Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pemimpin DAP gembira Kit Siang terima anugerah ‘Tan Sri’ anggap beliau negararawan teladan

    Pemimpin DAP gembira Kit Siang terima anugerah ‘Tan Sri’ anggap beliau negararawan teladan

    PEMIMPIN-pemimpin DAP gembira dan mengucapkan tahniah kepada Lim Kit Siang yang menerima anugerah ‘Tan Sri’ daripada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

    Mereka menyifatkan bekas Pengerusi DAP itu layak mendapat gelaran itu berikutan sumbangan beliau kepada perkembangan politik dan demokrasi negara.

    Memetik portal FMT, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, berkata gelaran berkenaan sudah sepatutnya diberikan kepada bekas pemimpin DAP itu, yang digambarkannya sebagai seorang negarawan teladan.

    “Ini sesuatu yang tepat pada masanya dan memang layak untuk seorang yang telah mengabdikan hidupnya kepada demokrasi dan tadbir urus yang baik.

    “Terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri kerana mengiktiraf sumbangan beliau kepada perkembangan politik dan demokrasi negara,’’ katanya.

    Exco negeri Pulau Pinang yang juga ADUN Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari, senada dengan Rayer, sambil menambah bahawa Kit, gelaran yang selalu digunakan untuk Kit Siang, adalah “seorang anak Malaysia yang cemerlang yang telah mengabdikan hampir seluruh hidupnya kepada negara dan rakyat.”

    Naib pengerusi DAP yang juga Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pula berkata, pemimpin dan ahli akar umbi parti itu gembira bahawa sumbangan Kit Siang kepada politik negara dan pembangunan negara selama setengah abad terakhirnya akhirnya diiktiraf.

    “Saya telah membaca mesej dalam kumpulan perbincangan di semua gembira (untuknya). Mereka berpendapat bahawa beliau berhak menerimanya ,” katanya.

    Rayer juga berkata bahawa keputusan Kit Siang untuk menerima gelaran itu sekarang menunjukkan beliau berpegang kepada tradisi lama parti bahawa tiada seorang pun wakil rakyatnya harus menerima anugerah negeri atau persekutuan semasa berkhidmat.

    “Ia adalah konvensyen tidak rasmi (yang telah dilaksanakan) sejak zaman mendiang Karpal Singh, yang sentiasa berpegang bahawa Ahli Parlimen atau ADUN yang sedang berkhidmat (daripada DAP) tidak boleh menerima sebarang gelaran kehormat,” tambah beliau.

    Kit Siang mengumumkan pada Mac tahun lalu bahawa beliau bersara selepas 56 tahun aktif dalam politik dan tidak akan bertanding dalam PRU15.

    Beliau telah menjadi Ahli Jawatankuasa Eksekutif pusat DAP (CEC) sejak 1966, bermula sebagai setiausaha organisasi kebangsaan sebelum kemudiannya memegang jawatan setiausaha agung selama 30 tahun dari 1969.

    Beliau telah berkhidmat dalam beberapa kawasan Parlimen sepanjang kerjayanya dalam politik sebagai Ahli Parlimen, bermula dengan Bandar Melaka dari 1969 hingga 1974. Ini diikuti oleh Kota Melaka (1974-1978), Petaling (1978-1982), Kota Melaka (1982-1986), Tanjong (1986-1999), Ipoh Timor (2004-2013), Gelang Patah (2013-2018), dan Iskandar Puteri (2018-2022).

    Perjalanan beliau dalam politik Malaysia adalah penuh liku, kerana bersama anaknya Lim Guan Eng, beliau ditahan tanpa bicara selama 18 bulan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Oktober 1987 selepas Operasi Lalang ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Mereka adalah tahanan terakhir yang dibebaskan pada April 1989.

  • Johari Abdul, Kit Siang, Allahyarham Nik Aziz dianugerah Tan Sri

    Johari Abdul, Kit Siang, Allahyarham Nik Aziz dianugerah Tan Sri

    SERAMAI 839 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul mendahului senarai penerima dengan dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.

    Turut dikurniakan darjah kebesaran PSM ialah 25 individu lain termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Patmanathan, mantan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, mantan Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengarah Urusan Kumpulan Engtex Group Berhad Datuk Ng Hook.

    Selain itu, Pengarah Urusan Kumpulan Maxim Global Berhad Datuk Seri Gan Seong Liam, Pengerusi DPS Resources Berhad Datuk Seri Sow Chin Chuan, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Sime Darby Plantation Berhad Datuk Seri Dr Nik Norzul Thani N.Hassan Thani dan komposer Datuk Seri Dr Ahmad Khan Nawab Khan.

    Turut menerima PSM ialah Pengerusi Eksekutif Yuwang Group See Hong Cheen @ See Hong Chen, Pengerusi Battersea Power Station Holding Company Limited Datuk Jaganath Derek Steven Sabapathy, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed A.R. Albar dan Pengerusi/ Pengarah Perusahaan Sadur Timah Malaysia (PERSTIMA) Berhad Datuk Wee Hoe Soon @ Gooi Hoe Soon.

    Penerima lain ialah Pengarah Urusan Winfast Group of Companies Datuk Seri Chee Chan Yau @ Cheah Chan Yau, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Ming Heng Motor Sdn Bhd Datuk Koh Chui Ming, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dan Pengarah Urusan Cergas Murni Sdn Bhd Datuk Paul Latimer.

    Selain itu Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Berhad Datuk Seri Yeoh Choon San, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif KK Land Group of Companies Datuk Kong Hoi Chieng, Pengarah Urusan Twin Arrow Fertilizer Sdn Bhd Datuk Seri Lau Kuan Kam, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman.

    Turut dikurniakan PSM ialah mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Seri Anifah Aman dan veteran politik Lim Kit Siang.

    Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali @ Mat Jali, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican, bekas pemain badminton negara Tan Aik Huang dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair Datuk Irwan Shah Abdullah @ DJ Dave merupakan antara 28 penerima darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran ‘Datuk’.

    Empat penerima darjah kebesaran Panglima Setia Diraja (PSD) yang membawa gelaran ‘Datuk’ pula ialah Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja Mohd Aseral Jusman, Ketua Protokol Jabatan Protokol dan Konsular Kementerian Luar Negeri Mohd Aini Atan, Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Abdul Halim Hamzah dan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Ahmad.

    Seramai 33 individu menerima darjah kebesaran Johan Mangku Negara (JMN) termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Digital Mastura Ahmad Mustafa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.

    Bagi penerima darjah kebesaran Johan Setia Mahkota (JSM) pula, 33 individu disenaraikan sebagai penerima antaranya penggiat seni Fauziah Nawi, Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad dan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.

    Tiga penerima darjah kebesaran Johan Setia Diraja (JSD) ialah Asisten Ketua Staf Tadbir Pangkalan Udara Subang Brig Jen Baharudin Abu Hassan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur SAC Habibi Majinji dan Timbalan Pengarah (Perisikan Siasatan Khas) Bahagian Perisikan Siasatan Khas Bukit Aman SAC Mohammad Azlin Sadari.

    Seramai 116 individu dikurniakan darjah kebesaran Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) termasuk Pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Dr Abdul Halim Husain dan Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia Dr Ong Shin Ruenn.

    Tahun ini juga menyaksikan seramai enam orang menerima darjah kebesaran Bintang Kesatria Setia Diraja (KSD) dan 218 individu menerima darjah kebesaran Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) termasuk Jurutera Sokongan Bernama Mohd Halim Esham.

    Pembantu Tadbir (Perkeranian dan Operasi) Bahagian Modal Insan Bernama Rusliza Sahran pula antara 316 penerima Pingat Pangkuan Negara (PPN) manakala 56 individu dikurniakan Pingat Bentara Setia Diraja (BSD).

    — BERNAMA

  • Lelaki maut jatuh tebing batu dipercayai ketika cuba lari daripada polis

    Lelaki maut jatuh tebing batu dipercayai ketika cuba lari daripada polis

    SEORANG lelaki ditemui maut dipercayai terjatuh dari tebing batu bukit berhampiran kawasan Taman Jeselton, Georgetown, Pulau Pinang awal pagi kelmarin dipercayai ketika cuba melarikan diri daripada polis.

    Difahamkan, lelaki berkenaan dipercayai salah seorang ahli kumpulan jenayah pecah rumah dan samun di kawasan kediaman elit berkenaan.

    Terdahulu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, sepasukan polis dari Bahagian D9, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama pasukan Gerakan Am menjalankan Op Rantau Dawai di kawasan tersebut kira-kira pukul 12.30 tengah malam Sabtu lalu.

    Jelasnya, semasa sedang melakukan rondaan di dalam hutan berhampiran, pasukan berkenaan telah terserempak dengan tiga suspek lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan.

    ”Pasukan berkenaan kemudian meminta suspek berhenti bagi membuat pemeriksaan, namun mereka terus melarikan diri ke arah yang tidak diketahui kerana keadaan gelap,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

    Menurutnya, pasukan berkenaan telah membuat pencarian di sekitar kawasan tersebut, namun tidak menjumpai apa-apa.

    Bagaimanapun, ujar beliau, kira-kira pukul 4.45 pagi hari sama, polis menjumpai seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dan tidak bergerak di lereng bukit berhampiran.

    Tambahnya, pemeriksaan lanjut telah menjumpai sebuah bag galas yang berada di sebelah mayat.

    ”Di dalam beg ini mengandungi beberapa keratan dawai berwarna hijau, beberapa peralatan seperti pemotong, pemutar skru dan sarung tangan yang disyaki digunakan untuk tujuan pecah rumah.

    ”Turut dijumpai sebilah pisau pemotong daging, namun pihak polis tidak menjumpai sebarang dokumen diri. Bantuan daripada pasukan forensik dan Unit K9 juga gagal menemukan sebarang petunjuk,” katanya.

    Kok Chin berkata, mayat lelaki berkenaan telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tujuan bedah siasat dan cap jari serta DNA lelaki berkenaan diambil bagi tujuan mengesan identit.

    Jelasnya, kes itu diklasifikasi sebagai mati mengejut.

    “Polis juga menasihati orang awam sentiasa peka dengan keadaan persekitaran serta mengambil langkah keselamatan bagi mencegah daripada menjadi mangsa pecah rumah dan samun,” katanya.

  • Melayu wajib memimpin,memerintah,mentadbir masyarakat majmuk – Hadi

    Melayu wajib memimpin,memerintah,mentadbir masyarakat majmuk – Hadi

    DAKWAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kestabilan negara itu bergantung kepada dasar pentadbiran yang dibawa dan bukannya dengan jumlah Ahli Parlimen sesebuah etnik adalah tidak tepat.

    Menurut Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pengaruh sesebuah kaum atau etnik dalam menentukan kekuasaan nasional sangat penting.

    Kata Ahli Parlimen Marang itu, ia dibuktikan dengan pandangan ilmuan Islam yang mana pemilihan ketua negara mesti berdasarkan etnik atau kaum yang memiliki pengaruh tinggi.

    “Para ulama berhujah bahawa syarat supaya pemimpin daripada kalangan Quraisy itu bermaksud bahawa ketua negara itu wajib daripada kalangan kaum penganut Islam yang paling kuat pengaruhnya iaitu kaum yang mendominasi umat Islam.

    “Maka, dalam politik Malaysia, bangsa Melayu yang menganut Islam itu wajib memimpin, memerintah dan mentadbir masyarakat majmuk yang termasuk rakyat bukan Islam,” katanya dalam ruangan Minda Presiden.

    Baru-baru ini, Anwar menganggap dakwaan Abdul Hadi mengenai kedudukan ahli Parlimen Melayu dalam kerajaan merupakan perkiraan yang tidak betul.

    Jelas beliau, untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil ia tidak bergantung kepada jumlah Ahli Parlimen mana-mana etnik di parlimen sebaliknya dasar yang dilaksanakan.

    Bahkan Anwar juga menganggap menilai kestabilan kerajaan dengan hanya bersandarkan kepada faktor bangsa adalah pertimbangan yang jumud.

    Dalam pada itu, Abdul Hadi menambah, falsafah politik Pakatan Harapan (PH) membawa konsep sekularisme dan ‘Malaysian Malaysia’ yang menolak kepimpinan Melayu Islam tanpa mempedulikan aspek iman, akhlak dan integriti.

    Kata beliau, kepimpinan sebegini tidak akan bertahan lama kerana terdapat kelompongan dalam pentadbiran.

    “Kita menyaksikan contoh kerajaan seperti ini hanya dapat bertahan buat sementara waktu yang pendek dan rapuh, kerana pemilihan pemimpin bukan daripada kaum dominasi seperti yang diamalkan di Amerika Syarikat, Chile, Fiji, dan terkini di United Kingdom,” jelasnya.

  • Ahli UMNO kena berlapang dada terima Anwar di PAU – Ahmad Maslan

    Ahli UMNO kena berlapang dada terima Anwar di PAU – Ahmad Maslan

    AKAR umbi UMNO diminta berlapang dada dan terbuka menerima kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai tetamu kehormat pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, Khamis ini.

    Sehubungan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata ahli UMNO tidak perlu terpengaruh dengan hasrat sesetengah pihak yang enggan hadir persidangan sebaliknya menerima dinamika politik baharu yang memerlukan keterbukaan minda.

    Ahmad yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO berkata, langkah menjemput Anwar dan juga 18 Presiden parti gabungan Kerajaan Perpaduan itu adalah sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

    “Ahli parti kena berlapang dada (dengan kehadiran Anwar). Dalam satu gabungan begini kita perlu menerima kehadiran pimpinan parti politik gabungan.

    “Apatah lagi kita seangkatan dan perlu berhadapan perang politik yang lebih besar iaitu enam PRN tidak lama lagi, maka persediaan serta perpaduan yang lebih jitu perlu ada,” katanya lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Veteran UMNO Johor, di Bangunan UMNO Johor, hari ini.

    Hadir sama, Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman.

    Jumaat lalu, PAU 2023 dilaporkan akan mencatat sejarah apabila dijangka dihadiri Anwar sebagai tetamu kehormat.

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan berkata Perdana Menteri dijadual hadir pada acara pembukaan PAU 2023 pada Khamis ini dan disertai semua presiden bagi 19 parti di bawah Kerajaan Perpaduan.

    Ini adalah kali pertama Anwar menghadiri PAU selepas dipecat daripada parti itu pada 1998.

    Pada 14 Mei lalu, Anwar menjejakkan kakinya semula ke WTC, yang sinonim dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas lebih 25 tahun, apabila menghadiri Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan.

    Mengulas lanjut mengenai tindakan segelintir ahli UMNO yang kononnya akan memboikot PAU 2023, Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor berkata, golongan ini perlu memahami konsep demokrasi negara yang berlaku hasil titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Katanya, itu adalah asas utama yang perlu difahami golongan yang sengaja menimbulkan polemik kehadiran Anwar dan 18 presiden parti gabungan Kerajaan Perpaduan.

    “UMNO menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan apabila baginda menitahkan supaya Kerajaan Perpaduan diwujudkan supaya kerajaan tidak tergantung, kami patuh. Itulah tindakan UMNO yang setia dan taat pada payung negara,” katanya.

  • Jurukamera Channel NewsAsia maut dalam kemalangan

    Jurukamera Channel NewsAsia maut dalam kemalangan

    JURUKAMERA agensi berita Channel NewsAsia, Khairul Azman Zainuddin maut akibat kemalangan motosikal di KM43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Bentong hari ini.

    Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata kejadian pada 12 tengah hari itu berlaku ketika Khairul Azman, 45, dalam perjalanan menuju Kuala Lumpur dan dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala. 

    “Motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan sebelum tercampak ke laluan bertentangan dan mangsa juga dilanggar sebuah motosikal di laluan itu yang tidak dapat mengelak,” katanya dalam kenyataan. 

    Penunggang dan pembonceng sebuah lagi motosikal cedera ringan dan dirawat di Hospital Bentong.

    Beliau berkata kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pusat kawalan daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di 09-2222 222

  • Wanita curi rantai kanak-kanak di karnival ditahan

    Wanita curi rantai kanak-kanak di karnival ditahan

    SEORANG wanita ditahan susulan video tular tindakannya mencuri rantai seorang kanak-kanak perempuan di tapak karnival di Stadium Shah Alam, semalam.

    Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata kejadian berlaku pada 5.40 petang dengan suspek mengambil rantai dipakai kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dengan cara memotongnya menggunakan objek lain, sebelum barang kemas itu ditarik.

    “Sejurus kejadian suspek wanita tempatan berusia 35 tahun berjaya ditangkap di lokasi terbabit berdasarkan rakaman video,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau bersabit kes curi.

    “Suspek direman tiga hari hingga Selasa untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Semalam, tular video berdurasi 17 saat menunjukkan tindakan seorang wanita menarik rantai seorang kanak-kanak.

  • Warga asing suspek kes rogol ditahan di KLIA ketika mahu melarikan diri

    Warga asing suspek kes rogol ditahan di KLIA ketika mahu melarikan diri

    SEORANG lelaki warga asing yang menjadi suspek kes rogol ditahan di Pintu Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika mahu melarikan diri balik ke negara asal selepas melakukan jenayah tersebut.

    Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dalam kenyataan di Facebook berkata, polis menahan suspek yang cuba melarikan diri dalam tempoh 48 jam selepas disyaki merogol seorang wanita.

    Menurut kenyataan itu, suspek melakukan perbuatan tersebut ketika berada di rumah mangsa bagi melakukan kerja penyelenggaraan.

    “Mangsa yang sempat merakam wajah suspek menggunakan telefon bimbit terus menghubungi ibu saudara bagi memaklumkan kejadian.

    “Hasil daripada maklumat itu, pasukan operasi JSJ dapat mengesan suspek yang dalam perancangan melarikan diri untuk balik ke negara asal dengan menggunakan pesawat,” kata kenyataan itu.

    Kata kenyataan itu, suspek diberkas dalam tempoh kurang 48 jam ketika berada di pintu pelepasan lapangan terbang dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun serta hukuman sebat,” kata kenyataan tersebut

  • Pakaian tradisi Melayu: ‘’DAP perlu minta maaf kepada MCA’’ – Lian Ker

    Pakaian tradisi Melayu: ‘’DAP perlu minta maaf kepada MCA’’ – Lian Ker

    NAIB Presiden MCA Ti Lian Ker menggesa DAP memohon maaf kerana  pernah mengecam parti itu ketika mereka mengenakan pakaian istiadat Melayu pada masa lalu.

    Gesaan itu susulan laporan bekas Pengerusi DAP, Lim Kit Siang akan menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri esok.

    Gambar Lim mengenakan songkok ketika raptai acara turut disebarkan di media sosial. Ti turut memuat naik gambar itu dalam hantarannya di Facebook.

    “Saya rasa bangga ‘Tan Sri Lim’ akhirnya memakai songkok sebagai pakaian protokol dan istiadat. Saya masih ingat lagi ADUN Triang (dari DAP) Leong Ngah Ngah telah enggan memakai pakaian seragam ADUN semasa istiadat dan songkok atas alasan larangan parti semasa Kit Siang jadi Setiausaha Agung.

    “Secara terbuka saya ingin memohon pada DAP untuk memohon maaf pada MCA dan semua ahli MCA yang dipanggil sebagai ‘anjing UMNO’ dan pengkhianat kerana menerima adat resam dan pakaian seragam yang berlandaskan tradisi Melayu,” katanya.

    Kit Siang akan menerima darjah kebesaran itu sempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang ke-64.

    Ahli politik berusia 82 tahun itu bakal menjadi pemimpin DAP pertama yang dianugerahkan gelaran Tan Sri.

     Ti berkata jika DAP boleh memohon maaf kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan UMNO sebelum ini, parti itu juga boleh berbuat demikian dengan MCA.

    “Mengapa DAP tidak meminta maaf kepada MCA dan MIC yang menjadi sasaran serangan utama mereka kerana bekerjasama dengan UMNO demi mencari titik pertemuan masyarakat kita yang pelbagai. Semangat meminta maaf ini adalah cara terbaik ke arah penyatuan dan pengukuhan kerajaan perpaduan BN/PH ke arah pilihan raya negeri (PRN).

    Over to you, Tan Sri Lim Kit Siang dan DAP,” katanya lagi.

  • 3 maut, 3 cedera dirempuh pemandu dipercayai mabuk ketika berteduh di bawah jambatan

    3 maut, 3 cedera dirempuh pemandu dipercayai mabuk ketika berteduh di bawah jambatan

    TIGA penunggang motosikal maut manakala tiga lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta ketika berteduh di bawah jambatan di Kilometer 19.6  Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala selatan, awal pagi ini.

    Astro Awani melaporkan, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Fakhrudin Ambul Hamid berkata, ujian yang dijalankan ke atas pemandu terbabit mendapati tubuhnya mengandungi alkohol melebihi had dibenarkan.

     Beliau berkata, tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala mereka yang cedera termasuk seorang yang parah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.

    Menurutnya, dalam kejadian pukul 5.59 pagi, kesemua mangsa yang berusia 19 hingga 37 tahun itu berhenti berteduh di lorong kecemasan di bawah jambatan berkenaan kerana hujan.

    “Siasatan awal mendapati pemandu kereta Honda City Hatchback dalam perjalanan dari ibu negara ke Cyberjaya. Setibanya di lokasi kemalangan, kereta yang dipandu suspek hilang kawalan menyebabkan kenderaan itu terbabas serta melanggar enam lelaki yang sedang berteduh di bawah jambatan kerana hujan,” katanya dalam kenyataan.

    Katanya, pemandu kereta itu ditahan bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dijalankan.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Navalan Ravindran di talian 014-2536820 atau mana-mana balai polis berhampiran dengan segera.