Author: Wartawan WartaRakyat

  • Salah guna kuasa: Bekas Naib Canselor UPSI dihukum penjara 18 bulan, denda RM10,000

    Salah guna kuasa: Bekas Naib Canselor UPSI dihukum penjara 18 bulan, denda RM10,000

    MAHKAMAH Tinggi Ipoh hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM10,000 terhadap bekas Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Zakaria Kasa atas pertuduhan salah guna kuasa, sembilan tahun lalu.

    Zakaria, 65, boleh dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan, lapor Astro Awani.

    Keputusan itu dibuat selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Su Tiang Joo mengetepikan keputusan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh sebelum ini yang melepas dan membebaskan tertuduh.

    Pada prosiding itu, mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan hukuman penjara, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

    Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan penangguhan hukuman denda dan ia perlu dijelaskan pada tarikh hukuman itu hari ini.

    Mahkamah juga menetapkan jaminan RM10,000 dikekalkan sementara rayuan ke Mahkamah Rayuan.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu Naib Canselor UPSI telah menggunakan jawatannya berhubung perkara yang beliau mempunyai kepentingan, apabila mengarah Mohd. Faizi Othman iaitu pendaftar UPSI untuk memasukkan nama Mohd Fauzi Zakaria iaitu anak lelakinya untuk dipanggil temu duga pada 12 September 2014.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bilik Naib Canselor, Pejabat Naib Canselor, Bangunan Canselor, UPSI, Tanjung Malim pada 24 Jun hingga 12 Sept 2014.

    Tertuduh yang bersara pada 2017 didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala Zakaria diwakili peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud, Shahidah Muslimah Roslan dan Noor Hidayah Mohd. Saad.

  • Anwar jadi tetamu kehormat pada PAU 2023

    Anwar jadi tetamu kehormat pada PAU 2023

    SELEPAS disingkirkan daripada UMNO sejak lebih dua dekad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU), tetapi kali ini sebagai tetamu kehormat.

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Anwar akan hadir pada sesi perasmian pada 9 Jun ini bersama-sama pemimpin daripada semua 19 parti komponen dalam empat gabungan dalam kerajaan.

    Menurutnya, PAU akan menjadi detik bersejarah apabila dihadiri semua parti yang membentuk kerajaan perpaduan.

    Pada masa sama, Asyraf menafikan laporan bahawa Pemuda UMNO tidak menjemput sayap parti lain dalam kerajaan perpaduan.

    “Biasanya sayap masing-masing akan ikut cabang utama. Jika UMNO sendiri yang menjemput parti-parti kerajaan perpaduan, mereka akan ikut,” katanya semasa sidang media di ibu pejabat UMNO di Kuala Lumpur hari ini.

    Terdahulu, Harian Metro melaporkan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh sebagai berkata pihaknya tidak akan menjemput parti lain ke perhimpunan agung UMNO bagi sayap pemuda.

    Muhamad Akmal secara tersirat berkata, pihaknya mahu ‘memperbetulkan’ dahulu apa yang berlaku ‘di rumah’ sebelum menjemput mana-mana parti.

    Ditanya sama ada UMNO akan menjemput bekas pemimpinnya yang telah dipecat, Asyraf berkata, hanya perwakilan dibenarkan mengambil bahagian tetapi mereka yang merindui parti itu masih dialu-alukan untuk berada di Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan membeli-belah di gerai jualan yang disediakan.

    “Malah mereka boleh ‘memperbaharui’ sampin UMNO mereka,” sindirnya.

    Asyraf berkata, jumlah perwakilan yang akan hadir pada perhimpunan kali ini meningkat kepada 6,341 orang iaitu seramai 1,134 Puteri UMNO, 1,160 Pemuda UMNO, 1,159 Wanita dan 2,808 daripada badan Pusat.

    “Selepas pindaan kepada perlembagaan parti diluluskan, PAU buat julung kalinya akan dihadiri ketua penerangan peringkat bahagian dan sayap,” katanya.

    Asyraf berkata, pihaknya menjangkakan antara usul utama yang akan dibawa perwakilan adalah berkaitan ekonomi dan kebajikan rakyat.

    PAU 2003 akan membuka tirai pada 7 Jun sehingga 10 Jun di WTC, Kuala Lumpur.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan menyampaikan ucapan pada 9 Jun, diikuti ucapan perbahasan dan penggulungan pada 10 Jun.

  • Mayat remaja dibaham buaya ditemukan tanpa kepala, kaki

    Mayat remaja dibaham buaya ditemukan tanpa kepala, kaki

    MAYAT remaja lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Tinjar di Miri, ditemukan dalam keadaan tidak sempurna oleh penduduk kampung pada awal pagi hari ini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak mengesahkan mayat mangsa ditemukan pada jarak enam kilometer dari lokasi terakhir mangsa mandi berhampiran Rumah Magdeline di Lubok Mulong Melugu Bakong pada pagi Rabu lalu.

    “Ketika ditemukan empat orang penduduk kampung, hanya bahagian badan mangsa sahaja yang dijumpai, tanpa kepala dan kedua-dua belah kaki serta tangan mangsa.

    “Kita percaya bahawa mangsa dipercayai dibaham buaya memandangkan kepala dan kedua-dua belah kaki dan tangan mangsa hilang dengan beberapa kesan gigitan pada tubuh mangsa,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke rumah keluarga mangsa sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

    Pada Rabu lalu, mangsa yang dikenali sebagai Agustine Ujang Stewart, 13, sedang mandi di sungai terbabit berhampiran Lubok Mulong dilaporkan hilang dibawa arus deras.

  • Jho Low di Macau: GSS terkejut SPRM buat dakwaan sepihak

    Jho Low di Macau: GSS terkejut SPRM buat dakwaan sepihak

    PIHAK berkuasa keselamatan Macau menyelar kenyataan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dikeluarkan secara unilateral apabila mendakwa ahli perniagaan dalam buruan polis, Low Taek Jho atau Jho Low, bersembunyi di rantau itu.

    Menurut Pejabat Setiausaha Keselamatan (GSS) Macau berkata, pihkanya terkejut dengan dakwaan agensi penguat kuasa antirasuah itu mengenai keberadaan Jho Low.

    “Sekiranya laporan itu benar, agensi penguat kuasa undang-undang yang berkaitan di negara itu memilih untuk tidak mengesahkan keadaan dan mendapatkan bantuan melalui saluran (yang betul) bagi kerjasama polis antarabangsa atau bantuan undang-undang bagi hal jenayah.

    “Sebaliknya, mereka mengeluarkan maklumat yang tidak disahkan secara unilateral.

    “Tindakan sedemikian benar-benar melanggar peraturan dan norma kerjasama polis antarabangsa dan bantuan undang-undang mengenai perkara jenayah.

    “Pihak berkuasa keselamatan (kami) amat terperanjat dan terkejut,” menurut GSS dalam kenyataan hari ini.

    Agensi itu mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai reaksi mereka menjawab laporan Al Jazeera bahawa SPRM percaya Jho Low sedang bersembunyi di Macau.

    Laporkan agensi berita berpangkalan di Doha itu disahkan oleh beberapa individu yang pernah melihat ahli perniagaan yang dikehendaki pihak berkuasa beberapa negara terbabit di Macau.

    Setiausaha Keselamatan Wong Sio Chak, turut menafikan dakwaan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika itu bahawa Low bersembunyi di Macau.

    Mengulas lanjut, GSS berkata, mereka tetap dengan pendirian dibuat pada 2020 iaitu menafikan Jho Low sedang bersembunyi di Macau.

    GSS menegaskan polis Macau dilarang undang-undang daripada mendedahkan sebarang maklumat kepada orang ramai berhubung penglibatan individu tertentu dalam kes itu.

    “Ini adalah pematuhan yang perlu kepada status Macau sebagai bandar antarabangsa dan masyarakat yang dikawal oleh kedaulatan undang-undang.

    “Penting untuk ditekankan bahawa polis Macau sentiasa mematuhi undang-undang dan prosedur dengan tegas semasa terlibat dalam kerjasama polis dengan semua negara dan wilayah mengikut amalan antarabangsa yang berkaitan,” kata kenyataan itu lagi.

    Jho Low adalah dalang di sebalik skandal bernilai berbilion-bilion 1MDB dan telah didakwa tanpa kehadirannya di mahkamah AS dan Malaysia.

    Di sebalik statusnya sebagai orang buruan, dia kini masih belum dapat ditahan.

  • Teman lelaki ugut bunuh, kekasih enggan berkahwin

    Teman lelaki ugut bunuh, kekasih enggan berkahwin

    KEPUTUSAN seorang wanita untuk tidak berkahwin dengan teman lelakinya mengundang amarah suspek berusia 39 tahun itu apabila mengugut mahu membunuh mangsa.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku pada Mac lalu apabila wanita berusia 43 tahun itu menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada teman lelakinya.

    Menurutnya, suspek bertindak memaki hamun dan mengugut ingin membunuh mangsa semasa berada di rumahnya di Pandan Jaya.

    “Susulan ugutan bunuh itu, polis menahan suspek di sebuah apartmen di Batu Caves, Selangor pada Selasa lepas.

    “Kejadian berpunca apabila suspek tidak puas hati kerana mangsa tidak mahu berkahwin dengannya,” katanya hari ini.

    Menurutnya, semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah.

    Katanya, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek adalah negatif.

    Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, lapor Sinar Harian.

  • Timbalan Menteri Sarawak diserang 4 individu berhampiran rumahnya

    Timbalan Menteri Sarawak diserang 4 individu berhampiran rumahnya

    PESURUHJAYA Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, siasatan sedang dilakukan terhadap dakwaan seorang timbalan menteri Sarawak diserang empat individu berhampiran rumahnya di Tabuan Jaya pada 30 Mei lalu.

    Menurutnya, dalam kejadian yang berlaku pada pukul 9.06 malam itu, mangsa yang merupakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mendakwa melihat empat suspek dipercayai warga tempatan dalam keadaan mencurigakan serta menegur mereka.

    “Salah seorang daripada mereka tidak berpuas hati dengan teguran telah cuba menyerang dan mengasari beliau sehingga mengakibatkan kecederaan pada bahagian belakang badan,” katanya pada satu kenyataan, hari ini.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan, katanya.

    Sambil menggesa orang ramai tidak membuat spekulasi, Mohd. Azman menyeru mereka yang mempunyai maklumat supaya menghubungi pegawai penyiasat Rathna Borhan di talian 019 817 6267.

    Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang timbalan menteri mendapatkan rawatan hospital bagi mengubati kecederaannya sebelum membuat laporan polis.

  • Kes radang paru-paru jemaah haji Malaysia tidak serius

    Kes radang paru-paru jemaah haji Malaysia tidak serius

    TERDAPAT 11 daripada 29 jemaah haji yang berada di Tanah Suci dirawat di hospital Madinah dan Makkah kerana mengalami radang paru-paru akibat cuaca panas yang berdebu.

    Ketua Rombongan Jemaah Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, keadaan semua pesakit itu adalah stabil dan tidak serius.

    Jelas beliau, mereka tidak perlu rawatan lanjut dan hanya perlu ambil ubat antibiotik.

    Sehubungan itu beliau berharap ahli keluarga tidak gusar kerana pesakit dikawal dengan baik oleh pasukan perubatan Malaysia.

    “Kita juga mempunyai lima pakar respiratori, bekalan ubat-ubatan gred tinggi dan peralatan lengkap untuk merawat penyakit ini.

    “Bagi penggunaan katil di wad pula, hanya 4 peratus digunakan untuk merawat pesakit radang paru-paru ini,” katanya pada sidang media di Hotel Al Fajr Al Badea 5 di Makkah hari ini, pagi waktu tempatan.

    Selain pesakit yang menghidap radang paru-paru, jemaah yang dirawat ketika ini ialah melibatkan sakit jantung, kecederaan, masalah kulit dan mereka semuanya berada dalam keadaan stabil.

    Beliau berkata demikian mengulas satu mesej tular yang menyebut Pengarah Operasi Madinah (Perubatan), Dr. Abdul Jalil Ahmad yang mengatakan ramai jemaah haji memenuhi wad di Pusat Rawatan Madinah (PRM) disebabkan radang paru-paru.

    Menurut mesej tular itu lagi, jemaah yang jatuh sakit adalah disebabkan tidak mengambil vaksin Pneumokokal dan Influenza.

    Sementara itu mengulas mengenai suntikan jemaah haji, Syed Saleh berkata, terdapat satu suntikan wajib iaitu vaksin Pneumokokal manakala dua lagi ialah pilihan iaitu Influenza dan Pneumokokus.

    “Kedua-dua suntikan ini adalah tidak diwajibkan namun sangat digalakkan buat jemaah.

    “Ia bagi membina daya pertahanan badan bagi mencegah dan melindungi jemaah ketika menunaikan ibadat haji sebagaimana yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

    Tambahnya lagi, walaupun ia bukan wajib, TH sentiasa menggalakkan pengambilannya melalui beberapa penerangan melalui kursus-kursus di tanah air.

    “Pakar-pakar perubatan juga telah memberikan penerangan kepada jemaah haji tentang kepentingan vaksin tersebut,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Ketika ditanya sama ada TH merancang untuk menjadikan dua vaksin tambahan itu sebagai kewajipan, Syed Saleh berkata ia akan dibincangkan dengan lebih lanjut selepas ini.

    Beliau pada masa sama menasihati para jemaah haji yang masih belum berlepas ke Tanah Suci untuk mengambil dua suntikan tambahan bagi tujuan pencegahan.

    Syed Saleh sebelum itu menyambut ketibaan kumpulan pertama seramai 279 jemaah haji penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Jeddah dan tiba pukul 7.40 pagi waktu tempatan di Hotel Al Fajr Al Badea 5 di Makkah.

  • Asyraf tegur Puad: Jangan ‘tembak kaki sendiri’

    Asyraf tegur Puad: Jangan ‘tembak kaki sendiri’

    UMNO hari ini mengakui parti itu perlu mengekang pemimpin mereka sendiri daripada menyerang sesama anggota atau pemimpin dalam kerajaan, termasuk untuk membolehkan pihak tertentu berpuas hati.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara tersebut akan dikawal demi kebaikan semua pihak.

    “Ini antara isu yang perlu kami kawal dan uruskan.

    “Tak ada gunanya jika kita terus menyerang antara satu sama lain, ‘tembak kaki sendiri’ untuk menggembirakan masyarakat tertentu,” katanya semasa menjawab soalan media di Ibu Pejabat UMNO di Kuala Lumpur hari ini.

    Terdahulu Asyraf Wajdi ditanya mengenai secara khusus mengenai tindakan anggota Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd. Puad Zarkashi yang baru-baru ini mengkritik Rafizi Ramli dan antara lain menganggap Menteri Ekonomi itu belum bersedia menjadi anggota kabinet.

    Mohd. Puad juga mengecam Timbalan Presiden Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang gagal mengemukakan sebarang langkah signifikan selain menyindirnya sebagai banyak sangat formula sebelum ini.

    Beliau kemudian mengaitkan situasi itu dengan spekulasi mengenai rombakan Kabinet.

    Mengulas kritikan tersebut, Rafizi mengingatkan pemimpin UMNO wajar mengelakkan diri daripada membuat ulasan yang hanya akan menjauhkan penyokong PH daripada mereka.

    Asyraf Wajdi berkata, seseorang yang berada dalam kerajaan perlu mengambil tanggungjawab secara kolektif, bukannya bergantung kepada mana-mana individu secara persendirian.

    Justeru, katanya, semua pihak perlu berhenti daripada menuding jadi antara satu sama lain.

    Sementara itu, mengenai kembalinya bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad kepada parti itu, Asyraf Wajdi berkata, UMNO kekal sebagai parti terbuka kepada semua.

    “Sebagai bekas Menteri Besar yang berpengalaman luas, ada hubungan rapat dengan UMNO, mungkin itu boleh member sumbangan,” katanya.

    Isa, 74, merupakan bekas Ahli Parlimen Jempol dan meninggalkan UMNO pada Okt 2018 untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya kecil parlimen Port Dickson kerana parti itu tidak meletakkan calon.

    Anaknya, Mohd. Najib, kini merupakan Timbalan Ketua UMNO Port Dickson.

    Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi menyifatkan kenyataan Khairy Jamaluddin yang menjangkakan parti itu akan kehilangan lebih 50 peratus sokongan Melayu akibat doktrin anti-DAP sekadar ramalan saja.

    Namun katanya kenyataan dibuat bekas ketua Pemuda UMNO itu tidak akan menggelincirkan UMNO daripada agenda utamanya.

    “UMNO tidak pernah mencairkan prinsip perjuangan dan agenda kita, seperti yang termaktub dalam perlembagaan,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Tun M Disiasat Polis Bukit Aman

    Tun M Disiasat Polis Bukit Aman

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini memberi keterangan kepada pihak polis dari Bukit Aman di Yayasan Al Bukhary.

    Menurut peguam, Rafique Rashid, beliau ketika ini menemani Mahathir ketika polis merakam percakapan beliau.

    Rafique menjelaskan, siasatan tersebut berkaitan dengan Proklamasi Orang Melayu.

    “Saya hadir ke Yayasan Bukhary untuk menemani Tun Dr Mahathir yang telah ditemuduga, dirakam percakapannya oleh pihak Bukit Aman.

    “Tun telah menyatakan beliau akan sedia dituduh di mahkamah dan juga menyatakan akan menjawab soalan-soalan di mahkmah.

    “Kerana Tun bercerita tentang Proklamasi Orang Melayu,” katanya memetik laporan MalayaDaily.

    Menurut Rafique lagi, Dr. Mahathir dikatakan sedang disiasat dibawah seksyen 124 B Kanun Keseksaan iaitu menjalankan aktiviti-aktiviti yang membawa kepada kemudaratan demokrasi berparlimen.

    “Adakah menceritakan orang Melayu atau Proklamasi orang Melayu itu salah daripada segi undang-undang,” soal Rafique.

  • Dua beradik, tiga rakan terlepas hukuman gantung

    Dua beradik, tiga rakan terlepas hukuman gantung

    DUA beradik bersama tiga rakan terlepas hukuman gantung selepas dakwaan membunuh seorang lelaki lima tahun lalu dipinda kepada membunuh tanpa niat di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.

    Pesuruhjaya Kehakiman, Su Tiang Joo membenarkan meminda pertuduhan tertuduh, C. Sathis, 29; adiknya, Kartik Krishnan, 24 bersama tiga lagi lelaki, J. Jaya Ganesh, 25; A Arjun, 26, dan V. Sivabalan, 24; daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304 (a) kanun sama.

    Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

    Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas kelima-lima tertuduh dari tarikh tangkapan iaitu pada 18 Mei 2018.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mencapai niat bersama membunuh Chung Thian Keong, 54, di tepi sungai berhampiran Kampung Baru Chenderong, Jalan Tanjung Tualang dalam daerah Batu Gajah.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam lebih kurang 7 malam 17 Mei 2018 hingga 7 pagi 18 Mei 2018.

    Peguam Charan Singh yang mewakili kelima-lima tertuduh sebelum itu memohon hukuman ringan memandangkan keterangan yang dikemukakan saksi-saksi pendakwaan tidak menunjukkan sebarang senjata digunakan semasa kejadian itu.

    “Tiada sebarang senjata digunakan oleh mana-mana tertuduh dalam kes ini dan si mati tidak mendapat kecederaan di bahagian badan lain kecuali di kepala,” katanya lapor Sinar Harian.