Author: Wartawan WartaRakyat

  • Khairy nafi terbabit skim pelaburan saham

    Khairy nafi terbabit skim pelaburan saham

    BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menafikan pembabitan dalam mana-mana skim pelaburan saham.

    Katanya, beliau tidak pernah berurusan dengan mana-mana pihak berkaitan pelaburan saham.

    “Pihak saya tidak pernah berhubung atau berurusan dengan sebarang syarikat pelaburan saham,” katanya menerusi Facebook, malam tadi.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai gambarnya yang digunakan dalam sebuah iklan pelaburan saham yang tular di media sosial.

    Menurut Khairy, laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan dibuat berhubung iklan palsu berkenaan.

    Menjengah ruangan komen, pengguna Facebook, Faizal Rais, mengucapkan tahniah tindakan pantas Khairy menafikan pembabitannya sekali gus menghalang penipu atau scammer menggunakan gambar figura awam.

    “Tahniah KJ (Khairy) sebab cepat memberikan maklum balas supaya scammers tidak sewenang-wenangnya menggunakan public figure untuk mempengaruhi orang ramai dalam helah mereka,” katanya lapor BH.

  • Saya tak tanding tak apa asal Umno tak menang – Annuar Musa

    Saya tak tanding tak apa asal Umno tak menang – Annuar Musa

    BEKAS pemimpin UMNO, Tan Sri Annuar Musa memberi gambaran bahawa dia tidak tergesa-gesa mahu menjadi calon Pas untuk bertanding pilihan raya negeri selepas menyertai parti itu hujung minggu lalu.

    Annuar, yang lima kali menjadi ahli parlimen sejak 1986 berkata, beliau menyertai Pas untuk mengejar matlamatnya untuk melindungi Islam dan Melayu, dan bukannya jawatan awam.

    “Saya tidak bertanding pun tidak mengapa, asalkan UMNO tak menang.

    “Jika diberikan mandat untuk bertanding, saya perlu berbincang dengan pucuk pimpinan Pas, bagi mengetahui untuk tujuan apa diamanahkan berbuat demikian.

    “Kalau tidak, boleh sahaja bagi peluang kepada anak-anak muda atau calon dalam kalangan ahli Pas yang sudah lama dengan parti ini, lagipun, saya masih baru dalam Pas” katanya seperti dilapor Harian Metro malam tadi.

    Ketika bersama UMNO, Annuar tiga kali menewaskan calon Pas dalam pilihan raya.

    Dia diumum diterima menyertai Pas pada Sabtu selepas dipecat daripada UMNO Disember lalu.

    Annuar mengakui bahawa menyertai Pas selepas 50 tahun dalam UMNO adalah keputusan yang sukar, tetapi dia tertarik dengan Pas kerana menurutnya parti itu ikhlas memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.

    “Sebelum ini saya cuba untuk tidak duduk dalam mana-mana parti. Saya cuba selama enam bulan, namun tidak mampu kerana politik sudah sebati dengan saya,” katanya.

    Sementara itu, Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan berkata, mana-mana ahli Pas boleh menjadi calon pada pilihan raya akan datang termasuk Annuar.

    “Mana-mana ahli Pas berhak menjadi calon yang sesuai dan mestilah calon itu boleh memberi kemenangan. Semua orang adalah antara calon PRN dan kita belum putuskan lagi.

    “Senarai pendek sudah ada dan sudah tentu kita akan gabungkan calon lama dan baharu. Semua kawasan sudah ada calon namun kita kini nak tentukan calon yang boleh beri kemenangan kepada parti.

    “Kita jangkakan senarai calon akan diputuskan minggu depan,” katanya seperti dilapor BH Online.

  • Datuk, dua cucu cedera kereta dipandu rempuh stesen minyak

    Datuk, dua cucu cedera kereta dipandu rempuh stesen minyak

    DUA kanak-kanak cedera selepas kereta dipandu datuk mereka merempuh kedai serbaneka di sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Rambai, Melaka Tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian kira-kira pukul 7 malam itu berlaku selepas lelaki berusia 69 tahun itu selesai mengisi minyak kereta, yang dinaiki bersama dua cucunya berusia 13 dan 12 tahun.

    “Selesai sahaja mengisi minyak, warga emas itu secara tiba-tiba tertekan pedal minyak semasa memasuki gear D, mengakibatkan kereta jenis Hyundai Sonata dipandunya terbabas sebelum merempuh kedai serbaneka stesen minyak berkenaan.

    “Tiga beranak itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan dan kejadian itu tidak melibatkan pelanggan lain mahupun pekerja di situ,” katanya ketika dihubungi.

    Akibat pelanggaran itu juga, kata Christopher, sebanyak lima keping panel pintu kaca telah pecah.

    “Mangsa dibawa ke hospital oleh anaknya yang tiba di tempat kejadian selepas itu.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (1987),” tambahnya, lapor Astro Awani.

  • “Sesiapa saja dalam Pas berhak jadi calon, termasuk Annuar Musa” – Takiyuddin

    “Sesiapa saja dalam Pas berhak jadi calon, termasuk Annuar Musa” – Takiyuddin

    PAS masih belum membuat keputusan untuk memberikan tempat kepada bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang kini menjadi ahli parti itu.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, bagaimanapun, menegaskan, mana-mana ahli Pas berhak untuk menjadi calon asalkan memberi kemenangan buat parti.

    “Kerusi (untuk Annuar) belum putuskan lagi, tapi mana-mana ahli Pas berhak jadi calon yang sesuai dan dapat memberikan kemenangan, semua orang boleh jadi calon, kita tak putuskan lagi,” ujar beliau.

    Takiyuddin berkata demikian selepas ceramah mega Perikatan Nasional (PN) Pertahankan Kelantan, di Kota Bharu, malam tadi.

    Mengulas lanjut, beliau, mengakui, penyertaan Annuar ke dalam Pas memberikan kelebihan buat parti itu kerana bekas menteri itu jaguh berpidato.

    “Saya tak menafikan perkara itu dan Tan Sri (Annuar) sendiri semalam di Negeri Sembilan menawarkan khidmatnya menjelajah ke negeri-negeri yang ada pilihan raya negeri (PRN), kami akan atur untuk berikan semangat kepada rakyat,” kata beliau lapor Astro Awani.

    Sebelum ini, Annuar secara rasmi diterima sebagai ahli Pas selepas dipecat dari UMNO.

    Sementara itu, pentas ceramah PN malam tadi digunakan Annuar untuk menjelaskan penyertaannya ke dalam Pas kepada sebahagian rakyat Kelantan serta kepincangan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang telah membohongi pengundi dan penyokong parti berkenaan.

  • ‘Pakai serban pun, kalau curi duit akan dipenjara,’ kata Anwar

    ‘Pakai serban pun, kalau curi duit akan dipenjara,’ kata Anwar

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menggesa agar amalan ‘curi harta rakyat’ dihentikan, sambil mengatakan mereka yang terlibat akan dimasukkan ke dalam penjara tanpa mengira parti atau status.

    “Negara ini kaya tapi hilang banyak, jadi apa yang perlu dilakukan ialah hentikan amalan curi harta rakyat.

    “Tidak kira hang pakai serban, baju kot atau semua, Tan Sri ka, Tun ka, atau daripada parti manapun, kalau hang curi duit, kita perosok (masukkan) bilik saya di Sungai Buloh (penjara).”

    “Ia kosong lagi.”

    Anwar, pada sesi ramah mesra bersama penduduk Balik Pulau di Pulau Pinang, turut menafikan beliau tunduk kepada kehendak DAP dalam pentadbiran negara, dengan mengatakan beliau tidak boleh ‘dibeli’ seperti yang didakwa sesetengah pihak.

    “Betul DAP ini kawan kita, kita bagi jawatan dekat dia, tapi bos siapa dia, hang ingat aku bodoh.

    “Anthony Loke Menteri Pengangkutan, dia ikut dasar bawa ke Jemaah Menteri, Perdana Menteri setuju baru jalan, saya ni kalau hampa maki macam mana pun, tetapi nak beli Anwar Ibrahim tak boleh,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

    Beliau turut menggesa rakyat Pulau Pinang mengekalkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menurutnya telah mentadbir negeri itu dengan baik.

    Beliau juga berkata, kerajaan Pusat akan terus membantu Pulau Pinang dalam menyelesaikan apa sahaja masalah yang timbul berkaitan negeri itu.

    “Pulau Pinang kena bagi orang cerdik perintah, saya ingin terangkan bahawa kita kena faham betul-betul. Dulu ada orang kata kalau Anwar perintah habis orang Melayu (dan) tutup habis sekolah agama.

    “Dulu masa kempen orang kata bila Anwar jadi Perdana Menteri tudung semua tak boleh pakai, habis ini (orang-orang pakai tudung) apa.

    “Jadi saya minta Pulau Pinang terus kukuh (di bawah PH), saya berhubung rapat dengan Ketua Menteri, apa yang boleh kerajaan Pusat selesaikan kita bantu selesaikan, apa yang perlu negeri selesaikan, negeri selesai,” katanya, lapor MalaysiaNow.

  • Peguam gesa KDN, perjelas lawatan ‘istimewa’ Zahid, MKT UMNO ke Penjara Kajang

    Peguam gesa KDN, perjelas lawatan ‘istimewa’ Zahid, MKT UMNO ke Penjara Kajang

    SEORANG peguam mempersoalkan layanan berat sebelah terhadap Datuk Seri Najib Razak selepas kenyataan seorang pemimpin UMNO meluangkan masa hampir dua jam bersama bekas Perdana Menteri itu dengan ditemani ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di Penjara Kajang, baru-baru ini.

    Rafique Rashid berkata, pendedahan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai lawatannya itu jelas menunjukkan sikap double standard oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara terhadap prosedur lawatan dalam kalangan pelawat.

    “Ini kerana pihak-pihak berkenaan jelas sudah melanggar peraturan dan undang-undang dalam proses lawatan ke institusi itu.

    “Sejak sekian lamanya orang awam termasuk peguam dan ahli keluarga banduan perlu mematuhi syarat serta prosedur lawatan yang ditetapkan oleh penjara.

    “Antaranya, mereka tidak boleh berkomunikasi secara bersemuka dengan banduan sebaliknya bercakap menggunakan telefon dan dihalang oleh cermin kaca bagi mengelakkan sentuhan,” katanya memetik laporan MalaysiaNow.

    Selain itu katanya, tidak boleh membawa masuk sebarang peranti komunikasi seperti telefon bimbit dan alat rakaman.

    Begitu juga, makanan dan minuman dari luar dilarang untuk dibawa masuk sama sekali.

    “Mengapa lain pula ceritanya bila Zahid melawat Najib,” soalnya.

    Pada Sabtu, ketika menggulung Perhimpunan Agung UMNO, Zahid berkata, beliau turut membawa makanan kegemaran Najib dan menikmatinya bersama.

    Mengulas lanjut, Rafique juga menyelar tempoh lawatan Zahid bertemu Najib selama dua jam sedangkan hanya 45 minit secara maksimum ditetapkan untuk setiap pelawat selain kawalan ketat oleh pegawai dan warden penjara.

    Antara lain, peraturan lazim yang ditetapkan adalah mematuhi jadual perjumpaan yang ditetapkan sama ada lawatan sebulan sekali atau seminggu sekali di penjara.

    Dalam pada itu, Rafique menggesa KDN dan Komisioner Jeneral Penjara, Nordin Muhamad supaya menjelaskan persoalan-persoalan yang timbul selepas pendedahan Zahid pada Sabtu.

    Tambahnya, segala prosedur dan proses lawatan yang dilalui oleh beliau sebagai peguam masih kekal dan tak pernah berubah.

    Ini bermakna, katanya, pengalaman yang sama juga dilalui oleh ahli keluarga dan orang awam ketika melawat banduan di penjara.

    “Dalam peraturan dalaman untuk Jabatan Penjara masih sama. Bukankah negara amalkan sistem undang-undang yang sama rata?

    “Kasihan juga kepada banduan-banduan yang lain,” katanya lagi.

    Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan kini sedang menjalani hukuman 12 tahun penjara dan didenda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Hukuman itu dikekalkan apabila Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib dan keputusan itu dimuktamadkan di Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lalu sebelum bekas presiden UMNO itu dihantar ke Penjara Kajang.

  • Anggota polis maut ditembak di Pattani

    Anggota polis maut ditembak di Pattani

    SEORANG anggota polis yang bertugas di pondok pengawal landasan kereta api maut ditembak sekumpulan lelaki di Khok Pho, Pattani, selatan Thailand.

    Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari Sabtu, anggota polis yang berusia 22 tahun itu bersama dua lagi pegawai State Railway of Thailand (SRT) sedang bertugas di pondok pengawal landasan kereta api.

    Ketua Polis Na Pradu Kol.Pol.Chatchai Chanasit berkata enam lelaki yang menyamar sebagai wanita lengkap bertudung, menunggang tiga buah motosikal telah melepaskan tembakan ke arah pondok pengawal terbabit.

    “Anggota polis itu terkena tembakan di bahagian kepala dan badan manakala dua lagi pegawai SRT dilaporkan selamat. Mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Khok Pho kemudian disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Beliau menambah bahawa suspek turut merampas pistol milik mangsa sebelum melarikan diri.

    “Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

  • Wan Saiful enggan layan spekulasi tanding di Sungai Ramal

    Wan Saiful enggan layan spekulasi tanding di Sungai Ramal

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan tidak mengiyakan atau menafikan akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor.

    Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu enggan melayan spekulasi akan tersenarai sebagai calon di PRN di negeri berkenaan.

    “Saya fikir spekulasi bermula kerana saya menjadi ketua Bersatu Bangi.

    “Bahagian itu berdepan masalah organisasi dan saya diminta mengetuainya pada Oktober tahun lalu untuk menangani cabarannya.

    “Syukur, saya berjaya menyelesaikan kebanyakan isu dan mungkin sebab itu juga ada pihak bercakap berkenaan pencalonan saya di sana,” katanya kepada FMT apabila mengulas berhubung laporan berita berkait perkara itu.

    Awal hari ini, Sinar Harian memetik sumber sebagai berkata, Perikatan Nasional (PN) mempertimbang mencalonkan Wan Saiful dan anak perempuan Tan Sri Noh Omar, Nurul Syazwani, sebagai calon menjelang PRN Selangor.

    Menurut sumber, Wan Saiful akan bertanding di Sungai Ramal, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawah Parlimen Bangi, ketika ini disandang Adun Pakatan Harapan, Mazwan Johar, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Mazwan menang majoriti 10,630 undi apabila meraih undi 24,591 undi, mengalahkan calon Pas, Nushi Mahfodz (13,961 undi) dan Abdul Rahim Mohd. Amin daripada BN (9,272 undi), pada PRU4.

    Sumber berkata, Wan Saiful sering dilihat berada di lapangan, menghadiri pelbagai acara termasuk mempengerusikan mesyuarat PN di Bangi, sambil menambah beliau menerima arahan daripada pemimpin PN meletakkan keutamaan untuk menang kerusi tersebut.

    Wan Saiful berkata, komponen parti dalam PN, terutama Bersatu, Pas, dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), sudah mempunyai strategi mantap berdepan PRN.

    “Saya mempunyai matlamat jelas berhubung peranan yang akan saya mainkan dan saya tidak mahu mendahului pemimpin parti dalam isu ini,” katanya.

    Mengulas berhubung Nurul Syazwani, sumber berkata, beliau berkemungkinan bertanding di Permatang, kawasan di bawah Parlimen Tanjung Karang, kerusi disandang ayahnya bermula 1995 hingga 2022.

    “Noh yang merupakan Ahli Parlimen enam penggal memainkan peranan penting dalam pemilihannya sebagai calon,” kata sumber itu.

    FMT sedang mendapatkan ulasan lanjut Noh.

    Menurut laporan, Noh belum menyertai PN walaupun menghadiri ceramah anjuran gabungan itu. Anak perempuannya sudah menyertai Bersatu.

  • Polis tahan budak lelaki 11 tahun pandu kereta

    Polis tahan budak lelaki 11 tahun pandu kereta

    POLIS menahan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang tular memandu kereta Proton Saga di sebuah rumah di Pandamaran, Klang semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kanak-kanak itu turut ditahan bersama ayahnya berusia 49 tahun yang juga pemilik kereta terbabit oleh sepasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pukul 1.15 pagi.

    “Kedua-dua mereka kemudian dibawa ke Balai Trafik IPD Klang Selatan untuk direkod keterangan.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah umur dan Seksyen 111 akta sama iaitu bersubahat atau membenarkan melakukan kesalahan.

    “Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa maksud melakukan perbuatan pengabaian atau mendedahkan kanak-kanak secara cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal atau emosi,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak leka dan sentiasa mengawasi anak-anak mereka supaya tidak melakukan tindakan yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri atau harta benda orang lain.

    Selain itu, katanya, perbuatan menularkan sebarang konten sama ada dalam bentuk video atau gambar secara sewenangnya adalah tidak digalakkan demi menjaga imej dan privasi orang lain, sebaliknya dinasihatkan terus ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.

    Terdahulu, satu klip video berdurasi 1 minit 21 saat tular di media sosial berkenaan seorang kanak-kanak lelaki memandu sebuah kereta jenis Proton Saga.

  • ‘Pemuda UMNO perlu ‘move on’, lupakan kisah silam’ kata Kor Ming

    ‘Pemuda UMNO perlu ‘move on’, lupakan kisah silam’ kata Kor Ming

    PEMUDA UMNO perlu melupakan kisah silam, bergerak ke depan dan meninggalkan sebarang persengketaan serta permusuhan politik antara dua parti itu sebelum ini.

    Sebaliknya kata Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, mereka perlu fokus memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan.

    Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu turut berharap supaya tidak sesekali merencatkan ‘momentum’ pencapaian yang berjaya diperoleh sepanjang tempoh enam bulan pembentukan Kerajaan Perpaduan Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH).

    “Oleh kerana itu, saya dengan rendah hati memohon semua pengundi supaya mengundi parti yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan supaya kita jangan mematahkan momentum yang kita susah payah hendak bina ini.

    “Jangan patahkan momentum yang sudah pun ada ini, biarkan kita ada kestabilan politik dalam tempoh lima tahun. Bagi masa kepada kerajaan yang ada pada hari ini, selain kepada agensi kerajaan untuk mempamer dan melaksanakan apa yang kita mampu lakukan bersama.

    “Kita sudah ‘move on’, Presiden UMNO (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) pun sudah ‘move on’.

    “Sekarang fokus utama kita adalah bagaimana untuk membantu UMNO dan UMNO membantu DAP untuk memperkukuhkan kerajaan Malaysia Madani demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik negara,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian selepas meninjau kemudahan asas dan keperluan kemudahan awam serta infrastruktur berkaitan di Pasar Kampung Simee, Ipoh, hari ini.

    Kor Ming mengulas gesaan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh yang menuntut permohonan maaf DAP serta menarik balik segala tohmahan yang dilemparkan terhadap UMNO sebelum ini.

    Dr. Muhamad Akmal mendakwa tindakan tersebut berupaya melembutkan hati ahli UMNO yang masih meragui kejujuran DAP untuk bersahabat.