Author: Wartawan WartaRakyat

  • Polis rampas 77kg dadah bernilai RM3.2 juta daripada penjual ikan

    Polis rampas 77kg dadah bernilai RM3.2 juta daripada penjual ikan

    POLIS menahan seorang penjual ikan dan merampas dadah seberat 77 kilogram (kg) bernilai RM3.2 juta dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur pada 18 Mei lalu.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Shuhaily Mohd. Zain berkata, lelaki berbangsa Cina itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Selayang.

    Katanya, selepas pemeriksaan dilakukan pihak polis menemukan sebanyak 10 pil ekstasi yang disembunyikan di dalam beg silang milik suspek.

    “Susulan daripada tangkapan tersebut, polis telah menjalankan serbuan kedua dan berjaya merampas sejumlah pil ekstasi dan pil Erimin 5 dengan anggaran berat 20kg di dalam bonet kereta jenis Mercedes-Benz dipercayai milik suspek di kondominium sama.

    “Berpandukan suspek, polis telah menjalankan serbuan ketiga ke atas sebuah rumah di Batu Cave, Selangor yang dipercayai dijadikan stor untuk menyimpan pil Erimin 5,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur, hari ini.

    Tambahnya, hasil pemeriksaan pihaknya telah menemukan sejumlah pil Erimin 5 dengan anggaran berat 57kg.

    Menurut beliau, suspek mengedar dadah sejak awal tahun.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Shuhaily Mohd Zain menunjukkan sebiji pil estacy bertanda huruf ‘S’ yang berjaya dirampas ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Hasil ujian saringan awal, polis mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan tiada rekod jenayah lampau.

    “Suspek direman selama tujuh hari sehingga 25 Mei ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Jumlah keseluruhan dadah tersebut mampu menampung penggunaan seramai 250,000 orang pengguna dadah,” ujarnya lagi, lapor Utusan TV.

    Menurut Shuhaily lagi, polis percaya bahawa pasaran sasaran suspek adalah sekitar Lembah Kelang selain memaklumkan pihaknya masih menyiasat rangkaian kerja suspek.

  • Mana 1 juta al-Quran, soal Ahli Parlimen Pas

    Mana 1 juta al-Quran, soal Ahli Parlimen Pas

    SEORANG Ahli Parlimen Pas mempersoalkan status percetakan sejuta naskhah al-Quran ke seluruh dunia seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Januari lalu.

    Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berkata, Anwar membuat pengumuman itu awal tahun lalu sebagai tindak balas terhadap tindakan seorang ahli politik berhaluan kanan Sweden, Ramus Paludan, yang membakar kitab itu ketika tunjuk perasaan di negara tersebut.

    “Jadi ketika ini, di mana sejuta al-Quran itu, adakah ia sudah dicetak, siapa yang mencetak, di mana dicetak, bagaimana agihan itu dan dari mana dana untuk mencetak al-Quran tersebut,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Percetakan Teks Al-Quran (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat.

    Anwar pada 28 Januari lalu berkata, hanya dengan cara percetakan sejuta naskah al-Quran dapat menjawab ‘kerja gila’ yang dilakukan Paludan itu.

    Katanya, Putrajaya turut akan menghubungi negara Islam lain bagi menyelaraskan pengedarannya secara lebih berkesan.

    Pada 6 Februari lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) diarah mengetuai satu jawatankuasa khas bagi menyelaraskan usaha kutipan dana percetakan dan pengedaran sejuta al-Quran ke seluruh dunia.

    Sementara itu, Tarmizi mempersoalkan mekanisme akan diambil kerajaan dalam menghalang penyebaran teks al-Quran palsu yang dipaparkan melalui aplikasi telefon pintar.

    “Bagaimana akta ini dapat mengawal teks al-Quran secara maya, yang hari ini hampir semua dalam dewan (membaca) melalui aplikasi al-Quran dalam telefon pintar kita.

    “Sama ada melalui aplikasi Google, pelbagai kaedah dalam alam maya, yang ia sebahagian daripada teks yang perlu dilihat, perlu dikawal, jadi teks yang kita muat turun itu benar-benar mengikut pengawalan yang kita tetapkan,” katanya lapor FMT.

  • Mahkamah tolak permohonan Lip Eng tangguh keputusan fitnah RM2 juta

    Mahkamah tolak permohonan Lip Eng tangguh keputusan fitnah RM2 juta

    MAHKAMAH sivil hari ini menolak permohonan Lim Lip Eng untuk menangguhkan keputusan fitnah RM2 juta terhadapnya.

    Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pagi ini menafikan permohonan ahli Parlimen Kepong itu untuk menangguhkan keputusan berkenaan sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

    Ketika dihubungi, peguam bela DAP, Guok Ngek Seong, mengesahkan Hakim Akhtar Tahir menafikan permohonan penangguhan itu semasa prosiding Zoom pagi ini.

    Peguam itu berkata, hakim Akhtar memutuskan bahawa tiada keadaan khas untuk penangguhan berkenaan dan memerintahkan Lim membayar kos RM3,000 kepada plaintif Monspace (M) Sdn. Bhd. dan pengasasnya Jessy Lai.

    Guok berkata, Lim akan memfailkan permohonan kepada Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan keputusan mahkamah sivil sementara menunggu rayuan itu diselesaikan, lapor Malaysiakini.

    Pada 16 Mac, Mahkamah Tinggi memutuskan memihak kepada saman fitnah Monspace terhadap Lim dan memerintahkan ahli parlimen itu supaya membayar ganti rugi RM2 juta dan kos RM250,000 dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

    Ahli DAP itu kemudiannya membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan mahkamah sivil itu. Beliau juga berjaya mengutip RM2.25 juta daripada dana awam untuk tindakan undang-undang tersebut.

    Pada 2019, media melaporkan Monspace dan pengasasnya memfailkan tindakan sivil terhadap Lim kerana mendakwa syarikat itu terlibat dalam skim pelaburan yang gagal membayar pulangan seperti yang dijanjikan kepada pelabur.

    Pada tahun yang sama, media melaporkan bahawa beberapa pengasas syarikat itu juga didakwa di mahkamah jenayah atas dakwaan skim piramid.

    Pada pertengahan 2019, Monspace dan Lai memfailkan tindakan fitnah di mahkamah sivil selepas Lim didakwa membuat beberapa kenyataan, termasuk ketika dia dan beberapa warga China melawat ibu pejabat syarikat itu di Bukit Jalil pada 23 Mei 2017.

    Menurut pernyataan tuntutan tuntutan berkenaan, kedua-dua plaintif menuntut ganti rugi am dan teruk bagi lebih 15 kenyataan berunsur fitnah yang didakwa dibuat oleh Lim melalui lima penerbitan antara 2017 dan 2018.

    Lim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu dan 19 warga China yang mendakwa mereka menjadi mangsa skim pelaburan MonSpace telah ke ibu pejabat firma multinasional itu untuk menuntut bayaran balik atau sekurang-kurangnya penjelasan mengapa pelaburan mereka kononnya tidak menjadi kenyataan.

  • Kerajaan berhutang RM10 juta dengan YBGK, bila akan dibayar-Takiyuddin

    Kerajaan berhutang RM10 juta dengan YBGK, bila akan dibayar-Takiyuddin

    KERAJAAN berhutang kira-kira RM10 juta dengan peguam yang membantu golongan miskin melalui Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

    Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) bertanya sama ada peguam membantu golongan miskin bawah Akta Pembelaan Awam yang dicadangkan akan diberi pampasan adil atau pembayaran mereka akan ditangguhkan.

    “Di Malaysia, sudah ada satu skim bantuan guaman Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) sejak 2010. Adakah perkhidmatan bawah akta baharu ini tidak akan bertindih dengan fungsi YBGK?

    “Keduanya, adakah kerajaan boleh jamin peruntukan kewangan yang cukup akan disediakan untuk (membayar peguam) apabila akta ini diwujudkan?

    “Dua hari lepas, didedahkan dalam mesyuarat Majlis Peguam, lebih RM10 juta tunggakan YBGK tidak dibayar. (Ini maknanya) peguam-peguam kecil, yang beri tumpuan bela marhaen, tak dapat bayaran,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

    Dalam jawapannya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata YBGK ialah sebuah syarikat berhad menurut jaminan dan beliau tidak menerima sebarang aduan mengenai kelewatan pembayaran daripada yayasan itu.

    Bagaimanapun, katanya, tidak seperti YBGK, akta baharu itu akan memastikan peguam membantu golongan miskin yang didakwa atas kegiatan jenayah akan menerima ‘pampasan yang adil’.

    Mengenai sama ada fungsi YBGK akan bertindih dengan Akta Pembelaan Awam, Azalina berkata, terdapat perkhidmatan bantuan guaman awam yang lain termasuk, jabatan bantuan guaman kerajaan, pusat bantuan guaman Majlis Peguam, YBGK dan klinik guaman dianjurkan oleh universiti awam seperti Universiti Malaya.

    “Saya tak dapat kata apa akan terjadi kepada YBGK, (belum) buat keputusan dasar, sama ada YBGK dimasuk atau diasingkan, saya tak boleh jawab soalan itu lagi,” katanya, lapor FMT.

  • Annuar Musa kukuhkan kedudukan PN di Kelantan menjelang PRN

    Annuar Musa kukuhkan kedudukan PN di Kelantan menjelang PRN

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan melihat tindakan Presiden Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa yang memilih Pas sebagai wadah perjuangan mengukuhkan lagi kedudukan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, pengalaman luas Annuar dalam dunia politik dan kerajaan sebelum ini menjadi ‘senjata’ baharu buat PN untuk berdepan gabungan Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN) pada PRN nanti.

    “Tahniah!..saya yakin Pas akan mendapat untung yang banyak dengan penyertaan beliau (Annuar) bersama pengikut dan penyokong setianya.

    “Tidak dinafikan Annuar mempunyai ramai kawan dan penyokong dalam UMNO terutama di negeri ini. Ramai pemimpin UMNO Kelantan telah mendapat menafaat semasa beliau menjadi menteri dahulu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Kamarudin memberitahu, beliau yakin ramai rakan sahabat yang terhutang budi dengan Annuar pastinya akan menyokong tindakan bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu secara diam atau terbuka.

    “Satu langkah dan pilihan yang tepat selepas sekian lama tidak berparti, beliau memilih parti yang didokong oleh gabungan PN yang sealiran memperjuangkan agenda rakyat,” ujarnya memetik laporan Utusan Malaysia.

    Warta Rakyat sebelum ini melaporkan, Annuar mengesahkan sudah menghantar borang permohonan menyertai Pas bulan lalu bersama lebih 1,000 ahli UMNO lain.

    Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau memutuskan menyertai Pas selepas lebih enam bulan meneliti secara dekat dan mendalam suasana politik negara mutakhir ini.

  • Johari dakwa ada syarikat tiada ‘track record’ meterai MoU dengan China

    Johari dakwa ada syarikat tiada ‘track record’ meterai MoU dengan China

    DATUK Seri Johari Abdul Ghani mendakwa terdapat beberapa syarikat daripada 19 syarikat Malaysia yang menandatangi memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat China hasil lawatan Perdana Menteri ke negara itu baru-baru ini, yang tidak mempunyai ‘track record’.

    Membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Titiwangsa dari Barisan Nasional (BN) itu turut mempersoalkan adakah Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) atau Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melakukan proses tapisan terhadap syarikat-syarikat tersebut.

    “Adakah MITI atau MIDA telah ‘vet through‘ syarikat-syarikat ini sebelum membawa Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk menyaksikan tandatangan MoU tersebut?

    “Ini kerana, saya nampak, daripada 19 MoU, ada beberapa syarikat tidak mempunyai ‘track record’ untuk kita persembahkan kepada sebuah negara seperti China, yang merupakan ekonomi kedua terbesar dunia,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

    Dalam masa sama, bekas Menteri Kewangan itu meminta penjelasan daripada MITI mengenai langkah yang akan diambil untuk memastikan komitmen pelaburan dianggarkan berjumlah RM170 bilion itu dapat memberikan manfaat kepada rakyat, termasuk peluang pekerjaan.

    “Saya tahu kalau ikut statistik, mana-mana pelaburan langsung asing (FDI) yang dibawa (masuk dalam negara), kita boleh realisasikan sekitar 70 peratus dan ia boleh membantu peluang pekerjaan yang sangat banyak kepada negara,” ujarnya lagi.

    Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri, Liew Chin Tong memberitahu Dewan Rakyat bahawa MoU yang ditandatangani akan dipantau oleh jawatankuasa secara khusus.

    Jelas beliau lagi, MIDA juga telah melakukan proses biasa dalam menilai MoU-MoU tersebut.

    “Untuk masa depan sebenarnya, kerajaan dipandu oleh dasar pelaburan baharu atau national investment policy melibatkan lima kriteria.

    “Kriteria tersebut ialah kita menerima pelabur asing atau apa-apa pelaburan pun, ialah untuk meningkatkan kemampanan ekonomi bagi menjana pekerjaan bernilai tinggi atau berpendapatan tinggi.

    “Selain itu, memperluaskan rangkaian domestik dan mewujudkan kluster ekonomi baharu dan meningkatkan keterangkuman. Ini adalah ‘dashboard‘ kita untuk memantau apa yang kita terima,” jawabnya lapor Astro Awani.

    Sebelum ini, Perdana Menteri ketika lawatan rasmi ke China mengumumkan Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China.

    Ia hasil daripada 19 MoU yang dimeterai antara syarikat Malaysia dengan China.

    Antara MoU itu ialah perjanjian utama antara DRB-Hicom Bhd dan Zhejiang Geely Holding Group Co., Ltd mengenai cadangan usaha sama dalam pembangunan dan pengkomersialan lembah teknologi tinggi automotif di Tanjung Malim, Perak, untuk kenderaan tenaga baharu serta antara Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia dan Dewan Perniagaan China untuk import dan eksport jentera dan produk elektronik.

  • Santiago mohon maaf kepada Zakir Naik

    Santiago mohon maaf kepada Zakir Naik

    BEKAS Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago hari ini memohon maaf secara terbuka kepada pendakwah, Dr. Zakir Naik kerana memfitnah melalui kenyataannya pada satu ceramah empat tahun lalu.

    Charles membuat permohonan maaf itu selepas Mahkamah Tinggi mendapati kenyataan beliau dalam ceramah bertajuk ‘Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE)’ pada 25 November 2019, memfitnah Zakir.

    Hakim Datuk Akhtar Tahir yang memutuskan demikian, bagaimanapun mengambil maklum daripada mencemarkan imej dan reputasi Zakir (plaintif), kenyataan itu sebenarnya meningkatkan reputasi plaintif sebagai seorang yang berpengaruh di negara ini.

    “Oleh itu mahkamah memutuskan plaintif (Zakir) tidak berhak mendapat sebarang ganti rugi, tetapi oleh kerana kenyataan berkenaan adalah fitnah, mahkamah mengarahkan defendan (Charles) memohon maaf secara terbuka atas kenyataan yang mengaitkan plaintif dengan penahanan dua ahli DAP,” katanya lapor Berita Harian.

    Selesai membaca penghakimannya itu, hakim kemudian memanggil Zakir dan Charles untuk tampil ke hadapan dan mengarahkan Charles meminta maaf secara terbuka kepada Zakir.

    Selepas Charles membuat permohonan maaf, Akhtar kemudian bertanya kepada Zakir sama ada beliau menerima permohonan maaf berkenaan, yang kemudian dijawab, “Ya”.

    Terdahulu, Akhtar berkata, kenyataan fitnah itu diterbitkan dalam portal Free Malaysia Today (FMT) di bawah tajuk ‘Critcism of Zakir Naik may have led to LTTE arrest says MP’, dipetik daripada apa yang diperkata oleh defendan mengenai penahanan dua ahli DAP pada 10 Oktober 2020 menjelang belanjawan dibentangkan di Parlimen.

    Beliau berkata, Charles mencadangkan penahanan itu mungkin sebagai tindak balas terhadap kritikan dan pelbagai laporan polis yang dibuat terhadap Zakir dan itu satu amaran kepada masyarakat India.

    Katanya, selain daripada hanya menafikan membuat kenyataan itu, mahkamah menyatakan defendan gagal secara efektif dalam mencabar apa yang dinyatakan dalam artikel berkenaan, oleh itu mahkamah membuat kesimpulan bahawa kenyataan itu sememangnya dibuat oleh defendan.

    “Mahkamah selanjutnya mendapati, walaupun defendan menyatakan ia tidak ditujukan kepada plaintif, kenyataan berkenaan adalah serampang dua mata, iaitu satu ditujukan kepada polis dan kerajaan dan satu lagi ditujukan kepada plaintif.

    “Implikasi daripada kenyataan terhadap plaintif itu ialah plaintif mempunyai pengaruh terhadap polis dan kerajaan dalam penahanan dua ahli DAP berkenaan.

    “Walaupun kenyataan itu ungkapan pendapat defendan, ia bersifat spekulatif dan belum disahkan serta tiada sebarang keterangan oleh defendan yang membuktikan kesahihannya. Oleh itu, Mahkamah memutuskan bahawa kenyataan ini memfitnah plaintif.”, katanya.

    Hakim bagaimanapun mendapati kenyataan Charles melalui kenyataan akhbar bertajuk ‘Wednesday Cabinet meeting Must Discuss Zakir Naik’s meddling into Politics’, pada 13 Ogos 2019, tidak memfitnah Zakir.

  • Dua lelaki didakwa bunuh lelaki tegur saiz payudara

    Dua lelaki didakwa bunuh lelaki tegur saiz payudara

    DUA lelaki termasuk seorang pengawal keselamatan dihadapkan di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pengurus sebuah syarikat pada bulan ini.

    Namun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh iaitu A. Deebanahsok, 27, dan Patrick Chu Chee Guan, 36, selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

    Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki terbabit secara bersama-sama didapati melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang lelaki seorang lelaki, M. Sandrasekeran, 33.

    Kesalahan itu dilakukan di Jalan 3/25 Taman Kenanga di Melaka antara pukul 3.30 pagi hingga 4.30 pagi, 9 Mei lalu.

    Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati.

    A. Deebanahsok dan Chu Chee Guan diwakili peguam Mathan Anandaram manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya oleh J. Banusha.

    Mahkamah kemudian menetapkan 30 Jun depan sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat, lapor Sinar Harian.

    Warta Rakyat pada 10 Mei lalu melaporkan gara-gara pertengkaran mulut kerana menegur payudara seorang wanita dipercayai jadi punca seorang pengurus syarikat maut ditikam di sebuah gerai makan di Taman Kenanga, Tengkera.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian yang berlaku pukul 4 pagi itu, mangsa berusia 35 tahun datang ke gerai makan tersebut bersama rakan-rakannya dalam keadaan mabuk kira-kira pukul 2 pagi.

    Menurutnya, selesai makan, mangsa kemudian telah bercakap dengan rakan-rakannya yang menegur saiz payudara seorang wanita yang juga pelanggan di gerai itu.

    Katanya, perbualan mangsa dengan rakannya itu telah didengari oleh pengawal peribadi kepada wanita berusia 26 tahun itu, lalu menegur mangsa dan memberitahu bahawa wanita terbabit merupakan majikannya.

  • Lelaki ditahan e-mel ancaman bom palsu di pusat beli-belah

    Lelaki ditahan e-mel ancaman bom palsu di pusat beli-belah

    SEORANG lelaki ditahan selepas disyaki membuat ancaman bom palsu melalui e-mel kepada sebuah pusat beli-belah di Ipoh semalam.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, tangkapan ke atas warga tempatan berusia 43 tahun pada pukul 11.30 malam di sebuah rumah di Kampar itu turut merampas alat komunikasi digunakan suspek.

    “Siasatan mendapati, suspek mempunyai sejarah penyakit psikiatri dan sedang menerima rawatan di klinik psikiatri Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

    “Saringan awal air kencing telah dilakukan dan suspek tidak berada di bawah pengaruh dadah,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan atas kesalahan menakutkan secara jenayah.

    Jelas beliau, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

    Menuruntnya, dalam kes itu, pihak pengurusan pusat membeli belah telah menerima e-mel daripada individu tidak dikenali menyatakan terdapat ancaman bom di bangunan berkenaan.

    Katanya, dalam e-mel tersebut turut meminta agar pihak pengurusan meningkatkan langkah-langkah keselamatan.

    “Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh di bangunan pusat membeli belah itu dan mengesahkan ancaman berkenaan adalah palsu,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Zahid perlu utamakan komponen BN, bukan DAP – MCA

    Zahid perlu utamakan komponen BN, bukan DAP – MCA

    MCA mengingatkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar berpegang kepada prinsip dan berhati-hati dalam segala perkara berkaitan hubungan atau kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH).

    Menurut Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, Ahmad Zahid haruslah menjaga kepentingan dan mengutamakan parti-parti komponen BN, bukannya PH terutamanya DAP.

    Tegas beliau, kerjasama antara BN dan PH perlulah ada timbal balas dan menguntungkan kedua-dua pihak, lapor Astro Awani.

    “Ditegaskan juga bahawa apa jua pendirian dan pandangan oleh MCA mestilah dikeluarkan oleh pemimpin MCA, khususnya Presiden MCA (Datuk Seri Wee Ka Siong), bukannya pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kelmarin, Ahmad Zahid dilapor berkata, pengundi UMNO boleh menggunakan konsep sama ketika menyokong dan mengundi calon MCA pada pilihan raya sebelum ini, untuk menyokong calon daripada DAP.

    Jelasnya, atas dasar kebersamaan, kaedah itu boleh digunakan untuk memilih calon dalam parti Kerajaan Perpaduan.