Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘Pelbagai isu rakyat tidak diselesai kerajaan dengan baik’

    ‘Pelbagai isu rakyat tidak diselesai kerajaan dengan baik’

    KETUA Armada Bersatu Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, prestasi enam bulan pentadbiran Kerajaan Madani dilihat bermasalah.

    “Ini kerana pelbagai isu rakyat tidak dapat ditangani dan diselesaikan dengan baik. Antara isu rakyat yang paling mendasar adalah berkenaan kos sara hidup dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

    “Rakyat masih menunggu malah kerajaan juga banyak backtrack dari segi janji manifesto mereka termasuk pelantikan yang tidak wajar.

    “Semua ini menimbulkan tanda tanya apatah lagi masalah mendasar yang jelas rakyat tidak berpuas hati. Ada juga dalam kalangan menteri membuat kenyataan tidak masuk akal,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Justeru pihaknya menyerahkan kepada rakyat untuk tentukan pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

    Jelasnya, jika rakyat setuju mereka akan sokong kerajaan sedia ada, jika tidak sebaliknya dan pihaknya akan tunggu dan lihat perkembangan seterusnya.

    Menurut Wan Ahmad Fayhsal, pentadbiran Kerajaan Madani juga perlu jawab kepada rakyat mengenai kejatuhan ringgit ketika ini.

    “Dahulu mereka yang kata antara masalah utama negara dan kerajaan lemah adalah kerana kejatuhan ringgit.

    “Sekarang ringgit dah jatuh tapi kerajaan masih tidak berupaya menstabilkannya, jadi ini formula yang mereka cakap bukan kami. Mereka perlu jawab kepada rakyat.

    “Mereka yang janji kepada rakyat, kerajaan baik pentadbirannya, ringgit akan mengukuh. Jadi siapa punya formula yang salah ini,” soalnya.

    Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan agar Kerajaan Perpaduan wajar diberi masa secukupnya untuk membuktikan prestasi sebenarnya dalam mengurus tadbir negara.

    Ahmad Zahid menjelaskan tempoh tujuh bulan untuk menilai prestasi sebenar kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak adil.

  • Kelindan lori mengaku tak bersalah rogol warga emas

    Kelindan lori mengaku tak bersalah rogol warga emas

    KELINDAN lori didakwa di Mahkamah Sesyen di Kajang hari ini atas kesalahan merogol seorang wanita warga emas di sebuah rumah, April lalu.

    Tertuduh R. Vasant Raj, 20, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim MazulianaAbdul Rashid selepas jurubahasa membacakan pertuduhan terhadapnya.

    Mengikut pertuduhan, pemuda itu merogol mangsa berusia 71 tahun dengan mengacu sebilah pisau hingga mendatangkan ketakutan kematian di sebuah rumah di kawasan perumahan di Taman Asa Jaya, di Kajang pukul 4 petang, 15 April lalu.

    Berikutan itu, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Norfarhanim menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan dikenakan.

    Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya hanya meminta jumlah wang jaminan dikurangkan.

    Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Mazuliana membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

    “Syarat-syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan,” katanya, lapor Harian Metro.

    Mahkamah kemudian menetapkan 7 Julai ini bagi sebutan semula kes.

  • Aktivis #JusticeForBella saman fitnah pemilik akaun FB Nurul Hayati Hassan

    Aktivis #JusticeForBella saman fitnah pemilik akaun FB Nurul Hayati Hassan

    DUA aktivis yang memperjuangkan nasib remaja Sindrom Down dikenali Bella, Mona Din atau Che Muna Din dan Zurianty Sudin, memfailkan saman di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap seorang individu atas dakwaan menyiarkan kenyataan fitnah terhadap mereka menerusi media sosial.

    Mona mendakwa, pada 23 Mei lalu, seorang individu menerusi laman sosial media Facebook di bawah nama pengguna Nurul Hayati Hassan menerbitkan penyataan fitnah melalui satu hantaran yang mencatatkan nama mereka berdua.

    “Dalam kenyataan berkenaan ada menyebut Zurianty dan Mona Din adalah pemfitnah terbesar. Zurianty ambil video Bella sebulan selepas kena air panas. Mona Din siap ajar Zurianty supaya berbohong supaya kes jadi viral.

    “Kenyataan itu menyebut Zurianty ada motif fitnah Bainun sebab dia mahukan Rumah Bonda supaya dia dapat ‘all the glory’ dan mahukan hak penjagaan pada Jane, seorang anak angkat di rumah Bonda.

    “Kenyataan dalam hantaran berkenaan juga menyatakan bahawa dalam channel Telegram ada perbualan Mona Din bagaimana dia coach (ajar) Zurianty untuk buat cerita. Ada video yang penghuni kata Bella tidak didera tapi kena air panas.

    “Selain itu, kenyataan itu menyatakan bahawa ada bukti Zurianty ugut saksi lain supaya buat cerita terhadap Bainun kononnya jika mereka tak buat cerita, mereka akan di tangkap oleh polis sebab Bainun akan kata mereka yang dera Bella,” katanya ketika sidang media hari ini.

    Beliau turut ditemani peguam-peguamnya termasuk Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar dari Tetuan Akmal Shamsul Kahar & Co (ASKCO) serta seorang daripada empat peguam lantikan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim, Datuk Khairul Anwar Rahmat yang sebelum ini menyertai perbicaraan kes Bella.

    Mona berkata, saman difailkan hari ini adalah susulan perbincangan yang sudah dilakukan dengan peguam ASKCO berkenaan perundangan yang berkaitan.

    “Kami merasa bahawa adalah sangat perlu langkah-langkah tepat diambil segera bagi menegakkan kebenaran dan memulihkan reputasi kami.

    “Malah, jauh lebih penting daripada reputasi kami adalah bagi memastikan bahawa gerakan atau pasukan #JusticeforBella adalah terbela daripada tohmahan atau fitnah mana-mana individu.

    “Hal ini kerana, gerakan ini adalah jauh lebih penting daripada kami atau mana-mana individu dan adalah melangkaui kes Bella semata-mata,” katanya.

    Mona berkata, pihaknya boleh memilih mengabaikan penyataan fitnah berkenaan dan untuk tidak menggunakan tenaga, kos serta masa bagi menyaman Nurul Hayati Hasan.

    “Bagaimanapun, kami tetap memfailkan saman kerana jika tindakan tidak diambil, ia melambangkan seolah-oleh perjuangan untuk golongan rentan seperti kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) boleh dikesampingkan demi sokongan tidak berasas kepada seseorang individu yang sudah disabitkan bersalah,” katanya lapor BH.

    Pada 3 Mei lalu, Siti Bainun diperintahkan menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang, Selangor, selepas didapati bersalah mengabai dan menganiaya remaja Sindrom Down dikenali Bella.

    Siti Bainun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

  • Gelandangan melecur dibakar lelaki mabuk

    Gelandangan melecur dibakar lelaki mabuk

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG gelandangan warga emas melecur di punggung dan kakinya dipercayai akibat dibakar seorang lelaki mabuk di kaki lima kedai dekat Taman Kampian di Sungai Petani, Kedah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.24 malam ketika gelandangan tersebut yang berusia 62 tahun sedang tidur.

    “Ketika nyenyak tidur, mangsa kemudiannya tersedar yang tilamnya telah terbakar. Dia bagaimanapun tidak nampak siapa yang melakukan perbuatan itu.

    “Akibat kejadian itu mangsa melecur di bahagian punggung dan kaki. Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

    Tambahnya, semakan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran mendapati, seorang lelaki yang menaiki motosikal telah berhenti di tepi bangunan tersebut dan berjalan dalam keadaan terhoyong-hayang hingga terjatuh disyaki mabuk.

    Suspek kelihatan membakar tilam di kaki lima bangunan dan melarikan diri menaiki motosikal

    “Di belakang motosikal itu juga terdapat satu tong. Suspek dilihat kemudiannya bangun dan menuju ke lokasi tempat mangsa sedang tidur.

    “Rakaman CCTV itu tidak memaparkan perlakuan suspek terhadap mangsa namun lelaki tersebut kelihatan membakar tilam di kaki lima bangunan dan melarikan diri menaiki motosikal,” katanya.

    Sementara itu katanya, mangsa bersama pemilik kedai tersebut menafikan mereka memiliki musuh atau pernah bergaduh dengan sesiapa.

    “Setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Zahid semakin terdesak selepas UMNO menumpang rezeki DAP

    Zahid semakin terdesak selepas UMNO menumpang rezeki DAP

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TINDAKAN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memantau sebarang hantaran menggunakan isu agama, perkauman dengan agenda tertentu disifatkan sebagai tindakan terdesak.

    Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, arahan Timbalan Perdana Menteri itu hanya untuk mengalih perhatian rakyat dan menutup kegagalan Pakatan Harapan-UMNO yang semakin terserlah.

    “Zahid semakin terdesak kerana pilihan raya negeri (PRN) sudah dekat. Dia telah membawa UMNO menjadi sebuah parti yang menumpang rezeki daripada DAP. Sudah pasti akar umbi UMNO tidak selesa dan ramai yang mahu berhijrah.

    “Ini juga Zahid mahu tutup dengan cara melakarkan gambaran negatif mengenai Perikatan Nasional (PN).

    “Data jelas menunjukkan bahawa PH-UMNO ditolak oleh pengundi Melayu.

    Ini adalah data yang perlu perhatian daripada semua pihak tanpa melabelkannya dengan apa-apa label negatif.

    “Ia adalah fakta yang perlu dibicarakan secara terbuka oleh semua yang prihatin mengenai halatuju negara, bukan sahaja oleh orang politik tapi juga ahli akademik, NGO, dan orang awam,” katanya dalam hantaran dalam Facebook milinya, hari ini.

    Kelmarin, Zahid mengarahkan KKD memantau sebarang hantaran yang cuba menggunakan isu agama, perkauman dengan agenda tertentu, khususnya politik, di negara ini.

    Mengulas lanjut, Wan Saiful melihat kerajaan sekarang cuba menutup kegagalan mereka dengan menuduh PN adalah parti perkauman.

    Jelasnya, arahan Zahid kepada SKMM itu hanya satu lagi strategi mereka untuk menambah lakaran tersebut.

    “Dia nak ‘imply’ seolah-olah mereka suci tapi orang lain kotor. Padahal kami dalam PN konsisten memperjuangkan kemakmuran bersama untuk semua bangsa dan agama.

    “Tatkala PH-UMNO semakim gagal menjaga kebajikan rakyat, kami dalam PN terus bercakap mengenai perkara seperti #kwspbersasar, kawalan harga, bantuan kos sara hidup, dan banyak lagi,” katanya.

  • Jemaah haji ceria dapat nikmati makanan citarasa Malaysia

    Jemaah haji ceria dapat nikmati makanan citarasa Malaysia

    JEMAAH haji Malaysia yang akan berada di bumi Makkah melebihi tempoh sebulan tidak perlu bimbang ‘merindui’ masakan citarasa Malaysia kerana Tabung Haji (TH) menyediakan kafeteria di bangunan penginapan masing-masing.

    Kafeteria berbayar berkenaan adalah nilai tambah disediakan TH untuk kemudahan jemaah selain daripada hidangan wajib makan tengah hari dan makan malam yang diperuntukkan khas kepada jemaah.

    Kafeteria yang diuruskan TH Travel beroperasi mulai pukul 4.30 pagi hingga 11.30 malam itu menyediakan makanan untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan hidangan waktu petang serta makan malam.

    Petugas kafeteria di Abraj Al Janadriyah, Mohd. Haruji Mohd. Yahya berkata, antara menu yang dijual ialah nasi lemak, roti canai, mi goreng, nasi kerabu, laksam, kuih seperti seri muka, karipap, roti jala dan pulut kuning.

    “Minuman kegemaran rakyat Malaysia iaitu teh tarik, teh ais, minuman bercoklat dan pelbagai jenis minuman jus turut dijual.

    “Pihak kami membawa tukang masak dari Malaysia untuk menyediakan masakan di kafeteria berkenaan supaya rasa dan keunikan makanan tanah air kekal walaupun kebanyakan bahan mentah dibeli di Arab Saudi.

    “Produk-produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) seperti keropok, sos cili dan kicap serta sambal kita bawa terus dari Malaysia,” katanya kepada media Malaysia di Hotel Abraz Al Janadriyah, di Makkah, lapor Sinar Harian.

    Mohd. Haruji ketika ditanya hasil jualan harian di kafeteria itu berkata, anggaran yang diperolehi ialah sekitar 40,000 Saudi Riyal.

    Katanya, di kafeteria berkenaan pihaknya turut memudahkan urusan pembayaran jemaah apabila mereka boleh membayar dengan QR Pay kod dalam Ringgit Malaysia dan akan ditukar dalam Saudi Riyal untuk jumlah sebenar caj dikenakan.

    Sementara itu, seorang jemaah dari Kota Bharu Kelantan, Azizi Aliass, 49, berkata, nasi lemak dan mi goreng menjadi menu kegemarannya setiap kali berkunjung ke kafeteria itu.

    “Alhamdulilah banyak makanan dari Pantai Timur dijual di sini yang memberikan banyak pilihan kepada pelanggan,” katanya.

    Seorang lagi jemaah, Armiya Abdul Halim, 55, dari Sungai Petani Kedah berkata, semenjak tiba di Makkah, kafeteria itu menjadi tempat yang sering dikunjunginya.

    “Saya suka beli nasi lemak dan teh tarik. Harga di sini berpatutan jika nak dibandingkan dengan restoran di luar sana,” katanya.

    Dalam pada itu, ketika tinjauan di Safwa Tower semalam, rata-rata jemaah Malaysia mulai berkumpul di restoran D’Saji yang menyajikan makanan Malaysia.

    Seorang jemaah haji Malaysia, Zainodin Nor, 62, dari Pasir Puteh Kelantan berkata, restoran berkenaan menjadi lokasi wajib bersama rakan-rakan kerana menyediakan menu yang mempunyai rasa sama seperti di Malaysia.

    “Saya suka beli nasi goreng dan teh tarik, ini adalah lokasi kegemaran saya dan harga di sini sesuai dengan kedudukannya berdekatan Masjidil Haram,” katanya.

  • Tragedi menjelang Gawai: Jasad remaja mangsa bot karam ditemui

    Tragedi menjelang Gawai: Jasad remaja mangsa bot karam ditemui

    SUASANA duka dirasakan ketika jasad Linsa Empih Melin, 17 tahun, ditemui penduduk kampung pada jarak dua kilometer dari lokasi kejadian bot karam pada Selasa lalu.

    Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada kelmarin telah membawa kepada penemuan jasad remaja malang tersebut.

    “Operasi turut disertai pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung terbabit.

    “Mereka menemui jasad mangsa pada kira-kira pukul 10 pagi tidak jauh daripada Jambatan Mujong, lokasi insiden berlaku.

    “Mendiang merupakan salah seorang daripada 14 penumpang yang tercampak keluar daripada bot yang mereka tumpangi ketika dalam perjalanan pulang bergawai ke Rumah Geramong Nanga Spioh,” katanya, memetik laporan Astro Awani.

    Katanya, jasad mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    Operasi SAR ditamatkan pada pukul 11:17 pagi.

  • PN kemuka usul Akta Tafsiran berkait isu kalimah ‘Allah’

    PN kemuka usul Akta Tafsiran berkait isu kalimah ‘Allah’

    PERIKATAN Nasional (PN) akan mengusulkan penggubalan Akta Tafsiran di Parlimen dalam usaha menangani isu berkaitan tafsiran kalimah Allah.

    Ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, usul persendirian itu sudah dikemukakan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail.

    “Kita akan bawa supaya kerajaan sedar ia salah satu cara selesaikan isu itu buat selamanya,” katanya menurut Sinar Harian.

    Beliau berkata, terpulang kepada kerajaan sama ada mahu menerimanya atau tidak.

    Katanya, penggunaan kalimah Allah diperincikan menerusi surah al-Ikhlas, yang jelas menyatakan Tuhan itu Esa dan tidak boleh disamakan dengan lain.

    Isu kalimah Allah kembali menjadi perhatian selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang pada 2021 membenarkan bahan penerbitan agama Kristian di Sarawak menggunakan kalimah Allah secara bersyarat bagi tujuan pembelajaran agama, selepas mendapati wujud percanggahan antara arahan KDN dan keputusan dasar Jemaah Menteri.

    Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan Jill Ireland, wanita beragama Kristian dari suku Melanau di Sarawak.

    Hakim Nor Bee Ariffin dilaporkan berkata, arahan KDN pada 5 Dis 1986 yang melarang penggunaan kalimah Allah, Baitullah, Solat dan Kaabah sebagai tidak konsisten dengan keputusan dasar Jemaah Menteri tahun sama.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, KDN akan mengkaji dan mengemas kini arahan “lebih menyeluruh” bagi menangani isu penggunaan kalimah Allah.

  • Saya sedia kerjasama dengan Tun M, kata Muhyiddin

    Saya sedia kerjasama dengan Tun M, kata Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sedia bekerjasama dengan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad demi membela agama, bangsa dan negara.

    Menurut Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), orang melayu dan Islam di negara ini berada di suatu persimpangan yang getir.

    “Maka sebagai seorang Muslim, saya secara peribadi bersedia untuk bekerjasama dengan semua tokoh Melayu dan Islam termasuk Dr Mahathir demi perjuangan membela agama, bangsa dan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

  • Belum ada kerjasama rasmi dengan Tun M – Razali

    Belum ada kerjasama rasmi dengan Tun M – Razali

    KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberitahu bahawa belum ada rancangan bekerjasama secara rasmi dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, khasnya untuk pilihan raya negeri (PRN).

    Jelas Datuk Razali Idris, kerjasama pemimpin parti dengan bekas Perdana Menteri itu terhad kepada Proklamasi Melayu setakat ini dan tidak lebih daripada itu.

    “Kita sokong sajalah ‘dari luar’ dan kita sokong penyatuan Melayu. Itulah kerjasama yang saya difahamkan oleh parti Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (presiden parti) dengan Mahathir untuk saat ini,” katanya kepada FMT.

    “Rakyat (pun) mahu tengoklah (Mahathir dan Muhyiddin bekerjasama lagi) sebab dia dah bergaduh sehingga terbentuknya kerajaan, sehingga Mahathir meletak jawatan (sebagai perdana menteri pada 2020).

    “Jadi, dia padam semua krisis, hanya untuk penyatuan Melayu. Jadi kita bekerjasama untuk itu dulu, tidak lebih daripada itu.”

    Mahathir dilaporkan sedia bekerjasama dengan Muhyiddin sekali lagi, dengan syarat kedua-duanya boleh mencapai kata sepakat mengenai objektif yang boleh dicapai bersama.

    Razali sebelum ini berkata, belum masanya untuk dua bekas perdana menteri itu berdamai, walaupun ‘hari itu akan tiba’.

    Razali antara tiga pemimpin Bersatu yang menandatangani Proklamasi Melayu, bersama Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ahli Majlis Tertinggi, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.

    Katanya, Muhyiddin memberi lampu hijau kepada pemimpin Bersatu menyokong pengisytiharan Mahathir dalam kapasiti peribadi mereka.

    Sementara itu, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengalu-alukan kesediaan Mahathir bekerjasama dengan Muhyiddin sekali lagi, dengan mendakwa ia demi ‘kebaikan lebih besar’ Malaysia.

    Ahli Parlimen Machang itu berkata, kerjasama terbabit akan melangkaui pilihan raya kerana dua pemimpin itu sedar isu dihadapi masyarakat Melayu.

    “Jika kita boleh mendapatkan sokongan daripada negarawan disegani seperti Mahathir, bagi saya sebagai ketua Pemuda Bersatu, ia amat dialu-alukan.

    “Ia boleh berhasil kerana Mahathir tidak berada dalam mana-mana parti politik ketika ini. Beliau berkhidmat dengan baik kepada negara dan membina Bersatu bersama Muhyiddin. Saya optimis kerjasama sebegini akan berjaya,” katanya, lapor FMT.