Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kesan kenaikan OPR bakal dirasai pada suku kedua

    Kesan kenaikan OPR bakal dirasai pada suku kedua

    KENAIKAN Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3.0 peratus baru-baru ini dijangka akan mempengaruhi trajektori pertumbuhan suku kedua tahun ini, demikian kata TA Securities.

    Ketua Penyelidiknya, Kaladher Govindan, berkata adalah penting untuk menyedari bahawa kenaikan kadar faedah secara amnya menyebabkan peningkatan kos pinjaman untuk individu dan perniagaan.

    Beliau berkata, kadar faedah yang lebih tinggi diterjemahkan kepada peningkatan perbelanjaan pinjaman daripada bank, yang berpotensi menyebabkan pengurangan aktiviti peminjaman, seterusnya memperlahankan pelaburan dan penggunaan.

    Katanya, kenaikan kadar faedah terkesan kepada individu yang mungkin menghadapi kadar gadai janji lebih tinggi, berpotensi menjejaskan keupayaan mereka untuk membeli rumah atau melabur dalam hartanah.


    “Begitu juga dengan perniagaan, berkemungkinan menghadapi cabaran dalam mengakses kredit mampu milik untuk projek pembesaran atau pelaburan, yang boleh melembapkan aktiviti ekonomi.

    “Bagaimanapun, semasa taklimat penganalisis yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), bank pusat tidak melihat apa-apa tanda tekanan dalam ekonomi buat masa ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

    Kaladher berkata, jika keputusan bank pusat untuk mengekalkan kadar faedah berbeza dengan langkah yang dibuat oleh bank pusat utama lain untuk menaikkan kadar, terdapat kemungkinan pengaliran keluar modal yang lebih besar dari negara.

    Beliau berkata, ia berikutan pelabur mungkin mencari pulangan yang lebih tinggi di tempat lain, mengakibatkan penurunan dalam pelaburan asing dan berpotensi melemahkan mata wang negara.

    “Justeru, penting untuk memantau secara rapat faktor-faktor ini kerana ia boleh membentuk prestasi ekonomi secara ketara dan keputusan strategik terbaik pada suku akan datang,” katanya lapor Berita Harian.

    Kaladher berkata, secara keseluruhan landskap ekonomi Malaysia dijangka mempamerkan daya tahan, disokong oleh pasaran tenaga kerja yang berkembang dan permintaan domestik yang konsisten.

    Paling penting, beliau berkata negara ini menyaksikan penurunan progresif kadar pengangguran yang mencecah serendah 3.5 peratus pada Mac 2023, paras terendah sejak Februari 2020.

    Katanya, ini menghasilkan purata kadar pengangguran 3.5 peratus pada suku pertama 2023, berbanding dengan 3.6 peratus pada suku keempat 2022.

    “Dalam masa sama, terdapat penurunan mendadak purata jumlah penganggur, dengan angka pada Mac lalu berada pada 588,700 orang berbanding dengan 669,200 orang pada Mac 2022.

    “Selain itu, jumlah individu bekerja berterusan meningkat, mencecah rekod tertinggi 16.22 juta orang pada bulan sama. Perkembangan menggalakkan dalam pasaran buruh ini, ditunjukkan menerusi penurunan kadar pengangguran dan peningkatan jumlah individu bekerja, adalah penting dalam memperkukuh kestabilan ekonomi Malaysia.

    “Trend seperti itu mencerminkan kemantapan permintaan domestik, mencetuskan persekitaran positif bagi pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi yang mampan,” katanya.

  • Kalimah Allah : Perhalusi dengan cermat keputusan tarik balik rayuan – Sułtan Johor

    Kalimah Allah : Perhalusi dengan cermat keputusan tarik balik rayuan – Sułtan Johor

    KERAJAAN Persekutuan hendaklah memperhalusi dengan cermat dan sebaik-baiknya kesan keputusan menarik balik rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan Putrajaja berhubung penggunaan kalimah Allah, titah Sułtan Johor Sułtan Ibrahim Sułtan Iskandar.

    Titah baginda, ia susulan keputusan kerajaan pada 18 April lalu untuk menarik balik rayuan yang difailkan di
    Mahkamah Rayuan Putrajaya terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 10 Mac 2021 dalam semakan kehakiman Jill Ireland bt Lawrence Bill lwn. Menteri bagi Kementerian Dalam Negeri & Anor.,

    Baginda bertitah, langkah itu berikutan keputusan tersebut berkait rapat dengan isu yang berada dalam sempadan agama Islam dan sentimen umat Islam negara ini.

    ”Peraturan, tindakan kawalan, penguatkuasaan dan penyelarasan tentang kalimah Allah mesti diperinci tanpa menjejaskan fatwa dan enakmen negeri supaya keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk kita akan terus terpelihara,” tittah baginda.

    Sultan Ibrahim bertitah, baginda tetap berpendirian bahawa penerbitan, percetakan, penyiaran dan pengedaran
    sebarang bahan yang mengelirukan rakyat, terutamanya umat Islam, tidak akan dibenarkan di negeri Johor selari dengan kedudukan Islam di dalam Undang Undang Tubuh Negeri Johor 1895.

    Titah baginda di Johor, fatwa yang diwartakan pada 4 Jun 2009 jelas menyatakan: “Penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tidak diharuskan, tidak dibenarkan, serta ditegah dan dilarang.”

    ”Negeri Johor juga mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1991 yang melarang penggunaan kalimah-kalimah yang dikhususkan secara eksklusif untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam kecuali dalam keadaan atau amalan yang dibenarkan oleh perundangan,
    seperti dalam senikata Lagu Bangsa Johor,” titah baginda.

  • Tipu jual lot tanah, lelaki mengaku tak salah

    Tipu jual lot tanah, lelaki mengaku tak salah

    SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah atas pertuduhan berasingan menipu enam individu berkaitan pembelian lot tanah tidak wujud di daerah itu dan Jasin membabitkan kerugian RM60,661, antara Mei 2022 hingga 30 Mac lalu.

    Harian Metro melaporkan, tertuduh yang juga penyelia syarikat konsesi pembersihan, S Sevasangar, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.

    Berdasarkan semua pertuduhan, dia didakwa memperdaya enam lelaki berusia 36 hingga 53 tahun berkaitan pembelian lot tanah tidak wujud hingga mendorong semua mangsa membayar kepadanya secara berperingkat dan tunai berjumlah RM60,661.

    Mangsa, Abdul Halim Chong Abdullah, 40; V Muniandi, 36; Muhammad Azizol Jaapar, 45; Mazlan Abd Ghani, 53; Hairul Nizar Md Tan, 45 dan Kamarulzaman Abdul Rashid, 42, masing-masing mengalami kerugian antara RM2,051 hingga RM33,000.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada tarikh berasingan antara Mei 2022 hingga 30 Mac lalu, di Taman Pengkalan Indah dan di sebuah kedai RM2 di Alor Gajah.

    Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan RM57,000 bagi semua pertuduhan.

    Bagaimanapun, tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan kerana dia menghidap sakit jantung selain perlu menyara isteri tidak bekerja dan tiga anak berusia tiga hingga 11 tahun.

    Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin membenarkan jaminan RM28,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan kes untuk sebutan pada 23 Jun depan.

  • Dua ahli Parlimen PKR dilantik Pengerusi MDV, TDA

    Dua ahli Parlimen PKR dilantik Pengerusi MDV, TDA

    AHLI Parlimen Subang, Wong Chen telah dilantik sebagai pengerusi bukan eksekutif Malaysia Debt Ventures (MDV).

    Dalam satu kenyataan, MDV berkata pelantikan ahli parlimen PKR itu berkuat kuasa semalam.

    “Memandangkan pengalaman dan kepakaran luas Wong Chen, MDV yakin di bawah kepimpinannya, MDV akan terus memajukan syarikat teknologi dan syarikat baharu Malaysia untuk manfaat negara.”

    Wong menggantikan Khairul Azwan Harun, yang tempoh perkhidmatannya berakhir pada 31 Dis 2022, lapor MalaysiaKini.

    MDV adalah anak syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MOF (Inc)] dan sebuah agensi di bawah bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

    Ditubuhkan pada 2002, syarikat itu menyediakan kemudahan pembiayaan yang fleksibel dan inovatif untuk membangunkan sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang telah dikenal pasti dan diberi keutamaan oleh kerajaan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan negara.

    Sementara itu, ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin pula dilantik sebagai pengerusi Technology Depository Agency (TDA), sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan.

    Pelantikan ahli parlimen PKR itu berkuat kuasa 15 Mei.

    Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin

    “Semoga dengan pelantikan ini kan dapat memberi aspirasi kepada TDA dalam memacu pembangunan teknologi dan industri ke arah objektif dan sasaran negara selaras dengan mandat dasar-dasar Perolehan yang ditetapkan,” kata agensi itu dalam catatan di Facebook.

    TDA ditubuhkan untuk mengurus, mentadbir dan memantau semua pelaksanaan aktiviti Program Kolaborasi Industri (ICP) di Malaysia untuk memastikan ia mematuhi proses dan keperluan seperti yang ditetapkan dalam Rangka Kerja Pengurusan ICP Malaysia.

  • Berang telefon bimbit dirampas, pelajar perempuan bakar asrama

    Berang telefon bimbit dirampas, pelajar perempuan bakar asrama

    KEBAKARAN yang mengorbankan 19 kanak-kanak di sebuah asrama di Guyana dipercayai berlaku susulan tindakan pihak sekolah merampas telefon bimbit seorang pelajar.

    “Seorang pelajar perempuan disyaki menyebabkan kebakaran berlaku apabila telefon bimbitnya dirampas oleh ibu pengasuh dan seorang guru asrama,” kata polis dalam satu kenyataan.

    Memetik laporan Reuters, Datuk Bandar Mahdia, David Adams mengesahkan pelajar perempuan itu tidak mengalami kecederaan di dalam kejadian tersebut.

    Beliau juga tidak dapat mengesahkan sama ada pelajar itu ditahan dan kenyataan polis tidak menyebut mengenai sebarang penangkapan.

    Dalam pada itu, beberapa pelajar memberitahu penyiasat bahawa mereka terjaga apabila terdengar jeritan dan melihat api memenuhi ruangan bilik air asrama.

    Ahli patologi kerajaan yang melakukan bedah siasat post-mortem ke atas enam mayat menyenaraikan sebab kematian mereka sebagai keracunan asap dan luka terbakar.

    Tiga belas mayat telah dipindahkan ke ibu negara Georgetown untuk pengesanan DNA dan hampir 30 kanak-kanak lain dirawat di hospital.

    Menteri Pendidikan Priya Manickchand sebelum ini enggan membincangkan penglibatan pelajar tersebut.

    Ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa asrama itu tidak dilengkapi dengan sistem amaran kebakaran moden dan pelajar tidak dilatih dalam latihan kebakaran, Manickchand berkata bahawa kejadian masih dalam siasatan.

    Presiden Irfaan Ali turut bertemu beberapa ibu bapa kanak-kanak mangsa selepas melawat hospital Mahdia dan mengisytiharkan tempoh tiga hari berkabung kebangsaan, lapor Agensi.

  • Ambil langkah konkrit atasi masalah  bankrap dalam kalangan rakyat – Muhyiddin

    Ambil langkah konkrit atasi masalah  bankrap dalam kalangan rakyat – Muhyiddin

    TAN SRI Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan dapat mengambil langkah-langkah konkrit, segera dan pragmatik untuk mengatasi masalah insolvensi dalam kalangan rakyat. 

    Ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi (Pindaan 2023) bekas Perdana Menteri itu berkata ia boleh dilakukan melalui pendekatan yang komprehensif dan memfokuskan pada perlindungan dan pemulihan kewangan rakyat, diharapkan masalah ini dapat diatasi dengan lebih efektif.

    ‘’Walaupun secara dasarnya pindaan terhadap Seksyen 33B(2A) Akta 360 menambah 2 kategori pelepasan bankrap baharu tanpa bantahan pemiutang, namun penekanan khusus juga harus diberi oleh Kerajaan terhadap usaha membantu individu muflis untuk bangkit dan membina semula ekonomi,’’ katanya.

    Muhyiddin menegaskan, langkah itu  penting supaya status kebankrapan tidak kekal sepanjang hayat, sebaliknya menjadi pembakar semangat kepada golongan ini untuk menyumbang kepada ekonomi negara. 

    ‘’Antaranya mengkaji semula proses pelepasan bankrap bagi warga Malaysia yang bekerja di luar negara, yang mungkin mengambil masa yang lama untuk mendapatkan perintah mahkamah sebelum memohon keizinan daripada Jabatan Imigresen,’’ katanya.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Page berkata, hakikatnya, kebankrapan adalah satu bentuk hukuman dan bukan satu skim pembayaran semula, maka sekiranya siBankrap telah menjalani hukuman pada suatu tempoh tertentu yang sesuai dengan berkelakuan baik, maka seharusnya pelepasannya dari status kebankrapan disegera dan dipermudahkan, tanpa melihat pada nilai atau jumlah hutang am yang difailkan.

    ‘’Saya juga menggesa agar diwujudkan kaedah pelepasan bersyarat yang lebih fleksibel untuk seseorang boleh dilepaskan dari status kebankrapan. Ini boleh dilakukan dengan syarat-syarat dan perjanjian tertentu agar lebih ramai individu dapat kembali membina kehidupan tanpa dibebani proses pelepasan status bankrap yang terlalu lama,’’ katanya.

    Muhyiddin turret membangkitkan persoalan  keberkesanan kawal selia penyedia kredit dan perkhidmatan kredit bukan bank yang semakin rancak di Malaysia seperti perkhidmatan Buy Now, Pay Later (BNPL) bagi melindungi pengguna, khususnya di kalangan belia agar mereka tidak terjerat dengan hutang, memandangkan Akta Kredit Pengguna masih belum dibentang pada ketika ini.

    ‘’ Ini kerana perkhidmatan BNPL yang kebanyakannya berkait dengan platform e-dagang ini mengenakan kadar caj yang tinggi jika terlewat bayar ansuran bulanan. Malah, kadar caj atau faedah BNPL ini juga boleh dikatakan lebih tinggi berbanding kadar caj untuk kad kredit,’’ katanya.

    Belau berkata, kika dilihat dari sudut makro, BNPL boleh memberi kesan kepada kadar hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi iaitu 89 peratus berbanding 2021. 

    ‘’Melihat kepada kadar hutang isi rumah di Malaysia yang semakin meningkat dari RM1.27 trilion kepada RM1.34 trilion, BNPL boleh memburukkan lagi masalah keberhutangan isi rumah sekiranya tiada sebarang bentuk intervensi tuntas dari pihak kerajaan,’’ tegas beliau.

    Kerajaan juga kata beliau wajar meneliti cadangan CUEPACS tentang had tempoh bayaran pinjaman peribadi dan sewa beli kenderaan supaya ia dapat dipanjangkan dari 10 tahun kepada 20 tahun, bagi meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.

    ‘’Berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia, faktor terbesar kes kebankrapan adalah pinjaman peribadi dengan jumlah kes 20,754 iaitu mewakili 42.24% daripada keseluruhan faktor kebankrapan yang dilaporkan. Selain itu, pinjaman sewa beli kenderaan menyum​bang 7,072 kes iaitu 14.39%,’’ katanya.

  • Kes jenayah komersial di P. Pinang meningkat 83 peratus babitkan kerugian RM53j

    Kes jenayah komersial di P. Pinang meningkat 83 peratus babitkan kerugian RM53j

    JUMLAH kes jenayah komersial di Pulau Pinang sepanjang tahun ini sehingga April lalu menunjukkan peningkatan ketara iaitu sebanyak 82.7 peratus atau 628 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 1,387 kes jenayah komersial dilaporkan membabitkan kerugian sebanyak RM53 juta berbanding 759 kes dengan kerugian RM28 juta tahun lalu.

    Menurut beliau, kebanyakan mangsa jenayah itu ditipu melalui online antaranya melibatkan penipuan telekomunikasi (phone scam); love scam; jenayah e-kewangan; jenayah e-dagang serta pinjaman dan pelaburan tidak wujud.

    “Antara faktor yang menyebabkan jenayah ini masih lagi berleluasa dan sukar dikesan ialah scammer kerap mengubah modus operandi, menggunakan pendaftaran palsu perkhidmatan prabayar, penggunaan akaun keldai dan kekangan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan dan amanat Ketua Polis Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di George Town hari ini.

    Menurutnya, peningkatan kes jenayah komersial itu merupakan cabaran kepada polis bagi mengambil langkah-langkah pencengahan lebih komprehensif dan agresif dalam menyedarkan orang ramai mengenai risiko penipuan menerusi teknologi komunikasi.

    Dalam perkembangan berkaitan, Kok Chin berkata, jumlah jenayah indeks yang direkodkan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini pula sebanyak 1,087 kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu sebanyak 1,211 kes.

    Jelas beliau, ia menunjukkan penurunan sebanyak 124 kes atau bersamaan 10.2 peratus.

    “Dalam tempoh kajian tahun tersebut, jenayah kekerasan menunjukkan penurunan sebanyak 11.4 peratus manakala bagi semua kes di bawah kategori jenayah harta benda menunjukkan penurunan sebanyak 9.9 peratus,” katanya.

    Tambah beliau, hasil penelitian dan kajian yang dibuat bagi tempoh itu mendapati, jenayah curi merupakan penyumbang utama jenayah indeks dengan 32.7 peratus, pecah rumah (20.6 peratus) dan curi motosikal (18.2 peratus).

    Sehubungan itu, tambahnya, jenayah curi wajar diberi fokus utama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pulau Pinang dalam merangka kerja bagi menghasilkan ‘output’ yang terbaik untuk tahun ini.

  • Joki kereta didakwa rogol remaja perempuan dalam kereta

    Joki kereta didakwa rogol remaja perempuan dalam kereta

    SEORANG pekerja joki kereta didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, kerana merogol remaja perempuan berusia 18 tahun dalam kereta, 13 Mei lalu.

    Bagaimanapun, B. Satia, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Izralizam Sanusi.

    Satia dituduh merogol remaja berkenaan dalam kereta Honda City kelabu di kawasan pusat hiburan, Jalan Tun Razak, Taman Maluri, di Kuala Lumpur, pada pukul 5.20 pagi, 13 Mei lalu.

    Kesalahan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

    Berikutan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Roslizi Sulaiman, menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa.

    “Berdasarkan keterangan, kejadian rogol adalah secara paksa serta tertuduh dan mangsa tiada apa-apa hubungan,” katanya, lapor BH Online.

    Bagaimanapun, peguam bela Satia, Julie Faralisa Abd Jais, memohon jaminan rendah atas alasan anak guam perlu menanggung ibu serta adik yang masih bersekolah.

    “Tertuduh yang juga anak kedua tidak bersalah hingga didapati bersalah. Ibunya sedia menjadi penjamin dan anak guam akan menerima syarat tambahan dikenakan,” katanya.

    Hakim kemudian membenarkan jaminan RM9,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melaporkan di balai polis setiap bulan serta tertuduh tidak boleh mendekati mangsa atau jaminan akan dibatalkan.

    Sebutan kes semula ditetapkan 21 Jun ini.

  • Bekas CEO MARii berdepan 12 pertuduhan di Mahkamah Alor Setar

    Bekas CEO MARii berdepan 12 pertuduhan di Mahkamah Alor Setar

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Robotik Automotif dan IoT (MARii), Datuk Mohamad Madani Sahari hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar bagi berdepan 12 pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah lebih RM1 juta pada 2021 dan 2022.

    Tertuduh yang berusia 56 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan itu sebaik dibacakan jurubahasa di depan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.

    Mengikut kertas pertuduhan pertama hingga ke-10, dia didakwa menerima wang berjumlah antara RM30,000 hingga RM300,000 dari akaun Hong Leong Islamic Bank milik peguamnya, Norizan & Associates (akaun klien) ke akaun Maybank Islamic miliknya.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 7 September 2021 hingga 22 Februari 2022 di Malayan Banking Berhad Cawangan Kulim, Kedah.

    Mohamad Madani selain itu turut berdepan dua lagi pertuduhan sama, masing-masing berjumlah RM19,000 yang didakwa diterima menerusi akaun Maybank Islamic Berhad miliknya dari Trillion Cove Holdings Berhad, hasil daripada pembelian saham Redeemable Preference Share-i berjumlah RM1 juta.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 6 Oktober 2021 dan 8 November 2021 di Maybank Islamic Berhad di Taman Manggis III, Kulim, Kedah.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Syafina Mohd. Radzuan mengikut Sekyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta sama manakala tertuduh diwakili peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed dan Muhammad Rahmat Geneid.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan ketika kesalahan itu dilakukan, atau RM5 juta bergantung mana yang lebih tinggi untuk setiap pertuduhan dihadapi.

    Ini bukan kali pertama Mohamad Madani dihadapkan ke mahkamah dengan beliau terlebih dulu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 14 April lalu atas pertuduhan menerima rasuah RM5 juta pada 8 Julai 2021.

    Dia selepas itu dihadapkan pula ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8 Mei lepas, dan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM5 juta yang didakwa dilakukan sekitar Mei 2021.

    Pada 10 Mei lalu, Mohamad Madani sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi berdepan sembilan pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram, melibatkan transaksi RM4 juta pada 2021 dan 2022.

    Dia turut mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan untuk kesemua pertuduhan dihadapi.

    Dalam prosiding hari ini, pihak pendakwaan memohon Mahkamah menggunapakai wang jaminan RM300,000 daripada kes dihadapi di Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini dengan kesemua 12 pertuduhan dihadapi hari ini juga, dipohon untuk dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi dibicarakan secara bersama pada 9 Jun depan.

    Pihak pembelaan kemudiannya mengesahkan perkara itu dan tidak membantah untuk kes tersebut dipindahkan bersandarkan persetujuan yang dibuat.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan-permohonan tersebut.

  • 12 termasuk bekas pengerusi dilantik AJK PAC

    12 termasuk bekas pengerusi dilantik AJK PAC

    BEKAS pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad antara 12 wakil rakyat terpilih menganggotai jawatankuasa itu bagi penggal ke-15.

    Mereka terdiri lapan Ahli Parlimen kerajaan dan empat pembangkang, yang akan dipengerusikan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan naibnya, Wong Shu Qi daripada DAP.

    Mas Ermieyati berkata, pelantikan Noraini yang berkhidmat sebagai pengerusi PAC dari April 2019 hingga Mac 2020 membuktikan kedudukan dan kredibiliti PAC sentiasa dipandang tinggi.

    “Pengalaman ahli-ahli PAC termasuk saya yang pernah menjawat jawatan dalam kerajaan sudah pasti dapat menjadikan PAC lebih berwibawa serta dihormati dalam memastikan setiap laporan yang dibentangkan mempunyai impak kepada kerajaan.

    “Peranan PAC sebagai mekanisme semak dan imbang kepada kerajaan terutama sekali membabitkan dasar kewangan, perolehan serta tadbir urus kerajaan akan menjadi lebih kritikal,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.

    Selain Noraini daripada UMNO, wakil rakyat blok pemerintah yang terpilih adalah Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan (DAP); Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee (DAP); Ahli Parlimen Tampin, Isam Isa (UMNO); Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (PKR); Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan (PKR); Ahli Parlimen Betong, Richard Rapu (GPS) dan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof (Amanah).

    Di pihak pembangkang, mereka yang terpilih adalah Ahli Parlimen Kubang Pasu, Ku Abd Rahman Ku Ismail (Bersatu); Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju (PN); Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas); dan Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali (Pas).

    Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul turut mengucapkan tahniah kepada wakil rakyat terpilih dan berharap semua Ahli Parlimen membantu menggalas tanggungjawab berat itu sebaik mungkin.