Author: Wartawan WartaRakyat

  • Ketua Polis Pulau Pinang terima enam keping ‘duit mayat’, nota amaran

    Ketua Polis Pulau Pinang terima enam keping ‘duit mayat’, nota amaran

    KETUA Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mendedahkan bahawa Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin baru-baru ini menerima ugutan jenayah dalam bentuk enam keping ‘duit mayat’ dan sekeping nota amaran.

    Beliau berkata nota itu, yang diterima pada 1 Jun lepas melalui perkhidmatan Pos Malaysia, meminta polis Pulau Pinang menghentikan tindakan agresif memerangi sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen di negeri itu.

    “Satu laporan polis telah dibuat mengenai surat yang dialamatkan kepada Ketua Polis Pulau Pinang, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang… turut dinyatakan melalui surat layang itu nota berunsur ugutan jenayah terhadap Ketua Polis Pulau Pinang dan akan membakar kedai serta balai polis jika amaran berkenaan tidak diendahkan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Acryl Sani berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM)  memandang serius perkara itu dan operasi melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial serta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik sedang giat dijalankan untuk mengesan suspek yang terlibat. 

    Beliau berkata siasatan kes itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

    “PDRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengugut serta mengancam pegawai PDRM dalam menjalankan tugas memerangi kegiatan haram serta jenayah di negara ini,” katanya.

  • Kit Siang ucap terimakasih kepada Agong atas anugerah Tan Sri

    Kit Siang ucap terimakasih kepada Agong atas anugerah Tan Sri

    AHLI politik veteran Tan Sri Lim Kit Siang menzahirkan penghargaannya kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas pengurniaan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM), yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ kepadanya.

    “Saya amat menjunjung kasih kepada (Yang di-Pertuan) Agong dan merasakan ia satu penghargaan,” kata Kit Siang ringkas kepada pemberita selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023, bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

    Dalam hantaran di akaun Facebooknya pula, Lim, 82, turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas ucapan tahniah yang ditujukan kepadanya, namun meminta supaya beliau dipanggil ‘Kit’ saja.

    “Terima kasih pada semua atas ucapan tahniah. Saya masih suka jika semua cuma memanggil saya dengan nama Kit,” kata Lim lapor BERNAMA.

    Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, 68, yang turut dikurniakan Darjah Kebesaran PSM membawa gelaran ‘Tan Sri’ menyifatkan anugerah itu sebagai penyuntik semangat kepadanya untuk berbakti kepada negara.

    “Alhamdulillah, saya menjunjung kasih kepada Tuanku (Al-Sultan Abdullah) atas perkenan mengurniakan pingat Tan Sri kepada saya, dan ini akan memberikan saya semangat untuk berbakti lebih lagi kepada negara, bagi memastikan keadaan negara lebih baik dari sekarang.

    “Seperti yang Perdana Menteri katakan bahawa dia sedang bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan rakyat mula faham mereka, dan saya di belakang untuk membantu merealisasikan apa yang diharapkan, insya-Allah,” katanya ketika ditemui media, selepas istiadat tersebut.

    Johari yang dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat pada 19 Dis 2019 merupakan antara 839 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi hari ini.

    Turut dikurniakan darjah kebesaran PSM ialah 25 individu lain termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Patmanathan dan mantan Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. 

    Sementara itu anak sulung Nik Aziz, Nik Aini turut menzahirkan kesyukuran atas pengurniaan Darjah Kebesaran PSM yang membawa gelaran Tan Sri kepada Allahyarham bapanya.

    “Syukur Alhamdulillah pada Seri Paduka atas pengurniaan yang diberi dan pihak keluarga saya amat berbesar hati dan mengucapkan berbanyak menjunjung kasih kepada Tuanku,” katanya.

    Nik Aziz yang juga bekas Mursyidul Am PAS, meninggal dunia pada Februari 2015.

    Penyanyi dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair Datuk Irwan Shah Abdullah @ DJ Dave yang dianugerakan Panglima Jasa Negara yang membawa gelaran Datuk, berkata penganugerahan dari Seri Paduka membuatkan dirinya akan berkerja dengan lebih cemerlang pada masa akan datang.

    “Saya akan terus berkhidmat untuk negara dan membantu sesiapa yang memerlukan bantuan khususnya artis-artis di Malaysia,” katanya.

    — BERNAMA

  • Khairy pertimbang tubuh parti baru

    Khairy pertimbang tubuh parti baru

    KHAIRY Jamaluddin terus mencetuskan persoalan berhubung hala tuju politik apabila menegaskan, beliau sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan parti politik baru.

    Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, pada mulanya beliau tidak berminat untuk terus menubuhkan satu lagi parti politik, tetapi mula berfikir sebaliknya baru-baru ini.

    “Saya sejak beberapa minggu ini sedang melihat kepada pilihan tersebut.

    Saya lihat jika kita dapat permulaan kedua dalam politik, kenapa tidak permulaan itu on our own terms (mengikut syarat kita sendiri),” katanya  katanya pada siri terbaru podcast Keluar Sekejap hari ini, lapor Malaysiakini.

    Khairy berkata menyertai parti baru memerlukannya menyesuaikan diri dengan cara parti itu melakukan sesuatu, yang mungkin tidak sejajar dengannya dan terpaksa membuat pelarasan serupa apabila menyertai UMNO.

    Bagaimanapun, Khairy bersikap realistik tentang cabaran yang mungkin berlaku jika mahu menubuhkan parti sendiri.

    “Jika anda menubuhkan parti politik, anda boleh mengikut cara Pejuang – maaf saya kata – kehilangan wang deposit, diketawakan dan seumpamanya.

    “Tetapi mungkin anda berasa lebih puas kerana anda melakukannya dengan syarat anda sendiri,” katanya yang dipecat daripada UMNO pada Januari lalu.

    Beliau kemudian mengimbas  bagaimana Imran Khan dari Pakistan tewas dalam beberapa pilihan raya sebelum berjaya menjadi Perdana Menteri.

    “Jadi kalau kita buat parti sendiri, kita kena bersedia untuk tidak memenangi beberapa pilihan raya, tetapi satu hari nanti siapa tahu,” katanya.

    Sementara itu, hos bersama Khairy, Shahril Hamdan Suffian – yang digantung daripada UMNO selama enam tahun – berkata dia tidak akan tergesa-gesa membuat sebarang pilihan politik.

    Katanya, dia tidak mempunyai keinginan untuk bertanding dalam enam pilihan raya negeri akan datang, dan mahu fokus kepada kehidupannya di luar politik buat masa ini.

  • ‘’Tidak perlu pelawa secara menyindir, ramai lebih rindu UMNO asal’’ – Hishammuddin

    ‘’Tidak perlu pelawa secara menyindir, ramai lebih rindu UMNO asal’’ – Hishammuddin

    BEKAS Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, ramai lebih rindu kepada UMNO yang asal.

    Oleh itu, beliau berkata, tidak perlu pelawa ahli dibuang ke Perhimpunan Agung UMNO secara menyindir dan sengaja berseloroh.

    ‘’Ini hanya menggambarkan mentaliti pemikiran semasa kepimpinan UMNO, tidak membantu langsung usaha memulihkan kedudukan parti dalam memenangkan hati ahli-ahli akar umbi,’’ katanya melalui catatan dalam media sosial.

    Jumaat lalu,  Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki secara berseloroh ‘mengajak’ mereka yang dipecat daripada parti itu untuk datang memperbaharui kain samping UMNO mereka pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, yang akan berlangsung mulai 7 Jun ini.

    “Kita tidak pernah menghalang mereka untuk datang ke Dewan Merdeka (Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur). Siapa pun boleh masuk, cumanya sudah tentu perwakilan sahaja.

    Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga bekas Menteri Pertahanan berkata, yang dibuang (dipecat) tidak rugi kerana parti telahpun menetapkan hukuman.

    ‘’(Parti) tidak memerlukan khidmat kami lagi. Yang rugi ialah UMNO yang terkesan daripada pelawaan sinikal sedemikian,’’ katanya.

  • ‘’`Ppakat Pertahan’ Kelantan teruskan legasi Tok Guru’’ – Tuan Sabariah

    ‘’`Ppakat Pertahan’ Kelantan teruskan legasi Tok Guru’’ – Tuan Sabariah

    KERAJAAN Negeri Kelantan  yang dibina oleh kepimpinan ulama diketuai Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat patut dipertahankan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Isteri Allahyarham Puan Sri Tuan Sabariah Tuan Ishak berkata, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1990, Pas bersama Angkatan Perpaduan Ummah mentadbir Kelantan dan Allahyarham dilantik sebagai Menteri Besar.

    “Sumbangan Allahyarham Tuan Guru dalam perjuangan tanpa penat lelah bagi menegakkan agama Islam dalam kehidupan rakyat dan pentadbiran negara,” katanya kepada Harakah Daily.

    Hari ini bekas Mursyidul Am PAS itu menerima darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena hari keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Penerima darjah tersebut didahului Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Johari Abdul.

    Tuan Sabariah juga berkata, Pas Kelantan turut melancarkan tema ‘Ppakat Pertahan’ sebagai usaha untuk mempertahankan legasi kepimpinan ulama lebih 30 tahun lalu.

    “Nasihat saya ‘Ppakat Pertahan’ kerajaan Pas di Kelantan kerana ia adalah legasi Tuan Guru yang mesti dipertahankan dan perjuangan Pas kekal dengan Islam insya-Allah,” katanya.

    Menurut beliau,  pengiktirafan darjah kebesaran tersebut dianggap sebagai penghargaan kepada pemimpin Pas yang tidak pernah lelah berjuang memartabatkan Islam dan Melayu.

    “Anugerah ini merupakan pengiktirafan kepada Pas dan perjuangannya. Saya doakan Pas terus menjadi pilihan terbaik rakyat. Ia adalah harapan dan doa Tuan Guru sepanjang hayatnya,” katanya. 

  • ‘’Nak perbetulkan sejarah…yang hangpa report polis pasai apa’’ – Sanusi

    ‘’Nak perbetulkan sejarah…yang hangpa report polis pasai apa’’ – Sanusi

    KENYATAAN  Pulau Pinang adalah milik Kedah bukanlah mempertikaikan kedaulatan sebuah negeri dan bukan juga sentimen politik, tetapi membetulkan sejarah yang telah dijulingkan.

    Menteri Besar Kedah, Datuk  Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, beliau bercakap mengenai kepentingan negeri Kedah dan bukan kepentingan peribadi dirinya apabila memperkatakan mengenai perkara itu.

    “Ada banyak negara di dunia ini kalau kita bercakap tentang sejarah, dia adalah sebuah negara lain, dari sudut sejarahnya. Ada sejarah yang dilupakan, tetapi ada juga sejarah yang dijulingkan. Sejarah yang dijulingkan ini adalah untuk meraih kepentingan pihak-pihak tertentu yang menulis sejarah itu, dipesongkan fakta-faktanya supaya pada masa depan dan pada masa itu faedah boleh dekat diri dia.

    “Yang menulis sejarah Tanah Melayu ini Inggeris, British untuk kepentingan British. Tapi akhirnya bila anak Melayu anak-anak Malaysia ini mula belajar, mengkaji, membaca, menggali bahan-bahan, kita dapati British banyak menipu, British banyak berbohong,” katanya lapor Harakah Daily.

    Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) ketika berucap pada Himpunan PN BEST Peringkat Pulau Pinang dań  Pelancaran Jentera PN  di Kubang Semang, di Permatang Pauh malam kelmarin.

    Tegasnya,  semasa Britisih sedang menjajah negara ini tiada sesiapa berani mempertikaikan British mengaut begitu banyak hasil mahsul bumi Tanah Melayu ini dibawa balik untuk kepentingan mereka.

    “Tak ada siapa cakap pada masa itu, pasal takut. British ada kuasa, dia boleh buat macam-macam. Tapi setelah kita merdeka, kita belajar, hantar anak-anak kita jadi pandai, kita telah menerima dan mengakui.

    “Bahawa sewaktu British memerintah negara ini, sekian banyak bijih timah dikaut daripada Negeri Perak, dibawa ke England, betul ke tidak? Pada masa British memerintah, ada siapa berani bercakap? Tak ada. Dia pulas Raja-raja Melayu di Perjanjian Pangkor 1824, Sultan Abdullah pada masa itu minta campur tangan British masuk kerana perebutan dengan Long Jaafar, kawasan bijih timah, last sekali British masuk campur di Negeri Perak.

    “Itu bermulanya era pemerintahan British di Perak Tanah Melayu, pasal berebut bijih timah. Pada masa itu tak ada siapa kata apa, pasal depa takut dekat British. Pasal tiap-tiap orang yang terlibat dalam sejarah, ada kepentingan diri,” ujarnya.

    Tegas beliau lagi, sebagai individu yang diberi amanah ke atas negeri, beliau mesti melurus dan membetulkan sejarah telah dijulingkan itu berdasarkan dokumen, rujukan dan fail-fail yang dibuka semula.

    “Apakah salah benda-benda yang benar diungkap kembali untuk memperbetulkan sejarah? Salah ke tak salah? Yang hangpa pi report polis itu pasal apa? Hal ini hal akademik, hal berkaitan dengan dokumen-dokumen yang  boleh menjadi sandaran-sandaran,” tegasnya.

  • 16,863 jemaah haji Malaysia kini berada di Mekah, Madinah

    16,863 jemaah haji Malaysia kini berada di Mekah, Madinah

    SERAMAI 16, 863 jemaah haji Malaysia sudah berada di Mekah dan Madinah.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, daripada jumlah itu seramai  11,294  berada di Makkah, manakala 5,569 berada di Madinah.

    Katanya,  kesemua 12 hotel di Mekah yang diperuntukkan untuk jemaah haji muassasah juga menerima jemaah dan beroperasi dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan.

    Beliau berkata,  penerbangan yang membawa jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci juga melepasi peringkat separuh jumlah penerbangan apabila semua 50 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah selesai.

    “Penerbangan terakhir iaitu KT57 telah tiba di Madinah pada awal pagi 4 Jun. Bagi penerbangan ‘feeder’ dari tujuh stesen berlepas selain KLIA, tiga stesen iaitu Alor Setar, Kota Bharu dan Kuala Terengganu telah lengkap penerbangannya,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan operasi haji di Hotel Abraj Al Janadriyah, lapor wartawan SINAR HARIAN di Mekah.

    Syed Saleh seterusnya menasihatkan jemaah haji supaya menjaga kesihatan masing-masing kerana cuaca panas sudah meningkat julat suhunya.

    Katanya, jika dibandingkan julat suhu dua minggu lalu ialah 38 darjah Celsius hingga 41 darjah Celsius kini  meningkat kepada 42 darjah Celsius hingga 46 darjah Celsius dan dijangka bertambah pada hari Wukuf.

    “Kita faham ada jemaah yang giat melakukan ibadah dengan berulang-alik ke Masjidilharam, pada masa sama mereka perlu peka dengan suhu ini dan jangan terdedah kepada cuaca panas secara langsung.

    “Jemaah perlu dapatkan rehat secukupnya, jaga permakanan kerana ada 23 hari lagi sebelum hari Wukuf, jemaah perlu jaga kesihatan, makan dengan teratur untuk menghadapi aktiviti Masyair yang mencabar,” katanya.

    Syed Saleh berkata, dalam suasana kehadiran jemaah haji dari negara lain yang makin bertambah, jemaah haji Malaysia dinasihatkan untuk sentiasa memakai pelitup muka bagi mengelakkan jangkitan penyakit.

    Jemaah haji juga katanya perlu mendapatkan rawatan awal jika mengalami sebarang penyakit dan tidak perlu risau untuk ke klinik kerana semua jemaah akan dipastikan dapat mengerjakan haji.

    Mengulas mengenai jumlah pesakit di hospital, sejumlah 31 pesakit sedang dirawat di Pusat Rawatan TH dan lima pesakit di Hospital Arab Saudi.

    Kesemua pesakit itu sedang menerima rawatan jangkitan paru-paru, sakit kulit, sakit otot dan sendi serta kesemuanya dalam keadaan stabil.

    Pada tahun ini 31,600 jemaah haji akan menunaikan Rukun Islam kelima itu dengan penerbangan terakhir berlepas pada 21 Jun ini.

  • ‘’Anugerah amat bermakna untuk keluarga’’ – Nik Omar

    ‘’Anugerah amat bermakna untuk keluarga’’ – Nik Omar

    KELUARGA Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap penganugerahan yang membawa kepada gelaran ‘Tan Sri’ buat bekas mursyidul am PAS itu adalah satu penghormatan besar.

    Anaknya, Nik Omar Nik Aziz, walaupun anugerah itu diberikan ketika ayahandanya telah tiada namun ia amat bermakna, terutama bondanya, Tuan Sabariah Tuan Ishak.

    “Alhamdulillah, walaupun ayahanda tiada bersama, penghargaan itu dirasai bonda. Ia juga menunjukkan jasa ayahanda Tok Guru sentiasa dihargai, junjung kasih Tuanku,” katanya kepada FMT.

    Allahyarham Nik Abdul Aziz yang juga bekas Mursyidul Am Pas dań bekas Pengerusi DAP, Lim Kit Siang adalah antara 839 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini.

    Nik Aziz dan Kit Siang dianugerahkan Panglima Setia Mahkota (PSM), anugerah persekutuan kedua tertinggi yang membawa gelaran “Tan Sri”. Mereka adalah antara 26 individu yang menerima anugerah itu tahun ini.

    Nik Aziz, yang meninggal dunia pada 2015, turut berkhidmat sebagai Menteri Besar Kelantan dari 1990 hingga 2013.

    Turut dianugerahkan PSM, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul, dan dua bekas Menteri Persekutuan, Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Anifah Aman.

    Wan Junaidi, dari Sarawak, ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), manakala Anifah merupakan Menteri Luar dari 2009 hingga 2018. Anifah, dari Sabah, kini merupakan Senator di Dewan Negara.

  • Suami isteri ditahan bersama 7kg heroin,3kg ganja 

    Suami isteri ditahan bersama 7kg heroin,3kg ganja 

    SEPASANG suami isteri dipercayai pengedar dadah antara tiga individu ditahan bersama lebih 7 kilogram (kg) heroin dan lebih 3kg ganja dalam dua serbuan berasingan di daerah Manjung dan Kampar, semalam.

    Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata suami isteri berusia 28 dan 29 tahun itu ditahan pada 12.05 tengah malam di sebuah rumah di Sitiawan, Manjung.

    Beliau berkata hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis merampas dadah dipercayai heroin seberat 7.04kg dan ganja dianggar seberat 3.05kg bernilai RM64,570.

    “Polis turut merampas peralatan yang disyaki digunakan untuk membungkus dadah selain menyita sebuah kenderaan, tujuh rantai, enam cincin, empat anting-anting serta satu subang hidung yang kesemuanya dianggar berjumlah RM72,332,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BERNAMA.

    Menurut Mohd Yusri kedua-duanya yang negatif terhadap dadah dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Mohd Yusri berkata siasatan mendapati pasangan suami isteri itu mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun ini manakala dadah dirampas yang dipercayai untuk pasaran negeri ini dianggarkan boleh digunakan seramai 15,600 penagih dadah.

    Sementara itu, beliau berkata dalam serbuan di Kampar, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 36 tahun di sebuah rumah di Desa Lawan Kuda, kira-kira 12.30 tengah malam.

    “Hasil pemeriksaan polis merampas dadah dipercayai serbuk ekstasi sebanyak 2.7kg, kafein (1.67 kg), Methampetamine (22 gram), heroin (21 gram), pil erimin 5 (5 gram) serta pil ekstasi (6 gram) dengan nilai keseluruhan dadah dirampas berjumlah RM38,792,” katanya.

    Menurut Mohd Yusri polis turut merampas peralatan yang disyaki digunakan untuk membungkus dan menghisap dadah manakala lelaki itu didapati positif terhadap dadah jenis Methamphetamine serta memiliki 18 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

    Katanya dadah dirampas dianggarkan boleh digunakan 6,700 penagih dan lelaki yang aktif semula dalam aktiviti pengedaran dadah sejak sebulan lepas itu kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

  • Kalimah Allah: Agong zahir kegusaran, titah kerajaan harmonikan keadaan

    Kalimah Allah: Agong zahir kegusaran, titah kerajaan harmonikan keadaan

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kegusaran berhubung isu penggunaan kalimah “Allah” yang dikhuatiri menjadi polemik berlarutan dan boleh menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara jika tidak diselesaikan segera.

    Al-Sultan Abdullah bertitah ini memandangkan polemik penggunaan kalimah Allah, bukan merupakan perdebatan berhubung terminologi dan linguistik, sebaliknya berkait isu akidah umat Islam dengan sebarang kekeliruan akan hanya mengundang musibah.

    “Kerajaan Beta hendaklah mengharmonikan situasi semasa dan pada masa yang sama meletakkan penggunaan kalimah Allah pada konteks yang betul dengan mengambil kira keselamatan negara kemaslahatan ummah dan kedudukan Beta serta Raja-Raja Melayu yang lain sebagai ketua agama Islam,” titah Seri Paduka.

    Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 di Istana Negara sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

    Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Seri Paduka bertitah sebarang polemik yang berhubung kait dengan agama jika gagal ditangani dengan segera, adalah umpama sumbu yang akhirnya bakal menyalakan api permusuhan antara kaum.

    Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah dalam berhadapan dengan isu sensitif sedemikian, semua pihak sewajarnya mengambil pendekatan yang bijak, tertib dan disulami dengan semangat toleransi yang tinggi.

    Titah Seri Paduka ini selaras dengan prinsip pertama rukun negara iaitu  ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’, yang antara lain menekankan bahawa konsep beragama adalah amat penting dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan ia tidak sewajarnya dijadikan asas kepada pertikaian dan perbalahan.

    Al-Sultan Abdullah bertitah ketinggian dan kesucian agama Islam telah sekian lama terpelihara dalam pembentukan negara Malaysia yang merdeka sehingga agama Islam akhirnya didaulatkan sebagai agama Persekutuan di bawah Fasal 1 Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

    “Kedudukan agama Islam yang ditempatkan pada darjat yang amat tinggi di dalam Perlembagaan Persekutuan, dicapai menerusi persefahaman dan persetujuan oleh semua pihak ketika negara memperoleh kemerdekaan,” titah Seri Paduka, lapor BERNAMA.

    Yang di-Pertuan Agong bertitah perpaduan memerlukan resipi yang efektif dengan hati yang terbuka jiwa yang luhur dan semangat kesetiaan kepada raja serta negara selain, tidak mempersoal dan mencampuri serta memandang rendah urusan dan kepercayaan agama yang diamalkan bangsa lain.

    “Demi perpaduan dan masa hadapan negara, sebarang polemik agama hendaklah diselesaikan segera. Semangat perpaduan perlu disemai serta dibentuk di rumah, dibaja, disiram dengan pendidikan serta nilai-nilai murni hidup bermasyarakat di bangku sekolah dan seterusnya diperkasa di institusi-institusi pengajian tinggi.

    Pada 17 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan memaklumkan Jemaah Menteri telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja. 

    Bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi, seramai 839 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023.