Author: Wartawan WartaRakyat

  • UMNO jangan sekadar pelengkap – Wakil Johor

    UMNO jangan sekadar pelengkap – Wakil Johor

    UMNO Johor mengingatkan pimpinan bahawa pengundi tidak ada sebab untuk bersama UMNO sekiranya ia dilihat sekadar ‘pelengkap’ kerajaan perpaduan.

    Wakil UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata pimpinan parti harus mencatur pemulihan parti menerusi Kerajaan Perpaduan, dan di sebalik apa jua penjajaran.

    “Tidak ada sebab untuk orang Melayu memilih untuk dinaungi oleh UMNO, sekiranya peranan dan kedudukan Umno hanyalah sebagai parti pelengkap dalam kerajaan.

    “Di sebalik apa jua penjajaran dan dinamika politik baharu UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan, ia mestilah disusuli dengan percaturan dan strategi jangka panjang yang ampuh untuk mengembalikan UMNO di puncak kekuasaan,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian dalam perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

    Noor Alleen yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor melihat peranan yang diberi kepada UMNOketika ini kelihatan seperti “pendekatan taktikal jangka masa pendek”.

    “Ia bukan hala tuju yang kekal. Ia tidak sekali-kali menandakan kepasrahan UMNO untuk sekadar menjadi pelengkap, atau pemain tambahan, mahupun ‘second fiddle’ dalam arena politik,” katanya.

    “UMNO Johor bertegas bahawa menjadi parti pilihan kedua, parti serpihan, parti kecil nan kerdil bertentangan dengan nilai, falsafah, sejarah, dan fitrah kejadian UMNO,’’ tegasnya.

    • *UMNO WP bagaikan ‘pembawa bunga Manggar’

    SEMENTARA itu, UMNO Wilayah Persekutuan tidak terasa ‘kebersamaan’ kerajaan perpaduan yang diperkatakan muktahir ini, dengan ketiadaan Kementerian Wilayah Persekutuan dan pemimpinnya tidak diberi peranan dalam pemerintahan.

    Ketua Penerangannya Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, UMNO seakan ‘pembawa bunga manggar’ untuk kerajaan perpaduan di Wilayah Persekutuan, kerana ia tidak diberi upaya untuk menentukan dasar dan hala tuju bagi wilayah itu, mahupun menangani isu-isu yang tertangguh.

    “Jawatan menteri dimansuhkan, jawatan senator untuk Labuan yang diperuntukkan diberi kepada orang yang tidak berkenaan, sehinggalah jawatan penting seperti ahli majlis perwakilan penduduk di setiap Parlimen yang diterajui Ahli Parlimen PH tidak dibincang dan diberikan kuota kepada UMNO.

    “Inilah nasib kita yang lebih kepada penyeri majlis yang tidak boleh menentukan sebarang dasar…Padahal kita di Wilayah Persekutuan ada seorang naib presiden UMNO,” katanya merujuk kepada bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Ghani, lapor portal FMT.

    Muszaffar mengingatkan UMNO bahawa ia mewakili penyokong dan pengundi Melayu di Wilayah Persekutuan yang mahu ia menjuarai isu masyarakat itu.

    Memandangkan betapa penting kedudukan UMNO dalam kerajaan perpaduan ketika ini, beliau menggesa “satu-satunya Ahli Parlimen UMNO yang menang di dalam PRU15 lepas sepatutnya diberi peranan dan tempat yang penting dalam kerajaan.”

    Beliau juga menuntut Kementerian Wilayah Persekutuan diwujudkan agar isu-isu yang membelit wilayah itu, antaranya perumahan dan lalu lintas, dapat ditangani dengan punca kuasa dan peruntukan yang luas.

    “Ditambah dengan kesibukan perdana menteri yang juga merupakan menteri kewangan dan selaku menteri wilayah persekutuan ‘de facto’, tidak mampu menumpukan perhatiannya dengan masalah, isu dan dasar buat Wilayah Persekutuan,” kata Muszaffar.

  • Lelaki mengamuk dalam restoran ditahan selepas video tular

    Lelaki mengamuk dalam restoran ditahan selepas video tular

    POLIS  menahan seorang lelaki tempatan selepas tular videonya mengamuk serta membaling bungkusan makanan dan minuman di sebuah restoran di sini Ahad lepas.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata lelaki berusia 50 tahun ditahan pada 1 pagi tadi di Jalan Samudera Utara 2, Taman Samudera, Batu Caves, Selangor.

    Beliau berkata penahanan lelaki itu berikutan satu laporan polis yang dibuat seorang wanita pada Selasa lalu setelah mendapati insiden suspek mengamuk tular di media sosial.

    “Dalam video berkenaan, kira-kira 9 pagi, semasa pengadu bersama pekerja sedang melayan pelanggan di sebuah restoran, seorang lelaki iaitu suspek secara tiba-tiba bertindak agresif.

    “Lelaki itu menjerit dan membaling bungkusan makanan serta air minuman panas ke dalam kedai dan terkena anak pengadu yang berumur empat tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Azlan berkata hasil siasatan mendapati suspek yang tidak bekerja itu mempunyai lima rekod berkaitan jenayah.

    Suspek kini direman sehingga 14 Jun depan bagi membantu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506/352 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan menggunakan kekerasan jenayah.

  • Selepas hilang enam bulan, Cikgu Musthafa disahkan meninggal dunia di Mekah

    Selepas hilang enam bulan, Cikgu Musthafa disahkan meninggal dunia di Mekah

    PENANTIAN selama enam bulan keluarga Musthafa Kamal Abdullah, 49, yang dilaporkan hilang di Mekah berakhir apabila mendapat perkhabaran jemaah berkenaan disahkan meninggal dunia oleh Kedutaaan Malaysia.

    Anaknya, Muhammad Nabel, 26, berkata, walaupun berat ujian diterima namun dia sekeluarga tetap reda dengan pemergian ayah yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja.

    “Saya sebak apabila dihubungi Kedutaan Malaysia pagi 11.40 pagi Jumaat memaklumkan berita kematian ayah di Mekah.

    Saya terus memaklumkan kepada ibu, Zurina Muhammad@Shamsuddin, 49 dan empat orang adik.

    “Saya diberitahu oleh pihak kedutaan di sana yang ayah sebenarnya telah meninggal dunia pada 13 Febuari lepas, melalui pengesahan biometrik dan segala pengurusan jenazah telah selesai, termasuk pengebumiannya,” katanya kepada Sinar Harian.

    Pada 6 Disember tahun lalu, Musthafa Kamal berangkat menunaikan umrah bersama anaknya, Muaz, 17, dan sepatutnya pulang ke Malaysia pada 18 Disember lalu.

    Bagaimanapun, bapa kepada lima anak itu dilaporkan hilang pada 12 Disember selepas Muaz menyedari bapanya tiada di bilik hotel di Makkah.

    Seterusnya pada 20 Januari lalu Muhammad Nabil, 26 dan Muaz, 17, berangkat ke Mekah untuk mencari bapa mereka, namun usaha berkenaan gagal.

    Muhammad Nabel menjelaskan, selain menunggu dokumen pengesahan kematian, mereka sekeluarga juga menunggu punca kematian dan lokasi Allahyarham bapanya menghembuskan nafas terakhir.

    Dia yang bertugas di Pejabat Kadi Batu Pahat, berhasrat membawa ibu dan empat adiknya untuk menziarahi pusara arwah ayahnya yang disemadikan di sebuah tanah perkuburan di Mekah dalam masa terdekat.

    “Saya menganggap kejadian ini mempunyai hikmah dan ayah meninggal dunia dalam keadaan yang baik (berihram) serta di dalam bulan yang baik (Rejab).

    “Saya berharap dapat bawa ibu ke Tanah Suci dan menziarahi pusara arwah ayah. Bagaimanapun kami merancang untuk ke sana selepas musim haji,” katanya.

    Sementara itu, Muhammad Nabel turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan bapanya selepas berita kehilangannya di Tanah Suci dilaporkan di media-media tempatan.

    “Pada Jumaat, solat jenazah ghaib turut diadakan di Masjid Jamek Sri Gading. Saya terharu, orang ramai terutama di Batu Pahat tidak henti-henti mendoakan arwah ayah.

    “Keluarga dan saudara dari Batu Pahat dan Simpang Renggam juga turut hadir menziarahi ibu dan kami adik beradik serta memberikan kami kata-kata semangat,” katanya.

  • Dakwa Zainab isteri Latif : Rafizi tak bercadang mohon maaf

    Dakwa Zainab isteri Latif : Rafizi tak bercadang mohon maaf

    RAFIZI Ramli menolak kata dua diberi Zainab Mohd Salleh selepas dia membuat dakwaan wanita terbabit adalah isteri kepada bekas menteri yang dikaitkan dengan isu kapal tempur pesisir (LCS).

    Peguam Rafizi, Razlan Hadri berkata, kenyataan dibuat Menteri Ekonomi itu tidak menyasarkan Zainab sebaliknya yang menjadi isu utama ialah mengenai cara kontrak LCS yang dikatakan tidak wajar diberikan oleh kerajaan terdahulu.

    Razlan berkata walaupun diakui bahawa Zainab bukan isteri Abdul Latiff Ahmad – yang sebelum ini menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri – Rafizi tidak akan meminta maaf kepada wanita terbabit.

    Katanya penegasan itu dibuat kerana kenyataan Rafzi adalah berdasarkan kepada laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung isu LCS.

    “Kenyataan Rafizi bukan fitnah (terhadap Zainab) kerana ia tertumpu kepada prosedur kerajaan dan perolehan yang dikaitkan dengan projek (LCS)..

    “Jika dia masih mahu menyaman, saya ada arahan (daripada Rafizi) untuk menerima penyerahan kertas kausa (dokumen mahkamah untuk sebarang tuntutan mahkamah yang mungkin difailkan),” kata Razlan baru-baru ini, lapor Malaysiakini.

    Sementara itu, ketika dihubungi baru-baru ini, Peguam Zainab, Yusfarizal Yussoff, berkata beliau “serius mempertimbangkan” untuk membawa Rafizi ke mahkamah sivil atas dakwaan memfitnah.

    Peguam itu berkata pendirian semasa mereka adalah berikutan maklum balas ahli parlimen Pandan terbabit terhadap surat tuntutannya yang dikeluarkan pada 23 Mac.

    Dalam surat tersebut Rafizi yang juga timbalan presiden PKR diberi tempoh 14 hari untuk meminta maaf kepada Zainab.

    Melalui surat tuntutan itu Zainab menafikan dia adalah isteri Latiff, justeru mengeluarkan kata dua kepada Rafizi.

    Dia juga mendakwa Rafizi menerbitkan enam kenyataan berunsur fitnah antara 22 Ogos dan 1 Nov tahun lepas di blognya, serta akaun TikTok miliknya.

  • Penunggang motosikal maut dihempap pokok tumbang ketika ribut

    Penunggang motosikal maut dihempap pokok tumbang ketika ribut

    SEORANG lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dihempap pokok yang tumbang dalam kejadian ribut di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu menghala ke George Town, Pulau Pinang awal pagi tadi.

    Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu, pokok tumbang terbabit turut menghempap beberapa kenderaan lain termasuk kereta jenis Marcedes Benz dan Perodua Myvi serta dua motosikal jenis Yamaha Y15 dan Avantis.

    Difahamkan, terdapat tiga mangsa iaitu dua lelaki yang juga penunggang motosikal dilaporkan mengalami kecederaan patah paha dan kaki manakala seorang wanita hanya cedera ringan.

    Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala mangsa maut diserahkan kepada pihak polis.

    Operasi menyelamat mangsa dilakukan oleh pasukan bomba dan pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut membantu melakukan kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian.

    Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd. Hafiz Hafizal Timaradin turut mengesahkan kejadian berlaku dan memberitahu pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.26 pagi.

  • Janna Nick, Dini Schatzmann  sah bergelar suami-isteri

    Janna Nick, Dini Schatzmann  sah bergelar suami-isteri

    PASANGAN pelakon, Janna Nick dan Dini Schatzmann selamat melangsungkan pernikahan dalam satu majlis tertutup yang berlangsung pagi tadi di Langkawi, Kedah.

    Dengan sekali lafaz, Dini atau nama sebenarnya, Muhamad Dini Azan Schatzmann, 29, sah bergelar suami kepada Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 28, tepat pukul 8.35 pagi.

    Dini dan Janna dinikahkan oleh bapa Janna sendiri, Muner Abdullah bersaksikan Pengerusi Masjid Aisyah, Haji Othman Yahya serta sepupu pengantin perempuan, Amir Fikri dan Amar Fikri.

    Dalam majlis serba indah yang berlangsung di Masjid Aisyah, Dini turut menyerahkan mas kahwin bernilai RM2,703 kepada Janna dan seutas rantai emas.

    Jumlah mas kahwin tersebut adalah simbolik tarikh perkenalan mereka pada 27 Mac 2019, lapor UTUSANTV.

    Majlis yang mendapat sentuhan rekaan The Calla itu dihadiri oleh ahli keluarga, rakan selebriti dan sahabat karib pasangan dua sejoli tersebut.

    Antara rakan artis yang hadir ke majlis ialah Izzue Islam, Nora Danish, Ain Edruce, Puteri Sarah Liyana, Nadia Brian, Mawar Rashid, Dayah Bakar dan ramai lagi.

    Pasangan tersebut seterusnya diraikan dalam sebuah majlis resepsi yang berlangsung di sebuah resort terkemuka di Langkawi.

    Malam tadi berlangsung majlis doa selamat dan bacaan yassin yang turut dihadiri penceramah Ustaz Wadi Annuar dan rakan-rakan artis serta ahli keluarga kedua-dua belah mempelai.

    Mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi, Dini juga teruja untuk memulakan fasa perjalanan kehidupan baharu sebagai seorang suami dan mengharapkan agar setiap langkah mereka melayari bahtera perkahwinan diberkati.

    “Alhamdulillah, rasa terpaling bahagia, maksimum. Rasa lega jua, majlis pernikahan ini sudah selesai dan berjalan lancar. Maka bermulalah perjalanan baharu kami sebagai suami isteri. Kami memang merancang perkahwinan yang bersifat peribadi dan privasi. Lebih bermakna untuk keluarga kami. Ini adalah momen sekali dalam hidup kami. Kami mahu jadikan majlis ini sesuatu yang indah sebagai memori kami berdua,” ujar Dini.

    Janna dalam pada masa sama turut  berkongsi perasaan gementar dan risau untuk melangkah ke alam perkahwinan.

    “Ini adalah satu fasa dan langkah terbesar sepanjang 28 tahun usia saya. Mengubah status daripada ‘single’ ke isteri dan Insta-Allah, seorang ibu. Saya juga mahukan satu majlis yang lebih dekat dengan saya sebagai Nurul Jannah. Meraikan fasa baharu saya bersama keluarga tercinta dan rakan-rakan,” katanya.

    Sementara itu, Dini berkata, mereka memilih lokasi berbulan madu di Koh Lipe, Thailand.

    “Kami tidak sempat untuk merancang berbulan madu di destinasi lebih jauh kerana penggambaran drama sudah bermula. Tetapi kesempatan bercuti ini kami akan ke Koh Lipe. Ini adalah destinasi bulan madu pertama kami,” katanya.

    Bercakap tentang kerjaya seni dan soal perancangan zuriat, Janna berkata, mereka bakal meneruskan kerja-kerja seni dan bersedia sekiranya dikurniakan rezeki cahaya mata.

    “Kita serahkan kepada Allah. Jika rezekinya awal, Alhamdulillah. Kami terbuka dan bersedia.

    “Sekiranya ada rezeki, mungkin saya akan mula memperlahankan kerjaya seni dan fokus kepada perancangan keluarga,” kongsinya.

  • ‘’Saya memang macam ini, kalau tidak… tentu jadi Mursyidul Am- Sanusi

    ‘’Saya memang macam ini, kalau tidak… tentu jadi Mursyidul Am- Sanusi

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengakui perwatakannya yang lantang bersuara dan tegas pendirian menyebabkan beliau dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat.

    Beliau berkata, perwatakannya adalah sifat semula jadi dalam dirinya dan bukannya lakonan atau sengaja dibuat-buat untuk meraih populariti.

    “Saya memang watak macam itu. Sebab itu mereka (Pas) bagi saya jadi Pengarah Pilihan Raya. Kalau tidak, tentu mereka bagi saya jadi Mursyidul Am Pas.

    “Kalau saya seperti yang mereka (parti lawan) kehendaki, tentu saya jadi Mursyidul Am dengan watak baik saja, tunduk dan apa pun tak kata pada orang. Watak (saya) asli macam tu, orang Kedah kan dengan bahasa Kedah,” katanya lapor SINAR HARIAN.

    Sehubungan itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu berharap masyarakat memahami watak-watak yang dibawa oleh beliau sama ada berperanan sebagai pemimpin politik atau Menteri Besar.

    “Watak-watak di media sosial atau di mana-mana itu adalah watak berdasarkan fungsi saya dalam parti atau fungsi sebagai Menteri Besar.

    “Tugas saya sebagai Menteri Besar beza dengan tugas saya sebagai Pengarah Pilihan Raya. Ucapan dalam ceramah kempen pilihan raya itu sebagai Pengarah Pilihan Raya, ada bezanya. Sebab kita diletakkan pada batang tubuh yang sama dengan beberapa fungsi dan memakai beberapa topi dan kasut,” jelasnya.

    Muhammad Sanusi turut menafikan bersikap berlebih-lebihan ketika di pentas ceramah menyebabkan tindakannya itu terpalit pada jawatan yang disandang selaku ketua kerajaan.

    “Saya tak ada berlebihan, saya memang macam itu. Saya bukan ada salah apa, hanya salah bersaing dalam arena politik, yang saya ucap dalam ceramah itu boleh dijawab dalam ceramah balik. Saya tak panas, saya steady saja.

    “Saya tengok ceramah pilihan raya Perdana Menteri pun sakan juga, ada keluar macam-macam perkataan. Saya tak ambil itu sebagai ucapan Perdana Menteri tetapi ucapan Presiden parti beliau ketika kempen pilihan raya,” ujarnya lagi.

    Menurutnya, peranan sebagai Menteri Besar dipatuhi berlandaskan garis panduan seperti termaktub dalam sumpah perjawatan.

    “Saya tak ada buat ucapan di luar tata susila seorang pemimpin negeri apabila saya memakai kasut Menteri Besar. Kalau diambil kerja saya yang lain letak dalam kasut Menteri Besar, itu tidak adil.

    “Masa saya pakai topi Pengarah Pilihan Raya, ucapan kita daripada parti yang bertembung, bersaing dalam sistem demokrasi tentulah menunjukkan kebaikan parti kita dan kelemahan lawan,” tegasnya.

    Beliau percaya semua parti politik melakukan pendekatan yang sama mengikut peranan masing-masing.

    “Tiga lagi Menteri Besar Pas tak ada jawatan macam saya. Menteri Besar Perlis sebagai Pesuruhjaya Pas negeri, Menteri Besar Kelantan dilantik Timbalan Mursyidul Am dan Menteri Besar Terengganu selaku Naib Presiden.

    “Saya adalah Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, fungsi saya dengan mereka berbeza. Jika diambil ucapan dan tindakan saya berdasarkan jawatan itu yang bersaing dalam medan politik dibawa dan letak dalam kasut Menteri Besar, itu penilaian yang tidak tepat dan tidak adil untuk saya,” jelasnya.

  • Kenyataan Kit Siang dangkal,politik murahan – Mas Ermieyati

    Kenyataan Kit Siang dangkal,politik murahan – Mas Ermieyati

    DATUK Mas Ermieyati Samsudin menyifatkan kenyataan bekas Penasihat DAP, Tan Sri Lim Kit Siang bahawa beliau tidak layak menerajui Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) disebabkan memboikot perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN)  di Dewan Rakyat pada Selasa dan Rabu lalu, membuktikan ‘kedangkalan’ bekas Ahli Parlimen berkenaan memahami Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMDR).

    Dalam kenyataan hari ini, Mas Ermieyati yang merupakan Pengerusi PAC berkata, sebagai orang lama dalam Parlimen, Kit Siang seharusnya mengetahui kuasa yang diberikan Dewan Rakyat terhadap PAC terutama sekali dalam Peraturan Mesyuarat 77(1)(c).

    ‘’Peraturan itu jelas menyebut bahawa PAC… memeriksa penyata-penyata Pemeriksa Kira-kira Negara yang dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat menurut Perkara 107 dalam Perlembagaan, ‘’katanya.

    Sehubungan itu beliau turut menyifatkan, kenyataan Kit Siang adalah politik murahan yang jelas tidak mengendahkan peruntukan kuasa yang diberikan kepada PAC.

    ‘’Ia membuktikan bahawa Tan Sri Lim terus mahu menggunakan Parlimen sebagai alat politik,’’ tegasnya.

    Selain itu, kata Ahli Parlimen Masjid Tanah itu, sebagai individu yang mempunyai latar belakang undang-undang, kenyataan Kit Siang menunjukkan betapa sikap pilih bulu dan bermuka-muka dengan tidak mengambil kira fakta dan peruntukan undang-undang sama ada yang terdapat dalam Peraturan Mesyuarat dan Perlembagaan Persekutuan.

    ‘’Seperti yang saya tegaskan dalam sidang media PAC semalam bahawa Jawatankuasa ini bersetuju sebulat suara untuk menyiasat isu-isu yang dibangkitkan Ahli Dewan Rakyat dalam perbahasan LKAN terutamanya mengenai Pengurusan Wabak Covid-19,.

    ‘’Persoalan saya kepada Tan Sri Lim apa hasil yang diperoleh Kerajaan dalam perbahasan berkenaan? Semuanya retorik politik dan segala isu yang dibangkitkan dalam LKAN kini dalam tindakan pihak berkuasa,’’ katanya.

    Beliau berkata,  di PAC, semua isu dalam LKAN disiasat dengan teliti dan terperinci sebelum satu laporan PAC yang mengandungi rumusan dan syor dibentangkan kepada rakyat di Parlimen.

    ‘’Daripada Tan Sri Lim mempersoalkan kredibiliti saya sebagai Pengerusi PAC, adalah lebih baik Tan Sri Lim bertanya kepada Speaker Dewan Rakyat mengenai perbahasan Laporan PAC kerana inilah yang diperjuangkan selama ini oleh Ahli-ahli Parlimen daripada parti Tan Sri Lim,’’ katanya.

    Mas Ermieyati menegaskan, seharusnya keutamaan Ahli-ahli Dewan Rakyat adalah terhadap perbahasan Laporan PAC kerana ia adalah sebuah laporan yang dihasilkan sebuah Jawatankuasa Dewan Rakyat.

    ‘’Malah laporan ini telus serta lengkap dengan kenyataan daripada saksi-saksi terdiri daripada Pegawai Pengawal Kementerian iaitu Ketua Setiausaha yang mempunyai kuasa eksekutif dan bertanggungjawab penuh dalam urusan perolehan dan kewangan Kementerian,’’ katanya.

  • SPRM beku 192 akaun bank bernilai RM39 juta termasuk milik bekas menteri kanan

    SPRM beku 192 akaun bank bernilai RM39 juta termasuk milik bekas menteri kanan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membeku 192 akaun bank bernilai RM39 juta termasuk milik bekas menteri kanan dan dua ahli perniagaan bergelar Tan Sri.

    Tindakan dibuat bagi siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001), susulan dakwaan penyelewengan dana negara berjumlah anggaran RM2.3 bilion.

    SPRM dalam kenyataannya, berkata dana berjumlah melebihi RM39 juta itu membabitkan 192 akaun terdiri daripada 35 akaun syarikat dan 157 akaun individu.

    “SPRM kini sedang giat memperoleh maklumat dalam siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana negara berjumlah anggaran RM2.3 bilion,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian.

    SPRM berkata, pihak juga menggeledah kediaman bekas menteri kanan dan dua ahli perniagaan bergelar Tan Sri itu.

    Katanya, dua ahli perniagaan itu juga sudah dirakamkan percakapan.

    “SPRM merakam pernyataan dua individu bergelar Tan Sri berkenaan, selain menggeledah kediaman serta premis-premis berkaitan membabitkan bekas menteri kanan dan ahli perniagaan berkenaan, kelmarin.

    “Kesemua mereka juga sudah diserahkan notis mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) bagi tindakan-tindakan itu dan susulan itu beberapa dokumen berkaitan kes yang diperoleh,” katanya.

  • Jemaah Haji dinasihatkan lipatganda ibadat ketika Tanah Suci

    Jemaah Haji dinasihatkan lipatganda ibadat ketika Tanah Suci

    JEMAAH haji diingatkan supaya memanfaatkan masa yang berharga di Tanah Suci dengan melipatgandakan ibadat kerana peluang untuk berada di bumi penuh barokah ini mungkin hanya hadir sekali seumur hidup.

    Pengarah Operasi Bimbingan Haji, Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, setiap jemaah haji perlu mempunyai perancangan masing-masing bagi memenuhi ruang masa yang ada.

    “Di Tanah Suci Allah akan gandakan pahala menjadi 100,000 kali dan kemungkinan Allah akan tambah lebih daripada 100,000 pahala berdasarkan ketakwaan.

    “Sertai program ceramah Tabung Haji (TH), tazkirah dan jika ke Masjidil Haram beriktikaf serta memandang Kaabah kerana dengan berbuat demikian, kita akan mendapat pahala.

    “Datang ke sini 30 hingga 40 hari masa kita perlu isi dengan untuk ibadat kepada Allah, baca al-Quran kerana kalau khatam sekali seumpama khatam 100,000 kali berbanding di tempat lain,” katanya lapor wartawan SINAR HARIAN di Mekah.

    Ujarnya, tidak sukar untuk khatam al-Quran kerana jika mempunyai perancangan untuk mendalami kalam Allah itu dengan istiqamah.

    “Kita tengok al-Quran cetakan Uthmani ada 600 muka surat, jadi kita bahagi dengan 30 juzuk ertinya dalam 20 muka surat. Baca satu juzuk sehari maksudnya dapat khatam satu al- Quran. Jadi untuk dapat 20 muka surat mudah sahaja kerana satu hari ada lima waktu solat. Setiap waktu solat kita boleh baca empat muka surat,” katanya.

    Ujar beliau, jika ada kemampuan boleh perbanyakkan lagi bacaan al-Quran dan ibadat lain.

    “Daripada pengamatan saya kalau jemaah haji tiada perancangan mereka akan membuang masa dengan tidur berlebihan, makan dengan banyak…jumpa kawan-kawan berborak perkara tak berfaedah.

    “Sedangkan inilah masa nak beribadat kepada Allah dengan peroleh haji yang mabrur kerana Allah sudah janji tiada balasan bagi haji yang mabrur kecuali syurga,” katanya.

    Mengulas perkara yang sama, Pembimbing Ibadat Haji, Dr Najib Abdullah berkata, di Tanah Suci Allah telah sediakan medan bagi umat Islam untuk kumpul pahala.

    “Kita kena buat perkara yang Allah suka antaranya bertawaf, solat berjemaah, bersedekah, puasa dan cuba lakukan semaksimum mungkin seiring dengan keupayaan kesihatan.

    “Jangan lalai dengan setiap detik yang ada kerana waktu umpama pedang, jika kamu tak potong ia, ia akan memotong kamu,” katanya.

    Ujar beliau, perancangan ibadat penting supaya jemaah tidak berasa menyesal apabila hampirnya tarikh untuk pulang ke tanah air nanti.

    “Janganlah apabila hampirnya waktu untuk pulang nanti baru tersedar bahawa tidak banyak ibadat dilakukan sepanjang berada di sini. Pada masa itu mungkin dah terlewat,” katanya.

    Berkongsi tips untuk mendekatkan diri dengan al-Quran, Dr Najib berkata bacalah kalam Allah itu dengan terjemahannya Insya-Allah tidak akan menjadi bosan.

    “Baca ayat al-Quran itu memang dapat pahala tapi akan mengantuk, tapi kalau kita baca dengan maknanya maka satu ketika kita tidak akan dapat berhenti membaca.

    “Rasa sangat indah dan nikmat dengan membaca al-Quran.Kita rasa ingin tahu apa yang Allah cerita dalam Quran dan dahagakan wahyu Allah,” katanya.