Author: Wartawan WartaRakyat

  • Dua inkuiri PAC mungkin akan panggil bekas pegawai tinggi kerajaan-Mas Ermieyati

    Dua inkuiri PAC mungkin akan panggil bekas pegawai tinggi kerajaan-Mas Ermieyati

    PENGERUSI Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyorot dua inkuiri yang sedang berjalan dan mungkin memerlukan penglibatan daripada bekas pegawai tinggi kerajaan.

    Jelas Ahli Parlimen Masjid Tanah itu, ini termasuk ketua setiausaha kerajaan, pengerusi terdahulu dan Ahli Lembaga Pengarah terdahulu.

    Beliau memetik prosiding PAC mengenai pengurusan vaksin Covid-19 yang telah tamat tempoh, alat bantuan pernafasan yang tidak berfungsi dan lebihan perolehan Peralatan Pelindung Diri (PPE), serta pendengaran berasingan Menteri Kewangan Diperbadankan mengenai Felcra Berhad.

    “Kenyataan saya sebelum ini, adalah sebagai satu peringatan kepada semua saksi PAC terutama mantan pegawai-pegawai tinggi kerajaan supaya sentiasa bersedia untuk hadir ke PAC apabila dipanggil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pada Rabu, Mas Ermieyati berkata, PAC akan menamakan saksi, terutama bekas penjawat awam tertinggi, yang enggan menghadiri prosiding.

    Dalam kenyataan terbarunya, Mas Ermieyati mengalu-alukan kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali semalam bahawa semua penjawat awam sedia ada dan bekas penjawat awam sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan PAC.

    Mohd. Zuki turut mengesahkan kegagalan penjawat awam yang sedang berkhidmat atau bersara menghadiri prosiding PAC apabila dipanggil adalah menghina Parlimen dan satu kesalahan di bawah Seksyen 9 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347).

    “PAC sebenarnya tidak mahu menggunakan kuasa di bawah seksyen 9(a), Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 [Akta 347] kerana ia akan memberi kesan negatif kepada individu terbabit termasuk kemungkinan ditangkap sekiranya tidak menjelaskan denda.

    “Namun, PAC tidak teragak-agak menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah akta berkenaan bagi memastikan kredibiliti jawatankuasa ini terus terpelihara,” tegasnya.

    Mas Ermieyati turut berkata, PAC sebelum ini telah memanggil pelbagai penjawat awam atasan dan pesara, termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Bendahari Agung, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah, kedua-duanya hadir untuk prosiding yang diadakan pada 2018.

  • Anwar seolah-olah diktator, kata Mahathir

    Anwar seolah-olah diktator, kata Mahathir

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini seakan pemerintahan kuku besi apabila menghalang orang Melayu bercakap mengenai masalah yang menyelubungi kaum itu sendiri.

    Situasi itu katanya, berbeza berbanding sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri kerana Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dikenali sebagai pejuang reformasi dan mahu menghapuskan undang-undang yang dianggap zalim.

    “Ada kenyataan (Perdana Menteri) kononnya perkara ini tak boleh dibincang kerana 3R (kaum, agama, raja). Sepatutnya larangan sebegini diputuskan melalui penggubalan undang-undang di Parlimen.

    “Tapi Perdana Menteri buat kenyataan ini tak boleh, seolah-olah dia raja atau diktator.

    “Selama kita merdeka lebih 60 tahun, bukan kita jadi lebih liberal, tapi jadi kerajaan yang menekan dan menindas,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Yayasan Bukhary, Kuala Lumpur, hari ini.

    Dr. Mahathir juga mendakwa kerajaan cuba untuk mengugut dan menutup mulutnya daripada bercakap mengenai masalah yang dialami orang Melayu.

    Ini selepas polis merakam percakapannya berhubung dua kenyataan yang dibuat bekas Ahli Parlimen Langkawi itu dalam media sosial.

    “Bagi saya tindakan polis ini adalah satu cara tekanan dan ugutan untuk menghalang saya daripada bercakap berkenaan masalah dalam negara ini, sedangkan apa yang saya cakap semuanya berasaskan fakta yang jelas dan tidak menyalahi undang-undang.

    “Saya cakap mengikut Perlembagaan Negara yang mana kedudukan Malaysia sebagai Tanah Melayu, bila cakap tanah Melayu mereka cakap saya rasis,” katanya.

    Mahathir juga mendakwa kerajaan menggunakan pihak berkuasa secara sesuka hati hingga menjadikan Malaysia seolah-olah ‘negara polis’, dengan tindakan secara terpilih.

    “Kita telah sampai ke satu tahap di mana Malaysia menjadi ‘negara polis’.

    “Kerajaan boleh buat apa juga keputusan, Peguam Negara boleh buat apa juga keputusan, sama ada mengikut peraturan atau tidak,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Terdahulu, Dr. Mahathir dipanggil polis untuk dirakamkan keterangan hari ini susulan kenyataannya pada 27 Julai lalu.

    Ketika itu, Mahathir memuat naik dua hantaran di Facebook masing-masing bertajuk ‘Malaysia a Malay Country’ (Malaysia Sebuah Negara Melayu) dan ‘Who Owns the Country’ (Siapa Pemilik Negara Ini).

  • Tun M: UMNO kini dipandang hina ahli parti sendiri

    Tun M: UMNO kini dipandang hina ahli parti sendiri

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, UMNO yang dulu disanjung kini dipandang hina oleh ahli partinya sendiri.

    Menurutnya, ini berdasarkan prestasi buruk parti itu pada enam pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos lalu.

    “UMNO berubah dengan drastiknya apabila pemimpin parti itu tidak lagi mengutamakan perjuangan parti.

    “Kita lihat UMNO dulu satu parti yang disokong oleh seluruh negara sehingga kita dapat tewaskan British, kemerdekaan pun kita dapat capai, pembangunan negara pun dapat berlaku semasa Umno memerintah.

    “Tetapi apabila ada pemimpin yang bukan utamakan perjuangan UMNO. Sebaliknya lebih utamakan apa yang pemimpin dapat. Duit adalah raja. Rosak UMNO. Sejak itu kita lihat prestasi UMNO merudum.

    “Dulu majoriti yang kuat kita dapat dari kerajaan yang kukuh. Tetapi, sekarang ini dipandang hina oleh ahli-ahli mereka sendiri,” katanya pada sidang media di Yayasan Bukhary, Kuala Lumpur, hari ini.

    PRN 12 Ogos lalu BN hanya menang di 19 kerusi berbanding 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingnya.

    Mengulas lanjut, Mahathir berkata, UMNO kini bukan lagi parti yang ditubuhkan sebelum ini tetapi parti yang ditolak oleh rakyat.

    “Siapa yang tidak bersetuju dengan pemimpin disingkir. Umno sekarang ini, ini bukan Umno yang ditubuh (sebelum ini). Tetapi Umno kini Umno yang kena tolak oleh orang yang mempunyai perjuangan yang berlainan.

    “Zahid tak layak langsung (mengemudi UMNO). Ada 47 pertuduhan terhadap dia. Yang minta nak jadi timbalan kononnya pasal sebagai timbalan perdana menteri dia tak akan dihukum,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Mahathir yang juga bekas Presiden UMNO paling lama berkhidmat keluar parti itu pada 2016 selepas menentang Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

    Untuk rekod, Mahathir dipecat keahliannya daripada UMNO ketika era pentadbiran Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada September 1969 dan kembali menyertai semula parti itu pada 1972.

    Mahathir juga pernah keluar UMNO pada 2007 ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri sebelum menyertai semula parti itu pada 2008.

  • Juruterbang beri nombor telefon isteri kepada rakan seolah-olah merasakan sesuatu akan berlaku

    Juruterbang beri nombor telefon isteri kepada rakan seolah-olah merasakan sesuatu akan berlaku

    JURUTERBANG pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina, Shah Alam, semalam bertindak memberikan nombor telefon isteri kepada rakannya minggu lalu.

    Tindakan Allahyarham Shahrul Kamal Roslan, 42, itu disifatkan sebagai sesuatu di luar jangkaan oleh abang ipar mangsa, Syed Tahir Syed Mohamed, 39, dan seolah-olah dapat merasakan sesuatu akan terjadi.

    Menurutnya, perkara itu sesuatu luar jangkaan dengan andaian rakan itu akan menghubungi ahli keluarganya sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

    “Mungkin dia (Shahrul Kamal) dapat merasakan cuma tidak beritahu (mengenai firasatnya).

    “Alhamdulillah, semalam Halim (rakan Allahyarham) orang yang pertama beritahu mengenai nahas terbabit,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, hari ini.

    Sebaik mengetahui mengenai kejadian itu katanya, mereka sekeluarga bergegas ke lokasi kejadian dan mendapat berita tidak rasmi bahawa Shahrul Kamal antara yang terkorban.

    Syed Tahir berkata, adiknya iaitu isteri arwah sudah membuat pengecaman ke atas jenazah di Jabatan Forensik HTAR.

    “Bagaimanapun, ada kerja-kerja perlu dibuat dari segi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi cebisan (badan) yang lain.

    “Insya-Allah, segala urusan mandi dan solat akan dilakukan di HTAR sebelum dibawa ke rumah ibu bapa arwah di Taman Melawati dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Klang Gate selepas solat Jumaat,” katanya.

    Syed Tahir juga menyifatkan Shahrul Kamal yang periang, penyayang dan disenangi oleh ahli keluarga selain mempunyai empat anak hasil perkahwinan dengan adiknya.

    “Dia juga dikenali sebagai comel dalam kalangan ahli pilot (juruterbang) dan sangat cekap dalam pengendalian pesawat tetapi sudah takdirnya,” katanya, lapor Harian Metro.

    Semalam, media melaporkan 10 lelaki disahkan maut dalam nahas pesawat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang juga Exco Pahang, Datuk Seri Johari Harun.

    Pesawat yang berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mendapat kebenaran untuk mendarat pada jam 2.50 petang dan terhempas dua minit sebelum mendarat.

  • ‘Sudah takdir anak ‘pergi’ begini, kami reda’

    ‘Sudah takdir anak ‘pergi’ begini, kami reda’

    IBU kepada Allahyarham Muhammad Taufiq Mohd. Zaki, 38, yang terkorban dalam pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, semalam reda dengan kejadian tragis itu.

    “Saya reda kerana ini sudah ketentuan Allah SWT,” kata ibu kepada Allahyarham Muhammad Taufiq.

    Muhammad Taufiq yang juga pegawai khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara mangsa nahas pesawat semalam.

    Wanita terbabit berkata, keluarga menerima ketentuan bahawa jenazah anaknya tidak dapat dituntut hari ini kerana proses bedah siasat dan DNA dijangka mengambil masa yang panjang.

    “Sudah takdir anak akan ‘pergi’ begini dan keluarga terima dengan reda.

    “Apa dilakukan Dia (perancangan Allah) yang terbaik untuk kebaikannya. Anak juga pergi pada hari baik,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, hari ini.

    Katanya, buat masa ini mereka sekeluarga akan pulang ke rumah di Ampang sementara menunggu panggilan daripada pihak hospital sekiranya proses bedah siasat sudah selesai.

    “Urusan pengebumian juga sudah diatur dan hanya menunggu jenazah untuk dikebumikan,” katanya, lapor Harian Metro.

    Allahyarham Muhammad Taufiq meninggalkan isteri dan tiga anak berusia antara tiga hingga 10 tahun.

    Semalam, isteri Allahyarham iaitu Suzana Paiman, 38, berkongsi suami berbelah bahagi untuk mengikuti penerbangan itu kerana keadaan anak yang tidak sihat.

    Tinjauan media di HTAR mendapati waris keluarga beransur pulang selepas dimaklumkan jenazah kesemua mangsa tidak dapat dituntut hari ini.

  • Kerajaan berdepan ketidakpuasan hati orang India-Ahli Parlimen Klang

    Kerajaan berdepan ketidakpuasan hati orang India-Ahli Parlimen Klang

    AHLI Parlimen Klang, V. Ganabatirau berkata, kerajaan berdepan ketidakpuasan hati komuniti India dan perlu melaksanakan pelan tindakan India untuk mendapatkan semula kepercayaan mereka.

    Katanya, sejak lapan bulan lalu tidak banyak inisiatif diumumkan atau dilaksanakan untuk masyarakat India secara keseluruhan.

    Dakwa beliau, isu besar seperti pekerjaan dan pendidikan masih belum diselesaikan.

    Ketidakpuasan pengundi India katanya, menyebabkan tidak ramai yang keluar mengundi dan terdapat ‘undi bantahan’ dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu.

    “Walaupun secara umum orang India menyokong kerajaan perpaduan tetapi sokongan beralih di kawasan luar bandar atau separa luar bandar.

    “Ketika ini di banyak kawasan, tiada pemimpin (untuk menasihati) atau saluran untuk Ahli Parlimen India membawa isu orang India terus kepada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Ganabatirau juga berkata, kerajaan perlu berhati-hati dalam menguruskan sistem kuota apabila membabitkan pendidikan.

    “Masyarakat India tahu sistem tersebut tidak boleh dihapuskan tetapi apa yang mereka mahu adalah jaminan bahawa pelajar cemerlang tidak akan dipinggirkan daripada sektor pendidikan perdana.

    “Ini bukan mengenai membantu seorang atau dua pelajar yang gagal mendapatkan tempat di universiti awam. Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu memberi mesej tegas dan jaminan tertinggi bahawa kaum India dilayan secara adil apabila membabitkan isu pendidikan, keadilan sosial dan ekonomi,” katanya, lapor FMT.

    Baru-baru ini, bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, terdapat perasaan ‘putus asa’ dirasakan oleh komuniti India yang menjadi antara faktor disebalik kemerosotan sokongan kepada Pakatan Harapan.

    Santiago berkata, satu analsis oleh Bridget Welsh, dilaporkan Malaysiakini, menunjukkan kemerosotan sebanyak 21%, 19%, dan 12% sokongan pengundi India kepada PH masing-masing di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.

  • Terdapat 200 lebih cebisan tubuh, JAIS akan bantu proses urusan jenazah

    Terdapat 200 lebih cebisan tubuh, JAIS akan bantu proses urusan jenazah

    JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) akan mempermudahkan segala proses pengurusan jenazah 10 mangsa nahas pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam sebaik urusan di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) selesai.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussein berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan berhubung urusan berkenaan hari ini.

    “JAIS akan menguruskan apabila selesai proses bedah siasat, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sudah diketahui padanannya.

    “Seperti saya cakap sebelum ini, 22 sampel DNA sudah diambil (daripada waris mangsa). Bagaimanapun (proses) mengambil ‘human remains’ ini… ada badan, ada kepala, ada cebisan,” katanya kepada pemberita di pekarangan Jabatan Forensik HTAR di Klang, hari ini.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengadakan sidang media di Shah Alam, hari ini. GAMBAR : Warta Rakyat

    Beliau berkata, mengikut Jabatan Forensik terdapat 200 lebih cebisan daging dan keadaan itu memakan masa untuk dikumpul, menguruskan padanan DNA dengan cebisan itu paling awal Isnin.

    Justeru katanya, JAIS akan menguruskan dan permudahkan semua urusan dari segi mandi jenazah, solat dan kenderaan jenazah sudah disediakan sejumlah 10 oleh JAIS.

    “Polis cuma mengiringi ke mana saja jenazah dibawa termasuk dikebumikan JAIS yang mempermudahkan semua hal,” katanya.

    Dalam pada itu katanya, laluan konsesi Elmina yang ditutup susulan nahas pesawat terbabit sejak semalam dibuka sejak pukul 3 petang tadi.

    Menurutnya, proses pembersihan termasuk pengumpulan cebisan mayat sudah selesai sepenuhnya di lokasi kejadian.

    “Konsesi Elmina dibuka pukul 3 petang, pembersihan selesai sepenuhnya maksudnya pihak polis, Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI), CSI dan Pihak Biro Siasatan Keselamatan Udara (BSKU) sudah selesai,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Kumpulan media bidas SKMM sekat TV Pertiwi

    Kumpulan media bidas SKMM sekat TV Pertiwi

    KUMPULAN pengamal media, Gerakan Media Merdeka (Geramm) hari ini mengecam tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat akses ke atas TV Pertiwi, dengan menyatakan sebarang bentuk sekatan ke atas portal berita dalam talian adalah ancaman kepada kebebasan akhbar negara.

    Dalam satu kenyataan, Geramm berkata sebarang pertikaian melibatkan etika media perlu diselesaikan secara kendiri, telus dan bebas, seiring langkah penubuhan Majlis Media Malaysia yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang pertama tahun depan. 

    “Geramm juga mengulangi pendirian bahawa pihak SKMM perlu memaklumkan pihak pengurusan media sebelum sebarang tindakan sekatan dikenakan,” katanya lapor Malaysianow.

    “Selain itu, syarikat telekomunikasi serta pembekal perkhidmatan Internet (ISP) boleh memberikan penjelasan terkait langkah diambil setelah menerima arahan dari SKMM untuk menyekat akses kepada sebarang portal berita.”

    Sekatan ke atas TV Pertiwi hadir beberapa hari selepas akaun TikTok mereka disekat secara kekal.

    Tindakan terbaru ini adalah rentetan sekatan yang dikenakan terhadap beberapa laman sesawang dan saluran media sosial sejak beberapa bulan kebelakangan ini. 

    Pada akhir Jun, MalaysiaNow disekat selama 48 jam.

    Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, mengatakan beliau tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada SKMM untuk menyekat mana-mana laman sesawang. 

    Pada masa sama, akses ke laman sesawang MalaysiaToday yang dikendalikan oleh penulis blog terkemuka dan pengkritik kerajaan Raja Petra Kamarudin turut disekat, manakala blog bekas ahli Parlimen Wee Choo Keong pula disekat pada 24 Jun, dengan adan pemantau kebebasan media dalam talian, Sinar Project mengesahkan bahawa laman sesawang dikendalikan Wee itu telah disekat oleh SKMM. 

    Portal berita UtusanTV turut disekat SKMM, walaupun difahamkan sekatan itu ditarik balik sebelum Pilihan Raya Negeri pada 12 Ogos.

  • Makmal proses heroin dibongkar, dadah bernilai RM5.78 juta dirampas

    Makmal proses heroin dibongkar, dadah bernilai RM5.78 juta dirampas

    POLIS Pulau Pinang berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah bernilai RM5.78 juta apabila membongkar sebuah makmal haram memproses dadah jenis heroin di sebuah rumah teres dua tingkat di Tanjong Tokong.

    Operasi itu dilakukan menerusi serbuan selama dua hari bermula pukul 4 petang, Selasa lalu di sekitar Georgetown dan Bukit Mertajam yang mana dua suspek lelaki berusia 42 hingga 46 tahun turut ditahan.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, suspek pertama ditahan ketika sedang memandu kereta di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, Selasa lalu, manakala suspek kedua ditahan di parkir sebuah pusat membeli belah di Alma, Bukit Mertajam.

    Jelasnya, penahanan suspek membawa kepada pembongkaran makmal haram memproses dadah di sebuah kondominium yang disewa suspek di Tanjong Tokong.

    ”Di makmal haram di kondominium tersebut, polis berjaya merampas dadah yang dianggarkan bernilai RM5.78 juta

    “Dadah yang dirampas itu masing-masing heroin base seberat 65.48 kilogram, heroin (13.62 kilogram) dan serbuk kafein (8.48 kilogram),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di George Town hari ini.

    Menurut Mohd. Kamarudin, dadah berkenaan dipercayai diseludup masuk menggunakan jalan darat dari Thailand sebelum diproses untuk pasaran tempatan dan polis masih mengesan saki baki ahli sindiket berkenaan.

    Tambahnya, sindiket itu dipercayai mula aktif sejak awal tahun ini dan suspek berusia 42 tahun didapati mempunyai kepakaran memproses bahan-bahan untuk dijadikan dadah heroin.

    ”Kedua-dua suspek negatif dadah dan semakan rekod jenayah juga mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

    ”Kes disiasat di bawah seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman selama tujuh hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan,” katanya.

    Dalam pada itu, tambah beliau, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (pelucuthakan harta) 1988 yang mana mana polis menyita sebuah kenderaan Toyota Estima yang disyaki diperolehi hasil jualan dadah dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan ialah RM5.85 juta.

  • Prestasi UMNO ‘buruk,memalukan’, bukti penolakan pengundi terhadap parti itu – Chandra

    Prestasi UMNO ‘buruk,memalukan’, bukti penolakan pengundi terhadap parti itu – Chandra

    AHLI akademik dan pengkritik sosial terkemuka Chandra Muzaffar menyifatkan prestasi UMNO dalam pilihan raya baru-baru ini sebagai “terburuk dan memalukan”, mengatakan trend penurunan sokongan dan penolakan pengundi terhadap parti itu adalah jelas kepada semua pihak kecuali bagi pimpinan tertinggi. 

    Beliau  berkata, walaupun isu rasuah yang melanda kepimpinan UMNO  menjadi punca utama, namun keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) itu juga menunjukkan hilangnya kelompok tengah yang pernah menerajui kerajaan suatu ketika dulu.

    “Rungutan sosio-ekonomi ini diluahkan melalui parti politik etno-agama. Ini dapat dilihat dalam PRN. Ia berlaku pada pilihan raya umum 2022, tetapi paling jelas ditunjukkan dalam pilihan raya negeri ini: rasuah dan hubungan antara rungutan sosio-ekonomi dan politik identiti,” kata Chandra kepada portal MalaysiaNow.

    Beliau berkata faktor yang sama menjelaskan “kejayaan besar” DAP dalam PRN, di mana ia memenangi semua kecuali satu daripada 47 kerusi yang ditandinginya. 

    Chandra berkata sejak berkembang daripada PAP Singapura, parti itu sentiasa menjadi jurucakap kepada rungutan bukan Melayu. 

    “Ini adalah bagaimana ia menggerakkan sokongannya, dan ia memainkan peranan dengan berkesan dalam setiap pilihan raya,’’ katanya.

    Namun, katanya apa yang lebih penting ialah bagaimana rungutan itu disuarakan, iaitu dengan berhujah bahawa orang bukan Melayu adalah “warganegara kelas kedua”. 

    “Ia sangat berkesan apabila dibentangkan secara terang-terangan dan istilah perkauman yang begitu jelas. Saya katakan ia adalah terang-terangan dan jelas kerana jika anda melihat kepada keseluruhan realiti dan keseluruhan landskap, adalah tidak benar untuk mengatakan bahawa orang bukan Melayu benar-benar terpinggir atau mereka ditindas,’’ katanya.

    Beliau berkata selain pencapaian ekonomi, hak budaya dan pendidikan yang diberikan kepada masyarakat Cina di Malaysia adalah unik jika dibandingkan dengan negara lain yang dijajah.

    Katanya, walaupun beberapa rungutan bukan Melayu adalah benar, namun terdapat usaha “memutar belit dan mengelirukan” dalam mengutarakan perkara tersebut sehingga mewujudkan jurang antara orang Melayu dan bukan Melayu.

    “Sebab inilah DAP dilihat dari sudut tertentu oleh orang Melayu, bukan hanya mereka dalam UMNO, iaitu disebabkan cara ia menyuarakan rungutan orang Cina,” kata Chandra sambil menambah bahawa perkara yang sama juga dilakukan Pas dalam menyalurkan rungutan orang Melayu.

    “Saya tidak mengatakan gabungan yang memerintah sekarang tidak melakukan kesalahan serupa, mereka turut sama dalam permainan ini tetapi dengan cara yang berbeza dan untuk tujuan yang berbeza,’’ katanya.

    Beliau berkata terdapat keperluan untuk bersikap jujur apabila bercakap tentang rungutan etnik, mengatakan kecenderungan untuk memperjuangkan sesuatu kaum adalah lebih berbahaya sekarang berbanding sebelum ini.

    “Parti politik berasaskan etnik kini mendominasi. Gabungan politik masa lalu, walaupun lemah, namun dapat mengekalkan kelompok tengah. Kelompok ini sudah hilang, dan sebaliknya anda mempunyai kuasa dominan yang bercakap bagi pihak satu komuniti terhadap yang lain,’’ katanya.

    PRN baru-baru ini menyaksikan enam kerajaan negeri kembali kepada status quo, dengan Pakatan Harapan (PH) mengekalkan Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, manakala Kedah, Kelantan dan Terengganu kekal di bawah PN. 

    Rakan kongsi PH, Barisan Nasional (BN) yang hanya diwakili oleh UMNO, ditewaskan sekali lagi oleh PN, hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandinginya, mengulangi kekalahan  pada pilihan raya umum November lalu apabila hanya memenangi 26 kerusi Parlimen. 

    Sokongan besar orang Melayu terhadap PN juga menyaksikan gabungan itu menafikan majoriti dua pertiga PH di Selangor, menjadi lebih kuat di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

    Chandra berkata keuntungan Pas  dalam PRN tidak mengejutkan, mengatakan parti itu dan UMNO mendapat manfaat daripada kelemahan antara satu sama lain pada masa lalu. 

    Tetapi faktor yang lebih besar, katanya, ialah kebangkitan kesedaran Islam dalam kalangan orang Melayu, sambil menambah ini boleh dilihat dalam populariti pematuhan syariah dalam sektor perniagaan dan pendidikan, serta lebih ramai wanita Islam yang bertudung. 

    Beliau berkata “formula kemenangan” Pas ialah kejayaannya menggabungkan personaliti agamawan dengan teknokratnya, sambil menambah ini dimainkan di Terengganu apabila pasukan teknokrat dan agama, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berjaya menguasai negeri itu di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). 

    “Inilah sebabnya mereka menukar kepimpinan di Kelantan,” katanya merujuk kepada keputusan Pas menjelang pilihan raya untuk menggugurkan Datuk Ahmad Yakob dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah masing-masing sebagai Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar.