Author: Wartawan WartaRakyat

  • Syamsul ceraikan Puteri Sarah dengan talak satu

    Syamsul ceraikan Puteri Sarah dengan talak satu

    PELAKON dan pengarah sensasi, Syamsul Yusof dan isteri yang juga pelakon, Puteri Sarah, sah bercerai dengan talak satu.

    Talak itu dilafaz di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan tepat jam 12.23 tengah hari di hadapan Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas.

    Lafaz cerai dilakukan di hadapan Hakim Hakim Syarie, Akmalluddin Ilyas selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Puteri Sarah mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

    Akmallluddin kemudian mensabitkan berlaku perceraian dan memerintahkan Puteri Sarah menjalani tempoh edah selama tiga bulan dan mendaftarkan perceraian mereka.

    Terdahulu, sebelum melafazkan cerai, Syamsul dan Puteri Sarah dilihat bersalaman dan masing-masing kelihatan tenang, lapor Berita Harian.

    Pada 25 Mei lalu, Mahkamah Rendah Syariah, di Kuala Lumpur, dimaklumkan tiada ruang untuk Syamsul dan Puteri Sarah berdamai dalam kemelut rumah tangga yang dihadapi sejak empat tahun lalu.

    Ini kerana Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dibentangkan di mahkamah mengesahkan berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) dan kewujudan pihak ketiga.

    Dalam prosiding hari ini, Puteri Sarah diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Syamsul diwakili peguam syarie, Azmi Mohd. Rais.

    Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.

  • Pemandu rentung treler terbabas dalam longkang

    Pemandu rentung treler terbabas dalam longkang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pemandu treler rentung selepas terlibat kemalangan di Kilometer 109 Lebuhraya Pagoh-Yong Peng dekat Batu Pahat tengah malam tadi.

    Orang awam yang menyaksikan kejadian itu memaklumkan kepada pihak polis pukul 12.40 tengah malam.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa treler dipandu mangsa dari arah Kuala Lumpur menghala ke Johor Bharu.

    “Apabila sampai di tempat kejadian hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam longkang sebelah kiri jalan lalu terbakar.

    “Akibat daripada kemalangan tersebut pemandu treler terbakar keseluruhan badan dan meninggal dunia ditempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di Batu Pahat hari ini.

    Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat dan bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian.

    Tambahnya, kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Sekiranya mana-mana saksi awam terlihat kejadian kemalangan boleh tampil ke Balai Polis Trafik Batu Pahat atau berhubung dengan pegawai penyiasat di talian 07- 4327704,” ujar beliau.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Fadli Ismail berkata, seramai 17 anggota dari BBP Pagoh dan BBP Bukit Gambir dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Mereka dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). Treler berkenaan yang terbabas telah terbakar 80 peratus daripada keseluruhan kenderaan tersebut.

    “Terdapat seorang mangsa rentung di bahagian tempat duduk pemandu. Pihak bomba mengeluarkan mangsa dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi selesai pada jam 3.13 pagi,” katanya.

  • MN bantu PN hadapi PRN

    MN bantu PN hadapi PRN

    MUAFAKAT Nasional (MN) turut serta membantu Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Timbalan Presiden MN, Datuk Zuraida Kamaruddin telah berkongsi gambar bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersama Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd. Saleh menerusi satu hantaran di Facebook rasmi miliknya.

    Tambah beliau, sokongan penuh akan tertumpu kepada PN dan keterlibatan ini adalah sejajar dengan hasrat pelbagai pihak.

    “Ia kerana perlu direalisasikan agar ukiran kemenangan dapat dinyatakan dalam natijah yang sebenar,” katanya dalam kenyataan dalam Facebook miliknya hari ini.

    Terdahulu, media melaporkan Presiden Pertubuhan Muafakat Nasional (MN), yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sah menyertai Pas.

    Perkara tersebut diumumkan oleh Takiyudin Hassan pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan yang diadakan Senawang, Jun lalu lapor Sinar Harian.

  • ‘RM42 juta kecil’ – Zaid minta Anwar bebaskan Najib

    ‘RM42 juta kecil’ – Zaid minta Anwar bebaskan Najib

    BEKAS menteri undang-undang Datuk Seri Zaid Ibrahim menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membebaskan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ‘demi rakyat’.

    Katanya, jumlah RM42 juta, iaitu nilai dalam kes rasuah SRC International yang Najib disabit bersalah, hanyalah perkara kecil, berbanding kes lain dalam negara.

    “Ke hadapan perdana menteri, anda perlu ubah fikiran tentang Najib demi rakyat. Biarkan dia bebas.

    “Dalam pilihan raya negeri akan datang ini, (kerajaan) Madani perlu menang; anda perlu jadi perdana menteri untuk beberapa tahun lagi,” ciap Zaid hari ini.

    Zaid berkata, UMNO, kini dalam keadaan lemah dan hanya Najib yang mampu membantu parti itu menang dalam PRN yang akan diadakan di enam negeri nanti.

    “Sudah tentu, dia sudah didapati bersalah, tetapi dalam ‘scheme of things’, RM42 juta adalah ‘small change’.

    “Lagipun, mulai sekarang, rasuah adalah perkara yang sudah berlalu di bawah kepimpinan anda yang tegas dan bersih. Tiada siapa boleh kata anda berlembut dengan rasuah jika mengampuni Najib,” katanya lagi.

    Zaid kemudian memberitahu Malaysiakini bahawa dia bukannya menyokong Najib, tetapi hanya menyatakan RM42 juta dalam kes bekas perdana menteri itu adalah ‘lebih kecil’ berbanding kes rasuah lain yang melibatkan ratusan juta atau malah berbilion ringgit.

    Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta berikutan tuduhan rasuah terhadapnya dalam kes SRC International berjumlah RM42 juta.

    UMNO sebelum ini telah membuat permohonan agar bekas perdana menteri itu diberi pengampunan diraja.

    Anwar yang turut menganggotai Lembaga Pengampunan telah menjelaskan setiap individu yang disabitkan bersalah ada hak untuk mendapatkan pembebasan dengan memfailkan permohonan dengan lembaga itu.

    Bagaimanapun, beliau berkata pengampunan adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong.

  • Rosmah mohon pasport sementara ke Singapura

    Rosmah mohon pasport sementara ke Singapura

    DATIN Seri Rosmah Mansor sekali lagi memohon Mahkamah Rayuan untuk pelepasan sementara pasportnya agar dia boleh ke Singapura untuk melawat anaknya, Nooryana Najwa Najib.

    Peguamnya Datuk Akberdin Abdul Kader baru-baru ini mengesahkan dengan Malaysiakini berhubung pemfailan permohonan itu pada 2 Jun lalu.

    Pada masa ini, pasport Rosmah ditahan mahkamah sementara permohonannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman bagi kes rasuahnya berjalan.

    Pelepasan sementara pernah diberikan kepadanya pada 15 Oktober 2021 untuk Rosmah ke Singapura ketika Nooryana bersalin serta pada 21 Mac tahun ini untuk dia melawat Nooryana dan cucunya yang tidak sihat.

    Menurut permohonan terbaru ini, Rosmah memohon pelepasan semantara untuk di ke Singapura pada 6 Jun hingga 7 Julai tahun ini.

    Dalam afidavit bagi menyokong permohonan itu, Rosmah mendakwa dia ingin melawat Nooryana yang kini tinggal di republik itu bersama-sama suaminya, Daniyar Kessikbayev.

    “Atas dasar ini, saya dengan rendah diri ingin memohon kepada mahkamah suatu kebenaran untuk membenarkan pasport antarabangsa saya diambil oleh saya untuk membolehkan saya menggunakannya bagi melawat anak perempuan saya dan keluarganya di Singapura,” katanya.

    Katanya lagi, dia telah dinasihati peguamnya bahawa permohonan itu dibuat secara teratur dan pihak pendakwaan tiada sebarang bantahan berdasarkan surat-menyurat antara pendakwaan dan peguamnya yang bertarikh 26 Mei dan 1 Jun lalu.

    “Saya sedar akan natijah sekiranya saya ingkar dan/atau enggan menuruti perintah mahkamah untuk hadir ke mahkamah bagi sebutan dan perbicaraan.

    “Saya sehingga hari ini tidak pernah gagal dan/atau cuai untuk hadir ke mahkamah bagi sebutan dan perbicaraan tanpa sebab dan/atau alasan yang munasabah,” katanya lagi, lapor MalaysiaKini.

    Rosmah juga berjanji akan menyerahkan semula pasportnya kepada mahkamah, selewat-lewatnya seminggu setelah dia pulang dari Singapura nanti.

    Malaysiakini sedang menghubungi pihak pendakwaan berhubung permohonan ini.

    Permohonan ini dijangka akan didengar di Mahkamah Rayuan esok.

  • DUN Kelantan bubar 22 Jun untuk PRN

    DUN Kelantan bubar 22 Jun untuk PRN

    MENTERI Besar Kelantan, Datuk Seri Ahmad Yakob mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan akan dibubarkan pada 22 Jun ini.

    Menurutnya, pembubaran itu diumumkan selepas mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

    Langkah tersebut bagi memberi laluan untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) apabila mendapat perkenan Sultan Kelantan.

  • Tukang urut tak mengaku lakukan seks tanpa kebenaran

    Tukang urut tak mengaku lakukan seks tanpa kebenaran

    SEORANG tukang urut tradisional dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas pertuduhan melakukan hubungan seks dengan seorang gadis tanpa kebenaran, bulan lalu.

    Tertuduh, Nor Muhamad Ahmad, 57, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati melakukan perhubungan seks dengan cara memasukkan jari ke dalam kemaluan seorang gadis berusia 21 tahun tanpa kebenaran.

    Perbuatan itu dilakukan pada 30 Mei lalu lebih kurang jam 10.30 malam bertempat di ruang tamu dalam rumah di Kuala Klawang, Jelebu.

    Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

    Jika disabitkan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 30 dan sebat.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 17 Julai depan sebagai tarikh sebutan kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.

  • Tiga maut dalam dua nahas berasingan

    Tiga maut dalam dua nahas berasingan

    SEORANG lelaki maut dalam satu nahas membabitkan sebuah kereta Perodua Viva dengan sebuah lori balak tanpa muatan di Jalan Temerloh – Mentakab, Temerloh, pagi tadi.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.39 pagi sebelum tujuh anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Temerloh bergegas ke lokasi kejadian.

    Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kemalangan melibatkan lori balak tanpa muatan melanggar sebuah kereta Perodua Viva.

    “Berikutan kejadian itu, mangsa tersepit dan meninggal dunia di lokasi kejadian. Bagaimanapun, pemandu lori hanya mengalami cedera ringan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, Komander Operasi melaporkan, pasukan Bomba telah melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.

    “Mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan,” jelasnya, lapor Astro Awani.

    Lori balak tanpa muatan yang terlibat dalam nahas di Jalan Temerloh - Mentakab, di Temerloh, pagi tadi. - Foto JBPM

    Lori balak tanpa muatan yang terlibat dalam nahas di Jalan Temerloh – Mentakab, di Temerloh, pagi tadi. – Foto JBPM

    Sementara itu, dalam kejadian berasingan, dua wanita maut dalam kemalangan membabitkan kereta Proton Wira dengan lori tangki minyak di Jalan Gambang – Kampung Lepar Hilir, di Kuantan, semalam.

    Mangsa, Siti Nur Alia Saffiyah Zulkifli, 18, dan kakaknya Siti Mazurah, 30, dari Felda Lepar Hilir, yang menaiki kereta Proton Wira maut di tempat kejadian manakala pemandu lori tangki berusia 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Zulfadli berkata, seramai lapan anggota termasuk pegawai dari BBP Taman Tas termasuk pasukan Bomba bantuan dari BPP Indera Mahkota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.21 malam.

    Kedua-dua mangsa tersepit dalam nahas di Jalan Gambang - Kampung Lepar Hilir. - Foto JBPM

    Kedua-dua mangsa tersepit dalam nahas di Jalan Gambang – Kampung Lepar Hilir. – Foto JBPM

    “Berikutan kemalangan itu, kedua-dua mangsa tersepit. Pasukan Bomba melakukan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan khas.

    “Namun, wanita itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan yang berada di lokasi kejadian, dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu, berkata pihak polis tidak menolak kemungkinan siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kerana kecuaian pemandu lori tangki mengawal kenderaan ketika memandu.

    “Kejadian itu menyebabkan lori tangki terbabit merempuh Proton Wira dinaiki dua beradik terbabit sehingga menyebabkan mangsa tersepit, dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Berdasarkan siasatan awal, keadaan jalan lurus, sistem jalan satu lorong satu hala, permukaan jalan rata tetapi permukaan jalan basah kerana hujan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tambahnya, pemandu lori itu turut ditahan untuk siasatan lanjut tetapi ujian saringan air kencing dijalankan terhadap lelaki terbabit mendapati ketika kejadian bebas daripada pengaruh dadah.

  • ‘Saya bukan calon MB Negeri Sembilan’ – Faizal Azumu

    ‘Saya bukan calon MB Negeri Sembilan’ – Faizal Azumu

    PERIKATAN Nasional (PN) Negeri Sembilan akan mengetengahkan calon tempatan sebagai Menteri Besar bagi memimpin negeri itu jika diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

    Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kenyataan itu sekali gus menafikan desas desus beliau akan dilantik memimpin negeri berkenaan.

    “Calon MB? Bukan saya kerana saya tidak bertanding. Saya cuma mengambil alih jawatan pengerusi PN dan Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan supaya saya dapat membantu serta membenarkan pemimpin tempatan dapat memberi fokus kepada kawasan masing-masing,” katanya dalam wawancara bersama Malaysianow.

    Ahmad Faizal berkata, di Negeri Sembilan, PN mempunyai ramai calon berkemahiran untuk diketengahkan sebagai pemimpin utama.

    “Jika dapat sokongan nama besar seperti Khairy, kita alu-alukan, namun apa yang kita ada sekarang ini memadai untuk tarik sokongan kepada kami,” tambah beliau.

  • PN akan buat kejutan besar di Negeri Sembilan?

    PN akan buat kejutan besar di Negeri Sembilan?

    KEJATUHAN kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Pakatan Harapan (PH) pada 2018 mengejutkan ramai pihak terutamanya apabila Negeri Sembilan dianggap sebagai antara kubu kuat Barisan Nasional (BN).

    Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pentadbiran negeri itu dipimpin Datuk Seri Aminuddin Harun daripada PKR apabila PH memperoleh 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala BN sebanyak 16, menyaksikan perbezaan tipis hanya empat kerusi antara kedua-dua gabungan politik itu.

    Justeru, situasi ini mencetuskan tanda tanya sama ada PH mampu mengekalkan kedudukan mereka di Negeri Sembilan dengan terus meraih sokongan pengundi Melayu yang meliputi lebih 60% penduduk di negeri terbabit.

    Ramai menjangkakan BN akan kembali menawan negeri itu sekiranya berlaku pilihan raya, dan keputusan PRU15 yang berlangsung pada November tahun lalu secara tidak langsung menggambarkan BN memenuhi ramalan itu apabila meraih lima kerusi Parlimen, mengatasi PH yang hanya mampu memperoleh tiga.

    Berdasarkan pola pengundian mengikut demografi, jelas sekali menunjukkan BN mengungguli kawasan luar bandar yang terdapat majoriti Melayu iaitu, Rembau, Jelebu, Jempol, Kuala Pilah dan Tampin manakala PH kekal berada di kawasan lebih membangun seperti Seremban dan Port Dickson selain Rasah.

    Situasi ini dilihat menarik menjelang ketibaan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang yang mana ia turut melibatkan Negeri Sembilan, apabila kebanyakan ramalan menjangkakan sokongan majoriti Melayu akan beralih ke Perikatan Nasional (PN) seperti yang berlaku pada PRU15 lalu.

    Jangkaan ini menimbulkan persoalan sama ada PN yang sebelum ini tiada kerusi DUN akan membuat kejutan besar di Negeri Sembilan apabila gabungan itu diramal mempunyai peluang cerah ‘merampas’ undi Melayu di kawasan luar bandar untuk menggantikan kedudukan BN serta mengambil alih pentadbiran kerajaan daripada PH.

    Dalam wawancara eksklusif bersama MalaysiaNow, Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang baru dilantik meluahkan keyakinan untuk meluaskan pengaruh di negeri itu terutamanya selepas UMNO kini sudah ‘berkahwin’ dengan DAP, parti yang ditolak oleh majoriti pengundi di kawasan luar bandar negeri tersebut.

    Katanya, situasi ini akan menjadikan parti komponen PN sebagai sandaran utama bagi penyokong Melayu, sekali gus membolehkan gabungan politik itu memberikan saingan hebat di Negeri Sembilan.

    “Kami yakin hari ini sentimen terutama dalam kalangan orang Melayu bukan saja di Negeri Sembilan tetapi di seluruh negara sudah beralih arah, apatah lagi dengan keadaan di mana parti yang sebelum ini mewakili Melayu seperti UMNO telah dengan seteru mereka DAP,” katanya.

    “Ini mengakibatkan pengundi tradisi mereka beralih dan PN menjadi sandaran utama. Insya Allah kami akan beri saingan hebat di Negeri Sembilan.”

    Faizal yang juga timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, proses pengagihan kerusi di negeri itu juga sudah selesai dan akan diumumkan pada waktu sesuai.

    Katanya, semua parti komponen termasuk Bersatu, Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan mengambil bahagian dengan calon yang bakal diketengahkan terdiri daripada pelbagai latar belakang.

    Mengulas mengenai status pelawaan bekas pemimpin UMNO, Khairy Jamaluddin menyertai Bersatu, Faizal berkata, PN dijangka mampu meraih keputusan cemerlang di Negeri Sembilan bersama atau tanpa bantuan daripada bekas ahli Parlimen Rembau itu.

    Bagaimanapun, Faizal mengakui, kehadiran Khairy menyertai Bersatu akan melonjakkan lagi sokongan pengundi di Negeri Sembilan kepada PN.

    “PN kita berjuang tak fikir tentang seseorang pemimpin. Kepentingan rakyat adalah perkara paling utama, itu adalah asas perjuangan PN.

    “Jika beliau (Khairy) seorang yang hendak bersama dengan kami, Alhamdulillah. Jika tidak, perjuangan tetap diteruskan,” kata Faizal.

    Khairy sebelum ini ditawarkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) oleh Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan bekas menteri kesihatan itu dijangka memberi jawapan pada minggu ini.