Author: Wartawan WartaRakyat

  • Sindiket judi kaut keuntungan RM100,000 sehari tumpas

    Sindiket judi kaut keuntungan RM100,000 sehari tumpas

    SATU sindiket judi online yang mampu meraih RM100,000 sehari berjaya ditumpaskan polis Pulau Pinang dalam serbuan di tiga lokasi berasingan di sekitar negeri itu pada Jumaat hingga Ahad lalu.

    Dalam serbuan di Bayan Baru; Butterworth dan Perai itu, tujuh individu warga tempatan termasuk seorang wanita berusia antara 20 hingga 30 tahun turut ditahan dipercayai anggota sindiket judi online terbabit.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah kondominum di Bayan Baru, kira-kira pukul 9 malam, Jumaat lalu, yang mana lima anggota sindiket iaitu empat lelaki dan seorang wanita ditahan.

    Ujar beliau, kondominium itu dipercayai dijadikan pusat panggilan (calling centre) sindiket judi berkenaan yang mana pelbagai peralatan antaranya komputer turut dirampas.

    “Susulan penahanan suspek-suspek ini, polis menyerbu sebuah lagi premis berhampiran kondominium berkenaan pada Sabtu lalu, namun premis ini tidak berpenghuni,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgetown hari ini.

    Menurutnya, pada Sabtu lalu juga iaitu kira-kira pukul 11 malam, polis menahan seorang lelaki warga tempatan di Butterworth sebelum seorang lagi suspek lelaki ditahan di Perai Ahad lalu, kira-kira pukul 7.30 malam.

    Ujar beliau, suspek yang ditahan bertindak sebagai operator ‘calling centre’ dan sindiket itu menggunakan aplikasi seperti Telegram, WeChat dan WhatsApp untuk mempromosi pelbagai permainan perjudian secara online menggunakan telefon.

    Jelasnya, sindiket itu menggunakan akaun bank yang didaftarkan di atas nama mereka dan dipercayai menggunakan beberapa akaun bank di dalam dan luar negara, malah turut melibatkan pelanggan di negara jiran.

    “Kita percaya terdapat tiga individu yang dipercayai menjadi ketua sindiket ini yang masih bebas dan usaha kini sedang giat dijalankan untuk mengesan mereka,” katanya.

    Tambah beliau, kesemua tangkapan ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

    Selain itu, tambahnya, polis turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan sindiket itu antaranya 34 buah telefon bimbit; lima keping kad rumah; wang tunai RM15,200; 10 buah komputer pelbagai jenama; lima buah kereta pelbagai jenama dan empat buah motosikal.

  • Isu Kalimah Allah: Kerajaan gagal pertahan kesucian Islam

    Isu Kalimah Allah: Kerajaan gagal pertahan kesucian Islam

    KERAJAAN Madani pada hari ini sekali lagi telah menunjukkan kebaculan mereka, apabila menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

    Keputusan untuk merayu bagi kes ini, sebelum ini, telah dibuat oleh Kerajaan PERIKATAN NASIONAL bagi memelihara kesucian kalimah Allah dan sensitiviti terhadap umat Islam di negara ini. Ia juga selaras dengan titah DYMM Sultan Selangor melalui Kenyataan Akhbar baginda pada 23 Mac 2021. Kenyataan DYMM Sultan Selangor juga menyokong penuh titah DYMM Sultan Johor yang meminta Kerajaan Persekutuan untuk membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi tersebut.

    Melihat kepada perkara ini, Kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Tinggi dengan memasukkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 12 Mac 2021. Namun, pada 18 April 2023, satu Notis Pemberhentian telah dimasukkan oleh Kementerian Dalam Negeri. Menurut kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam kenyataan beliau hari ini, keputusan menarik balik kes ini adalah keputusan Kementerian Dalam Negeri dan telah dimaklumkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

    Ternyata, Kerajaan Madani hari ini tampak terlalu terdesak untuk meraih sokongan bukan-Islam menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlaku melibatkan enam buah negeri. Tindakan penarikan semula rayuan penggunaan kalimah Allah ini membuktikan mereka tidak mengambil berat isu sensitiviti umat Islam di Malaysia, bahkan sanggup melanggar dan menderhakai titah Sultan Selangor dan Sultan Johor yang mahukan rayuan terhadap kes ini diteruskan.

    Jelas, Sultan dan Raja-raja Melayu, selaku ketua agama Islam di negeri Baginda, amat risau dan mengambil berat akan soal ini dalam memelihara akidah umat Islam di negeri mereka. Malangnya, dengan tanpa segan silu, kerisauan Baginda-baginda tidak dipedulikan, malah dilanggar oleh Kerajaan Madani. 

    Tindakan ini juga bakal mengundang ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk, yang hidup berpaksikan hormat menghormati antara agama dan ajaran masing-masing. Keputusan ini sudah pasti mengguris perasaan seluruh umat Islam di Malaysia, serta mengundang kepada kepincangan dan ketidakharmonian kaum. 

    Sudah tiba masanya umat Islam di Malaysia melihat bagaimana tidak seriusnya Kerajaan Madani gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, dalam menguruskan kemajmukan masyarakat serta memelihara kesucian agama Islam sebagai agama Persekutuan.

    Biarlah sejarah mencatat kegagalan ini sebagai ‘sumbangan’ dari Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Afnan Hamimi Taib Azamudden adalah Ahli Parlimen Alor Setar

  • Darurat diisytiharkan bila gelombang haba makin membimbangkan – Ahmad Zahid

    Darurat diisytiharkan bila gelombang haba makin membimbangkan – Ahmad Zahid

    KERAJAAN sedia mengaktifkan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20 termasuk mengisytiharkan darurat sekiranya keadaan gelombang haba akibat Fenomena El-Nino semakin membimbangkan.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagaimanapun buat masa ini kerajaan tidak bercadang berbuat demikian, lapor Berita Harian.

    “Darurat? Belum lagi tetapi kita sudah bersedia. Kita gunakan arahan No. 20 MKN sebagai melaksana langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini.

    “Kita pakai arahan No. 20…kita sedang pantau 24 jam kalau ada darurat kita akan buat pengumuman. Buat masa ini belum lagi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di Putrajaya hari ini.

    Beliau berkata demikian sama ada kerajaan akan mengisytiharkan perintah Darurat berikutan gelombang haba yang melanda negara ketika ini.

    Berdasarkan Perkara 25 Arahan MKN No. 20, Pengisytiharan Darurat Bencana, apabila perlu, dibuat secara peraturan pentadbiran dan eksekutif oleh Perdana Menteri atas syor JPBP, tertakluk kepada undang-undang dan tatacara kerajaan yang sedang berkuatkuasa.

    Apabila diisytiharkan sebagai Darurat Bencana, pengurusan Bencana serta bantuan dan pemulihan kepada mangsa bencana akan dikendali dan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan mengikut kementerian atau jabatan berkaitan.

    Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan darurat iklim sebelum ini menggesa kerajaan mengkategorikan gelombang haba sebagai darurat bencana.

    Gabungan itu berkata, kerajaan perlu segera memperkenalkan langkah segera bagi menangani impak akibat cuaca panas melampau untuk menjamin keselamatan rakyat dan melindungi golongan berisiko.

    Menurut mereka, kematian yang berlaku di Kelantan baru-baru ini akibat strok haba menunjukkan betapa gentingnya situasi yang sedang dihadapi.

  • Azriyani jemput semua ke rumah sebelum maut bersama 4 anak

    Azriyani jemput semua ke rumah sebelum maut bersama 4 anak

    AZRIYANI Abdul Latif, 45, yang maut bersama empat anak dalam nahas di Kilometer 310.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, dekat Kampar, awal pagi tadi, dalam perjalanan pulang ke kampung di Tapah untuk membawa bapanya ke hospital.

    Menurut anaknya, Ahmad Danish Basyir Nasaruddin, 16, ibu bersama empat adik beradiknya bertolak dari rumah mereka di Kuala Kangsar lewat malam tadi ke rumah kampung di Tapah Road kerana datuknya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan, dijadualkan pagi ini.

    Menurut anak keempat daripada lapan beradik itu, dia diberitahu mengenai kejadian menimpa ibu, abang dan tiga adiknya itu oleh kakak saudara, kira-kira pukul 7.30 pagi tadi ketika berada di sekolahnya, Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh.

    Ketika ditemui pemberita di luar Unit Forensik, Hospital Kampar, di Kampar hari ini, Ahmad Danish Basyir berkata, dia pada mulanya tidak percaya dengan apa yang diberitahu oleh kakak saudaranya itu.

    “Waktu itu saya tak percaya, takut dia main-main, tapi selepas cikgu panggil saya, maka saya percaya dan terus datang sini (hospital). Saya diberitahu, emak dan lain-lain ke Tapah sebab nak bawa datuk jalani pemeriksaan di hospital yang sepatutnya pagi ini,” katanya.

    Nahas pukul 2.27 pagi tadi itu turut mengorbankan anak sulung Azriyani, Muhammad Azib, 23; anak keenam, Siti Nur Aminah, 8; anak ketujuh, Muhammad Fawwaz, 7, dan anak bongsu, Ahmad Uwais Al Qorni, 5.

    Proton Saga dinaiki keluarga itu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar belakang lori membawa muatan pasir, menyebabkan Ahmad Uwais Qorni, Siti Nur Aminah, Muhammad Azib dan Azriyani maut di tempat kejadian, manakala Muhammad Fawwaz meninggal dunia di Hospital Tapah.

    Ahmad Danish Basyir berkata, dia terlalu rapat dengan Ahmad Uwais Al Qorni dan kali terakhir mereka berkumpul sekeluarga ialah ketika cuti perayaan Aididilfitri lalu sebelum pulang ke asrama sekolahnya.

    “Adik bongsu amat rapat dengan saya, dia manja dan kami kerap tidur satu bilik. Ketika hantar saya ke asrama, emak pesan agar pandai jaga diri ketika di asrama, belajar rajin-rajin, jangan buat masalah,” katanya.

    Sementara itu, sepupu Azriyani, Nur Haniza Abdul Hamid, 36, Azriyani menjemputnya datang ke rumah di Taman Bunga Raya, Kuala Kangsar, melalui aplikasi WhatsApp semalam.

    “Semalam kali terakhir saya berhubung dengan arwah melalui WhatsApp, dia jemput semua datang ke rumahnya sempena Syawal yang masih berbaki. Kali ini, semua akan datang rumahnya (untuk majlis pengkebumian),” katanya, lapor Berita Harian.

    Menurut Nur Haniza, lima beranak itu dijangka dikebumikan di Kampung Paya Panjang, Padang Rengas.

  • PRN: ADUN Jeram sedia sokong PN elak pecah undi Melayu

    PRN: ADUN Jeram sedia sokong PN elak pecah undi Melayu

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd. Shaid Rosli bersedia menyokong Perikatan Nsional (PN) sekiranya tidak mempertahankan kerusi dimenanginya bagi memastikan undi kaum Melayu tidak berpecah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

    “Undi kaum Melayu sangat penting bagi menentukan parti yang menjadi pilihan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram.

    “Saya tidak teragak-agak menyokong PN walaupun mereka tidak menerima saya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Jamuan Raya Aidilfitri DUN Jeram di Bandar Puncak Alam, di Puncak Alam hari ini.

    Beliau yang juga Penyelaras Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Parlimen Kuala Selangor berkata, pengundi dijangka memilih parti yang lebih dominan dan bukan individu.

    Pihaknya sedia maklum Pejuang tidak begitu kuat dan tidak nampak penerimaan orang ramai untuk parti Pejuang.

    “Walaupun Pejuang terdiri daripada pemimpin tak ada kes rasuah, mahkamah dan salah guna kuasa sebagainya tetapi rakyat masih memilih parti,” jelas beliau.

    Bagaimanapun, Mohd. Shaid menjelaskan beliau juga bersedia jika dicalonkan semula mewakili Pejuang dan bertanding atas logo PN sekiranya ada kerjasama antara kedua-dua parti.

    “Jika Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) minta saya bertanding dalam satu logo gabungan parti Melayu, saya sedia bertanding ikut nasihat.

    “Saya yakin dan percaya antara logo parti Melayu yang diterima rakyat adalah PN,” jelas beliau.

    Ditanya kemungkinan beliau kembali kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Shaid menegaskan, beliau tidak menyertai mana-mana parti dalam PN dan akan terus bersama Pejuang.

    “Saya sudah ada parti dan tidak ada sebab untuk saya kembali kepada Bersatu atau pun Pas,” katanya.

    Mengulas mengenai keputusan PN menolak permohonan Pejuang menyertai gabungan itu, beliau berkata, setakat ini Pejuang masih tidak menerima surat penolakan tersebut.

    Ujarnya lagi, Pejuang yang mengadakan mesyuarat di peringkat majlis tertinggi parti juga sering membincangkan penyertaan dalam PN.

    “Penolakan penyertaan Pejuang (dalam PN) hanya dikhabarkan melalui media tetapi kami tidak terima surat rasmi daripada PN.

    “Kita hendak tahu surat (penolakan) itu dan jangan hanya mereka maklum pada media sahaja,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • 2 pengarah syarikat direman bantu siasatan kes rasuah Penjana lebih RM400,000

    2 pengarah syarikat direman bantu siasatan kes rasuah Penjana lebih RM400,000

    DUA pengarah syarikat di Pulau Pinang direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu membabitkan dana insentif Program Penjana Kerjaya membabitkan nilai lebih RM400,000.

    Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 35 dan 62 tahun itu dikeluarkan Majistret, Mohamad Azlan Basri selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret, kira-kira pukul 10 pagi ini.

    Menurut sumber SPRM, suspek didakwa mengemukakan tuntutan kononnya mengendalikan program pengambilan dan latihan pekerja kepada pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagaimanapun ia tidak dilaksanakan meskipun tuntutan kepada kerajaan telah dibuat.

    Kedua-dua suspek yang merupakan pengarah syarikat berkaitan import tekstil dan syarikat barangan lusuh itu diwakili peguam daripada firma guaman, Partibhan & Co. dan Anba & Associates.

    Kedua-dua suspek ditahan menerusi Ops Hire 2.0 iaitu operasi bagi mengekang penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan hasil tuntutan palsu yang dibuat oleh pengarah-pengarah syarikat menerusi program insentif pengambilan pekerja dan program latihan (Penjana).

    Terdahulu, media melaporkan seramai 47 individu lagi ditahan SPRM berhubung kes tuntutan palsu membabitkan dana insentif Program Penjana Kerjaya di seluruh negara melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM63 juta.

    Mengikut sumber, kesemua suspek terdiri daripada 33 lelaki dan 14 wanita ditahan menerusi Op Hire yang dijalankan serentak di seluruh negara sejak semalam.

    Kata sumber itu, kesemua tangkapan terdiri daripada pemilik syarikat, pengarah dan pengurus syarikat membabitkan 51 syarikat yang dikenal pasti SPRM melakukan tuntutan dengan nilai keseluruhan RM63 juta.

  • ‘Kalimah Allah’: Kerajaan gagal pertahan aspirasi masyarakat Islam

    ‘Kalimah Allah’: Kerajaan gagal pertahan aspirasi masyarakat Islam

    Oleh WAN ROHIMI WAN DAUD

    LUJNAH Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM) mengamati dengan mendalam perkembangan terbaru berkenaan kes ‘kalimah Allah’, (Jill Ireland Binti Lawrence Bill lwn Menteri bagi Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia) dan mendapati, berdasarkan kepada rekod-rekod awam seperti berikut:-

    1. Mahkamah Tinggi pada 10 Mac 2021, telah memutuskan bahawa arahan Kementerian Dalam Negeri pada tahun 1986 untuk melarang penggunaan 4 kalimah termasuk Allah, Baitullah, Kaabah dan Solat dalam penerbitan agama Kristian adalah tidak berperlembagaan, dan tidak sah di sisi undang.
    2. Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia melalui Peguam Negara telah memfailkan Notis Rayuan pada 12 Mac 2021 untuk merayu ke Mahkamah Rayuan.
    3. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) telah diberikan hak oleh Mahkamah Rayuan untuk menjadi sahabat Mahkamah (amicus curae) dalam penghujahan yang akan diadakan di Mahkamah Rayuan.
    4. Mahkamah Rayuan telah menetapkan rayuan tersebut untuk pengurusan kes pada 19 Mei 2023.
    5. Tanpa apa-apa hebahan kepada umum, Menteri Dalam Negeri telah membuat keputusan untuk menarik semula rayuan tersebut, dan melalui satu nota kepada Jemaah Menteri, KDN telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri tentang keputusan tersebut.
    6. Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia, selaku perayu melalui Peguam Negara telah memfailkan Notis Pemberhentian pada 18 April 2023 bagi menyatakan niat untuk tidak meneruskan rayuan dan memberhentikan keseluruhan rayuan.

    Berdasarkan kepada kronologi fakta-fakta yang jelas di atas, LUHAM melahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap keputusan Kerajaan Madani untuk menarik balik rayuan tersebut atas faktor-faktor berikut:-

    i. Rayuan tersebut adalah penting untuk membolehkan Mahkamah Rayuan iaitu Mahkamah Atasan untuk menyemak dan menilai semula keputusan Mahkamah Tinggi dan alasan-alasan yang diberikan. Notis Rayuan yang difailkan 2 hari selepas keputusan Mahkamah Tinggi tersebut menunjukkan betapa seriusnya Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Persekutuan (Perikatan Nasional) sebelum ini, untuk berhujah semula bagi mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi.

    ii. Keputusan Mahkamah Tinggi tersebut telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan penganut agama Islam, dan adalah penting untuk Mahkamah Atasan menilai semula keputusan tersebut untuk melihat rasional dan kemunasabahan keputusan Kementerian Dalam Negeri yang dibuat tahun 1986.

    iii. Keputusan Mahkamah Atasan adalah penting untuk menjadi pedoman yang mengikat Mahkamah-Mahkamah bawahan, dan merupakan binding precedent berbanding keputusan Mahkamah Tinggi.

    Oleh yang demikian, LUHAM menuntut Kerajaan Madani khususnya Menteri Dalam dan Peguam Negara Malaysia untuk menjawab dan memberi penjelasan terhadap persoalan-persoalan berikut:-

    i. Sama ada keputusan menarik balik rayuan tersebut melalui Nota Kabinet telah diperhalusi oleh anggota-anggota Kabinet, dan sama ada terdapat apa-apa bantahan daripada mana-mana ahli kabinet Kerajaan Madani?

    ii. Sama ada KDN telah membuat konsultasi dan/atau libaturus dengan MAIS, MAIWP dan MAIK yang merupakan Sahabat Mahkamah (amicus curae) sebelum membuat keputusan?

    iii. Sama ada KDN telah membuat konsultasi dan/atau libaturus dengan semua pemegang taruh termasuk institusi diraja yang merupakan ketua agama Islam dalam isu yang berkait agama Islam ini?

    iv. Sama ada KDN telah membuat keputusan menarik balik rayuan tersebut atas desakan atau tekanan pihak-pihak tertentu?

    v. Kenapa KDN memfailkan Notis Pemberhentian untuk menarik balik rayuan tersebut tanpa apa-apa hebahan dibuat kepada masyarakat umum, yang mempunyai hak untuk mendapat maklumat tentang isu-isu terkait amalan agama Islam dan juga peaceful co-existence di negara ini?

    LUHAM juga menzahirkan keterkilanan yang mendalam lantaran daripada tindakan Kerajaan Madani tersebut yang jelas kelihatan sangat lemah dan gagal mempertahankan aspirasi masyarakat Islam di negara ini, bahkan sanggup mensesiakan peluang untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Tinggi tersebut di Mahkamah Atasan, justeru memperlihatkan bahawa sensitiviti masyarakat Islam di negara ini tentang isu tersebut tidak penting bagi Kerajaan Madani.

    ‘Islam Memimpin Perpaduan’

    WAN ROHIMI WAN DAUD, Pengerusi Lujnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM), Pas Pusat

  • Ummah bantah tarik balik rayuan guna kalimah Allah

    Ummah bantah tarik balik rayuan guna kalimah Allah

    Oleh DR. KAMARUZAMAN YUSOFF

    GERAKAN Pembela Ummah (Ummah) mengikuti secara rapat tindakan Kerajaan Madani yang telah menarik balik rayuan keputusan mahkamah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah. Surat penarikan bertarikh 18 April 2023 adalah dirujuk.

    Ummah dengan ini membantah sekeras-kerasnya tindakan ini.

    Ini bermakna bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh mana-mana bukan Islam secara bebas yang dikhuatiri akan mengelirukan umat Islam khususnya generasi anak muda.

    Ummah menzahirkan rasa terkilan dan terkejut dengan keputusan ini, ditambah lagi keputusan yang dibuat secara unilateral ini seolah-olah menjatuhkan kredibiliti pihak-pihak berkepentingan yang bertanggungjawab dalam urusan hal ehwal Islam seperti Majlis Raja-Raja Melayu, Majlis Agama Islam negeri-negeri dan pelbagai institusi lain dalam negara ini.

    Ummah turut menggesa agar YB Menteri Agama mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung keputusan drastik Kerajaan Madani. Hal ini kerana isu ini adalah isu yang berkait rapat dengan portfolio di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

    Sekiranya tiada penegasan daripada pihak berautoriti, dibimbangi akan ada kelompok yang akan bertindak ekstrem dan boleh mewujudkan perasaan tidak senang, tidak selamat, dan menggugat keharmonian serta kesejahteraan hubungan antara kaum.

    Ummah mendesak supaya pihak berwajib memikirkan semula tindakan ini dan meneruskan proses rayuan seperti sepatutnya.

    Sehubungan dengan itu, suatu sidang meja bulat (RTD) akan diadakan oleh pihak Ummah bersama-sama NGO Islam serta pelbagai pihak lain dalam masa terdekat.

    DR. KAMARUZAMAN YUSOFF
    Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah)

  • Kes kalimah Allah: KDN terlalu sambil lewa

    Kes kalimah Allah: KDN terlalu sambil lewa

    DEWAN Ulamak Pas Pusat (DUPP) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi penjelasan sebenar sebab menarik rayuan dalam kes Jill Ireland Lawrence Bill, seorang wanita Kristian dari Sarawak yang menggunakan kalimah Allah atas tujuan agamanya.

    Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya berkata, rayuan itu sepatutnya dilaksanakan selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 membenarkan Jill Ireland menggunakan kalimah Allah, Baitullah, kaabah dan solat dalam agama Kristian.

    “DUPP berpandangan, keputusan KDN menarik balik rayuan dalam kes tersebut menggambarkan sikap sambil lewa dan tidak benar-benar meneliti justifikasi penghujahan kes tersebut dengan mendalam.

    “KDN tidak mengambil berat pendirian Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) yang menjelaskan bahawa lafaz Allah SWT adalah khusus kepada umat Islam sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau menegaskan, lafaz tersebut serta perkataan kaabah, solat serta Baitullah seharusnya dilindungi melalui undang-undang daripada sebarang bentuk dan potensi disalahgunakan.

    “Ironinya, kerajaan yang menguar-uarkan slogan madani tidak langsung serius melihat perkara ini,” ujar Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

    Justeru katanya, DUPP menegaskan supaya pihak KDN mengambil langkah berani dan konsisten iaitu meneruskan rayuan kes Jill Ireland.

    “Tidak seharusnya kes sebegini dipandang enteng oleh kerajaan memandangkan implikasi kepada masa depan agama itu sendiri,” tambahnya.

  • Mangsa kelima nahas kereta, lori di Kampar meninggal dunia

    Mangsa kelima nahas kereta, lori di Kampar meninggal dunia

    KANAK-KANAK yang parah dalam kemalangan di Kilometer 310.2 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan, dekat Kampar, hari ini, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tapah, pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Suptenden Mohamad Nazri Daud berkata, Muhammad Fawwaz Nasaruddin, 7 tahun, disahkan meninggal dunia pukul 9.20 pagi, lapor Astro Awani.

    Terdahulu, media melaporkan empat beranak maut manakala seorang lagi parah, apabila kereta yang mereka naiki dipercayai melanggar belakang sebuah lori tanah sebelum terbakar di Kilometer 310.2 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan, Kampar, awal pagi ini.

    Mangsa yang maut ialah Azriyani Abdul Latif, 45, dan tiga anaknya, Muhammad Azib, 23 tahun, Siti Nur Aminah, 8 tahun, dan Ahmad Uwais Al Qorni, 5 tahun.

    Muhammad Fawwaz, yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Tapah.

    Mohamad Nazri dalam kenyataan sebelum ini berkata, siasatan awal mendapati, kereta yang dipandu Muhammad Azib dari arah Ipoh ke Kuala Lumpur.

    Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian kereta berkenaan telah melanggar bahagian belakang lori di lorong sebelah kiri.

    Katanya, bedah siasat akan dilakukan di Hospital Kampar pagi ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.