Author: Wartawan WartaRakyat

  • Gerakan bimbang ringgit terus jatuh, Bursa Malaysia kian lemah

    Gerakan bimbang ringgit terus jatuh, Bursa Malaysia kian lemah

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) melahirkan rasa kecewa dan bimbang dengan kemerosotan berterusan nilai ringgit serta situasi Bursa Malaysia yang terus melemah.

    Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, situasi itu langsung tidak menggambarkan kenyataan pemimpin Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) sebelum ini kononnya kestabilan negara menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan akan mengukuhkan serta melonjakkan semula ekonomi negara.

    Sebaliknya, tambah beliau, apa yang berlaku ketika ini adalah nilai pertukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) terus jatuh, malah mencecah kerugian lima hari berturut-turut selain menyusut lebih satu perarus dalam beberapa hari sahaja.

    “Kita percaya kejatuhan ringgit yang berterusan akan melanda pembangunan ekonomi sekali gus menggesa kerajaan mengambil tindakan menyelamatkan ekonomi negara supaya rakyat tidak terus hidup dalam keadaan sukar.

    “Sehubungan itu, kita menggesa Kerajaan Pusat memanggil pakar industri kewangan segera bagi meneroka strategi yang lebih berkesan dalam menyelamatkan ringgit dan pasaran saham Malaysia daripada terus jatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang turut menyelar pemimpin DAP yang disifatkan seolah-olah diam seribu bahasa berhubung situasi ekonomi negara yang buruk.

    Jelas beliau, ketika menjadi pembangkang, DAP sentiasa mencari peluang mengkritik dasar ekonomi negara dan menjadikan Menteri Kewangan sebagai sasaran, namun tidak melakukan perkara sama ketika ini.

    “Kita juga menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan supaya segera merangka strategi berkesan untuk menyelamatkan ringgit dan pasaran saham negara yang sedang merudum bagi memulihkan keyakinan rakyat dan pelabur,” katanya.

  • Kekasih buat ‘projek’ dalam kereta diberkas

    Kekasih buat ‘projek’ dalam kereta diberkas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEPASANG kekasih yang berkelakuan tidak senonoh dan jelik kawasan letak kenderaan Taman Tasik Bandar, Pasir Gudang ditahan polis semalam.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 42 saat yang tular itu menerusi akaun Facebook Izwan Mansur dalam kumpulan Komuniti Scientex Pasir Gudang.

    Beliau berkata, siasatan lanjut pihaknya mendapati kejadian itu berlaku pada 11 pagi, Ahad lalu tempat letak kenderaan tersebut.

    “Siasatan mendapati mereka masih belum berkahwin dan melakukan perbuatan jelik dalam sebuah kereta.

    “Bertindak atas maklumat pihak polis melakukan tangkapan antara jam 11 sehingga 11.45 malam Selasa. Sepasukan pegawai dari Balai Polis Pasir Gudang telah membuat tangkapan di Tanjung Puteri Resort dan Taman Rinting.

    “Pelaku merupakan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun dan wanita tersebut yang juga warga tempatan berusia 19 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau memberitahu, semakan mendapati suspek lelaki mempunyai satu rekod kesalahan lampau.

    Menerusi tangkapan itu katanya, pihak polis merampas sebuah kereta Perodua MyVi putih.

    Menurut Mohd Sohaimi, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 337D Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama dua tahun.

    Tambahnya, kedua-dua suspek sedang direman selama empat hari mulai hari ini sehingga Sabtu ini.

    “Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan perbuatan yang melanggar norma kehidupan dan undang-undang,” katanya lagi.

  • Rampas dadah dalam ‘teh Cina’ RM1.08 juta di jeti nelayan

    Rampas dadah dalam ‘teh Cina’ RM1.08 juta di jeti nelayan

    SATU sindiket penyeludupan dadah didalangi warga asing bernilai RM1.08 juta dalam sebuah bot tumpas selepas pihak polis menyerbu sebuah jeti nelayan di Sekinchan Jumaat lalu.

    Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd. Alias berkata, empat lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 25 hingga 41 tahun itu dipercayai ingin mengedar dan menyeludup keluar dadah ke Indonesia.

    “Semua suspek yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah itu ditahan kira-kira pukul 10 malam dalam bot berkenaan.

    “Hasil serbuan itu polis merampas dadah disyaki syabu kira-kira 30 kilogram yang disimpan dalam bungkusan teh Cina,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, Sungai Besar hari ini.

    Beliau berkata, semua suspek bekerja sebagai nelayan direman selama tujuh hari sehingga 26 Mei ini bagi membantu siasatan.

    Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 61 (c) Akta Imigresen 1959/63.

    Dalam kes berasingan, Agus Salim memberitahu, pihaknya menahan seorang peniaga kedai runcit berusia antara 30 hingga 40-an atas kesalahan memiliki sepucuk pistol di sekitar daerah ini pada 18 Mei lalu.

    Lelaki tempatan itu katanya, memiliki pistol jenis Pietro Baretta Gardone secara tidak sah dipercayai sejak lima atau enam tahun lalu.

    “Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Hukuman Lebih Berat) 1971,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Jam tangan berunsur LGBT dirampas, Swatch rancang ambil tindakan undang-undang

    Jam tangan berunsur LGBT dirampas, Swatch rancang ambil tindakan undang-undang

    PENGELUAR jam dari Switzerland, Swatch Group akan mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan kembali koleksi jam bertema warna pelangi dari ‘Pride Collection’ yang dirampas Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada awal bulan ini.

    Menurut Reuters, CEO Swatch Nick Hayek berkata beliau kecewa dengan kejadian itu dan menegaskan koleksi jam warna pelangi dengan mesej keamanan dan kasih sayang itu tidak membahayakan sesiapa.

    Reuters yang memetik akhbar Switzerland, Tages-Anzeiger sebagai berkata, syarikat itu akan mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan semula koleksi jam yang dirampas itu.

    Terdahulu, KDN menyerbu 11 butik Swatch di pusat beli belah, antaranya Pavilion KL, One Utama, Sunway Pyramid, Mid Valley Megamall, dan Suria Sabah pada 13 dan 14 Mei lalu.

    Lima butik di pusat beli belah di Alor Setar, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Johor Bahru, dan Kuching diberi amaran.

    Serbuan itu dilaporkan susulan warganet mengaitkan koleksi berkenaan dengan sokongan kumpulan rock Britain, Coldplay, terhadap masyarakat lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT).

    Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz menggesa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan pendirian Putrajaya berhubung serbuan itu dan melahirkan kebimbangan dengan ‘kesamaran’ terhadap apa yang boleh ditafsirkan sebagai ‘berbahaya’.

    “Adakah kita akan mula menyerbu semua kedai yang menjual apa-apa dengan hiasan pelangi/’pride’, termasuk perniagaan kecil?,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu, lapor FMT.

  • Ejen insurans mengaku tidak bersalah rogol wanita di hotel

    Ejen insurans mengaku tidak bersalah rogol wanita di hotel

    SEORANG ejen insurans dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 19 tahun di sebuah bilik hotel Jumaat lalu.

    Lim Kai Hoe, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu di dituduh melakukan kesalahan berkenaan di bilik sebuah hotel di Jalan Metro Pudu 2, Pudu, Kuala Lumpur antara pukul 3.30 hingga 8.30 pagi 19 Mei lalu.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.

    Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd. Rauf, mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin pada kadar yang tinggi dengan syarat tambahan iaitu tidak boleh mengganggu mangsa dan melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

    Bagaimanapun, peguam, S. Sathya yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum kerana dia perlu menanggung ibu bapa yang sudah bersara.

    “Sejak ditahan pada 19 Mei lalu, anak guam telah memberi kerjasama baik kepada polis,” katanya, lapor Astro Awani.

    Siti Aminah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan.

    Mahkamah menetapkan 27 Jun depan untuk sebutan semula kes.

  • Sanggup jadikan ibu tebusan, penagih serang polis maut ditembak

    Sanggup jadikan ibu tebusan, penagih serang polis maut ditembak

    SEORANG lelaki maut dipercayai akibat terkena tembakan selepas bertindak agresif menyerang anggota polis dengan parang dalam kejadian di Hutan Melintang di Bagan Datuk semalam.

    Difahamkan, kejadian sekitar jam 10.30 malam itu berlaku apabila suspek penagih dadah itu enggan memberi kerjasama kepada polis malah menjadikan ibunya sebagai tebusan dalam cubaan melepaskan diri.

    Sumber berkata, usaha polis memujuk suspek turut gagal, malah amaran diberikan tidak dihiraukan.

    Suspek bertindak mengacukan parang pada leher ibunya dan bertindak agresif menghayun parang kepada pasukan polis.

    “Polis kemudian terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri. Suspek yang cedera parah bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya di Bagan Datuk hari ini, lapor Astro AWANI.

    Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri ketika dihubungi memaklumkan satu kenyataan media berhubung kejadian itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

  • Pas Melaka sedia terima ADUN dari parti lain

    Pas Melaka sedia terima ADUN dari parti lain

    PAS Melaka mengalu-alukan dan terbuka menerima siapa sahaja yang mahu menyertai partinya termasuk desas-desus mengenai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini mahu bersama mereka.

    Setiausaha Pas Melaka, Asri Shaik Abdul Aziz berkata, parti itu mengikuti dengan dekat perkembangan berita berhubung kemungkinan penyertaan ADUN tersebut ke dalam Pas.

    “Kita tidak melihat sebarang halangan untuk menerima sesiapa sahaja daripada ADUN negeri ini yang berhasrat untuk bersama Pas Melaka.

    “Apa yang penting Pas boleh menerima sesiapa sahaja ke dalam parti terutama yang menjadikan Islam sebagai cara hidup yang lengkap dan penyelesaian kepada masalah negara,” katanya dalam satu kenyataan di Melaka hari ini, lapor Sinar Harian.

    Pada masa sama katanya, Pas turut menjunjung politik bebas rasuah, bebas salah guna kuasa dan urus tadbir yang jujur dan berintegriti.

    Baru-baru ini media melaporkan desas-desus seorang ADUN Barisan Nasional (BN) akan menyertai Pas.

    Warta Rakyat turut melaporkan bahawa ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis tidak menafikan dan mengiyakan dakwaan dirinya disebut sebagai ADUN BN yang bakal menyertai Pas.

    Muhammad Jailani bagaimanapun hanya memberitahu bahawa ‘hanya hantu takut pada bayang-bayangnya sendiri’ ketika memberi reaksi berhubung perkara itu, namun berteka-teki ketika diminta menjelaskan maksud di sebaliknya.

  • Tayangan filem Anwar pelajar tingkatan 6, amal bomba, cetus pertikaian

    Tayangan filem Anwar pelajar tingkatan 6, amal bomba, cetus pertikaian

    TAYANGAN amal filem biopik Anwar The Untold Story oleh agensi kerajaan mengundang pertikaian dalam kalangan warga maya di media sosial yang menimbulkan persoalan mengenai sumber kewangan dalam penganjuran majlis sedemikian.

    Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin melalui akaun Facebooknya memuatnaik dua dokumen yang didakwa pekeliling membabitkan tayangan eksklusif filem itu bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta jemputan ke tayangan amal filem berkenaan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur (JBPMKL).

    “Sedang viral. ‘The Unsold Story’?,” tulis Radzi yang juga bekas menteri pendidikan di Facebooknya.

    Facebook rasmi JBPM memaparkan tayangan amal yang berlangsung 20 Mei di GSC IOI City Mall Putrajaya itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan M Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah JBPM, Abdul Wahab Mat Yasin.

    Tidak jelas sama ada tayangan percuma itu daripada bajet kementerian atau Jabatan Bomba dan Penyelamat atau sumber lain.

    Sementara itu, tayangan amal untuk pelajar tingkatan enam SMK Putrajaya Presint 5 (1) malam tadi dianjurkan Kementerian Pendidikan, dengan menteri Fadhlina Sidek dilaporkan turut hadir.

    Penolong kanan sekolah itu, Suziyah Selamat dipetik FMT berkata kehadiran ke tayangan amal itu merupakan aktiviti luar sekolah yang tidak diwajibkan.

    “Kementerian tidak memaksa sesiapa tetapi (program) ini disalah anggap apabila ia dipolitikkan,” katanya.

    Dia berkata 50 kerusi diperuntukkan untuk sekolah itu dan hanya pelajar yang mendapat kebenaran ibu bapa mereka sahaja dibenarkan menghadiri saringan itu.

    Filem ‘Anwar The Untold Story’ memulakan tayangannya di pawagam seluruh negara pada 18 Mei lalu.

    Tayangan pembukaan karya yang mengisahkan perjalanan hidup Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mengutip RM1 juta pada hari pertama tayangan.

    Aktor Farid Kamil memegang watak utama sebagai Anwar dalam filem itu.

    Meskipun berdepan kritikan, penerbit eksekutif filem itu, Zulkiflee Anwar Haq atau Zunar menyambut baik usaha agensi kerajaan mengadakan tayangan amal filem berkenaan.

    Katanya, filem yang dihasilkan daripada kisah benar perjalanan hidup Anwar itu sarat dengan pendidikan dan pengajaran khususnya buat generasi muda.

    Jelasnya, paling utama filem itu mendidik masyarakat tentang jenayah rasuah.

    “Adengan dalam filem ini di mana Anwar didatangi dengan seorang individu membawa duit untuknya. Duit itu adalah ‘hadiah’ buat Anwar. Tetapi Anwar dengan tegas menolaknya.

    “Di sini jelas kepada kita tentang pendidikan mengenai rasuah yang datang dalam pelbagai cara, ‘hadiah’ juga adalah rasuah.

    “Begitu juga bagaimana dengan didikan moral apabila Anwar melarang ahli keluarganya menerima projek kerajaan apabila dia dilantik menjadi menteri kewangan,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Oleh itu Zunar menyeru agar tayangan filem berkenaan diperluaskan kepada agensi-agensi ataupun kementerian kerajaan yang lain.

  • Jemaah haji Malaysia ceriakan penjual kurma di Madinah

    Jemaah haji Malaysia ceriakan penjual kurma di Madinah

    SUDAH menjadi kebiasaan program ziarah luar untuk jemaah haji Malaysia di kota ini pasti akan melawat ke tempat-tempat terkenal seperti Masjid Qiblatain, Masjid Quba, kawasan pertempuran Bukit Uhud dan kedai kurma.

    SINAR HARIAN melaporkan,lokasi lawatan yang mencuri tumpuan ialah di kedai kurma apabila kehadiran jemaah haji Malaysia disambut dengan penuh senyuman dan kemesraan pemilik ladang dan jurujual di situ.

    Mereka tidak dapat menyembunyikan rasa gembira kehadiran jemaah yang ramai ini pasti membawa rezeki yang berlipat kali ganda kepada perniagaan mereka untuk kembali rancak seperti tahun sebelum pandemik.

    Kehadiran 28 buah bas jemaah Malaysia dengan ribuan jemaah belum termasuk jemaah dari negara lain sudah pasti menjadikan pemilik perniagaan ini memperolehi untung yang amat besar.

    Baki jemaah yang akan hadir lagi 30,000 jemaah berdasarkan kuota penuh jemaah haji Malaysia.

    Berada selama 1 jam dalam kedai melihat keletah penjual warga Pakistan dan Arab yang fasih berbahasa Melayu adalah petanda bahawa kedai ini adalah lokasi wajib bagi jemaah dari Malaysia.

    Dengan variasi kurma seperti Ajwa, Medjool, Sukari dan pelbagai jenis lagi kurma yang segar dan menyelerakan, sudah pasti tiada jemaah Malaysia yang keluar daripada kedai itu dengan belian yang kurang daripada ratusan Riyal.

    Riak wajah pemilik kedai berkenaan yang dikenali sebagai Majeed juga jelas tersenyum lebar melihat berbondong-bondong bungkusan kurma dibeli oleh jemaah Malaysia. Mereka juga tidak penat melayan pelanggan dan menghalalkan semua kurma yang ingin dimakan walaupun sehingga kenyang.

    Penulis ada bertanya kepada seorang ustaz mutawif yang menjadi pembimbing program ziarah sama ada kedai kurma ini adalah terbaik di kota Madinah.

    Jawapannya sudah tentu ya kerana Tabung Haji yang berpengalaman sejak sekian lama membawa jemaah haji ke Tanah Suci pasti mengetahui kedai mana dapat menawarkan harga kompetitif.

    Paling penting katanya kurma yang dijual di sini segar kerana harga yang murah di tempat lain kadangkala kurang dari segi kesegarannya.

    Ketika menyaksikan keghairahan jemaah Malaysia membeli-belah pelbagai jenis kurma, terlintas di fikiran mengenai buah-buah kurma di dalam peti ais di rumah penulis di tanah air yang dibeli pada Ramadan lalu, belum terusik.

    Ada kurma sejuk beku, kurma tanpa biji, kurma inti coklat dan macam-macam jenis kurma tapi semuanya kekal seperti mana semasa dibeli.

    Rasa rugi pula jika dibiarkan. Kurma mempunyai banyak khasiat dan nutrisi yang baik untuk tubuh badan kita kerana mempunyai banyak kalori dan karbohidrat.

  • Daim, Halim Saad membungkam tentang siasatan SPRM

    Daim, Halim Saad membungkam tentang siasatan SPRM

    BEKAS Menteri Kanan, Tun Daim Zainuddin dan ahli perniagaan, Halim Saad tidak menjawab sebarang soalan berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan penyelewengan dana awam bernilai lebih RM2.3 bilion.

    Malaysiakini menghubungi kedua-dua mereka selepas sumber peringkat tinggi dalam suruhanjaya itu mengesahkan bahawa Daim dan Halim telah dipanggil untuk membantu siasatan minggu lalu.

    “Mereka ialah Daim dan Halim Saad,” kata sumber itu ketika ditanya siapa bekas menteri kanan dan ahli perniagaan terkemuka yang dipanggil SPRM itu.

    Bagaimanapun, sumber berkenaan enggan mendedahkan butiran lanjut kerana kes itu dianggap ‘sensitif’.

    Malaysiakini telah menghubungi pejabat kedua-dua mereka untuk mendapatkan ulasan dan juga mengemukakan beberapa soalan atas permintaan pembantu pejabat Halim.

    Bagaimanapun, sehingga kini, tiada sebarang maklum balas diberikan.

    Jumaat lalu, Bernama melaporkan SPRM sedang menyiasat seorang bekas menteri kanan dan ahli perniagaan terkemuka bergelar Tan Sri atas dakwaan penyelewengan yang berlaku pada 1990-an.

    Semalam, FMT tanpa menyebut nama melaporkan dua orang dipanggil lagi untuk disoal siasat SPRM.

    Siasatan tertumpu kepada pengambilalihan saham yang melibatkan syarikat tersenarai awam, yang didakwa menyebabkan kegawatan ekonomi Malaysia pada 1990-an.

    SPRM dilaporkan turut meneliti pemilikan aset berharga oleh ahli perniagaan, bekas menteri kanan dan keluarga masing-masing di Malaysia dan luar negara.

    Walaupun Malaysiakini tidak dapat mengesahkan dengan SPRM mengenai butiran berkaitan syarikat itu, kemungkinan siasatan adalah mengenai pengambilalihan saham Renong Berhad oleh UEM pada November 1997.

    Pengambilalihan 723 juta saham bernilai RM2.3 bilion dilaporkan telah menyebabkan Indeks Komposit KL menjunam sebanyak 20 peratus.

    Halim adalah pemegang saham yang mengawal Renong pada masa itu. Beliau juga adalah pengerusi eksekutif syarikat ketika itu.

    Beliau turut diberikan opsyen oleh UEM pada Januari 1998 yang memberi hak kepada syarikat itu untuk menjual balik 32.6 peratus saham Renong kembali kepadanya pada harga RM3.24 sesaham atau RM3.2 bilion.

    Ini adalah harga ketika UEM memperoleh saham itu, yang mencetuskan bantahan dan tuduhan orang ramai bahawa Halim menggunakan UEM untuk menyelamatkan dirinya dan pemegang saham lain dengan menyokong harga saham Renong pada masa pasaran menjunam berikutan krisis kewangan Asia.

    Menurut laporan berita, SPRM sedang menyiasat seorang bekas menteri kanan itu kerana didakwa kononnya mendalangi pengambilalihan saham.

    Daim, 85, pernah berkhidmat sebagai menteri kewangan dua kali dalam tempoh pertama Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dari 1981-2003.

    Beliau juga dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa penasihat khas (CEP) ketika Mahathir sekali lagi menjadi perdana menteri pada 2018.

    Minggu lalu, Bernama melaporkan bahawa siasatan SPRM adalah kesinambungan dan lanjutan daripada pendedahan dokumen-dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi-transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

    “SPRM juga telah merakamkan kenyataan kira-kira 14 saksi dalam beberapa minggu lepas berhubung siasatan ini, termasuk daripada ahli perniagaan terkemuka dan seorang bekas menteri kanan mengenai dokumen sulit yang didedahkan oleh Kertas Pandora,” kata sumber itu.

    Kebocoran Kertas Pandora berlaku pada 2021 apabila sumber tanpa nama berkongsi dengan ICIJ 2.94 terabait fail kewangan sulit, berjumlah lebih daripada 11.9 juta dokumen dan rekod lain, daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan mengurus syarikat cengkerang (shell) dan amanah di kawasan perlindungan cukai sekitar dunia.

    Berikutan kebocoran itu, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin membidas Malaysiakini atas apa yang didakwanya sebagai ‘obsesi yang tidak berkesudahan’ portal berita ini terhadapnya.

    Ini selepas Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai pegangannya di luar pesisir.