Author: Wartawan WartaRakyat

  • Chef Wan Noor bersyukur 14 kali dapat berkhidmat sambil mengumpul pahala di Mekah

    Chef Wan Noor bersyukur 14 kali dapat berkhidmat sambil mengumpul pahala di Mekah

    TAHUN ini kali ke-14 Wan Noor Zamran Hashim bertugas di Tanah Suci Mekah sebagai tukang masak yang bertanggungjawab untuk menyediakan hidangan bagi petugas-petugas Lembaga Tabung Haji (TH).

    SINAR HARIAN melaporkan, bagi anak kelahiran Ipoh, Perak berusia 52 tahun itu, peluang dapat menyumbang kepakaran di bumi penuh barokah ini adalah cukup berharga dalam hidupnya kerana dapat berkhidmat sambil mengumpul pahala.

    “Pertamanya nak ucap terima kasih kepada TH kerana memilih saya untuk berkhidmat kepada petugas yang akan menyantuni Dhuyufurrahman. Secara tidak langsung saya juga dapat tempias pahala yang ada pada petugas. Itu antara kelebihan yang kita minta daripada Allah SWT supaya kami juga mendapat rahmat-Nya.

    “Selain itu sepanjang pengalaman lalu saya berpeluang berkhidmat kepada jemaah apabila dikehendaki menyediakan masakan kepada jemaah haji yang sakit mengikut keperluan diminta oleh hospital.

    “Itulah perasaan saya, rasa syukur tidak terhingga dan bertuah dapat berkhidmat di bumi ini kerana pada usia sebegini, kita sehabis baik mahu mencari peluang untuk menambah pahala,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan ibadah haji.

    Menyoroti kembali bagaimana boleh terpilih untuk ke Tanah Suci, beliau yang mesra disapa Cef Wan Noor berkata, semuanya bermula pada tahun 2008 apabila dirinya terlibat dalam program pemasaran demonstrasi masakan sebuah syarikat rempah ratus di Malaysia.

    “Kebetulan pihak TH berminat dengan produk itu dan mahu cef yang memasak hidangan pada masa itu turut dibawa bersama ke Tanah Suci. Bermula dari saat itulah saya sering mendapat peluang ke Makkah untuk berkhidmat,” katanya.

    Di samping itu, Wan Noor berkata, kenangan dapat menyediakan hidangan kepada beberapa orang kenamaan juga adalah pengalaman yang amat bernilai bagi dirinya.

    Antaranya mengendalikan santapan untuk Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; bekas Menteri Agama, Datuk Dr Mujahid Yusof dan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

    Menyentuh mengenai tugasan kali ini, Wan Noor yang merupakan seorang usahawan dan mempunyai perniagaan kedai kek dan kilang biskut di Petaling Jaya bekerjasama dengan dua orang cef berpengalaman iaitu Cef Muhamad Ramli, 36, dan Cef Yusairi Mustafa, 45, yang kedua-duanya adalah tukang masak di hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

    Mereka bertanggungjawab memasak untuk petugas-petugas di ibu pejabat TH di bandar Mekah dan juga di semua bangunan TH termasuklah 12 maktab di sekitar Mekah.

    “Kami mulakan operasi seawal jam 3 atau 3.30 pagi mengikut keperluan dan makanan yang disediakan ialah tiga hidangan utama iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam.

    “Biasanya sarapan pagi, kita sediakan menu yang mempunyai citarasa Malaysia supaya hidangan yang disediakan di sini sama seperti di tanah air,” katanya.

    Ujar beliau lagi, pihaknya akan berusaha masak hidangan seperti di Malaysia agar petugas yang berkhidmat dapat menghilangkan penat lelah apabila merasai masakan yang seolah-olah berada di tempat sendiri.

    “Kami berkhidmat untuk memberi makanan kepada semua petugas supaya mereka terubat rasa rindu kepada kampung halaman, jadi tidak rasa sedih berjauhan dengan keluarga sambil berkhidmat.

    Sebagai tukang masak, mereka perlu kreatif bagi memenuhi selera petugas yang mempunyai pelbagai latar belakang contohnya terdapat sesetengah petugas yang gemarkan masakan kari tetapi tidak menarik minat orang lain.

    “Jadi kita kena masak menu yang dapat memenuhi keperluan semua seperti nasi ayam yang diketahui boleh menepati selera ramai.

    “Syukur kepada Allah kerana di sini juga kita tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan bahan mentah yang segar kerana banyak pasar segar yang menjual ikan,ayam, daging, sayuran dan buah-buahan yang memudahkan tugas kami sebagai tukang masak,” katanya.

  • Isu Kalimah Allah: Di mana sensiviti Kerajaan?

    Isu Kalimah Allah: Di mana sensiviti Kerajaan?

    PAS Negeri Selangor kesal dengan tindakan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Madani yang menarik semula rayuan KDN kepada Mahkamah Tinggi pada 12 Mac 2021 berkait keputusan larangan penggunaan 4 kalimah Allah yang diputuskan sebagai tidak sah. 

    Tindakan ini jelas menzahirkan sikap tidak prihatin dan peka akan sensitiviti umat Islam di Malaysia dan sikap tidak serius kerajaan berkaitan hal ehwal Agama Islam.

    Walaupun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah memberikan penjelasan mengenai tindakan kementeriannya menarik semula rayuan penggunaan kalimah Allah, penjelasan tersebut adalah tidak selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. 

    KDN juga perlu mengiktiraf keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada tahun 2008 yang memutuskan bahawa lafaz Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama lain.

    Pas Selangor berpendirian bahawa kes tersebut bukan hanya berkaitan dengan isu pentadbiran dan keselamatan, tetapi turut membabitkan akidah dan pentadbiran Islam di bawah bidang kuasa DYMM Sultan sebagai Ketua Agama Islam di Negeri.

    KDN perlu bersikap tegas dengan mempertahankan agama Islam sebagai agama yang suci di negara ini. 

    Nushi Mahfodz adalah Ketua Penerangan Pas Negeri Selangor

  • Anak syarikat Boustead dapat kontrak kapal selam RM140 juta

    Anak syarikat Boustead dapat kontrak kapal selam RM140 juta

    ANAK syarikat Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) mendapat dua kontrak kapal selam berjumlah RM140 juta daripada Kementerian Pertahanan.

    Dalam pemfailan Bursa, BHIC berkata, BHIC Submarine Engineering Services Sdn Bhd (BSES) diberikan kontrak bagi sokongan dalam perkhidmatan sementara untuk ‘Kapal Selam Kelas Perdana Menteri’ Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    Tempoh kontrak bernilai RM99.8 juta itu sehingga 14 Feb 2024. Kontrak kedua berjumlah RM40.2 juta sehingga 31 Dis itu ialah lanjutan bagi menyelenggara kemudahan kapal selam TLDM.

    Surat tawaran itu diserahkan kepada BSES pada 5 Mei lalu dan diterima syarikat terbabit semalam.

    BHIC ialah anak syarikat Boustead Holdings Bhd.

    TLDM memiliki dua kapal selam Scorpene yang berpangkalan di Sepanggar, Sabah.

    “Selain Aziah Ali dan Salihin Abang, yang juga pengarah BHIC serta BSES, tiada pengarah atau pemegang saham utama syarikat itu atau individu berkaitan mereka mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak itu.

    “Kontrak itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan BHIC Group bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023,” menurut BHIC, lapor FMT.

    BHIC dikaitkan dengan projek kontroversi kapal tempur pesisir (LCS). Syarikat itu menyahklasifikasi laporan audit forensiknya terhadap projek RM9 bilion pada Ogos 2022.

    BHIC ialah pemegang saham utama Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, syarikat yang menerima kontrak Kementerian Pertahanan untuk membina enam kapal dalam projek LCS.

    Menurut laporan nyahklasifikasi BHIC, tiga firma didakwa digunakan untuk menyeleweng RM23.37 juta daripada projek LCS.

    Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dilaporkan berkata, RM6 bilion dibelanjakan ke atas projek itu sejak 2014, tetapi tiada sebuah pun kapal yang siap dibina dan diserahkan kepada TLDM.

    BHIC mencatatkan kerugian RM28.1 juta dalam suku keempat 2022 berbanding keuntungan bersih RM564,000 pada suku ketiga.

  • Coldplay: Kerajaan Madani tapi import budaya negatif

    Coldplay: Kerajaan Madani tapi import budaya negatif

    BARISAN Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) mempersoalkan kewajaran Kerajaan Madani mengalu-alukan kedatangan kumpulan rock terkenal British, Coldplay untuk mengadakan konsert jelajahnya di Malaysia, November depan.

    Presidennya, Zamani Ibrahim berpandangan, tindakan itu seolah-olah tidak seiring dengan makna ‘Kerajaan Madani’ yang sepatutnya menjadi pemerintahan membina kemanusiaan dengan nilai akhlak mulia bagi sebuah negara.

    “Atas faktor tersebut beliau hairan bagaimana kerajaan hari ini boleh menekankan mengenai Kerajaan Madani, namun dalam masa sama mengimport budaya boleh merosakkan anak watan.

    “Kerajaan Madani bila bercakap berkaitan Coldplay, saya hairan kenapa dikatakan (diucap) selamat datang ke Malaysia, sedangkan kerajaan Madani adalah kerajaan membina kemanusiaan untuk membina nilai akhlak mulia bagi sebuah negara yang rakyatnya hebat.

    “Apakah ini yang kita harapkan? Bercakap mengenai kerajaan Madani, tetapi kita mengimport perkara yang boleh merosakkan anak watan,” soalnya mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini mengalukan-alukan kedatangan kumpulan Coldplay ke Malaysia untuk menjayakan konsertnya pada 22 November.

    Zamani menambah, kerajaan tidak sepatutnya mengorbankan akhlak kemanusiaan dan nilai negara demi keuntungan cukai hiburan yang tidak seberapa.

    “Jadi, kalau kita memandang nilai cukai hiburan itu lebih penting daripada nilai kemanusiaan negara kita, maka saya rasa kerugian kepada negara kita sedangkan pemimpin bertanggungjawab di atas penjagaan kepimpinannya.

    “Maka, kerajaan bertanggungjawab memastikan tidak berlaku apa-apa kerosakan moral akhlak pada anak watan pada negara kita ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Pensyarah wanita kerugian lebih RM2.5 juta diperdaya Macau Scam

    Pensyarah wanita kerugian lebih RM2.5 juta diperdaya Macau Scam

    SEORANG pensyarah wanita mendakwa kerugian lebih RM2.5 juta selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai ejen insurans, sejak awal tahun ini.

    Ketua Polis Pahang Datuk Yahaya Othman berkata mangsa yang berusia 52 tahun mendakwa dihubungi suspek kononnnya daripada syarikat insurans pada 22 Jan lepas, bagi siasatan tuntutan palsu dan penggubahan wang haram melibatkan mangsa.

    “Suspek dikatakan mengarahkan wanita itu membuka dua akaun bank baharu sebagai akaun siasatan sementara dengan butiran perbankan termasuk gambar kad mesin juruwang automatik (ATM) beserta kata laluan diserahkan kepada suspek.

    “Mangsa juga diarahkan untuk memindahkan semua wang simpanan ke dua akaun itu yang diturutinya dengan mengeluarkan simpanan bank, Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Yahaya berkata mangsa mula mengesyaki ditipu apabila gagal menghubungi suspek untuk bertanyakan perkembangan siasatan sebelum mendapati wang simpanannya di dua bank tersebut telah dikeluarkan tanpa pengetahuan.

    Sehubungan itu, menurutnya wanita tersebut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

    Orang awam dinasihatkan berwaspada dan segera membuat semakan dengan pihak berkuasa jika menerima panggilan mencurigakan supaya tidak terpedaya dengan helah sindiket Macau Scam.

    Semakan nombor akaun dan nombor telefon juga boleh dibuat di https://semakmule.rmp. gov.my sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelakkan menjadi mangsa.

  • Seorang lagi pemilik syarikat direman SPRM kes Penjana

    Seorang lagi pemilik syarikat direman SPRM kes Penjana

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang lagi pemilik syarikat kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu secara atas talian kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk mendapatkan bayaran insentif pengambilan pekerja di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana).

    Permohonan reman dua hari bermula hari ini sehingga esok terhadap suspek lelaki berusia 45 tahun itu dibenarkan oleh Majistret Nur Faizah Abdul Sani di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi.

    Sumber berkata, lelaki terbabit dipercayai sudah mengemukakan tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM370,000 sekitar 2020 sehingga 2021.

    Katanya, lelaki itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor pukul 1 tengah hari semalam, ketika diminta hadir untuk memberikan keterangan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 471 kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Kalimah Allah: Noh sokong kenyataan MAIS

    Kalimah Allah: Noh sokong kenyataan MAIS

    BEKAS Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KKDN), Tan Sri Noh Omar menyokong kenyataan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan Persekutuan menarik balik kes rayuan kalimah Allah.

    “Isu ini bukan sahaja berkaitan isu pentadbiran, istilah dan keselamatan tetapi juga melibatkan akidah orang Islam serta pentadbiran agama Islam berada di bawah bidang kuasa Raja-Raja Melayu di setiap negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, beliau berkata: “Untuk makluman, pada 2005 ketika saya menjawat jawatan timbalan menteri KKDN dan Ketua Setiausaha KKDN ketika itu, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof kini pengerusi MAIS.

    “Kami dimaklumkan oleh pegawai KKDN bahawa ada satu kontena dari Indonesia mengandungi kitab Injil (Bible) menggunakan perkataan kalimah Allah ditulis dalam bahasa Indonesia berada di Pelabuhan Klang.

    “Saya telah mengarahkan agar kontena tersebut tidak dibenarkan masuk ke dalam negara kerana merasakan ini mungkin merupakan satu perancangan dirancang pihak tertentu untuk mengimport bahan bacaan berbentuk dakwah bagi sesuatu agama tertentu boleh mengelirukan akidah umat Islam,” katanya.

    Noh menambah pada ketika itu, kerajaan Barisan Nasional adalah satu kerajaan yang kuat dan mempunyai sokongan 198 ahli Parlimen di Dewan Rakyat iaitu sokongan lebih 2/3, maka tiada mana-mana pihak mempertikaikan tindakan tersebut.

    Justeru beliau menyokong kenyataan MAIS bahawa isu berkenaan seharusnya dibawa ke pengadilan di Mahkamah Rayuan sehingga ke Mahkamah Persekutuan untuk pengadilan.

    “Mahkamah adalah tempat terbaik untuk mencari jalan penyelesaian mengenai isu kalimah Allah dan sekiranya keputusan mahkamah tidak memihak kepada rayuan KDN (kerajaan Persekutuan) maka kerajaan Madani boleh meminda undang- undang sedia ada agar perkataan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat, hanya boleh digunakan orang-orang Islam sahaja atau membuat undang-undang baharu mempunyai maksud sama,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Tambahnya, walaupun undang-undang tersebut berkemungkinan hanya terpakai di Wilayah Persekutuan tetapi ia boleh dijadikan panduan kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk meminda atau membuat enakmen baharu berkaitan isu ini.

  • Sanusi tidak kenal individu kutip derma dalam video viral

    Sanusi tidak kenal individu kutip derma dalam video viral

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan beliau tiada kaitan dengan individu yang mengutip derma kononnya untuk membantu membayar saman mahkamah.

    Bercakap pada sidang media di Wisma Darul Aman, hari ini, beliau juga tidak tahu menahu akan hal itu dan langsung tidak mengenali individu terbabit.

    “Bayaran saman kepada Datuk Mahfuz saya dah bayar. Saya pun tak kenal dengan individu tu. Tak terbabit dengan saya. Mungkin dia simpati kot dekat saya,” jawab beliau, lapor Harakah Daily.

    Tular di media sosial melalui aplikasi TikTok individu membawa bekas yang tertulis ‘tabung sanusi bayar saman fitnah’ serta memperkenalkan dirinya orang Kedah memohon derma untuk membantu Sanusi.

    Namun di akhir video, individu berkenaan memberi amaran kepada Muhammad Sanusi agar berusaha bayar samannya sendiri.

    Dalam pada itu, video terbabit mendapat perhatian netizen dan rata-ratanya menganggap ia sengaja dilakukan untuk mempermain pemimpin kerajaan Kedah itu.

    Beberapa pihak telah mengambil tindakan membuat laporan polis berkenaan hal terbabit.

    Muhammad Sanusi dalam sidang media itu juga memaklumkan beliau memfailkan satu kes saman terhadap bekas Ahli Parlimen Pokok Sena berkaitan tuduhan membeli kenderaan Vellfire

  • Culas bayar nafkah anak, sembilan bapa ke penjara

    Culas bayar nafkah anak, sembilan bapa ke penjara

    SEMBILAN individu sudah dihukum penjara atas kesalahan gagal melunaskan bayaran tuntutan nafkah yang diperintahkan mahkamah syariah.

    Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Zakri Wan Mohd. berkata, sembilan individu terbabit dijatuhkan hukuman sejak 2012 sehingga 2019.

    “Tempoh penjara yang dikenakan kepada sembilan individu terbabit antara tujuh sehingga maksimum 30 hari mengikut Peruntukan Tindakan Notis Penghakiman yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah.

    “Justeru, mahkamah syariah tidak memandang ringan mengenai kesalahan ini dan tindakan sewajarnya boleh diambil sekiranya pihak lelaki masih culas untuk membuat pembayaran nafkah.

    “Antara yang dikelola oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Mahkamah Syariah Terengganu iaitu Dana Pendahuluan Nafkah Anak (DPNA) yang mana golongan yang mempunyai kes tuntutan nafkah anak di mahkamah syariah bagi tujuan nafkah ini diberikan bantuan untuk meringankan beban mereka kerana keculasan pihak suami.

    “DPNA ini duitnya disumbangkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan penerima tidak perlu lagi membuat pembayaran balik,” katanya selepas majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.

    Katanya, suami perlu membayar balik dana yang disalurkan kepada bekas isteri menerusi dana kedua yang disediakan iaitu Dana Bantuan Nafkah Anak (DBNA).

    Bagaimanapun ujar beliau, ada golongan yang mendapat dana itu tetapi mereka masih lagi dalam proses tindakan pelaksanaan perintah untuk mendapatkan balik nafkah daripada suami yang culas membayarnya.

    Sementara itu, majlis penyampaian bantuan DPNA semalam menyerahkan bantuan berjumlah RM52,470 kepada 32 penerima.

    “Masih ramai yang culas untuk membayar nafkah ditambah dengan keadaan semasa suami yang tidak mampu membayar sebahagian nafkah yang diperintahkan oleh mahkamah.

    “Bagaimanapun mahkamah memerintahkan berdasarkan kepada keperluan sebenar anak dan kemampuan pihak bapa untuk menanggung nafkah anak akan tetapi masih ramai yang culas,” katanya.

    Menurutnya, antara tindakan yang diambil seperti potong gaji dan dipenjarakan namun tidak kurang suami yang gagal dikesan untuk diambil tindakan selepas gagal melunaskan tuntutan nafkah.

    Mengulas mengenai trend penceraian di Terengganu, beliau berkata, banyak kes terletak kepada keegoan bukan lelaki saja, malah wanita juga.

    “Kami ada majlis suluk sebelum proses penceraian, mereka perlu memasuki proses mediasi di mana mereka perlu mencari jalan terbaik tetapi kerana keegoan mereka meneruskan hajat untuk bercerai.

    “Ada juga pasangan yang beranggapan alang-alang sudah sampai ke mahkamah lebih baik mereka teruskan penceraian.

    “Namun, saya letakkan sikap ego mengatasi segalanya hingga menyebabkan hubungan boleh diteruskan selepas selesai majlis mediasi namun sebaliknya yang berlaku,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Lelaki OKU didakwa tembak polis, miliki senjata api, dadah

    Lelaki OKU didakwa tembak polis, miliki senjata api, dadah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki kurang upaya (OKU) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini atas tujuh pertuduhan memiliki senjata api dan dadah termasuk melepaskan tembakan ke atas polis.

    Tertuduh, Muhammad Firdaus Paiman, 35, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Sazlina Shafie.

    Muhammad Firdaus yang juga berstatus duda, didakwa memiliki pistol jenis Beretta Gardone VT dan selaras senapang patah buatan sendiri dalam sebuah kereta di tepi Masjid Al Ikhwan Gugusan Adela, Pengerang kira-kira jam 1 pagi pada 10 Mei lalu.

    Bapa dua anak itu juga didakwa memiliki tiga butir peluru jenis Kartus 12 Bore dan empat butir peluru jenis 9 milimeter tanpa lesen senjata yang sah pada lokasi, waktu dan tarikh yang sama.

    Muhamad Firdaus turut didakwa memiliki selaras senapang angin buatan sendiri tanpa lesen senjata yang sah di Felda Tunggal, Pengerang kira-kira pukul 2.30 pagi 10 Mei lalu.

    Bagi pertuduhan memiliki pistol dan senapang patah, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan juga sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

    Sementara pertuduhan memiliki senapang angin dan peluru pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Irsyad Mardi sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

    Sazlina kemudiannya menetapkan tarikh 15 Jun 2023 bagi sebutan semula kes dan keputusan penghakiman sementara menunggu laporan kimia.

    Sementara itu, Muhamad Firdaus turut mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Tinggi atas tiga pertuduhan memiliki senjata api dan dadah termasuk melepaskan tembakan ke atas seorang anggota polis.

    Tertuduh didakwa telah melepaskan tembakan menggunakan senjata api dengan niat menyebabkan kecederaan terhadap Lans Koperal Mohd. Shafiq Nazrin Razali yang cuba menangkapnya di bulatan Lotus Desaru Bandar Penawar, Pengerang, pukul 3.35 petang, 7 Jun 2016.

    Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati.

    Tertuduh turut didakwa memiliki dadah jenis nimetazepam seberat 0.44 gram dan kanabis seberat 0.90 gram di tepi jalan Masjid Jamek Al Ikhwan Gugusan Felda Adela, Kota Tinggi pukul 1 pagi pada 10 Mei lalu.

    Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB), 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau maksimum penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Muhamad Firdaus turut didakwa di bawah Seksyen 6 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

    Majistret Rashidah Baharom menetapkan 6 Julai untuk sebutan kes berkenaan dan memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Majistret Pengerang.