Author: Wartawan WartaRakyat

  • Ibu didakwa lakukan amang seksual terhadap 2 anak lelaki

    Ibu didakwa lakukan amang seksual terhadap 2 anak lelaki

    IBU kepada lima anak didakwa di Mahkamah Sesyen Klang, hari ini, atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak lelakinya pada November tahun lalu.

    Wanita yang berusia 33 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd. Said.

    Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak lelakinya yang berusia 14 dan 12 tahun (ketika kejadian) di sebuah unit pangsapuri di Alam Perdana, Puncak Alam kira-kira jam 8 malam November 2022.

    Wanita itu didakwa melakukan Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.

    Dalam pada itu, tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengarahkan pembuatan suatu pornografi kanak-kanak dalam bentuk video terhadap anak perempuannya yang berusia 15 tahun (ketika kejadian).

    Perbuatan itu dilakukan wanita berkenaan di sebuah hotel di Taman Sri Pristana, Sungai Buloh pada pukul 2 pagi, Februari 2022.

    Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 30 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan hukuman sebat.

    Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Ayuni Jamri dan Nurul ‘Izzati Mohamad tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dengan alasan mangsa adalah kanak-kanak dan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan tertuduh.

    Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan sebutan semula ditetapkan pada 26 Jun ini.

    Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang penarik kereta berusia 22 tahun yang juga kenalan wanita berkenaan didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun.

    Tertuduh, Haddad Radhi, didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Lelaki berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Taman Sri Pristana, Sungai Buloh kira-kira pukul 2 pagi, Februari 2022.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nurul ‘Izzati tidak membenarkan sebarang jaminan manakala tertuduh yang diwakili peguam,

    Mohd. Azali Ibrahim memohon jaminan diberikan terhadap tertuduh dengan alasan lelaki itu mempunyai seorang anak yang masih kecil serta isteri yang sedang mengandung.

    Hakim kemudian membenarkan jaminan RM15,000 dengan tertuduh perlu melaporkan diri ke Balai Polis pada setiap bulan dan tidak dibenarkan mendekati mangsa.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Jun ini lapor Berita Harian.

  • Lepas DAP masuk WTC, Annuar ramal ahli UMNO tinggalkan parti

    Lepas DAP masuk WTC, Annuar ramal ahli UMNO tinggalkan parti

    BEKAS pemimpin kanan UMNO seakan melihat ada isyarat yang terpapar dari ibu pejabat parti itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) apabila pelbagai pemimpin politik berkampung di situ petang semalam.

    Menurut Tan Sri Annuar Musa, program yang dikenali sebagai Konvensyen Kerajaan Perpaduan itu sebenarnya akan membawa malapetaka kepada UMNO.

    Beliau yang dipecat UMNO tahun lalu berkata, apa yang berlaku di WTCKL itu memberi kesan kepada semangat juang anggota parti terbabit.

    Suasana itu, kata bekas setiausaha agung BN berkenaan, sangat berbeza daripada pertemuan di antara ahli serta pemimpin UMNO dengan Pas pada 2019.

    “Kehadiran ribuan penyokong UMNO dan Pas di WTCKL pada September 2019 telah menyemarakkan semangat jutaan rakyat sehingga UMNO meraih kemenangan dalam siri-siri pilihan raya kecil (PRK) dengan cemerlangnya,” kata Annuar.

    Menganggap konvensyen semalam dihadiri ‘puak sosialis’ dan ‘liberal’ bekas ahli parlimen Ketereh itu menjangkakan UMNO akan menerima kesan buruk selepas ini.

    “Kehadiran puak sosialis, liberal, DAP ke WTCKL hari ini (semalam) akan mendorong jutaan rakyat, termasuk ahli UMNO, meninggalkan UMNO

    “UMNO bakal ditolak rakyat dalam pilihan raya negeri dan PRU akan datang, insya-Allah,” katanya dalam hantaran di Facebook, malam tadi.l, lapor Malaysiakini.

    Hantaran tersebut dibuat beberapa jam selepas semua parti yang bekerjasama dalam kerajaan sekarang menghadiri konvensyen pertama seumpamanya yang diadakan sejak PRU ke-15 lalu.

    Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan wakil dari gabungan parti di Sabah serta Sarawak menghadirinya.

    Untuk rekod UMNO-BN selama ini menjadi musuh politik kepada PH yang dianggotai PKR, DAP, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko).

    Semasa mengambil giliran berucap, Loke sendiri mengakui dia berasa ‘gugup’ untuk berucap di situ.

    Annuar tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Ketereh pada PRU lalu selepas dilihat tidak menyebelahi sikap Ahmad Zahid. Sebaliknya beliau lebih cenderung untuk menjalinkan hubungan baik dengan PN.

    Dia dipecat dari parti pada Disember lalu.

    Terdahulu pada awal bulan ini, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata Annuar telah menyatakan minat untuk menyertai parti berteraskan Islam tersebut.

  • Lelaki disyaki lempar bom diburu polis

    Lelaki disyaki lempar bom diburu polis

    SEORANG lelaki diburu polis selepas videonya melempar objek seperti bom di sebuah restoran di kawasan Jalan Abdul Samad, Johor Bahru, tular dalam media sosial.

    Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten komisioner Raub Selamat, berkata kejadian itu berlaku pukul 4.15 pagi kelmarin.

    Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pemilik premis yang juga lelaki tempatan pada 5.27 pagi.

    “Pengadu berusia 35 tahun memaklumkan mendengar bunyi letupan yang kuat sehingga beberapa cermin tingkap premisnya pecah.

    “Hasil semakan di kamera litar tertutup (CCTV) mendapati sebuah kereta berwarna gelap berhenti di pagar premis.

    “Kelihatan suspek keluar dari kenderaan dan melempar satu objek ke tempat kejadian,“ katanya dalam satu kenyataan, menurut Harian Metro.

    Raub berkata kejadian itu menyebabkan empat cermin tingkap pecah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan suspek adalah seorang lelaki yang tidak dikenal pasti.

    “Polis masih menyiasat punca kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 435 kanun keseksaan.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh hubungi talian hotline IPD JBS 07-2182323 atau pegawai penyiasat Inspektor Nik Mohamad Amirul Fikrie 011-35202900,“ katanya.

    Terdahulu, tular dua video masing-masing berdurasi satu minit memaparkan tindakan lelaki terbabit yang membaling objek sebelum berlaku letupan.

  • Azam Baki tidak pilih puak atau parti – Anwar

    Azam Baki tidak pilih puak atau parti – Anwar

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, sikap Tan Sri Azam Baki yang menjalankan tugas dan siasatan tanpa mengira puak atau parti menjadi antara faktor kerajaan melanjutkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Belum pernah dalam sejarah pejabat menteri digeledah SPRM bagi menjalankan siasatan,” ujar Ahli Parlimen Tambun itu.

    “Atas kapasiti itu kita teruskan khidmat beliau,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Majis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di bangunan Perdana Putra di Putrajaya hari ini.

    Beliau berkata mengulas mengenai kontrak Azam yang dilanjutkan setahun.

    Mengulas lanjut, Anwar berkata, Azam diberi kebebasan untuk menerajui SPRM dalam usaha membanteras pengalahgunaan, salah laku dan rasuah.

    Menurutnya, Azam dilantik semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

    “Dari segi kerja saya bagi kelonggaran sebagai pihak berkuasa kepada SPRM dan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk jalankan tugas. Beliau jalankan tugas memuaskan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini media melaporkan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan pelantikan semula Azam selama setahun berkuat kuasa 12 Mei lalu.

    Azam, 60, mula dilantik ke jawatan itu sejak 9 Mac 2020 bagi menggantikan Ketua Pesuruhjaya sebelum itu, Latheefa Koya.

  • Tiga kes strok haba dicatatkan di Sabah

    Tiga kes strok haba dicatatkan di Sabah

    SABAH mencatat tiga kes strok haba berikutan cuaca panas yang melanda ketika ini, membabitkan murid dan pelajar sekolah selain orang awam.

    Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr. Rose Nani Mudin berkata, kes terbabit dilaporkan antara 15 April lalu sehingga Jumaat lalu.

    Katanya, kes pertama adalah seorang pelajar lelaki berumur 18 tahun yang dimasukkan ke wad pada 15 April lalu dan dibenarkan balik pada 18 April.

    “Bagi kes kedua, pesakit adalah seorang murid lelaki berumur sembilan tahun yang dimasukkan ke wad pada 30 April lalu dan dibenarkan keluar pada 2 Mei.

    “Kes ketiga pula ialah seorang wanita berumur 27 tahun yang bekerja sendiri dan menerima rawatan sebagai pesakit luar pada 29 April lalu.

    “Ketiga-tiga pesakit sudah selesai mendapatkan rawatan dan sembuh sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, di Kota KInabalu, lapor BH Online.

    Katanya, cuaca panas yang melampau boleh menyebabkan seseorang individu kerap berpeluh dan menyebabkan cecair dalam badan berkurangan.

    Antara gejala penyakit berkaitan cuaca panas, katanya ialah badan terasa kering dan panas, denyutan jantung menjadi cepat, pening dan mual selain boleh mengakibatkan sawan ataupun pengsan.

    “Kanak-kanak dan warga tua adalah golongan yang paling berisiko mendapat masalah kesihatan akibat cuaca panas,” katanya.

    Berikutan itu, katanya JKNS menyarankan beberapa langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan penyakit berkaitan cuaca panas.

    Antara langkah itu, katanya ialah menangguh atau mengehadkan aktiviti lasak seperti berkayak, berbasikal, marathon, mendaki gunung dan aktiviti luar yang lain.

    “Memendekkan tempoh aktiviti di luar rumah seperti berkebun atau membersihkan laman rumah ataupun berehat secara berkala dan minum air kosong yang banyak setiap kali waktu rehat ketika melakukan aktiviti,” katanya.

    Selain itu, Dr. Rose Nani berkata, orang ramai juga disaran meminum air yang dimasak dengan secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.

    Katanya, orang ramai juga digalakkan untuk memakai pakaian yang ringan, cerah dan longgar bagi mengelak pemerangkapan haba selain mengelakkan memakai pakaian warna gelap, tebal dan ketat.

    “Orang ramai juga disaran memakai topi atau payung untuk melindungi diri daripada pancaran haba terus ke badan selain tidak duduk dalam kenderaan yang bertutup tanpa pendingin hawa,” katanya.

    Dalam pada itu, Dr. Rose Nani meminta orang ramai mendapatkan rawatan segera jika mengalami tanda-tanda awal kelesuan dan strok haba.

  • Zahid kena sedar diri, majoriti diperolehi PN luar biasa

    Zahid kena sedar diri, majoriti diperolehi PN luar biasa

    KEMENANGAN Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukannya disebabkan kesilapan rakyat memandangkan jumlah majoriti yang diperolehi gabungan itu dianggap luar biasa.

    Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, rakyat pada masa kini sudah pandai membuat penilaian sebaiknya dalam memilih parti yang dapat membela nasib mereka.

    Menurut Shahidan, berikutan itu, beliau juga menjangkakan Barisan Nasional (BN) dan parti penyokong kerajaan Perpaduan bakal berdepan laluan sukar bagi meraih sokongan rakyat pada Pihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    “Saya nak cakap tentang kenyataan (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) sebelum ini mengatakan kononnya pengundi yang melakukan kesilapan dengan memilih PN pada PRU15 lalu telah tersedar dan akan menyokong BN dalam PRN nanti.

    “Dia (Ahmad Zahid) yang seharusnya kena sedar majoriti yang diperolehi PN itu begitu luar biasa sedangkan beliau sendiri pun hanya dapat majoriti 348 undi sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitiri DUN Tambun Tulang di pekarangan tapak Pasar Malam Utan Aji, Kangar, semalam.

    Pada Jumaat lalu, Ahmad Zahid menzahirkan keyakinan bahawa pengundi yang telah melakukan kesilapan memilih PN dalam PRU15 lalu akan beralih sokongan bagi menyokong BN dan parti sekutunya dalam PRN tidak lama lagi.

    Katanya, BN bersama Pakatan Harapan (PH) yakin mampu menang di negeri-negeri majoriti Melayu yang ditadbir Pas di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Dalam pada itu, Shahidan berkata, rakyat kini sedang memerhati dengan rapat pentadbiran kerajaan dan PN sememangnya optimis dapat menewaskan lawan mereka dalam PRN berdasarkan momentum sokongan ditunjukkan pengundi pada masa kini.

    “Pengundi bukan silap sebab tak sokong BN, namun mereka silap kerana tak ubah seluruh negara kepada PN,” katanya lapor Utusan Malaysia.

    Dalam pada itu, Shahidan turut mengingatkan pengundi agar dapat membuat pilihan dengan sebaiknya memandangkan masa negara merupakan penentu bagi nasib anak-anak muda selepas ini.

    Tambahnya, berdasarkan pemerhatiannya, kebanyakan rakyat sememangnya tidak berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan pada masa kini yang dianggap lemah.

    “Disebabkan itu, saya juga akan ambil beberapa tindakan tertentu selepas ini untuk memperbetulkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan kerajaan bagi menegakkan keadilan buat rakyat,” katanya.

  • Cadangan meletakkan SPRM bawah EAIC sedang dibincangkan pegawai

    Cadangan meletakkan SPRM bawah EAIC sedang dibincangkan pegawai

    LIMA panel pengawasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin tidak diperlukan, jika agensi antirasuah itu diletakkan di bawah Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

    Bekas ahli panel perundingan dan pencegahan Rasuah, Walter Sandosam berkata, ini kerana fungsi lima jawatankuasa pengawasan itu akan bercanggah peranan EAIC.

    Panel pengawasan lain ialah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Jawatankuasa Aduan dan Panel Penilaian Operasi.

    Sandosam berkata, jawatankuasa itu perlu dibubarkan kerana ia tidak diperlukan di bawah EIAC.

    Fungsi suruhanjaya itu termasuk memantau operasi dan prosedur agensi penguatkuasaan.

    Beliau sebaliknya mencadangkan kerajaan mengukuhkan panel pengawasan SPRM, dengan melantik ahli yang secara umumnya bebas dan boleh berfikir dengan bijak.

    “Mereka harus datang daripada pelbagai latar belakang dan badan profesional.

    “Jika tidak, tiada gunanya melantik orang hanya untuk melengkapkan jumlahnya,” katanya sambil menambah beberapa ahli panel adalah bekas pegawai kerajaan yang menjadi pak turut.

    Seorang lagi bekas ahli panel pengawasan, Edmund Terence Gomez berkata, lima badan pengawasan SPRM perlu bebas daripada campur tangan politik, jika mereka mahu bebas sepenuhnya.

    “Perdana menteri mempunyai terlalu banyak pengaruh dalam melantik ahli panel dan ketua SPRM. Pada asasnya ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem itu,” kata pakar ekonomi itu kepada FMT.

    Beliau berkata, panel lembaga penasihat bebas perlu diberi kuasa untuk memilih ketua SPRM.

    Gomez meletak jawatan daripada panel pengawasan pada Disember 2021, selepas ia gagal membincangkan dakwaan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memiliki sejumlah besar saham korporat.

    Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan meletakkan SPRM di bawah bidang kuasa EAIC sudah dibincangkan pegawai.

    Bagaimanapun, sebuah gabungan pertubuhan masyarakat sivil berkata, langkah itu akan bercanggah semangat reformasi dan ketelusan kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

  • PM enggan lagi layan cubaan sabotaj

    PM enggan lagi layan cubaan sabotaj

    DATUK Seri Anwar Ibrahim tidak lagi akan melayan sebarang cubaan untuk menstabotaj Kerajaan Perpaduan.

    Tegas Perdana Menteri, meskipun terdapat beberapa percubaan menerusi akuan bersumpah (SD) dan sebagainya di peringkat awal, pentadbiran yang diterajuinya hari ini dilihat lebih kukuh dan meyakinkan.

    “Ini boleh dilihat selepas pemimpin parti-parti bersekutu menzahirkan komitmen terhadap Kerajaan Perpaduan menerusi Konvensyen Perpaduan yang berlangsung semalam.

    “Saya lebih yakin kerana konvensyen semalam menetapkan suatu bentuk kerajaan yang kukuh,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya hari ini.

    Menurutnya, prestasi negara semakin mantap sekiranya sesebuah kerajaan itu stabil dan pada jangka panjang iaitu sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

    “Jadi kena sabar dengan saya sementara ini. Untuk apa? Kalau saudara lihat angka-angka dari Jabatan Perangkaan (DOSM) menunjukkan suku tahun pertama jauh lebih baik daripada yang diunjurkan pada November dan Disember tahun lalu,” katanya.

    Beliau berkata, unjuran negara tidak sehebat dan sebaik sekarang dengan sasaran pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 4.45 hingga lima peratus.

    “Tetapi apa yang berlaku, suku pertama tahun ini menyaksikan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6 peratus, kadar inflasi dan jumlah pengangguran berkurangan serta pertambahan pelaburan,” katanya.

    Beliau berkata, kerajaan persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan yang menerima projek pelaburan harus bekerja sederap bagi memastikan momentum pertumbuhan yang lebih meyakinan.

    “Ini terserah kepada komitmen dan kesungguhan kita.

    “Mudah-mudahan dengan tarbiyah Ramadan, ia bukan sahaja dapat meningkatkan nilai, akhlak dan sahsiah tetapi juga komitmen bekerja kerana Allah SWT,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Kerajaan Madani boleh berubah bila-bila masa

    Kerajaan Madani boleh berubah bila-bila masa

    KERAJAAN gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh berubah bila-bila masa termasuk menggadaikan prinsip dan janji yang dilaungkan sebelum ini.

    Ketua Penerangannya, Ir Khairil Nizam Khirudin mendakwa, ini berlaku semata-mata bagi memenuhi kerakusan nafsu mereka untuk terus berkuasa.

    “Sikap cakap tidak serupa bikin ini yang menjadikan gelombang penolakan rakyat kepada Perdana Menteri terus kuat dan membesar apabila semakin ramai yang tersedar dengan penipuan demi penipuan oleh sosok tubuh yang dahulunya dijulang sebagai hero negara.

    “Rakyat tidak lupa kepada janji manis untuk menurunkan harga minyak dalam masa 24 jam selepas menjadi Perdana Menteri yang kali terakhir dilaungkan dengan penuh angkuh ketika Kongres Nasional PKR pada 17 Julai 2022.

    “Namun sehingga ke hari ini janji manis itu terus tinggal janji. Lebih perit lagi, Perdana Menteri pada 6 Mac yang lalu menyatakan bahawa kerajaan tiada berhasrat untuk menurunkan had harga siling petrol di negara ini,” katanya menerusi siaran dalam Facebook miliknya semalam.

    Khairil Nizam berkata, Anwar juga pada 22 Disember tahun lalu pernah menegaskan bahawa kerajaan akan menghentikan penganjuran majlis besar-besaran bagi mengelakkan pembaziran wang kerajaan.

    Namun, ujarnya, syawal tahun ini tetap diadakan majlis tersebut yang bukan sekadar satu bahkan digandakan kepada enam majlis rumah terbuka kerajaan di negeri berbeza.

    “Ia jelas menyanggah prinsip penjimatan wang kerajaan yang dilaungkan beliau beberapa bulan yang lalu,” katanya.

    Bukan sekadar itu katanya, rakyat juga masih ingat laungan prinsip Anwar yang tegas menolak nepotisme dan kronisme di dalam pentadbiran.

    “Namun prinsip tersebut tergadai begitu sahaja apabila Perdana Menteri itu melantik anaknya sendiri sebagai penasihat selain lantikan politik bertimbun-timbun yang telah dibuat oleh kerajaan pada hari ini,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

  • Akar umbi BN-PH berbelah bahagi seperti kerjasama UMNO-Pas dulu

    Akar umbi BN-PH berbelah bahagi seperti kerjasama UMNO-Pas dulu

    KETUA Pemuda UMNO Selangor, Imran Tamrin mendedahkan, akar umbi parti tersebut masih berbelah bahagi tentang kerjasama Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH), yang kini bersama dalam kerajaan perpaduan selepas berseteru sekian lama.

    “Ada kalangan akar umbi yang menyokong, berbelah bahagi, atau tidak bersetuju dengan gandingan BN-PH, namun tanggungjawab menuntut mereka ketepikan perasaan masing-masing.

    “Kalau PH salah, bukan semuanya salah dan boleh dijadikan pengajaran. Perlu jayakan aspirasi besar, iaitu ingin jayakan Malaysia Madani,” katanya kepada FMT baru-baru ini ketika ditanya sentimen dalam kalangan akar umbi terhadap kerjasama BN-PH.

    BN menyahut seruan membentuk kerajaan perpaduan bersama PH, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, dan Warisan atas saranan Istana Negara, selepas tiada parti mencapai majoriti kerusi mutlak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Imran berkata, gabungan itu sedang mencari titik persamaan di sebalik perbezaan mereka bagi menjayakan kerajaan perpaduan.

    “Betul ada beberapa kritikan dan juga perbezaan pandangan, tetapi ia ditangani dan diurus dengan baik,” katanya.

    Imran menyeru ahli UMNO mendahulukan kemahuan rakyat, di sebalik persepsi dan sentimen masing-masing.

    “Anak muda, khususnya pengundi baharu ingin melihat Pemuda UMNO bawa naratif politik matang dan progresif,” katanya, tentang cabaran meyakinkan akar umbi terhadap gandingan BN-PH.

    Imran bagaimanapun mendedahkan UMNO berdepan situasi sama sebelum ini, apabila ia perlu meyakinkan akar umbi BN tentang kerjasama dengan Pas selepas PRU14.

    “Tidak semua setuju dan tidak semua suka. Jadi perkara sama,” dedahnya.

    UMNO pernah menjalin kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional, namun berselisih selepas Pas berganding dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Mengenai pilihan raya negeri (PRN) Selangor akan datang, Imran berkata, PH dan BH sedar mereka perlu bertolak-ansur mengenai pengagihan kerusi. Pokoknya, kerusi di Selangor tidak boleh didominasi satu gabungan saja.

    “Kena ada kesefahaman dan ‘give and take’. Kita lihat matlamat lebih besar, iaitu untuk teruskan agenda rakyat.”