Author: Wartawan WartaRakyat

  • 11 maut dalam runtuhan salji di utara Pakistan

    11 maut dalam runtuhan salji di utara Pakistan

    SEKURANG-KURANGNYA 11 maut manakala 13 lagi cedera selepas ditimpa runtuhan salji di utara Pakistan, lapor Agensi Anadolu (AA).

    Kejadian runtuhan salji berlaku berhampiran Shounter Valley Pass di Tapak Perkhemahan Bakarwal di wilayah Gilgit Baltistan, menurut kerajaan wilayah dalam satu kenyataan Sabtu.

    “Semasa kejadian itu, 25 orang daripada keluarga Gujjar termasuk haiwan ternakan … ditimpa runtuhan salji,” katanya.

    Lapan mayat ditemukan setakat ini, sementara usaha mencari mereka yang masih hilang diteruskan.

    Menurut kenyataan itu, mereka yang cedera telah dibawa ke Hospital Ibu Pejabat Daerah Astore, di mana sebahagiannya dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

    Disebabkan lokasi terpencil dan rupa bumi yang sukar, pasukan penyelamat juga berdepan cabaran untuk memindahkan jentera berat ke kawasan terjejas, menurut pegawai penyelamat tempatan.

    Perdana Menteri Shehbaz Sharif turut melahirkan rasa dukacita atas kehilangan nyawa dan mengarahkan pihak berkuasa tempatan menggerakkan pasukan penyelamat ke lokasi kejadian.

  • Telegram tak mahu terlibat ‘tapisan politik’

    Telegram tak mahu terlibat ‘tapisan politik’

    TELEGRAM tegas dengan pendiriannya enggan bekerjasama dengan Kement£erian Komunikasi dan Digital (KKD), dengan berkata pihaknya tidak akan terlibat dalam ‘sebarang bentuk penapisan politik’.

    Jurucakap syarikat Remi Vaughn mendakwa, pihaknya sudah pun memainkan peranan mengawal selia isi kandungan yang memudaratkan di platformnya, termasuk berhubung penjualan bahan haram dan pornografi.

    “Bagaimanapun, Telegram tidak akan terlibat dalam sebarang bentuk penapisan politik,” kata Vaughn, lapor New Straits Times.

    Beliau berkata, moderator platformnya memantau segmen awam di aplikasi mesej itu secara proaktif.

    Tambahnya, aduan pengguna yang diterima melalui aplikasi dan e-mel aduan – [email protected] – juga dipantau dengan teliti agar kandungan yang melanggar terma perkhidmatannya dapat dibuang.

    Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, Telegram mungkin berdepan tindakan jika terus tidak bekerjasama dengan kementeriannya.

    Tambahnya, kementeriannya telah berusaha untuk berhubung dengan Telegram sejak Januari, berikutan beberapa aduan terdapat pornografi dan kegiatan penjualan dadah di platform itu.

    Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan meneliti perkara itu dan beliau sedang menunggu cadangan mereka mengenai tindakan seterusnya.

  • Lupakan 79% undi diperoleh di Selangor pada PRU14, trend PRU15 akan berlaku pada PRN akan datang

    Lupakan 79% undi diperoleh di Selangor pada PRU14, trend PRU15 akan berlaku pada PRN akan datang

    JIKA mengikut gabungan undi yang diperoleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) Selangor pada 2018, kerajaan perpaduan mungkin tidak berdepan banyak masalah pada PRN akan datang.

    Daripada dua juta orang yang dianggarkan akan mengundi, parti PH semasa memperoleh 58% undi (DAP 25%, PKR 24% dan Amanah 9%), manakala 21% lagi diperoleh BN (UMNO 16%, MCA 4% dan MIC 1 %).

    Sebaliknya, 14% mengundi Pas, yang bertanding sendiri.

    Sementara itu, Bersatu – anggota PH pada 2018 – hanya memperoleh 6%, sekali gus memberi Perikatan Nasional (PN) sejumlah 20% undi. Baki 1% lagi mengundi calon lain.

    Bagaimanapun, penganalisis politik Ibrahim Suffian daripada Merdeka Centre berkata, anggota kerajaan perpaduan perlu berhati-hati memandangkan trend PRU15 menunjukkan perubahan akan berlaku pada PRN akan datang.

    Katanya, bilangan pengundi di Selangor telah meningkat lebih 55%, daripada 2.42 juta pada 2018 kepada 3.75 juta dalam daftar terkini, berikutan pendaftaran pengundi automatik dan Undi18, dan ini berpotensi membuka peluang untuk mana-mana parti mendahului undian.

    Menurut Ibrahim, PRN sering dipengaruhi oleh isu setempat, sekali gus menambah dimensi kepada PRU tahun lepas.

    Dalam konteks Selangor, Ibrahim berkata, terdapat perbezaan yang ketara antara persekutuan dan negeri dalam soal keutamaan parti.

    “Pada PRU15, jelas bahawa kebanyakan pengundi memilih mengikut parti. Bagaimanapun, segelintir pengundi Melayu muda dan wanita mempertimbangkan personaliti dan isu apabila mengundi,” katanya kepada FMT.

    PH mempunyai kuasa penyandang yang didukung oleh pemerintahan tiga penggal yang cukup berjaya di Selangor.

    Bagaimanapun, Ibrahim berkata, penyertaan UMNO dalam gabungan itu kini mengubah dinamik tempatan, apatah lagi dalam kalangan penyokong PH yang mungkin sukar menerima pakatan dengan pesaing lama itu.

    “Justeru, pemindahan undi penyokong BN kepada calon PH dan sebaliknya mungkin menjadi satu cabaran,” katanya.

    “Penyokong UMNO boleh memilih untuk tidak keluar mengundi, atau menyokong calon PN kerana tidak berpuas hati dengan pemimpin mereka sendiri.”

    Ibrahim berkata, faktor lain dijangka memainkan peranan penting ialah persepsi masyarakat terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Walaupun tinjauan oleh Merdeka Centre pada Februari menunjukkan 68% menyokong kepimpinan Anwar, dan negara secara amnya bergerak mengikut hala tuju yang tepat, sentimen ini boleh berubah dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

    “Kami perhatikan pengundi muda Melayu semakin mesra Anwar dan PH.

    “Mereka mungkin berwaspada dengan tumpuan PN terhadap kaum dan agama, dan kekurangan cadangan yang nyata tentang cara menambah baik isu kos sara hidup.

    “Bagaimanapun, (sentimen) ini mungkin tidak kekal. Jadi, PH perlu bekerja lebih keras untuk menunjukkan bahawa keputusannya bekerjasama dengan UMNO-BN adalah untuk jangka masa panjang, walaupun diketahui bahawa segelintir pemimpin BN tidak selesa dengan aturan itu,” katanya.

    Ibrahim berkata, UMNO juga berdepan tugas berat, berikutan prestasi hambarnya pada PRU15

  • Guru wanita rugi RM187,000 diperdaya ‘polis’ Bukit Aman

    Guru wanita rugi RM187,000 diperdaya ‘polis’ Bukit Aman

    SEORANG guru wanita di Kuantan, baru-baru ini, kerugian RM187,000 selepas diperdaya sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan, mangsa berusia 36 tahun dihubungi suspek pada 10 Mei lalu.

    “Suspek memaklumkan bahawa mangsa terbabit sindiket pemerdagangan manusia serta ada waran tangkap terhadapnya.

    “Mangsa yang agak panik kemudiannya menuruti arahan suspek dengan memindahkan semua wang simpanan yang dimilikinya kepada satu akaun bank.

    “Pada masa sama, mangsa turut memberikan maklumat penting termasuk kata pengguna dan kata laluan untuk urus niaga dalam talian kepada suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, mangsa juga membuat pinjaman peribadi berjumlah RM130,000 bagi tujuan siasatan seperti yang diarahkan oleh suspek.

    Katanya, menyedari dirinya ditipu, mangsa kemudian membuat laporan polis.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Jangan tolak dulu, bincang dengan PN, Pas Sarawak kata Hadi

    Jangan tolak dulu, bincang dengan PN, Pas Sarawak kata Hadi

    TAWARAN ‘orang tertentu’ kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk bekerjasama dalam kerajaan perpaduan perlu dibincang Perikatan Nasional (PN), kata pemimpin negeri.

    Pesuruhjaya Pas Sarawak, Jofri Jaraiee, berpandangan tawaran itu perlu dipanjangkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menjadi rakan komponen PN.

    Beliau berkata, walaupun tidak dapat mengenal pasti ‘niat sebenar’ pihak berkenaan menghubungi Hadi, Pas tidak akan membiarkan PN ketinggalan.

    “Kita tidak pasti niat sebenar ‘orang tertentu’ itu, mungkin juga mereka nak memisahkan Pas dengan Bersatu dalam PN sebab kalau mereka nak ajak…perlu ajak Bersatu sekali. Maksudnya PN sekali, bukan Pas sahaja,” katanya kepada FMT.

    Beliau berkata, Pas juga perlu berwaspada dengan tawaran disebutkan Hadi.

    Katanya, wujud kesangsian berhubung tawaran itu kerana ia mungkin ‘teknik mengelirukan pengundi’ pihak tertentu, lebih-lebih lagi menjelang PRN di enam negeri.

    “Pas perlu berhati-hati dengan setiap tawaran. Jika selepas pilihan raya (negeri), mungkin tawaran tersebut boleh dipertimbangkan,” katanya.

    Bagaimanapun, Jofri berkata, tawaran itu tidak boleh ditolak mentah-mentah.

    “Pas perlu membincangkan tawaran menyertai kerajaan perpaduan bersama rakan komponen dalam PN sebelum menerimanya,” katanya.

    Semalam, Hadi mendakwa dihubungi ‘orang tertentu’ beberapa kali yang menawarkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan.

    Namun, beliau mempersoalkan tawaran itu dan berkata, sepatutnya ia memberi ‘kelebihan kepada Pas’ kerana mempunyai kerusi lebih banyak daripada parti lain.

    “Ada orang hubungi saya…beberapa orang acap kali nak berjumpa dengan tawaran untuk menyertai kerajaan. Pas ada 43 kerusi…PKR 30 sahaja. Dalam keadaan 30 kerusi ini, sembilan kerusi adalah bukan Melayu, 19 sahaja Islam.

    “Dalam keadaan PKR, DAP pula, tiga Melayu dari 40 kerusi, 37 kerusi bukan Melayu. Kalau campur gabungan itu, kerajaan akan didominasi oleh orang Islam,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Jejak Nabi Muhammad dan Syarahan Perdana di Pusat Dagangan Dunia.

  • Sorok syabu dalam muatan kelapa tua

    Sorok syabu dalam muatan kelapa tua

    ‘RAJA’ kartel dadah Indonesia yang diberkas polis Johor, baru-baru ini dipercayai menggunakan taktik menyembunyikan beratus kilogram dadah syabu di dalam muatan kelapa tua ketika diseludup ke negara itu.

    Suspek bernama Marno yang mempunyai rangkaian hubungan dengan sindiket dadah di Malaysia berjaya ditahan Polis Johor hasil kerjasama dengan pihak polis negara jiran itu.

    Sumber berkata, Marno dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rampasan dadah syabu atau methamphetamine seberat 411 kilogram (kg) yang dirampas Polis Riau, Indonesia, baru-baru ini.

    “Suspek yang amat dikehendaki oleh pihak polis negara jiran dikesan melakukan jenayah itu dengan turut dibantu anak dan isterinya.

    “Bagaimanapun rangkaian sindiket dadah itu dapat dilumpuhkan sepenuhnya selepas anak dan isterinya ditahan di Dumai, Indonesia sebaik pulang ‘bercuti’ dari Malaysia,” katanya, memetik laporan apor Harian Metro, hari ini.

    Difahamkan Polis daerah Riau sebelum ini berjaya merampas 290kg methamphetamine semasa operasi awal tahun ini termasuk 121kg methamphetamine pada 2022 yang dikaitkan dengan kumpulan pengedaran dadah Marno.

    “Kesemua dadah syabu yang boleh menjangkau harga melebih RM50 juta itu adalah dadah berasal dari Malaysia yang diseludup Marno untuk pasaran besar Indonesia.

    “Selain itu rampasan dadah syabu seberat 276kg di Pekanbaru, Indonesia pada Januari lalu turut dikaitkan dengan sindiket dadah Marno.

    “Penahanan itu adalah bukti kerjasama erat antara polis Malaysia dan polis Riau dalam menangani sindiket pengedaran dadah rentas sempadan,” katanya.

    Pada 7 Mei lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memaklumkan kejayaan polis Johor melumpuhkan sindiket pengedaran dadah susulan penahanan lima lelaki termasuk seorang warga asing selain merampas dadah seberat 82.47kg bernilai lebih RM3.4 juta.

    Ini susulan serbuan di sebuah rumah yang dijadikan rumah inap di Pontian, Johor.

    Sebanyak 62 paket syabu seberat 64.89kg bernilai RM2,141,667 serta 58,626 biji pil ekstasi seberat 17.58 kilogram dirampas.

    Lima lelaki yang ditahan itu berusia antara 23 hingga 53 tahun iaitu empat daripadanya warga tempatan dan seorang warga asing dengan dua daripadanya positif dadah jenis methamphetamine.

  • Wanita warga emas maut selepas kereta terbalik

    Wanita warga emas maut selepas kereta terbalik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG warga emas meninggal dunia selepas kereta dinaiki terbabas dan masuk ke kawasan semak sebelum terbalik di tepi Jalan Perani, Bandar Seri Perani, Kota Tinggi, pukul 7 petang kelmarin.

    Kemalangan tersebut mengorbankan Asmah Kental berusia 64 tahun yang mengalami cedera parah.

    Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Rafi Mohd. Nor, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 7.05 petang.

    Susulan itu katanya, seramai lapan anggota dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke tempat kejadian.

    “Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis
    Proton Wira terbabas di bahu jalan. Terdapat dua mangsa iaitu seorang lelaki dewasa, Muhammad Syukur Osman, 30, cedera ringan dan wanita warga emas tersebut cedera,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

    Beliau berkata, kedua-dua mangsa dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai dan pihaknya memberikan rawatan awal kepada mangsa.

    Katanya, pegawai perubatan yang hadir memberi rawatan ke lokasi kemudian mengesahkan wanita berkenaan telah meninggal dunia.

    Tambah beliau, operasi menyelamat tamat pada pukul 8.24 malam.

  • Hadi dedah Pas ditawar sertai kerajaan tapi sekadar penyumbang tingkatkan jumlah kerusi

    Hadi dedah Pas ditawar sertai kerajaan tapi sekadar penyumbang tingkatkan jumlah kerusi

    Hadi dedah Pas ditawar serta kerajaan tetapi sekadar penyumbang jumlah kerusi

    ABDUL Hadi Awang hari ini mempersoalkan tawaran oleh pihak tertentu untuk Pas menyertai Kerajaan Perpaduan tetapi diberi kedudukan kecil;

    Presiden Pas itu mendedahkan bagaimana beliau dihubungi beberapa kali oleh ‘orang tertentu’ yang menawarkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

    Bagaimanapun, beliau mempersoalkan tawaran itu memandangkan ia sepatutnya  memberi “kelebihan kepada Pas” yang menguasai lebih banyak kerusi berbanding parti lain.

    Sebaliknya kata beliau, tawaran tersebut dilihat lebih bertujuan untuk menyumbang peningkatan jumlah kerusi bagi mengukuhkan kedudukan kerajaan semata-mata.

    “Ada orang hubungi saya…beberapa orang acap kali nak berjumpa dengan tawaran untuk menyertai kerajaan. PAS ada 43 kerusi…PKR 30 sahaja. Dalam keadaan 30 kerusi ini, sembilan kerusi adalah bukan Melayu, 19 sahaja Islam. Dalam keadaan PKR, DAP pula, tiga Melayu dari 40 kerusi, 37 kerusi bukan Melayu. Kalau campur gabungan itu, kerajaan akan didominasi oleh orang Islam,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita  selepas Majlis Pelancaran Buku Jejak Nabi Muhammad dan Syarahan Perdana di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

    Dalam pada itu, Hadi berkata, Pas sepatutnya diberi peranan di hadapan untuk memimpin kerajaan kerana mempunyai lebih banyak kerusi.

    “Dia nak ajak Pas, tetapi Pas duduk di belakang, bukan di depan. Patutnya bila buat kerajaan, parti lebih besar memimpin. Ini dia nak suruh macam kepala ular, kecil sahaja,” katanya.

    Hadi juga berkata, walaupun beliau terbuka bertemu sesiapa sahaja termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi  mestilah tidak lari daripada prinsip, matlamat dan perjuangan Pas.

    “Memang kita terbuka dengan sesiapa sahaja, terbuka tetapi mestilah tidak lari dengan konsep, prinsip, matlamat, dan perjuangan kita,” katanya.

  • ‘’Tuduhan lebih kepada fitnah’ – Hadi

    ‘’Tuduhan lebih kepada fitnah’ – Hadi

    TAN SRI ABDUL  Hadi Awang yakin Bersatu yang juga rakannya dalam Perikatan Nasional (PN) bersih, selepas tiada fail siasatan dibuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan menerima dana syarikat judi.

    Presiden Pas berkata, dakwaan gabungan itu menerima dana daripada syarikat judi untuk membiayai kempen PRU 2022 hanya fitnah dilemparkan Pakatan Harapan (PH).

    Beliau berkata, ini dibuktikan apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, menyatakan tiada fail siasatan dibuka memandangkan maklumat diperoleh setakat ini bersifat umum.

    Hadi yakin Bersatu adalah parti yang bersih dan terus-terang.

    “Tuduhan itu lebih kepada fitnah. Ikut kaedah perundangan sekarang, yang dituduh tak dianggap salah (dan) mesti dibuktikan. Kalau berani mereka buktikan. (Kita) tidak mahu tuduhan macam itu. Kita lihat PH banyak lempar tuduhan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas Majlis Pelancaran Buku Jejak Nabi Muhammad dan Syarahan Perdana di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

    Pada 5 Dis lalu, media melaporkan Anwar membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

    Sementara itu, Hadi berkata Pas akan terus bergerak dengan Bersatu dalam PN.

    Katanya, Pas sentiasa terbuka bekerjasama dalam gabungan itu dan berharap hanya berdepan saingan dua penjuru pada enam PRN akan datang.

    Beliau juga berkata, antara kriteria untuk menjadi calon Pas dalam PRN adalah mesti diluluskan Dewan Ulama dan akhlak serta latar belakangnya mestilah berilmu.

    “Kriteria lain seperti melihat pengalaman dan pengaruhnya,” katanya.

  • Polis tahan penolong akauntan sebuah agensi kerajaan kes pecah amanah RM24.8 juta

    Polis tahan penolong akauntan sebuah agensi kerajaan kes pecah amanah RM24.8 juta

    POLIS  menahan seorang penjawat awam sebuah agensi kerajaan di sini, bagi membantu siasatan kes pecah amanah melibatkan kerugian RM24.8 juta.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pihaknya menerima laporan mengenainya semalam, sebelum suspek lelaki berusia 37 tahun yang merupakan penolong akauntan itu ditahan pada 12.21 tengah malam tadi.

    “Pihak polis telah menerima satu laporan berkait dengan salah laku oleh petugas agensi kerajaan itu berhubung kehilangan wang kerajaan yang diuruskan oleh Bahagian Kewangan agensi berkenaan melalui Kumpulan Wang Amanah dan Kumpulan Wang Pembangunan.

    “Hasil siasatan awal mendapati kejadian salah laku ini dilakukan oleh suspek sejak tahun 2016 hingga Mei 2023.

    “Suspek membuat 194 transaksi wang dari akaun Kumpulan Wang Pembangunan dan Kumpulan Wang Amanah milik agensi kerajaan berkenaan ke akaun syarikat milik suspek, yang secara keseluruhan transaksi berjumlah RM24,800,189.73,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Muhamad Zaki berkata direman hingga 2 Jun untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.