Author: Wartawan WartaRakyat

  • Remaja lemas ketika mandi di air terjun

    Remaja lemas ketika mandi di air terjun

    SEORANG remaja lemas semasa mandi bersama tiga rakannya di Air Terjun Lata Medang Kuala Kubu Bharu di Hulu Selangor hari ini.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.08 petang.

    “Sepasukan enam pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi kejadian.

    “Menurut laporan awal, kejadian membabitkan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun lemas ketika mandi bersama tiga rakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hafisham berkata, pihaknya melakukan operasi mencari dan menyelamat melalui kaedah ‘surface water rescue’.

    “Mayat mangsa ditemui pada pukul 4.03 petang dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Jumpa Anwar sekadar sambung persahabatan arwah bapa, kata Nik Abduh

    Jumpa Anwar sekadar sambung persahabatan arwah bapa, kata Nik Abduh

    BEKAS Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menjelaskan, pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini tidak mempunyai sebarang kaitan terhadap pendirian politiknya.

    “Perjumpaan itu sebaliknya hanya sekadar menyambung persahabatan antara arwah bapa saya dengan Anwar yang telah terjalin sejak sekian lama.

    “Menyambung persahabatan dengan kawan-kawan ayah kita adalah sunnah Rasulullah SAW termasuklah dengan keluarga dan rakan-rakan mereka
    .
    “Kemudian, kebaikan hendaklah dihargai, kemudian biarkannya bersambungan. Tidak putus-putus. Itu pun sunnah baginda,” katanya dalam satu hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.

    Nik Mohamad Abduh mengulas, meskipun terdapat perbezaan besar daripada segi fahaman politik antara dua figura berkenaan, namun persamaan yang dimiliki itu tidak memanjangkan perselisihan berkenaan.

    “Begitulah saya. Perbezaan kekal. Persamaan mendekatkan. Jalan saya adalah jalan ayahanda saya. Islam adalah penyelesaian. Itulah universiti politik Kelantan.

    “Ada pun desas desus itu dan ini, itu debu. Jaga mata anda. Tak sakit pun, kabur jadinya,” jelas beliau, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini, pertemuan antara Nik Mohamad Abduh dengan Anwar menimbulkan tanda tanya daripada pelbagai pihak.

    Pertemuan itu yang dikatakan diadakan di Hotel Perdana turut dihadiri abangnya iaitu Nik Omar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

  • Kumpulan pertama haji Malaysia tiba di Madinah

    Kumpulan pertama haji Malaysia tiba di Madinah

    SERAMAI 284 jemaah haji kumpulan pertama yang menaiki pesawat Penerbangan Malaysia KT1 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamed Bin Abdulaziz, Madinah hari ini.

    SINAR HARIAN melaporkan, mereka kemudiannya dibawa dengan menaiki tujuh bas ke hotel penginapan, Hotel Saja Al Madinah yang jaraknya 19 kilometer dari lapangan terbang dengan perjalanan mengambil masa kira-kira 22 minit.

    Ketibaan jemaah disambut Duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah; Timbalan Ketua Rombongan Haji (kebajikan), Nurrinanuwar Shamsuddin; Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr Abdul Marsudi Manah; Konsul Haji, Mohammed Heikal Mohammed Yusoff dan Pengarah Operasi Madinah, Ashrof Shamsuddin.

    Hari ini, sebanyak empat penerbangan berlepas dari KLIA ke Madinah membawa kira-kira 1,100 jemaah haji.

    Semua jemaah haji Malaysia yang memasuki Madinah akan menginao di tiga buah hotel iaitu Saja Al Madinah, Anwar Al Madinah Movenpick dan Emaar Royal Hotel yang bertaraf lima bintang yang kedudukannya hanya 50 meter dari Masjid Nabawi.

    Sepanjang enam hari berada di Madinah, pelbagai program telah dirancang antaranya aktiviti ziarah dalam iaitu melawat ke Makam Nabi Muhammad SAW, memasuki Raudhah dan program pemantapan ibadah haji bagi menjawab segala persoalan jemaah serta meningkatkan lagi pemahaman berkaitan Rukun Islam kelima itu.

    Turut dirancang program ziarah luar iaitu jemaah akan dibawa melawat ke Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan makam syuhada serta ke ladang kurma.

    Mengulas mengenai proses ketibaan yang lancar, Wan Zaidi berkata, jemaah tidak perlu menunggu lama di lapangan terbang berikutan manfaat program pra perlepasan jemaah haji atau ‘Makkah Route’.

    “Ia memudahkan jemaah haji Malaysia yang tiba di Madinah dan Jeddah dengan urusan pasport dilakukan sebelum berangkat ke sini,” katanya.

    Menurutnya, Malaysia adalah antara negara terawal menerima kemudahan program berkenaan kerana mempunyai rekod pengurusan haji yang cemerlang.

  • Pelukis pelan mengaku tak salah muat naik hantaran hina Islam

    Pelukis pelan mengaku tak salah muat naik hantaran hina Islam

    SEORANG pelukis pelan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana memuat naik kenyataan jelik menghina agama Islam.

    Tertuduh, Muhammad Firdaus Embong, 39, yang juga Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman, lapor Berita Harian.

    Mengikut pertuduhan, OKS secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk gambar yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakiti hati orang lain dengan menggunakan akaun facebook bernama ‘firdaus embong’.

    Hantaran itu dilihat pada jam 10 pagi pada 15 Disember 2021 di Jabatan Hal Ehwal Agama Bahagian Penguatkuasaan Syariah Jalan Sultan Mohamad, Kuala Terengganu.

    Bagi kesalahan itu, OKS yang didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah kemudian membenarkan OKS diikat jamin sebanyak RM4,000 dan menetapkan 21 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Nabihah Hizamul-Din.

  • Wang RM90,000 lesap ditipu ejen jualan kereta

    Wang RM90,000 lesap ditipu ejen jualan kereta

    SEORANG pemuda ‘berputih mata’ apabila wang untuk membeli kenderaan bernilai RM90,000 lesap selepas menjadi mangsa penipuan.

    Mangsa yang berusia 36 tahun itu ditipu ketika dalam proses membeli Honda HR-V melalui ejen jualan kereta.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki warga tempatan berkaitan penipuan urusan jual beli kenderaan.

    Menurutnya, mangsa berurusan dengan seorang lelaki tempatan yang mendakwa bekerja sebagai ejen jualan di sebuah syarikat kenderaan terkemuka di Jalan Damansara, Kuala Lumpur, 9 Januari lalu.

    “Ketika itu, mangsa sudah membuat bayaran wang tempahan berjumlah RM500 kepada suspek dan bayaran berkenaan sudah diserahkan kepada pihak syarikat.

    “Pada 29 April hingga 4 Mei pula mangsa membuat pembayaran secara tunai bernilai RM70,000 dan pindahan dalam talian sebanyak RM20,000 ke nombor akaun syarikat yang diberikan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Amihizam berkata, namun pada 11 Mei, mangsa menerima panggilan telefon daripada pengurus pusat pameran yang memaklumkan pihaknya masih belum menerima bayaran pendahuluan.

    “Mangsa turut dimaklumkan bahawa suspek tidak lagi bekerja dengan syarikat mereka,” ujar beliau.

    Tambahnya, suspek bagi kes itu sudah dikenal pasti dan tindakan lanjut sedang dijalankan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, katanya lagi.

    “Orang ramai diminta supaya berhati-hati dengan segala taktik penipuan yang menyebabkan ramai mangsa lebih terpedaya,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Pemuda UMNO Johor tegur Mat Maslan selepas seru penyokong UMNO undi DAP

    Pemuda UMNO Johor tegur Mat Maslan selepas seru penyokong UMNO undi DAP

    PERGERAKAN Pemuda UMNO Johor menegur pemimpin Pusatnya selepas menyeru ahli parti itu mengundi DAP pada pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan pertengahan tahun ini.

    Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, UMNO tidak perlu menjadi jurucakap rasmi kepada parti lain.

    “Dalam UMNO menguruskan kepentingan politiknya dalam kerajaan perpaduan, tidaklah sehingga UMNO perlu menggadaikan prinsip politiknya.

    “Kebersamaan kita dalam membentuk kerajaan perpaduan, tidaklah sampai ke tahap kita pula jadi jurucakap rasmi kepada parti lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Kelmarin, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata pengundi UMNO perlu memilih calon daripada kerajaan perpaduan pada PRN tanpa mengira calon tersebut daripada parti mana termasuk DAP.

    Menurut beliau, gesaan tersebut bukan atas nama parti tertentu sebaliknya atas nama kerajaan perpaduan serta titah Yang di-Pertuan Agong dalam menjaga kestabilan politik negara.

    Semalam, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching turut menyeru ahli dan penyokong DAP memberi sokongan dan undi kepada calon UMNO pada PRN di enam buah negeri nanti.

  • Selangor boleh tumbang jika Amirudin jadi calon MB

    Selangor boleh tumbang jika Amirudin jadi calon MB

    PARTI Hijau Malaysia menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempertimbangkan muka baharu menteri besar Selangor .

    Setiausaha Penaja parti itu, Abdul Razak Ismail mendakwa, kerajaan perpaduan mungkin tumbang sekiranya Datuk Seri Amirudin Shari sekali lagi dicalonkan untuk jawatan itu dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Menurutnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR) berdepan serangan sengit dalam PRN nanti dan menamakan calon dengan liabiliti untuk jawatan itu boleh memberi kesan buruk.

    “Amirudin gagal menyelesaikan beberapa isu kontroversi membabitkan projek kerajaan termasuk mendalamkan sungai yang dikenali sebagai Selangor Maritime Gateway dan pembangunan kompleks sukan Shah Alam.

    “Perdana menteri perlu memilih calon yang lain yang lebih layak lebih arif dan wibawa untuk menjadi menteri besar sekiranya PH dan Barisan Nasional (BN) diberi mandat memerintah Selangor dalam PRN akan datang,” katanya dalam kenyataan.

    Razak percaya Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan isu-isu tersebut habis-habisan untuk menumbangkan kerajaan perpaduan di Selangor.

    Beliau juga mencadangkan muka baharu dicalonkan PKR untuk DUN Sungai Tua (sebelum ini dikenali sebagai Batu Caves) untuk menggantikan Amirudin yang menyandang kerusi itu sejak 2008.

    “Biarlah beliau kekal dan memainkan peranannya sebagai Ahli Parlimen Gombak yang dimenanginya pada PRU 15 yang lalu,” katanya, lapor FMT.

    Amirudin pada Khamis lalu mengumumkan kesediaan beliau untuk menerajui kerajaan negeri untuk sepenggal lagi sekiranya PH dan BN memenangi PRN.

    Beliau menjadi menteri besar Selangor sejak Jun 2018, menggantikan Azmin Ali yang kini bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

  • Anak Annuar beri ‘bayangan’ tak ikut masuk Pas

    Anak Annuar beri ‘bayangan’ tak ikut masuk Pas

    ANAK Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau perlu membuat keputusan dan pilihan sendiri apabila sudah matang, tanpa mengikuti ‘guru’ yang pernah mengajarnya.

    Afiq Amani Annuar yang juga ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh berkata, setiap insan adalah ‘berbeza’ pendirian dan keputusan diambil mereka.

    “Apabila berguru, kita turuti mereka untuk menuntut ilmu, tetapi sampai satu masa, kita perlu membuat keputusan dan pilihan sendiri apabila sudah matang, tak semestinya kita jadi guru kita.

    “Setiap insan berbeza, mungkin kita silap dan mungkin kita jadi lebih baik dengan keputusan yang kita ambil. Itulah kehidupan, kita hanya boleh lakukan yang terbaik dan berdamai dengan pilihan diri sendiri,” katanya dalam hantaran dalam Facebook miliknya.

    Semalam, bapanya yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh mengesahkan telah menghantar borang permohonan menyertai Pas, bulan lalu.

    Beliau turut mendakwa akan membawa lebih 1,000 ahli UMNO bersamanya menyertai parti itu.

    Bagaimanapun, UMNO Kelantan menyarankan Annuar mengajak anaknya menyertai Pas terlebih dahulu sebelum berkempen kepada orang lain supaya mengikut jejaknya.

    Ketua penerangannya, Zawawi Othman berkata, dengan cara itu pihak lain akan menyakininya untuk bersama meninggalkan UMNO dan menyertai Pas.

  • Penghantar makanan tunjuk kemaluan diburu

    Penghantar makanan tunjuk kemaluan diburu

    SEORANG wanita berdepan detik mencemaskan selepas penghantar makanan menunjukkan kemaluannya ketika memandu di Jalan Yaacob, Kuala Lumpur pukul 3.45 pagi semalam.

    Mangsa, 27, sedang memandu kereta di kawasan terbabit sebelum sebuah motosikal ditunggang penghantar makanan menghampiri kenderaannya.

    Menurut sumber, suspek kemudian mengeluarkan kemaluannya ketika sedang menunggang motosikal dan menunjukkan kepada mangsa.

    “Mangsa yang terkejut dengan perbuatan suspek kemudian mengeluarkan telefon bimbit untuk merakam perbuatan lelaki itu menyebabkan dia mula memperlahankan motosikalnya.

    “Mangsa yang trauma dengan kejadian itu kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

    Menurutnya, setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan siasatan masih berjalan.

  • Lima pelajar MRSM Balik Pulau ditahan, kes pukul junior

    Lima pelajar MRSM Balik Pulau ditahan, kes pukul junior

    POLIS menahan lima pelajar tingkatan lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau bagi membantu siasatan kes buli membabitkan seorang pelajar di sekolah berkenaan, Khamis lalu.

    Difahamkan, kejadian pada jam 11 malam itu berlaku di tandas lelaki Blok B bangunan sekolah berkenaan apabila seorang pelajar tingkatan tiga dipukul, dengan alasan lambat turun bagi solat Subuh.

    Mangsa dikatakan mengalami luka kecil pada bahagian badan akibat dipukul kumpulan pelajar terbabit, menggunakan kaki serta tangan dan mangsa memaklumkan kejadian itu kepada bapanya pada keesokan harinya.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan penahanan dibuat pada hari yang sama, sebaik menerima laporan daripada bapa mangsa.

    “Semua pelajar berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka dirakam.

    “Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh,” katanya di Balik Pulau, hari ini.

    Mengulas lanjut, Kamarul Rizal berkata, siasatan polis juga mendapati kelima-lima suspek turut membuli seramai 14 mangsa lain pada tarikh sama, di antara jam 11 malam hingga 12.30 tengah malam, di tiga lokasi berbeza iaitu tandas, bilik beg dan bilik senior di Blok B.

    “Namun, tiada laporan dibuat oleh mangsa lain setakat ini,” katanya lagi.

    Sementara itu, ibu seorang pelajar berkata, kejadian buli itu hanya diketahui umum selepas ada waris meminta kenyataan balas daripada pihak MRSM berhubung isu terbabit menerusi satu aplikasi.

    Beliau berkata, setakat ini, tiada kenyataan diberi pihak MRSM berhubung kejadian itu atau mungkin kenyataan hanya dibuat kepada ibu bapa pelajar yang terbabit.

    “Anak saya tidak terbabit atau dibuli, cuma apabila ditanya, dia memberitahu ada pelajar tingkatan lima memanggil pelajar tingkatan tiga secara beramai-ramai pada Sabtu lalu.

    “Pelajar tingkatan lima itu memberi amaran supaya menghormati dan memberi salam jika berselisih dengan mereka,” katanya, lapor Berita Harian.

    Menurut ibu pelajar itu, beliau difahamkan, dalam perjumpaan berkenaan anak perempuannya tidak dibuli atau dipukul, sebaliknya hanya diberi peringatan mulut kerana mereka menyifatkan pelajar tingkatan tiga terlalu ‘manja’.

    “Namun, kami dikejutkan dengan kejadian buli yang membabitkan tangkapan pada Jumaat lalu dan ia membabitkan pelajar lelaki,” katanya.