Author: Wartawan WartaRakyat

  • Penjana: SPRM tahan pengerusi eksekutif, pengurus syarikat buat tuntutan palsu

    Penjana: SPRM tahan pengerusi eksekutif, pengurus syarikat buat tuntutan palsu

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu daripada dua syarikat berbeza di Kuala Terengganu kerana disyaki mengemukakan borang pengesahan pekerja yang mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM250,000 kepada PERKESO di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA 2.0) sedangkan penama tersebut bukan pekerja syarikat terbabit.

    Astro Awani melaporkan menurut sumber, keempat-empat suspek iaitu masing-masing dua lelaki dan dua wanita berusia antara 29 hingga 63 tahun itu dipercayai ditahan kira-kira jam 3 petang Isnin di Kompleks SPRM Terengganu ketika diminta hadir untuk memberikan keterangan.

    Sumber berkata, tiga suspek merupakan dua pengurus syarikat dan seorang pengerusi eksekutif berusia 63 tahun adalah daripada syarikat yang menjalankan perkhidmatan sumber kemahiran manakala seorang lagi suspek lelaki berusia 29 tahun adalah pemilik syarikat komputer.

    “Syarikat yang menjalankan perkhidmatan sumber kemahiran ini dipercayai telah mengemukakan tuntutan palsu kira-kira lebih RM170,000 pada tahun 2020 hingga tahun 2021 manakala syarikat komputer itu pula mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM85,000 pada tahun 2021 hingga 2022,” kata sumber itu.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut berkata, kes disiasat mengikut Sesyen 18 Akta SPRM 2009.

    Beliau berkata, keempat-empat suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Selasa bagi tujuan permohonan reman.

  • Lelaki Pakistan rentung van terbakar langgar lori muatan batu

    Lelaki Pakistan rentung van terbakar langgar lori muatan batu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LELAKI warga Pakistan rentung selepas terlibat van dinaiki terlibat kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 52 Lebuhraya Utara Selatan, Simpang Renggam, Kluang kira-kira pukul 5.30 petang tadi.

    Kemalangan tersebut melibatkan sebuah van jenis Toyota Hiace, lori Isuzu, kereta Toyota Camry dan Honda Civic.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Penguasa Bomba Nizar Mamun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5.39 petang.

    Menurutnya, kemalangan tersebut melibatkan sebuah van jenis Toyota Hiace, lori Isuzu, kereta Toyota Camry dan Honda Civic.

    “Kejadian berlaku apabila van berkenaan yang dinaiki tiga lelaki semuanya dipercayai warga Pakistan terlibat kemalangan di arah utara lebuh raya itu dengan sebuah lori 5 tan yang membawa muatan batu.

    “Akibatnya van tersebut terbalik dan merempuh pembahagi jalan sebelum terbakar. Dua lelaki yang berada van berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi yang tidak dikenali idenditinya rentung,” katanya ketika dihubungi.

    Jelasnya, lori berkenaan turut terbalik dengan muatan batu berterabur atas jalan dan turut terpelanting ke laluan bertentangan.

    Pada masa sama katanya, kereta Toyota Camry dan Honda Civic datang dari arah bertentangan iaitu arah selatan tidak sempat mengelak muatan batu yang jatuh sehingga mengakibatkan kemalangan.

    “Pemandu lori berkenaan tidak diketahui cedera atau tidak kerana semasa bomba tiba dia sudah tidak berada di lokasi manakala empat mangsa dalam Toyota Camry dan seorang mangsa lelaki dalam Honda Civic selamat,” ujar beliau.

    Menurut Nizar yang juga Komander Operasi dari BBP tersebut, sembilan anggota sebuah jentera ‘Fire Rescue Tender’ (FRT) terlibat dalam operasi berkenaan yang selesai pada pukul 6.39 petang.

  • Mayat lelaki dalam tangki najis, polis buru suami isteri

    Mayat lelaki dalam tangki najis, polis buru suami isteri

    SEORANG lelaki warga Indonesia ditemukan maut dalam sebuah tangki najis dipercayai dibunuh di Kuala Kangsar, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat lelaki tersebut yang dianggarkan berusia 40-an pada 12.20 tengah malam.

    “Hasil siasatan di tempat kejadian telah menjumpai mayat di dalam sebuah tangki najis yang terletak di bahagian belakang sebuah rumah dalam keadaan berkain sarung dan berseluar dalam tanpa baju.

    “Hasil bedah siasat yang dijalankan pada hari ini di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh mendapati punca kematian adalah disebabkan trauma dipukul objek tumpul di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BERNAMA.

    Justeru, beliau berkata polis sedang mengesan pasangan suami isteri yang juga rakan serumah mangsa dipercayai telah melarikan diri, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar di talian 05-7762222 atau Pegawai Penyiasat ASP Mohd Subkey Alias di talian 013-9285436,” katanya.

  • Kalimah Allah : Dr.Zulkifli minta Saifuddin beri penjelasan kepada umum

    Kalimah Allah : Dr.Zulkifli minta Saifuddin beri penjelasan kepada umum

    ALIM Ulama dan Peguam Islam mula bersuara bagi melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap tindakan Kerajaan Madani melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan mengenai penggunaan kalimah Allah dałam kitab agama lain selain Islam.

    Datuk Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui Facebook beliau, meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi penjelasan kepada umum mengenai tindakan KDN itu.

    Beliau dengan tegas mengingatkan Saifuddin bahawa bahawa keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada tahun 2008 telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain harus dipertahankan oleh kerajaan.

    “Paling utama, keputusan untuk rayuan semula kes pada tahun 2021 adalah bagi menjunjung titah KDYMM Sultan Johor dan KDYMM Sultan Selangor, yang menitahkan Kerajaan Persekutuan pada ketika itu membuat rayuan semula bagi keputusan Mahkamah Tinggi tersebut,’’ katanya.

    Kata beliau,  rayuan tersebut dibuat atas dasar kesedaran akan keperluan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah, dan Solat kekal menjadi milik umat Islam di Malaysia.

    “Setelah segalanya lengkap, saya bentangkannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan proses rayuan oleh Kerajaan Persekutuan terdahulu melalui Kementerian Dalam Negeri dimulakan.”

    “Saya amat berharap Kerajaan Madani melalui Kementerian Dalam Negeri ada jawapannya. Ini kerana YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail selaku Menteri Dalam Negeri memaklumkan akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat berhubung isu kepentingan umat Islam ini,”katanya.

    Sementara itu,  Presiden Badan Peguam Syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mendedahkan KDN dan Kerajaan Malaysia telah menarik balik rayuan mereka terhadapa keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill Ireland binti Lawrence Bill menggunakan kalimah Allah dan beberapa kalimah lain bagi penggunaan orang bukan Islam dalam agama mereka.

    Katanya,  KDN telah menarik secara senyap-senyap rayuan tersebut pada 8 April 2023 yang lalu. 

  • Beberapa kali ini Anwar tuduh saya…tunjuk la bukti – Mahathir

    Beberapa kali ini Anwar tuduh saya…tunjuk la bukti – Mahathir

    TUN Dr Mahathir Mohamad menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti terhadap kenyataan yang mendakwa beliau menggunakan kuasa untuk memewahkan diri dan keluarga.

    Dr Mahathir juga sekali lagi mengulangi pendirian tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengisytihar harta kerana tegasnya, tiada perkara yang perlu disorokkan.

    “Datuk Seri Anwar kata dia telah isytihar harta. Saya juga telah isytihar harta beberapa kali semasa jadi Perdana Menteri dan ini juga pengetahuan umum. Yang jadi masalah ialah Anwar telah beberapa kali tuduh saya salah guna kedudukan semasa saya jadi Perdana Menteri untuk kayakan diri saya dan keluarga saya.

    “Maka saya ulang sekali lagi, tunjuklah bukti. Setakat cakap di atas pentas politik tanpa ada bukti ini siapa pun boleh buat,” katanya dalam satu hantaran pada Isnin.

    Pada 6 Mei lalu, Anwar mencabar bekas pemimpin dan pembesar yang mendapat keuntungan ketika era pemerintahan mereka untuk berkongsi kekayaan dengan orang Melayu yang lain.

    Jelas Anwar, ini kerana pemimpin-pemimpin berkenaan dilihat hanya mengaut keuntungan untuk diri sendiri dan keluarga ketika pentadbiran masing-masing.

    Namun begitu perkara tersebut dinafikan Dr Mahathir dengan mencabar Anwar untuk membuktikan dakwaan beliau memiliki sejumlah wang seperti yang dikatakan.

    Jelas bekas Perdana Menteri itu, sekiranya Anwar gagal mengemukakan bukti, beliau akan mengambil tindakan mahkamah.

    “Saya telah ambil tindakan mahkamah dan sehingga hari ini dia (Anwar) tidak pernah tunjuk bukti selain ke sana ke mari buat tuduhan terhadap saya. Sebaliknya, dia minta saya tunjuk bukti harta saya. Dia yang tuduh saya dan dia minta saya pula tunjuk bukti,” ujarnya.

  • Zahid cadang Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri

    Zahid cadang Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri

    AHMAD Zahid Hamidi mencadangkan supaya Konvensyen Nasional diadakan di peringkat negeri kerana ia berjaya mewujudkan keserasian antara pelbagai parti.

    Katanya, jika  langkah itu diambil, akar umbi semua parti dalam kerajaan perpaduan turut dapat memberikan pandangan.

    Selain itu, beliau yang juga Presiden UMNO  berkata, keserasian semua parti dapat menjawab tohmahan yang dilemparkan terhadap kerjasama yang dijalinkan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan. Ada bekas pemimpin UMNO yang merasakan bahawa tidak sepatutnya pemimpin parti tertentu berucap di Dewan Merdeka dan ini kononnya melunturi semangat nasionalisme.

    “Hakikatnya dalam politik, kita harus melihat dari segi dinamika, kerana ia bukan fokus kepada sesebuah parti atau individu tertentu tetapi kemajmukannya, dan perkara ini harus diakui sebagai sesuatu yang tidak boleh dielak dan harus disantuni.

    “Kita mahu negara ini menjadi sebuah negara yang progresif dan mempunyai kestabilan politik yang baik, dan pada masa yang sama pertumbuhan ekonomi yang baik demi kesejahteraan rakyat,” katanya selepas menghadiri jamuan Aidilfitri anjuran Majlis Profesor Negara, lapor Astro Awani.

    Ahmad Zahid  juga meminta agar semua pihak melupakan sengketa lama dan bersama-sama membina negara.

    Semalam, Kerajaan Perpaduan menganjurkan Konvensyen Nasional buat julung kali di WTCKL.

    Acara itu dibuka tirainya menerusi Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan dan Konvensyen Nasional Pemuda Puteri Kerajaan Perpaduan yang diadakan secara serentak.

    Ketika diminta mengulas kenyataan bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang menjangkakan parti itu bakal ditolak rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Ahmad Zahid menegaskan beliau tidak akan menghormati pandangan peribadi bekas Ahli Parlimen Ketereh itu.

  • Mayat nelayan dibaham buaya ditemui terapung

    Mayat nelayan dibaham buaya ditemui terapung

    MAYAT nelayan disyaki dibaham buaya ditemui terapung di di perairan Kampung Nala Lama Tungku, Lahad Datu hari ini.

    Mayat Rusbin Asri, 40, ditemukan oleh orang awam pada pukul 6.45 pagi tadi kira-kira 15 kilometer dari mangsa dilaporkan dibaham buaya dalam kejadian Jumaat lalu.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima laporan penemuan mayat itu daripada pihak polis.

    “Pasukan bomba dan agensi bantuan bergerak ke lokasi dan seterusnya mayat dibawa ke Kampung Makuau untuk proses pengecaman daripada pihak keluarga,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya, mangsa kemudian disahkan sebagai nelayan yang dilaporkan dalam kejadian ini dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan mangsa itu terdapat empat sangkar buaya telah dibuat pengecaman.

    “Ini bagi mengesan jika terdapat mangsa berada di dalam sangkar berkenaan, namun berikutan penemuan mayat itu operasi ditamatkan hari ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Media kelmarin melaporkan mangsa yang sedang memukat di pesisir pantai dipercayai dibaham buaya selepas bot yang dinaikinya terbalik manakala terdapat seekor buaya dilihat sedang melibas ekornya di lokasi sama.

  • Nama besar UMNO sertai Pas, Bersatu, PN diumum awal Jun – Ahmad Samsuri

    Nama besar UMNO sertai Pas, Bersatu, PN diumum awal Jun – Ahmad Samsuri

    PAS mengesahkan beberapa pemimpin politik yang mempunyai nama besar dengan sebahagian besar mereka daripada UMNO, akan menyertai parti itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Perikatan Nasional (PN) tidak lama lagi.

    Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, nama semua mereka akan diumumkan pada awal Jun nanti.

    “Mereka bakal menyertai Pas… sertai Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) pun ada… PN secara direct pun ada… insya-Allah.

    “Ada daripada UMNO, dan ada daripada lain-lain parti pun ada… ramainya daripada UMNO,” katanya lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Geran Hak Milik Tanah Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan, di Kuala Terengganu hari ini.

    Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa sudah memaklumkan hasrat untuk menyertai Pas.

    Perkembangan itu menyusul selepas bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor di bawah tiket PN.

    Sementara itu, ditanya adakah pemimpin nama besar terbabit akan diketengahkan sebagai calon dalam PRN nanti, Ahmad Samsuri berkata, itu bergantung kepada keadaan.

    Katanya sehingga kini, Pas belum memuktamadkan senarai calon yang akan bertanding dalam PRN.

  • Sultan Johor kecewa flat kos rendah macam ‘reban ayam’

    Sultan Johor kecewa flat kos rendah macam ‘reban ayam’

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kecewa terhadap keadaan bangunan, penyelenggaraan dan tahap kebersihan flat kos rendah di negeri itu yang disifatkan seperti ‘reban ayam’.

    “Saya melihat ada beberapa flat kos rendah di negeri ini dalam keadaan yang amat menyedihkan dan seolah-olah rakyat saya hidup dalam ‘reban ayam’,” titah Sultan Ibrahim kepada Royal Press Office menerusi Facebook baginda, hari ini

    Titah Sultan Ibrahim, kebanyakan flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi pelbagai sampah sarap yang dibuang merata-rata sehingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.

    “Saya harap kerajaan pusat akan berikan bantuan untuk baik pulih flat kos rendah yang lama dan penduduk juga mesti sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran kawasan flat mereka,” titah baginda.

    Sultan Ibrahim turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan perkhidmatan pembersihan dijalankan SWM Environment Sdn Bhd (SWM) di negeri itu.

    Baginda bertitah, kerajaan negeri terpaksa membayar hampir RM180 juta setiap tahun kepada SWM, namun perkhidmatan pembersihan atau pungutan sampah yang dijalankan langsung tidak memuaskan.

    “Malah perjanjian bersama SWM adalah ‘watertight’ seolah-olah tidak boleh dipertikaikan. Walaupun banyak aduan telah dibuat mengenai perkhidmatan SWM yang mengecewakan, namun keadaan masih tidak berubah,” titah Sultan Johor.

    Terdahulu, baginda berkenan menerima mengadap Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

    Sultan Ibrahim berkata, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan perlu mengambil perhatian perkara yang disampaikan baginda demi kepentingan rakyat.

  • PRN: PN muktamadkan agihan kerusi minggu depan

    PRN: PN muktamadkan agihan kerusi minggu depan

    PERIKATAN Nasional (PN) akan memuktamadkan agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini pada minggu depan.

    Pengerusi PN Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia akan dimuktamadkan oleh Majlis Presiden PN selepas menerima keputusan perbincangan daripada Jawatankuasa Perundingan antara Parti.

    “Apa yang boleh saya katakan perbincangan sesama kita di peringkat negeri-negeri berjalan dalam suasana harmoni dan mesyuarat tersebut akan memutuskan bilangan kerusi yang akan ditandingi PAS, Bersatu dan Gerakan,” katanya.

    Naib Presiden Pas itu bERkata, demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Geran Hak Milik Tanah Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan, di Marang hari ini.

    Dalam pada itu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, PN juga akan mengumumkan beberapa nama besar daripada pelbagai parti politik yang bakal menyertai gabungan itu, awal bulan depan.

    Ditanya sama ada nama-nama besar itu akan diangkat sebagai calon PN pada PRN, beliau berkata, ia bergantung kepada kesesuaian kawasan dan penerimaan rakyat selain menegaskan apa yang penting adalah kemenangan untuk gabungan.

    Enam negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. – Bernama