Author: Wartawan WartaRakyat

  • Desak ahli UMNO sokong DAP: Keadaan UMNO bertambah teruk pada PRU nanti

    Desak ahli UMNO sokong DAP: Keadaan UMNO bertambah teruk pada PRU nanti

    BEBERAPA pemimpin UMNO menyokong seruan ahli majlis kerja tertinggi (MKT), Isham Jalil, kepada kepimpinan parti supaya berhenti menyuruh ahli mengundi DAP pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Pengerusi Tetap Pemuda UMNO, Wan Agyl Wan Hassan berkata, tindakan ahli MKT, Datuk Seri Ahmad Maslan, meminta ahli menyokong calon DAP tidak boleh diterima.

    “Ini kerana UMNO dan DAP menjadi musuh politik sejak sekian lama, maka semua perasaan itu masih belum terawat sepenuhnya.

    “Meminta akar umbi UMNO mengundi calon DAP adalah sesuatu yang akar umbi tidak boleh terima. Walaupun pengurusan tertinggi parti memutuskan bahawa kita bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), ia haruslah demi negara. Ini tidak bermakna UMNO perlu korbankan prinsip.

    “Kenapa Ahmad tidak minta kita undi calon-calon kerajaan perpaduan? Mesejnya harus tepat. Siapa minta dia beritahu kita untuk undi DAP?” katanya memetik laporan FMT.

    Sementara itu, seorang ketua UMNO bahagian yang minta tidak dinamakan berkata, akar umbi menerima pembentukan kerajaan perpaduan bersama PH kerana memenuhi kehendak Yang di-Pertuan Agong.

    “Bagaimanapun, ramai ahli belum terima idea kerjasama pada PRN akan datang,” katanya, dan memberi amaran bahawa akan ada ahli meninggalkan UMNO jika pemimpin-pemimpin lain juga mengulangi permintaan itu.

    “Awak kena faham bahawa ahli kini terbahagi kepada dua kem. Jadi kalau kepimpinan tertinggi buat kenyataan seperti itu, lagi ramai akan pergi ke kem ‘anti-Zahid’,” katanya, merujuk kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.

    Dalam pada itu, seorang ahli MKT yang minta tidak dinamakan berkata, komen Isham itu munasabah memandangkan ada jurang antara kepimpinan tertinggi UMNO dan akar umbi, selain puak-puak dalam parti.

    “Kepimpinan buat kenyataan yang tidak sedap didengar akar umbi dan tak boleh lah berterusan begini. Kita perlu ada kesefahaman dan berpegang pada prinsip kerana, jika tidak, situasi UMNO pada pilihan raya umum (PRU) akan datang akan bertambah teruk,” katanya.

    UMNO dan DAP yang berseteru sekian lama kini bekerjasama dalam kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Ahmad meminta ahli UMNO lihat calon DAP pada PRN akan datang sebagai mewakili kerajaan perpaduan, bukan atas nama parti sahaja.

    Isham kemudian memberi amaran bahawa sokongan kepada UMNO akan terhakis jika pemimpinnya terus mendesak ahli mengundi calon DAP pada pilihan raya.

  • Kanak-kanak perempuan maut digilis lori di Melaka

    Kanak-kanak perempuan maut digilis lori di Melaka

    SEORANG anak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas digilis lori dalam kemalangan di Kampung Paya Mengkuang, Batang Tiga di sini hari ini.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata kejadian kira-kira 5.30 petang itu menyebabkan mangsa, Nur Qayra Quraisya Muhamad Qayyum meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

    Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di simpang tiga ketika mangsa sedang bermain bersama saudaranya di celah pokok di sekitar tempat kejadian. 

    “Pemandu lori itu iaitu lelaki berusia 37 tahun mendakwa tidak perasan kehadiran mangsa walaupun telah memastikan keadaan jalan selamat sebelum keluar dari simpang berikutan tindakan kanak-kanak itu yang tiba-tiba keluar dari celah pokok.

    “Berikutan itu, lelaki berkenaan tidak menyedari mangsa yang sedang berlari ke arahnya sebelum terlanggar kanak-kanak itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Beliau berkata mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat manakala sampel darah turut diambil daripada pemandu lori itu untuk mengesan kandungan alkohol dan dadah.

    Katanya kes disiasat lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Imam meninggal dunia selepas bermain badminton

    Imam meninggal dunia selepas bermain badminton

    IMAM Masjid Jamek Pasir Pelangi di Johor Bahru, Nur Nikman Yusof meninggal dunia ketika bermain badminton di Dewan Li Chi dekat Kampung Abdullah di Segamat malam tadi.

    BERITA HARIAN melaporkan, difahamkan, Allahyarham juga bekas Imam Masjid Bandar Labis rebah secara tiba-tiba sebelum disahkan meninggal dunia.

    Rakannya, Mohamad Abdullah, 49, yang pernah bertugas bersama Nur Nikman sebagai imam di Masjid Bandar Labis, dan menyifatkan arwah seorang imam ratib yang berdedikasi menjalankan tugas serta amanahnya.

    “Lewat malam tadi, saya mendapat perkhabaran duka dan menyedihkan, rakan imam yang sama pernah berkhidmat di Masjid Bandar Labis, Ustaz Nur Nikman meninggal dunia. Dia rebah selepas bermain badminton dan tidak berjaya dipulihkan serta disahkan meninggal dunia,” katanya ditemui di Labis hari ini.

    Katanya, Nur Nikman berasal dari Pokok Sena, Kedah dan dengan usaha serta sumbangan jasanya yang turut aktif menjadikan masjid Labis pusat aktiviti pengajian Islam dan al-Quran.

    Di Masjid Bandar Labis, beliau mengajar jemaah membaca al-Quran, tajwid dan taranum.

    “Sepanjang saya bersamanya, arwah adalah seorang imam ratib yang sangat dedikasi dalam menjalankan tugas serta amanahnya, disenangi masyarakat setempat dan kehidupannya banyak dihabiskan dengan al-Quran.

    “Difahamkan, arwah pulang ke kediaman isterinya dekat Felda Tenang di Segamat, sebelum meluangkan masa untuk bermain badminton,” katanya.

    Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 11.15 malam dan sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati mangsa yang lengkap berpakaian sukan itu terbaring di lantai.

    Menurutnya, pemeriksaan pada mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    Katanya, mangsa dikenal pasti sebagai Nur Nikman Yusof, 40an dan maklumat dari saksi memaklumkan mangsa sempat bermain badminton set pertama bersama rakannya sebelum ditemui terjatuh dalam tandas.

    “Rakan mangsa dikatakan mendengar bunyi jatuh yang kuat dari tandas dan arwah ditemui luka di dahi dipercayai rebah serta tidak sedarkan diri. Seorang pemain yang berada di lokasi kemudiannya menghubungi Paramedik Hospital Daerah Segamat (HDS) Pemeriksaan petugas perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.

    Jenazah dibawa pulang ke kampungnya di Pokok Sena, Kedah dari Masjid Bandar Labis di sini, kira-kira jam 4 petang tadi.
    Jenazah Allahyarham dibawa pulang dengan van jenazah usai solat jenazah yang dihadiri kira-kira 200 kenalan dan ahli keluarga.

  • PRU-15: Tiada bukti PN terima dana syarikat judi – Azalina

    PRU-15: Tiada bukti PN terima dana syarikat judi – Azalina

    TIADA  bukti parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) menerima sumbangan daripada dana syarikat judi pada PRU15 lalu.

    Ketika memaklumkan perkara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, SPRM menjalankan kajian terperinci mengenai dakwaan itu dan mendapati maklumat yang diterima terlalu umum serta tiada pihak boleh mengesahkannya.

    “Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas).

    Ahmad Fadhli ingin mengetahui status siasatan terhadap dakwaan parti-parti di dalam PN mendapat sumbangan daripada dana judi ketika kempen pilihan raya umum yang lepas.

    Pada Disember tahun lalu, beberapa media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

    Anwar berkata Kementerian Kewangan juga mendapati “pelanggaran” dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender.

    Dalam laporan itu, Anwar dipetik sebagai berkata, dana pilihan raya untuk parti “Melayu” dan parti “Islam” datang dari syarikat perjudian.

    Dalam satu lagi jawapan bertulis Azalina berkata, siasatan SPRM juga mendapati tiada unsur penerimaan rasuah terhadap parti-parti yang mendapat dana ketika PRU15.

    Azalina berkata demikian bagi menjawab soalan Hadi Awang (PN-Marang) mengenai status siasatan SPRM terhadap parti-parti kerajaan berhubung perbelanjaan ketika PRU15 termasuk sumber dana.

  • Jemaah haji Malaysia masuki Mekah mulai esok

    Jemaah haji Malaysia masuki Mekah mulai esok

    JEMAAH haji Malaysia akan mula memasuki Mekah secara berperingkat mulai esok melibatkan kumpulan KT1 dan KT2 seramai 565 orang.

    Pengarah Operasi Maktab, Mohd Sawal Abong berkata, bagi menyambut ketibaan jemaah terlibat, pihaknya sudah bersiap sedia dari segi penginapan dan kebajikan jemaah.

    SINAR HARIAN melaporkan dari Mekah, terdapat empat zon melibatkan sembilan buah maktab yang ditempatkan di 12 buah hotel iaitu Zon A Abraj Al Janadriyah, Qasr Al Janadriyah dan Masat Al Badaya.

    Zon B pula terdiri daripada Zwar Al Bait, Jawharat Al Bait dan Al Fajer Al Badaya 2 dan Zon C melibatkan hotel Diary Al Saad dan Rehab Al Janadriyah. Bagi Zon D melibatkan hotel Land Premium, Al Fajr Al Badee 5, Manar Al Shorouq dan Rawdhat Al Shorouq.

    Kata beliau, semua penginapan jemaah tidak melebihi jarak 1 kilometer daripada dataran Masjidilharam.

    Tambahnya, di setiap bangunan penginapan juga terdapat pelbagai kemudahan untuk jemaah seperti klinik kesihatan, urusan pengeposan, dobi, kafe, bimbingan ibadah dan macam-macam lagi.

    “Bagi jemaah yang datang berkeluarga kita sudah susun penempatan agar berada hampir antara satu sama lain supaya memudahkan pergerakan mereka nanti. Kita telah kenal pasti jemaah yang uzur untuk diberikan bantuan sewajarnya oleh petugas-petugas yang terlibat,” katanya kepada media Malaysia pada Khamis.

    Mengulas lanjut, Mohd Sawal berkata, selepas sambutan jemaah mereka akan dibawa ke bilik masing-masing, disediakan jamuan dan kemudiannya akan dibawa menunaikan umrah pertama mereka.

    “Semasa sesi ke Masjidilharam jemaah juga akan diiringi Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) bagi memudahkan jemaah untuk bertanyakan secara terus sebarang kemusykilan ibadah masing-masing,” katanya.

    Sementara itu, bagi memudahkan urusan tiket penerbangan balik dan sebagainya, pihak Tabung Haji kini telah menguruskan sendiri urusan itu di Ibu Pejabat Abraz Al Janadriyah.

  • Jam Swatch dirampas bukan kerana warna tapi isu LGBT – Anwar

    Jam Swatch dirampas bukan kerana warna tapi isu LGBT – Anwar

    PERDANA Menteri, Anwar Ibrahim berkata serbuan pihak berkuasa ke atas kedai Swatch baru-baru bukanlah mengenai warna jam tangan yang dijual di kedai berkenaan, sebaliknya berkaitan isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

    Bagaimanapun, Anwar berkata beliau tidak mempunyai butiran mengenai kes itu dan menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk memberikan penjelasan.

    “Biar KDN menjelaskan kerana saya tidak mempunyai butiran. Kecuali fakta bahawa ia bukan mengenai isu warna tetapi isu bahawa ia (mewakili lambang) LGBT,” kata Anwar kepada pemberita selepas menghadiri perayaan Islam Selangor di Shah Alam hari ini, lapor Bernama.

    Perdana Menteri diminta mengulas serbuan terhadap kedai Swatch kerana mempamerkan koleksi Pride di seluruh negara, yang berlaku pada 13 Mei dan 14 Mei lalu.

    Mengenai isu pengunaan kalimah Allah, Anwar berkata, ia tidak seharusnya dibincang secara terbuka sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

    Beliau sekali lagi menegaskan bahawa tindakan kerajaan menarik balik semula rayuan terhadap penggunaan kalimah “Allah” dibuat selepas perkara itu dirujuk kepada pandangan mufti-mufti serta titah Raja-Raja Melayu.

    Katanya hal berkenaan sudah beberapa kali dijelaskan termasuk ketika di dalam Parlimen mengenai penggunaan kalimah Allah yang dikhaskan kepada umat Islam di Semenanjung Malaysia.

    “Maksudnya, umat Islam dalam Semenanjung Tanah Melayu sahaja boleh gunakan kalimah Allah untuk mengelakkan kekeliruan dan masalah dakyah agama lain, maka agama lain tidak diizinkan. Kemudian untuk Sabah dan Sarawak, ada sedikit kelonggaran dengan syarat-syarat yang ketat supaya tidak timbul kekeliruan. 

    (Kalimah Allah) boleh dibahas, tetapi dalam majlis tertutup, (perbahasan mengenainya) tidak patut mengelirukan umat. Tetapi, kita (kerajaan) masih dituduh menggadaikan dan mengkhianati amanah rakyat,” katanya.

  • Tawaran Muhyiddin : ‘’Saya akan putuskan masa terdekat’’ – KJ

    Tawaran Muhyiddin : ‘’Saya akan putuskan masa terdekat’’ – KJ

    KHAIRY Jamaluddin berkata beliau akan putuskan segera sama ada menerima tawaran sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

    Beliau yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata,  adalah tidak adil membiarkan pihak yang membuat tawaran menunggu terlalu lama.

    “Justeru, dalam masa terdekat saya akan sampaikan keputusan kepada (Presiden Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya selepas program Designing the Future bertajuk ‘What’s Next For Malaysia’ yang diadakan di UCSI University Campus Kuala Lumpur hari ini, lapor Berita Harian.

    Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu semalam yang menasihatkan Khairy supaya tidak terlalu lama menjawab tawaran parti itu.

    Pada 17 Mei lalu Muhyiddin umum mengenai tawarannya kepada Khairy menjadi ahli MPT Bersatu selepas mendapat persetujuan pimpinan parti yang lain.

    Muhyiddin dilaporkan berkata, partinya mempunyai dua kekosongan jawatan berkenaan tanpa niat ‘mengumpan’ bekas Ahli Parlimen Rembau itu.

    Pada 22 Mei, Khairy meminta diberi masa bagi mempertimbang tawaran menjadi MPT Bersatu kerana bukan mudah membuat keputusan berhubung tawaran berkenaan.

    “Saya harap mereka yang membuat tawaran itu kepada saya dapat memberi saya sedikit masa lagi untuk memikirkan perkara ini… terima kasih kepada Muhyiddin yang secara umum menzahirkan perkara ini.

    “Bila kita ada peluang kedua untuk memilih parti politik, saya tidak ambil ringan keputusan ini, bukan kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berlangsung bila-bila masa.

    “Saya nak pilih dengan rela hati bukan nak jadi calon, sebab parti itu mewakili nilai dan pendirian politik saya. Jadi saya perlukan masa, bukan saya kata ‘no’ (tidak) kepada tawaran Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden BERSATU).

    “Saya nak menjelaskan kepada orang ramai dan pendengar yang peduli mengenai hal ini,” katanya.

  • Prestasi Sukan SEA: Ahli Parlimen Pasir Mas sanggah alasan Hannah Yeoh

    Prestasi Sukan SEA: Ahli Parlimen Pasir Mas sanggah alasan Hannah Yeoh

    PERIKATAN  Nasional (PN) hari ini menyanggah alasan diberikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh selepas kontinjen negara menunjukkan prestasi buruk dalam Sukan SEA baru-baru ini, mengatakan masih terdapat negara-negara yang tidak stabil politik tetapi berjaya dalam sukan.

    Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari dari PN mempersoalkan mengapa negara seperti Kenya, Cuba, dan Serbia yang mempunyai situasi politik lebih teruk berbanding Malaysia mampu meraih prestasi lebih baik dalam sukan.

    “Saya merujuk kepada kenyataan menteri apabila menyebut bahawa ketidakstabilan antara punca kepada pencapaian Sukan SEA, saya rasa ramai yang kurang faham  dengan kenyataan ini. Kerana kalau kita melihat dengan menyebut beberapa negara, Kenya, Cuba, Serbia, politik mereka tidaklah stabil daripada kita, tetapi dari segi sukan mereka agak perform,” soal Fadhli yang juga merupakan ketua Pemuda PN.

    Terdahulu Yeoh mempertahankan kenyataan yang dibuat sebelum ini bahawa ketidakstabilan politik Malaysia menjejaskan prestasi atlet negara pada Sukan SEA di Kemboja baru-baru ini.

    Bercakap pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Yeoh bagaimanapun menegaskan situasi itu hanya salah satu faktor dan bukan segala punca yang menyumbang kepada prestasi suram itu.

    Fadhli mencelah dengan mengatakan terdapat negara yang terlibat dengan perang tetapi masih berprestasi baik dalam sukan.

    “Palestin yang negara berperang apabila pasukan bola sepak mereka ranking lebih tinggi daripada Malaysia.  Jadi soalannya, kalau menteri menyebut ketidakstabilan politik itu menyebabkan pencapaian dalam sukan itu terjejas, apakah yang dilakukan oleh menteri pada masa hadapan bagi memastikan bahawa apa jua yang berlaku dalam politik tidak menjejaskan sukan, kerana sukan ini milik semua,” soalnya lapor MalaysiaNow.

    Bagaimanapun, Yeoh yang juga ahli Parlimen Segambut berkata, negara yang disebut itu tidak bertanding di Sukan SEA.

    “Dalam empat tahun lepas, kita telah bertukar tiga perdana menteri dan tiga menteri belia dan sukan. Jadi ada pertukaran ahli lembaga, bajet dan juga fokus,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Fadhli. Sejak Mei 2013, menteri ketika itu ialah KJ (Khairy Jamaluddin) ada 61 bulan untuk buat persiapan.

    “Julai 2018 Syed Saddiq Abdul Rahman mempunyai hanya 20 bulan untuk buat persiapan sebelum Langkah Sheraton berlaku. Kemudian Reezal Merican (Naina Merican), 18 bulan manakala Peja (Ahmad Faizal Azumu) ada 16 bulan. Kita kena perakui, selepas Langkah Sheraton, semua usaha bantu ekonomi, pendidikan, semuanya terganggu kerana ketidakstabilan politik.”

    Pada masa sama, Yeoh turut menjelaskan bahawa Malaysia yang hanya mengambil bahagian 41% daripada keseluruhan acara yang dipertandingkan, berjaya mencapai sasaran membawa pulang 141 pingat secara keseluruhan.

    Katanya, atlet negara membawa pulang 175 pingat secara keseluruhan, namun hanya gagal meraih sasaran 40 pingat emas apabila kekurangan 6 pingat itu.

    “Temasya kali ini, Kemboja telah mengambil keputusan untuk tidak mempertandingkan beberapa acara yang dijangka memberi 18 pingat emas kepada Malaysia dan memperkenalkan sukan tradisi yang menyumbang 91 pingat emas kepada negara itu.

    “Tuan rumah juga senaraikan atlet import dan ubah beberapa peraturan mengenai peringkat umur dan telah sempitkan peluang Malaysia capai sasaran pingat,” tambah Yeoh.

  • Ukail mahu perbetul tanggapan masyarakat terhadap pelajar tahfiz

    Ukail mahu perbetul tanggapan masyarakat terhadap pelajar tahfiz

    BAGI yang pernah mengikuti program ziarah luar jemaah haji Malaysia di Madinah, kelibat anak-anak muda yang berpengetahuan dalam memberikan penerangan mengenai lokasi-lokasi bersejarah, sirah Nabi Muhammad SAW dan sebagainya pasti akan dapat dilihat sepanjang program berlangsung.

    Mereka ialah Muzawwir iaitu pasukan yang dibentuk untuk membantu Lembaga Tabung Haji (TH) dalam melaksanakan aktiviti ziarah ke Masjid Quba’, makam syuhada Uhud, Masjid Qiblatain dan lain-lain.

    Mereka terdiri daripada rakyat Malaysia yang sedang menyambung pengajian di Universiti Islam Madinah dan bagi sesi kali ini dianggarkan khidmat 60 Muzawwir digunakan.

    SINAR HARIAN melaporkan dari Madinah, rata-rata Muzawwir yang dipilih TH mempunyai latar belakang yang mantap dari segi ilmu pengetahuan kerana mereka perlu bersedia dengan pelbagai soalan daripada jemaah.

    Salah seorangnya ialah Ukail Ahmad Sanif, Timbalan Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Malaysia Arab Saudi cawangan Madinah (Persada).

    Pemuda berusia 26 tahun dari Klang, Selangor yang belum berkahwin itu kini sedang menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda di Universiti Islam Madinah dalam jurusan Syariah (Fiqh Hanbali).

    Pengajian yang sedang diikuti di semester lima ini ialah ijazah kedua setelah berjaya menamatkan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Syariah (Fiqh Syafie) di Universiti Al- Azhar, Mesir.

    Pengajian itu berjaya dihabiskan selama empat tahun dengan keputusan Jayyid Jiddan martabat Syaraf (ijazah kelas pertama) dan meraih pelajar terbaik antarabangsa ke-11 pada tahun graduasi (2018-2022).

    Tekad Ukail ialah untuk menyambung pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) kerana cita-cita beliau ingin menjadi cendekiawan agama profesional bertaraf antarabangsa yang mampu menjadi rujukan dunia dan boleh bertutur banyak bahasa.

    Menyoroti kembali perjalanan pendidikan Ukail, beliau mula memasuki tahfiz pada 2004 di Sekolah Rendah Hafiz Klang, kemudian beberapa maahd tahfiz hinggalah memasuki Sekolah Menengah Islam Al-Farabi, Klang pada tahun kelima untuk mengambil mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    “Pelajar lain belajar untuk SPM selama lima tahun. Saya mengambilnya dalam masa satu tahun. Susah tapi saya ambil cabarannya.

    “Belajar mula 8 pagi, lepas tu tuisyen hingga 10 malam hampir setiap hari dan akhirnya saya menjadi pelajar SPM terbaik di sekolah tersebut dengan keputusan 8A 2B. Dapat juga menjadi antara pelajar cemerlang di Zon Selat Klang,” katanya ketika ditemui di Madinah.

    Kata Ukail, banyak kelebihan belajar di sekolah tahfiz kerana menghafal al-Quran menguatkan minda dan membuatkan pelajar itu cepat memahami ajaran guru dan serta menjadi bijak.

    “Bahkan saya merasakan pelajar Tahfiz apabila belajar akademik akan lebih cemerlang dan berpotensi melebihi daripada pelajar yang tidak menghafal al-Quran.

    “Apabila kita berjaya menghafal kalam-kalam Allah SWT, segala perkara yang lain semuanya menjadi mudah.

    Kata Ukail, antara niat beliau menghafal al-Quran adalah semoga dapat memberi syafaat kepada keluarga beliau di akhirat kelak selari dengan wasiat neneknya untuk ada seorang cucu yang menjadi hafiz.

    “Saya merupakan penghafal al-Quran tunggal di dalam keluarga yang berjaya habiskan hafalan 30 juzuk,” katanya.

    Berdasarkan pengalamannya itu, beliau amat bangga menjadi pelajar tahfiz dan mana-mana pelajar yang sedan

  • Filem ‘Untold Story’, yang sudah jadi ‘Unsold Story’ – Takiyuddin

    Filem ‘Untold Story’, yang sudah jadi ‘Unsold Story’ – Takiyuddin

    SESI Dewan Rakyat hari ini bertukar tegang selepas Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati dengan perjalanan Aturan Mesyuarat dan Usul-Usul Dewan Rakyat.  

    Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bangkit mempersoalkan sama ada kerajaan mempunyai Rang Undang-Undang (RUU) lain untuk dibentangkan dalam tempoh tujuh hari persidangan akan datang kerana ketika ini hanya dua RUU sahaja dalam aturan mesyuarat.

    RUU tersebut melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim iaitu RUU Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023 dan RUU Pihak Berkuasa Pembangunan tenaga Lestari (Pindaan) 2023 bagi bacaan kali kedua.

     Astro Awani melaporkan, Takiyuddin berkata, RUU yang hanya berbaki dua lagi itu akan memendekkan tempoh persidangan hari ini, dan menunjukkan seolah-olah kerajaan tidak serius melaksanakan fungsi Parlimen.

    Sebelum itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Ugak Anak Kumbong mencadangkan supaya persidangan hari ini tidak ditangguhkan sehingga dua RUU terbabit diputuskan di Dewan Rakyat.

    “Soalan kami, di pihak pembangkang hari ini adalah hari keempat (persidangan) dan kita ada tujuh hari lagi. Saya nak tanya adakah kerajaan tidak mempunyai apa-apa RUU untuk tujuh hari lagi? Atau ada kerajaan nak buat kejutan seperti macam RUU Insolvensi (Pindaan) 2023 baru-baru ini?

    “Sudahlah tidak ada penjelasan. Kerajaan dulu panggil semua Ahli Parlimen dan menteri untuk beri penjelasan dulu. Soalan pertama saya, adakah ada RUU lagi untuk tujuh hari persidangan? Kalau ada bila? RUU bacaan pertama sudah tiada. Bacaan kali kedua tak tahu bila, jadi apa lagi yang ada?

    “Saya mahu soalan saya ini direkodkan dan ditujukan kepada kerajaan. Mungkin kementerian-kementerian sibuk untuk mengadakan filem ‘the true’… filem ‘Untold Story’, yang sudah jadi ‘Unsold Story’,” soal Takiyuddin di Dewan Rakyat pada Khamis.

    Perkara sama turut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

    Kata beliau, sekiranya Dewan Rakyat tidak lagi mempunyai urusan kerajaan yang perlu dibentangkan, maka Dewan Rakyat sepatutnya memberi ruang kepada usul persendirian dalam kalangan Ahli Parlimen Pembangkang untuk dibincang dan dibahaskan.

    Bagaimanapun, Timbalan Speaker, Datuk Ramli Mohd Noor berkata sehingga kini beliau tidak menerima notis untuk urusan kerajaan selepas dua RUU hari ini selesai dibincang dan diputuskan.

    Situasi itu membawa kepada blok pembangkang meminta undi belah bahagian dilakukan sebelum Ramli mengarahkan Dewan Rakyat direhatkan selama 10 minit sebelum undian dijalankan.

    Begitu pun, cubaan pembangkang untuk menggagalkan usul supaya persidangan hari ini ditangguhkan seperti yang dicadangkan kerajaan, tidak kesampaian, apabila undi belah bahagian tidak berpihak kepada mereka.

    Ramli ketika mengumumkan keputusan tersebut memaklumkan seramai 83 Ahli Parlimen bersetuju supaya persidangan hari ini ditangguhkan selepas dua RUU dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) diputuskan.

    Manakala, seramai 52 Ahli Parlimen tidak bersetuju, 86 orang tidak hadir serta satu tidak mengundi.

    “Yang tidak mengundi saya,” kata Ramli.