Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pengguna media sosial selar penerbit dakwa pawagam sabotaj filem Anwar

    Pengguna media sosial selar penerbit dakwa pawagam sabotaj filem Anwar

    PEMBIKIN dan penerbit Anwar: The Untold Story menerima kritikan hebat di sosial media selepas dakwaan segelintir pihak cuba mensabotaj tayangan filem tentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu. 

    Ini susulan kenyataan pihak produksi yang menyatakan selepas berjaya mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan Khamis lalu, namun jumlah kutipan tidak memenuhi sasaran apabila filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd dan edaran oleh DMY Creation seperti tidak mendapat slot tayangan seperti permintaan ramai.

    Pengguna Facebook menggunakan ruangan komen menolak dakwaan wujud unsur sabotaj terhadap filem itu dengan mengatakan ianya satu petunjuk ia sememangnya tidak mendapat sambutan dalam kalangan penonton.  

    Rata-rata mereka mengatakan tayangan filem yang memaparkan perjalanan politik Anwar sudah pasti mendapat rebutan setiap pawagam sekiranya boleh mendatangkan keuntungan. 

    “Sebenarnya tiada siapa yang mahu diperbodohkan dengan membuang masa menonton filem yang tidak berkualiti dan tangkap muat.

    “Rakyat Malaysia hari ini sudah cerdik dan tahu menilai mana yang terbaik dan lebih menghiburkan,” tulis Wan Zulkifli Abu Bakar di ruangan komen Facebook portal pro Pakatan Harapan (PH) MalaysiaKini. 

    “Rugi jika buka banyak slot pun tapi pawagam kosong.

    “Tauke pawagam nak filem yang boleh mendatangkan keuntungan,” tulis Rusliah Ahmad. 

    Filem arahan pengarah dari Indonesia, Viva Westi itu antaranya dibintangi Farid Kamil yang membawa watak Anwar dan pelakom Indonesia, Acha Septriasa sebagai isterinya, Dr. Wan Azizah Wan Ismail. 

    Filem yang membabitkan kos RM10 juta menjalani penggambaran kebanyakannya di Indonesia.

    Semakan dalam media sosial juga mendapati terdapat komen yang mengandungi kritikan sama dalam Berita Harian Online dengan ramai mencabar pihak produksi membuktikan dakwaan tersebut yang disifatkan tidak adil kepada industri pawagam negara. 

    “Nak ajak protes lagi ke? Kali ni depan TGV dan GSC,” kata Azhar Alfifilani. 

    “Kalau betul tuduhan itu bawa ke muka pengadilan dan gantung lesen. 

    “Jangan cakap sahaja,” tulis Zul Azmi Ali. 

    Sebelum ini MalaysiaNow melaporkan ribuan tiket percuma ditawarkan dalam media sosial untuk menarik orang ramai memenuhi pawagam di seluruh negara bagi menonton filem tersebut yang ditayangkan menjelang pilihan raya di enam negeri tahun ini.

    Menteri Komunikasi dan Digitial, Fahmi Fadzil pernah menyeru orang ramai menonton filem tersebut yang ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 18 Mei lalu.

    Filem berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998 itu, menceritakan mengenai perjalanan hidup Anwar sebagai timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan selepas dipecat daripada pentadbiran kerajaan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

  • Bekas ADUN Tambun Tulang meninggal dunia

    Bekas ADUN Tambun Tulang meninggal dunia

    BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Selayang, Kuala Lumpur, tengah hari tadi.

    Perkara berkenaan disahkan oleh Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Azizan Sulaiman selepas dihubungi sebentar tadi.

    Allahyarham yang berusia 63 tahun adalah adik kepada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan menjadi ADUN Tambun Tulang dari 2013 hingga 2022.

    Selain itu, beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Ahli Parlimen Arau dari 2008 sehingga 2013 dan dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Arau, lapor Harian Metro.

  • Tabung Haji sedia pakar rujuk bantu jemaah haji

    Tabung Haji sedia pakar rujuk bantu jemaah haji

    SEBELUM jemaah haji berangkat ke Tanah Suci, Tabung Haji (TH) telah mengadakan kursus haji bagi memberikan persediaan yang secukupnya kepada tetamu Allah SWT itu.

    Lazimnya kursus haji terbahagi kepada empat bahagian iaitu Kursus Asas Haji (KAH), Kursus Intensif Haji (KIH), Kursus Khas Haji (KKH) dan Kursus Perdana Haji (KPH).

    Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan dari semasa ke semasa akan wujud kekeliruan dalam kalangan jemaah berhubung aspek hukum apabila mereka berada Makkah dan Madinah.

    Bagi mengelakkan jemaah haji bertambah keliru dengan merujuk kepada ‘pakar tidak bertauliah’, TH turut menyediakan pasukan yang pakar dalam sudut agama di Tanah Suci untuk menjawab setiap persoalan yang timbul.

    SINAR HARIAN melaporkan, Pengurus Ibadat dan Ziarah di sektor Madinah, Muhammad Fakhrur Ridzwan Othman, pihaknya mempunyai lapan pembimbing ibadat yang terdiri daripada empat orang untuk zon satu dan dua, manakala bakinya bertugas bagi menyantuni jemaah bagi urusan ziarah.

    “Kita juga menggalakkan dan meminta semua jemaah haji untuk mendaftar masuk ke dalam portal e-bimbingan sebab portal itu akan membantu jemaah haji untuk memahami persoalan-persoalan hukum berkaitan haji dan umrah sebelum mereka berangkat ke Makkah.

    “Bagi pertanyaan-pertanyaan atau kemusykilan yang dihadapi, mereka boleh merujuk kepada guru-guru agama yang kita sediakan di sini ataupun menggunakan talian ibadat bagi mengajukan pertanyaan,” katanya kepada media Malaysia di Madinah.

    Kata Muhammad Fakhrur Ridzwan lagi, melalui e-Taib platform pertanyaan menerusi aplikasi WhatsApp dan Talian Ibadah Haji (Taib), jemaah boleh menghantar soalan dan akan dijawab oleh pembimbing ibadat.

    “Portal e-Bimbingan konsepnya ialah e-Learning, dalam tu ada kursus yang kita muatkan sebelum ini dan penerangan berkaitan persoalan ibadat haji dan umrah. E-Taib pula medium untuk jemaah mengajukan persoalan atau interaksi antara jemaah dengan pembimbing ibadat haji Tanah Suci yang tidak sempat ditemui secara fizikal,”katanya.

    Mengulas lanjut mengenai e-Taib, beliau berkata, sektor itu diuruskan oleh empat pembimbing ibadat dan beroperasi 24 jam secara bergilir-gilir.

    Menyentuh mengenai soalan lazim yang ditimbulkan jemaah, beliau berkata ia seringkali berkisar mengenai topik bayaran dam (bayaran denda) apabila keguguran rambut dan persoalan (hukum hakam) fiqh wanita yang selalu menjadi persoalan dalam kalangan jemaah wanita.

    Berikutan cuaca panas yang dialami Madinah ketika ini, pihaknya telah merancang ziarah luar pada waktu pagi agar jemaah tidak terdedah kepada suhu ekstrem semasa.

    Beliau berkata, ziarah luar yang akan bermula pada 23 Mei ini akan cuba dipercepatkan perjalanan, namun bergantung kepada keadaan trafik semasa.

    Untuk ziarah dalam ke Raudhah, ia akan diuruskan TH tanpa perlu menggunakan aplikasi Nusuk seperti mana jemaah yang bergerak secara individu.

    Sijil perakuan memasuki Raudhah yang dikeluarkan aplikasi Nusuk.

    Aplikasi Nusuk ialah platform digital bersepadu kerajaan Arab Saudi yang menawarkan perancangan yang mudah digunakan untuk perjalanan jemaah umrah dan pelawat ke Makkah serta Madinah.

    Nusuk dilancarkan Pihak Berkuasa Pelancongan Saudi untuk menyediakan rangkaian penuh perkhidmatan di seluruh ekosistem Visit Saudi termasuk memudahkan visa, permit, proses tempahan dan prosedur.

    Nusuk adalah antara inisiatif Program Pengalaman Jemaah Dalam Wawasan 2030 Arab Saudi.

  • Suri rumah sarat mengandung, 2 rakan mengaku salah miliki dadah

    Suri rumah sarat mengandung, 2 rakan mengaku salah miliki dadah

    SEORANG suri rumah yang sarat mengandung lapan bulan dan dua rakannya dijatuhi hukuman penjara masing-masing lima dan tujuh bulan selepas didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas dua pertuduhan memiliki dadah pada Februari lalu.

    Nor Ashyikin Ismail, 34, Muhamad Shah Ahmad, 45, dan Ahmad Kamal Jonet, 40, mengaku bersalah selepas pertuduhan pindaan itu dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, ibu empat anak itu bersama Muhamad Shah dan Ahmad Kamal didakwa memiliki morfin dan heroin seberat 0.97 gram di sebuah rumah di Parit Kadir, Senggarang, dekat Batu Pahat pada pukul 6 petang, 17 Februari lalu.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun.

    Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan ke atas Nor Ashyikin Ismail dan tujuh bulan terhadap Muhamad Shah dan Ahmad Kamal.

    Bagi pertuduhan kedua pula, Nor Ashyikin dan Muhamad Shah dapati positif Methamphetamine hasil ujian air kencing dijalankan di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, pada pukul 7.50 malam, hari sama.

    Justeru, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Kedua-dua tertuduh kemudian dijatuhkan hukuman penjara empat bulan. Mahkamah juga memutuskan semua hukuman ke atas ketiga-tiga tertuduh dijalankan serentak dari tarikh ditahan 17 Februari.

    Selain itu, tertuduh juga tidak dibenarkan meninggalkan kawasan tanpa kebenaran untuk tempoh dua tahun serta mengarahkannya melaporkan diri di balai polis berdekatan.

    Terdahulu peguam Tan Song Yan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon mahkamah menjatuhkan hukuman paling ringan memandangkan anak guamnya sedang hamil serta perlu membesarkan empat lagi anaknya masih kecil.

    Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepadanya.

  • Lantik kleptokrat, perasuah berdepan kes mahkamah jejaskan keyakinan pelabur, kata Azmin

    Lantik kleptokrat, perasuah berdepan kes mahkamah jejaskan keyakinan pelabur, kata Azmin

    TINDAKAN melantik kleptokrat dan individu yang berdepan tuduhan mahkamah memegang jawatan utama dalam kerajaan menjejaskan keyakinan pelabur asing, kata bekas menteri kanan perdagangan antarabangsa dan industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Beliau mempersoalkan, bagaimana kerajaan ingin meyakinkan pelabur datang dan melabur ke Malaysia memandangkan pelantikan dalam kalangan pentadbiran dilihat sebagai meragukan.

    “Pelabur asing sedang memerhati. Apabila mereka mengangkat kleptokrat, pemimpin korup, memegang jawatan utama dalam kerajaan, bagaimana anda yakinkan mereka (pelabur) datang dan melabur di Malaysia?” kata Azmin ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perikatan Nasional (PN) di Shah Alam malam tadi.

    “Maknanya keyakinan pelabur asing itu sudah terhakis,” katanya.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kejutan melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pembangunan desa dan wilayah meskipun berdepan dengan pelbagai tuduhan rasuah di mahkamah.

    Ini dilakukan walaupun Zahid sendiri menjadi modal kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk menyerang Barisan Nasional (BN).

    Baru-baru ini, jumlah perdagangan negara pada April 2023 mencatatkan penurunan 14.5% kepada RM198 bilion, eksport merosot 17.4% kepada RM105.42 bilion, manakala import menyusut  11.1% kepada RM92.58 bilion.

    Jika dibandingkan pada bulan sebelumnya, jumlah perdagangan merekodkan penurunan 14.9%, eksport susut 18.7%, import berkurang 10.1% manakala lebihan dagangan menyusut 51.9%.

    Mengulas mengenai kerjasama PN dan Barisan Nasional (BN) ketika era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, Azmin menegaskan individu yang berdepan tuduhan mahkamah tidak dilantik memegang jawatan utama.

    Justeru, beliau yang juga pengerusi PN Selangor mempersoalkan mengapa DAP berdiam diri dan membiarkan perkara ini berlaku.

    “Kamu (DAP) cakap tentang tadbir urus, kamu cakap tentang rasuah tetapi kamu benarkan perdana menteri ada kawan baru. Ini salah.

    “Ini pun sedang diperhatikan pelabur asing dan ini sebabkan prestasi perdagangan, pelaburan terkesan dan saya percaya jika PN diberi peluang, kita dapat kembali untuk pulihkan keyakinan pelabur asing,” tambah beliau, lapor Malaysianow.

  • ADUN Rembia akan sertai Pas?

    ADUN Rembia akan sertai Pas?

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis terus berteka-teki terhadap dakwaan bakal menyertai Pas.

    “Hanya hantu takut pada bayang-bayangnya sendiri,” katanya menurut Sinar Harian.

    Jailani tidak menafikan atau mengiyakan dakwaan itu, sekali gus menguatkan lagi khabar angin mengatakan beliau adalah ADUN Barisan Nasional (BN) yang bakal ‘disantuni’ Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam waktu terdekat susulan dakwaan akan menyertai Pas.

    Sabtu lalu, media melaporkan seorang wakil rakyat BN bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) kerana beliau satu-satunya yang dilihat hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PN Melaka di Jasin Bistari.

    Mac lalu, Jailani mendakwa Datuk Seri Sulaiman Mohd. Ali melepaskan jawatan ketua menteri Melaka atas ‘paksaan’, bukannya sebab lain, termasuk masalah kesihatan dan melancarkan pentadbiran.

    Pada Pilihan RAya Umum ke-14, Jailani bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia atas tiket Pakatan Harapan (PH) namun beliau kembali ke pangkuan UMNO pada 2021 selepas meninggalkan parti itu pada 2016.

    Beliau bersama beberapa ADUN PH ketika itu, membuat keputusan menyertai kerajaan Melaka pimpinan PN, sekali gus menyebabkan kerajaan negeri diterajui PH tumbang.

    Jailani kemudian menjadi wakil rakyat bebas selepas dilucutkan keahlian Parti Keadilah Rakyat (PKR).

  • ”Jumpa itu biasalah…apa masalahnya” – Setiausaha PN Perak

    ”Jumpa itu biasalah…apa masalahnya” – Setiausaha PN Perak

    Perikatan Nasional (PN) Perak menafikan terdapat usaha untuk menukar kerajaan negeri seperti yang dihebohkan.

    Bagaimanapun Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, pertukaran kerajaan bukan sesuatu luar biasa kerana pernah berlaku sebelum ini seperti mana selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Katanya, pertemuan dengan rakan-rakan ADUN juga perkara biasa yang tidak boleh dianggap sebagai perjumpaan rasmi untuk menjatuhkan kerajaan.

    “Jumpa itu biasalah, apa masalah. Saya jumpa kawan dari UMNO, DAP kita sembang macam biasa. Tapi janganlah menganggap ia bermula dari pihak kami. Siapa yang buat spekulasi dan timbulkan isu ini? Macam cerita you spark you jawab.

    “Tak timbul usaha kata ada usaha-usaha di peringkat PN nak membeli dan sebagainya. Kita tak ada duit pun, akaun kena beku, mana ada duit dah. Nak pergi pilihan raya pun tak tahulah,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Sidang Media Dewan Undangan Negeri (DUN) di Ipoh hari ini, lapor SINAR HARIAN.

    Sementara itu, Ketua Pembangkang DUN Perak, Razman Zakaria mengesahkan pertemuan tersebut berlaku ketika majlis serta program dan perbincangan dengan ADUN kerajaan itu berkisar tentang politik semasa di negeri ini.

    Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan bahawa kerajaan negeri Perak pimpinannya kukuh dengan sokongan 32 ADUN sekaligus menafikan desas-desus kononnya berlaku pertukaran kerajaan.

    Menerusi laporan media, Razman mendedahkan bahawa beberapa ADUN kerajaan bertemunya di sebalik khabar angin bahawa kerajaan negeri Perak akan tumbang.

    Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol bagaimana pun enggan mendedahkan nama ADUN berkenaan dan mengalu-alukan jika benar ADUN kerajaan berkenaan mahu menyokong atau bekerjasama dengan PN di Perak.

    Kerajaan negeri Perak yang ditadbir oleh parti Pakatan Harapan dan Barisan Nasional mempunyai sokongan 33 orang ADUN manakala pembangkang yang diterajui PN mempunyai 26 ADUN.

  • Hantar ganja guna balang biskut raya, 2 ditahan

    Hantar ganja guna balang biskut raya, 2 ditahan

    SINDIKET dadah menggunakan taktik baharu menyembunyikan ketulan ganja mampat dalam balang biskut raya untuk dihantar ke Sabah dan Sarawak menggunakan syarikat penghantaran barang.

    Pengarah Kastam Johor, Misbahudin Parmin berkata, susulan risikan selama tiga bulan hasil maklumat Jabatan Kastam Sarawak, sebuah pejabat syarikat penghantaran di Johor Bahru diserbu bulan lalu yang membawa kepada penemuan sembilan bungkusan biskut raya dan kacang disasarkan untuk pasaran Sabah serta Sarawak.

    “Pemeriksaan ke atas sembilan bungkusan kuih raya berkenaan mendapati 10 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja disembunyikan dalam bekas lutsinar bersama biskut raya.

    “Ini kali pertama sindiket penyeludupan dadah dikesan menggunakan modus operandi menghantar dadah disembunyikan bersama biskut raya yang dihantar menggunakan syarikat penghantar barang bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di Johor Bahru hari ini.

    Susulan itu, beliau berkata, seorang lelaki berusia 27 tahun yang membuat penghantaran biskut raya itu ditahan untuk siasatan lanjut.

    Katanya, penahanan itu kemudian membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Johor Bahru dijadikan pusat pembungkusan ganja untuk dihantar menerusi syarikat penghantaran bersama biskut raya berdasarkan tempahan dan seorang lelaki berusia 29 tahun yang positif dadah ditahan.

    “Ketulan mampat dipercayai ganja seberat 24kg dianggarkan bernilai RM82,874 ditemui di rumah itu dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Jika sabit kesalahan, ia membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah sekiranya tidak dihukum mati, dihukum dengan 15 sebatan maksimum,” katanya menurut Harian Metro.

  • Parlimen kecoh gara-gara ‘Kerajaan Muhyiddin’

    Parlimen kecoh gara-gara ‘Kerajaan Muhyiddin’

    MESYUARAT Kedua Penggal Kedua Parlimen ke-15 yang bermula hari ini kecoh apabila Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengeluarkan istilah ‘Kerajaan Muhyiddin’.

    Suasana tegang tersebut berlaku setelah Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) membacakan aturan mesyuarat supaya Guan Eng menarik semula kenyataan tersebut.

    Walaupun begitu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong tidak meneruskan perkara tersebut dan meminta supaya persidangan diteruskan.

    Justeru, Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau-PN) bangkit dengan meminta Alice mengambil maklum dan memberikan keputusan terhadap perkara tersebut.

    “Yang berhormat speaker, peraturan mesyuarat telah dikeluarkan. Kalau tidak setuju, sebut tidak setuju. Apa guna peraturan mesyuarat,” ujarnya.

    Selepas itu, satu pertelingkahan berlaku di antara Shahidan dan Gobind Singh Deo (Damansara-PH) yang sedang bersedia untuk bertanyakan soalan semasa persidangan itu.

    “Kita datang ke Parlimen, saya tanya soalan nak minta jawapan. Kenapa dibiarkan begitu. Dia (Shahidan) tidak faham standing order. Boleh kita teruskan soalan kita Yang di-Pertua,” soal Gobind.

    “Saya tanya Bagan, bukan kamu. Saya tanya Bagan,” balas Shahidan dengan nada tinggi.

    Bagaimanapun Alice mengulangi supaya Ahli Parlimen Arau bertenang dan duduk di kerusinya bagi meneruskan persidangan tersebut.

    Namun, keadaan masih berlarutan apabila Datuk Awang Solahuddin Hashim (Pendang-PN) bangkit bagi menyatakan ketidakpuasan apabila Alice tidak memberikan keputusan terhadap perkara tersebut.

    “Kalau sudah tidak ada keputusan, runding berkenaan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kita panggil kerajaan Anwar,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Dewan Rakyat: “Kerajaan ambil langkah ‘tempang’ tarik balik rayuan kalimah Allah”

    Dewan Rakyat: “Kerajaan ambil langkah ‘tempang’ tarik balik rayuan kalimah Allah”

    AHLI Parlimen pembangkang menyifatkan kerajaan mengambil langkah ‘tempang’ kerana menarik balik rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan berhubung isu penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian.

    Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Saad berkata, tiada pemakluman awam dibuat terhadap keputusan tersebut.

    Beliau mempersoalkan sama ada kerajaan sengaja menyembunyikan isu tersebut kerana takut bantahan umat Islam terhadapnya.

    “Saya melihat seolah-olah pihak menteri sendiri tidak benar-benar memahami implikasi daripada tindakan yang diambil tersebut.

    “Pertama, tidak ada keseriusan dalam keputusan yang diambil selepas sekadar menghantar nota Jemaah Menteri, dan bukan memorandum untuk dibahaskan oleh Kabinet secara lumat,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pencetakan Teks Al-Quran (Pindaan) 2023, di Kuala Lumpur.

    Mengulas lanjut, Ahmad berkata keputusan menarik balik rayuan juga didakwa tidak melalui proses libat urus yang sempurna.

    Jelas beliau, tiada perundingan dilakukan dengan pemegang taruh utama, mahupun institusi diraja sedangkan pendirian sultan-sultan adalah jelas dalam isu berkenaan.

    “Ketiga, pihak Majlis Agama Islam Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah tidak dilibat urus dalam keputusan diambil, sedangkan mereka terbabit sebagai sahabat mahkamah di peringkat Mahkamah Rayuan,” tambah beliau.

    Dalam masa sama, beliau membangkitkan persoalan adakah terdapat desakan ‘di sebalik tabir’ dalam isu berkenaan, selain mendakwa kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah gagal mempertahankan aspirasi umat Islam.

    “Oleh sebab itu, penggunaan kalimah Allah harus diteliti dan dilihat dengan betul,” ujarnya.

    Bagaimanapun, tindakan Ahmad membangkitkan isu kalimah Allah ditegur oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Noor kerana tidak tertumpu mengenai RUU Pencetakan Teks Al-Quran (Pindaan) 2023 yang sedang dibahaskan.

    “Saya beri ingatan kepada Yang Berhormat lain mengenai Peraturan Mesyuarat 36(1) adalah jelas. Kita laksana tugas kita sebagai mana dalam peraturan dan kita berbincang mengenai pindaan dan bukan ruang untuk berbahas perkara lain.

    “Saya tidak teragak-agak menggunakan Peraturan Mesyuarat 44 untuk memastikan perjalanan dewan ini jelas,” katanya, lapor Astro Awani.

    Usul RUU Pencetakan Teks Al-Quran (Pindaan) 2023 dibentang untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.