Author: Wartawan WartaRakyat

  • Zakir Naik, ADUN Bagan selesaikan saman fitnah secara aman

    Zakir Naik, ADUN Bagan selesaikan saman fitnah secara aman

    PENCERAMAH kontroversi Zakir Naik dan anggota dewan undangan negeri (ADUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy mencapai penghakiman persetujuan untuk menyelesaikan kes saman fitnah melibatkan mereka berdua.

    Penghakiman persetujuan itu direkodkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan pesuruhjaya kehakiman Johan Lee Abdullah. 

    Zakir dan Satees serta peguam masing-masing turut hadir, lapor MalaysiaKini.

    Menurut salinan keputusan persetujuan itu, tindakan sivil itu diselesaikan secara muktamad tanpa pengakuan liabiliti, serta tanpa perintah kos.

    Pada tahun 2019, Zakir manyaman Satees berhubung dua kenyataan yang disiarkan di atas talian.

    Kenyataan pertama berkaitan tangkapan besar-besaran berkaitan kumpulan bersenjata Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan kedua, kenyataan berkaitan ceramah Zakir di Kota Bharu, Kelantan, pada tahun yang sama.

  • Warden tahfiz dituduh pijak perut, pukul pelajar guna rotan buluh

    Warden tahfiz dituduh pijak perut, pukul pelajar guna rotan buluh

    TINDAKAN tidak berperikemanusiaan seorang warden sebuah pusat tahfiz di Tanjung Minyak yang memijak perut dan memukul empat pelajarnya sehingga cedera berbalas, selepas warga Singapura itu didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.

    Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Farhan Abdul Rashif, 35, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

    Berdasarkan dua pertuduhan ke atasnya, tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas dua pelajarnya berusia 14 tahun empat bulan dan 14 tahun 11 bulan telah mendedahkan remaja itu kepada bahaya.

    Mangsa dipercayai telah ditampar dan ditumbuk pada bahagian pipi, ditendang pada perut dan dipijak pada dada, manakala seorang lagi mengalami kecederaan fizikal di bahagian kaki kanan.

    Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah guru sebuah pusat tahfiz dalam daerah Melaka Tengah pada 7 dan 8 Mei 2023, lapor Utusan Malaysia.

    Tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum tidak melebihi RM50,000 mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 31 (2) akta sama, jika sabit kesalahan.

    Untuk tiga lagi pertuduhan, tertuduh turut didakwa di bawah seksyen sama melibatkan dua lagi pelajarnya yang ketika kejadian berumur 15 tahun.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan telah mendedahkan remaja itu kepada bahaya dengan cara menampar pipi dan memukul badan sebelah kiri mangsa menggunakan rotan buluh, manakala seorang lagi dipijak di bahagian perut.

    Kesalahan itu dilakukan di surau dan gelanggang bola pusat tahfiz sama pada pertengahan Februari dan 10 Mei 2023.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari dan Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan selepas mengambil kira faktor keselamatan mangsa dan dikhuatiri tertuduh pulang ke negara asalnya dalam tempoh prosiding.

    Peguam Faathir Imran merayu jaminan dibenarkan dengan alasan pusat tahfiz terlibat telah ditutup.

    Mahkamah kemudian memutuskan tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 26 Jun ini untuk sebutan semula kes.

    Pada 13 Mei lalu, media melaporkan, mudir dan warden asrama sebuah pusat tahfiz di Tanjung Minyak yang dipercayai terlibat dengan kes amang seksual fizikal dan penderaan kanak-kanak direman empat hari.

    Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Nurul Bahiyah Kamaluddin sehingga 16 Mei terhadap suspek yang juga warga Singapura.

    Kedua-dua tertuduh yang juga adik beradik disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001, susulan enam laporan dibuat oleh enam pelajar pusat tahfiz berkenaan, berumur antara 13 hingga 15 tahun.

  • Empat sekawan mengaku tak bersalah rogol, amang seksual remaja

    Empat sekawan mengaku tak bersalah rogol, amang seksual remaja

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    EMPAT lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja berusia 14 tahun dalam bulan ini.

    Tiga lelaki, Muhammad Sobri Muhammad Anuar, 25; Muhammad Rasyid Musa, 29, Muhammad Fikeri Mohd Sohad, 28 didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada pukul 1 pagi pada 14 Mei lalu.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Lot 2173, Kampung Oren Baru, Ulu Tiram, Johor Bahru.

    Ketiga-tiga tertuduh didakwa merogol seorang perempuan berusia 14 tahun tiga bulan ketika kejadian tanpa kerelaan mangsa.

    Mereka didakwa melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan dikenakan sebatan.

    Sementara seorang lagi tertuduh, Nazreen Ashraf Nordini, 30, didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama pukul 12 tengah malam pada 14 Mei lalu di Lot 2173, Kampung Oren Baru, Ulu Tiram.

    Tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

    Kesemua tertuduh yang didakwa secara berasingan mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

    Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Siti Noraida Sulaiman, membenarkan tiga tertuduh diikat jamin dengan RM18,000 manakala Nazreen Ashraf pula diikat jamin RM14,000.

    Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Nor Fadilah Johanuddin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguambela.

    Siti Noraida menetapkan 2 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pada 23 Mei lalu, media melaporkan sekumpulan lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang remaja.

    Berdasarkan laporan polis yang dibuat, mangsa menyatakan dirogol oleh empat lelaki warga tempatan secara bergilir-gilir di sebuah rumah di Ulu Tiram pada 14 Mei lalu.

    Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Ulu Tiram, membuat tangkapan di kawasan Ulu Tiram.

  • Mabuk: Ada budak enam tahun jadi mangsa dera – Polis

    Mabuk: Ada budak enam tahun jadi mangsa dera – Polis

    PENGARUH alkohol, dadah dan gagal mendapatkan wang untuk membeli barang terlarang dari pasangan dipercayai antara punca peningkatan kes keganasan rumah tangga di daerah Klang Selatan sehingga April lalu.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, statistik menunjukkan, majoriti mangsa keganasan rumah tangga adalah isteri, tidak kurang juga sebahagian mangsa keganasan ini dilepaskan kepada anak-anak kecil seawal usia enam tahun.

    “Pihak polis membuka 16 kertas siasatan berkaitan kes keganasan rumah tangga di daerah ini dalam tempoh Januari hingga April tahun ini.

    “Jumlah kes terbabit menunjukkan peningkatan berbanding statistik tempoh sama tahun lalu sebanyak 12 kes.

    “Dari Januari hingga April lalu, polis sudah buka 16 kertas, jika dicampur dengan (laporan) kes bulan ini (Mei) mungkin sudah melebihi 20 kes.

    “Antara kes yang kami terima, seorang suami dengan pengaruh alkohol, lepas minum kemudian mabuk lalu gagal kawal diri dan lepas geram kepada isteri.

    “Ada kebanyakan mangsa keganasan rumah tangga secara berulang, tidak tahan kemudian mangsa lapor polis..siasatan mendapati kes keganasan menjadi kebiasaan kepada suspek mencederakan mangsa.

    “Ada kes baru, kanak-kanak berumur enam tahun dipukul bapa kandung yang mana kejadian di Taman Pendamar, Pandamaran. Laporan diterima dua hari lalu, ibu mangsa melaporkan kejadian sudah beberapa berlaku. Semua ini dalam siasatan polis,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di Klang, hari ini.

    Hoong Fong berkata, siasatan kes ini meliputi kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

    Katanya, mangsa keganasan rumah tangga dilindungi di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1984 yang terpakai kepada wanita, ahli keluarga lain dalam kalangan lelaki, kanak-kanak, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas.

    “Selain itu, boleh menghubungi Talian Kasih dan WhatsApp 019-2615999 yang beroperasi 24 jam atau JKM berhampiran,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Anak perempuan sesak nafas, makan biskut ‘ganja’ buatan bapa

    Anak perempuan sesak nafas, makan biskut ‘ganja’ buatan bapa

    SEORANG kanak-kanak perempuan 11 tahun dibawa ke hospital akibat sesak nafas selepas dipercayai termakan biskut dibuat bapanya yang disyaki dicampur ganja di Lawin, Gerik, malam tadi.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada pembantu perubatan Klinik Kesihatan Lawin pada pukul 10.26 malam tadi, menyebut seorang kanak-kanak berusia 11 tahun mengalami sesak nafas, pening dan loya.

    Mohd. Yusri berkata, siasatan awal mendapati mangsa termakan biskut dipercayai dicampur ganja dibuat bapanya yang bekerja sebagai penoreh getah.

    “Bapa kanak-kanak itu reman lima hari bermula hari ini manakala saringan ujian awal air kencing mendapati suspek berusia 38 tahun itu positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

    “Selepas dibawa ke Klinik Kesihatan oleh bapanya, mangsa dihantar ke Hospital Gerik dan seterusnya dirujuk ke Hospital Taiping untuk pemeriksaan dan rawatan selanjutnya.

    “Keadaan kanak-kanak itu kini stabil,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor BH Online.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Penjaga pusat asuhan mengaku tak bersalah aniaya budak lelaki

    Penjaga pusat asuhan mengaku tak bersalah aniaya budak lelaki

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita yang bekerja di pusat asuhan kanak-kanak swasta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, pertengahan bulan ini.

    Tertuduh Ng Shu Tian, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menganiaya kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di bawah peliharaannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa.

    Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah pusat asuhan kanak-kanak swasta di Taman Molek di sini jam 4 petang pada 22 Mei lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Umar Faiz Abdul Kohar manakala tertuduh diwakili peguam Chuah Shyue Chien dan Ooi Hong Ming.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melapor diri di Balai Polis Bukit Gambir, Muar setiap bulan.

    Mahkamah kemudian menetapkan 27 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

  • ‘’Bukan saya buat tawaran kepada Pas’’ – Anwar

    ‘’Bukan saya buat tawaran kepada Pas’’ – Anwar

    DATUK SERI Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tawaran kepada Pas untuk menyertai kerajaan perpaduan bukan datang daripadanya.

    “Tak tahu (dari) siapa. Tidak dari saya, (mahupun) pimpinan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Seminar Fikrah Siddiq Fadzil di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur hari ini, lapor FMT.

    Beliau berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan pun oleh kepimpinan PH mahupun BN.

    Sabtu lepas, Presiden Pas Hadi Awang mendedahkan beliau beberapa kali dihubungi “orang tertentu” yang menawarkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan.

    Susulan itu, Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris mendakwa tawaran itu “strategi” untuk memecahbelahkan PN dalam menghadapi PRN akan datang.

    Sementara itu, Anwar menggesa Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor merujuk perjanjian Perlembagaan Persekutuan berhubung sempadan Kedah dan Pulau Pinang.

    Ia susulan Sanusi dilaporkan berkata Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah.

    Sanusi turut mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

    Anwar  berkata, walaupun ada perjanjian 100 tahun dulu atau 1,000 tahun dulu, ia adalah perjanjian mutakhir, pertubuhan Persekutuan dalam Melayu, Malaysia dan itu jelas.

    “Saya bila ulas ini berdasarkan ulasan peguam negara yang cukup keras iaitu menghormati perjanjian perlembagan yang diperkenankan oleh semua Raja-Raja Melayu termasuk Sultan Kedah,” katanya.

  • Swatch sanggah menteri, tegas jam dirampas tiada perkataan LGBT

    Swatch sanggah menteri, tegas jam dirampas tiada perkataan LGBT

    SWATCH Malaysia menolak kenyataan menteri bahawa jam tangan mereka yang dirampas kerajaan awal bulan ini tertera tulisan LGBTQ, yang merujuk kepada lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer.

    Syarikat jam terkemuka dunia itu sebaliknya menjelaskan tulisan LGBT hanya tertera pada jam yang dirampas pada tahun sebelumnya.

    “Berkaitan dengan berita yang baru diterbitkan yang menyatakan bahawa semua jam tangan Swatch yang dirampas mempunyai perkataan LGBT, Swatch Malaysia tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut. 

    “Jam tangan yang berkaitan adalah daripada koleksi tahun ini dan tidak mempunyai perkataan LGBT di dial, tali atau case

    “Satu-satunya jam tangan yang dirampas dengan perkataan LGBT adalah daripada koleksi tahun lepas,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini, lapor MalaysiaKini.

    Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata huruf LGBTQ jelas tertera di atas permukaan jarum jam tangan Swatch yang dirampas oleh kementeriannya awal bulan ini.

    Katanya serupa turut tidak dijual di negara Islam seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) susulan sensitiviti agama.

    Penafian Swatch hari ini adalah yang kedua selepas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swatch Nick Hayek berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang memeprtahankan rampasan itu, ‘tersalah maklumat’.

    Serbuan terhadap kedai Swatch kerana mempamerkan koleksi jam warna-warni Pride dibuat di seluruh negara pada 13 Mei dan 14 Mei lalu.

    Warna-warni pelangi melambangkan pergerakan LGBT, yang juga dirujuk sebagai LGBTQ yang menyokong hak golongan itu.

    Swatch mengancam tindakan undang-undang untuk mendapatkan semula jam tangan tersebut, lapor akhbar Switzerland Tages-Anzeiger.

  • SPRM percaya Jho Low sedang bersembunyi di Macau

    SPRM percaya Jho Low sedang bersembunyi di Macau

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ‘percaya’ usahawan Malaysia Low Taek Jho yang menjadi buruan tersebut sedang bersembunyi di Macau.

    Menurut laporan Al Jazeera hari ini, SPRM dipetik dalam jawapan bertulis sebagai berkata, bahawa ini disahkan oleh beberapa individu yang pernah melihat Jho Low di Macau.

    “SPRM percaya individu-invidu yang dikehendaki untuk (kes) 1 Malaysia Development Bhd (1MDB), terutamanya Jho Low, sedang bersembunyi di Macau,” lapor Al Jazeera.

  • 9,078 jemaah haji Malaysia kini berada di Tanah Suci

    9,078 jemaah haji Malaysia kini berada di Tanah Suci

    SERAMAI 9,078 jemaah haji Malaysia kini sudah berada di Mekah dan Madinah, kata Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

    Katanya, daripada jumlah itu seramai 2,966 orang di Makkah dan 6,112 di Madinah.

    ‘’Mereka adalah jemaah yang telah berlepas 21 Mei lalu melibatkan 30 daripada 98 penerbangan dan penerbangan terakhir dijangka tiba di Tanah Suci pada 21 Jun ini,’’ katanya lapor wartawan SINAR HARIAN di Mekah

    Beliau berkata, setakat ini operasi haji berjalan lancar manakala kesihatan  jemaah berada dalam keadaan baik.

    “Bagaimanapun lapan jemaah  dimasukkan ke hospital iaitu enam orang di Hospital Tabung Haji (TH) di Madinah dan Mekah, manakala dua lagi ditempatkan di hospital Arab Saudi di Mekah. Mereka yang berusia 60 tahun ke atas itu dirujuk ke hospital kerana mengalami jangkitan paru-paru dan seorang jemaah wanita cedera di kaki kerana terjatuh,” katanya.

    Dalam pada itu, Syed Saleh berkata, Malaysia sekali lagi menjadi negara pertama mendapat kebenaran daripada kerajaan Arab Saudi pada 25 Mei lalu untuk membuka operasi pusat kesihatan di Madinah.

    “Alhamdulillah ini adalah satu pengiktirafan kepada perkhidmatan kesihatan kita dan juga menunjukkan persediaan dan fasiliti yang ada telah mencapai satu tahap tinggi membolehkan kepada kebenaran beroperasi ini. Dari segi nisbah kemudahan yang disediakan seperti katil dan doktor dengan jumlah jemaah haji, tidak dapat dinafikan bahawa kita yang terbaik dan tertinggi berbanding dengan pihak lain,” katanya.

    Beliau berkata, pada tahun ini juga kriteria untuk mendapatkan kelulusan adalah lebih ketat namun TH berjaya memenuhi setiap keperluan yang ditetapkan Arab Saudi.

    Kata beliau, antara perkara yang dinilai ialah dari segi fasiliti, ambulans, peralatan, ruang beroperasi, jumlah pakar perubatan dan pengurusan sisa klinikal.

    Syed Saleh berkata amalan dan prosedur operasi standard (SOP) sektor kesihatan Malaysia membantu kelulusan berkenaan, selain hubungan baik Malaysia-Arab Saudi khususnya rombongan haji negara dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

    “Untuk kelulusan pusat kesihatan di Mekah pula, ia sedang diusahakan seperti mana yang dilakukan di Madinah yang mana kita sudah bertungkus-lumus sejak tiga bulan lalu,” katanya.