Author: Wartawan WartaRakyat

  • Saudi bakal tangkap jemaah tanpa visa haji mulai 19 Jun depan

    Saudi bakal tangkap jemaah tanpa visa haji mulai 19 Jun depan

    JEMAAH warga Malaysia yang ketika ini sedang menunaikan umrah di Mekah dinasihatkan supaya keluar dari Tanah Suci itu selewat-lewatnya pada 18 Jun depan.

    Demikian nasihat ‘mesra’ yang disampaikan oleh pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menerusi ciapan dalam laman sosial rasmi Twitternya mengenai perkara tersebut yang turut memberikan amaran bahawa pemegang visa umrah tidak dibenarkan menunaikan haji pada bulan depan.

    “Tarikh terakhir ketibaan jemaah dengan visa umrah ialah pada 4 Jun, manakala tarikh terakhir mereka perlu keluar ialah 18 Jun sebagai merujuk para jemaah yang datang ke Tanah Suci dengan menggunakan pakej umrah selama 15 hari 13 malam.”

    Susulan peringatan tersebut, tarikh terakhir penerbangan yang boleh membawa lagi bakal jemaah umrah dari luar negara ialah 3 Jun depan sebelum sempadan Arab Saudi ditutup.

    Situasi berkenaan akan menyaksikan hanya penerbangan yang mengangkut jemaah haji dibenarkan masuk ke negara tersebut selain menerusi pintu sempadan darat Arab Saudi.

    Selepas 18 Jun, pihak berkuasa Arab Saudi dijangka melakukan operasi besar-besaran bagi mengesan jemaah tidak memiliki visa haji di setiap bilik hotel yang terdapat di Mekah.

    Mereka yang didapati memegang visa umrah akan ditahan kerana dianggap menyelinap untuk tinggal lebih masa tanpa permit di kota suci itu bagi mengerjakan ibadah haji pula.

    Sekatan jalan raya juga akan dilakukan di semua laluan masuk ke Mekah dan kenderaan yang membawa jemaah tanpa visa haji akan diusir keluar atau diarahkan berpatah balik.

    Musim haji tahun ini dijadualkan mulai 18 Jun sehingga 18 Julai depan dan dalam tempoh itu, sesiapa yang tiada visa haji akan dianggap sebagai kes pendatang asing tanpa izin.

    Individu luar disabitkan bersalah oleh mahkamah Arab Saudi boleh dikenakan hukuman denda 50,000 riyal, penjara enam bulan dan diharamkan 10 tahun memasuki negara itu.

    Amaran tersebut juga selaras dengan peringatan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pada 13 Mei lalu agar umat Islam negara ini tidak menyalahgunakan visa umrah dan tidak mengeksploitasi visa pelancong bagi berada di Mekah sepanjang musim haji, lapor Utusan Malaysia.

  • Sindiket curi susu formula, suami isteri dihukum penjara 12 bulan

    Sindiket curi susu formula, suami isteri dihukum penjara 12 bulan

    SEPASANG suami isteri yang merupakan sindiket curi susu formula bayi dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.

    Tertuduh Mohd. Azlee Ibrahim, 39, dan Noor Bayah Ab. Manaf, 31, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus kertas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin.

    Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama telah mencuri 20 kotak susu jenama Enfalac bernilai RM6,747.60 yang diletakkan di rak jualan.

    Perbuatan itu dilakukan di Pasar Raya AEON Lebuh Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah, di Melaka antara pukul 5 petang hingga 7.45 malam 13 Februari lalu.

    Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu pasangan suami isteri yang diwakili peguam Muhammad Izzudiin Ab. Malek merayu hukuman ringan diberikan memandangkan tertuduh lelaki hanya bekerja di kedai cenderamata selain pasangan itu menanggung empat anak yang masih kecil dan isterinya juga sedang hamil tiga bulan.

    Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan pasangan itu bukan mencuri susu berkenaan kerana terdesak atau kesempitan wang.

    Sebaliknya ia sudah menjadi kebiasaan memandangkan modus operandi mereka adalah mencuri dan menjual kepada individu lain.

    Mazana pada penghakimannya kemudian menetapkan hukuman penjara selama 12 bulan daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 16 Februari 2023 lalu lapor Astro Awani.

  • Mayat terbakar ditemukan dalam kebun kelapa sawit

    Mayat terbakar ditemukan dalam kebun kelapa sawit

    MAYAT tanpa identiti ditemui terbakar di tepi kebun di zon kelapa sawit berhampiran kandang lembu di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar, hari ini.

    Penemuan mayat tersebut disedari orang awam yang ternampak asap dalam semak ketika melalui kawasan berhampiran pada pukul 7 pagi.

    Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd. Alias berkata, polis yang menerima maklumat terbabit bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

    “Kita masih menjalankan siasatan awal berhubung penemuan mayat berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

    Sehubungan itu, beliau berkata, orang awam dinasihatkan membuat laporan polis sekiranya terdapat ahli keluarga mereka yang hilang atau tidak pulang ke rumah.

    “Selain itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam bagi membantu siasatan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Tegas beliau, semua pihak dinasihatkan tidak membuat sebarang andaian berhubung motif kejadian terbabit dan orang awam juga diminta tidak menyebarkan sebarang spekulasi kerana motif sebenar kejadian belum dapat dipastikan.

  • Mahkamah Siti Bainun: Rayuan penangguhan hukuman penjara ditolak sekali lagi

    Mahkamah Siti Bainun: Rayuan penangguhan hukuman penjara ditolak sekali lagi

    PENGASAS Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, kekal dipenjara selepas sekali lagi gagal dalam permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu atas kesalahan mendera dan menganiaya remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella, sementara menunggu proses rayuan.

    Menurut laporan BH Online, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache, hari ini menolak permohonan itu selepas mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk membenarkan penangguhan hukuman berkenaan.

    Siti Bainun, 31, yang dibawa dari Penjara Kajang, diwakili peguam, Ahmad Faiz Munawar, manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria dan Shakira Aliana Alias.

    Turut kelihatan di galeri awam mengikuti prosiding ialah keluarga wanita itu, termasuk ibunya.

    Pada 3 Mei lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Siti Bainun bagi pertuduhan pertama atas kesalahan mengabai dan 12 tahun penjara bagi tuduhan kedua kerana menganiaya, dengan kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan secara serentak.

    Izralizam mengarahkan Siti Bainun dihantar ke penjara serta-merta, selepas menolak permohonan peguam bela pengasas Rumah Bonda itu, Mohammad Farhan Maaruf, untuk menangguhkan hukuman berkenaan sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.

    Mahkamah itu juga menetapkan supaya Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun, dengan cagaran RM5,000 dan menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam, yang disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

    Pada 9 Mac lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas mengemukakan lapan saksi dengan Siti Bainun sebagai saksi pembelaan pertama memberi keterangan pada prosiding bermula 26 Januari lalu.

    Saksi lain memberi keterangan ialah pensyarah kanan bidang psikologi perkembangan kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Abdul Rahman Ahmad Badayai serta pegawai penemubual Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC), Sarjan Siti Nur Balqes Abdul Rahim dan Nor Aidil Farhab Johaizad.

    Siti Bainun sepatutnya memberi keterangan membela diri pada 16 Januari lalu, namun prosiding ditangguhkan berikutan tiga peguamnya iaitu Nur’Aminahtul Mardiah Md. Nor, Mohammad Farhan dan Nur Ellena Mohamed Razif, menarik diri daripada mewakilinya.

    Prosiding membela diri itu bersambung keesokannya, namun dua lagi peguamnya iaitu Nurul Hafidzah Hassan dan Asiah Abd Jalil, turut membuat keputusan menarik diri daripada mewakili Siti Bainun, sekali gus menjadikan tertuduh tidak mempunyai peguam.

    Pada 26 Januari lalu, Izralizam mengarahkan Siti Bainun memberi keterangan membela diri walaupun wanita itu tidak diwakili peguam supaya tidak mengganggu perjalanan kes.

    Bagaimanapun, pada 20 Februari lalu, Siti Bainun melantik semula Mohammad Farhan, yang pernah mewakilinya semasa perbicaraan di peringkat pendakwaan.

    Pendakwaan mengemukakan 22 saksi, termasuk bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood; pakar psikiatri, Dr Wan Asyikin Wan Azlan; pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik, Dr Salmi Mohamed Shukur, yang memberi keterangan pada perbicaraan bermula 30 Mac 2022.

    Pada 24 November 2022, mahkamah memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, di antara Februari dan Jun 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan

  • Kanak-kanak maut dibaham buaya ketika cari siput

    Kanak-kanak maut dibaham buaya ketika cari siput

    SEORANG kanak-kanak lelaki maut dibaham buaya ketika sedang mencari siput dalam kejadian di perairan Pulau Sumangut Payau di Sandakan pada pukul 8 pagi tadi.

    Mangsa berusia 12 tahun dikatakan disambar buaya ketika sedang berenang menghampiri perahunya.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 8.25 pagi.

    “Seramai empat anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 24 kilometer dengan menaiki sebuah pacuan empat roda dan bot untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    “Berdasarkan maklumat daripada saksi menyatakan bahawa mangsa sebelum itu mencari siput di kawasan berkenaan dan selepas selesai mangsa mahu kembali semula ke perahunya.

    “Ketika berenang menghampiri perahu, tiba-tiba mangsa disambar buaya,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya lagi, mangsa kemudian dimaklumkan telah ditemukan pada pukul 10.38 pagi oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

    Beliau memberitahu, mangsa ditemukan kira-kira satu batu nautika dari lokasi kejadian dan dilaporkan telah meninggal dunia.

    “Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 12.40 tengah hari,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Kalimah Allah: Takiyuddin dakwa AG kata penjelasan PM satu ‘jawapan politik’

    Kalimah Allah: Takiyuddin dakwa AG kata penjelasan PM satu ‘jawapan politik’

    PENJELASAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes penggunaan kalimah ‘Allah’ disifatkan sebagai jawapan politik.

    Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kenyataan itu dibuat oleh Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun secara peribadi kepadanya sebaik sahaja Perdana Menteri selesai menjelaskan perkara itu di Dewan Rakyat hari ini.

    Menurut beliau, pihaknya masih belum mendengar kenyataan daripada Peguam Negara lagi sehingga kini dan menyerahkan kepada Idris
    untuk menjawabnya.

    “(Tetapi) Saya kebetulan tadi keluar dari dewan, saya berjumpa dengan Peguam Negara.
    Biarlah saya bertanggungjawab. Ini kenyataan saya dan saya tanya, “Macam mana Tan Sri?” (penjelasan berhubung penarikan rayuan).

    “Dia (Idris) kata, kita dengarlah jawapan politik. Ini apa yang keluar daripada mulut Peguam Negara. Saya bertanggungjawab dengan kenyataan ini. Saya ada saksi pun yang keluar bersama saya tadi.

    “Dia (Idris) kata datang dengar jawapan politik,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen hari ini.

    Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes kalimah ‘Allah’ adalah selari dengan keputusan Majlis Raja-Raja, dan Peguam Negara membuat keputusan sama kerana ia tidak bercanggah dengan Majlis Raja-Raja.

    Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) berkata, adalah ‘tidak munasabah’ untuk seseorang peguam yang telah mencadangkan agar memfailkan rayuan terhadap sesuatu kes, untuk menarik semula keputusan tersebut.

    “Satu aspek yang kami persoalkan ialah ini nasihat daripada Peguam Megara. Siapa Peguam Negara pada masa kes ini difailkan rayuan? Dia adalah Peguam Negara yang sama yang ada pada hari ini (Idris).

    “Logik atau tidak orang yang sama, yang dulu nasihatkan kerajaan masukkan rayuan, sekarang ini nasihat kerajaan untuk tarik balik rayuan. Munasabah tak,,” soal Takiyuddin.

    Sementara itu kata Takiyuddin lagi , blok pembangkang turut mempersoalkan adakah keputusan kerajaan untuk menarik rayuan berhubung kes tersebut dirujuk kepada Yang Dipertuan Agong, sebelum atau selepas keputusan dibuat.

    “Kedua, apabila kita tanya pula pendirian kerajaan dan Perdana Menteri, atas asas apa dia tarik balik kes ini, sedangkan satu-satu keputusan mahkamah, kita sebagai kerajaan memerlukan keputusan di mahkamah yang tertinggi.

    “Ini kes mahkamah tinggi, sepatutnya dengar dulu Mahkamah Rayuan yang mempunyai minimum tiga orang hakim. Kemudian, tak puas hati (bawa kes) ke Mahkamah Persekutuan. Kenapa kerajaan tidak mengambil langkah sebegitu,” soal beliau lagi.

    Justeru, Takiyuddin menegaskan kerajaan sepatutnya membiarkan mahkamah membuat keputusan berhubung rayuan dalam kes penggunaan kalimah ‘Allah’.

    “Biarlah undang-undang mengambil tempatnya dan biar mahkamah buat keputusan. Kerajaan tak boleh campur.

    “Kalau kerajaan sebagai badan eksekutif campur tangan dalam kehakiman, ini lah yang menjadi masalah,” dakwanya, lapor Astro Awani.

  • Pengurusan lemah punca isu air Sabah

    Pengurusan lemah punca isu air Sabah

    TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, pengurusan lemah punca rakyat negeri itu berdepan isu kekurangan bekalan air ketika ini.

    Katanya, kelemahan pengurusan juga menyebabkan kelewatan Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 2 membekalkan air ke Kota Kinabalu yang sepatutnya siap tahun lalu.

    “Saya sedar masalah air yang berlarutan di Sabah berpunca daripada kelewatan pelaksanaan projek dirancang dan sudah dianugerahkan. Contohnya, LRA Telibong fasa dua untuk memenuhi keperluan pada 2022, tetapi sekarang sudah 2023, belum siap.

    “Selama empat bulan menjadi menteri kerja raya, saya kecewa melihat banyak projek ini berdepan masalah pengurusan. Kita akan cari pendekatan untuk memperkemaskan sistem penyampaian bekalan air, khususnya Jabatan Air Negeri Sabah (JANS),” katanya menurut Berita Harian.

    Shahelmey berkata, tindakan juga sedang diambil bagi menambah tenaga kerja dan mengemas tadbir urus JANS, selain mengatasi masalah pembekalan air, terutama air tidak berhasil (NRW).

    Menjawab soalan asal Shafie Apdal (Warisan-Senallang) mengenai langkah mengatasi masalah bekalan air khasnya musim panas dan kering ketika ini, Shahelmey berkata, penyelesaian jangka pendek dan panjang sedang dilaksanakan di seluruh negeri.

    Katanya, penyelesaian itu membabitkan pelbagai isu dihadapi JANS ketika ini seperti paip bocor dan usang, kecurian air, kualiti sumber air mentah semakin merosot dan permintaan air melebihi kapasiti pengeluaran.

    “Bagi penyelesaian jangka pendek paip bocor, JANS akan menawarkan kontrak penyelenggaraan paip mengikut zon di seluruh negeri bagi menggantikan paip usang dan berkarat.

    “Sekiranya terdapat aduan ataupun laporan kebocoran paip atau paip pecah daripada orang awam, JANS akan mengambil tindakan segera dalam masa 24 jam agar kerja pembaikan dapat dilaksanakan.

    Bagi kecurian air semakin berleluasa yang menyebabkan peningkatan NRW, katanya, JANS akan melaksanakan kontrak prabayar dan ‘Small Power Producer Water’ di kawasan padat penduduk atau zon berpotensi berlaku kecurian air.

  • Ugut ibu dengan pisau, duda dipenjara 2 tahun

    Ugut ibu dengan pisau, duda dipenjara 2 tahun

    MAHKAMAH Majistret Ayer Keroh hari ini menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan terhadap duda anak tiga atas kesalahan mengugut ibu kandungnya dengan pisau untuk mendapatkan wang, tahun lalu.

    Hukuman diputuskan Majistret Mazana Sinin selepas menimbangkan keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh Wira Md. Aris, 41, dan hujah pendakwaan bagi pemberatan hukuman.

    Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya, Ara Sembok, 66, dengan maksud hendak menakutkan dengan menggunakan pisau dalam keadaan muka bengis dan marah sambil meminta wang.

    Kesalahan itu dilakukan di ruang dapur sebuah rumah di Bertam Malim pada 22 September 2022, kira-kira pukul 5 petang.

    Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

    Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat untuk tidak mengulangi kesalahan itu.

    Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek merayu hukuman ringan kerana anak guamnya menyesali perbuatannya selain perlu menyara tiga anak dengan pendapatan RM800 sebulan sebagai nelayan.

    Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan bermula dari tarikh tangkapan pada 18 Mei lalu, lapor Harian Metro.

  • ‘Andai PH-BN tersungkur, Ahmad Zahid perlu berundur secara terhormat’

    ‘Andai PH-BN tersungkur, Ahmad Zahid perlu berundur secara terhormat’

    PAS mencabar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berundur daripada jawatan secara terhormat, jika Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) gagal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan Julai nanti.

    Cabaran itu dibuat Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin, sebagai tindak balas kenyataan Ahmad Zahid yang mencabar Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menggunakan PRN enam negeri sebagai ‘kayu ukur’ sokongan rakyat.

    Khairil Nizam berkata; “Andai PH-BN tersungkur, TPM perlu berundur secara terhormat.”

    Katanya, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah membuktikan BN-UMNO merekodkan keputusan terburuk dalam sejarah politiknya.

    “Ini kerana BN-UMNO hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen saja dengan UMNO mendapat 26 kerusi, dan ini adalah pencapaian terburuk Presiden UMNO setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan dalam Facebook miliknya hari ini.

    Ahad lalu, Ahmad Zahid mencabar Muhyiddin menggunakan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai platform untuk menentukan tahap sokongan rakyat.

    Malah, Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO itu turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Muhyiddin, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menghadapi PRN tidak lama lagi.

    “Saya ucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan gabungan parti beliau. Marilah kita sama-sama membuktikan pada keputusan PRN di enam negeri nanti, siapakah yang lebih diterima rakyat,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Vaisakhi, di ibu negara.

    Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, dengan pelbagai isu yang menyakitkan rakyat melingkari kerajaan PH-BN dan tunduknya UMNO kepada DAP, pastinya ahli UMNO akan mengalih sokongan kepada PN.

    Katanya, peralihan sokongan ini juga ditambah dengan perbalahan pembahagian kerusi antara UMNO dan DAP di beberapa negeri hingga ramai ahli UMNO kini bertekad menentang UMNO secara terbuka.

    “Pas yakin kemelut yang berlaku dalaman PH-BN, selain kelemahan pentadbiran Perdana Menteri kesepuluh (PMX) yang terlalu ketara akan dihukum rakyat dalam PRN ini,” katanya lapor Berita Harian.

  • SPRM siasat anak bekas PM berhubung aktiviti perniagaan

    SPRM siasat anak bekas PM berhubung aktiviti perniagaan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan telah memanggil anak kepada seorang bekas Perdana Menteri bagi membantu satu lagi siasatan berhubung aktiviti perniagaannya.

    Memetik sumber yang rapat dengan siasatan itu, akhbar The Star melaporkan individu itu disoal siasat selama beberapa jam.

    “Kenyataan telah dirakamkan dan saya percaya akan ada sesi lain dengannya,” kata sumber itu.

    Utusan Malaysia pula melaporkan individu berkenaan adalah anak kepada seorang bekas Perdana Menteri.

    Beliau dipanggil untuk disoal siasat pada pukul 10 malam di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya.

    The Star berkata, nama lelaki itu disenaraikan dalam Panama Papers tetapi tidak dapat dipastikan jika SPRM sedang meneliti dakwaan yang dibuat dalam dokumen tersebut.

    Panama Papers merujuk kepada kebocoran besar sebanyak 11.5 juta dokumen yang didedahkan daripada firma guaman yang berpangkalan di Panama pada 2016.

    Ia mendedahkan bagaimana ahli politik, bintang sukan dan penjenayah terkemuka menyembunyikan kekayaan mereka menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir.

    Ketika itu, Malaysiakini telah melaporkan bahawa anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang meringkuk di penjara, Datuk Mohd. Nazifuddin Mohd. Najib adalah antara mereka yang dinamakan.

    Turut dinamakan ialah Fakhri, anak sulung bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta Datuk Mirzan, anak sulung bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Sebelum ini, seorang wakil Mirzan melalui salah satu syarikatnya, Crescent Capital, menafikan penglibatan Mirzan dalam Sergio International Ltd – firma British Virgin Islands yang dikaitkan dengannya.

    Minggu lalu, Bernama melaporkan SPRM sedang menyiasat seorang bekas menteri kanan dan ahli perniagaan terkemuka bergelar Tan Sri atas dakwaan penyelewengan dana negara bernilai lebih RM2.3 bilion.

    Agensi berita nasional itu, yang turut memetik sumber berkata, siasatan itu adalah kesinambungan dan lanjutan daripada pendedahan dokumen-dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi-transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

    “Tumpuan siasatan adalah berhubung dengan pembelian dan pemilikan saham di sebuah syarikat tersenarai oleh sebuah syarikat gergasi negara yang dikatakan didalangi oleh bekas menteri kanan itu.

    “Difahamkan, transaksi pembelian dan pemilikan saham ini dipercayai menjadi punca kepada kemerosotan ekonomi negara serta kejatuhan matawang ringgit pada hujung 1990-an dan telah diseleweng untuk kepentingan individu terbabit untuk diselamatkan (bail out) daripada mengalami kerugian yang lebih teruk,” menurut sumber itu.

    Kebocoran Kertas Pandora berlaku pada 2021 apabila sumber tanpa nama berkongsi dengan ICIJ 2.94 terabait fail kewangan sulit, berjumlah lebih daripada 11.9 juta dokumen dan rekod lain, daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan mengurus syarikat cengkerang (shell) dan amanah di kawasan perlindungan cukai sekitar dunia.

    Berikutan kebocoran itu, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin membidas Malaysiakini atas apa yang didakwanya sebagai ‘obsesi yang tidak berkesudahan’ portal berita ini terhadapnya.

    Ini selepas Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai pegangannya di luar pesisir.