Author: Wartawan WartaRakyat

  • ”Hentikan suruh orang kita undi DAP” – Isham

    ”Hentikan suruh orang kita undi DAP” – Isham

    AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil menegaskan, sokongan kepada parti itu akan terhakis jika pemimpinnya terus membuat desakan melampau mahukan ahli mengundi calon DAP pada PRN.

    Katanya, walaupun UMNO berada dalam kerajaan perpaduan bersama DAP, dan dikatakan mampu memberi kelebihan kepada parti itu namun “hati akar umbi UMNO masih perlu dijaga. Kita tak boleh hilang undi asas kita. Kita nak kejar undi orang, undi sendiri hilang, kita habis nanti.

    “Puji melambung DAP tu tak payah lah, nanti penyokong kita kecil hati, jadi masalah kepada kita. Hentikan suruh orang kita undi DAP,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook.

    Kenyataan itu dipercayai merujuk saranan Datuk Seri  Ahmad Maslan baru-baru ini yang meminta penyokong UMNOmengundi DAP atas dasar dalam kerajaan perpaduan, turut membuat gesaan ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi.

    Isham berkata, UMNO jangan terlampau cepat untuk jadi ‘apologist’ DAP sebab penyokong parti itu sedang memerhati. 

    Beliau menegaskan, PRN enam negeri amat penting kerana akan memberi “signal” kepada kerajaan perpaduan di Putrajaya.

    “Jika eksperimen ini tak menjadi, apa akan jadi? Kita bermasalah, Kerajaan Perpaduan pun bermasalah. Agihan kerusi antara parti sekutu dalam kerajaan perpaduan khususnya antara komponen PH dan UMNO juga akan menunjukkan sejauh mana mereka ikhlas dengan kita,” katanya.

    Beliau juga berpandangan DAP mampu menang dengan sendiri di kubunya tanpa undi simpati ahli UMNO.

    Bagaimanapun, katanya kerusi majoriti Melayu ditandingi PKR-UMNO-Amanah akan mengundang bahaya jika pengundi bukan Melayu tidak keluar mengundi.

    “Sebab kerusi ini bergantung kepada undi orang Cina. Kalau mereka tak keluar, tiga parti ini akan bermasalah.

    “Dulu kita lawan PH, pengundi tak suka PH dia undi kita, sekarang kita bersama PH, jadi dinamiknya orang Melayu nak undi kita atau tak?” soal Isham.

  • Rasuah : ‘Datuk Roy’, pegawai SPRM mengaku tidak bersalah

    Rasuah : ‘Datuk Roy’, pegawai SPRM mengaku tidak bersalah

    SEORANG pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ahli perniagaan dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM640,000 supaya anak bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak direman SPRM.

    Mohd Rasyidi Mohd Said, 43, dan Datuk Roy atau nama sebenarnya Mohd Hussein Mohd Nasir, 54, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

    “Faham Yang Arif, mengaku tidak bersalah,” kata kedua-dua tertuduh kepada Hakim Azura Alwi.

    Mereka didakwa bersama-sama secara rasuah meminta untuk diri mereka atau bagi mana-mana orang lain suatu suapan wang tunai berjumlah RM400,000 daripada Siti Dalena Berhan, 47, sebagai dorongan untuk tidak menahan reman Datuk Fakhri Yassin Mahiaddin semasa siasatan pihak SPRM.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Bangsar, di sini, antara 9 dan 11 malam, 5 Mac lalu.

    Mereka juga didakwa menerima suapan untuk diri mereka atau bagi mana-mana orang lain iaitu wang tunai berjumlah RM240,000 daripada Syed Farid Syed Al Attas, 41, sebagai dorongan untuk tidak menahan reman individu sama semasa siasatan pihak SPRM.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Desa Sri Hartamas, di sini, antara jam 2 dan 4 petang, 6 Mac lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, di hadapan Hakim Suzana Hussin, Mohd Hussien turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan meminta rasuah wang berjumlah RM2 juta untuk dirinya daripada Siti Dalena dan Syed Farid.

    Ia sebagai dorongan untuk menukarkan pertuduhan yang lebih ringan, menukar keterangan tertuduh kepada saksi, dan mengurangkan wang jaminan terhadap kes pendakwaan yang dihadapi oleh ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Kampung Melayu Kepong, di sini, pada Februari 2023 dan pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

  • Bekas hakim Mahkamah Shariah, anggota polis mengaku tidak bersalah terima rasuah

    Bekas hakim Mahkamah Shariah, anggota polis mengaku tidak bersalah terima rasuah

    BEKAS Hakim Mahkamah Syariah dan anggota polis mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini masing-masing atas tuduhan menerima rasuah serta bersubahat dalam hal menjatuhkan hukuman kepada pesalah khalwat, empat tahun lalu.

    BERITA HARIAN melaporkan tertuduh, bekas Hakim Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Burhanuddin Ismi Adam, 43, dan Muhamad Hamri Ayob, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Ahmad Kamar Jamaludin.

    Mengikut pertuduhan, Burhanuddin Ismi didakwa secara rasuah menerima untuk diri sendiri suapan RM4,000 daripada Muhammad Afiq Abd Majid, 39, sebagai dorongan untuk dia membuat keputusan melepaskan kes khalwat yang memihak kepada Muhammad Afiq berkaitan kes di bawah Seksyen 54(1) (2) Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 (khalwat).

    Perbuatan itu dilakukan di sebuah restoran di Jalan Chemor Saujana, Desa Chemor Saujana, di sini kira-kira 11.30 malam pada 10 September 2019.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta yang sama.

    Bagi pertuduhan ke atas Muhamad Hamri pula, dia didakwa bersubahat dengan Burhanuddin Ismi yang secara rasuah meminta suatu suapan sebanyak RM4,000 daripada Muhammad Afiq sebagai dorongan untuk Burhanuddin Ismi membuat keputusan melepaskan kes khalwat yang memihak kepada Muhammad Afiq.

    Muhamad Hamri didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran makanan segera di Jalan Kuala Kangsar, Taman Tasek Mutiara, di sini kira-kira jam 5.30 petang pada hari sama.

    Pertuduhan ke atas Muhamad Hamri dibaca mengikut Seksyen 28(1)(c) yang dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

    Jika sabit kesalahan, Seksyen 24(1) Akta SPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM10,000 seorang dengan seorang penjamin selain menetapkan tarikh 19 Jun depan bagi tarikh sebutan semula kes termasuk bagi pengurusan kes serta lantikan peguam.

    Ketika dalam kandang tertuduh, Burhanuddin Ismi memohon jumlah jaminan itu dikurangkan, mengambil kira dia sedang ditahan kerja susulan kes itu yang menyebabkan gaji bulanannya hanya dibayar separuh dari nilai asal selain menyara tiga anak termasuk seorang daripadanya adalah orang kurang upaya (OKU).

    Muhamad Hamri turut memohon jumlah jaminan terhadapnya dikurangkan atas pertimbangan turut ditahan kerja sebagai polis dan kini hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan bulanan RM1,500 selain menanggung empat anak.

    Hakim bagaimanapun tidak mempertimbangkan rayuan mengurangkan nilai jaminan kedua-dua tertuduh itu.

    Kedua-dua tertuduh membayar jaminan yang dikenakan.

  • Halim Saad nafi disiasat SPRM berhubung penyelewengan RM2.3 bilion

    Halim Saad nafi disiasat SPRM berhubung penyelewengan RM2.3 bilion

    TOKOH perniagaan Tan Sri Halim Saad menyangkal laporan media yang mendakwa beliau disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion berkaitan pembelian saham syarikat tersenarai oleh sebuah konglomerat Malaysia 26 tahun lepas.

    “SPRM tidak memanggil saya untuk disoal siasat mengenai isu itu,” kata Halim kepada FMT Business.

    Jumaat lepas, media melaporkan bahawa SPRM sedang menyiasat seorang bekas menteri kanan dan seorang ahli perniagaan bergelar “Tan Sri” berhubung dakwaan penyelewengan dana negara.

    Menurut sumber, SPRM mula menyiasat kedua-dua individu tersebut selepas nama mereka tersenarai dalam Pandora Papers sebagai mempunyai kaitan dengan tempat berlindung cukai luar pesisir.

    Halim, yang kini terlibat dalam industri minyak dan gas (O&G) di luar negara, mengecam akhbar The Edge kerana mengaitkan dirinya dengan pemerolehan saham bernilai RM2.3 bilion.

    The Edge melaporkan, sumber SPRM telah mengesahkan bahawa transaksi itu melibatkan pembelian 32.6% kepentingan atau 722.9 juta saham dalam Renong Bhd oleh United Engineers (M) Bhd (UEM) pada harga RM2.3 bilion pada November 1997, di tengah-tengah krisis kewangan Asia.

    The Edge juga menerbitkan semula tiga artikelnya mengenai pemerolehan saham Renong UEM dari November 1997 untuk “menyegarkan ingatan pembaca”.

    Halim berkata, artikel-artikel itu mencetuskan spekulasi tidak berasas mengenainya dan menimbulkan pertikaian mengenai peranannya dalam pembelian saham Renong oleh UEM.

    “Saya cabar mereka kemukakan bukti mengenai salah laku saya dalam urus niaga berkenaan,” katanya.

    Halim memainkan peranan penting dalam mengembangkan empayar korporat Renong dari pertengahan 1980-an hingga 1990-an.

  • Anwar akan rombak Kabinet, tukar KSU, Ketua Pengarah

    Anwar akan rombak Kabinet, tukar KSU, Ketua Pengarah

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim difahamkan akan merombak Jemaah Menteri selepas PRN, namun terlebih dulu melaksanakan “pembersihan” melibatkan jawatan kanan awam.

    Portal FMT melaporkan, sumber yang enggan didedahkan identitinya, berkata Anwar berhasrat menyingkirkan ahli Jemaah Menteri tidak berprestasi, selain berkemungkinan memberi keutamaan pembersihan di beberapa kementerian dengan menukar ketua setiausaha dan ketua pengarahnya.

    “Anda boleh menukar kerajaan, anda boleh menukar menteri, tetapi jika anda tidak menukar orang yang di dalam, tidak akan ke mana.

    “Menteri tertentu, terutama dari Pakatan Harapan, tidak mengetahui apa yang mereka sedang lakukan sekarang, justeru perlu ada pembersihan,” kata sumber itu.

    Bagaimanapun, sumber berkata, melaksanakan perubahan di peringkat kementerian tidak memberi banyak perbezaan, jika pegawai tidak kompeten masih berada dalam perkhidmatan awam.

    “Ia merupakan pendekatan dari bawah ke atas. Apa guna menukar menteri kalau anda tidak menukar sistem?” katanya.

    Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, dan Terengganu perlu mengadakan PRN yang dijangka berlangsung pada Julai.

    Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, dilaporkan bersama rakan sejawat termasuk ketua menteri di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, dan Terengganu, bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing hampir serentak.

    Timbul khabar angin rombakan Jemaah Menteri selepas sambutan Tahun Baharu Cina, pada Februari lalu, namun Anwar menafikan hal itu sambil menyatakan perkara itu sengaja dibuat serta disensasikan beberapa pihak bagi mencetuskan ketegangan dalam PH.

  • Warga emas maut dengan kesan tikam di leher, pipi, telinga

    Warga emas maut dengan kesan tikam di leher, pipi, telinga

    WANITA warga emas ditemukan maut dengan kesan tikaman pada leher dalam bilik tidur di rumahnya di Kampung Tersusun Simpang Lima, Parit Buntar, semalam.

    Jiran mangsa berkenaan yang menyedari kejadian tersebut melaporkan kepada pihak polis pada pukul 6.45 petang.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa yang berusia 61 tahun ditemukan dalam keadaan separuh bogel dengan kesan darah pada bantal, tilam dan dinding.

    “Pemeriksaan lanjut menemukan kesan luka potong dan luka tikaman pada telinga, leher dan pipi mangsa.

    “Terdapat juga kesan lebam di lengan mangsa dipercayai berlaku pergelutan dengan suspek ketika cuba mempertahankan diri,” katanya dalam satu kenyataan di Parit Buntar hari ini.

    Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati suspek memecah masuk rumah mangsa berikutan terdapat kesan umpil pada tingkap.

    “Bagaimanapun, tiada barang berharga milik mangsa yang hilang. Mangsa tinggal sendirian di rumah berkenaan.

    “Mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan kesan luka tikaman pada leher,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Kata Mohd. Yusri, usaha mengesan suspek giat dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian itu.

    Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan bunuh.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau di talian 05-721222 bagi membantu siasatan.

  • Polis tahan lelaki warga emas lepas tembakan

    Polis tahan lelaki warga emas lepas tembakan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki berusia 60-an ditahan selepas melepaskan beberapa das tembakan di Taman Delima, Kluang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerima aduan daripada jiran warga emas itu yang terdengar letupan di belakang rumahnya pada pukul 7 petang.

    Katanya, susulan itu sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang melakukan pemeriksaan di belakang rumah jiran warga emas tersebut.

    Satu tangki air berlubang dipercayai terkena tembakan di Taman Delima, Kluang, semalam

    “Pemeriksaan mendapati tangki air dan bingkai tingkap mengalami kerosakan seperti kesan tembakan.

    “Polis kemudian menahan warga emas berusia 60 tahun itu pada jam 9 malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pihaknya turut merampas selaras senapang patah jenis shot gun, tiga butir peluru jenis SME Mega, satu buah buku lesen dan resit memperbaharui lesen senjata api.

    Seorang penduduk menunjukkan tinkap rumanya yang berlekuk dipercayai terkena tembakan di Taman Delima, Kluang, semalam

    Bahrin berkata, siasatan masih dijalankan punca lelaki berkenaan melepaskan tembakan.

    “Siasatan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kejadian jenayah,” tambahnya.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman setahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

  • ‘’ RTM  beli saja filem Anwar, tayangkan secara percuma’’ – Ahli Parlimen Pas

    ‘’ RTM beli saja filem Anwar, tayangkan secara percuma’’ – Ahli Parlimen Pas

    RTM dicadangkan membeli filem biopik Anwar: The Untold Story supaya kerajaan tidak perlu mengarahkan pelajar sekolah menontonnya di pawagam.

    Ketika membuat cadangan itu,  Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) ketika membahaskan Rang Undang-undang Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023 di Dewan Rakyat.

    “Saya mencadangkan RTM membeli terus filem (Anwar: The Untold Story) dan tayangkan secara percuma tanpa perlu menggunakan budak (murid) sekolah dan juga kakitangan kerajaan, mengeluarkan surat rasmi menjemput mereka menonton di pawagam bersama menteri dan pegawai tinggi kerajaan,” katanya lapor FMT.

    Cadangan itu turut mendapat sokongan beberapa Ahli Parlimen lain yang menepuk meja.

     Latiff turut berkata, kerajaan juga boleh menjemput Ahli Parlimen lain, cuma perlu mengeluarkan surat rasmi “untuk menonton filem yang penuh bersejarah”.

    Terdahulu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 5 (1) mengesahkan program menonton filem Anwar: The Untold Story bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di sebuah pawagam di Putrajaya malam tadi.

    Penolong Kanan Tingkatan 6, Suziyah Selamat, berkata program itu atas jemputan kementerian dan tiada paksaan kepada pelajar Tingkatan 6 sekolah tersebut, sambil menyifatkan ia sebahagian proses pembelajaran di luar bilik darjah.

    Suziyah berkata, aktiviti itu tidak wajar dipolitikkan kerana ia mendapat persetujuan ibu bapa terlebih dahulu, selain kandungan filem itu juga berkait silibus pembelajaran Tingkatan 6 yang menyentuh isu rasuah dan pentadbiran negara.

  • Polis Kedah tumpaskan sindiket pengedar, rampas 25 kg ganja

    Polis Kedah tumpaskan sindiket pengedar, rampas 25 kg ganja

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEJUMLAH 25 kilogram dadah jenis ganja seberat 25 kilogram bernilai RM77,630, dirampas dalam tiga siri serbuan dilakukan pihak polis di Alor Setar dan Sungai Petani, Kedah dalam tempoh dua hari lalu.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, selain ganja yang dirampas, pihaknya turut menahan empat individu yang dipercayai merupakan ahli sindiket pengedaran dadah tersebut.

    Menurutnya, tangkapan pertama dilakukan kelmarin kira-kira pukul 8.30 malam melibatkan dua individu yang berada dalam sebuah kereta di tempat letak kenderaan di sebuah restoran, dekat Jalan Langgar, Alor Setar.

    “Pemeriksaan di tempat duduk depan telah menemukan beg hitam yang di dalamnya mengandungi lima ketulan mampat plastik lutsinar berisi tumbuhan disyaki dadah jenis ganja seberat kira-kira lima kilogram.

    “Hasil maklumat lanjut katanya, pihak polis kemudiannya telah menahan dua lagi lelaki menaiki motosikal jenis Honda EX5 berwarna biru di tepi jalan Lorong Seruling, Taman Seruling di Sungai Petani kira-kira pukul 12.40 pagi semalam,” katanya.

    Antara dadah yang dirampas dalam tiga siri serbuan dilakukan pihak polis di Alor Setar dan Sungai Petani, Kedah dalam tempoh dua hari lalu.

    Tambahnya, pemeriksaan terhadap dua lelaki itu menemukan lima ketulan mampat plastik lutsinar berisi tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja, juga seberat kira-kira lima kilogram.

    Hasil soal siasat dilakukan katanya, sepasukan pegawai dan anggota polis kemudiannya membuat pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Proton yang diletakkan di sebuah lorong di Kawasan Perumahan Kampung Batu Dua, Sungai Petani.

    “Di situ, pihak kami menemukan 15 bungkusan plastik lutsinar berisi tumbuh-tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja seberat kira-kira 15 kilogram di ruangan khas, tempat duduk penumpang bahagian belakang kenderaan tersebut,” katanya.

    Menurutnya, kesemua yang ditahan direman selama tujuh hari hingga 29 Mei depan bagi siasatan lanjut.

    “Secara keseluruhannya jumlah rampasan ganja adalah sebanyak kira-kira 25 kilogram dan nilai rampasan dadah berjumlah RM77.630. Nilai sitaan harta pula berjumlah kira-kira RM4,100,” katanya.

  • Tujuh termasuk 4 kanak-kanak maut selepas bumbung padang sekolah runtuh

    Tujuh termasuk 4 kanak-kanak maut selepas bumbung padang sekolah runtuh

    TUJUH termasuk empat kanak-kanak maut selepas bumbung di sebuah padang sekolah runtuh dalam kejadian ribut di Thailand semalam.

    Memetik SCMP, mangsa terdiri daripada kanak-kanak berumur di antara enam dan 13 tahun itu sedang berlindung ketika hujan selepas menyertai aktiviti di Sekolah Rendah Wat Nern Por di wilayah Phichit.

    Menurut media tempatan, keadaan hujan lebat dan angin kencang menyebabkan bumbung itu runtuh secara tiba-tiba.

    “Orang dewasa yang terkorban termasuk dua ibu bapa dan seorang penjaga, manakala 18 yang lagi cedera,” kata pejabat hubungan awam wilayah Phichit, lapor Agensi.

    Seorang saksi memberitahu ThaiPBS, dia terdengar bunyi seakan berada dalam zon perang sebelum dilanda ribut yang kuat.

    Datuk Bandar tempatan Kannika Intarakul memaklumkan banyak kediaman di kawasan itu turut mengalami kerosakan.

    Difahamkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun telah dibawa ke hospital namun meninggal dunia akibat kecederaan parah.

    Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Thailand mengeluarkan amaran mengenai hujan lebat di kawasan utara Thailand bermula minggu ini.