Author: Wartawan WartaRakyat

  • Jika tunggang agama, mengapa ramai sertai Pas, kata Idris Ahmad

    Jika tunggang agama, mengapa ramai sertai Pas, kata Idris Ahmad

    NAIB Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad tampil mengemukakan beberapa hujah menangkis tohmahan dan dakwaan bahawa parti tersebut menunggang agama.

    Menerusi perkongsian dalam Facebook miliknya, Ahli Parlimen Bagan Serai itu memberikan contoh pihak atau individu yang memperalatkan agama ialah mereka yang meletakkan sesuatu perkara halal sebagai haram dan begitu juga sebaliknya.

    “Kedua, tunggang agama ini ialah dalam satu masa kamu boleh bercakap tentang Islam dan dalam masa yang lain pula berfoya-foya, bersalam dan menari dengan wanita. Itu dikatakan peralatkan agama.

    “Atau kamu bersama ulama dan masa lain tidak di mana menyokong perjuangan lain, maka itu dikatakan peralatkan agama atau tunggang agama,” katanya.

    Katanya, dasar Pas sejak 1951 ialah berasaskan Islam dan ia jelas tertera dalam Perlembagaan parti.

    “Itu dasar yang ada kepada kita walaupun kepimpinan bertukar, ada yang cabut lari dan sebagainya, dasar tidak pernah berubah.

    “Soal pendekatan politik ini ialah strategi dan boleh berubah tetapi prinsip tidak pernah berubah. Jika strategi bertengangan dengan agama, maka kita perlu korbankannya tetapi tetap berpegang kepada prinsip agama,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sementara itu, Idris menyatakan bahawa sebarang dasar dalam parti dikawal oleh Majlis Syura Ulama Pas dan ia tidak boleh dilaksanakan secara semberono.

    “Walaupun Ahli Majlis Syura bukan dalam kalangan mujtahid mutlak tetapi melalui kaedah kolektif bagi satu keputusan sama ada boleh atau tidak.

    “Jika perkara itu dilihat untung daripada politik tetapi tidak daripada sudut agama, kita tinggalkan.

    “Maka, sebab itulah kalau ada yang kata Pas tunggang agama alhamdulillah, majoriti orang yang ada latar belakang agama walaupun bukan berpendidikan agama tetapi faham, mereka akan sokong perjuangan kita,” ujarnya.

    Menurutnya lagi, agak mustahil sekiranya Pas menunggang agama tetapi menerima penyertaan hampir 3,000 orang setiap bulan.

    Beliau turut memaklumkan akan memberikan ulasan berkenaan kenyataan Pas dahulu boleh bersama DAP tetapi kini pada video akan datang.

  • Mereka lebih berminat jatuhkan Sanusi

    Mereka lebih berminat jatuhkan Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    PESURUHJAYA Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya menyifatkan pihak tertentu lebih berminat untuk menjatuhkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berbanding berbahas isu sejarah yang dipertahankannya.

    Pada masa sama, Ahmad mengakui memang terdapat usaha untuk membunuh karakter Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Malah, kecaman dan tekanan yang dihamburkan terhadap Kedah bertitik tolak daripada dendam kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.

    “Kerajaan negeri Kedah telah berulang kali menuntut hak pajakan Pulau Pinang, penyelesaian isu caj air mentah serta kelulusan projek Kedah Aerotropolis.

    “Malangnya kesemua ini sengaja didiamkan serta dilengahkan tidak sebagaimana pantasnya Perdana Menteri tersinggung dengan isu pemilikan Pulau Pinang pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada 29 Mei lalu, Muhammad Sanusi mendakwa Pulau Pinang adalah milik Kedah selain kedua-dua negeri itu tidak mempunyai sempadan.

    Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat berkata, polis sudah memulakan siasatan mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan terhadap kenyataan dibuat Muhammad Sanusi serta sebahagian laporan sudah dikemukakan kepada Peguam Negara.

    Tidak lama kemudian, Muhammad Sanusi mengakui pihak berkuasa sudah menghubungi beliau dan bersedia memberi kerjasama 1,000 peratus terhadap siasatan dijalankan itu.

    Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ketua Dewan Ulama Pas berkata, pihaknya menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan Muhammad Sanusi itu dan pemilikan Pulau Pinang adalah fakta sejarah yang tidak boleh diputar belit selain mempunyai sokongan kajian yang kukuh.

    Tambahnya, langkah mempertahan naratif sejarah berkaitan perkara itu bukan suatu perlakuan jenayah, bahkan tidak ada merit untuk mengklasifikannya sebagai hasutan yang termaktub di bawah Akta Hasutan.

    “Perdana Menteri tidak harus secara berterusan mempolitikkan isu ini,” katanya.

    Kata Ahmad, Pas Kedah turut berpegang kepada pendirian bahawa isu itu tidak harus disamakan dengan isu tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah mahupun hubungan Siam dengan Kedah.

    “Isu Pulau Pinang milik Kedah yang dibangkitkan pada hari ini tidak melibatkan kedaulatan sempadan negara,” katanya.

  • Mahkamah Rayuan Paris berpihak kepada Malaysia, ketepikan anugerah waris Sulu

    Mahkamah Rayuan Paris berpihak kepada Malaysia, ketepikan anugerah waris Sulu

    MALAYSIA memperoleh kemenangan sekali gus mengetepikan penganugerahan timbang tara (purported arbitral awards) sebanyak AS$14.94bil (RM68.83 bilion) yang perlu dibayar kepada pewaris Kesultanan Sulu.

    Mahkamah Rayuan Paris memaklumkan kemenangan berpihak kepada Malaysia semasa prosiding di Paris pada Selasa.

    Peguam Tengku Datuk Fuad Ahmad berkata, pengetepian anugerah itu akan menjadikan penganugerahan timbang tara Sepanyol yang kontroversi atas pelantikan Dr. Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara dalam pertikaian Sulu pada 2021 yang berpihak kepada waris Sulu tidak boleh dikuat kuasa.

    “Harta Malaysia adalah selamat, mereka tidak dapat menguatkuasa anugerah yang telah terbatal,” kata Fuad, yang merupakan peguam bagi kerajaan negeri.

    Berdasarkan terjemahan awal keputusan undang-undang mahkamah Perancis, Mahkamah Rayuan Paris mengizinkan permohonan Malaysia berdasarkan Artikel 1520,1 prosedur sivil Perancis yang menyatakan bahawa pelantikan Stampa sebagai hakim adalah tidak kompeten.

    Dalam pada itu, keputusan ini sekali gus membatalkan perintah Presiden Mahkamah Paris pada 29 September 2021 yang memberikan pelaksanaan anugerah arbitraj yang diberikan di Madrid pada 25 Mei 2020 oleh Stampa.

    Stampa, yang mengabaikan keputusan mahkamah di Sepanyol untuk menghentikan kes arbitraj Sulu di Madrid pada tahun 2020, telah memindahkan arbitrasinya ke Paris di mana beliau memberikan US$14.94 (RM68.83 bilion) kepada pihak yang mengemukakan tuntutan Sulu, menurut Astro Awani yang memetik laporan Agensi.

    Terdahulu, Mahkamah Rayuan Hague mendengar permohonan pihak yang didakwa waris Sulu bagi mengiktiraf dan melaksanakan pembayaran pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Kerajaan Malaysia.

    Menerusi prosiding itu, Malaysia mengemukakan pembelaannya bahawa keputusan akhir Mahkamah Arbitrasi Paris, Perancis, untuk Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) adalah terbatal dan tidak sah, manakala permohonan penuntut tidak boleh diterima dan perlu dinafikan dalam apa juga keadaan.

  • Parti Proklamasi Melayu sokong PN pada PRN

    Parti Proklamasi Melayu sokong PN pada PRN

    PARTI politik yang menandatangani Proklamasi Melayu semuanya bersetuju untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) dalam enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Demikian menurut Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris yang mewakili parti itu pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur awal hari ini.

    Bercakap kepada Malaysiakini, Razali berkata, parti-parti bukan komponen Perikatan Nasional (PN) telah bersetuju untuk tidak menyertai PRN bagi memastikan akan berlaku saingan antara PN dan Pakatan Harapan (PH) atau sekutunya.

    “Kita ada dua matlamat, yang pertamanya pelan jangka pendek dan pelan jangka panjang.

    “Pelan jangka panjangnya adalah kita sememangnya bersatu tenaga bagi mengumpulkan kekuatan untuk menjatuhkan kerajaan PH dan BN (Barisan Nasional) sekarang.

    “Dan pelan jangka pendek adalah PRN enam negeri yang mana kita bersetuju bahawa PN adalah satu vehicle (platform) orang Melayu yang telah terbukti mempunyai 74 kerusi semua Melayu dan bumiputera.

    “Jadi kita bersatu hati menyokong vehicle ini supaya keenam-enam negeri ini dapat ditawan oleh PN,” katanya.

    Razali berkata, semua parti lain telah bersetuju untuk tidak bertanding PRN dan sebaliknya memberikan sokongan kepada PN, termasuk berkempen untuk calon gabungan itu.

    Awal hari ini, Mahathir, yang mengasaskan Proklamasi Melayu – gerakan yang dikatakan bertujuan menyatukan semua orang Melayu untuk menjaga kepentingan mereka di negara ini mengumumkan bahawa semua pihak yang menandatangani proklamasi itu bersetuju untuk bekerjasama termasuk semasa PRN.

    Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat itu, bekas Perdana Menteri itu berkata, mereka tidak akan bertembung sesama sendiri dalam PRN.

    Antara yang turut serta dalam mesyuarat itu ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, bekas ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar dan bekas ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin.

  • Annuar Musa sedia tanding PRN

    Annuar Musa sedia tanding PRN

    PRESIDEN Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa sedia bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekiranya mendapat tawaran.

    Pada masa ini, beliau masih belum mempunyai parti namun mengakui sudah menghantar borang keahlian kepada Pas.

    “Macam mana saya nak bertanding kalau saya tak ada parti lagi. Saya sudah hantar borang kepada Pas tetapi belum diluluskan.

    “Tapi jika saya diterima (masuk Pas), saya sanggup jadi calon. Sehingga saat ini, saya tak boleh terima perjuangan DAP dan Lim Kit Siang serta konsep Malaysian Malaysia yang dibawa,” katanya.

    Bekas Ahli Parlimen Kerten itu berkata demikian dalam Wacana Sinar Siri 400 yang bertajuk PRN: Siapa Patut Rakyat Pilih yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di Shah Alam, hari ini.

    Program itu menampilkan tiga panelis lain iaitu Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pusat, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nor Azrina Surip.

  • Tsunami Melayu pada PRU15 berlaku lagi pada PRN-Rahim Thamby Chik

    Tsunami Melayu pada PRU15 berlaku lagi pada PRN-Rahim Thamby Chik

    AHLI Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pusat, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) umpama tsunami yang bergerak ke arah perpaduan menyokong Melayu.

    “Kerjasama antara Bersatu dengan Pas telah mengukuhkan lagi hala tuju perjuangan,” ujar bekas Ketua Menteri Melaka itu.

    Katanya lagi, apabila Bersatu bersama dengan parti Pas, ciri-ciri kesamaan perjuangan dapat menjadikan ia sebagai satu landasan perjuangan yang kukuh.

    “Saya yakin gelombang ini akan kekal hingga Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana kita seolah-olah sudah menjadi seperti politik Amerika Syarikat kerana mempunyai dua gagasan itu Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Siri 400 yang bertajuk PRN: Siapa Patut Rakyat Pilih yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di Shah Alam, hari ini.

    Program itu menampilkan tiga panelis lain iaitu Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nor Azrina Surip.

    Pada masa sama, Abdul Rahim turut memaklumkan setiap parti politik perlu mempunyai ideologi dan hala tuju perjuangan.

    Jelas beliau, pada masa kini rakyat yang mengundi akan melihat kepada ideologi terlebih dahulu.

    “Apa yang boleh saya katakan ideologi yang ditampilkan oleh PN adalah lebih jelas kerana kita mahu ‘PN Best’ iaitu prihatin, stabil dan bersih.

    “Namun ideologi sebelah sana (kerajaan) kita tidak nampak lagi termasuk UMNO, mungkin ia mahu selamat dan begitu juga dengan Parti Amanah Negara (Amanah),” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Dakwaan Pulau Pinang milik Kedah, Bukit Aman rakam keterangan Sanusi esok

    Dakwaan Pulau Pinang milik Kedah, Bukit Aman rakam keterangan Sanusi esok

    SETIAUSAHA Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, polis akan merakam percakapan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor esok susulan kenyataan Menteri Besar Kedah itu bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

    Noorsiah berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kenyataan Sanusi itu dan susulan tersebut satu kertas siasatan dibuka.

    “Rakaman percakapan menteri besar Kedah di bawah seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah akan dirakam pada esok.

    “Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Kes masih di peringkat siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor FMT.

    Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan adalah berkaitan menyebarkan berita yang mampu menimbulkan ketakutan atau kegentaran kepada awam manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkait penyebaran kandungan dalam talian yang bersifat lucah, palsu ataupun mengancam individu lain.

    Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan polis sudah membuka kertas siasatan berkait dakwaan Sanusi dan kini sedang menunggu tindakan susulan oleh peguam negara.

    Pada 29 Mei lepas, Sanusi dilaporkan berkata, Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah dan beliau mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

    “Kenyataan menteri besar Kedah tidak bertanggungjawab dan pihak polis telah mulakan siasatan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada dan mengambil tindakan sesuai agar menghindari kenyataan berterusan yang melanggar prinsip perlembagaan dan undang-undang.

    “Sebahagian laporan telah dikemukakan kepada peguam negara dan sedang menunggu untuk diambil tindakan sesuai,” katanya di Dewan Rakyat.

  • Tun M akui pernah pujuk Guan Eng bayar lebih kepada Kedah

    Tun M akui pernah pujuk Guan Eng bayar lebih kepada Kedah

    TUN Dr. Mahathir Mohamad mengakui pernah memujuk bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk membayar pajakan Pulau Pinang kepada Kedah dengan kadar lebih daripada RM10,000 pada setiap tahun semasa menjawat jawatan tersebut.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian selepas isu kontroversi kedua-dua negeri terbabit ditimbulkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

    “Saya tidak ingin mahu terlibat dengan kontroversi ini. Tetapi saya berpendapat dakwaan Muhammad Sanusi adalah tidak tepat kerana memberi pandangan berdasarkan sejarah yang lampau.

    “Dari segi sejarah, Sultan Kedah ketika itu bersetuju untuk menyerahkan Pulau Pinang dengan pembayaran 6,000 dollar Sepanyol setahun. Kemudian ditambah dengan jalur tanah besar bertentangan (Seberang Perai) yang bernilai pajak 4,000 dolar Sepanyol setahun.

    “Saya tidak akan berkata apa-apa tentang apa yang terjadi kepada dua negeri ini kecuali mengakui bahawa saya telah memujuk Guan Eng

    semasa beliau menjawat Menteri Kewangan untuk memberi lebih RM10,000 kepada Kedah setiap tahun,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Negarawan tersebut yang juga berasal dari Kedah berkata demikian menerusi satu hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini.
    Katanya, penyerahan kepada British itu diikat dengan perjanjian mempertahankan Kedah daripada ancaman luar, bagaimanapun umum mengetahui British memungkiri perjanjian itu.

    Muhammad Sanusi mendakwa Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah.

    Beliau berkata Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

  • SPRM tahan ejen hartanah sambilan minta, terima rasuah

    SPRM tahan ejen hartanah sambilan minta, terima rasuah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang ejen hartanah sambilan bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM20,000 sepanjang dua tahun lalu.

    Menurut sumber, suspek wanita yang berusia 40 itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru pada pukul 5.30 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, pada 2021 hingga 2022, suspek yang juga bertugas sebagai pegawai penguat kuasa sebuah jabatan telah meminta dan menerima wang rasuah itu daripada dua individu berlainan sebagai balasan mendapatkan tanah lot bukan bumiputera bagi sebuah projek perumahan di Johor.

    Suspek juga telah meyakinkan kedua-dua individu terbabit bahawa dirinya boleh mendapatkan lot tersebut dengan menggunakan jawatannya sebagai pegawai penguat kuasa sebuah jabatan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

    Sementara itu, SPRM Cawangan Segamat menahan seorang pembantu tadbir kewangan, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga bagi membantu siasatan kerana disyaki menggunakan kedudukan dan jawatannya untuk memasukkan tunggakkan gaji dan elaun ke akaun gajinya sendiri, tahun lalu.

    Suspek wanita yang berusia 32 itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Segamat pada pukul 2 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, dia yang sepatutnya tidak layak menerima tunggakan gaji dan elaun tersebut telah memasukkan wang berkenaan ke akaun gajinya kira-kira lebih RM1,000 untuk tempoh dua bulan iaitu pada Februari dan April.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua penahanan terbabit.

    Kedua-dua suspek kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM.

  • ‘Proklamasi bukan menolak hak orang bukan Melayu’, kata Mahathir

    ‘Proklamasi bukan menolak hak orang bukan Melayu’, kata Mahathir

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa Proklamasi Orang Melayu bukanlah untuk menolak hak kaum lain, sebaliknya untuk membantu masalah yang dihadapi oleh bangsa itu.

    “Orang Melayu pada masa kini berhadapan dengan banyak masalah terutama kemiskinan.

    “Rata-rata mereka (orang Melayu) miskin dan kerana kemiskinan golongan berkenaan berhadapan dengan banyak masalah.

    “Jadi usaha pertama yang kita lakukan adalah untuk mengeluarkan satu proklamasi yang menyenaraikan 12 daripada masalah yang dihadapi oleh orang Melayu,” katanya pada sidang media Mesyuarat Tertutup Rundingan Meja Bulat Proklamasi Orang Melayu di Kuala Lumpur hari ini.

    Dr. Mahathir berkata, selama lebih 60 tahun kerajaan Malaysia didominasi oleh orang Melayu dan ketika zaman orang Melayu menguasai politik Malaysia, bangsa lain menunjukkan perubahan ke arah kejayaan.

    Katanya, pada ketika itu dapat dilihat bahawa ramai orang Cina berjaya sehingga menjadi pengusaha dunia dalam masa pemerintahan oleh kerajaan yang didominasi oleh orang Melayu.

    Pada masa sama, Dr. Mahathir memaklumkan proklamasi dibuat adalah untuk menyedarkan orang Melayu bahawa kedudukan mereka tidak begitu kuat, lemah dan kini menjadi semakin goyah.

    Jelasnya, satu gerakan mesti dilakukan untuk mengatasi masalah orang Melayu.

    “Satu gerakan mesti diadakan untuk mencantum semua orang, parti, individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang khuatir berkenaan masa depan bangsa (Melayu) ini.

    “Sebab itu kita perlu ada pengaruh dalam kerajaan yang mampu menangani masalah orang Melayu,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau memaklumkan pihaknya sedia bekerjasama bukan sahaja dalam pilihan raya tetapi juga di lain waktu bagi memastikan usaha proklamasi tidak menemui kegagalan.