TAN Sri Annuar Musa mahu Pas yang baru disertainya itu segera diangkat menjadi teras utama perjuangan ummah.
“Orang Melayu dan Islam perlu bersatu di bawah panji perjuangan yang lebih jujur dan istiqamah menjunjung agama, bangsa dan negara.”
Tegasnya, orang Melayu dan umat Islam perlu segera disatu padukan di bawah panji-panji perjuangan yang lebih istiqamah dan lebih jujur menjunjung agama, bangsa dan negara.
“Pilihannya adalah Pas,” ujar bekas Ahli Parlimen Ketereh itu yang pernah menjawat jawatan menteri dan kepimpinan tertinggi UMNO.
Katanya lagi:”Pas perlu segera diangkat menjadi teras utama perjuangan ummah dengan prinsip perjuangan yang lebih luhur dan berterangkuman. Insya-Allah.
“Bersatulah wahai kaum muslimin dan peribumi bersama rakan dan sahabat pelbagai kaum dan bangsa dalam negara tercinta. Membawa keadilan dan kesejahteraan buat semua,” katanya dalam satu hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.
Beliau mendakwa, pemimpin UMNO telah menodai mandat rakyat dan kehendak majoriti untuk membentuk kerajaan pimpinan parti-parti pribumi dengan belot kepada perjuangan dan tanggungjawab memimpin Perpaduan dan penyatuan orang Melayu.
Dakwanya lagi, sebaliknya UMNO telah melarikan sokongan melalui pelbagai manipulasi dan muslihat utk memberi sokongan kepada parti sokongan minoriti berideologi sosialis dan liberal.
“Tindakan ini yang semakin melumpuhkan UMNO, serta menjadikan UMNO semakin tidak releven dan tidak lagi mempedulikan asas perjuangannya, tetapi menjadi alat kepentingan individu tanpa mempedulikan perasaan dan harapan orang Melayu yg menyokongnya.
“UMNO memilih sekadar murid bukan guru, menjadi pengikut dan pelengkap…’King maker’ kepada sosialis dan liberal bukan lagi pemacu Nasionalisma Melayu dan Islam,” katanya, lapor Sinar Harian.
TIDAK diketahui adakah tersirat sesuatu apabila Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh meminta DAP memohon maaf kepada semua ahli UMNO atas segala cacian terhadap parti keramat itu kerana mengguris hati mereka bertahun-tahun lamanya.
Bagi beliau, cara ini sahaja dapat melembutkan hati pengundi UMNO dan Melayu untuk menyokong Pakatan Harapan menjelang pilihan raya negeri (PRN).
Desakan ini kemudian disokong Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang melihat permohonan maaf DAP kepada UMNO adalah satu langkah yang baik.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu mengingatkan bahawa sebelum ini permohonan maaf DAP kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS), boleh dijadikan contoh menyokong pendirinya itu.
Namun, cadangan permohonan maaf ini terus dipatahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menganggap polemik itu tidak perlu dibangkitkan lagi kerana sudah ada persepakatan ketika berunding membentuk Kerajaan Perpaduan.
Bunyi dan nada ucapan Dr. Akmal tidak tumpah samanya dengan pemuda Bersatu yang bertubi-tubi memomokkan DAP sewaktu menjadi kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018 yang menyaksikan kerajaan itu bertahan selama 22 bulan.
Pandangan ‘melawan’ arus ketua pemuda itu disambut oleh bekas ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang terang-terang anti Zahid Hamidi. Soalnya, apakah mereka tidak berbincang tentang isu-isu ini sebelum Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 bermula?
Pandangan menangkuh arus sayap pemuda bukanlah sesuatu perkara janggal dalam parti politik di Malaysia. Cuma, dalam konteks Kerajaan Perpaduan, ucapan seperti ini sedikit-sebanyak menimbulkan persoalan. Adakah ini plot untuk ‘sabotaj’ kerajaan atau lebih ditujukan kepada usaha menyingkirkan Presiden UMNO?
Presiden terpaksa jual cerita Najib
Dalam banyak hal yang boleh dibahaskan, PAU kali ini dibanjiri dengan naratif hasrat membawa ‘Bossku’ keluar dari tirai besi.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, kelmarin
GAMBAR: Warta Rakyat
Soal PRN dan mengukuhkan Kerajaan Perpaduan terus tenggelam. Fanatik untuk mengembalikan Najib Razak ke pangkuan UMNO tanpa segan silu disebut di hadapan muka Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tetapi, naratif memperjuangkan ‘Bossku’ dalam PAU lebih terarah untuk melawan Zahid Hamidi dalam senyap-senyap. Mengapa?
Pertama, pemimpin UMNO yang tidak berkenan dengan presiden, baik digantung atau dibuang UMNO, sudah mati akal untuk menyingkirkan Zahid yang selesa dengan Kerajaan Perpaduan.
Justeru, mengembalikan Najib adalah satu-satunya jalan untuk meraih sokongan dan simpati akar umbi dan kemudian menaikkan tekanan kepada Zahid berundur.
Tekanan naratif ‘Bossku’ ini sehingga Zahid terpaksa menjual cerita makan bersama Najib sewaktu melawatnya di Penjara Kajang dalam ucapan penggulungan PAU di hadapan perwakilan UMNO untuk memastikan dia masih geng bossku.
Kedua, PRN adalah peluang terbaik untuk meruntuhkan blok Presiden UMNO. Ahli-ahli UMNO seperti tahu yang mereka akan ‘bungkus’ dalam enam PRN ini.
Kekalahan teruk ini akan menjadi kemenangan besar buat pemimpin UMNO terpinggir untuk memanjat tangga kepimpinan tertinggi parti itu.
Ini juga menunjukkan bahawa pemimpin dan ahli Umno yang dipinggir dan disingkirkan hanya menumpang dalam Perikatan Nasional (PN). Sekiranya presiden UMNO digulingkan, aktor-aktor ini akan kembali ke pangkuan UMNO.
Dan, mungkin sebab itu proses Tan Sri Annuar Musa masuk Pas agak lama jika dibandingkan dengan Datuk Eizlan Yusof (artis) yang baharu sahaja menyertai Pas.
Mungkin Pas tahu, kumpulan ini tidak akan membawa impak kepada parti yang sudah menjadi parti berpengaruh buat orang Melayu sekarang.
Menunggu peluang naik takhta
Soalnya siapa yang akan ganti Zahid sambil menunggu Najib keluar penjara?
Ada yang kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kononnya kerana rapat dengan ‘Bossku’ dan popular dalam kalangan akar umbi. Namun, calon yang boleh menggantikan Zahid dalam waktu terdekat mungkin juga timbalannya, Mohamad.
Barisan Nasional (BN) nampaknya akan kembali memenangi kerusi ditandingi di Negeri Sembilan dengan selesa. PRU15 telah menyaksikan BN negeri itu dapat merampas semula kerusi Kuala Pilah dan Tampin yang dimenangi Pakatan Harapan pada PRU14.
PH Negeri Sembilan kekal di kerusi tradisi sejak PRU12 (Seremban, Rasah, dan Port Dickson) dan PN pula tidak memenangi sebarang kerusi.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bergambar bersama sebahagian perwakilan UMNO ketika hadir ke Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, kelmarin.
GAMBAR: Warta Rakyat
Sebab itu, BN Negeri Sembilan ingin menambah dua kerusi DUN, daripada 16 kerusi menjadi 18 kerusi bagi PRN akan datang. Bermaksud, PH akan hilang dua kerusi daripada 20 kerusi yang dimenangi pada PRU14.
Kemenangan selesa BN di Negeri Sembilan akan menjadi ‘senjata’ utama buat Mohamad membuktikan bahwa dirinya mampu memikul tugas yang baik sebagai Presiden UMNO.
Malah, rekod Mohamad dalam PRN Melaka dan Johor sebagai Pengarah pilihan raya bersih kerana berjaya mengembalikan BN sebagai kerajaan negeri dengan majoriti besar.
Jika BN menang besar di Negeri Sembilan dan jawatan Menteri Besar dikembalikan kepada parti itu, boleh dikatakan BN menguasai negeri-negeri di bahagian Selatan tanah air dengan bersih. Mohamad akan diangkat sebagai ‘kepala BN’ di Selatan.
Apa harapan yang ada?
Jika PAU hanyalah persediaan UMNO untuk membersihkan rumah sendiri tetapi masih tunggang-langgang menghadapi PRN, suka atau tidak, Kerajaan Perpaduan perlu dipertahankan PH sendiri.
Bekerjasama dengan UMNO bukan mudah. Lihat sahaja rundingan pengagihan kerusi, UMNO akan mendesak lebih banyak kerusi diberikan berbanding PH kerana itu simbol dominan BN dalam politik Melayu, berpaksikan mentaliti Abang Besar.
Sebab itu, BN sukar bekerjasama dengan PN kerana peluang UMNO bertanding dengan kerusi yang lebih banyak agak tipis.
PRN Johor dan Melaka juga menyaksikan BN ‘solo’ dan memang besar. Tidak terkejut sekiranya rundingan kerusi akan menjadi sukar untuk Kerajaan Perpaduan.
UMNO sebenarnya paling untung dalam PRN. Undi penyokong PH dalam PRN sekurang-kurangnya dapat memastikan parti itu tidak hilang deposit dan kalah majoriti besar kepada PN. Malah, ia juga dapat memenangkan BN seperti yang berlaku di DUN Tioman pada Disember 2022 meskipun tipis.
Nampaknya, UMNO memasuki PRN kali ini dengan kecelaruan dan kurang yakin akan dinamik politik semasa. Apa yang mampu dibuat UMNO sekarang adalah mengekang undi protes akar umbi untuk mengundi PN dalam PRN.
Jika itu pun tidak mampu, lebih molek jika UMNO memberi tumpuan dan kerjasama untuk kekal menjadi Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal. Boleh UMNO mencongak semula langkah pada PRU16 dengan baik, lapor Malaysiakini.
Sebahagian daripada perwakilan UMNO yang hadir pada Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, kelmarin.
GAMBAR: Abd Razak Aid
PAS bertanding di 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding lapan kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) Kelantan
Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, itu merupakan pembahagian kerusi bagi PRN di negeri itu dan pada asasnya sudah pun selesai.
“Kita minta DUN atau cawangan mengemukakan calon mereka yang diyakini siapa terbaik dan menjadi pilihan rakyat,” katanya pada sidang media Mr Awang Selamat Kelantan 2023 di Kota Bharu, hari ini.
Wan Roslan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri berkata, calon yang dipilih oleh Pas adalah mengikut pilihan Ahli Majlis Syura Ulama.
Ketika ditanya sama ada calon yang mahu menarik diri termasuk di kerusi panas, Wan Roslan berkata, ada calon yang mahu menarik diri termasuk beliau dan juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
“Ikutkan semua calon Pas mahu undur (tarik diri), saya pun nak undur, namun ini adalah pilihan parti dan kita perlu akur,” katanya.
Jelasnya, itu merupakan kelebihan Pas kerana calonnya ditentukan dan ditaklifkan (diberi amanah) oleh parti.
“Ini untuk kita bawa mesej yang baik dan mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat. Itu konsep Pas sebab itu tidak ada yang (calon) ‘berona’ (buat onar),” katanya, lapor Harian Metro.
MELAKUKAN aktiviti judi dalam talian dengan cara berpindah dari satu tempat ke satu tempat bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Bagaimanapun seorang wanita berusia 40 tahun yang melakukan aktiviti menjual tambah nilai dipercayai untuk permainan judi dalam talian itu berjaya dikesan di Taman Makmur, Kluang pada tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya sebelum itu menerima aduan awam berkenaan wanita itu sebelum satu intipan dan serbuan dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah Kluang pada pukul 12.15 tengah malam.
“Pihak polis menahan wanita suspek berkenaan selepas dikesan menjalankan aktiviti tersebut dari dalam sebuah kereta.
“Turut dirampas sebuah kereta Toyota Vios serta wang tunai bercampur-campur bernilai RM250.
“Kegiatan ini mula dikesan melakukan aktiviti secara berpindah randah kawasan jualan bagi mengelak daripada dikesan pihak polis,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Bahrin berkata, hasil soal siasat ke atas tangkapan mengaku menjalankan penjualan tambah nilai perjudian atas talian di lokasi tangkapan tersebut.
Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 yang boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM200,000 jika sabit kesalahan.
“Tahanan dikenakan reman selama tiga hari sehingga hari Selasa ini bagi membantu siasatan,” katanya.
SEORANG pesara di Miri kerugian RM1.2 juta selepas terpedaya dengan penyamaran melalui panggilan telefon.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 66 tahun berhubung kes itu semalam.
Katanya, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali mengaku daripada Kementerian Kesihatan (KKM) pada 18 April lalu.
“Panggilan itu kemdian disambungkan kepada suspek yang mengaku sebagai Sarjan Wong dan Inspektor Khoo dari Kota Kinabalu, Sabah.
“Suspek mengatakan mangsa terbabit dengan penggubahan wang haram, namun mangsa menafikannya.
“Selepas itu, suspek meminta mangsa memberikan maklumat perbankan dan butiran kewangan miliknya sebelum diarahkan suspek membuka dua akaun bank baharu bagi memudahkan siasatan dijalankan ke atas mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa kemudian membuka akaun bank baru pada 19 dan 20 April sebelum memberikan maklumat akaun baru serta pengenalan diri (ID) bersama kata laluan perbankan atas talian kepada suspek selepas itu.
Menurutnya, mangsa diarahkan memindahkan wang keseluruhan berjumlah RM1.2 juta melalui empat transaksi dari akaun Ambank dan akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja miliknya ke akaun baharu dibuka itu.
Mangsa ujar beliau, hanya menyedari ditipu selepas memeriksa baki wang di dalam kedua-dua akaun bank baru miliknya kelmarin sudah tiada dan mendapati dipindahkan ke akaun tidak dikenali secara berperingkat antara 19 April hingga 3 Mei lalu.
“Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk siasatan,” katanya, lapor Harian Metro.
GABUNGAN politik yang dibentuk parti-parti yang keras dengan ideologi masing-masing tidak akan bertahan lama.
Bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan, Datuk Dr. Marzuki Mohamad berkata, lambat laun mereka akan bercakaran.
“Walaupun elit parti nak bersama kerana mereka dapat manfaat daripada gabungan itu, tetapi orang bawah yang tak dapat apa-apa takkan dapat bertahan.
“Mereka akan bising apabila melihat perjuangan parti mereka sedikit demi sedikit digadai. Atau mereka tak buat bising, tetapi sedikit demi sedikit akan meninggalkan parti,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebooknya hari ini.
Berikut kenyataan penuh berkenaan:
MINTA MAAF
Ketua Pemuda UMNO tuntut DAP minta maaf kepada UMNO. Presiden UMNO kata DAP tak perlu minta maaf. Setiausaha Agung DAP kata “move on” sajalah. Lupakan saja cerita lama.
Tuntutan Ketua Pemuda UMNO habis kat situ sajalah.
Cuma, kalau minta maaf pun untuk apa? Minta maaf kerana ideologi DAP berbeza dengan UMNO?
Kalau macam tu, bunyi minta maaf tu berbeza. “Sorry, we are ideologically different. We cannot work together. We better part ways”.
Jelas, itu bukanlah maksud minta maaf pada DAP. Sementelahan pula dia tak nak minta maaf pun.
Jadi bagi DAP, UMNO diam-diam sajalah. ‘Let’s move on’ walaupun kita berbeza.
Bagi saya, UMNO dan DAP ini ‘ideologically incompatible’. Tak serasi dari segi ideologi perjuangan. Satu nak mempertahankan hak keistimewaan Melayu (kalau ada lagilah semangat tu) dan satu lagi nak semua rakyat dilayan sama rata (Malaysian Malaysia).
Pengalaman saya bersama DAP, mereka takkan berganjak daripada ideologi itu. Malah, apabila mereka jadi kerajaan, mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan ideologi parti mereka samada secara terang atau secara senyap.
Bagi saya, gabungan politik yang dibentuk oleh parti-parti yang keras dengan ideologi masing-masing tidak akan bertahan lama. Mereka akan bercakaran.
Walaupun elit parti nak bersama kerana mereka dapat manfaat daripada gabungan itu, tetapi orang bawah yang tak dapat apa-apa takkan dapat bertahan. Mereka akan bising apabila melihat perjuangan parti mereka sedikit demi sedikit digadai. Atau mereka tak buat bising, tetapi sedikit demi sedikit akan meninggalkan parti.
Setakat itu saja komen saya. Saya tak nak komen lebih-lebih.
KELANTAN dijangka mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu ini bagi membuka laluan untuk pilihan raya negeri (PRN) diadakan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pengumuman tarikh itu dijangka dibuat selepas mesyuarat mingguan Ahli Majlis (Exco) Kerajaan Negeri Kelantan pada Rabu.
“Insya-Allah kita tunggu masa mesyuarat Exco minggu ini,” katanya, lapor Astro Awani.
Timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah turut memaklumkan perkara sama.
“Tentang pembubaran, MB akan isytihar. Minggu ini dia isytihar tarikhnya. Tunggulah,” katanya.
Kelantan mempunyai 45 kerusi DUN dengan tujuh diwakili Ahli DUN (ADUN) UMNO, satu ADUN Bersatu dan selebihnya ADUN Pas.
Sebelum ini, Setiausaha Agong Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, proses pembahagian kerusi antara parti dalam Perikatan Nasional di enam negeri yang terlibat dalam PRN, hampir selesai.
Tempoh tamat penggal DUN Kelantan berakhir pada penghujung bulan ini.
BEKAS Exco Pemuda, Fariz Hadi Raihan Husni dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin mengumumkan menyertai Perikatan Nasional (PN).
Perkara itu dikongsikan Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali Papagomo menerusi hantaran dalam Facebook semalam.
“Alhamdulillah, tahniah dua sahabat seperjuangan yang juga mantan Exco Pemuda UMNO Malaysia penggal 2018, Fariz Hadi mengumumkan menyertai PN mengikut jejak langkah mantan Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali atau Bozz Jebat, malam tadi.
“Makin bertambah kuat PN dalam nak berdepan PRN enam negeri ini.
“Malah dijangkakan ramai lagi yang akan bersama memastikan gelombang kebangkitan Melayu membadai Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN),” katanya yang juga merupakan bekas Exco Pemuda UMNO.
Kelmarin, Sinar Harian melaporkan bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa secara rasminya telah menjadi ahli Pas.
Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat di Seremban.
Selain itu, Takiyuddin hari ini mengesahkan pelakon dan pengarah, Datuk Seri Eizlan Yusof turut menyertai parti itu.
BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sehingga kini belum memuktamadkan keputusan namun menyatakan hasrat bersama Perikatan Nasional (PN), kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Takiyuddin berkata, Khairy sudah menemui Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jun lalu dan bekas Ahli Parlimen Rembau itu telah menyatakan pendirian, akan tetap menjadi pengundi di Negeri Sembilan.
“Setakat ini dia belum memutuskannya lagi, tetapi dia sudah menyatakan pendirian tetap bersama kita (PN).
“Dia dah jumpa (Muhyiddin) dan akan berjumpa lagi dalam masa terdekat, itu perkembangan terbaru, namun setakat ini belum ada keputusan.
“Tetapi saya percaya dalam waktu terdekat,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan PN, di Senawang, malam tadi.
Takiyuddin berkata, PN mengharapkan Khairy dapat bersama dalam gabungan itu kerana ketokohan dan ketrampilan beliau dalam kepemimpinan kanan UMNO.
“PN mengharapkan ‘sesuatu’ daripada dia (Khairy) sebab sebagai seorang pimpinan kanan dalam sebuah parti yang besar, tiba-tiba dipecat daripada parti itu. Sudah tentu dia perlukan satu platform yang sesuai untuk masa depan politiknya dan pada masa ini PN adalah paling sesuai,” katanya menurut Berita Harian.
Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) kepada Khairy.
Tawaran dikemukakan selepas Khairy dipecat daripada UMNO, mengambil kira kemampuan beliau memberi sumbangan bagi memperkukuhkan kedudukan Bersatu, selain ketokohannya sebagai pemimpin politik muda.
Mengulas mengenai kemungkinan bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, akan diletakkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), akan datang Takiyuddin tidak menolak kemungkinan itu.
Katanya, setakat ini, Annuar tidak memberikan sebarang syarat apabila beliau diterima sebagai ahli Pas.
Negeri Sembilan antara enam negeri yang akan mengadakan PRN termasuk Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
PARTI mana yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, Meru dan Kuang pada pilihan raya negeri (PRN) dipercayai masih menjadi pertikaian antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Menurut sumber UMNO, parti itu menuntut kerusi Dengkil dan Kuang yang dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga mahukan kerusi sama.
“Meru, yang kini disandang wakil PKR juga dituntut oleh UMNO kerana mereka merasakan boleh menang mengambil kira undi pada PRU15, yang mana ia memihak kepada BN,” dakwa sumber itu memetik laporan FMT.
Pada PRU14, Fakhrulrazi Mokhtar dari Parti Amanah Negara (Amanah) yang mewakili PH menang kerusi itu, beliau kemudian menyertai PKR.
PKR dikatakan bersedia memulangkan semula kerusi Meru yang terletak di bawah Parlimen Kapar kepada Amanah, rakan komponen dalam PH.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Jumaat lalu berkata sekurang-kurangnya tiga kerusi lagi belum diselesaikan antara BN dan PH di negeri itu bagi menghadapi PRN.
Juwairiya Zulkifli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati yang juga setiausaha politik kepada Amirudin, turut dikhabarkan berpindah kerusi ke Ijok, tambah sumber itu.
Sumber UMNO itu berkata menerusi rundingan setakat ini parti itu bakal bertanding 13 kerusi dan masih berunding beberapa kerusi lagi bersama rakan gabungan mereka.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan, PH menawarkan 10 kerusi kepada BN namun gabungan itu meminta PH Selangor menambah sekurang-kurangnya tujuh lagi kerusi termasuk untuk MCA dan MIC.
UMNO, wakil tunggal BN di DUN Selangor menyandang lima kerusi iaitu Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Sungai Burong dan Semenyih.
DUN Selangor akan terbubar secara automatik pada 25 Jun depan bagi memberi laluan kepada PRN.