertunangan

    Lelaki maut, bakal tunang parah selepas balik beli cincin pertunangan

    LELAKI maut manakala tunangnya parah selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 105 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Terminal Minyak Mentah (TCOT) dekat Kerteh, pukul 11 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, Muhammad Alif Hafizzudin Samsul, yang beralamat di Kampung Bukit Kuang, Kemaman, maut di tempat kejadian.

    “Bakal tunangnya, berusia 20-an dan berasal dari Kampung Seberang Pintasan, Dungun, parah dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

    “Kejadian, kedua-dua mangsa menaiki kereta dari arah Kerteh menghala ke Dungun,” katanya dalam kenyataan.

    Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dari arah Dungun ke Kemaman dipercayai hilang kawalan sebelum melepasi pembahagi jalan.

    Katanya, MPV terbabit kemudiannya memasuki laluan kanan dan keadaan itu menyebabkan kereta yang dipandu mangsa gagal mengelak lalu bertembung dengan MPV terbabit.

    Jelasnya, pertembungan kuat itu menyebabkan kereta dipandu mangsa remuk dan terbalik.

    Hanyan berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan menghantar tunangnya pulang ke Dungun selepas membeli cincin pertunangan mereka di Kemaman.

    Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk urusan pengebumian.

    “Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Kerajaan Perpaduan takut tumbang, tak mustahil Pejuang sokong PN

    Kerajaan Perpaduan takut tumbang, tak mustahil Pejuang sokong PN

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor beranggapan ketakutan yang membayangi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berhubung ura-ura Kerajaan Madani bakal tumbang mungkin kerana perkara itu ada asasnya.

    Kata beliau, kenyataan berbentuk penafian yang dibuat oleh pemimpin kedua-dua gabungan itu kebelakangan ini menampakkan lagi kebimbangan mereka dengan jelas.

    “Pasal apa dia takut sangat? Pasal dia tahu kita ada (angka) kan. Kalau dia tak nafi mungkin orang anggap perkara itu sebagai khabar angin saja. Bila dinafikan perkara itu, mengikut petua orang tua-tua katanya benda itu betul,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Himpunan Jentera Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) Kedah di Padang Awam, Guar Chempedak di Yan malam tadi.

    Muhammad Sanusi berkata, beliau juga tidak boleh mengesahkan atau menafikan perkara tersebut namun berharap ianya menjadi kenyataan.

    “Sah pun tak tau, nafi pun tak tau. Saya gembiralah kalau boleh berlaku dan saya menanti-nantikan saat itu. Saya doakan ia menjadi kenyataan. Sangat tidak mustahil (untuk berlaku).

    “Jangan tanya saya (jumlah akuan sumpah berkanun) sebab saya bukan Ahli Parlimen. Saya tak tahu tetapi yang mereka sedang bercakap banyak itu (126) lah,” ujarnya.

    Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah menyifatkan adalah tidak mustahil sekiranya parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyatakan sokongan kepada PN untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Katanya, walaupun permohonan Pejuang untuk menyertai PN ditolak sebelum ini, kemungkinan Pejuang bekerjasama bersama mereka menerusi platform lain seperti Proklamasi Orang Melayu bukan perkara yang luar biasa.

    “Mungkin (boleh bersama), saya tak tahu kalau Pejuang ada melakukan permohonan sekali lagi. Proklamasi tersebut bukan parti politik, mereka sebuah badan bertindak tetapi boleh menjadi medan untuk menyatukan orang Melayu sebab Pejuang pun dalam kalangan orang Melayu juga,” katanya.

  • Rancang jumpa Anwar sebelum Ramadan lagi, kata Nik Abduh

    Rancang jumpa Anwar sebelum Ramadan lagi, kata Nik Abduh

    AHLI Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, beliau merancang untuk bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum Ramadan lagi.

    Jelas beliau,pertemuan dengan Perdana Menteri itu hanyalah perjumpaan biasa yang tidak mempunyai hubung kait dengan politik.

    “Masa jadi ahli Parlimen saya selalu jumpa dengan beliau (Anwar). Jadi bila beliau dah jadi Perdana Menteri saya tidak lagi berjumpa denganya.

    “Jadi saya minta melalui kenalan untuk jumpa. Lama dah minta, belum puasa lagi…cuma tidak dapat kerana beliau sibuk,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Asar di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka di Kota Bharu semalam.

    Menurut beliau, pertemuan itu menjadi kenyataan apabila Perdana Menteri hadir ke Rumah Terbuka Malaysia Madani di Pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu.

    Ujarnya, beliau diberi masa untuk bertemu dengan Anwar selepas selesai menunaikan solat Maghrib.

    Nik Abduh memberitahu, beliau bertuah dapat bertemu dengan Anwar selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

    “Pada pertemuan itu, saya ucap tahniah kepada beliau dan mendoakan semoga Datuk Seri dapat jalankan tugas dengan baik sebagai Perdana Menteri.

    “Saya turut membawa amanah daripada orang untuk disampaikan kepada Perdana Menteri. Soal politik tiada,” katanya.

    Menurut Nik Abduh pertemuan dengan abangnya, Nik Omar semasa berjumpa dengan Perdana Menteri adalah secara kebetulan.

    “Abang saya datang dari Kuala Lumpur dan kami bertemu di situ. Dia (Nik Omar) datang nak jumpa Perdana Menteri.

    “Saya sudah jangka gambar pertemuan itu akan tular kerana ramai yang mengambilnya (merakam). Jadi saya tidak berminat dengan viral sebab itu enggan memberikan sebarang komen,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • ‘Masa jadi kerajaan depa buat apa’

    ‘Masa jadi kerajaan depa buat apa’

    Oleh BADLISHAH MAT

    TIADA laluan mudah buat Pakatan Harapan (PH) yang kini bersama Barisan Nasional (BN) untuk merampas negeri Kedah daripada Perikatan Nasional (PN) disebabkan beberapa perkara terutamanya rekod pemerintahan lalu membabitkan kedua-dua gabungan itu.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, meskipun PN memiliki kelebihan untuk mempertahankan kerajaan negeri ketika ini, namun mereka tetap tidak memandang mudah lawan tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    “Memang Kedah menjadi tarikan baik di pihak PN mahupun PH-BN. Kita sedang memerintah, mereka pula berhasrat nak rampas negeri ini kerana mereka nak rampas Kelantan dan Terengganu tak larat, jadi mereka pulun di Kedah.

    “Bukan jalan mudah untuk PH dan kita pun tak anggap pakatan mereka itu mudah dihadapi. Sebab itu kita persiapkan jentera lebih awal dan sudah mulakan kempen yang dibenarkan sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada minggu keempat Jun,” katanya selepas pelancaran Himpunan Jentera Pilihanraya PN di Guar Chempedak, malam tadi.

    Terdahulu ketika berucap, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN mendakwa, PH dan BN yang pernah menjadi kerajaan di negeri Kedah sebelum ini tidak memberikan impak yang baik kepada rakyat mahupun negeri itu.

    “Masa jadi kerajaan depa buat apa? Apa hasil tangan PH di Kedah, tolong tunjuk kalau ada. Semasa BN perintah Kedah saya nak ingatkan semula pada tahun 2008 kita (kerajaan Pas ketika itu) telah buat audit dan mendapati BN tinggal hutang bekalan air berjumlah RM2.4 bilion.

    “Mai PH (jadi kerajaan) tinggal hutang gaji pemain bola sepak tak bayar RM16 juta. Kutip dana kes Akhyar (Rashid) dapat RM50,000 dan masuk akaun cuma RM10,000. Kita tak cerita lagi duit persatuan hoki..

    “Setiap orang itu semua ada penyakit, nak bawa balik jadi kerajaan di Kedah ini jahanam lah negeri ini. Untuk elak benda itu dan kekal negeri ini bersih, tenang dan berdaya huni maka kekalkan lah PN sebagai kerajaan yang tadbir Kedah,” katanya.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, kesemua enam menteri besar dan ketua menteri yang akan terlibat PRN masih mempunyai persefahaman untuk membubarkan DUN serentak bagi membolehkan tarikh mengundi disekalikan.

    Katanya, persefahaman hasil pertemuan bersama pada Februari lalu masih tidak berubah setakat ini dan disebabkan tiada perjumpaan susulan yang khusus untuk membincangkan perkara itu, maka rundingan tersebut masih terpakai selagi tiada perubahan.

    “Tak ada siapa buat rancangan apa pun. Saya tak pasti kalau PH tiba-tiba bertukar angin tetapi Kedah, Kelantan dan Terengganu masih sama mahukan tarikh pilihan raya yang sama.

    “Ada risiko kalau tak buat sekali, sama ada mereka akan ‘renyak’ kita atau pun kita ‘renyak’ mereka. Jadi lebih baik adakan sekali,” katanya.

  • PRN: Bersatu tangguh pemilihan MPT

    PRN: Bersatu tangguh pemilihan MPT

    BERSATU menangguhkan pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan bahagian dalam tempoh tidak melebihi 18 bulan.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata bagaimanapun penangguhan itu tidak bersekali dengan pemilihan di peringkat cawangan.

    “Sehubungan itu, MPT juga bersetuju agar pemilihan bahagian dan MPT (kecuali cawangan) ditangguhkan tidak lebih daripada tempoh 18 bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata,  MPT Bersatu mengadakan mesyuaratnya yang dipengerusikan oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin.

    Dalam mesyuarat  itu, beliau berkata Muhyiddin menzahirkan parti itu bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

    Beliau berkata seluruh kekuatan parti diperkemaskan di semua negeri agar menjadi satu ketumbukan yang ampuh.

    “Bersatu bersama Perikatan Nasional (PN) juga melahirkan keyakinan tinggi untuk memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya negeri itu nanti dengan mempertahankan Kelantan, Terengganu serta Kedah.

    “Kita akan berkerja kuat bagi menawan Selangor, Negeri Sembilan serta Pulau Pinang,” katanya.