Author: Wartawan WartaRakyat

  • Masa depan KJ lebih cerah bersama PN, kata penganalisis veteran

    Masa depan KJ lebih cerah bersama PN, kata penganalisis veteran

    MASA depan politik Khairy Jamaluddin pada masa akan datang dilihat lebih cerah jika bekas ahli UMNO itu menyertai Perikatan Nasional (PN) berbanding Pakatan Harapan (PH), kata penganalisis politik veteran, Ahmad Atory Hussain.

    Bercakap dengan MalaysiaNow, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, peluang Khairy yang mesra dengan panggilan KJ dijangka lebih meyakinkan bersama PN memandangkan gabungan itu mempunyai sokongan Melayu yang lebih kukuh.

    Katanya, sokongan Melayu yang merupakan kaum majoriti di negara ini penting untuk membolehkan mana-mana ahli politik memegang jawatan perdana menteri.

    Justeru, Atory berpandangan, Khairy dapat mengukuhkan lagi portfolio karier politiknya sekiranya bekas ahli Parlimen Rembau itu bersetuju menyertai PN dan menjadi calon menteri besar di Negeri Sembilan.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Khairy yang dihantar untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh mendedahkan hasratnya untuk menjadi perdana menteri selain menyasarkan untuk ‘membersihkan’ UMNO.

    Bagaimanapun, Khairy pada Januari lalu dipecat bersama beberapa pemimpin UMNO lain dan sehingga kini bekas ketua Pemuda UMNO itu belum menyertai mana-mana parti politik.

    Baru-baru ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan Khairy ditawarkan jawatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

    Walaupun Khairy tidak memberikan lagi jawapan mengenai pelawaan itu, beliau mengatakan segala kritikan oleh penyokong UMNO dan PH yang dilontarkan akan mempengaruhi keputusan beliau terhadap masa depan karier politiknya.

    “BN kini sudah tewas dan dia (Khairy) dipecat.

    “Tidak mungkin dia akan sertai UMNO semula,” kata Atory.

    “Kini arena politik negara menyaksikan PN lawan PH yang turut dianggotai BN. Saya tidak rasa BN boleh menang sebagai pemerintah.”

    Menurut Atory, segala laungan oleh ahli UMNO bahawa parti itu masih mempunyai kestabilan dan sokongan rakyat hanyalah sekadar propaganda.

    Mengulas mengenai hasrat Khairy menjadi perdana menteri, Atory berkata, peluang itu dilihat lebih tinggi sekiranya beliau memegang jawatan menteri besar disokong dengan pengalamannya sebelum ini sebagai menteri Kabinet yang disandang sebanyak tiga kali.

    Khairy sebelum ini pernah menjadi menteri belia dan sukan sebelum dilantik sebagai menteri sains, teknologi dan inovasi dan menteri kesihatan.

    “Dulu banyak negeri dianggap sebagai kubu UMNO termasuk Negeri Sembilan.

    “Tetapi satu per satu tumbang apabila sokongan Melayu sudah beralih sekali gus mencerminkan prestasi UMNO yang semakin merosot.

    “Kini sokongan melayu beralih kepada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Oleh itu, Khairy boleh raih sokongan Melayu jika menyertai PN,” tambah beliau.

    PRU15 yang berlangsung pada November tahun lalu menyaksikan Pas meraih kerusi Parlimen tertinggi apabila memperoleh 43 kerusi diikuti DAP (40), PKR (31), UMNO (26), manakala Bersatu (31).

    Malah, PRU15 turut menyaksikan kejutan apabila PN menyapu bersih semua kerusi Parlimen di Terengganu, Kelantan dan Perlis serta berjaya merampas beberapa kerusi dianggap sebagai kubu kuat PH termasuk Permatang Pauh yang menjadi kerusi legasi keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Ramai menjangkakan gelombang PN akan berterusan pada pilihan raya negeri yang akan berlangsung dalam masa terdekat di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

  • Jenaka hina Malaysia: Jangan lagi bertolak ansur, gesa Wan Ahmad Fayhsal

    Jenaka hina Malaysia: Jangan lagi bertolak ansur, gesa Wan Ahmad Fayhsal

    TINDAKAN pelawak Singapura, Jocelyn Chia menghina Malaysia dan menjadikan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines, MH370 sebagai bahan jenaka tidak boleh diterima.

    Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam satu kenyataan dal hantaran menerusi Facebook miliknya berkata, perbuatan tersebut tidak boleh dibiarkan dan wajar diprotes seluruh rakyat negara ini.

    “Ini bukan lawak, tapi satu penghinaan. Sebagai rakyat Malaysia, kita wajib protes dan mengecam tindakan jijik pelawak dari Singapura yang secara terang-terangan menghina Malaysia.

    “Sebagai seorang ahli Parlimen Perikatan Nasional yang menjaga hal ehwal portfolio Kementerian Luar Negeri, saya akan segera menghantar notis kecaman dan bantahan terhadap Kedutaan Besar Singapura di Kuala Lumpur,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Jelasnya, tindakan Jocelyn bukan sahaja boleh mencemarkan hubungan antara dua hala malah dapat mewujudkan permusuhan dalam kalangan masyarakat di kedua-dua buah negara.

    “Kita harus memastikan individu seperti Jocelyn ini bertanggungjawab atas perkataannya,” katanya.

    Malaysia tegasnya, tidak boleh lagi bertolak ansur dalam perkara yang membabitkan maruah negara.

    Sementara waris mangsa MH370, Intan Maizura Othaman menyatakan individu yang mempersenda misteri kehilangan pesawat berkenaan sebagai tidak berhati perut.

    Dia berharap Jocelyn menjadi wanita lebih baik.

    Dalam pada itu Intan Maizura turut menyindir komen daripada rakan-rakan Singapura dan beberapa rakyat Malaysia yang bertepuk tangan kerana jenaka yang hambar.

    “Adakah anda benar-benar terhibur? Kalian sepatutnya malu kerana mempunyai selera yang teruk,” ujarnya.

  • Thailand tingkat kawalan keselamatan pelancong Malaysia

    Thailand tingkat kawalan keselamatan pelancong Malaysia

    PIHAK berkuasa Thailand mempertingkatkan kawalan keselamatan supaya pelancong Malaysia termasuk dari Kelantan berasa selamat ketika berkunjung ke negara Gajah Putih itu.

    Timbalan Komander Polis Pelancong Thailand, Mejar Jeneral Phongsiam Meekhanthong berkata, antara langkah yang diambil termasuk pemeriksaan dan rondaan di destinasi-destinasi pelancongan utama di negara itu.

    Beliau memberitahu, Thailand mencatatkan peningkatan kemasukan pelancong dari Malaysia lebih 20,000 setiap bulan selepas pandemik Covid-19.

    “Mereka memilih untuk berkunjung ke Selatan Thailand seperti Songkhla, Bangkok dan Chiengmai.

    “Demi keselamatan mereka, kami melakukan pemeriksaan berkala termasuk di pantai-pantai bagi memastikan para pelancong bukan sahaja Malaysia tetapi dari seluruh dunia yang berkunjung ke Thailand mematuhi peraturan seperti memakai jaket keselamatan dan menggunakan pemandu pelancong serta mengelak daripada kemalangan jalan raya,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pertemuan dengan polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di Kota Bharu, semalam.

    Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun; Komander Polis Divisyen 3 Polis Pelancong Thailand, Mejar Jeneral Krit Warit dan Timbalan Konsul Jeneral Marisa Indramangala.

    Phongsiam berkata, pelancong asing yang berdepan sebarang kesulitan atau mempunyai pertanyaan boleh menghubungi pihaknya 24 jam.

    Sementara itu, Muhammad Zaki berkata, seramai 91,000 pelancong Malaysia berkunjung ke Thailand melalui tiga pintu pemeriksaan utama di Kelantan sejak awal tahun ini.

    Katanya, dalam tempoh enam bulan itu juga, kira-kira 88,000 warga Thailand memasuki Malaysia melalui pintu sama.

    “Tahun lalu, 157,000 rakyat Thailand memasuki Malaysia melalui Kelantan dan 131,000 rakyat Malaysia pula berkunjung ke negara itu,” ujar beliau, lapor Sinar Harian.

  • Dua penyamun berparang ditembak mati di Cheras

    Dua penyamun berparang ditembak mati di Cheras

    POLIS menembak mati dua penyamun bersenjatakan parang sebelum mereka sempat memecah masuk sebuah rumah di Cheras awal pagi tadi.

    Harian Metro melaporkan, polis menerima maklumat awam berkaitan pergerakan mencurigakan empat lelaki, disyaki warga asing di sekitar Lorong Jintan, Taman Supreme, kira-kira 3.30 pagi.

    Sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, yang membuat rondaan kemudian diarahkan melakukan pemeriksaan.

    Apabila polis tiba di lokasi, empat penyamun dianggarkan berusia 30 hingga 40-an itu cuba menyerang anggota menggunakan parang.

    Dalam usaha mempertahankan diri, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek dan membunuh dua daripada mereka, sementara dua lagi suspek lolos.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, anggotanya menemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah, termasuk pemotong besi dan parang.

    Bagaimanapun, tiada senjata api dijumpai pada kedua-dua suspek yang ditembak mati.

    Shuhaily berkata, pihaknya masih melakukan siasatan lanjut dan dalam usaha mengenal pasti identiti suspek.

    “Selepas kita buat siasatan lanjut dan kenal pasti identiti mereka, baru kita boleh tahu siapa dia (suspek) dan kaitkan dengan kes lain.

    “Kita dapat maklumat…dua (suspek lain) melarikan diri guna sebuah kereta dengan nombor plat palsu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Menurutnya, usaha mengesan suspek yang meloloskan diri giat dijalankan.

  • Lawak melampau: Singapura mohon maaf, Jocelyn Chia bukan lagi warganegara

    Lawak melampau: Singapura mohon maaf, Jocelyn Chia bukan lagi warganegara

    KERAJAAN Singapura memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berikutan tindakan melampau pelawak yang berasal dari negara itu, Jocelyn Chia.

    Menurut Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, beliau sangat terkejut dengan komen-komen menyinggung yang dibuat oleh Jocelyn dalam sebuah pementasan komedi berdiri baru-baru ini.

    “Kerajaan Singapura tidak boleh menerima sebarang kata-kata atau tindakan yang boleh mencetus kemudaratan atau menyinggung perasaan orang lain dan Chia, yang tidak lagi memegang kewarganegaraan Singapura, sama sekali tidak mencerminkan pandangan kami.

    “Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kata-kata yang menyakitkan daripada dia,” kata Vanu Gopala dalam satu kenyataan pada Rabu, lapor Astro Awani.

    Foto viral media sosial

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan pelawak yang berasal dari Singapura, Jocelyn yang memperlekeh dan menghina negara menerusi persembahan komedi berdirinya disifatkan sebagai melampau oleh netizen.

    Lebih mengejutkan, wanita berkenaan turut menggunakan tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai modal jenaka sehingga menimbulkan kemarahan warganet.

    Menerusi video tular berdurasi satu minit 29 saat yang dimuat naik di laman sosial TikTok, pelawak itu menyifatkan pembangunan Malaysia jauh ketinggalan berbanding Singapura yang bergelar negara maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.

    Dalam masa sama, Vanu Gopal berkata, sebagai jiran terdekat, Singapura dan Malaysia menikmati hubungan yang kukuh dan di pelbagai peringkat, dengan ikatan yang cukup mendalam.

    “Kita juga mempunyai hubungan sejarah yang unik dan hubungan yang erat antara rakyat dengan rakyat.

    “Komen-komen seperti yang dibuat oleh Chia tidak membantu dan merosakkan kepercayaan dan persahabatan rapat yang dinikmati oleh kedua-dua negara dan rakyatnya,” tegas Vanu Gopal lagi.

  • Pertahan Kerajaan Perpaduan matlamat politik UMNO – Tok Mat Hasan

    Pertahan Kerajaan Perpaduan matlamat politik UMNO – Tok Mat Hasan

    MEMPERTAHAN dan menjayakan Kerajaan Perpaduan adalah matlamat politik UMNO waktu ini dengan menggembleng segala kepakaran dan pengalaman yang dimiliki parti, kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Beliau berkata usaha menjayakan Kerajaan Perpaduan sangat penting kerana UMNO mesti melakukan perkara yang betul untuk tanah air.

    “Telah empat tahun Malaysia terumbang-ambing, tanpa matlamat jelas dalam bernegara dan berbangsa. Masakan kita mahu membiarkan ia berterusan.

    “Justeru, kita mesti menggunakan peluang yang sangat unik ini, untuk membezakan UMNO dari parti politik lain bahawa kita bukan sekadar punya iltizam. Kita punya kepakaran, kebijaksanaan, ilmu dan pengalaman yang boleh kita manfaatkan untuk menjadikan kerajaan ini kerajaan yang cekap, bersih dan amanah,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO serentak yang turut dihadiri tiga Naib Presiden Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, di sini hari ini.

    Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata kedudukan UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan telah membuka potensi baru untuk parti.

    “UMNO dan BN sedang melalui ‘eksperimen politik’ yang sangat penting. Panggillah apa pun. Jajaran baru, koalisi baharu, persefahaman baharu. Yang jelas, ia adalah haluan politik yang ‘business as unusual’ iaitu pembentukan persefahaman politik yang berasaskan perpaduan dan kepentingan nasional.

    “Jika selama berpuluh tahun, UMNO telah terbiasa dengan persefahaman politik ‘to rule’, namun, trend yang kita lalui waktu ini pula ialah ‘to unite and to govern’. Kita melihat kemunculan politik kerjasama dan muhibah, politik perpaduan, politik permuafakatan,” katanya.

    Menyingkap kembali penyertaan UMNO untuk membentuk kerajaan, Menteri Pertahanan itu berkata bersandarkan realiti dan kedudukan bahawa parti telah tewas, kepimpinan UMNO telah melakukan ijtihad politik untuk bersama Pakatan Harapan membentuk Kerajaan Perpaduan.

    “Kita menyedari betapa kecilnya pengaruh kita di mata pengundi dan untuk survival UMNO, kita mesti mencari jalan menjadi sebahagian dari kerajaan. Dengan kehendak Allah, UMNO dan BN yang cuma mempunyai 30 kerusi, ditakdirkan menjadi penentu dalam penubuhan kerajaan,” katanya.

  • UMNO seolah-olah hilang fokus, Tok Mat minta ahli bermuhasabah

    UMNO seolah-olah hilang fokus, Tok Mat minta ahli bermuhasabah

    DATUK Seri Mohamad Hasan malam ini mengajak ahli UMNO bermuhasabah, dengan menegaskan parti itu seolah-olah hilang fokus kepada kesusutan dan kesengsaraan yang dilalui masyarakat Melayu.

    Timbalan Presiden UMNO itu berkata, UMNO juga gagal menampilkan penyelesaian yang bernas untuk kaum itu.

    Berucap merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Putra, Mohamad berkata masyarakat Melayu mahu tahu apa sebenarnya rencana UMNO untuk mereka, dari segi ekonomi, pendidikan, dan sosial yang masih lagi dikatakan tidak menunjukkan kemajuan yang ketara.

    “UMNO mesti ada jawapan untuk semua ini dan jawapan UMNO tidak boleh ‘piecemeal’, juga secara ‘ad hoc’,’’ tegasnya.

    Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata UMNO mesti melibatkan pemikir terbaik negara untuk membantu usaha menghasilkan rangka tindakan agenda Melayu baharu itu.

    “Jangan asyik dengan pelbagai konvensyen politik, tetapi lohong dalam kandungan dan intipati. Yang akhirnya, menyaksikan kita mendengar syarahan daripada tokoh yang sama, manakala kita pula bercakap antara sesama kita sahaja,”katanya.

    Sehubungan itu Mohamad berkata, UMNO  perlukan suatu blueprint baharu agenda Melayu yang lebih tuntas dan seiring zaman, untuk kelangsungan parti itu.

    Kata beliau, jika  UMNO mahu meyakinkan masyarakat Melayu bahawa ia mempunyai rencana yang jelas untuk mereka, ia perlu mulakan langkah berani dan tegas dengan suatu rangka tindakan agenda Melayu yang moden dan maju.

    “UMNO nampaknya belum berjaya menampilkan agenda yang lebih progresif untuk bangsa Melayu. Empat tahun terbiar begitu sahaja, setelah dihambat pelbagai kemelut politik tanahair,” katanya.

    Mohamad berkata rangka tindakan itu harus menunjukkan UMNO sedar masalah yang melingkari masyarakat Melayu, serta memaparkan strategi dan rancangan jangka panjang untuk mereka.

    “Hanya dengan sedemikian, kita dapat membezakan diri kita daripada mereka yang menunggang agama dan bangsa.Yang wujud hanya sekadar bermain sentimen agama, dan perkauman yang sempit, demi kelangsungan politik,’’katanya.

  • Polis tahan lima sekeluarga, rampas dadah dan pistol

    Polis tahan lima sekeluarga, rampas dadah dan pistol

    POLIS menahan lima sekeluarga termasuk seorang budak lelaki berusia 11 tahun dan remaja perempuan berusia 13 tahun selepas penemuan sepucuk pistol, 11 peluru serta 952 pil kuda bernilai RM10,472 di sebuah rumah di Kampung Takang, Tawang, Bachok pada 30 Mei lalu.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, turut ditahan suspek utama yang juga bapa saudara kepada kanak-kanak tersebut iaitu seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun, isterinya warganegara Thailand (22 tahun) dan ibu wanita itu warganegara sama (53 tahun).

    “Serbuan pada pukul 7 malam itu menemukan pistol jenis Steyr Mannlicher M004124 bersama kelopak dan peluru berukuran sembilan milimeter.

    “Siasatan awal motif pemilikan senjata api dipercayai ada kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah dan menjadi keperluan jika berlaku pertikaian dalam kalangan mereka.

    “Berdasarkan penemuan pistol itu, suspek berkemungkinan terlibat dengan rangkaian yang lebih besar seperti sindiket dan bukan sekadar pusher,” katanya dalam sidang akbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu hari ini.

    Katanya, siasatan lanjut bagaimanapun masih diteruskan dan ujian urin suspek utama didapati positif dadah.

    Muhamad Zaki berkata, turut dirampas ialah sebotol kecil bertulis weapons oil medium, dua berus, barangan kemas bernilai RM4,300 dan sebuah kereta jenis Proton Wira bernilai RM6,500.

    “Kesemua suspek dewasa ialah penganggur. Mereka direman bermula 31 Mei lalu sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1971.

  • Peniaga pakaian didakwa buat hantaran hina Islam

    Peniaga pakaian didakwa buat hantaran hina Islam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENIAGA pakaian didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas 10 pertuduhan membuat hantaran menghina Allah, nabi dan agama Islam dalam laman sosial Facebook, dua bulan lalu.

    Alimuddin Mohd. Hayat, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan dua hakim iaitu Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan V.M. Mabel Sheela.

    Tertuduh didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komunikasi yang bersifat jelik dan menghina Allah, nabi dan agama Islam menggunakan akaun Facebook miliknya ‘Ali Tikos’, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

    Hantaran itu telah dibaca di sebuah rumah di Rumah Pangsa Awam Larkin Johor Bahru, pada kira-kira pukul 10 malam, 26 April lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Umar Faiz Abdul Kohar, Noor Idayu Salim dan S. Thiviya manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Sebelum itu, Alimuddin merayu kepada mahkamah supaya diberikan denda lebih rendah dengan mengambil kira dia yang telah bercerai dan mempunyai dua anak berusia empat serta lapan tahun.

    Selain itu, berpendapatan tidak menentu sekitar RM300 hingga RM400 sebulan sebagai peniaga baju di Bazar Karat Johor Bahru.

    Ahmad Kamal Arifin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 bagi enam pertuduhan yang dibacakan di hadapannya dan Mabel Sheela pula mengguna pakai jumlah jaminan yang sama memandangkan kes dihadapannya akan dipindahkan ke mahkamah Ahmad Kamal Arifin.

    Kes akan disebut semula bagi lantikan peguam di hadapan Ahmad Kamal Arifin pada 9 Julai depan.

  • Wan Fayhsal usul Rayer dirujuk ke jawatankuasa Parlimen

    Wan Fayhsal usul Rayer dirujuk ke jawatankuasa Parlimen

    SATU usul dikemukakan terhadap seorang wakil rakyat DAP yang didakwa cuba mengelirukan Dewan Rakyat berkait perolehan ventilator ketika negara mengurus Covid-19 dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mahu RSN Rayer (PH-Jelutong) dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung ucapannya di Dewan Rakyat semalam, menurut usul yang dihantar kepada kepada pejabat speaker pagi tadi.

    Beliau yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa Rayer membuat kenyataan mengelirukan apabila berkata ketirisan yang dikatakan berlaku dalam perolehan ventilator oleh Kementerian Kesihatan (KKM) disebabkan oleh tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengisytiharkan darurat.

    “Pengisytiharan itu didakwa menyebabkan KKM tidak dapat berbincang tentang pemerolehan ventilator itu,” kata Wan Fayhsal memetik hansard.

    “Ini tidak tepat kerana punca kepada ketirisan perolehan ventilator bukan salah darurat, tetapi salah tatakelola KKM. Jadi kalau ada masalah, siasatlah kementerian,” ujar beliau di Dewan Rakyat, hari ini.

    Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid pada Februari melaporkan 93 daripada 136 unit ventilaor yang dibekalkan syarikat kepada fasiliti KKM antara 2020 hingga April 2022 ketika pengurusan Covid-19 tidak dapat digunakan.

    Keadaan kata Nik Azman, menyebabkan kerugian dianggarkan sejumlah RM13.07 juta.

    Dalam pada itu, Wan Fayhsal mahu Rayer menarik balik kenyataannya mengenai Dr. Mahathir, yang baru-baru ini dirakam percakapan dalam siasatan polis ke atas kenyataan yang dikatakan berunsur penghinaan terhadap institusi diraja.

    Beliau mendakwa Rayer cuba mengelirukan Dewan Rakyat apabila ‘merayu’ bekas perdana menteri itu hentikan serangan terhadap kerabat diraja.

    “Mahathir tidak terbukti telah melakukan penghinaan terhadap mana-mana kerabat diraja,” katanya, lapor FMT.

    Sebelum ini, polis dalam kenyataan mengumumkan berkata kertas siasatan telah lengkap dan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara semalam.

    Menjawab permohonan Wan Fayhsal, Speaker Johari Abdul berkata perkara ini akan diteliti dan akan memberi maklum balas nanti.