Author: Wartawan WartaRakyat

  • PN umum calon PRK DUN Simpang Jeram malam esok

    PN umum calon PRK DUN Simpang Jeram malam esok

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERIKATAN Nasional (PN) akan mengumumkan calon mereka yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada malam di Markas Pas Bakri, Kampung Jeram, Bakri, Muar malam esok.

    Gabungan politik tersebut dijangka meletakkan calon Pas yang akan menentang calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), Nazri Abdul Rahman pada PRK tersebut, 9 September nanti.

    Pengerusi Bersama PN Bakri, Mahadzir Abu Said berkata, pihaknya akan memberi sokongan penuh kepada calon Pas itu dan PN bertekad tidak akan memberi laluan mudah kepada PH-BN dalam usaha merebut kerusi berkenaan.

    Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Bakri itu berkata, tentangan sengit akan diberikan dalam usaha merampas kerusi DUN Simpang Jeram.

    “Jika dilihat atas kertas sememangnya berpihak kepada calon PH-BN, namun sentimen politik pada masa ini sukar diramal seperti yang berlaku di enam negeri dalam PRN (pilihan raya negeri) baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya, faktor gelombang rakyat yang menyokong PN dalam pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos lalu diharap berlaku pada PRK DUN Simpang Jeram dan juga PRK Parlimen Pulai.

    “Walaupun terdapat perbezaan kira-kira 3,000 pengundi antara kaum Tiong Hwa dan Melayu namun tiada siapa boleh meramalkan pilihan mereka.

    “Keutamaan PN adalah untuk memperjuangkan hak orang Melayu, agama dan negara tanpa menyisihkan kaum-kaum lain,” katanya.

    Justeru katanya, gabungan komponen PN terdiri daripada Bersatu, Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan memastikan gelombang rakyat itu turut berlaku di DUN Simpang Jeram.

    Tambah beliau, calon yang akan bertanding dalam PRK itu dijangka akan diumumkan pada Rabu dan seterusnya gerak kerja kempen dilakukan sebaik selesai majlis penamaan calon pada Sabtu.

    Ujarnya, banyak perkara akan menjadi tumpuan khususnya perkara berkaitan kebajikan dan infrastruktur untuk masyarakat sepanjang kempen berlangsung nanti.

    Pada PRN di Johor sebelum ini, PN diwakili Zarul Salleh mendapat 6,360 undi manakala Parti Amanah Negara (Amanah) yang diwakili DatuK Seri Salahuddin Ayub memperolehi 8,749 sekali gus menang dengan 2,389 undi.

    Sementara calon BN, Datuk Lokman Md. Don memperolehi 6,062 undi.

    PRK DUN Simpang Jeram diadakan berikutan penyandangnya, Salahuddin meninggal dunia meninggal dunia pada 23 Julai baru-baru ini.

  • Ahli Parlimen sokong tempoh bertenang kempen sehari, bukan 3 hari

    Ahli Parlimen sokong tempoh bertenang kempen sehari, bukan 3 hari

    CADANGAN melanjutkan tempoh bertenang kempen kepada tiga hari sebelum hari pengundian dikritik seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang berkata tempoh berkempen ketika ini terlalu singkat.

    Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tempoh berkempen 14 hari ketika ini tidak mencukupi dan mahu ia dilanjutkan.

    Sebaliknya, Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan daripada Pakatan Harapan menyokong cadangan tempoh bertenang lebih lama untuk memberi masa kepada pengundi memikirkan pilihan mereka.

    “Tetapi, tiga hari terlalu lama. Pendek kepada sehari sebelum mengundi adalah baik,” katanya kepada FMT.

    Kedua-dua Ahli Parlimen itu mengulas cadangan bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar untuk melanjutkan tempoh bertenang kempen kepada tiga hari bagi mewujudkan persekitaran lebih kondusif dan aman menjelang pilihan raya.

    Di bawah undang-undang semasa, kempen politik perlu ditamatkan pada tengah malam menjelang hari pengundian.

    Wan Ahmad dilaporkan berkata, kempen politik nampaknya berterusan sepanjang tahun, tetapi Wan Fayhsal tidak bersetuju dengannya.

    Ahli Parlimen Machang itu berkata, berkempen adalah khusus untuk tempoh pilihan raya tertentu itu. “Sebagai contoh, anda tidak mempromosikan manifesto sepanjang tahun.”

    Penganalisis politik, Russli Kamaruddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia mengalu-alukan cadangan Wan Ahmad dengan berkata, kempen boleh menjadi tidak produktif kepada perpaduan.

    “Pelbagai perbuatan tidak beretika dan kenyataan berunsur fitnah dibuat (dalam jelajah kempen), yang boleh membawa kepada ketidakharmonian,” katanya sambil mencadangkan tempoh bertenang dilanjutkan sehari selepas hari pengundian bagi mengelakkan sambutan keterlaluan oleh parti politik dan penyokong mereka.

    Sebelum ini, Indonesia melarang parti politik mengadakan perhimpunan atau membawa mesej berkaitan pengundian selepas pilihan raya.

  • Keterangan Zeti di mahkamah berkaitan 1MDB jelas ‘pengabaian tugas’ oleh Apandi – Tun M

    Keterangan Zeti di mahkamah berkaitan 1MDB jelas ‘pengabaian tugas’ oleh Apandi – Tun M

    PENYELESAIAN saman di luar mahkamah melibatkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali oleh kerajaan tidak mencerminkan dengan baik kedaulatan undang-undang negara.

    Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan, pemecatan Apandi tidak dibuat secara salah berdasarkan dakwaan ‘pengabaian tugas’ yang dilakukan oleh bekas Peguam Negara itu.

    Kata Dr. Mahathir, ini dibuktikan melalui keterangan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz di Mahkamah Tinggi pada 28 Julai lalu berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Zeti dalam keterangannya berkata, walaupun bukti terlalu banyak dikumpul dan direkodkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Peguam Negara ketika itu (Apandi) atas sebab yang tidak diketahui pada 11 September 2015 memutuskan IP itu diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

    Dr. Mahathir berkata, beliau tersentak selepas membaca laporan media berkaitan kenyataan Zeti tersebut.

    “Zeti menyatakan bahawa beliau telah melaporkan kepada Peguam Negara pada masa itu iaitu Apandi perbuatan salah kakitangan 1MDB.

    “Tetapi Peguam Negara tidak mengambil sebarang tindakan. Ia seolah-olah kelalaian tugas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini lapor Astro AWANI.

    Pada 28 Julai lalu, Zeti semasa memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi memberitahu bahawa BNM menyerahkan Kertas Siasatan (IP) kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan syor untuk memulakan pendakwaan jenayah dan mendakwa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk pegawai kanannya.

    Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, beliau bersedia untuk pergi ke mahkamah bagi menjelaskan mengapa Apandi perlu disingkirkan daripada jawatan sebagai Peguam Negara.

    “Satu lagi contoh keputusan salah Apandi ialah menolak semua kes terhadap Najib (bekas Perdana Menteri), namun apabila seorang lagi Peguam Negara membawa kes Najib ke mahkamah, tiga mahkamah dan sembilan hakim mendapati Najib bersalah.

    “Jelas, Apandi selaku Peguam Negara tidak mengkaji kes itu secara menyeluruh sebelum mengisytiharkan Najib tiada kes untuk dijawab,” jelasnya.

    Dr. Mahathir mendakwa, perkara itu sekali lagi menunjukkan pengabaian tugas di pihak Apandi.

    Bagaimanapun, Dr. Mahathir berkata, apabila Apandi menyaman kerajaan dan beliau, kerajaan telah bersetuju untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah dan memberikan Apandi sejumlah wang yang tidak diketahui untuk menggugurkan tindakan samannya itu.

    Dengan kata lain, Dr. Mahathir mendakwa, kerajaan seolah-olah bersetuju bahawa Apandi dipecat secara salah.

    “Saya tidak terlibat dalam penyelesaian itu. Saya tidak bersetuju bahawa saya telah memecat Apandi secara salah.

    “Tetapi kini, laporan bahawa beliau gagal mengambil tindakan terhadap laporan oleh Bank Negara membuktikan beliau tidak menjalankan tugasnya sebagai Peguam Negara. Justeru, ini mewajarkan lagi pemecatannya sebagai Peguam Negara.

    “Peguam Negara seperti itu diberi pampasan dengan jumlah wang yang tidak diketahui tidak mencerminkan dengan baik kedaulatan undang-undang di negara ini,” jelasnya.

    Pada 13 Oktober 2020, Apandi menfailkan saman dengan menamakan Dr Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua, memohon antara lain perisytiharan penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu sebagai tidak sah.

    Bagaimanapun, pada 15 Februari lalu, kerajaan bersetuju bagi penyelesaian luar mahkamah kes saman tersebut malah ia dikelaskan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

  • Pesara TNB didakwa pukul isteri dengan kayu

    Pesara TNB didakwa pukul isteri dengan kayu

    SEORANG pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan memukul isterinya, kelmarin.

    Tertuduh, R. Subramanian, 65, memahami pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu namun tidak mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, warga emas itu dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya yang berusia 54 tahun dengan menggunakan sebatang kayu di sebuah rumah di Jalan Pertama 4, Taman Pertama, di Ipoh pukul 1.14 pagi Ahad lalu.

    Perbuatan itu dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun yang sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu, jika sabit kesalahan, lapor Harian Metro.

    Bagi Seksyen 326A Kanun Keseksaan, tertuduh berhadapan dengan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum yang mana tertuduh boleh dikenakan atas sabitan bagi kesalahan itu.

    Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah manakala tertuduh diwakili peguam, Dayang Nor Emilia Azman Shah.

    Qurratu’aini menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh namun Dayang Nor Emilia memohon jumlah jaminan paling minimum memandangkan tertuduh sudah berusia dan selain bergantung wang persaraan, selain pendapatan tidak tetap sebagai pekebun.

    Hakim kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai dibicara, selain menetapkan 3 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Perakam suara kokpit tak boleh diekstrak

    Perakam suara kokpit tak boleh diekstrak

    MAKLUMAT dalam kotak perakam suara kokpit (CVR) pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang dihantar ke makmal Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan di Singapura gagal diekstrak.

    Perkara itu disahkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang berkata, perkara itu diketahui pihaknya pada pagi tadi.

    Oleh demikian, kementerian merancang untuk menghantar komponen ‘memory puck’ ke kilang pengeluar pesawat itu di Florida, Amerika Syarikat (AS), petang ini.

    “Pada pagi, saya dimaklumkan makmal di Singapura tidak dapat mengeluarkan rakaman suara itu. Terdapat isu teknikal yang menjadi kekangan untuk mengeluarkan rakaman itu.

    “Jadi Biro Keselamatan Kemalangan Udara akan pulang semula ke Kuala Lumpur dan memberi penjelasan kepada saya.

    “Tindakan susulan kita setakat ini menghantar ‘memory puck’ itu ke Florida untuk ia cuba dianalisis,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Seminar Keselamatan Penerbangan anjuran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), hari ini.

    Semalam Anthony berkata, penyiasat berdepan kesukaran mendapatkan data daripada kotak perakam suara kokpit (CVR) pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Bandar Elmina Khamis lalu, selepas disahkan hangus terbakar lapor Berita Harian.

  • Polis siasat dakwaan budak autisme didera di sekolah

    Polis siasat dakwaan budak autisme didera di sekolah

    SEORANG ibu di Kajang telah membuat laporan polis mendakwa anak lelakinya yang menghidap autisme dipercayai didera di sekolah kanak-kanak berkeperluan khas.

    Ibu kanak-kanak terbabit, Maria Fransiska, 38, mula curiga apabila anaknya Tharun Haree Murugan yang berusia 9 tahun pulang dari sekolah pada 15 Ogos lalu dengan kecederaan pada anggota badan.

    “Balik dari sekolah masuk dalam rumah, anak saya terus pergi dapur ambil kotak ubat dan cakap ‘hurt’ ‘hurt’ (sakit) banyak kali.

    “Terus dia ambil banded untuk ubat lukanya kat tangan, saya pun bertanya kenapa jatuh ka, sekali lagi anak saya hanya cakap ‘hurt’,” katanya memetik laporan Malaysiakini, hari ini.

    Menurut Maria yang merupakan seorang suri rumah, anaknya menghidap echolalia dan tidak dapat berkomunikasi dua hala.

    Dia berkata, terdapat beberapa luka dan lebam pada anggota badan sebelah kiri Tharun dan kedua-dua pahanya.

    Mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, Maria kemudian membawa anaknya ke hospital kerajaan.

    Maria berkata, doktor mengesahkan kecederaan anaknya itu yang konsisten dengan sebatan menggunakan rotan.

    “Saya menanyakan pihak sekolah tapi mereka cakap tak ada apa masalah dengan anak saya kat sekolah.

    “Saya pun bawa anak saya pergi hospital kerajaan, doktor sahkan anak saya kena pukul dengan rotan dan doktor suruh saya buat laporan polis,” katanya.

    Polis kemudian mengatur pertemuan antara dia dan guru Tharun di sekolah Kajang berkenaan, kata Maria.

    Bagaimanapun dakwanya, guru sekolah itu tidak dapat menjawab persoalan apa atau siapa yang menyebabkan kecederaan tersebut.

    Maria mendakwa pihak sekolah akhirnya meminta maaf kepadanya, mengatakan mereka ‘terlepas pandang’ kejadian itu.

    “Hati saya hancur, tak boleh terima macam mana pihak sekolah terlepas pandang dengan anak ‘special’ saya.

    “Anak saya boleh bercakap tapi tidak pandai komunikasi dengan orang lain, tak pandai complain,” kata ibu itu lagi.

    Menurut Maria, kejadian itu didakwa bukan yang pertama. Dia menyedari Tharun, anak tunggalnya, kembali dengan kesan lebam di pahanya pada tahun lalu.

    Ketika itu, dia sekadar menduga bahawa anaknya mungkin terlanggar bahagian pahanya pada sesuatu secara tidak sengaja.

    Malaysiakini telah menghubungi Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan, yang mengesahkan pihaknya telah menerima laporan daripada ibu kanak-kanak autisme itu.

    “Kes itu sedang dalam siasatan,” katanya ringkas.

  • Speaker, pengerusi GLC DAP jarakkan lagi pengundi Melayu, kata penganalisis

    Speaker, pengerusi GLC DAP jarakkan lagi pengundi Melayu, kata penganalisis

    TINDAKAN DAP mencadangkan pelantikan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Selangor hanya mengesahkan persepsi yang ditakuti pengundi Melayu bahawa parti itu mendominasi kerajaan negeri, kata penganalisis.

    Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) Jeniri Amir, langkah itu hanya akan meletakkan DAP dalam kedudukan negatif dan memburukkan lagi imej mereka dalam kalangan pengundi-pengundi Melayu.

    Katanya, jika diteruskan juga langkah tersebut ia akan memberikan implikasi yang lebih besar sehingga berkemungkinan menyebabkan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

    “Ini sudah tentu akan menjarakkan lagi orang Melayu, kerana salah satu faktor orang Melayu menolak PH dalam PRU lepas kerana adanya DAP dalam gabungan itu,” katanya kepada MalaysiaNow.

    “Dan keduanya DAP dianggap musuh orang Melayu jadi ia akan memburukkan keadaan maksudnya memberi implikasi. Kesannya orang Melayu akan semakin benci dan menjarakkan diri mereka dan ini sudah tentu akan dimanifestasikan dalam pilihan raya akan datang.”

    Jeniri mengulas laporan berhubung ketegangan yang berlaku dalam parti-parti gabungan kerajaan Selangor mengenai cadangan pelantikan pemimpin DAP sebagai speaker dan pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) di Selangor.

    Setiausaha Agung DAP Anthony Loke sebelum ini menggesa kerajaan Selangor melantik salah seorang bekas ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu Ean Yong Hian sebagai pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), pelabuhan terbesar negara yang diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan yang diterajui Loke sendiri.

    Selain itu, Loke juga menamakan Lau Weng San untuk jawatan speaker, sebagai bentuk pampasan kepada parti itu kerana bersetuju memberi laluan kepada UMNO di kerusi DUN Dusun Tua.

    Mengulas lanjut, Jeniri berkata pelantikan bekas ADUN sebagai pengerusi GLC  turut mencetuskan kontroversi kerana ia bercanggah dengan prinsip DAP sebelum ini yang menolak pelantikan politik dalam GLC.

    “Tapi sekarang mereka sendiri tidak berpegang pada prinsip. Kalau ini boleh berlaku pengundi akan tolak mereka kalau tengok masa PRN pengundi India berkurang 15%.

    “Apatah lagi pengundi Melayu PH yang memikirkan hak dan kepentingan mereka,” katanya.

    Anwar ditunggang DAP?

    Sementara penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Shamsul Amri Baharuddin berkata, di atas kertas, daripada segi bilangan kerusi, memang permintaan DAP itu wajar.

    Katanya, ini memandangkan bilangan ADUN DAP yang menang lebih ramai berbanding komponen parti lain dalam PH dan Barisan Nasional (BN).

    Bagaimanapun beliau mempersoalkan mengapa senario itu tidak berlaku di Negeri Sembilan yang mana sepatutnya BN lebih layak untuk mendapat jawatan tinggi namun terpaksa memberi laluan kepada rakan gabungan lain.

    “Dalam konteks PH memang DAP boleh meminta apa yang mereka fikirkan patut kerana bilangan ADUN mereka terbesar.

    “Tapi di Negeri Sembilan 14 UMNO menang 14 kerusi, DAP 11 kerusi dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) lima kerusi dan Parti Amanah Negara (Amanah) satu kerusi tapi mengapa UMNO tak dipilih Menteri Besar atau Speaker,” soalnya.

    Katanya, kesan daripada langkah tersebut hanya akan menebalkan lagi stereotaip bahawa PKR dan presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditunggang DAP.

    “Tanpa DAP bahawa PKR tinggal terkontang-kanting dan terapung macam teratai di dalam kolam,” katanya.

    Perpecahan Melayu untungkan DAP

    Sementara penganalisis politik, Ahmad Atory Hussain dari UUM berkata, perpecahan parti Melayu memberi keuntungan kepada DAP.

    “Walaupun DAP kita tengok menang kerusi paling banyak tapi itu hanya dalam PH sahaja. Tapi kalau kita tengok bilangan wakil rakyat dalam DUN Selangor, ADUN Melayu paling banyak.

    “Namun apa berlaku sekarang ini adalah akibat daripada perpecahan parti Melayu. Dan bilangan 15 kerusi dimenangi DAP yang terlihat paling kuat, dan kukuh.

    “Jadi sebab itu mereka boleh buat desakan tersebut. Ia tidak menghairankan,” katanya.

    Tambahnya, tindakan DAP itu juga tidak menggambarkan usaha untuk mengekang imej bahawa parti itu yang mendominasi PH.

    “Imej itu satu hal realiti satu hal lagi. Imej yang mereka bawa tak nak gambarkan PH didominasi DAP.

    “Tapi realiti tak begitu. Macam saya katakan itulah akibatnya daripada perpecahan parti Melayu dan pengundi Melayu sendiri yang memilih PH,” katanya.

  • Pemimpin PKR kecewa bukan Melayu tak dicalon jadi Exco

    Pemimpin PKR kecewa bukan Melayu tak dicalon jadi Exco

    BENDAHARI Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, Gue Teck kesal dengan pelantikan Exco di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan selepas Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya negeri (PRN).

    Gue Teck menyifatkan keadaan tersebut tidak selari dengan semangat kepelbagaian parti itu.

    Beliau mendakwa PKR tidak mencalonkan mana-mana bukan Melayu untuk jawatan Exco di tiga negeri tersebut.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR yang dilantik ke jawatan Exco di Pulau Pinang dan Selangor semuanya Melayu, manakala Kabinet negeri Sembilan masih belum mengangkat sumpah.

    “Semenjak PKR memerintah Selangor pada tahun 2008, ini merupakan kali pertama yang mana tiada tokoh Tionghua ataupun India daripada parti yang dicalonkan sebagai Exco,” kata Gue pada satu kenyataan.

    Katanya, kaedah pemilihan anggota Exco kali ini dilihat seolah-olah cuba mengetepikan semangat kepelbagaian yang diraikan parti selama ini.

    “Penjelasan dan penelitian diperlukan untuk menguji sama ada PKR adalah sebuah “truly multiracial party,” katanya.

    Gue berkata ini mungkin berpunca daripada ‘tiupan sentimen perkauman dan agama sempit yang makin kencang oleh Perikatan Nasional (PN) dan Pas’.

    Menurutnya, perkara ini dilihat sebagai kompromi selepas PKR menyerahkan satu kerusi Exco di Selangor kepada UMNO.

    “Persoalannya mengapakah yang terkorban itu adalah sifat diversiti dalam parti,” soal Gue, lapor Malaysiakini.

  • Dua pemuda ditemui lemas ketika memancing

    Dua pemuda ditemui lemas ketika memancing

    DUA pemuda yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing di pantai Kiamsam, Labuan kelmarin ditemui lemas petang semalam.

    Mangsa pertama, Yassin Jhonal, 20, ditemui 5.20 petang manakala seorang lagi mangsa, Mohd Shah Nadzmin, 19, ditemui dua minit selepas itu.

    Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Labuan, Nudin Jusoh, pasukannya menyelaras operasi Carilamat bersama agensi lain dan orang tempatan.

    Katanya, pencarian awal dilakukan oleh bot kilat 40 milik Maritim Malaysia di lokasi kejadian membabitkan kawasan seluas empat batu nautika persegi sekitar pantai Kiamsam.

    “Penemuan mayat pertama kira-kira 0.5 batu nautika dari pantai Kiamsam pada 5.20 petang semalam.

    “Mayat kedua pula ditemui hampir 10 meter dari mayat pertama pada 5.22 petang. Mayat kedua-dua mangsa ditemui oleh bot nelayan dan dibawa ke jeti oleh bomba,” katanya menurut Berita Harian.

    Terdahulu, media melaporkan dua pemuda itu dikhuatiri hilang selepas bot yang dinaiki mereka untuk keluar memancing ditemukan terapung tanpa anak kapal di jeti terbabit, awal pagi semalam.

  • Lepuk dengan kertas, bukan kayu, Sanusi pertahan gurauan

    Lepuk dengan kertas, bukan kayu, Sanusi pertahan gurauan

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mempertahankan tindakannya memukul kepala seorang wanita muda dengan sehelai kertas.

    Sanusi berkata, kejadian kelmarin itu hanyalah cara bergurau untuk menegur pelajar berkenaan kerana lambat memohon bantuan.

    “Lepuk dengan sehelai kertas (surat) saja, bukan dengan kayu. Melawak dengan anak-anak, lagu tu lah cara kami kat kampung ni melawak.

    “Anak tu nak masuk politeknik esok hari (kelmarin dulu). Pada hari tu baru bagi surat minta sumbangan. Kena lepuk lah tapi tetap bagi juga RM650 untuk beli barang dia masuk politeknik,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

    Pada video kejadian yang tular itu, Sanusi dilihat memukul kepala wanita berkenaan dengan sehelai kertas yang bergulung, sebelum semua orang ketawa.

    Beliau kemudian bergambar dengan wanita itu, menyerahkan sekeping kertas yang berbeza.

    Sanusi berada di Kampung Budi, Pokok Sena, kelmarin pluntuk menyampaikan bantuan wang tunai dan keperluan kepada 60 penduduk kampung miskin tegar.

    Terdahulu, Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd. Aziz mengkritik Menteri Besar Kedah itu supaya menjaga kehormatan orang ramai dan menyifatkan tindakan Sanusi itu sebagai biadab.

    Bagaimanapun, Sanusi menjelaskan tidak adil untuk menilai tingkah laku orang Kedah berdasarkan kebiasaan adat orang Kuala Lumpur.

    “Suruh depa pi tanya budak tu dengan mak dia lah… dia ada rasa macam depa tu dok kata dak?

    “Ukur orang Kedah bergurau pakai pembaris KL memang tak jumpa yang lurus lah,” katanya lagi.