Author: Wartawan WartaRakyat

  • Perhimpunan aman Bantah Projek Tiga Pulau di Pulau Pinang dapat sambutan luar biasa

    Perhimpunan aman Bantah Projek Tiga Pulau di Pulau Pinang dapat sambutan luar biasa

    SEPERTI dijangka, perhimpunan aman bagi membantah projek tambak laut perairan selatan Pulau Pinang (PSI) yang diadakan di Teluk Kumbar, Pulau Pinang hari ini mendapat sambutan luar biasa pelbagai pihak.

    Selain komuniti nelayan dari seluruh Pulau Pinang dan penduduk setempat, perhimpunan aman dikenali Bantah Projek Tiga Pulau yang digerakkan Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (PenMutiara) itu turut disertai wakil pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin parti politik.

    Antara NGO terlibat termasuk Penang Forum; Sahabat Alam Malaysia (SAM); Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (Lekas) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

    Selain itu, pemimpin parti politik yang turut serta terdiri daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan); Pas; Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan ramai lagi.

    Bagaimanapun, tiada kelibat mana-mana pemimpin politik daripada gabungan Kerajaan Perpaduan yang menyertai perhimpunan aman itu termasuk pemimpin UMNO atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) meskipun Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebelum ini turut membuat kenyataan membantah projek tersebut.

    Perhimpunan aman yang bermula kira-kira pukul 10.30 pagi dan berakhir kira-kira sejam kemudian itu juga berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini dan dikawal rapi anggota polis.

    Dalam pada itu, Pengerusi PenMutiara, Ibrahim Che Ros berkata, pihaknya akan terus menyatakan bantahan terhadap projek tambak laut tersebut sehingga Kerajaan Negeri Pulau Pinang membatalkan projek terbabit serta projek-projek tambak laut yang sedang dirancang di negeri itu.

    Malah, ujar beliau, pihaknya juga merancang mengadakan perhimpunan aman di bangunan Parlimen dalam masa terdekat sekali gus menyerahkan memorandum kedua bantahan projek terbabit kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Selain itu, kami juga merancang menyerahkan memorandum bantahan projek ini kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memohon baginda melihat nasib nelayan di Pulau Pinang yang bakal terjejas dengan projek ini,” katanya ketika berucap pada perhimpunan aman tersebut.

    Dalam pada itu, Ibrahim, turut mencabar Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sama-sama turun ke laut bersama nelayan di perairan selatan Pulau Pinang bagi melihat sendiri kekayaan sumber laut kawasan itu yang dipenuhi pelbagai spesis ikan dan udang.

    Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan kononnya terdapat ahli-ahli PenMutiara yang dipaksa menyertai himpunan aman terbabit memandangkan semua nelayan berdaftar bergerak seiring dengan peraturan PenMutiara.

    ”Kami berpegang kepada Peraturan 27 (1) Persatuan Nelayan Akta Persatuan Nelayan 1972 yang mana ahli (nelayan) tidak boleh membuat sebarang perlakuan yang memudaratkan persatuan dan seorang ahli itu perlu bergerak seiring dengan tujuan-tujuan persatuan,” katanya.

    Projek tambak laut PSI kini dikurangkan daripada tiga pulau kepada hanya satu pulau sahaja iaitu pengurangan dari 1,821 hektar (4,500 ekar) tambakan laut kepada hanya 930 hektar (2,300 ekar).

    Bagaimanapun, komuniti nelayan khususnya di kawasan Teluk Kumbar yang terjejas secara langsung dengan projek tambakan itu dan beberapa NGO mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang membatalkan terus projek itu, bukannya mengecilkan saiz tambakan.

    Malah, mereka mendakwa, Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini tidak lagi mempunyai apa-apa justifikasi atau alasan untuk meneruskan projek terbabit selepas Kerajaan Pusat akan menyediakan dana dalam jumlah besar bagi membiayai projek transit aliran ringan (LRT) di negeri itu.

    Projek tambak laut PSI itu pada mulanya dirancang melibatkan tambakan kawasan laut seluas 1,821 hektar bagi membina tiga buah pulau buatan yang kemudiannya akan dijual Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan modal bagi menjalankan projek di bawah Pelan Induk Pembangunan (PIP) yang termasuk pembinaan LRT.

  • ‘Dengar suara akar umbi, bukan pengampu’, kata Tajuddin

    ‘Dengar suara akar umbi, bukan pengampu’, kata Tajuddin

    BEKAS Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, UMNO perlu mendengar suara akar umbi dan menunjukkan keikhlasan sekiranya mahu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri Julai depan.

    Menurutnya, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu telah membuktikan, kealpaan pimpinan parti dalam perkara itu membawa kekalahan cukup besar di peringkat Parlimen dan negeri.

    “Pilihan raya ini (PRN), saya mohon cek betul-betul peringkat akar umbi, jangan dengar dua ke tiga orang bercakap sahaja yang kebanyakannya hanya jadi pengampu dan penyokong.

    “Dulu semasa PRU15, semua dah dapat maklum balas dari peringkat bawah bahawa kita ada masalah, tetapi kita tak mahu dengar kononnya UMNO kuat dan boleh menang.

    “Sekali kalah kerana jentera pilihan raya ketika itu tidak mendalami kemahuan dan masalah akar umbi,” katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri TT Group Companies di Taj International College (TIC) di Ipoh hari ini.

    Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, parti keramat orang Melayu tersebut perlu bangkit melakukan gerakan yang boleh membangkitkan semangat dan keyakinan pengundi.

    Sekiranya tiada perubahan katanya, maka perjuangan Melayu yang dibawa UMNO akan berdepan halangan lebih berat pada masa akan datang.

    “Walaupun keahlian saya dah digantung, sebagai orang Melayu saya ada hak untuk menyeru kepimpinan menangkan parti ini, jangan fikir benda lain kerana orang Melayu bergantung kepada UMNO.

    “Walaupun sekarang dah terpaksa bekerjasama dengan DAP, UMNO mesti tegak atas kaki sendiri, mesti bangkit dan menang semula,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • 19 parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu segerakan keserasian – Zahid

    19 parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu segerakan keserasian – Zahid

    SEMUA 19 parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan perlu menyegerakan keserasian bagi memperkukuhkan lagi hubungan, terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri di enam negeri akan datang.

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 yang berlangsung hari ini merupakan platform terbaik untuk menyegerakan keserasian itu.

    “Mulai hari ini, kita ada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan, keserasian dengan pelbagai parti yang lain, 19 parti semuanya harus dipercepatkan keserasiannya,” kata Presiden UMNO itu.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan khas Presiden UMNO bersama Ketua, Timbalan dan Naib Ketua UMNO Bahagian-Bahagian di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di Kuala Lumpur, hari ini.

    Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan buat julung kali membuka tirainya dengan Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan dan Konvensyen Nasional Pemuda Puteri Kerajaan Perpaduan, yang diadakan secara serentak pagi ini.

    Kemuncak konvensyen bertemakan ‘MADANI: Mengangkat Agenda Rakyat’ adalah amanat Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum berakhir dengan pelancaran Tekad Bersama.

    Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO meminta semua pemimpin parti berkenaan di pelbagai peringkat jawatan di Bahagian supaya mengetepikan segala perbezaan yang timbul sebelum ini terutama semasa pemilihan sesi 2023-2026.

    Mengambil contoh ‘biduk lalu kiambang bertaut’, Pengerusi Barisan Nasional itu berkata perumpamaan berkenaan perlu dijadikan pegangan ahli UMNO bagi mengukuhkan kedudukan dan memperkasakan parti dalam menghadapi PRN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

    “Kita mahu menghadapi PRN di enam negeri, maka jentera harus digerakan dari sekarang dan yang lebih penting menyantuni pengundi tanpa parti politik,” katanya.

  • Tak kisah ‘kahwin paksa’, yang penting sah

    Tak kisah ‘kahwin paksa’, yang penting sah

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Ali mempertahankan kewujudan kerajaan perpaduan, yang disifatkan segelintir pihak sebagai ‘perkahwinan paksa’ antara parti-parti terbabit.

    Sebaliknya kata beliau, parti-parti dalam kerajaan perpaduan patut berasa bangga kerana membuat pilihan yang tepat, mengetepikan perbezaan demi agenda yang lebih besar.

    “Kalau adapun yang menyifatkan kami dalam kerajaan perpaduan bernikah secara paksa, yang penting nikah secara sah.

    “Kadang kala bercinta selepas berkahwin jauh lebih bermakna,” katanya memetik laporan FMT.

    Sementara itu, Armizan berkata, penganjuran Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan hari ini ialah platform yang amat penting dan dinanti-nantikan.

    Katanya yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), konvensyen berkenaan memberikan makna buat perjanjian persefahaman kerajaan perpaduan yang dimeterai pada 16 Dis lepas.

    “Apa yang dikatakan tentang kami datang dari pelbagai (latar belakang) pendirian politik yang berbeza sejak sekian lama, memang benar.

    “Namun jika dilihat dari perspektif yang lain, saya fikir ini satu perkembangan positif yang amat signifikan,” katanya.

    Terdahulu, dilaporkan bahawa segelintir pemimpin pembangkang menyifatkan kerjasama Barisan Nasional-Pakatan Harapan dalam kerajaan perpaduan sebagai kahwin paksa.

    Perkara sama turut dibangkitkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh sebelum ini berkata, tidak ada gunanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) ‘bercinta’ lama dengan parti tertentu, namun kemudian ‘dicurangi’.

    Katanya, lebih baik UMNO dan BN bekerjasama dengan parti lain secara paksa dalam membentuk kerajaan perpaduan merangkumi pelbagai parti berbanding bekerjasama dengan mereka yang ‘tidak setia’.

  • PH-BN kahwin paksa? Bercinta 10 tahun lepas kahwin pun curang juga

    PH-BN kahwin paksa? Bercinta 10 tahun lepas kahwin pun curang juga

    KETUA Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, tidak ada gunanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) bercinta lama dengan parti tertentu sebaliknya dicurangi selepas setahun berkahwin.

    “Lebih baik UMNO dan BN berkahwin dengan parti lain secara paksa dalam membentuk kerajaan perpaduan merangkumi pelbagai parti berbanding bekerjasama dengan mereka yang tidak setia.

    “Ada orang kata kita kahwin paksa, tapi saya nak beritahu nenek ayah, ibu kita dulu nak kahwin tak kenal pun sama sendiri, apa guna kalau duduk bercinta 10 tahun tapi tahun pertama kahwin lelaki curang buat apa,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi dialog Konvensyen Pemuda Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) hari ini.

    Tanpa menamakan parti mana yang curang kepada UMNO, namun kenyataan itu dipercayai merujuk kepada kerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.

    Selain pemimpin pembangkang yang menyifatkan kerjasama BN-PH dalam kerajaan perpaduan sebagai kahwin paksa, perkara sama turut dibangkitkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Akmal berkata, sudah sampai masanya parti-parti dalam kerajaan perpaduan melupakan permusuhan lama dan fokus kepada mencari persamaan dan berhenti bercakap soal extremis sepertimana diamalkan beberapa parti tertentu.

    “Kita selalu cakap soal perbezaan, cakap soal ideologi tapi jarang cakap soal apakah persamaan antara kita, saya nak bagitahu pengalaman kita sebelum ini walaupun Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Adam Adli dulu pernah turunkan bendera kita (UMNO).

    “Masa itu marahnya kita, kalau jumpa Adam Adli rasa nak siat-siat muka, tapi inilah kehebatan direncanakan Allah, bila kita bersama (dalam kerajaan perpaduan) hilang rasa marah bila jumpa Adam.

    “Sampai masa orang muda kena tunjukkan gaya politik baharu, apa berlaku lepas-lepas sudah-sudahlah,” katanya.

    Akmal berkata, sudah sampai masa untuk pemimpin pemuda kerajaan perpaduan menunjukkan sejarah politik baharu.

    “Hari ini kita kena tunjukkan kepada rakyat sana bahawa orang muda dalam kerajaan perpaduan tidak lagi cakap soal extremis, kau orang sana aku orang sini, tapi kita kena cakap soal cari persamaan demi negara,” katanya.

    Katanya, jika parti dalam gabungan hari ini mahu kerajaan perpaduan kekal, semua pihak perlu mengamalkan tiga perkara iaitu hormat menghormati, saling memahami dan percaya antara satu sama lain.

    Dalam pada itu, bagi menunjukkan semangat kerjasama dan perpaduan, Akmal turut membuat permohonan secara terbuka kepada Amanah susulan kritikan terhadap keputusan Kementerian Pertanian Makanan dan Keterjaminan Makanan yang dipimpin Presiden Amanah, Mohamad Sabu melantik lima pemimpin Pakatan Harapan (PH) menerajui agensi utama di bawah kementerian itu.

    “Saya faham hari itu saya bangkang isu pelantikan GLC, untuk sahabat Amanah saya berbesar hati mohon maaf, saya nak beritahu kita tidak ada masalah kalau ada perbezaan, tapi mesti diuruskan dengan cara lebih baik,” katanya, lapor FMT.

  • Ku Li dilantik penasihat UMNO

    Ku Li dilantik penasihat UMNO

    VETERAN UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dilantik sebagai penasihat kepada parti berkenaan.

    Mendurut Sumber kepada FMT, seorang ketua bahagian yang enggan namanya disiarkan berkata, pelantikan Tengku Razaleigh dibuat pada mesyuarat pucuk pimpinan UMNO.

    Difahamkan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden UMNO, DAtuk Seri Mohamad Hasan, dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Johari Ghani menghadiri mesyuarat itu awal hari ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

    Tengku Razaleigh, atau lebih dikenali sebagai Ku Li, menjadi Ahli Parlimen Gua Musang sejak 1974, ketika kawasan itu dikenali sebagai Ulu Kelantan, sebelum gagal mengekalkan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15.

    Beliau tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Azizi Abu Naim dengan 163 undi.

    Tahun lepas, Tengku Razaleigh berkata, beliau akan meninggalkan dunia politik selepas PRU15.

  • Noraini mahu kerjasama dalam kerajaan perpaduan berterusan sampai bila-bila

    Noraini mahu kerjasama dalam kerajaan perpaduan berterusan sampai bila-bila

    KETUA Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad berharap kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan perpaduan dapat diteruskan sampai bila-bila.

    Katanya, biarpun berpuluh tahun menjadi seteru politik, namun itu tidak dapat menafikan bahawa wanita DAP, UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) dapat duduk semeja menjayakan konvensyen kerajaan perpaduan hari ini.

    “Siapa sangka saya boleh duduk bersama Wanita Amanah, Aiman Athirah Sabu, kerja dan bincang dengan Wanita DAP, Chong Eng. Ini satu perkara yang kita telah mulakan dan teruskan sampai bila-bila.

    “Dengan gabungan besar yang sarat dengan pengalaman potensi yang ada ini tidak boleh disia-siakan,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Wanita di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

    Dalam pada itu, Noraini berkata, waktu ini bukan masa sesuai untuk mencari silap atau mengungkit kisah silam.

    Katanya, semua pihak perlu fokus menjadikan konvensyen yang berlangsung sebagai titik mula pada sebuah agenda yang lebih besar.

    Tambahnya, gabungan antara parti seteru sebelum ini bukan perkara yang baharu.

    “Sejarah membuktikan banyak negara pernah membentuk kerajaan seumpama kerajaan perpaduan sebelum ini.

    “Penubuhan kerajaan perpaduan, kita semua sambut dengan hati yang terbuka agar kestabilan politik yang mampu memberikan suntikan keyakinan pelabur luar dan dalam negara,” katanya.

    Sementara itu, Noraini berkata, cabaran utama kerajaan perpaduan kini adalah menghadapi PRN di enam negeri.

    “Tugas dan tanggungjawab menanti kita sangat besar. Apa pun keadaannya kerajaan perpaduan kini membawa harapan rakyat besar.

    “Inilah masanya kita kembalikan keyakinan rakyat,” katanya, lapor FMT.

  • 160 petugas haji berlepas ke tanah suci

    160 petugas haji berlepas ke tanah suci

    SERAMAI 160 petugas Lembaga Tabung Haji (TH) Musim Haji 1444H/2023M berlepas ke tanah suci hari ini sebagai persediaan awal bagi menyantuni jemaah haji dari Malaysia.

    Kumpulan yang berangkat pada hari ini antaranya petugas kebajikan, perubatan, beberapa agensi luar dan wakil media, lapor Astro Awani.

    Keberangkatan semua petugas dilakukan secara berperingkat melalui beberapa siri penerbangan sepanjang fasa pertama operasi haji tahun ini.

    Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, secara keseluruhan seramai 670 petugas haji akan digerakkan ke Arab Saudi untuk menjalankan operasi haji tahun ini.

    “Daripada jumlah tersebut, 340 orang adalah petugas kebajikan, perubatan (296), dan selebihnya adalah daripada agensi luar seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan wakil media.

    “Kumpulan pertama yang terdiri daripada 16 petugas perubatan dan petugas teknologi maklumat (IT) telah berlepas pada haji Jumaat, 12 Mei lalu dan akan disusuli dengan tiga kumpulan besar pada hari ini (14 Mei), 18 Mei, dan 20 Mei 2023,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

    Penerbangan pertama bagi jemaah haji negara adalah pada 21 Mei 2023, manakala penerbangan pulang terakhir adalah pada pada 1 Ogos 2023.

    Sebanyak 98 penerbangan sewa khas akan digunakan untuk membawa semua jemaah haji Malaysia, yang melibatkan penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia.

    Sementara itu, lapan stesen berlepas akan digunakan untuk jemaah haji di seluruh Malaysia bagi urusan melapor diri.

    Antara stesen berlepas termasuklah di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kedah, Bayan Lepas, Senai, Kuching, Kota Kinabalu, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

  • Akmal mohon maaf kritik pelantikan pimpinan PH di agensi bawah Mohamad Sabu

    Akmal mohon maaf kritik pelantikan pimpinan PH di agensi bawah Mohamad Sabu

    KETUA Pergerakan Pemuda UMNO memohon maaf secara terbuka atas kritikannya terhadap keputusan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu melantik lima pemimpin Pakatan Harapan (PH) menerajui agensi utama di bawah kementerian itu sebelum ini.

    Ini susulan kritikan Dr. Muhamad Akmal Saleh yang membuat keritikan terhadap lima pemimpin daripada Parti Amanah Negara (Amanah) itu.

    Melalui sesi dialog dalam Konvensyen Pemuda Perpaduan 2023, hari ini, Muhamad Akmal menzahirkan permohonan maaf itu kepada parti Amanah.

    “Hari ini saya berdiri di atas pentas Kerajaan Perpaduan…saya faham hari itu bila kenyataan saya berhubung lantikan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) (kritikan)…maka untuk sahabat Amanah, saya berbesar hati dan merendah diri ingin memohon maaf,” katanya, memetik laporan Berita Harian.

    Mohamad juga adalah Presiden Amanah.

    Sebelum ini, Muhamad Akmal yang mengkritik keputusan pelantikan lima pemimpin PH itu dalam agensi utama di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, meminta Mohamad supaya menarik semula lantikan terbabit.

    Ini membabitkan bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP); Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan ADUN Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

    Selain itu, bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan ADUN Behrang, Aminuddin Zulkipli sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

  • Hari ini dalam sejarah musuh jadi kawan, berkongsi dalam pentas yang sama

    Hari ini dalam sejarah musuh jadi kawan, berkongsi dalam pentas yang sama

    RAMAI pemimpin parti kerajaan perpaduan menganggap hari ini telah mencipta sejarah apabila mereka yang dahulunya bermusuh antara satu sama lain dapat berkumpul menghadiri Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan.

    Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fadhlina Sidek berkata, lebih manis lagi apabila pemimpin parti-parti kerajaan perpaduan berkumpul di Pusat Dagangan Dunia (WTC), yang menjadi lokasi Barisan Nasional (BN) dan UMNO berkumpul setiap tahun.

    “Tidak tergambar tempat kumpul UMNO dan BN, hari ini bermukimnya seluruh wanita kerajaan perpaduan,” katanya ketika berucap di Dewan Merdeka WTC, hari ini.

    Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan hari ini menghimpunkan perwakilan dan pemimpin daripada 19 parti politik yang membentuk kerajaan perpaduan bagi membina kerjasama lebih utuh pada masa akan datang.

    Seawal 10 pagi, konvensyen yang diadakan buat julung kali itu membuka tirainya menerusi Konvensyen Nasional Wanita dan Konvensyen Nasional Pemuda Puteri, yang diadakan serentak.

    Sementara itu, Ketua Wanita DAP, Chong Eng berkata, ini kali pertama beliau masuk dan berucap di WTC.

    Menurutnya, UMNO dan DAP yang dahulunya ‘bermusuh’ kini menjadi kawan demi kebaikan negara.

    “Dulu kita (DAP dan UMNO) lawan, sekarang kita jadi kawan. Ini untuk Malaysia lebih baik. Untuk semua,” katanya.

    Ketua Pemuda PKR, Adam Adli pula berkata, konvensyen kali ini bukan satu himpunan biasa.

    “Ini adalah permulaan, bagi parti-parti terbabit menyatakan kesepakatan, persetujuan dan kesediaan untuk membentuk sebuah negara lebih baik.

    “(Selepas) berpuluh tahun bermusuh dalam politik, kali ini, kita letak titik noktah,” katanya ketika berucap di pentas Konvensyen Pemuda.

    Beliau berkata, tentu sekali bukan mudah dan bukan sekadar lontarkan menerusi bicara atas pentas kerana ada banyak perbezaan perlu diuruskan dan pemimpin yang mengetuai sayap Pemuda mesti pulang dengan tanggungjawab besar untuk uruskan perbezaan sebaiknya.

    Bagi Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan itu dilangsungkan demi kestabilan politik negara.

    Katanya, sebelum ini tidak ada satu parti pun yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan, maka perlu ada gabungan kerajaan perpaduan.

    “Hari ini kita kumpulkan semua parti politik dalam kerajaan perpaduan untuk bawa resolusi yang membawa kebaikan kepada rakyat di luar sana,” katanya, lapor FMT.