Author: Wartawan WartaRakyat

  • Prospek UMNO pada PRN tidak diyakini akar umbi

    Prospek UMNO pada PRN tidak diyakini akar umbi

    SETELAH tirai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 dilabuhkan semalam, ketidaktentuan melanda parti itu menjelang PRN di enam negeri akan datang.

    Peristiwa-peristiwa yang berlaku di PAU kali ini tidak banyak membantu melenyapkan persepsi wujudnya perbalahan dan perpecahan dalam UMNO, dengan banyak persoalan timbul, sama ada parti itu boleh mengubah nasibnya sebelum PRN tiba.

    Beberapa pemimpin akar umbi UMNO memberitahu FMT, mungkin sudah ‘terlambat’ untuk menyampaikan hala tuju parti serta kerjasamanya dengan Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, kepada ahli akar umbi.

    Ahli akar umbi, kata mereka, memainkan peranan penting dalam komunikasi dengan pengundi sepanjang tempoh berkempen.

    “Jika ahli akar umbi tidak mendapat mesej yang betul (daripada kepimpinan parti), mereka tidak akan turun padang untuk berkempen,” kata seorang pemimpin akar umbi dari Tapah, yang enggan namanya disiarkan.

    “Jika mesej yang betul mengenai kerjasama UMNO dengan DAP tidak disampaikan kepada akar umbi, ada kemungkinan ahli-ahli ini akan melompat ke Bersatu kerana mereka percaya komponen Perikatan Nasional (PN) itu memperjuangkan hak Melayu.”

    Sementara itu, seorang pemimpin akar umbi dari Johor berkata, jika Datuk Seri Zahid Hamidi kekal sebagai presiden parti, kedudukan UMNO dalam kalangan pengundi akan terus merosot susulan prestasi hambarnya pada PRU15 tahun lepas.

    UMNO hanya memenangi 26 kerusi Parlimen pada PRU15, jumlah perwakilan terendah pernah diperoleh parti itu di Dewan Rakyat.

    “Masalah dengan Zahid adalah personanya, kerana beliau tidak semudah didekati seperti bekas presiden Datuk Seri Najib Razak.

    “Ini seterusnya akan memberikan kesan kepada pengundi muda, yang mahukan seseorang yang boleh didekati,” kata pemimpin akar umbi itu.

    Seorang ketua Pemuda UMNO berkata, adalah sukar bagi Zahid untuk mengendalikan parti.

    “Kami (Pemuda UMNO) tidak sepemikiran dengan Zahid dan tidak begitu yakin dengan kepimpinannya. Kami tidak boleh maju jika beliau terus memimpin,” katanya.

    Ketua Pemuda UMNO Dr. Akmal Saleh menafikan dakwaan bahawa sayap itu bercanggah dengan Zahid.

    Katanya, mereka sangat menghormati presiden parti.

    Bagaimanapun, menurut pemimpin Pemuda sebelum ini, walaupun sayap itu ‘mempunyai hubungan yang baik’ dengan Zahid, ia masih mempunyai pandangan sendiri yang tidak semestinya selari dengan presiden parti.

    Dengan wujudnya isu-isu ini yang masih belum selesai, prospek UMNO untuk PRN masih samar-samar.

  • Takiyuddin sahkan Eizlan Yusof sertai Pas

    Takiyuddin sahkan Eizlan Yusof sertai Pas

    SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan pelakon dan pengarah, Datuk Seri Eizlan Yusof telah menyertai parti itu.

    Beliau berkata, terdapat beberapa lagi tokoh lain yang akan turut menyertai Pas namun nama mereka akan diumumkan pada waktu yang sesuai.

    “Datuk Eizlan Yusof sah jadi ahli dan bersama dengan dia pun ramai lagi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat di Seremban semalam.

    Sebelum ini media melaporkan yang Eizlan enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan yang beliau bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) di bawah tiket Pas dan meminta menunggu pengumuman berkaitan sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.

    Dalam perkembangan sama, Takiyuddin berkata, Pas menerima antara 3,500 sehingga 4,000 orang keahlian baharu setiap bulan.

    “Hari ini (Ahad) saja ada 3,000 lebih termasuk penyertaan kumpulan Tan Sri Annuar Musa sendiri dan difahamkan akan ada lagi secara berkumpulan termasuk di peringkat negeri-negeri,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, Pas tiada masalah untuk mempertimbangkan Annuar sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

    “Itu sesuatu perkara yang boleh kita fikirkan. Kita tengoklah, kerana Annuar tidak beri apa-apa syarat.

    “Dia (Annuar) masuk ke dalam Pas untuk berjuang bersama Pas tanpa apa-apa syarat. Jadi soal, pencalonan semua itu akan bincang dan sebagai ahli Pas, dia layak untuk dicalonkan serta diberi peranan sebagai calon Pas,” katanya.

    Ujarnya, sebagai seorang tokoh politik di Kelantan, Annuar boleh memberi satu gelombang kemenangan kepada PN, lapor Sinar Harian.

  • Muhyiddin gesa Anwar jelaskan butiran perjanjian sempadan maritim dengan Indonesia

    Muhyiddin gesa Anwar jelaskan butiran perjanjian sempadan maritim dengan Indonesia

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menjelaskan butiran perjanjian berkaitan sempadan maritim yang didakwa ditandatangani ketika lawatan Presiden Indonesia Jokowi ke Malaysia baru-baru ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membuat gesaan itu mendedahkan ada menerima laporan bahawa pakar-pakar telah memberikan nasihat supaya Perdana Menteri tidak menandatangani perjanjian itu.

    “Saya tak menuduh Perdana Menteri, saya nak minta dia beri penjelasan atau beri kenyataan dan keterangan kepada rakyat secara terbuka tak payah diselindungkan, apa yang telah dia meterai dalam perjanjian itu.

    “Kerana ada laporan yang bagi tahu, pakar-pakar maritim nasihat Perdana Menteri jangan sain. Kalau dinasihat jangan sain ada perkara-perkara tertentu,” katanya berucap pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan di Senawang malam tadi.

    Lebih 10,000 pengunjung hadir ke ceramah yang turut dihadiri Presiden Pas yang juga Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali.

    Muhyiddin berkata, ketika menjadi Perdana Menteri beliau mengakui isu tersebut sukar dimuktamadkan walaupun telah banyak rundingan diadakan.

    “Sampai hari ini tidak selesai..fasal ada banyak perkara sensitif dan dia berkaitan dengan sempadan Johor dan Sabah,” katanynya.

    Beliau menambah, dalam isu-isu berkaitan kedaulatan, sempadan antarabangsa dengan negara lain tidak boleh dibuat dengan mudah.

    “Hal berkaitan dengan kedaulatan tak boleh kompromi. Jangan mudah-mudah nak bagi walau seinci pun,” tegasnya.

    Sementara itu dalam ucapan sama Muhyiddin mengajak rakyat Negeri Sembilan dan lima negeri lain yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) supaya mengundi PN sebagai satu referendum bantahan kepada kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional PH-BN kerana gagal mengurus negara dengan berkesan.

    “Biar kita ajar dia (kerajaan) betul-betul.. ini isyarat… rakyat sudah marah,” ujarnya lagi.

  • Annuar Musa sah diterima jadi ahli Pas

    Annuar Musa sah diterima jadi ahli Pas

    TAN Sri Annuar Musa sah menjadi ahli Pas apabila permohonan beliau menyertai diterima oleh parti berkenaan.

    Penerimaan bekas Ahli Parlimen Ketereh itu diumumkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat di Seremban malam ini.

    Sijil keahlian Annuar yang pernah menjadi ahli UMNO selama 50 tahun itu disampaikan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang turut hadir pada program berkenaan.

    Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh turut menerima sijil keahlian Perikatan Nasional (PN) daripada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Ketika berucap di program itu, Annuar berkata, keputusan untuk menyertai dibuat ketika beliau berada di Tanah Suci Mekah pada Ramadan lalu.

    Katanya, langkah yang dianggap beliau bersejarah itu dilakukan   selepas meneliti secara dekat dan mendalam senario politik negara, lebih-lebih lagi apabila mengenang realiti UMNO, bukan lagi sebuah parti yang menjadi pilihan rakyat.

    “Walaupun ada pemimpin-pemimpin yang dipecat kononnya sedia untuk bersama UMNO, (tetapi) saya nekad buat keputusan tidak kembali kepada UMNO. Realitinya UMNO bukan lagi parti pilihan rakyat, UMNO bukan parti pilihan masa ini (malahan) bukan lagi parti mengutamakan perpaduan rakyat yang mahu menjaga agama, bangsa dan negara,” katanya.

    Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata,  UMNO kini sebuah parti politik yang sedang ‘digonggong’ oleh Presidennya Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi sehingga menyebabkan parti itu menjadi penderhaka.

    “Tiada sebab saya menghabiskan sisa usia saya, sisa keringat saya, harta benda saya untuk parti yang sedang ‘digonggong’ Presidennya yang boleh menyebabkan parti itu menjadi penderhaka kepada orang Melayu dan umat Islam,” katanya lagi.

     Annuar berkata, beliau akan mengupas secara terperinci kenapa beliau menyertai Pas dalam program ceramah PN sempena PRN di enam negeri tidak lama lagi

  • UMNO sudi terima bekas ahli – Zahid

    UMNO sudi terima bekas ahli – Zahid

    UMNO sudi menerima kembali bekas ahli dan mereka yang digantung keahlian sekiranya tidak menyerang parti itu dari luar.

    Presidennya, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi  berkata, kelakuan mereka selepas dihukum akan menunjukkan sama ada mereka setia atau membinasakan parti.

    “Kita mahu lihat selepas tindakan itu sama ada mereka benar-benar ‘orang parti’ atau gunting dalam lipatan. Kalau benar ‘orang parti’ mereka tidak berkokok di sana sini. Kalau sayangkan parti, mereka harus akur,” katanya ketika menggulung Perhimpunan Agung UMNO 2023, hari ini, lapor FMT.

    Ahmad Zahid berkata pimpinan parti sentiasa terbuka untuk menerima saranan para perwakilan tentang menerima kembali ahli yang dikenakan tindakan disiplin.

    Beliau turut mempertahankan tindakan yang diambil terhadap individu terbabit, mengatakan ia dilakukan secara profesional.

    Sementara itu, pada sidang media selepas ucapannya, Zahid berkata rayuan bekas ahli akan diputuskan selepas meneliti laporan Lembaga Disiplin.

    Semalam, bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman yang digantung keahlian enam tahun muncul di PAU 2023, dan meminta pimpinan parti membuat keputusan segera mengenai rayuannya.

    Tajuddin mendedahkan beliau telah merayu tiga kali namun sehingga kini belum ada jawaban daripada parti.

    “Jangan lah buat saya macam budak-budak, saya pun ada maruah,” katanya, dan menambah rayuan terbaharu dibuat pada Mac. Beliau digantung keahlian pada Oktober, menyusuli kritikan-kritikan lantang terhadap kepimpinan Zahid.

    Mengenai PRN di enam negeri, beliau yang Pengerusi BN berkata, beliau percaya parti itu akan  memperoleh lebih kerusi.

    Katanya,  agihan kerusi itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

    “PRN di enam negeri, saya amat yakin insya-Allah kita akan memuktamadkan tentang pengagihan kerusi dan insya-Allah kita akan memperoleh kerusi yang sepatutnya dan melebihi PRU yang lepas,” katanya.

    Pada PRU14, BN bertanding di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor (56), Pulau Pinang (13), Kedah (36), Negeri Sembilan (36), Kelantan (45) dan Terengganu (32).

    Pada pilihan raya berkenaan, BN memenangi hanya empat kerusi di Selangor, dua di Pulau Pinang, tiga di Kedah, 16 di Negeri Sembilan, lapan di Kelantan dan 10 di Terengganu. 

  • Nazri cadangkan Perlembagaan dipinda bagi pastikan kerajaan stabil

    Nazri cadangkan Perlembagaan dipinda bagi pastikan kerajaan stabil

    DUTA  Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencadangkan agar Perlembagaan negara dipinda supaya selepas pilihan raya, Parlimen wujud selama lima tahun bagi memastikan kerajaan terus stabil, 

    Katannya, cadangan itu dikemukakan bagi memastikan tidak berlaku lagi usaha menjatuhkan kerajaan seperti yang dilakukan sebelum ini.

    Beliau menjelaskan, cadangan itu telah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu pertemuan hari ini.

    ‘’ Untuk memastikan bahawa tempoh lima tahun sesebuah kerajaan dibentuk, saya cadangkan supaya dipinda perlembagaan supaya disebut iaitu selepas pilihan raya, Parlimen itu wujud selama lima tahun, lima tahun bermaksud lima tahun.

    “Tidak boleh tidak sampai lima tahun, masuk tiga tahun, jatuh, kalau ini dibenarkan bermakna dalam pemikiran orang boleh dijatuhkan kerajaan itu dalam masa kurang lima tahun,” katanya kepada Astro AWANI.

    Mohamed Nazri menegaskan, dengan cara itu juga dapat mewujudkan persepsi dalam kalangan rakyat adalah kerajaan yang ditubuhkan selepas pilihan raya adalah untuk tempoh lima tahun.

    “Jadi saya kira kalau kita dapat pinda perlembagaan ini, maka dia akan memberikan persepsi dan juga optik kepada rakyat apabila kerajaan ditubuh adalah untuk lima tahun,” katanya lagi.

    Beliau menjelaskan isu kestabilan kerajaan itu banyak dibangkitkan oleh pelabur-pelabur dan ahli politik Amerika Syarikat yang ditemuinya.

    Mohamed Nazri menegaskan sekiranya masih ada pihak yang berusaha untuk menjatuhkan kerajaan, mereka itu boleh dianggap telah menderhaka kepada Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Hujah Mohamed Nazri, Yang Dipertuan Agong telah menitahkan agar sebuah kerajaan perpaduan sepertimana yang ada hari ini ditubuhkan setelah tidak ada mana-mana gabungan yang memperolehi jumlah majoriti.

    Beliau menjelaskan, umum mengetahui Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menolak cadangan agar ditubuhkan kerajaan gabungan PN dan PH.

    “Ini merupakan kerajaan atas perintah Tuanku, jadi bila Tuanku sudah perintah maka kuasa dia pun, maka tidak berbangkitlah kerajaan ini akan jatuh.

    “Apabila Tuanku keluarkan perintah, maka kita semua rakyat yang menyatakan taat setia kepada Tuanku, mana boleh lepas itu kita ingkar dengan Tuanku, tak sokong dan cari jalan bagaimana nak tarik sokongan bagi jatuhkan kerajaan, naik kerajaan baru, tak boleh, ini kerajaan Tuanku.

    “Jadi mana-mana ahli Parlimen yang berfikir untuk menarik sokongan untuk menjatuhkan kerajaan yang tuanku telah perintah untuk ditubuh, itu merupakan penderhakaan, itu merupakan keingkaran.

    “Di bawah Rukunnegara kita ada kesetiaan kepada Raja, maka mereka tak boleh buat demikian, jadi dengan cara ini kerajaan ini tak boleh jatuh, solid lah.

    “Kita kena sampaikan kepada rakyat, iaitu bahawa kerajaan ini sudah tidak boleh jatuh, kerajaan ini kekal kerana wujudnya akta anti lompat dan wujudnya perintah Tuanku supaya kerajaan ini ditubuhkan,” ujar beliau.

    Mohamed Nazri juga menjelaskan ahli-ahli politik sepatutnya meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.

  • DAP mohon maaf atau tidak, Pemuda UMNO tetap bantu kempen PRN

    DAP mohon maaf atau tidak, Pemuda UMNO tetap bantu kempen PRN

    PERGERAKAN Pemuda UMNO tetap akan membantu parti komponen Kerajaan Perpaduan dalam PRN di enam negeri tidak lama lagi tidak kira sama ada DAP memohon maaf atau tiddak kepada parti itu.

    Ketuanya, Dr.Muhamad Akmal Saleh berkata, Pemuda UMNO tidak boleh memaksa DAP berbuat demikian tetapi ika DAP tidak memohon maaf, ia akan menimbulkan ketidaksenangan pengundi dan juga ahli UMNO di peringkat akar umbi.

    ‘’Permohonan maaf tersebut hanya untuk meredakan tekanan antara akar umbi UMNO dan DAP. Tuntutan itu mewakili suara akar umbi. Kalau mereka tidak mahu minta maaf, tidak boleh paksa,’’ katanya pada sidang media ketika menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur hari ini.

    Mengenai kedudukan UMNO dalam kerajaan, Dr.Muhamad Akmal menegaskan, walaupun parti itu harus sedar  tidak mempunyai bilangan kerusi mencukupi untuk menjadi dominan dalam kerajaan namun  hala tujunya mesti bukan sekadar mahu menjadi parti yang “mencukupkan jumlah” kerusi kerajaan sahaja.

    “Itulah sebenarnya keresahan di peringkat bawah (akar umbi), dan hari ini rata-rata di peringkat bawah sudah tahu apakah hala tuju yang kita nak.

    “UMNO sama sekali tidak mampu untuk menjadi ‘hanya nak mencukupkan kerusi sahaja’. UMNO mesti kembali dominan – ini yang kita mahukan, dan nak kembali dominan UMNO mesti mendapat balik kepercayaan rakyat. UMNO mesti buktikan dan tunjukan bahawa parti ini sudah berubah seperti apa yang rakyat mahukan,’’ katanya.

  • Bekas Setiausaha Agung UMNO sekadar buat andaian punca sebenar BN kalah – Ismail Sabri

    Bekas Setiausaha Agung UMNO sekadar buat andaian punca sebenar BN kalah – Ismail Sabri

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini membalas kenyataan bekas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mendakwa UMNO tidak seteruk jika Putrajaya ikut keputusan bersama membubarkan Dewan Rakyat selepas PRN Melaka dan Johor.

    Dalam kenyataan bekas Perdana Menteri itu menegaskan, punca sebenar kekalahan Barisan Nasional (BN) kerana mempunyai bekas Setiausaha Agung UMNO yang hanya sekadar boleh membuat “andaian mudah” berlandaskan logik akal tanpa mempunyai statistik sokongan peringkat Persekutuan kepada BN.

    Berikut kenyataan penuh Ismail Sabri ;

    Pagi ini media melaporkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mendakwa UMNO tidak seteruk ini jika pihak Putrajaya (Kerajaan pada ketika itu) ikut keputusan bersama membubarkan Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. 

    Hakikatnya, pandangan yang simplistik tanpa fakta dan statistik oleh bekas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan seperti inilah yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke- 15 (PRU-15). 

    Unjuran UMNO pada ketika itu BN boleh melepasi 112 kerusi dan boleh membentuk Kerajaan secara solo. 

    Soalnya, apakah ada kajian sikap secara komprehensif telah dilakukan sebelum membuat unjuran tersebut kerana akhirnya BN hanya tinggal 30 kerusi di Dewan Rakyat. 

    Sebagai Perdana Menteri pada ketika itu, saya mendapat laporan daripada pelbagai agensi yang menunjukkan suasana pada ketika itu BN masih tidak mampu untuk menang. Semasa itu, ekonomi sedang dalam proses pemulihan selepas kita terjejas teruk akibat Pandemik COVID-19. Sepatutnya proses pemulihan diteruskan bukan dengan membubarkan Parlimen. 

    Usaha-usaha untuk memulihkan ekonomi negara dan rakyat telah mula menunjukkan hasil. Buktinya, ekonomi negara berkembang sebanyak 8.7 peratus pada tahun 2022, terbaik di rantau Asia Tenggara malah antara yang tertinggi di dunia tetapi usaha itu tidak dapat diteruskan kerana desakan berterusan supaya Parlimen dibubarkan. 

    Namun kerana yakin menang tanpa fakta, akhirnya BN kecundang dalam PRU-15.  PRN tidak boleh dijadikan sebagai indikator untuk menentukan kejayaan BN dalam PRU. Keadaan politik negara amat dinamik. 

    PRN dan PRU adalah dua perkara yang amat berbeza. PRN lebih tertumpu kepada isu negeri khususnya prestasi Kerajaan yang mentadbir negeri pada ketika itu. PRU melibatkan isu nasional. Apatah lagi persepsi terhadap BN secara keseluruhannya masih tidak baik pada ketika itu. 

    Inilah punca sebenar kekakalahan BN kerana mempunyai bekas Setiausaha Agung UMNO yang hanya sekadar boleh membuat andaian mudah berlandaskan logik akalnya sahaja tanpa mempunyai statistik sokongan peringkat persekutuan kepada BN. 

  • Siasatan ke atas Sanusi bukan dendam politik – Saifuddin

    Siasatan ke atas Sanusi bukan dendam politik – Saifuddin

     SIASATAN ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bukanlah satu tindakan yang dilakukan atas dasar dendam politik.

    Sebaliknya, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia dilakukan mengikut lunas undang-undang dan profesional oleh pihak berkuasa.

    Beliau menjelaskan,  siasatan terhadap Sanusi juga dilakukan susulan ucapan pemimpin berkenaan yang didakwa menimbulkan keresahan kepada banyak pihak.

    Saifuddin juga menjelaskan, sekiranya tiada tindakan diambil, kerajaan akan dilihat sebagai tidak mampu dan berani untuk menguatkuasakan undang-undang yang sebenar di negara ini.

    “Kalau siasatan itu akan selesai, report polis akan diserahkan kepada Peguam Negara, kalau kata siasatan dianggap mencukupi baharulah proses pendakwaan (akan dijalankan), kalau tidak cukup (bukti atau lengkap siasatan), peguam negara akan hantar kepada pihak polis.

    “Jadi (untuk waktu sekarang), biar mereka (yang bertanggungjawab) buat kerja dulu, kita tidak perlu komen (tindakan ini dilakukan atas) dendam politik, (jadi) tidak timbul benda itu.

    “Apa yang jelas berlaku (adalah) di pihak (Menteri Besar), sebelum siasatan (beliau cakap) padam, ubah atau pinda Perlembagaan, selepas dipanggil polis, (beliau cakap) saya tidak kata pinda Perlembagaan, tidak usah (jangan) lah (seperti itu), stick to one statement sahaja, kata atau tidak, gesa atau tidak, (biar) perkara itu, (dan) biar polis siasat,” katanya lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Jabi, Pokok Sena hari ini.

    Saifuddin yakin Sanusi akan memberikan kerjasama yang baik dan profesional dalam siasatan yang dijalankan.

    Rabu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah selesai mengambil keterangan daripada Sanusi berhubung kenyataannya yang mendakwa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

    Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman merakam percakapan Menteri Besar Kedah itu di Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

    Pada 29 Mei lepas, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah dan beliau mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

  • ‘’Ahli UMNO mahu Najib dibebaskan segera’ – Rosmah

    ‘’Ahli UMNO mahu Najib dibebaskan segera’ – Rosmah

    DATIN Seri Rosmah Mansor menyifatkan laungan ‘’Bebaskan Bossku’ yang bergema di Dewan Merdeka, semalam membuktikan ahli-ahli UMNO mahukan suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak dibebaskan segera daripada penjara.

    Katanya, beliau terharu dengan sokongan yang diberikan oleh ahli-ahli parti itu terhadap Najib.

    “Saya berasa amat terharu dengan sokongan yang diberikan oleh ahli-ahli UMNO yang datang ke PAU (Perhimpunan Agung UMNO) ini. Saya dapat merasai betapa mereka menghayati perjuangan suami saya dan juga mereka berharap supaya suami saya dibawa keluar secepat mungkin,” katanya lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

    Rosmah berkata, dalam hati ahli UMNO selama ini mereka tahu bahawa suaminya tidak dapat perbicaraan yang adil.

    “Jadi, semalam mereka cakap mereka inginkan Najib mendapat keadilan. Terima kasih kepada mereka yang berjuang keadilan di negara ini,” katanya.

    Sementara itu, Rosmah berkata beliauterkenang Najib ketika menjadi Presiden parti dan duduk pentas utama dalam perhimpunan parti berkenaan.

    “Tentu rasa sedih, kerana beliau tidak dapat bersama-sama dengan kita. Kadang-kadang saya bayang ketika dia presiden bagaimana beliau duduk di atas itu memikirkan percakapan ahli UMNO,” katanya.