Author: Wartawan WartaRakyat

  • MUDA tidak bertanding PRK Pulai, DUN Simpang Jeram

    MUDA tidak bertanding PRK Pulai, DUN Simpang Jeram

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

    Biro politik MUDA dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, keputusan tersebut dibuat bagi menghormati penyandang kedua-dua kerusi berkenaan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang banyak berjasa kepada rakan dan negara tercinta.

    “Muda mengucapkan selamat maju jaya kepada yang bertanding, khususnya dari parti Amanah. Semoga legasi Allahyarham dapat diteruskan,” katanya.

    PRK di kedua-dua kerusi berkenaan diadakan susulan kematian Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

    SPR telah menetapkan hari penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos ini.

    Pengundian awal pula pada 5 September dan hari pengundian 9 September, lapor Sinar Harian.

  • Dakwa PKR sisih wakil India, bekas Timbalan Setiausaha Agungnya umum keluar parti

    Dakwa PKR sisih wakil India, bekas Timbalan Setiausaha Agungnya umum keluar parti

    BEKAS Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), P. Jenapala mengumumkan keluar parti selepas mendakwa pucuk pimpinannya menyisihkan ahli parti berbangsa India dalam pelantikan Exco kerajaan negeri.

    Jenapala kecewa dengan perkara itu meskipun PKR menang beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dengan sokongan masyarakat India.

    “Kalau kita lihat keputusan PRN baru-baru ini, PKR menang beberapa kerusi kerana sokongan daripada pengundi India.

    “Ini adalah hasil kerja kuat pemimpin India dari PKR selepas MIC tidak begitu mengambil bahagian dalam PRN ini dan DAP fokus kepada pengundi Cina sahaja.

    “Tapi tiada satu wakil India dari parti itu dilantik sebagai exco kerajaan negeri,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

    Jenapala juga mendakwa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memberikan jawatan kepada pemimpin India dalam parti itu kerana mahu menunjukkan dirinya ‘lebih Melayu dan Islam’ berbanding Perikatan Nasional (PN).

    “Maka sudah tiba masa untuk masyarakat India mengambil pendirian dan memberi satu isyarat kepada Perdana Menteri bahawa dia sedang memilih jalan yang salah,” katanya.

    Jenapala yang sebelum ini merupakan ahli seumur hidup PKR telah menghantar surat keluar parti kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution pada 15 Ogos lalu.

    Jenapala dipecat daripada PKR pada 2010 selepas menyaman parti itu kerana mendakwa beliau dihalang daripada bertanding dalam pemilihan PKR pada tahun yang sama.

    Jenapala kemudiannya dibawa kembali menyertai PKR.

    PKR merupakan sebahagian daripada komponen Pakatan Harapan (PH), yang baru-baru ini berjaya mempertahankan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pada PRN 12 Ogos lalu.

    Kesemua tiga Exco PKR di Selangor dan dua Exco di Pulau Pinang, adalah terdiri daripada wakil rakyat Melayu.

    Bagaimanapun Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun masih belum melantik barisan Exco di mana PKR mempunyai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berketurunan India di negeri itu.

    Sementara itu, seorang lagi ahli PKR, Maneyvannan Velue turut mengumumkan keputusan keluar parti.

    Bekas Timbalan Ketua Cabang Kapar itu mengesahkan telah menghantar surat keluar PKR berkuat kuasa hari ini.

    “No keahlian saya dalam PKR adalah 00073. Jadi perjuangan saya lebih 21 tahun bersama parti berhenti di sini hari ini.

    “Saya percaya masyarakat India tidak lagi diiktiraf dalam PKR. Saya juga hilang kepercayaan dengan Anwar dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari yang gagal mempertahankan hak wakil India PKR dalam kerajaan negeri,” ujarnya.

  • Suami isteri ditahan SPRM kes salah guna kuasa

    Suami isteri ditahan SPRM kes salah guna kuasa

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penolong pegawai tadbir kanan dan isterinya bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa.

    Menurut sumber, suspek yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan negeri Terengganu disyaki menyalahgunakan jawatan dengan memberi kira-kira 70 perolehan pembaikan kenderaan bernilai hampir RM130,000 kepada syarikat milik isterinya.

    “Suspek juga dikatakan turut mengesyorkan kerja pembaikan kenderaan jabatan berkenaan kepada bengkel yang dimiliki sebuah koperasi yang mana suspek adalah ahli lembaga koperasi dan merangkap setiausaha jawatankuasa perdagangan di koperasi berkenaan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

    Katanya, kes berkenaan dipercayai berlaku sejak 2021 hingga tahun lalu dan dua suspek yang berusia 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu kira-kira pukul 11 pagi tadi.

    “Suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi proses permohonan reman,” katanya lagi.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, ketika dihubungi mengesahkan penahanan suami isteri terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.

  • Pengalaman luas Tok Pa bantu empat negeri bawah PN

    Pengalaman luas Tok Pa bantu empat negeri bawah PN

    PENGALAMAN luas dimiliki Datuk Seri Mustapa Mohamed atau Tok Pa di peringkat Persekutuan diharap dapat membantu empat negeri yang berada di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN), ketika ini.

    Perkara itu dinyatakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi hantaran di Facebook selepas mengadakan pertemuan dengan Tok Pa, semalam.

    Pertemuan tersebut turut disertai Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

    Menurut Ahmad Samsuri, beliau telah mengadakan perbincangan mengenai isu-isu mikro di Terengganu bersama Tok Pa.

    Antara perkara yang dibincangkan, kata Ahmad Samsuri adalah kesenjangan pembangunan di negeri-negeri Malay Belt, pembangunan aset negeri untuk meningkatkan hasil dan peningkatan tahap ekonomi negeri serta peningkatan pelaburan.

    “Selain itu, turut dibincangkan adalah bagaimana empat negeri di bawah Pas/PN dapat mengadakan kerjasama bagi menangani masalah dalam kerangka kuasa Kerajaan Negeri di bawah Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan.

    “Pengalaman luas Tok Pa sejak sekian lama dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan pelbagai kementerian seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Usahawan, Pengajian Tinggi dan sebagainya diharap dapat membantu kami di empat negeri.

    “Insya-Allah perbincangan lanjut akan diadakan sesama pimpinan negeri,” katanya dalam hantaran tersebut, lapor Utusan TV.

    PN berjaya menyapu bersih kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi di Terengganu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos lalu.

    Selain Terengganu, tiga negeri lain yang berada di bawah pentadbiran PN adalah Perlis, Kedah dan Kelantan.

  • Penyelesaian 1MDB, Anwar timbang saman Goldman Sachs

    Penyelesaian 1MDB, Anwar timbang saman Goldman Sachs

    DATUK Seri Anwar Ibrahim sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Goldman Sachs Group Inc berhubung peranan syarikat tersebut dalam skandal berbilion dolar melibatkan 1MDB, menurut temubual dengan CNBC.

    Kerajaan menimbang beberapa pilihan selain rundingan dengan firma Wall Street itu, kata Perdana Menteri kepada Martin Soong dari CNBC.

    “Setakat ini, bank tersebut tidak terlalu memberi kerjasama. Jadi tentu saja, ada perbincangan mengenai perkara tersebut, terdapat laluan lain boleh diambil.

    “Saya tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan dengan tuntutan undang-undang,” katanya dalam temubual tersebut, yang sebahagian petikan disiarkan hari ini.

    Namun, kata Anwar, isu tersebut adalah kompleks dan tindakan undang-undang di Amerika Syarikat (AS) membabitkan kos yang tinggi bagi kerajaan.

    “Tetapi anda mencuri daripada rakyat, saya perlu mendapatkannya semula,” katanya.

    1MDB menjadi tumpuan skandal berbilion dolar yang mencetus siasatan di Asia, AS, dan Eropah.

    Pada 2020, Goldman Sachs mengakui peranannya dalam kes rasuah asing terbesar dalam sejarah penguatkuasaan AS, dengan mencapai beberapa penyelesaian antarabangsa bernilai berbilion dolar untuk mengakhiri siasatan berkaitan pengumpulan dana bagi 1MDB.

    Pada Januari, Anwar menuntut bank AS itu menghormati penyelesaian pada 2020 dengan pentadbiran sebelum ini, atas peranan pengumpulan dana sebanyak USD6.5 bilion pada 2012 dan 2013 bagi 1MDB.

    Beliau kemudiannya berkata perjanjian yang dicapai oleh pentadbiran terdahulu dengan Goldman Sachs adalah terlalu ringan dan beliau sedang menilai semula perkara tersebut.

    Penyelesaian yang diumumkan oleh pentadbiran terdahulu tiga tahun lalu memerlukan Goldman Sachs membayar USD2.5 bilion sambil menjamin pemulangan semula harta 1MDB bernilai USD1.4 bilion yang dirampas oleh pihak berkuasa di seluruh dunia.

    Sebagai balasan kerajaan Malaysia menggugurkan tuduhan terhadap bank tersebut.

    Goldman juga perlu membuat pembayaran interim sebanyak USD250 juta jika Malaysia tidak menerima sekurang-kurangnya USD500 juta dalam harta dan hasil menjelang Ogos 2022, menurut bank tersebut.

    Bagaimanapun, kedua-dua pihak berbeza pendapat mengenai sama ada Putrajaya telah menerima USD500 juta hasil kutipan menjelang tarikh akhir Ogos, kata Goldman Sachs dalam satu penyataan tahun lalu.

    “Mengapa saya perlu menghukum rakyat Malaysia dengan membuat pembayaran keuntungan yang besar yang dibuat oleh mereka,” kata Anwar dalam temubual itu, merujuk kepada Goldman Sachs.

  • Hari Kebangsaan: Pemuda PN hormat keputusan Terengganu guna tema, logo Putrajaya

    Hari Kebangsaan: Pemuda PN hormat keputusan Terengganu guna tema, logo Putrajaya

    PEMUDA Perikatan Nasional (PN) menghormati keputusan kerajaan Terengganu menggunakan logo dan tema diperkenalkan Putrajaya bagi sambutan Hari Kebangsaan, berbanding cadangannya.

    Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tiada paksaan untuk menerima cadangan sayap itu yang melancarkan logo dan tema sendiri yang tujuan asalnya bagi digunakan untuk ucapan pimpinan komponen berkenaan, Sabtu lalu.

    “Terpulang kepada kerajaan negeri masing-masing untuk menentukan.

    “Segala keputusan tertakluk pimpinan negeri sungguhpun perkara itu telah dibincang bersama Majlis Tertinggi PN sebelum pengumuman dilakukan,” katanya memetik laporan FMT.

    Semalam, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, negeri itu akan menggunakan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini iaitu Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan dan logo Malaysia Madani, bukan seperti dicadangkan Pemuda PN.

    Pada Sabtu, Fadhli dipetik berkata, Pemuda PN akan mencadangkan logo dan tema dilancarkan mereka Sabtu lalu diperluaskan ke Kedah, Kelantan, Terengganu serta Perlis yang ditadbir gabungan itu.

    Logo itu berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan digabungkan elemen warna pada Jalur Gemilang, Pemuda PN juga memperkenalkan tema Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera.

    Mengulas lanjut, Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, tindakan pihaknya memperkenalkan logo dan tema alternatif kerana mendakwa kerajaan pusat telah mempolitikkan sambutan Hari Kebangsaan.

    “Walaupun perkataan itu satu perkataan yang baik (Malaysia Madani) tetapi ia telah dipolitikkan dalam kempen kepartian.

    “Kalau hendak satukan rakyat di bawah satu tema, pilih yang lebih bersifat tengah,” katanya.

  • UMNO, PKR Selangor bergelut selepas DAP cadang 2 ahli sebagai speaker, pengerusi GLC

    UMNO, PKR Selangor bergelut selepas DAP cadang 2 ahli sebagai speaker, pengerusi GLC

    PERGELUTAN sedang berlaku dalam blok kerajaan Selangor yang baru apabila Setiausaha Agung DAP Anthony Loke bertegas untuk meneruskan rancangan bagi melantik seorang bekas ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu sebagai pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), pelabuhan terbesar negara yang diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan yang diterajui Loke sendiri.

    MalaysiaNow difahamkan, UMNO Selangor serta sekurang-kurangnya tiga ADUN PKR menentang cadangan Loke untuk menamakan bekas ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian sebagai pengerusi pelabuhan itu, dengan alasan ia hanya akan memburukkan lagi defisit kerajaan negeri dalam sokongan orang Melayu.

    “Daripada segi persepsi, terutama selepas kita lihat keputusan baru-baru ini, ia bukan langkah yang baik,” kata seorang pemimpin UMNO Selangor yang terlibat dengan perbincangan baru-baru ini kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

    Yong dilantik sebagai Pengerusi LPK sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, di mana Loke ketika itu menyandang jawatan Menteri Pengangkutan. 

    Berikutan kejatuhan kerajaan PH pada 2020, Ean Yong digantikan oleh Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon.

    Nama Ean Yong naik pada 2009, ketika pembantu politiknya, Teoh Beng Hock ditemui mati sewaktu dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Teoh ditahan kerana disoal siasat mengenai dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan negeri di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan.

    Sumber PKR berkata sekurang-kurangnya ‘tiga atau empat’ ADUN parti itu tidak berpuas hati dengan pengumuman terbuka Loke untuk mengesyorkan Ean Yong untuk jawatan itu, dengan mengatakan ia direka untuk memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan syarat DAP.

    “Bukan sahaja tidak wajar untuk mengatakannya secara terbuka, ia juga sesuatu yang boleh ditafsirkan sebagai salah guna kuasa di pihak Loke memandangkan beliau juga menteri pengangkutan,” katanya.

    Kenyataan itu hadir tiga minggu selepas Loke, mengumumkan barisan calon DAP bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, mencadangkan Ean Yong dilantik sebagai pengerusi pelabuhan, dilihat sebagai ganjaran kepadanya kerana mengosongkan kerusinya.

    Ean Yong adalah antara penyandang yang digugurkan daripada bertanding dalam PRN Selangor pada 12 Ogos, bersama Teng Chang Khim, V. Ganabathirau, Lau Weng San dan Edry Faizal Eddy Yusof.

    Selain mengumumkan akan mengesyorkan Ean Yong sebagai Pengerusi LPK, Loke juga menamakan Lau untuk jawatan Speaker, sebagai bentuk pampasan kepada parti itu kerana bersetuju memberi laluan kepada UMNO di Dusun Tua.

    Edry, penyandang DUN Dusun Tua yang merupakan satu daripada dua ADUN Melayu DAP di Selangor, bagaimanapun tidak disyorkan untuk sebarang jawatan sebagai pampasan kerana digugurkan daripada PRN baru-baru ini.

    Walaupun menepati kriteria DAP untuk meletakkan calon muda, namun pemimpin berusia 38 tahun yang fasih berbahasa Cina itu, juga tidak menyatakan mengapa beliau digugurkan, hanya berkata dalam siaran video bahawa ia adalah perancangan Tuhan. 

    Sementara itu, Teng yang mencecah usia 60 tahun pada tahun ini sendiri menyatakan hasratnya untuk bersara daripada politik, manakala Ganabatirau sudah memenangi kerusi Parlimen Klang pada pilihan raya umum November lalu.

    ‘Tidak baik untuk optik’

    Sumber PKR Selangor yang rapat dengan kepimpinan parti berkata, dengan DAP sudah ‘hampir mendominasi’ blok kerajaan di Selangor, parti itu tidak perlu mengukuhkan kedudukannya dengan menuntut lebih banyak jawatan.

    “Ia tidak baik untuk optik, terutamanya apabila kita tidak henti-henti cuba meyakinkan pengundi Melayu bahawa DAP tidak akan mempunyai kelebihan di Selangor,” katanya, sambil menambah Loke harus merancang sesuatu yang baru.

    “Iklim pasca pilihan raya berbeza dengan musim kempen. Beliau harus memikirkan dengan teliti dua cadangannya untuk memberi ganjaran kepada ahli partinya.”

    Sumber itu menambah, pemilihan Lau sebagai speaker negeri juga boleh menimbulkan lagi masalah, mengimbas kenyataan yang dibuatnya pada 2016 yang mempersoalkan sokongan UMNO untuk memperkasakan mahkamah syariah di Selangor.

    DAP memenangi kesemua 15 kerusi yang ditandinginya di Selangor, menjadi blok terbesar dalam gabungan PH-UMNO.

    MalaysiaNow sebelum ini melaporkan walaupun PH-UMNO berjaya mempertahankan negeri itu, namun susunan kerajaan negeri mungkin merumitkan usaha gabungan itu untuk menghapuskan persepsi ia berkuasa atas sokongan bukan Melayu. 

    Perebutan jawatan dalam 12 majlis kerajaan tempatan di Selangor juga akan diperhatikan, di mana parti kerajaan sering diperuntukkan jawatan sebagai ahli majlis.

    Dengan UMNO menjadi komponen dalam gabungan berkenaan, parti itu berkemungkinan menuntut lebih banyak perwakilan dalam majlis kerajaan tempatan, yang boleh menimbulkan kemarahan dalam kalangan NGO dan aktivis yang menyalahkan parti itu atas penyelewengan masa lalu.

  • Rakyat dah penat, beta pun dah penat – Sultan Selangor

    Rakyat dah penat, beta pun dah penat – Sultan Selangor

    SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar semua pihak di negeri itu agar berhenti bermain politik.

    “Cukup-cukuplah kita berpolitik, rakyat dan penat, beta pun dah penat.

    “Bangunlah ahli-ahli yang berhormat semua, fikirkanlah masa depan negeri, negara dan masa depan anak cucu kita.

    “Jadikan negara Selangor hebat semula seperti mana pada zaman kegemilangan negeri Selangor tidak berapa lama dahulu,” titah baginda, lapor Malaysiakini.

    Baginda bertitah demikian ketika istiadat pelantikan menteri besar Selangor dan ahli-ahli majlis mesyuarat negeri Selangor (exco) di Istana Alam Shah, Klang hari ini.

  • Dakwaan Bersatu tak puas hati pembahagian Exco Kedah tak gambar realiti sebenar

    Dakwaan Bersatu tak puas hati pembahagian Exco Kedah tak gambar realiti sebenar

    Oleh RIZQI ZABIDI

    LAPORAN sesetengah media semalam kononnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak bersetuju dengan pembahagian kerusi Exco di Kedah, tidak menggambarkan situasi sebenar mengenai keadaan di negeri ini.

    Menurut Ketua Penerangan Bersatu Kedah, Khairul Anuar Ramli, beliau sendiri tidak dimaklumkan apa-apa tentang perkara itu.

    Malah katanya, kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas dan Bersatu sama-sama berhimpun di Wisma Darul Aman sewaktu majlis angkat sumpah exco berlangsung pagi tadi.

    “Kalau ada masalah dalaman pun, ia tak akan dibincangkan secara terbuka seperti itu. Daripada semalam saya tengok media banyak keluar laporan kononnya Bersatu tak puas hati tetapi saya fikir laporan tersebut tak menggambarkan situasi sebenar.

    “Saya sendiri tak dengar apa-apa (Berkenaan tak puas hati). Ada yang bertanya semalam mengenai boikot program tetapi saya katakan mengapa kita nak boikot sedangkan parti ini sebahagian daripada kerajaan dan sebarang masalah boleh diselesaikan di meja rundingan?

    “Pagi tadi pun kami semua ADUN Bersatu berkumpul di Wisma Darul Aman sewaktu majlis angkat sumpah. Tak ada masalah apa pun dan hubungan antara semua pihak berjalan lancar,” katanya.

    Sebuah akhbar semalam melaporkan Bersatu Kedah tidak berpuas hati apabila hanya tiga jawatan Exco diperuntukkan untuk parti itu berbanding lima pada penggal lalu sedangkan parti tersebut telah menyumbang 11 kerusi dalam kemenangan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini pada 12 Ogos lalu.

    Pagi ini seramai 10 ADUN mengangkat sumpah sebagai Exco Kedah di Istana Anak Bukit, Alor Setar dengan enam daripadanya datang dari Pas, 3 Bersatu dan satu Gerakan.

    Enam exco dari Pas adalah ADUN Merbau Pulas, Datuk Siti Ashah Ghazali yang memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan; ADUN Sungai Limau, Mohd. Azam Abd. Samat (Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan); ADUN Jitra, Dr. Haim Hilman Abdullah (Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi serta Sains, Teknologi dan Inovasi),
    ADUN Kuala Nerang, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria (Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Sumber Air, Alam Sekitar); ADUN Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria (Pengerusi Jawatankuas Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan) serta ADUN Alor Mengkudu, Muhamad Radhi Mat Din (Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup serta Belia dan Sukan).

    Tiga ADUN dari Bersatu adalah ADUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Halimaton Shaadiah Saad (Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat); ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab. Ghani (Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Perladangan dan Pengangkutan) serta ADUN Kubang Rotan, Datuk Salleh Saidin (Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Keusahawanan).

    ADUN Kulim dari Gerakan, Wong Chia Zhen diangkat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India, Siam dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.

  • LFL sekolahkan Fahmi tentang kebebasan media

    LFL sekolahkan Fahmi tentang kebebasan media

    KUMPULAN peguam Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mempersoalkan kenyataan menteri komunikasi dan digital terhadap maklumat ‘tidak tepat’ dan ‘fitnah’ berikutan aduan sekatan ke atas beberapa laman sesawang dan saluran media sosial sejak Jun tahun ini. 

    Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, meskipun beliau memberi jaminan mengenai kebebasan media dan kebebasan bersuara, namun ini tidak bermakna rakyat bebas menyebarkan fitnah dan maklumat salah.

    “Secara umumnya, itu adalah jaminan dan pada masa sama kita tidak boleh benarkan kalau ada maklumat salah atau fitnah menyentuh aspek 3R (agama, raja dan kaum) untuk dimainkan oleh mana-mana pihak,” katanya seperti dilaporkan pada 19 Ogos lalu.

    LFL bagaimanapun berkata, hak kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perkara 10 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh disekat atas alasan maklumat tidak tepat.  

    “Sekatan terhadap kebebasan bersuara yang dibenarkan di bawah Perkara 10(2)(a) tidak merangkumi kenyataan yang tidak tepat,” katanya.

    “Pertuturan yang memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan yang boleh dihadkan, dan itu adalah sukar untuk dipenuhi.”

    Dalam satu kenyataan, Pengarah LFL Zaid Malek turut menyifatkan kenyataan Fahmi sebagai “cubaan jelas untuk mewajarkan atau meletakkan asas untuk menyekat portal atau laman sesawang yang mengkritik kerajaan”. 

    “Adalah mengganggu dan tidak berperlembagaan untuk menteri meletakkan dirinya sebagai penimbang tara ‘kebenaran’ dan membuat keputusan sendiri untuk menyekat berita yang kononnya memfitnah atau tidak tepat. 

    “Fitnah atau tidak tepat menurut siapa? Adakah hanya hak kerajaan untuk memutuskan perkara yang benar?”

    Beliau turut mengingatkan Fahmi mengenai Akta Antiberita Tidak Benar, yang dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 sebagai ancaman kepada kebebasan bersuara. 

    “Berita palsu mesti dijawab dengan penjelasan, bukan dijenayahkan,” katanya, lapor MalaysiaNow.

    “Jika kerajaan dapat memutuskan perkara yang tidak tepat atau fitnah, ia akan membawa kepada penyalahgunaan kuasa dan pemenjaraan lawan politik. Sejarah silam kita sudah membuktikan perkara ini, berulang kali.”

    Beliau juga mengingatkan bagaimana Seksyen 500 Kanun Keseksaan digunakan oleh kerajaan Barisan Nasional untuk melemparkan ‘tuduhan bermotif politik’ terhadap pemimpin PH. 

    “PH ketika itu mengkritik undang-undang berkenaan. Sekarang apabila berkuasa, adakah Fahmi sudah lupa perkara ini?” 

    Zaid berkata, kuasa sebegitu, jika dibenarkan, boleh menyekat wacana mengenai perkara berkepentingan awam kerana kerajaan boleh ‘memutarbelitkan’ takrifan fitnah dan ketidaktepatan agar sesuai dengan tujuannya sendiri. 

    “Lawan politik, pengkritik kerajaan, aktivis dan orang ramai akan terbeban untuk membuktikan sebarang dakwaan kesalahan terhadap kerajaan jika ini dibenarkan. 

    “Kemelut 1MDB adalah contoh jelas bagaimana kuasa sedemikian boleh disalahgunakan dengan mudah oleh kerajaan, di mana portal berita disekat dan individu didakwa kerana bersuara. 

    “Tiada sebab untuk mempercayai penyalahgunaan seperti itu tidak akan berlaku di bawah kerajaan ini atau mana-mana kerajaan lain,” katanya.