Author: Wartawan WartaRakyat

  • Penunggang Ducati maut jatuh ‘flyover’ elak motosikal lawan arus

    Penunggang Ducati maut jatuh ‘flyover’ elak motosikal lawan arus

    SEORANG lelaki maut selepas tercampak daripada motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya sebelum jatuh dari jejambat (flyover) di susur Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (SUKE) menghala Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Ampang hari ini.

    Penunggang motosikal jenis Ducati berkenaan dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal lain yang melawan arus, sebelum mangsa terbabas dan terjatuh ke bawah jejambat itu, lapor Sinar Harian.

    Video dan gambar yang memaparkan kemalangan berkenaan tular dalam media sosial.

    Kes berkenaan masih dalam siasatan dan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat selepas hasil siasatan awal diperoleh daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Ampang Jaya.

    Terdahulu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 12 saat memaparkan motosikal melawan arus tular di media sosial.

    Sejurus selepas itu, motosikal berkuasa tinggi dilihat hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan dan terpelanting ke bawah.

  • LFL: Zahid ‘jamu’ Najib makan di penjara tak adil, persenda undang-undang

    LFL: Zahid ‘jamu’ Najib makan di penjara tak adil, persenda undang-undang

    KERAJAAN hari ini dikecam berhubung layanan istimewa yang diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah ketika mereka melawat Datuk Seri Najib Razak di Penjara Kajang.

    Menurut laporan MalaysiaKini, pengarah eksekutif Lawyers for Liberty (LFL) Zaid Malek berkata, peruntukan sedemikian untuk Najib dan tahanan VIP lain ‘hampir tidak pernah didengar’.

    Katanya, layanan istimewa yang diberikan kepada Najib adalah satu penghinaan terhadap prinsip kesaksamaan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

    “Kerajaan yang diamanahkan untuk menegakkan Perlembagaan mesti menjawab bagaimana ini boleh dibenarkan.

    “Tahanan dan banduan lain terpaksa bergelut untuk mendapatkan rawatan perubatan yang sewajarnya atau pembebasan sementara ehsan apabila kehilangan orang tersayang.

    “Layanan terhadap tahanan dan banduan lain dianggap keji dan bersempadan dengan hampir tidak berperikemanusiaan,” katanya.

    Zahid semasa ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu lalu memaklumkan kepada perwakilan bahawa beliau dan Shamsul membawa makanan kegemaran Najib ketika melawat bekas perdana menteri itu dan sempat bersarapan bersama selama setengah jam. Berikutan itu, Zahid berkata dia juga meluangkan masa 90 minit lagi bersendirian dengan Najib.

    Beberapa bekas banduan memberitahu Malaysiakini bahawa ini adalah di luar kelaziman kerana lawatan biasanya berlangsung antara 45 hingga 60 minit. Banduan dan pelawat turut dipisahkan oleh penghadang kaca dan makanan dari luar sama sekali tidak dibenarkan.

    Awal hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan bahawa Zahid dan Shamsul Anuar mendapat kebenaran khas daripada Komisioner Jeneral Jabatan Penjara Nordin Muhamad mengikut Peraturan 86 dan 99 Peraturan Penjara 2000.

    Saifuddin berkata dia dimaklumkan mengenai kebenaran khas yang diberikan Nordin sebelum lawatan itu. Menurut Peraturan Penjara 2000, hanya menteri dan komisioner jeneral penjara yang mempunyai kuasa untuk mengetepikan peruntukan tertentu.

    ‘Jamuan mini’

    Turut mempersoalkan lawatan itu adalah Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali.

    “Pelbagai persoalan kini timbul. Antara yang paling penting adalah bagaimana pertemuan ini diluluskan?

    “Tambahan pula bolehkah pertemuan sehingga dua jam? Bukankah maksimum adalah 45 minit? Bagaimana boleh pula buat jamuan mini dalam penjara?” soalnya menerusi satu kenyataan .

    Sambil mengecam Putrajaya, dia berkata, pertemuan dalam penjara dengan banduan atau tahanan lazimnya terhad kepada ahli keluarga, peguam dan pihak berkuasa.

    “Bukankah ahli keluarga hanya boleh dibenar buat demikian sewaktu perayaan?

    “Bukankah kalau ahli keluarga hendak peluk salam cium pun susah dek kerana dipisahkan dengan cermin penghadang, cakap pun melalui telefon disangkut pada dinding pengadang,” soalnya lagi.

  • Video tular: Polis Johor terima dua laporan terhadap Jocelyn Chia

    Video tular: Polis Johor terima dua laporan terhadap Jocelyn Chia

    POLIS Johor menerima dua laporan berhubung tindakan pelawak kelahiran Singapura, Jocelyn Chia, yang menghina dan memperlekehkan Malaysia pada rancangan komedinya yang videonya tular sejak minggu lalu.

    Perkara itu disahkan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, yang turut memaklumkan pihaknya komited dalam siasatan kes ini.

    Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai tidak memainkan isu yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.

    “Sehingga kini kita terima dua laporan polis berhubung isu pelawak itu yang menghina dan memperlekeh negara.

    “Permohonan Interpol telah dibuat pada semalam untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan suspek untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 504/505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan PDRM akan membuat permohonan kepada Interpol bagi mendapatkan identiti dan lokasi terkini Jocelyn untuk membantu siasatan berhubung klip videonya yang tular di media sosial.

    Sebelum ini, tindakan Jocelyn yang memperlekehkan Malaysia dalam satu persembahan komedi bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’ di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini, mendapat kecaman hebat daripada pelbagai pihak termasuk Malaysia dan Singapura.

    Menerusi klip video yang dimuat naik pada akaun TikTok, Jocelyn turut secara sengaja menghina seorang penonton persembahannya yang mengaku sebagai rakyat Malaysia dengan perkataan kesat.

    Susulan itu, TikTok mengeluarkan video tular berkenaan yang turut mengandungi kenyataan menghina Malaysia dan tragedi MH370, kerana mengandungi ucapan berunsur kebencian.

  • Simpanan RM739,050 hilang diperdaya ‘pegawai polis’

    Simpanan RM739,050 hilang diperdaya ‘pegawai polis’

    PESARA guru di Kuching hilang wang simpanan RM739,050 selepas terpedaya dengan panggilan telefon ‘Inspektor Khoo’ yang mendakwa dia terbabit pengubahan wang haram.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, wanita berusia 63 tahun itu menerima panggilan terbabit bulan lalu serta dimaklum bahawa wang simpanannya perlu diperiksa Bank Negara Malaysia (BNM).

    “Suspek meminta mangsa membuka akaun bank baharu dan memindahkan wang tersebut ke dalam akaun itu untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, pada 12 Mei, mangsa membuka dua akaun bank berlainan di Kuching dan dia yang panik memindahkan wang RM369,525 dan RM369,525 daripada simpanan banknya serta suami ke dalam dua akaun berkenaan.

    Menuruntya, mangsa juga diarahkan oleh Inspektor Khoo untuk memberikan semua maklumat perbankan akaun bank baharunya kepada suspek.

    Mohd Azman berkata, mangsa hanya menyedari ditipu setelah menghubungi pihak bank dan dimaklumkan terdapat beberapa transaksi pemindahan wang keluar yang berjumlah RM739,050 daripada kedua-dua akaun itu ke atas akaun bank milik individu tidak dikenali.

    Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis baru-baru ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • ‘Kalih bagi sama’, kempen politik songsang – Sanusi

    ‘Kalih bagi sama’, kempen politik songsang – Sanusi

    DATUK Seri Muhammad Sanusi Md.Nor menyifatkan kempen ‘kalih bagi sama’ yang menjadi slogan PH-BN untuk merampas Kedah dalam PRN tidak lama lagi sebagai kempen politik songsang.

    Sinar Harian melaporkan, Menteri Besar Kedah itu berkata, kempen berkenaan tidak menggambarkan demokrasi dan tidak selari dengan Perlembagaan negara.

    Beliau menegaskan , adalah menjadi hak rakyat untuk memilih kepimpinan dalam pilihan raya seperti termaktub dalam undang-undang.

    “Ada orang sedang adakan kempen supaya ‘kalih bagi sama’. Tujuannya supaya kerajaan negeri dengan peringkat Pusat sama, barulah berlaku keadilan. Ini adalah satu kempen yang songsang. Kempen ini songsang kerana hak rakyat untuk memilih dijamin oleh Perlembagaan,” katanya.

    Menteri Besar Kedah itu mengingatkan agar kempen politik menjelang PRN hendaklah berada dalam landasan dibenarkan dan tidak menyalahi perundangan.

    “Rakyat sudah pilih, kerajaan sudah terbentuk (di Kedah) tetapi apabila pemimpin itu dari parti lain, diuarkan sebegitu. Undang-undang tidak pernah menyatakan hanya apabila parti di Pusat dan negeri sama, barulah proses keadilan boleh berlaku. Itu di luar batas undang-undang. Jadi tak perlu kempen sehingga tak peduli undang-undang,” katanya.

    Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah berkata,  segala urusan pentadbiran khususnya antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan mesti berlandaskan kepada undang-undang.

    “Perlu adil kepada Kedah biarpun negeri ini ditadbir oleh parti yang tidak sealiran dengan parti pemimpin itu. Kempen seperti ‘kalih bagi sama’ barulah ada keadilan atau akan diberikan layanan sama rata, ia bertentangan dengan undang-undang,” katanya..

    Pada awal Mei lalu, PH dan BN Kedah melancarkan slogan ‘kalih bagi sama’ sebagai kempen PRN bertujuan untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan sealiran.

    Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah bersama Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar meminta rakyat Kedah memanfaatkan peluang sebaik mungkin dalam PRN yang akan diadakan tidak lama lagi untuk memastikan pentadbiran negeri sealiran dengan Persekutuan.

  • Guru wanita tabika cedera selamatkan 9 murid daripada lelaki amuk

    Guru wanita tabika cedera selamatkan 9 murid daripada lelaki amuk

    SEORANG guru wanita cedera semasa menyelamatkan sembilan muridnya daripada seorang lelaki yang mengamuk di sebuah tadika di Sarikei pukul 8.20 pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Awang Arfian Awang Bujang berkata, suspek dipercayai datang secara tiba-tiba di tabika terbabit dan cuba memasukinya.

    “Suspek berusia 17 tahun itu dipercayai berada di bawah pengaruh dadah. Dia bertindak memecahkan tingkap serta pintu belakang tabika berkenaan sebelum bergelut dengan mangsa,” katanya di Sarikei, hari ini.

    Katanya, guru terbabit mengalami kecederaan di bahagian tangan, kaki dan belakang badan akibat pergelutan berkenaan.

    Difahamkan, guru wanita itu kemudian dibantu pengawal keselamatan yang berjaya menahan suspek sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 427 dan 323 Kanun Keseksaan masing-masing kerana melakukan khianat harta benda dan menyebabkan kecederaan dengan sengaja,” katanya, lapor Astro Awani.

  • OKU rentung terperangkap dalam kebakaran

    OKU rentung terperangkap dalam kebakaran

    SEORANG wanita orang kurang upaya (OKU) ditemui rentung selepas rumahnya terbakar di Kampung Gong Datuk, Kuala Nerus, Terengganu.

    Dalam kejadian pukul 11.50 pagi, Senik Abdullah, 60, disahkan meninggal dunia selepas gagal menyelamatkan diri.

    Timbalan Pengarah Bomba Terengganu, Mohd. Khairiri Mat Resad @ Arshad, berkata pihaknya menerima panggilan 12.01 tengah hari sebelum menggerakkan 28 anggota bersama tiga jentera daripada Balai Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Jalan Kota ke lokasi kejadian.

    Beliau berkata, sebaik sampai, api sedang marak membakar rumah berkenaan sebelum kerja-kerja pemadaman segera dijalankan.

    “Api berjaya dikawal kira-kira 20 minit kemudian sebelum kita menemui mayat mangsa dalam bilik. Ketika ini, kerja-kerja pemadaman sedang dijalankan dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

    “Mayat mangsa dikeluarkan dari lokasi kebakaran pada 2.10 petang sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya menurut Berita Harian.

  • Kontraktor perabot dilepas, dibebaskan tuduhan edar dadah

    Kontraktor perabot dilepas, dibebaskan tuduhan edar dadah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG kontraktor perabot dan renovasi dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini daripada hukuman gantung atas tiga pertuduhan mengedar dadah pelbagai jenis, lima tahun lalu.

    Wong Shee Kay, 53, dibebaskan dan dilepaskan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

    Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Datuk Abu Bakar Katar dalam penghakiman berkatm, pihkanya menimbangkan secara maksima semua keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan sepanjang perbicaraan dan menghalusi penghujahan bertulis atau lisan.

    “Pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai kawalan atau jagaan ke atas dadah yang dijumpai dalam bonet kereta nombor pendaftaran JQJ3692.

    “Fakta tertuduh dikatakan mempunyai kunci kereta belum mencukupi bagi mengaitkan pemilikan dadah dengan tertuduh tanpa keterangan yang lainnya.

    “Pendakwaan gagal memanggil pemilik kereta bagi menutup kelompangan yang ada berkaitan akses kepada kereta tersebut.

    “Mahkamah ini berpendapat memandangkan pemilikan dadah gagal dibuktikan, anggapan pengedaran dadah di bawah Seksyen 37 (da) Akta Dadah berbahaya 1952 gagal diaktifkan,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau berkata, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri.

    Mengikut ketiga-tiga kertas pertuduhan, Shee Kay didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 84.44 gram (g), Monoacetymorphines 116.1g dan Methamphetamine 1.7 kilogram.

    Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 6.30 petang dalam sebuah kereta Perodua Kembara di hadapan sebuah kedai di Jalan Permatang 8, Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram di Johor Bahru pada 31 Oktober 2018.

    Dia didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama.

    Seramai enam saksi pendakwaan telah dipanggil sepanjang prosiding kes itu berlangsung. 

    Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohd. Daud Ismail dan Hang Lee Ying. 

  • Polis bantuan maut kemalangan ketika bantu kereta rosak di Jambatan Kedua Pulau Pinang

    Polis bantuan maut kemalangan ketika bantu kereta rosak di Jambatan Kedua Pulau Pinang

    SEORANG kakitangan Polis Bantuan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) maut selepas terbabit dalam kemalangan ketika membantu pemandu kereta yang rosak di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) di Batu Kawan, Pulau Pinang awal pagi tadi.

    Menurut jurucakap JKSB, mangsa, Musyiri Bakar, 49, berada di kawasan berkenaan untuk membantu sebuah kenderaan Perodua Viva yang rosak di tepi jalan di KM11.6 dari arah Batu Kawan menghala ke Batu Maung.

    Bagaimanapun, katanya, sebuah lori lima tan dipercayai hilang kawalan dan melanggar kenderaan peronda (Hilux) menyebabkan mangsa yang berada di hadapan kenderaan berkenaan tercampak ke lorong motosikal.

    “Mangsa kemudiannya dilanggar sebuah motosikal yang turut melalui kawasan terbabit.

    “Bagaimanapun, penunggang motosikal dilaporkan cedera ringan manakala pemandu lori dan pemandu Perodua Viva tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah jurucakap itu, pihak JKSB masih menunggu siasatan lanjut daripada polis berhubung kejadian berkenaan.

    Difahamkan, jenazah Musyiri akan dibawa ke Masjid Jamek Tasek Junjung, Simpang Empat dekat sini untuk disolatkan dan dikebumikan petang ini.

  • Jangan sampai berpecah belah kerana pilihan raya – Polis Kedah

    Jangan sampai berpecah belah kerana pilihan raya – Polis Kedah

    Oleh BADLISHAH MAT

    KETUA Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh menegaskan pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) yang turut melibatkan negeri itu tidak seharusnya menjadi medan perpecahan masyarakat yang sepatutnya sentiasa bersatu padu membina kemakmuran buat negeri serta negara.

    Beliau berkata, kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan keamanan sedia ada sentiasa terpelihara.

    Justeru katanya, polis Kedah mengingatkan semua pihak agar sentiasa berhati-hati supaya tidak melampaui batas terutamanya melibatkan aspek ‘3R’ iaitu agama (religion), raja (royalty) dan kaum (race) dalam usaha memenangi hati rakyat sempena PRN tidak lama lagi.

    Katanya, sebarang perhimpunan juga perlu dimaklumkan kepada pihak polis selaras syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi memastikan aktiviti dijalankan tidak menyalahi undang-undang.

    “Saya ingin mengingatkan bahawa polis kini telah menubuhkan Pasukan Siasatan Khas 3R sejak Mac lalu bagi menangani isu berkaitan agama, raja dan kaum. Jadi kalau ada pihak yang menyentuh perkara ini dan didokumenkan termasuk dalam bentuk video, jangan dipolemikkan perkara itu apabila polis buka kertas siasatan.

    “Begitu juga dengan perhimpunan yang semakin rancak diadakan kebelakangan ini. Perlu pastikan ada permohonan dibuat kepada polis agar kami dapat sama-sama membantu mengawal keadaan di lokasi tersebut.

    “Kita sayang semua orang tanpa mengira perbezaan fahaman politik namun janganlah ada mana-mana pihak ambil langkah menggusarkan satu sama lain. Janganlah sampai ada percakapan mahupun perbuatan yang melarat menjadi sentimen negatif, ketika kita berada dalam negara sama dan memiliki tanggungjawab untuk memelihara keamanan ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyertai Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah yang pertama buatnya selepas melapor diri sebagai Ketua Polis Kedah yang baharu pada 6 Jun lalu.

    Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Kedah memiliki 20 lokasi yang dikenal pasti sebagai antara 190 ‘kawasan panas’ membabitkan enam negeri yang akan menghadapi PRN tidak lama lagi.

    Dalam pada itu, ketika ditanya trend konvoi besar-besaran yang turut popular dalam kalangan parti-parti politik bagi menarik penyertaan golongan muda, Fisol berkata, penganjur perlu memastikan semua penunggang mematuhi undang-undang termasuk memiliki cukai jalan dan lesen sah.

    “Kita faham masing-masing akan cuba menunjukkan kekuatan menjelang PRN ini tetapi kalau perkara itu diselaraskan dengan baik, saya fikir tak ada masalah. Perlu ada keprihatinan terhadap pengguna jalan raya lain dan jangan fikir tentang diri mahu pun parti sendiri semata-mata.

    “Jangan semata-mata kerana mahu menunjukkan ramai orang bersama mereka, maka disertakan sekali mereka yang tidak ada lesen serta cukai jalan. Perlu pastikan pergerakan kumpulan itu dikawal dan jika berlaku sebarang perkara tidak diingini akibat kecuaian penganjur, maka polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan,” katanya.