Author: Wartawan WartaRakyat

  • Polis beri amaran jangan sebar video mangsa pesawat terhempas

    Polis beri amaran jangan sebar video mangsa pesawat terhempas

    POLIS memberi amaran kepada orang awam agar tidak menyebarkan video mangsa nahas pesawat Beechcraft 390 (Peremier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie ,berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, pada Khamis lalu.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata mana-mana pihak yang masih berdegil bakal berdepan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Saya nak seru kepada masyarakat jangan tularkan benda-benda ini, hormatilah privasi keluarga mangsa.

    “Jangan sebarkan video-video ini, kalau ada salurkan kepada pihak polis. Macam-macam teori yang ada dan sebab itu saya katakan jangan buat spekulasi, biar pihak berkaitan buat siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Fasa 2, di Kuala Lumpur, hari ini, lapor BERNAMA.

    Beliau menghadiri majlis pengebumian Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun yang turut berkorban dalam nahas berkenaan.

    Katanya, setakat ini pihak polis telah mengambil keterangan tiga individu yang terlibat dalam penyebaran video nahas berkenaan selain tidak menolak kemungkinan individu lain akan dipanggil berdasarkan kesesuaian dan permintaan untuk membantu siasatan.

    Dalam kejadian itu, 10 mangsa disahkan terkorban dalam nahas pesawat itu.

    Lapan yang meninggal dunia terdiri daripada enam penumpang dan dua juruterbang pesawat ringan itu, manakala dua lagi ialah orang awam, masing-masing penghantar makanan bermotosikal dan pemandu e-hailing yang berada di kawasan nahas.

    Ketika kejadian, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dan mendapat kebenaran untuk mendarat di lapangan terbang itu pada jam 2.48 petang.

  • ”UMNO mesti ada pemilihan baru” – Ku Li

    ”UMNO mesti ada pemilihan baru” – Ku Li

    SELURUH kepimpinan UMNO harus bertanggungjawab terhadap prestasi buruk parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, bukannya satu-satunya individu yang harus dipersalahkan,” kata Tengku Razaleigh Hamzah.

    Dałam wawancara dengan The Star, bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, “Kamu tak boleh salahkan seorang. Saya tidak bela Zahid atau sesiapa.Kita hanya bercakap tentang menang dan kalah. Dan kepimpinan secara keseluruhan perlu bertanggungjawab atas kekalahan ini,” kata Tengku Razaleigh atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li.”

    Beliau turut mengingatkan, jika UMNO tidak berhati-hati, ia mungkin akan menyebabkan kehancuran kepada parti itu.

    “Jadi saya meletakkan semua kesalahan kepada kepimpinan parti. Jika kamu mahu seseorang disingkirkan, seluruh kepimpinan perlu disingkirkan, dan kita mesti rombak parti,” katanya.

    Tengku Razaleigh berkata usaha merombak UMNO boleh dilaksanakan melalui pemilihan parti walaupun parti itu baru sahaja selesai melaksanakan pemilihannya lima bulan lalu.

    “Kita mesti adakan pemilihan (parti) baru. Inilah pembaharuan yang sebenarnya. Kalau tidak, jangan cakaplah,” kata beliau.

    Tengku Razaleigh berkata, beliau tidak nampak calon lain yang sesuai untuk menggantikan Ahmad Zahid dan sebarang cadangan sedemikian perlu dibuat oleh lebih ramai ahli UMNO.

    Bagaimanapun, katanya beberapa perkara perlu dipertimbangkan, termasuk pemimpin berkenaan “mesti tahu apa itu Melayu” dan memahami Perlembagaan Persekutuan.

    Tengku Razaleigh yakin sokongan orang Melayu merupakan kunci utama bagi kerajaan yang stabil.

    “Kamu boleh mendapat undi yang bercampur-campur yang diperoleh Pas atau PN hari ini. Tetapi itu tidak mencukupi untuk memartabatkan negara bersama-sama.

    Selama ini, dari 1955, kita stabil dalam ‘tanda kurungan’ kerana orang Melayu,” katanya.

    “Ramai orang risau mengenai Anwar. Bolehkah Anwar dapat sokongan semua pengundi Melayu ini? Jika orang Melayu tidak bersama kamu, kamu tidak memiliki kerajaan yang stabil.

    “Dia boleh dapat majoriti dua pertiga atau apa sahaja di Parlimen. Tetapi adakah dia mendapat sokongan besar orang Melayu di belakangnya?” katanya sambil menegaskan sokongan daripada bukan Melayu juga penting untuk mendapatkan kestabilan.

    BN dan PH meletakkan seramai 108 calon pilihan raya di enam negeri baru-baru ini namun hanya 19 daripada mereka menang di kerusi yang dipertandingkan. UMNO disapu bersih di Kedah dan Terengganu, manakala hanya satu calon daripada parti itu menang di Kelantan.

  • 2 Timbalan Pendakwaraya, pegawai kanan polis dan 14 anggota polis ditahan di pusat hiburan

    2 Timbalan Pendakwaraya, pegawai kanan polis dan 14 anggota polis ditahan di pusat hiburan

    DUA Timbalan Pendakwaraya, pegawai kanan polis dan 14 anggota polis ditahan dalam serbuan di pusat hiburan di Seremban

    Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman menahan seorang pegawai kanan polis, 14 anggota pasukan itu dan dua timbalan pendakwaraya ketika disyaki sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Dato Sheikh Ahmad di Seremban, awal pagi tadi.

    Mereka ditahan dalam serbuan kira-kira jam 2.30 pagi.

    Berita Harian melaporkan, brdasarkan laporan polis yang tular dalam media sosial, hanya seorang daripada yang ditahan disahkan negatif hasil ujian air kencing dijalankan, manakala selebihnya berada di bawah pengaruh dadah termasuk dua timbalan pendakwa raya terbabit.

    Semua pegawai dan 14 anggota yang ditahan itu bertugas di pelbagai jabatan termasuk Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Nilai dan Tampin, selain Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Seremban serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

    Sementara dua timbalan pendakwa raya ditahan itu masing-masing bertugas di Shah Alam dan Negeri Sembilan.

    Berdasarkan laporan JIPS, semua yang disahkan mereka positif berada di bawah pengaruh dadah jenis Ketamin, Amphetamin dan Methamphetamine. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, mengesahkan serbuan dilakukan JIPS Bukit Aman dengan kerjasama IPK negeri di pusat hiburan terbabit awal pagi tadi.

    Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran terperinci dengan alasan ini siasatan awal masih dijalankan.

  • Gagal agih peruntukan sama rata punca PH-BN dihukum orang Melayu di 3 negeri – Hassan Karim

    Gagal agih peruntukan sama rata punca PH-BN dihukum orang Melayu di 3 negeri – Hassan Karim

    AHLI Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mungkin dihukum orang Melayu Islam di tiga negeri pada PRN lalu kerana gagal mengagihkan peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat.

    Katanya, beliau telah membangkitkan perkara itu sejak pentadbiran PH di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad namun tidak diendahkan yang akhirnya kerajaan itu hanya bertahan selama 22 bulan.

    Hassan berkata selepas PRU15 beliau membuat desakan supaya pemerintah berlaku adil kepada semua Ahli Parlimen termasuk blok pembangkang tetapi malangnya sehingga kini kerajaan diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal memberi peruntukan sama rata.

    Menurutnya, perbuatan itu disaksikan rakyat di negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) yang merasakan hak mereka mendapat dana pembangunan menerusi Ahli Parlimen telah dinafikan.

    “Maka apabila sampai waktu pilihan raya PRN baru-baru ini, rakyat Melayu Islam di negeri-negeri jajaran timur dan utara itu menghukum parti-parti politik PH-BN yang menguasai kerajaan pusat di Putrajaya,” katanya dalam catatan dalam Facebook beliau.

    Hassan berpendapat penolakan juga berpunca kerana rasa tidak puas hati orang Melayu Islam yang merasakan hak mereka di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dirampas kelompok elit serta kroni semasa pemerintahan UMNO.

    “Golongan atasan Melayu yang korup, serakah dan tidak amanah itu telah mengkayarayakan diri sendiri, anak pinak, kaum keluarga dan kroni-kroni kelas atasan mereka. Mereka ini adalah elit politik dan ekonomi menguasai punca kuasa di Kuala Lumpur dan Putrajaya selama lebih 60 tahun di bawah kekuasaan UMNO,” katanya.

    Beliau yang menegaskan prestasi buruk PH-BN pada PRN bukan berpunca “dosa” Anwar sebaliknya sistem federalisme tidak adil.

    Beliau berkata, PH menjanjikan harapan pada masa depan berbanding PN, jika wawasan Madani digagaskan Anwar dilaksana secara adil dan inklusif yang akhirnya dapat membuka hati rakyat di jajaran timur dan utara Semenanjung.

    “Jadi jangan takut dan panik dengan gelombang hijau, ia adalah fenomena politik, bukan momok atau hantu,” katanya.

  • ‘’Habis tu nak tengok cerita apa..Sinetron? – Pencipta ‘Upin&Ipin’ jawab Gabenor Bali

    ‘’Habis tu nak tengok cerita apa..Sinetron? – Pencipta ‘Upin&Ipin’ jawab Gabenor Bali

    PENCIPTA siri animasi Upin & Ipin menepis kritikan Gabenor Bali Wayan Koster yang menggesa pelajar negara itu tidak lagi menonton rancangan popular berkenaan.

    Pengarah Urusan Les’ Copaque Burhanuddin Md Radzi menegaskan semua pihak termasuk Wayan tidak perlu bimbang kerana program itu sarat dengan nilai Timur dan pengajaran.

    “Kita tunjuk semua budaya Timur, beliau nak budaya maca mana lagi? Indonesia itu besar, kalau kita tengok sebelah Riau (ramai) orang Melayu.

    “Orang Jawa pun tahu Upin & Ipin ini menyeronokkan, kanak-kanak di sana pun cakap Melayu yang mungkin membuatkan mereka risau

    “Upin Ipin banyak bagi pengajaran, Habis, mereka nak tengok cerita apa? Sinetron (drama)? Kalau baca komen-komen di media dan lain-lain, orang Indonesia sendiri marahkannya (Wayan),’’  katanya kepada FMT.

    Sebelum itu Wayan menggesa supaya pelajar negara itu mengutamakan filem dan kartun tempatan berbanding Upin & Ipin yang berasal dari Malaysia.

    “Orang muda biasanya suka menonton animasi apa yang datang dari Malaysia kan? Ya, Upin & Ipin. Jangan kita tonton lagi…Lebih baik sokong filem yang memfokuskan tradisi dan budaya kita,” kata Wayan pada majlis anugerah pertandingan esei filem di Dewan Perundangan Wilayah Bali baru-baru ini.

    Di sebalik gesaan itu, Burhanuddin yakin tayangan Upin & Ipin tidak akan terjejas selepas menerima jaminan daripada stesen televisyen di negara jiran.

    “Saya sudah periksa dengan stesen televisyen di sana dan mereka kata ‘biarkan pak’, kalau ada masalah stesen televisyen sudah tentu nasihatkan kami. Di Indonesia, penonton kita bukan macam di Malaysia, di sana seluruh ahli keluarga menonton (Upin & Ipin),” katanya yang turut memberitahu pihaknya dalam proses membina Taman Tema Upin & Ipin di Melaka.Les’ Copaque yang menerbitkan siri animasi popular itu mempunyai 17.9 juta pengikut di YouTube dan menjadi saluran pertama di Malaysia meraih ‘Diamond Play Button’ dengan sembilan bilion jumlah tonton

  • Negeri PN dicadang guna logo,tema Hari Kebangsaan berbeza – Fadhli

    Negeri PN dicadang guna logo,tema Hari Kebangsaan berbeza – Fadhli

    PEMUDA Perikatan Nasional (PN) akan mencadangkan supaya kerajaan negeri ditadbir komponen itu menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan diperkenalkannya.

    Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari hari ini memperkenalkan logo berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan digabungkan elemen warna pada Jalur Gemilang, dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.

    Fadhli berkata logo itu bakal digunakan untuk ucapan pimpinan PN sempena Hari Kebangsaan, namun tidak menolak kemungkinan diperluaskan ke peringkat kerajaan negeri ditadbir PN iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

    “Bagi Pemuda PN, kita akan cuba bertemu kerajaan negeri sebab mereka pasti ada persiapan masing-masing. Kalau belum terlewat, kita tidak menolak kemungkinan bertemu kerajaan negeri di bawah PN untuk guna tema dan logo yang sama (untuk sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri),” katanya lapor Berita Harian.

    Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, penggunaan tema dan logo berbeza dengan diperkenalkan oleh Putrajaya boleh diterima rakyat.

    “Rakyat boleh menerima tindakan seperti ini yang dicerminkan PRN lalu, bahawa rakyat menerima langkah politik daripada PN,” katanya.

    Pada Mei lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengumumkan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini dengan mengangkat Malaysia Madani sebagai logo rasmi.

  • Proses bedah siasat mangsa nahas pesawat selesai, tunggu padanan DNA

    Proses bedah siasat mangsa nahas pesawat selesai, tunggu padanan DNA

    URUSAN bedah siasat terhadap semua mayat mangsa nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina Shah Alam Khamis lepas, telah selesai malam tadi dan menunggu hasil padanan asid deoksiribonukleik (DNA).

    Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata sebanyak 300 sampel cebisan mayat telah dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan padanan DNA dan 30 peratus berjaya diselesaikan.

    Beliau berkata seramai 30 pegawai patologi dan forensik terlibat dalam bedah siasat berkenaan.

    “Semalam, kita telah mendapat satu padanan DNA yang positif milik penunggang p-hailing Muhamad Hafiz Muhamad Saleh dan jenazah diserahkan kepada warisnya pagi ini.

    “Pihak Jabatan Kimia sedang berusaha keras untuk melengkapkan semua padanan DNA dan kita positif semua urusan akan selesai Isnin ini,” katanya dalam sidang media di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang hari ini, lapor BERNAMA.

    Hussein menjangkakan satu lagi jenazah akan dapat dikenal pasti hari ini dan boleh diserahkan kepada waris esok.

    Beliau berkata selain padanan DNA, urusan pengecaman jenazah juga dibuat menggunakan rekod pergigian dan cap jari.

    “Setakat ini, polis telah berjaya mengenal pasti lapan cap jari mangsa,” katanya.

    Sementara itu, Hussein berkata beliau berharap waris mangsa nahas berkenaan dapat menerima seadanya keadaan jenazah yang diserahkan kepada mereka kelak.

    Beliau berkata terdapat cebisan-cebisan mayat yang telah terbakar dan tidak dapat diproses untuk mencari padanan DNA.

    “Waris juga harus bersabar kerana proses padanan DNA adalah rumit dan sensitif, dan kita mahu semua cebisan mayat diserahkan kepada pemilik yang sebenarnya,” katanya.

    Tragedi yang berlaku pada 2.48 petang itu menyaksikan sebuah pesawat peribadi terhempas dan mengorbankan kesemua dua kru dan enam penumpang selain meragut nyawa dua pengguna jalan raya masing-masing seorang pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing.

  • Jenazah penunggang p-hailing mangsa pesawat terhempas dituntut keluarga

    Jenazah penunggang p-hailing mangsa pesawat terhempas dituntut keluarga

    JENAZAH penunggang p-hailing, Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, mangsa nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina Shah Alam Khamis lepas, dituntut keluarganya pagi ini bagi urusan pengebumian.

    Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata jenazah akan dihantar untuk dikebumikan di Sidam, Sungai Petani di Kedah seperti yang diminta oleh keluarganya.

    “Pihak kami telah menghubungi ayah dan abang kepada Muhamad Hafiz bahawa jenazah boleh dituntut pagi ini. Jenazah akan dimandikan dan dikafankan oleh petugas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Masjid Jamek Ar-Rahimiah berhampiran dengan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) sebelum dihantar ke Sungai Petani,” katanya dalam sidang media di Jabatan Forensik HTAR, hari ini.

    Sementara itu, bapa kepada Allahyarham, Muhamad Saleh Othman, 57, berkata jenazah anaknya akan dibawa ke Masjid Al Huda Kampung Jerong, Sungai Petani untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan.

    “Insya-Allah urusan pengebumian akan diselesaikan pada hari ini juga,” katanya.

    Muhamad Saleh berkata beliau mengetahui jenazah anaknya boleh dituntut apabila menerima panggilan daripada anggota polis tengah malam tadi.

    “Urusan untuk tuntutan mayat dapat diselesaikan pada 3 pagi tadi,” katanya.

    Muhamad Saleh hadir ke Jabatan Forensik bersama isterinya Jamilah Ismail, 53, kira-kira pukul 8.30 pagi tadi bagi urusan tuntutan jenazah anak sulungnya itu.

    Terdahulu, van jenazah milik JAIS tiba di jabatan berkenaan pada 8.10 pagi.

    Tragedi yang berlaku kira-kira 2.48 petang Khamis lepas menyaksikan sebuah pesawat peribadi terhempas dan mengorbankan kesemua dua kru dan enam penumpang selain meragut nyawa dua pengguna jalan raya masing-masing seorang pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing yang melalui tempat kejadian.

  • Suhaizat,Nazri calon Amanah di PRK Pulai, Simpang Jeram

    Suhaizat,Nazri calon Amanah di PRK Pulai, Simpang Jeram

    BEKAS Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat diumumkan sebagai calon Parti Amanah Negara (Amanah) mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, 9 September depan.

    Perkara itu diumumkan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Amanah turut mengumumkan Jurutera Majlis Perbandaran Muar, Nazri Abdul Rahman sebagai calon DUN Simpang Jeram.

    Mohamad memaklumkan, nama kedua-dua calon itu telah dikemukakan Jawatankuasa Pemilihan Calon yang diketuai Naib Presiden Amanah, Adly Zahari.

    “Jawatankuasa ini telah bermesyuarat dan telah mengemukakan senarai calon kepada saya serta Ahli Jawatankuasa Nasional Amanah pada 17 Ogos untuk dimuktamadkan.

    “Setelah mengambil kira semua faktor dan pandangan daripada jawatankuasa ini, saya dengan ini mengumumkan calon-calon yang akan bertanding mewakili Amanah/PH serta parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan. Insya-Allah, calon-calon ini akan diperkenalkan dalam majlis memperingati Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayob pada 23 Ogos ini di DUN Simpang Jeram,” katanya dalam kenyataan itu.

    Suhaizan, 50, merupakan Setiausaha Politik kepada Salahuddin sewaktu Allahyarham menjawat jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

    Naib Pengerusi Amanah Johor itu pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), namun tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 862 undi.

    Susulan kemenangan PH di Johor pada PRU-14, beliau telah dilantik sebagai Speaker DUN pada Jun 2018.

    Suhaizan turut bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada tahun 2022 di kerusi Pulai Sebatang, namun sekali lagi tewas kepada calon BN. Beliau yang memperoleh 6,148 undi kalah kepada Hasrunizah Hassan dengan majoriti 6,325 undi.

    Dalam pada itu, Nazri, 56, yang telah berkhidmat lebih 30 tahun sebagai Jurutera di Majlis Perbandaran Muar merupakan Timbalan Ketua Amanah Bakri.

    Beliau yang memiliki Sarjana Kejuruteraan Awam Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) turut memegang jawatan Ketua Biro Ekonomi Pusat Khidmat DUN Simpang Jeram.

    Kedua-dua PRK itu dilaksanakan disebabkan kekosongan luar jangka susulan kematian Salahuddin pada 23 Julai lepas.

    Timbalan Presiden Amanah itu meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah, pada usia 61 tahun.

    Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan tarikh penamaan calon pada 26 Ogos, sementara pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pada 9 September.

  • PRN: Kekalahan UMNO bukti kebencian, kemarahan pengundi Melayu – Ismail Sabri

    PRN: Kekalahan UMNO bukti kebencian, kemarahan pengundi Melayu – Ismail Sabri

    KEKALAHAN UMNO dalam PRN minggu lalu menunjukkan kebencian dan kemarahan pengundi Melayu “bertambah marak seperti api membakar jerami”, termasuk dalam kalangan penyokong dan ahli parti.

    Sehubungan itu Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta pucuk pimpinan parti mendengar desakan akar umbi, termasuk melepaskan jawatan bagi memulihkan UMNO susulan kekalahan teruk itu.

    Beliau berkata, untuk memulihkan UMNO, ia memerlukan kepimpinan dinamik dan berkebolehan bagi mengembalikan idealisme perjuangan parti.

    Pada PRN Sabtu lalu, UMNO menang 14 kerusi di Negeri Sembilan, masing-masing dua kerusi di Selangor dan Pulau Pinang, hanya satu kerusi di Kelantan, tetapi gagal menang sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu.

    “Lebih membimbangkan trend kemerosotan undi Melayu kepada Umno kini turut merebak ke Negeri Sembilan. Satu-satunya negeri yang tidak terjejas dengan gelombang peralihan undi Melayu dalam PRU15, kini turut menerima tempiasnya.

    “Melihat kepada semua keputusan di atas seolah-olah Umno terpaksa bergantung kepada undi bukan Melayu untuk mencapai kemenangan. Ini sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

    “Jangan membiarkan nasib Umno persis MCA dan Gerakan yang terpaksa berpapah kepada undi Melayu untuk memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya,” tulisnya dalam kolum Utusan Malaysia.

    Bekas perdana menteri itu berkata, pengundi Melayu menolak Umno kerana ia menyimpang daripada idealisme perjuangan asal.

    “Lebih parah kepimpinan Umno memusnahkan Muafakat Nasional yang menjadi harapan umat Melayu terhadap penyatuan ummah. Lebih buruk apabila kepimpinan tertinggi mengheret Umno untuk bersama DAP, malah menggesa jentera bekerja dan mengundi parti itu.”

    Ahli Parlimen Bera itu berkata, Umno memerlukan perubahan drastik dari segi pendekatan, menjual naratif boleh diterima rakyat dan perubahan kepimpinan untuk terus relevan dalam arus politik negara.

    Katanya, Umno juga perlu mengubah cara ia berkempen, di mana jenteranya perlu mendekati pengundi atas pagar dan parti lawan, bukannya “berdakwah” kepada ahli sendiri, selain menguasai media sosial sepenuhnya.

    “Sejarah telah mengajar kita. Lihat kembali bagaimana dan kenapa Umno ditubuhkan 77 tahun lalu. Semoga parti yang saya cintai ini bukan sahaja bangkit, malah kembali memimpin negara.”