Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘Kerajaan bagaikan lepas tangan, iklan vape semakin tidak terkawal, melampau’ – NGO

    ‘Kerajaan bagaikan lepas tangan, iklan vape semakin tidak terkawal, melampau’ – NGO

    PERTUBUHAN Green Lung Malaysia menegaskan, kerajaan perlu mengambil tindakan lebih drastik terhadap sebarang promosi membabitkan pengiklanan produk vape yang dilihat semakin tidak terkawal dan melampau sejak kebelakangan ini.

    Persatuan itu dalam kenyataannya, mendakwa kerajaan kini seolah-olah menyerahkan hak sepenuhnya kepada penjual dan industri vape serta rokok elektronik untuk menentukan peraturan sendiri tanpa batasan.

    “Sekarang ini, pelbagai reka bentuk peranti vape dengan watak kartun atau bentuk haiwan yang comel boleh didapati dalam pasaran dengan tujuan untuk menarik perhatian kanak-kanak.

    “Taktik pemasaran juga dilihat semakin berani dengan mengadakan ekspo vape secara besar-besaran, selain penyediaan mesin layan diri yang menjual pelbagai jenis produk vape.

    “Baru-baru ini, ada iklan yang menampilkan kanak-kanak serta remaja bawah umur mempromosikan vape di media sosial. Mereka yang masih tidak matang akan mudah terpengaruh taktik promosi sebegini,” katanya dalam kenyataan tersebut hari ini.

    Persatuan itu menegaskan, mereka memberi sokongan penuh kepada usaha kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok pada bulan ini atau selewat-lewatnya Jun, seperti dinyatakan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, pada Jumaat lalu.

    “Pembentangan RUU ini penting bagi mengatasi masalah penggunaan produk merokok terutama rokok elektronik atau vape dalam kalangan masyarakat negara ini.

    “Berdasarkan kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, tinjauan Kebangsaan Kesihatan Dan Morbiditi (NHMS) 2022 mendapati penggunaan vape dalam kalangan remaja negara ini meningkat daripada prevalens 9.8 peratus pada tahun 2017 kepada 14.9 peratus pada tahun 2022, dengan kadar peningkatan sebanyak 52 peratus.

    “Kadar peningkatan ini amat menakutkan dalam tempoh lima tahun sahaja. Jika tiada tindakan segera diambil, lebih ramai kanak-kanak sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah menjadi mangsa ketagihan vape dan nikotin yang sekali gus mengancam kesihatan serta masa depan mereka.

    “Peningkatan dalam penggunaan vape ini berkait rapat dengan polisi kerajaan dan faktor dorongan industri, termasuk ketiadaan kawalan undang-undang terhadap penjualan dan penggunaannya.

    “Lebih-lebih lagi, nikotin dalam vape dan rokok elektronik sudah dikeluarkan daripada Akta Racun 1952 baru-baru ini,” katanya.

    Dalam pada itu, katanya, Dr. Zaliha Mustafa sebelum ini berjanji kepada rakyat Malaysia bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok bersama peruntukan Generasi Penamat atau Generational Endgame (GEG).

    “Bulan Mei sudah menghampiri hujung, bilakah kerajaan akan mengotakan janji?

    “Isu pilihan raya akan datang tidak seharusnya digunakan sebagai alasan untuk melengahkan pembentangan dan kelulusan RUU ini.

    “Jika kerajaan khuatir RUU akan menyinggung perasaan pengundi, banyak tinjauan awam oleh pihak media dan badan bukan kerajaan menunjukkan sokongan yang memberangsangkan setinggi 97 peratus terhadap pelaksanaan RUU dan GEG, termasuk perokok dan pengguna vape,” katanya lapor Berita Harian.

    Katanya, impak daripada kelewatan meluluskan RUU bukan sahaja memberi implikasi besar kepada kesihatan dan kemaslahatan rakyat Malaysia, tetapi juga berlanjutan dalam jangka masa panjang selain memberi kesan terhadap sara hidup dan kualiti kehidupan rakyat.

  • Isu buli tular: Polis siasat penglibatan kongsi gelap

    Isu buli tular: Polis siasat penglibatan kongsi gelap

    POLIS akan menyiasat sama ada wujud penglibatan kongsi gelap dalam dua kes buli di sebuah sekolah menengah di Butterworth dan sebuah institusi menengah bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Balik Pulau di Georgetown.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, sekiranya siasatan menunjukkan berlaku perkara itu, polis akan mengambil tindakan terhadap geng kongsi yang terlibat.

    “Mengenai kes buli di sebuah sekolah dan sebuah institusi menengah bawah Mara, tangkapan sudah dibuat dan telah diberi jaminan polis seperti yang saya maklumkan sebelum ini.

    “Bagaimanapun, siasatan juga akan menjurus kepada kegiatan-kegiatan kongsi gelap, sama ada mereka ini berada di belakang mereka (pelaku) atau pun sebaliknya.

    “Sekiranya benar, kita akan ambil tindakan terhadap kongsi-kongsi gelap ke atas sekolah-sekolah tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Ketua Polis Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di Georgetown hari ini.

    Memetik laporan Sinar Harian, Kok Chin berkata, polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

    Sebelum ini, polis menahan sembilan remaja lelaki berusia 14 hingga 16 tahun yang juga pelajar tingkatan dua hingga empat di sebuah sekolah menengah di Butterworth bagi membantu siasatan berhubung dua kes buli di sekolah berkenaan.

    Bagaimanapun kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil.

    Susulan daripada penahanan mereka, polis merampas enam telefon bimbit bagi membantu siasatan kedua-dua kes itu yang videonya berdurasi 24 dan 34 saat tular di media sosial sejak Jumaat lepas.

    Dalam kejadian berlainan, lima pelajar tingkatan lima sebuah institusi pendidikan menengah di bawah Mara ditahan untuk membantu siasatan kes buli membabitkan seorang pelajar tingkatan tiga sekolah berkenaan pada Khamis lalu.

    Kesemua remaja lelaki berusia 17 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai mengambil keterangan.

    Ketiga-tiga kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencederakan orang dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh

  • Nik Abduh tegur peminat Coldplay, Blackpink

    Nik Abduh tegur peminat Coldplay, Blackpink

    AHLI Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menegur peminat kumpulan rock dari British, Coldplay dan juga kumpulan K-Pop, Blackpink.

    Menurutnya, mereka yang menganggap hiburan melalaikan sebagai memberi ketenangan jiwa seperti tubuh dewasa tetapi berakal kanak-kanak.

    “Mereka pula terus merengek mahukan ketenangan jiwa daripada Coldplay dan Blackpink. Tubuhnya dewasa. Akalnya kanak-kanak,” katanya yang dimuat naik pada ruangan status Facebook miliknya hari ini.

    Beliau berkata, hiburan kehidupan sebenar telah pun diturunkan Allah dengan menghadiahkan kitab suci al-Quran sebagai penawar.

    Bagaimanapun katanya, walaupun penawar sebenar telah pun disediakan untuk mengubati ‘penyakit’, namun segelintirnya masih tidak mahu mendapatkannya, sebaliknya lebih terpedaya dengan ‘gula-gula’ yang tidak mampu memberi kesembuhan.

    “Si bapa membelanjakan ratusan, bahkan ribuan ringgit membeli ubat untuk anaknya yang sakit.

    “Si anak enggan dan merengek mahukan gula-gula. Begitulah sebahagian manusia,” katanya.

    Nik Mohamad Abduh dalam pada itu turut memberi respons di ruangan komen bahawa muzik liar dan pergaulan bebas ialah hiburan berpenyakit serta berlawanan dengan kitab Allah.

    “Hiburan berpenawar ialah ayat-ayat al-Quran dan majlis ilmu,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Penganjur Live Nation Malaysia sebelum ini tidak menolak kemungkinan konsert Coldplay: Music Of The Spheres di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Kuala Lumpur pada 22 November nanti akan ditambah sehari ekoran permintaan masih tinggi.

    Lebih 700,000 berusaha membeli tiket pada 17 Mei lalu yang kemudiannya terjual habis dalam tempoh tiga jam sahaja.

    Kehangatan penganjuran konsert selebriti antarabangsa itu mengundang segelintir pihak mengambil kesempatan menjual semula tiket sehingga RM43,000 berbanding harga asal RM228 hingga RM3,088.

  • Budak lelaki terima lapan jahitan, diserang buaya Batu Putih

    Budak lelaki terima lapan jahitan, diserang buaya Batu Putih

    SEORANG berhadapan detik cemas apabila diserang buaya dalam satu kejadian di Kampung Batu Putih, Sandakan, semalam.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari, mangsa berusia 9 tahun berkenaan cedera di tangan, bahu, kepala dan terpaksa menerima lapan jahitan

    Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sandakan, Hussien Muin, berkata kejadian berlaku ketika air laut pasang sehingga ke kawasan jalan perkampungan terbabit.

    Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama rakan sebaya berenang keluar daripada rumah jiran untuk balik ke rumah.

    “Secara tiba-tiba, mangsa diserang dan dibaham bahagian tangan, namun mangsa sempat melawan dan berjaya melepaskan diri sebelum diselamatkan bapanya.

    “Kanak-kanak itu kemudiannya dikejarkan ke sebuah klinik swasta lalu diberikan rawatan sebelum pulang ke rumah.

    “Kakitangan JHL kemudiannya memeriksa mangsa di rumah sebelum mendapati mangsa sudah menerima 8 jahitan di lengan kanan, cedera di bahu kanan dan kepala,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Hussein berkata, susulan kejadian itu anggota JHL Sandakan mendapatkan maklumat daripada bapa mangsa seterusnya membuat tinjauan di sekitar lokasi kejadian.

    “Namun ketika tinjauan dijalankan, tiada kelibat buaya dilihat berhampiran kawasan kerana ketika air sudah surut sepenuhnya.

    “Justeru itu, penduduk setempat dinasihati agar sentiasa berwaspada apabila menggunakan laluan jalan ketika air laut pasang.

    “Penduduk juga diminta sentiasa memastikan anak-anak tidak berada atau bermain di kawasan berhampiran sungai berkenaan bagi tujuan keselamatan,” katanya, lapor BH Online.

  • Usaha menormalisasi sentimen benci DAP kepada akar umbi UMNO sedang berjalan

    Usaha menormalisasi sentimen benci DAP kepada akar umbi UMNO sedang berjalan

    SEJAK sekian lama, DAP adalah musuh tradisi kepada UMNO dan dilihat sebagai ancaman kepada kaum Melayu dan agama Islam, menurut pemimpin UMNO sebelum ini.

    Bagaimanapun, senario benci DAP yang disemai dalam kepala akar umbi UMNO kini terpaksa ditukar kepada sayang dan cinta selepas Presidennya membawa parti itu duduk bersama dengan Pakatan Harapan (PH) yang terdapat dalamnya parti DAP.

    Jadi, tidak hairan usaha-usaha untuk menormalisasi sentimen benci kepada DAP kini sedang berjalan dengan rancak memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan pada masa terdekat.

    Sumber dalaman memberitahu Agenda Daily, semasa pemukiman melibatkan jentera UMNO di enam negeri yang berlangsung di Janda Baik baru-baru ini, banyak isu yang dibincangkan tertumpu kepada kaedah dan pendekatan yang perlu untuk memperlihatkan UMNO dan DAP kini bukan lagi musuh.

    Terdahulu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa ahli parti untuk menyokong parti dalam kerajaan campuran khususnya DAP pada PRN nanti dan tidak melihat mereka sebagai musuh utama lagi.

    Menurut sumber, kenyataan tersebut adalah langkah pertama yang sedang dimainkan pemimpin UMNO untuk melihat sambutan di bawah dan akan dijadikan kayu pengukur untuk melihat sejauh mana penerimaan sentimen ahli UMNO terhadap DAP.

    Namun, reaksi yang diterima dibawah agak membimbangkan apabila akar umbi UMNO dilihat tidak dapat menerimanya, malah terdapat juga ahli-ahli yang mengugut untuk keluar parti dan memboikot jentera parti pada PRN nanti.

    Terdapat beberapa fasa yang akan dijalankan UMNO ke arah menormalisasikan sentimen benci kepada DAP dalam kalangan penyokongnya dan mereka mengharapkan ia dapat memberi pemahaman dan penjelasan yang baik kepada ahli-ahli parti dibawah nanti.

    “Fasa pertama, gesaan kepada ahli-ahli UMNO untuk tidak melihat DAP sebagai musuh dan melihat ia sebagai sebuah gabungan dalam kerajaan perpaduan.

    “Logik yang digunakan adalah ahli UMNO bukan memangkah DAP tetapi memangkah kerajaan perpaduan,” kata sumber yang mengetahui berhubung pemukiman tersebut.

    Selepas ini, terdapat beberapa fasa lain yang akan berjalan, antaranya UMNO akan cuba menunjukkan kepada penyokongnya bahawa DAP bukan sebuah parti chauvinis dan perkauman walaupun sebelum ini label tersebut diberikan kepada parti itu.

    Imej baik pemimpin DAP akan digunakan UMNO untuk meminta akar umbi memberi sokongan kepada parti tersebut, antaranya UMNO akan cuba memperlihatkan imej sederhana yang dimiliki pemimpin utama DAP yang perlu dijadikan contoh dan tauladan.

    Selain itu, program bersama pemimpin utama DAP juga akan lebih banyak diadakan selepas ini bagi menawan hati akar umbi UMNO untuk menyokong parti tersebut, malah ia sudah terbukti baru-baru ini apabila seorang pemimpin DAP di Pulau Pinang dijemput ke rumah terbuka anjuran UMNO negeri itu.

    Malah, seorang pemimpin DAP yang hadir dalam program tersebut juga memberi persembahan khas di hadapan para tetamu yang kebanyakkannya terdiri daripada ahli-ahli UMNO.

    “Program-program melibatkan pemimpin UMNO dengan DAP akan lebih banyak diadakan selepas ini, malah baru-baru ini rumah terbuka UMNO yang diadakan juga menjemput pemimpin daripada DAP.

    “Program ceramah juga akan diadakan kepada akar umbi untuk menjelaskan rasional keputusan UMNO meminta penyokongnya mengundi DAP pada PRN nanti,” katanya lagi.

    Susulan kenyataan Mat Maslan baru-baru ini, pemimpin utama DAP juga memberikan respon balas yang sama dengan meminta pengundi mereka untuk menyokong UMNO pada PRN nanti.

    Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, kenyataan Mat Maslan supaya ahli UMNO menyokong DAP adalah logik kerana mereka kini sudah berada dalam satu gabungan kerajaan.

    Menurut sumber, naratif untuk menormalisasi sentimen benci DAP sememangnya dirancang secara strategik khususnya kepada pengundi kaum Melayu yang berada dalam UMNO kerana diketahui Pakatan Harapan (PH) tidak mendapat sokongan yang kuat daripada kumpulan pengundi Bumiputera.

    Mengambil kira UMNO masih lagi memiliki saki baki sokongan orang Melayu, DAP juga perlu memainkan peranan mereka dalam usaha menormalisasi sokongan pengundi Cina kepada UMNO juga.

    Dalam keadaan ini, UMNO dan DAP mengambil sikap ‘menang-menang’ kerana saling memerlukan satu sama lain.

    Tanpa DAP, UMNO mungkin tidak dapat berada lama dalam kerajaan campuran dan tanpa UMNO pula, DAP juga tidak akan dapat menjadi kerajaan Pusat.

  • Jenazah pendaki Everest, Awang Askandar tiba di Kem Tiga pagi tadi

    Jenazah pendaki Everest, Awang Askandar tiba di Kem Tiga pagi tadi

    JENAZAH pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, selamat tiba di Kem Tiga kira-kira pukul 7 pagi waktu Nepal (sekitar 9 pagi waktu Malaysia) hari ini.

    Ketua Misi ME 2023, Azim Afif Ishak berkata, jenazah dibawa turun dari Kem Empat dengan bantuan enam malim gunung secara manual menggunakan pengusung.

    Beliau berkata, ketika ini pasukan penyelamat berehat sebentar selepas berhempas pulas selama sembilan jam bergilir-gilir mengusung jenazah sebelum meneruskan perjalanan ke Kem Dua.

    “Cuaca ketika ini berada dalam keadaan kurang baik, berangin dan mendung dan serta suhu sekitar 23 darjah celcius.

    “Perjalanan dari Kem Tiga ke Kem Dua dijangka mengambil masa selama dua jam dan ia bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini, lapor Kosmo!.

    Katanya, setiba di Kem Dua, jenazah akan terus diterbangkan dengan helikopter ke Everest Base Camp (EBC) dan seterusnya dibawa ke hospital di Kathmandu untuk proses selanjutnya.

    “Sekiranya keadaan cuaca mengizinkan jenazah dijangka diterbangkan ke Khatmandu pada pukul 1 tengahari waktu Nepal (sekitar 3 petang waktu Malaysia),” jelasnya.

  • Mayat lelaki ditemui terapung di sungai berdekatan Kelab Golf

    Mayat lelaki ditemui terapung di sungai berdekatan Kelab Golf

    POLIS masih mengenal pasti identiti mayat lelaki ditemui terapung oleh seorang pemancing di sebatang sungai berhampiran Kelab Golf Seri Selangor, awal pagi semalam.

    Ketua Polis Petaling Jaya, Muhamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan itu pada pukul 1.25 pagi.

    “Menurut saksi, ketika sedang memancing di jambatan tepi kelab golf terbabit, terlihat satu objek seperti tubuh manusia terapung.

    “Butiran penuh mangsa lelaki berkenaan termasuk bangsa dan umur belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

    Fakhrudin berkata saksi kemudiannya menghubungi Balai Polis Kota Damansara untuk membuat laporan berhubung penemuan mayat berkenaan.

    “Sepasukan polis dan bomba telah membawa keluar mayat terbabit untuk tindakan selanjutnya.

    “Kita meminta orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian untuk tampil memberi maklumat di balai polis berhampiran atau hubungi Balai Kota Damansara di 03-61421222,” katanya.

  • JAINJ diarah siasat segera penganjuran pesta seks

    JAINJ diarah siasat segera penganjuran pesta seks

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) diarahkan mengambil tindakan segera ke atas satu penganjuran pesta seks ‘Gang Bang JB Party’ yang sedang tular dijadualkan berlangsung bulan depan.

    Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, kerajaan negeri mengecam penganjuran acara yang secara terang-terangan mengajak orang ramai melakukan maksiat.

    Beliau memberi amaran supaya mana-mana pihak tidak melakukan perkara yang buruk di negeri ini.

    “Mengajak orang melakukan maksiat terang-terangan dan tak bermoral. Saya sudah arahkan JAINJ siasat dan ambil tindakan segera.

    “Saya bagi amaran! Demi Allah, saya tak akan benarkan ia berlaku di Johor,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya.

    Mohd Fared membuat kenyataan itu susulan penyebaran kad jemputan penganjuran acara diberi nama ‘Gang Bang JB Party’ yang dijadualkan berlangsung antara jam 4 petang hingga 9 malam, 20 Jun depan.

    Turut dikongsi ciapan di Twitter apabila ada yang bertanya adakah golongan lesbian, gay, biseksual, trangander (LGBT) boleh turut serta dalam acara itu.

    Mengulas lanjut, Mohd Fared memohon kerjasama orang ramai untuk mencegah kegiatan tidak bermoral itu.

    “Semua mesti bantu cegah dan halang kegiatan tak bermoral ini. Sebarkan!,” ujarnya.

  • Menghampiri 6 PRN, persefahaman di peringkat akar umbi UMNO, DAP masih kabur

    Menghampiri 6 PRN, persefahaman di peringkat akar umbi UMNO, DAP masih kabur

    PIMPINAN UMNO dan DAP menggunakan sebaik mungkin peluang untuk menjernihkan hubungan antara satu sama lain sejak pembentukan kerajaan campuran yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lepas.

    Terbaru, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyeru ahli dan pengundi partinya di enam negeri yang bakal menyaksikan Pilihan Raya Negeri (PRN) mengundi calon DAP di kawasan masing-masing.

    “Perkahwinan” antara UMNO yang menjadi tunjang Barisan Nasional (BN) dengan musuh politik tradisinya, DAP kini memasuki tempoh enam bulan.

    Bagaimanapun, apa yang diucap pucuk pimpinan tidak semestinya bergema di peringkat akar umbi kedua-dua parti.

    Pemerhati politik Azizi Safar berkata, sehingga kini persahabatan dengan DAP belum diterjemahkan di peringkat akar umbi.

    “Belum ada program-program penerangan secara khusus kepada akar umbi UMNO menjelaskan mengapa UMNO perlu bersahabat dengan DAP, menyokong calon-calon DAP pada pilihan raya negeri (PRN),” katanya kepada MalaysiaNow yang juga bekas setiausaha eksekutif BN Pulau Pinang.

    Enam negeri bakal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada pertengahan tahun ini.

    Negeri yang terlibat ialah Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor.

    Sebelum ini semasa Perhimpunan Agung UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu memilih bekerjasama dengan DAP kerana parti itu dilihat tidak bermuka-muka dan berpura-pura, dalam satu sindiran kepada Pas.

    Kenyataan Ahmad turut dibidas oleh seorang pemimpin UMNO Johor yang menyatakan beliau tidak boleh memaksa ahli mengundi calon DAP.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula dalam satu kenyataan lain mengakui sukar untuk memujuk ahli menerima DAP, walaupun tidak mustahil.

    Gabungan parti kerajaan campuran baru-baru ini mengadakan konvensyen di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi mengukuhkan hubungan antara satu sama lain selain membuktikan kekukuhan kerajaan.

    Kerajaan campuran sekarang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti kecil lain.

    Azizi berkata, respons akar umbi terhadap gesaan Ahmad juga masih dingin.

    “Ramai juga tidak setuju menyokong DAP,” katanya.

    Pemimpin UMNO dan DAP juga tidak terlepas daripada bertikam lidah antara satu sama lain terutama berhubung isu pengampunan kepada bekas perdana menteri, Najib Razak.

    Dalam satu kenyataan, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching turut meminta ahli parti itu mengundi calon UMNO yang di kawasan mereka.

    Masih belum jelas bagaimana akar umbi kedua-dua parti itu akan bekerjasama antara satu sama lain semasa tempoh berkempen kelak.

    Namun menurut Azizi, jika perkara itu gagal diatasi, ia bakal mendatangkan implikasi bruuk kepada Umno.

    “Jika ahli-ahli UMNO tidak menyokong calon-calon DAP pada PRN nanti, ia bukan satu masalah besar yang boleh menyebabkan calon-calon DAP kalah bertanding dalam pilihan raya,” katanya merujuk kepada sokongan pengundi bukan Melayu kepada DAP.

    “Sebaliknya pula jika pendukung-pendukung DAP tidak mahu mengundi atau menyokong calon-calon UMNO di kerusi majoriti Melayu, calon-calon Umno boleh kalah.”

    Azizi berkata, penyokong DAP boleh menjadi faktor penentu kemenangan UMNO dalam keadaan pengundi Melayu berpecah kepada dua blok.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pengundi Melayu memberikan undi mereka kepada Perikatan Nasional (PN) yang menerima peratusan undi terbanyak daripada masyarakat itu, diikuti BN dan PH.

  • Jangan terlalu lama terima timbang tawaran Muhyiddin- Faizal

    Jangan terlalu lama terima timbang tawaran Muhyiddin- Faizal

    TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menasihatkan Khairy Jamaluddin jangan terlalu lama mempertimbangkan tawaran jawatan daripada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Khairy seorang pemimpin yang masih boleh berperanan, malah ramai akan bersamanya jika bekas ketua Pemuda UMNO itu menubuhkan parti baharu.

    “Nasihat saya kepada Khairi: Masa tak menunggu kita,” kata bekas Menteri Besar Perak itu ketika ditemubual FMT.

    “Walaupun ini sebenarnya satu peluang bagi beliau, bukan mudah nak dapat peluang pilih parti. Kami hormati keputusannya untuk ambil masa.

    “Saya percaya beliau tahu Perikatan Nasional (PN) wadah masa depan,” katanya lagi.

    Kelmarin Khairy berkata, beliau perlukan masa mempertimbangkan tawaran menjadi ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu, kerana tidak mahu membuat keputusan berkait kepulangan ke arena politik semata-mata kerana pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Beliau berterima kasih kepada Muhyiddin atas tawaran itu tetapi beliau tidak mahu sebarang keputusan dibuat berdasarkan emosi atau membalas dendam.

    Muhyiddin secara terbuka menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu kepada Khairy minggu lalu, kerana percaya beliau mampu menyumbang kepada parti.

    UMNO memecat keahlian bekas Ahli Parlimen Rembau itu pada Januari, kerana didakwa bertindak bertentangan dengan kepentingan parti.

    Khairy pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menggambarkan dirinya sebagai ‘reformis UMNO’, dan mendakwa parti itu telah hilang arah dan mesti kembali ke pangkal jalan.

    Beliau mahu UMNO menjadi wadah yang dibanggakan orang Melayu.

    Khairy tewas Parlimen Sungai Buloh, di tangan calon Pakatan Harapan dengan 2,693 undi.