Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kalimah Allah:Teruskan rayuan, beri peluang kepada PM

    Kalimah Allah:Teruskan rayuan, beri peluang kepada PM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) wajar meneruskan rayuan isu penggunaan kalimah Allah di Mahkamah Tinggi sehingga selesai sebelum menentukan langkah seterusnya.

    Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, sekiranya rayuan kalah sekali lagi dalam kes itu, kerajaan boleh meneruskan rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan keadilan.

    “Namun sekiranya kerajaan akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu nanti dan berhenti setakat itu, kerajaan boleh buat pindaan rang undang-undang ke Parlimen dengan mengambil kira keputusan rayuan tersebut.

    “Kerajaan boleh buat semakan dan buat pindaan undang-undang. Pembetulan undang-undang dibuat di Parlimen selepas kes ini selesai. Kes ini melibatkan undang-undang Perlembagaan.

    “Akhirnya nanti kerajaan akan lihat kepentingan negara secara keseluruhannya dan pinda undang-undang yang ada supaya menjamin kedudukan Islam, orang Islam dan hak-hak asasi masyarakat bukan Islam,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Guru Peringkat Daerah Johor Bahru di Sekolah Agama Taman Scientex di Pasir Gudang hari ini.

    Hari ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan dan KDN akan mengkaji arahan pentadbiran secara komprehensif berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

    Jelas Saifuddin, langkah itu perlu dilakukan kerana berlaku percanggahan arahan pentadbiran KDN dengan keputusan Kabinet pada 1986.

    Semalam, Perdana Menteri berkata, jemaah menteri telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.

    Ahad lalu, media melaporkan, KDN dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain – ‘Baitullah’, ‘Kaabah’ dan ‘solat’ dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

    Mengulas lanjut, Hassan yang juga seorang peguam berkata, tindakan Saifuddin yang menarik balik rayuan tersebut disifatkan tergopoh-gapah sehingga menimbulkan kekecohan serta kegusaran dalam negara.

    Sepatutnya kata beliau, proses rayuan tersebut tidak perlu diganggu dan Kerajaan Perpaduan tidak akan dipersalahkan, perkembangan itu tidak bagus dalam keadaan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

    Hassan meminta semua pihak bertenang, menghentikan polimik isu itu dan memberi peluang kepada Perdana Menteri yang akan mempersembahkan cadangan tersebut kepada Majlis Raja-Raja tidak lama lagi.

    “Isu ini besar implikasinya, agama Islam terletak di bawah bidang kuasa raja di peringkat negeri dan Majlis Raja-Raja serta Agong di peringkat Persekutuan. Saya percaya Perdana Menteri menyedari hal ini. Kerajaan boleh belajar daripada ‘episod’ ini,” katanya.

  • Laporan terhadap Hadi: Polis akan panggil pihak terlibat – KPN

    Laporan terhadap Hadi: Polis akan panggil pihak terlibat – KPN

    KETUA Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis akan memanggil sesiapa yang terlibat untuk membantu siasatan susulan banyak laporan yang dibuat terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai beberapa isu.

    “Mereka yang dipercayai terlibat akan dipanggil. Itu SOP (prosedur operasi standard) kita dalam menyiasat kes,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi minum petang bersama media di Ibu Pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini, lapor Malaysiakini.

    Ini berlaku selepas beberapa laporan dibuat oleh ahli politik daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH) mengenai isu berkaitan dakwaan Hadi terhadap bukan Melayu dan bukan Islam, yang didakwa provokatif dan boleh menggugat kerajaan.

    Terdapat juga laporan dibuat berhubung kenyataan Hadi bahawa Perikatan Nasional (PN) dan blok pembangkang sedang merancang untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

  • Polis serah isu kalimah Allah kepada kerajaan – Acryl Sani

    Polis serah isu kalimah Allah kepada kerajaan – Acryl Sani

    POLIS akan menyerahkan kepada kerajaan persekutuan untuk menangani isu berkaitan kalimah ‘Allah’, menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

    “Kita serahkan pada pihak kerajaan untuk menguruskan perkara ini kerana saya percaya akan ada satu taklimat kepada Majlis Raja-raja Melayu mengenai perkara ini,” kata Acryl kepada pemberita selepas majlis minum petang bersama media di Bukit Aman petang tadi, lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya apakah pandangan agensi itu berhubung perkara berkenaan memandangkan terdapat percanggahan tafsiran mengenai kesan keputusan Putrajaya menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021, yang membenarkan istilah Allah dalam konteks bukan Islam.

    Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman oleh Jill Ireland, seorang Kristian Melanau dari Sarawak, yang memohon pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak untuk menggunakan perkataan Allah untuk tujuan agama dan pendidikan.

    Kerajaan pada mulanya merayu terhadap keputusan itu tetapi memberi notis pada 18 April tahun ini bahawa ia tidak akan meneruskan rayuan itu.

  • Mahkamah Rayuan tangguh keputusan berkait larangan buku ‘Gay is OK!’

    Mahkamah Rayuan tangguh keputusan berkait larangan buku ‘Gay is OK!’

    MAHKAMAH Rayuan menangguhkan keputusannya berhubung usaha kerajaan mengembalikan semula larangan ke atas buku ‘Gay is OK! A Christian Perspective’.

    Hakim Azizah Nawawi yang mengetuai panel tiga hakim berkata, mahkamah perlu masa untuk mempertimbangkan hujahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta peguam bagi penerbit Gerakbudaya Chong Ton Sin dan penulis Ngeo Boon Lin.

    Hakim Gunalan Muniandy dan Wong Kian Kheong turut bersidang untuk mendengar rayuan itu.

    Tahun lalu, Chong dan Ngeo menang dalam semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan larangan itu.

    KDN pada 2020 mengharamkan buku itu bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 atas alasan ia disifatkan sebagai penerbitan yang tidak diingini. Buku itu diterbitkan pada 2013.

    Larangan itu dibatalkan selepas Mahkamah Tinggi mendapati kerajaan gagal menunjukkan bukti ‘prejudis sebenar terhadap ketenteraman awam yang telah berlaku’.

    Hakim Noorin Badaruddin berpendapat buku itu ‘tidak mungkin menjejaskan ketenteraman awam’.

    Beliau berkata, kerajaan gagal memberikan Chong dan Ngeo hak untuk didengari bagi menentang dakwaan yang dibuat terhadap mereka.

    Terdahulu hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Alwi, yang hadir bersama Peguam Persekutuan Sallehuddin Md. Ali bagi pihak KDN, menggesa Mahkamah Rayuan mengembalikan semula larangan itu.

    Beliau berkata, buku itu mempromosikan homoseksual dan bercanggah dengan kepercayaan budaya dalam negara.

    Katanya, pada Februari 2020, pegawai KDN membuat semakan rambang di kedai buku Gerakbudaya dan mendapati buku itu dipamerkan. Mereka membawa buku itu ke pejabat untuk menyemak kandungannya.

    Selepas pemeriksaan, menteri dalam negeri ketika itu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau berpuas hati bahawa kandungan buku itu ‘kemungkinan memudaratkan moral’.

    Sementara itu, peguam Chong dan Ngeo, Edmund Bon, memberitahu mahkamah keputusan Mahkamah Tinggi perlu dikekalkan.

    Beliau berkata, buku itu memberikan pandangan ‘alternatif’ daripada perspektif Kristian sama ada homoseksualiti harus ditentang.

    Bon memberitahu mahkamah bahawa Hamzah membuat penilaian subjektif terhadap buku itu tanpa membacanya dalam konteks penuh.

  • Fahmi perlu fokus masalah rakyat, bukan tiket Coldplay, kata pakar

    Fahmi perlu fokus masalah rakyat, bukan tiket Coldplay, kata pakar

    SEORANG pakar komunikasi dan media berkata, kebimbangan berlebihan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil terhadap isu jualan semula tiket konsert Coldplay dalam media sosial tidak perlu dipanjangkan sebaliknya memfokuskan kepada isu-isu yang lebih utama dalam kementerian tersebut.

    Ini termasuklah keperluan asas komunikasi dan digital rakyat seperti masalah liputan jalur lebar, perihal data peribadi, perkhidmatan pos, serta pelbagai masalah lain terutamanya keperluan awam yang perlu diberikan keutamaan.

    Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi dan Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Abd. Aziz Aizam berkata, meskipun kenyataan beliau dilihat sebagai perkara yang ringkas, namun pada masa sama Fahmi sendiri seperti memperlekehkan kedudukannya sebagai menteri yang memikul tanggungjawab lebih besar.

    “Beliau kena sedar bahawa beliau bukan lagi ahli politik pembangkang.

    “Tetapi beliau adalah seorang menteri, tambahan pula beliau sebagai menteri komunikasi dan digital.

    “Beliau kena berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan waima hanya satu perkataan dalam media sosial kerana kenyataan menteri adalah kenyataan yang boleh difikirkan sebagai satu perkara mustahak secara umumnya,” katanya.

    Beliau mengulas mengenai kenyataan Fahmi yang meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menjual semula tiket konsert itu dalam media sosial.

    Media melaporkan, terdapat pihak yang menjual semula tiket konsert kumpulan muzik terkemuka British itu dengan harga mencecah RM43,200 sehingga mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.

    Selain itu, kata Aziz, Fahmi perlu sedar apakah isu mengenai konsert Coldplay yang dibangkitkannya itu merupakan isu keperluan dan kepentingan umum rakyat ataupun sekadar perkara yang meliputi kehendak segelintir pihak.

    “Rakyat boleh menilai sejauh mana seseorang pemimpin serius dalam menjalankan tanggungjawabnya dan faham ruang lingkup kerja mereka,” katanya, lapor MalaysiaNow.

    Mengulas lanjut, beliau berkata kebimbangan Fahmi terhadap isu-isu yang di luar dari fokus utama kementerian tersebut dikhuatiri akan memberi ruang kepada kritikan tambahan rakyat terhadap kerajaan campuran selain isu terkini melibatkan penarikan balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021 yang membenarkan kalimah Allah digunakan dalam penerbitan agama Kristian.

    Coldplay dijadualkan mengadakan konsert sulung mereka di Malaysia sempena siri jelajah ‘Music Of The Spheres World Tour’ di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 November ini.

  • Rogol anak saudara OKU, warga emas dipenjara 15 tahun, 10 sebatan

    Rogol anak saudara OKU, warga emas dipenjara 15 tahun, 10 sebatan

    SEORANG warga emas dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Tawau selepas mengaku salah merogol anak saudaranya yang juga OKU lembam, pada Mac tahun lalu.

    Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Moin Usop, 60, yang juga buruh ladang selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh dan mensabitkannya dengan pertuduhan.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berumur 20 tahun dalam tandas di sebuah rumah pekerja ladang kelapa sawit dalam daerah Semporna, pada 12.30 tengah malam, 7 Mac 2022.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta hukuman sebat.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam, menurut Berita Harian.

    Syahnidzam dalam hujahnya memohon hukuman berat atas faktor kepentingan awam selain sebagai pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira faktor pertalian darah antara tertuduh dan mangsa dalam kes itu adalah anak saudaranya sendiri.

    Katanya, tertuduh yang tinggal sebumbung bersama mangsa dan ibunya seharusnya bertindak sebagai pelindung dan bukan mengambil peluang atas kekurangan mangsa.

    “Pendakwaan juga ingin tekankan pada mahkamah keadaan mangsa ialah seorang individu (OKU) lembam, namun tertuduh tergamak merogol mangsa yang juga anak saudaranya sendiri,” katanya.

    Berdasarkan fakta kes, kejadian pada 12.30 tengah malam itu ketika mangsa bangun untuk ke tandas, sebelum tertuduh bertindak mengekori mangsa lalu merogolnya.

    Kejadian itu bagaimanapun disedari ibu mangsa yang sempat menyaksikan sendiri perbuatan keji tertuduh itu sebelum membuat laporan polis.

  • 66 individu positif dadah ditahan dalam serbuan di 3 pusat hiburan

    66 individu positif dadah ditahan dalam serbuan di 3 pusat hiburan

    POLIS Pulau Pinang menahan seramai 66 individu termasuk 17 warga asing dalam operasi khas pusat hiburan di kawasan Timur Laut dan Bukit Mertajam, awal pagi hari ini.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 124 individu yang ditahan dan diperiksa dalam operasi khas di tiga buah pusat hiburan masing-masing dua di daerah Timur Laut dan satu di Seberang Perai Tengah (SPT).

    Jelas beliau, mereka yang ditahan itu masing-masing 40 lelaki termasuk seorang warga asing dan 26 wanita termasuk 16 wanita warga asing yang ujian saringan air kencing mereka didapati positif pelbagai jenis dadah.

    “Dalam operasi ini juga, kita berjaya merampas dadah jenis MDMA seberat 275 gram bernilai RM3,200.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, dalam kes berasingan, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komissioner Soffian Santong berkata, polis menahan dua lelaki warga tempatan kerana menggajikan pekerja warga asing tanpa permit yang sah dalam serbuan di pusat hiburan di pusat bandar Georgetown, awal pagi ini.

    Katanya, dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 pagi itu, polis turut menahan dua lelaki dan lapan wanita warga asing atas kesalahan melanggar syarat pas lawatan dan tiada dokumen perjalanan yang sah.

    Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1959/63 dan Akta Imigresen 1959/63.

    “Kita juga telah menjalankan ujian saringan awal air kencing ke atas 49 individu berumur antara 20 hingga 51 tahun yang mana 24 daripadanya iaitu lapan wanita dan 16 lelaki positif pelbagai jenis dadah dan kesemua tangkapan berusia 25 hingga 50 tahun.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) 1952 Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

    Tambahnya, polis sentiasa komited dalam mencegah kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah dan perasi serta pelbagai langkah pencegahan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti tersebut.

  • Dari peringkat negeri Sanusi kini pemimpin nasional

    Dari peringkat negeri Sanusi kini pemimpin nasional

    TINDAKAN pemimpin Pakatan Harapan (PH) terus menerus menyerang Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilihat melonjakkan lagi populariti beliau di peringkat nasional, meskipun beliau hanya memimpin negeri, kata pemerhati.

    Ruangan dada akhbar sejak akhir-akhiri ni tidak lekang dengan berita membabitkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu berbanding dengan rakat sejawatnya dari negeri lain.

    Dari isu bekalan ke Pulau Pinang sehinggalah kenyataan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sanusi terus-menerus menarik perhatian ramai termasuk pemerhati politik tempatan.

    Disebabkan situasi ini, bekas ahli UMNO, Khairy Jamaluddin turut melihat Sanusi sebagai ahli politik paling bernilai atau Most Valuable Politician (MVP).

    Menurut bekas menteri kesihatan itu, sikap taksub dalam kalangan pemimpin PH terhadap Sanusi secara tidak langsung menjadikan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu terkenal di peringkat nasional, menunjukkan lonjakan populariti beliau berbanding sebelum ini.

    Penganalisis politik dari University Tasmania Australia, James Chin berkata, Sanusi menjadi individu berprofil tinggi disebabkan beliau sering mengeluarkan kenyataan yang dianggap kontroversi.

    Katanya, situasi ini menarik perhatian ramai, menyebabkan namanya sering terpampang di laporan media hampir setiap hari.

    “Sudah tentu pihak lawan iaitu PH dan Barisan Nasional (BN) akan bertindak balas ekoran kehadiran media yang ramai untuk menyerang beliau,” katanya, lapor MalaysiaNow.

    “Ini sebenarnya bukan soal populariti, selagi beliau boleh tarik perhatian media, orang ramai akan terus bercakap dan juga menyerang beliau.”

    Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PN mula membuat kemunculan sulungnya dalam dunia politik apabila beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantek pada 2008, namun tewas kepada Mohd. Tajuddin Abdullah yang mewakili BN dengan majoriti tipis 252 undi.

    Selepas itu, beliau dilantik sebagai setiausaha politik kepada menteri besar Kedah pada ketika itu, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sehingga 2013 sebelum dipilih sebagai Adun Jeneri pada 2018.

    Kemudian pada Mei 2020, Sanusi memegang jawatan menteri besar Kedah apabila Pas berpendirian untuk menyokong PN, sekali gus menyaksikan peletakan jawatan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

    Pada 2021, nama Sanusi mula menarik perhatian apabila beliau sering berbalah dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung topik bola sepak menjadikan nama kedua-dua individu itu sering menjadi tajuk berita.

    Selepas topik itu reda, nama Sanusi masih menjadi sebutan ramai meskipun selepas tamat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung pada November tahun lepas ekoran beberapa siri kenyataan yang dibuat oleh pemimpin itu.

    Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir berkata, kelantangan Sanusi menampakkan beliau sebagai antara pemimpin PN yang paling menyerlah terutama jika dibandingkan dengan menteri besar mewakili gabungan parti politik itu di Kelantan, Terengganu dan Perlis.

    Walaupun Sanusi dianggap sebagai seorang individu yang ‘bising’, Jeniri juga menyifatkan tingkah laku pemimpin itu sebagai normal memandangkan beliau mewakili parti yang kini merupakan pembangkang di peringkat Pusat.

    Dalam pada itu, Jeniri berpandangan bahawa gelaran MVP yang diberi oleh KJ kepada Sanusi dianggap tidak sesuai memandangkan jasa pemimpin PN itu masih belum diterjemahkan menerusi pentadbirannya.

    “Sebelum diangkat taraf sebagai MVP, mesti ada ketokohan dan kewibawaan yang menyerlah. Secara peribadi, tak nampak lagi beliau ke tahap itu.

    “Beliau banyak buat aksi yang menjurus ke arah sensasi politik. Jadi, ini tidak membawa kesan sangat kepada rakyat.

    “Perlu dibandingkan dengan individu seperti Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg yang membawa banyak dasar serta inisiatif membawa keuntungan kepada rakyat dan negeri itu,” tambah Jeniri.

  • Annuar Musa antara 10 bekas pemimpin UMNO isi borang sertai Pas, kata Takiyuddin

    Annuar Musa antara 10 bekas pemimpin UMNO isi borang sertai Pas, kata Takiyuddin

    BEKAS Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa adalah antara lebih 10 bekas pimpinan UMNO yang sudah mengisi borang permohonan menganggotai parti Pas.

    Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pula menunjukkan minat untuk menyertai parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Satu pengumuman penerimaan keahlian tokoh-tokoh politik berkenaan dijangka akan dibuat penghujung bulan ini.

    “Saya mengesahkan borang permohonan beberapa tokoh besar itu telah siap, kita tunggu masa untuk membuat pengumuman sahaja. Insya-Allah akhir bulan ini.

    “Saya boleh mengesahkan Tan Sri Annuar Musa sudah isi borang untuk menyertai Pas, dan kita akan buat pengumuman dalam waktu terdekat dan bersama rakan-rakan lain dalam UMNO,” katanya ditemui pemberita di Majlis Sambutan Hari Raya di Kota Bharu hari ini.

    Takiyuddin turut memaklumkan kesemua bekas pimpinan UMNO terbabit akan turut dipertimbangkan untuk diberikan tempat sekiranya mereka menyatakan hasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

    Mengulas mengenai isu kalimah Allah, beliau yang juga ketua Whip Parlimen Perikatan Nasional, PN akan membawa usul berkenaan di persidangan Parlimen akan datang.

    Katanya, isu melibatkan kalimah Allah sepatutnya dibawakan ke Mahkamah Syariah kerana isu berkenaan bukan di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil.

    Menurut beliau, Pas dan PN terkejut serta berpandangan tindakan menarik rayuan oleh Kerajaan Perpaduan itu adalah tidak wajar.

    Ahad lalu, media melaporkan, KDN dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain- ‘Baitullah’, ‘Kaabah’ dan ‘solat’ dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

    Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

    Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.

  • PRN: Calon PN guna logo Pas di Kelantan, Terengganu – Takiyuddin

    PRN: Calon PN guna logo Pas di Kelantan, Terengganu – Takiyuddin

    CALON Perikatan Nasional (PN) yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang di Kelantan dan Terengganu akan mengunakan logo parti Pas.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bagi empat buah lagi negeri, Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah, calon terbabit akan mengunakan logo PN.

    “Setakat ini pembahagian kerusi antara parti gabungan PN telah 95 peratus selesai.

    “(Penggunaan) logo pada PRN masih kekal. Di Kelantan, Terengganu kekal guna logo Pas, empat negeri lain, (calon) PN, guna logo PN.

    “Boleh dikatakan 95 peratus sudah selesai, pembahagian kerusi parti komponen, terpulang kepada parti untuk tentukan calon-calonnya yang boleh menang.

    “Nama calon yang bakal bertanding pula akan dicadangkan oleh pimpinan negeri Bersatu dan juga Pas sebelum jawatankuasa di peringkat Pusat membuat keputusan,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

    Jelasnya, hanya pengagihan beberapa kerusi di Selangor dan Negeri Sembilan belum dapat dimuktamadkan lagi.

    “Formula pembahagian kerusi antara Pas dan Bersatu katanya turut menggunakan formula sama yang digunakan pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu,” katanya.

    Takiyuddin berkata, pembahagian kerusi antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjalan lancar dan mencapai kata sepakat yang baik.

    Katanya, pembubaran DUN di enam buah negeri terbabit dijangka dibuat penghujung bulan ini.

    Beliau berkata, PN optimis untuk menguasai lebih banyak kerusi DUN pada PRN kali ini berdasarkan penerimaan rakyat ketika ini.