Author: Wartawan WartaRakyat

  • Lelaki cedera dirempuh kereta ketika bantu mangsa kemalangan

    Lelaki cedera dirempuh kereta ketika bantu mangsa kemalangan

    PEMUDA maut semasa membantu seorang mangsa kemalangan apabila dia sendiri dirempuh kereta dalam nahas dua kenderaan di Jalan Song, Kuching sekitar jam 2 pagi tadi.

    Mangsa, Jude Jimmy, 22, sedang membantu seorang pemandu kenderaan Perodua Myvi yang sebelum itu terbabas dan melanggar sebatang pokok.

    Jude bagaimanapun tiba-tiba dirempuh oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda Lexus RX 200t, yang dinaiki dua lelaki.

    Insiden tersebut menyebabkan Jude mengalami kecederaan di kaki kanan.

    Menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Hendery Ardimanshah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 2.13 pagi dan segera mengaktifkan sebuah jentera dan sebuah ambulans EMRS dengan kekuatan 11 anggota dari Balai Tabuan Jaya dan Padungan ke lokasi.

    “Setiba di lokasi, pasukan telah bertindak menstabilkan kecederaan Jude, sebelum mengeluarkan pemandu Myvi yang tersepit di ruang pemandu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, kedua-dua mangsa, termasuk pemandu Myvi yang berusia 36 tahun itu kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak dan Pusat Rawatan KPJ masing-masing untuk rawatan lanjut.

    Pemandu dan penumpang pacuan empat roda bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, kata Henderi lagi.

    Kes katanya, diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

  • Renjer Perhilitan mati ditembak: Mahkamah arah bayar ganti rugi RM281,807

    Renjer Perhilitan mati ditembak: Mahkamah arah bayar ganti rugi RM281,807

    MAHKAMAH Sesyen Seremban memerintahkan empat defendan termasuk kerajaan Malaysia dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara(Perhilitan) membayar ganti rugi berjumlah RM281,807.20 kepada keluarga renjer yang maut selepas terkena tembakan rakan setugas dalam operasi membasmi kera dalam hutan di Kampung Durian Daun di Rembau pada 2018.

    Hakim, Datin Surita Budin membuat keputusan itu semalam berhubung tuntutan saman yang dibuat isteri mendiang Cyril Quing iaitu, Winnona Simon serta dua anak, Callista Wanda Cyril dan Calliandra Wenzel Cyril pada tahun 2020.

    Keluarga mendiang memfailkan saman terhadap empat defendan iaitu ketua operasi, Mohamad Hakim Mohamed Khairuddin, 35, Pengarah Perhilitan, Ketua Pengarah Perhilitan dan kerajaan Malaysia.

    Peguam, Ahmad Nabilimran Ahmad Halimi yang mewakili keluarga mendiang berkata, mahkamah memutuskan pihak plaintif berjaya membuktikan tuntutannya di mana defendan pertama bertanggungjawab dalam menyebabkan kematian mendiang.

    “Ini kerana, ketika operasi itu, mendiang berada di bawah jagaan dan tanggungjawab defendan untuk memastikan keselamatan dalam operasi yang melibatkan senjata api.

    “Mahkamah juga memaklumkan defendan kedua, ketiga dan keempat turut bertanggungjawab atas kecuaian defendan pertama,” katanya kepada media hari ini, lapor Sinar Harian.

    Ujarnya, mahkamah menetapkan bayaran RM165,307.20 untuk kehilangan tanggungan, RM10,000 untuk kedukaan, RM6,500 untuk kos pengebumian dan RM100,000 untuk kerosakan yang lebih teruk.

    Beliau berkata, mahkamah turut membenarkan faedah lima peratus untuk ganti rugi am dari tarikh penyampaian saman sehingga penghakiman dan 2.5 peratus untuk ganti rugi khas dari tarikh kejadian (29.8.2018) sehingga tarikh penghakiman.

    Selain itu ujar beliau, lima peratus ke atas jumlah penghakiman dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh serta kos tindakan secara global sebanyak RM30,000.

    Media pada 29 Ogos 2018 melaporkan kematian Cyril Quing, 35, ketika dia bersama 16 rakan setugas terbabit dalam operasi diadakan.

    Bagaimanapun ketika operasi berkenaan, mangsa secara tiba-tiba berlari keluar hutan dan meminta bantuan rakan setugas lain kerana dia terkena tembakan di bahagian bahu kanan.

    Mangsa kemudian dibawa tiga rakannya ke Klinik Kesihatan Rembau untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia.

  • Wanita mati ‘bangkit semula’ ketuk keranda

    Wanita mati ‘bangkit semula’ ketuk keranda

    SEORANG wanita di Ecuador ‘bangkit semula’ dalam keranda ketika upacara pengebumiannya yang turut menjadi tular di media sosial.

    Gilbert Balberan yang merupakan anak kepada Bella Montoya, 76, memberitahu, ibunya mengetuk keranda itu selepas ‘kembali bernyawa’ dan wanita tersebut kemudiannya dibantu oleh dua lelaki.

    Balberan menjelaskan dia terpaksa mendapatkan keranda yang didermakan untuk keluarga miskin selepas Hospital Awam Marin Icaza di bandar Babahoyo mengesahkan kematian ibunya pada Jumaat.

    “Pihak hospital turut memberikan sijil kematian kepada kami,” katanya sambil menambah ibunya kini dirawat di hospital sama dan memberi tindak balas positif,” menurut Sinar Harian yang memetik laporan AFP.

    Sebelum ‘kematiannya’, Montoya dimasukkan ke hospital kerana strok dan jantungnya dikatakan terhenti.

    Susulan insiden itu, Kementerian Kesihatan memaklumkan sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menyiasat insiden tersebut selain menyelia perkembangan Montoya.

  • Terkejut jumpa bayi lelaki atas reban ayam

    Terkejut jumpa bayi lelaki atas reban ayam

    SEORANG bayi lelaki dipercayai baharu dilahirkan ditemui di atas reban ayam di kawasan Kampung Jawa dekat Lahad Datu hari ini.

    Bayi seberat tiga kilogram itu ditemui tanpa sebarang pakaian oleh seorang penduduk kampung kira-kira pukul 6.30 pagi.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, lelaki berusia 51 tahun melaporkan bayi yang ditinggalkan itu ditemuinya ketika sedang melihat reban ayam miliknya.

    “Sepasukan pegawai polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Lahad Datu telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.

    “Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana penjaga yang bertanggungjawab terhadap bayi itu berniat membuangnya.

    Jelasnya, sekira sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    “Pihak kita sedang mengesan suspek sebenar kes ini dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh

    berhubung terus di talian Hotline IPD Lahad Datu 089-881255 atau pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Sophia Thomas Kasau di talian 013-9392505, ” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Kastam rampas kokain 302kg bernilai RM60.44 juta

    Kastam rampas kokain 302kg bernilai RM60.44 juta

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JDKM) menumpaskan satu Sindiket pengedaran dadah mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyorok bahan terlarang itu dalam kontena berisi bungkusan guni kacang soya di Pelabuhan Klang, awal bulan ini.

    Ketua Pengarah JDKM, Datuk Zazuli Johan berkata, rampasan dadah jenis kokain seberat 302.20 kilogram itu bernilai RM60.44 juta.

    “Kita telah menerima maklumat risikan daripada Direktorat Jeneral Kawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengenai sebuah kontena berukuran 6.1 meter (20 kaki) yang tiba di Pelabuhan Klang pukul 9.45 malam, 6 Jun lalu.

    “Pemeriksaan dilakukan pasukan dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM telah menjumpai 10 beg guni mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis kokain,” katanya pada sidang media di JKDM di Kampung Jijan di Nilai hari ini.

    Menurutnya, sindiket itu telah mengikrarkan barangan terbabit sebagai kacang soya sedangkan dalamnya telah disorokkan dengan guni-guni mengandungi serbuk putih disyaki kokain.

    Ujarnya, hasil siasatan awal mendapati kontena berkenaan dibawa dari sebuah negara di Amerika Selatan sebelum transit ke sebuah negara di Asia Tenggara, namun telah ditahan sebaik tiba di Pelabuhan Klang, Selangor.

    “Kontena tersebut dipercayai untuk dihantar ke sebuah negara di Asia Selatan,” katanya.

    Sementara itu katanya, pihaknya juga turut berjaya merampas dadah jenis ketamin seberat 151.85 kilogram bernilai RM9.113 juta dalam dua kes berbeza minggu lalu.

    Zazuli berkata, dalam kes pada 6 Jun, sebanyak 15 buah kotak telah disita di Kompleks Kargo Udara KLIA, Sepang, Selangor.

    Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kotak tersebut menjumpai 107 bungkusan plastik mengandungi bahan ketulan putih disyaki dadah jenis ketamin seberat 126.55 kilogram yang dianggarkan bernilai RM7.593 juta.

    Bagi mengaburi mata pihak berkuasa ujar beliau, sindiket itu telah mengikrarkan barang berkenaan sebagai periuk dan pasu seramik sedangkan di dalamnya terdapat kotak mengandungi dadah.

    Jelasnya, siasatan awal mendapati, ia diimport dari sebuah negara di Eropah dan mendarat di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai destinasi terakhir.

    Tambahnya, pengimport juga menggunakan maklumat palsu di dalam dokumen pengimportan yang telah menyukarkan lagi tangkapan dibuat ke atas pengimport dagangan.

    “Namun siasatan masih dilakukan bagi mengesan suspek bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

    Selain itu katanya, dalam kes di Pelabuhan Klang, Selangor JKDM dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah menyita satu kotena sejuk beku 4 Jun lalu.

    Ujar beliau, pemeriksaan dilakukan telah menjumpai 25 peket mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin seberat 25.30 kilogram.

    “Bungkusan paket berkenaan disorok di dalam dinding kontena sejuk beku yang berisi makanan laut,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Selangor tunggu perkenan Sultan untuk bubar DUN – MB

    Selangor tunggu perkenan Sultan untuk bubar DUN – MB

    DEWAN Undangan Negerinya (DUN) Selangor hanya menunggu perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menentukan tarikh pembubarannya.

    Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari,tarikh pembubaran bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya akan diumumkan selepas mendapat perkenan baginda.

    “Saya tidak boleh beritahu sebab apa hal pun saya perlu menghormati Tuanku Sultan Selangor sebab perkenan Tuanku akan menetapkan bila tarikh (pembubaran),” katanya.

    Beliau ditemui selepas berakhir Majlis Amanat Khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Kepada Penjawat Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam, hari ini.

    Hari ini, Amirudin turut menafikan dakwaan bahawa DUN Selangor akan dibubarkan pada 19 Jun ini, bagi memberi laluan kepada PRN tidak lama lagi.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata, dakwaan itu tidak benar dan tarikh itu merupakan lengkap selama lima tahun mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar iaitu 19 Jun 2018 yang lepas.

    Sebelum ini, pada 5 Jun, media melaporkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menerusi program ceramah PN di Tanjong Karang, mendakwa, DUN negeri itu akan dibubarkan pada 19 Jun.

    Sementara itu, Amirudin berkata, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Selangor juga masih belum mencapai kata sepakat dalam rundingan membabitkan tiga daripada 56 kerusi DUN.

    Menurutnya, setakat ini belum ada perbincangan rasmi namun satu lagi perbincangan terakhir dijangka berlangsung pada minggu ini sebelum keputusan dapat dimuktamadkan.

    “Belum ada perbincangan rasmi, dalam minggu ini ada satu perbincangan terakhir, dan selepas itu akan dimuktamadkan dan saya yakin sebelum atau selepas Hari Raya Aidiladha kita akan dapat (keputusan) dan putuskan,” katanya.

    Beliau berkata, bagaimanapun perbincangan bersama BN adalah jauh lebih baik berbanding bersama salah satu parti komponen dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya sebelum ini.

    “Semasa PR dahulu pada malam pilihan raya pun masih bertindih, pada Pilihan Raya Umum 2013, Pas letak calon di Kota Damansara, (Pas) rakan kongsi dan itu dah bertindih teruk,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Impak besar Annuar Musa, Eizlan Yusof, kata Mohd. Amar

    Impak besar Annuar Musa, Eizlan Yusof, kata Mohd. Amar

    PENYERTAAN Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa dan pelakon Datuk Eizlan Yusof boleh meningkatkan sokongan pengundi Pas.

    Naib Presiden Pas Pusat, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bagaimanapun berkata, pihaknya belum membincangkan peluang dua individu berkenaan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan.

    “Impak besar berlaku berikutan dua individu itu menyertai Pas dan kemungkinan ramai lagi ahli daripada parti lain yang akan mengikut jejak langkah mereka.

    “Kita belum tahu lagi penambahan ahli tetapi daripada program malam tadi (Ceramah Mega Gelombang Kebangkitan Rakyat), membuktikan ramai yang memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN),” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan 2022 Kali ke-13 di Kota Bharu hari ini.

    Seramai 326 pelajar dari 10 maahad tahfiz menerima sijil pada majlis yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

    Hadir sama, Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan serta Pengarah Yayasan Islam Kelantan, Engku Rajhan Engku Ismail.

    Mohd. Amar turut berharap sokongan lebih ramai dalam kalangan ahli dan penyokong parti lain menjelang PRN.

    Ketika ditanya mengenai ‘serangan’ parti lawan menjelang PRN, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, serangan itu bertujuan menghalang pengundi di luar Kelantan menyokong PN.

    “Biasalah nak berperang, dia serang kita, lepas ni kita serang lagi… kita ambil sikap tunggu dan lihat… kita belum keluarkan peluru kita.

    “Pengundi Kelantan sudah membuktikan mereka menerima kita selama 33 tahun,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • PRN Kelantan: Pas jangka PH, UMNO beri tentangan sengit

    PRN Kelantan: Pas jangka PH, UMNO beri tentangan sengit

    GABUNGAN Pakatan Harapan (PH) dan UMNO dijangka memberi tentangan sengit kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan, kata Naib Presiden Pas Pusat, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

    Justeru kata Timbalan Menteri Besar Kelantan itu, PN tidak pernah memandang mudah kepada ‘musuh’ mereka.

    “Pas dan rakan gabungannya kini sedang menyusun strategi dan sebahagian gerakan sedang berjalan dalam menghadapi tentangan pihak lawan.

    “Tidak mudah bagi mengatasi mereka kerana bagi kita setiap kali pilihan raya memang perlu berusaha bersungguh-sungguh dan kita tidak pandang mudah mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan 2022 Kali ke-13 di Kota Bharu hari ini.

    Menurutnya, tentangan juga sengit berikutan pertembungan dua penjuru selepas UMNO kerjasama dengan PH.

    Mohd. Amar berkata, parti lawan membangkitkan isu lama yang dikitar semula.

    “90 peratus isu yang dimainkan dikitar semula dan sudah dijawab dengan penjelasan sebelum ini.

    “Mereka mahu mencari perkara negatif dan bukan untuk mencari jawapan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Wan Ahmad Fayhsal kesal tak dijemput hadiri program Kor Ming

    Wan Ahmad Fayhsal kesal tak dijemput hadiri program Kor Ming

    WAN Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamil hari ini menyatakan rasa tidak puas hatinya kerana tidak diundang menghadiri program menteri di kawasannya, Machang.

    Merujuk kepada program dihadiri Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming baru-baru ini, kata Wan Ahmad Fayhsal, tindakan tersebut tidak memberi manfaat kepada rakyat.

    “Saya ada sedikit teguran terhadap menteri ini (Nga) yang tidak hadir pada pagi ini, sebabnya semasa beliau datang buat serahan pada pemilik PPR (Program Perumahan Rakyat) tidak dimaklumkan kepada kami wakil rakyat.

    “Ini penting (kerana) rakyat dalam kawasan saya akan bertanya kepada kami mengenai sebarang masalah yang ada di tempat mereka,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

    Pun begitu Wan Ahmad Fayshal tetap memuji menteri lain yang menjemputnya untuk hadir ke program kerajaan membabitkan kawasan Parlimen Machang.

    Antara yang disebut Ketua Pemuda Bersatu itu ialah majlis penyerahan projek oleh Jabatan Kerja Raya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, iaitu Klinik Kesihatan Mata Ayer dan Klinik Kesihatan Kerilla.

    Majlis itu dihadiri Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa, dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Abdul Rahman Mohamad.

    Sementara itu menjawab bagi pihak kerajaan, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir, mengemukakan permohonan maaf.

    Kata Akmal Nasruddin, ketika menghadiri program rasmi kementeriannya di Machang semalam beliau turut tidak menjemput Wan Ahmad Fayhsal.

    “Saya nak maklumkan kepada Machang (Wan Ahmad Fayhsal), semalam saya juga turun ke Machang, tapi saya tidak maklumkan sebab saya melawat projek perumahan sakit.

    “Memang saya turun, cuma saya minta maaf tidak maklumkan. Dan juga semalam (turun ke Machang) sebab kita bukan hanya nak sembang minum, tetapi saya nak selesaikan masalah rakyat di bawah,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Peruntukan untuk pembangkang juga ‘hak asasi manusia’

    Peruntukan untuk pembangkang juga ‘hak asasi manusia’

    PERJUANGAN mengangkat hak asasi manusia harus bermula di Parlimen dengan kerajaan memberi peruntukan sama rata kepada ahli Parlimen pembangkang, kata Mumtaz Md. Nawi (PAS-Tumpat).

    “Macam mana nak bincang hak asasi orang lain apabila ahli Parlimen pembangkang yang dipilih oleh rakyat tak ada peruntukan untuk operasi pejabat.

    “Tiada peruntukan untuk operasi pejabat, kalau ada menteri turun ke kawasan pun tak dijemput.

    “Hak asasi manusia perlu bermula di Parlimen,” katanya ketika berucap bagi membahaskan Laporan Tahunan 2020 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Parlimen, hari ini.

    Pada 25 April lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beliau masih belum menerima sebarang permohonan rasmi bagi membincangkan peruntukan kewangan kepada ahli Parlimen pembangkang.

    Mengakui beliau dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah mengadakan perjumpaan, namun katanya ia adalah pertemuan tidak rasmi.

    Fadillah sebelum itu dilaporkan meminta Takiyuddin mengemukan perincian cadangan secara bertulis, sebelum rundingan mengenai dimulakan.

    Sementara itu Sahredzan Johan (PH- Bangi) berkata, hak asasi manusia di negara ini harus dijunjung demi menjaga kepentingan semua pihak.

    Katanya, meskipun hak asasi dikatakan sebagai satu pendekatan barat, namun ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

    “Ada yang menyatakan hak asasi manusia (pendekatan) barat, tetapi hak asasi ini sudah lama sebati dengan rakyat Malaysia, telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

    “Bangi ingin tekankan tangugngjawab kita untuk menjunjung hak asasi manusia ini,” kata Ahli Parlimen Bangi itu ketika berucap di Parlimen, lapor Malaysiakini.

    Justeru, Syahredzan menggesa supaya segala syor dikemukakan Suhakam bagi menambah baik hak asasi manusia dilaksanakan kerajaan.

    Katanya, usaha kerajaan membahas laporan Suhakam sebagai satu iltizam ke arah mengangkat hak asasi manusia.