Author: Wartawan WartaRakyat

  • Sarjan Polis Marin didakwa 21 pertuduhan rasuah RM2,530

    Sarjan Polis Marin didakwa 21 pertuduhan rasuah RM2,530

    SEORANG anggota polis marin berpangkat Sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas 21 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,530 daripada seorang individu, enam tahun lalu.

    Bagaimanapun, tertuduh, Che Ani Ramli, 56, yang masih bertugas di Markas Pasukan Polis Marin, Wilayah Satu, Batu Uban, Pulau Pinang mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan ke atasnya itu yang dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu berkhidmat sebagai Koperal Polis YA3 di Gerakan Polis Marin, Batu Uban didakwa menerima suapan daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi melibatkan penguatkuasaan di bawah Akta Perikanan 1985.

    Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Maybank Berhad Cawangan Plaza MWE, Georgetown dan Agrobank Taman Seri Indah, Balik Pulau antara 19 Mac 2017 sehingga 21 Mei 2019.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee dan Irwan Syafiq Nor Ridzuan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Che Ani kemudiannya memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana masih menanggung isteri dan tiga daripada empat anak yang masih bersekolah.

    Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport sehingga perbicaraan selesai dan melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

    Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 1 Ogos depan.

  • Kerajaan Perlis tidak akan perbaharui lesen premis judi

    Kerajaan Perlis tidak akan perbaharui lesen premis judi

    KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) Perlis tidak akan memperbaharui lesen premis perjudian di negeri itu selepas tamat tempoh operasi tahun hadapan.

    Ketika ini terdapat enam premis perjudian di Perlis dan ia tidak akan disambung untuk menjalankan operasi selepas tamat tempoh pada Mac 2024.

    Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Fakhrul Anwar Ismail berkata, selepas tempoh tersebut tamat, tiada pengusaha premis judi akan diberi kelulusan lesen operasi.

    Menurutnya, keputusan itu selaras dengan pendirian kerajaan negeri untuk menghentikan aktiviti perjudian selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.

    “Saya ingin tegaskan usaha kerajaan negeri menghentikan lesen premis judi adalah konsisten sejak dari awal lagi seperti disebut Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli pada kenyataan media atau ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini,” katanya pada sidang media, di Kangar, semalam, laper HarakahDaily

    Fakhrul Anwar juga berkata, tindakan tersebut tidak dibuat secara drastik malah pihaknya mengambil pendekatan lunak berdasarkan tarikh penamatan tempoh lesen.

    Tambah beliau, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) memberi taklimat secara lisan dan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada pengusaha terlibat.

    “Kita mengambil pendekatan lunak bagi memastikan pengusaha terbabit tidak terkejut dengan tindakan tersebut,” katanya.

    Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan Indera Kayangan, Gan Ay Ling mendakwa tindakan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen premis judi tanpa sebarang pengumuman.

    Merungkai dakwaan itu, Fakhrul berkata, isu penutupan premis judi bukan perkara baharu yang mengejutkan malah pelaksanaannya sudah lama di Kelantan, Terengganu dan Kedah

  • Kerajaan mahu segera laksana subsidi petrol bersasar,tapi sangat rumit

    Kerajaan mahu segera laksana subsidi petrol bersasar,tapi sangat rumit

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kerajaan seboleh-bolehnya mahu mekanisme subsidi bersasar dilaksanakan sesegera yang mungkin.

    Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sedar penetapan mekanisme berkenaan, termasuk bagi diesel dan RON95 tidak mudah dan agak kompleks.

    Sehubungan itu beliau berkata pihaknya sedang mempertimbangkan beberapa kertas kerja dan cadangan berhubung mekanisme berkenaan, bagi memastikan ia dapat dilaksanakan secara lebih efektif dan segera. 

    “Kami sedang berusaha ke arah itu, sebenarnya ada satu pasukan sedang mengusahakannya sekarang ini, dan terdapat beberapa cadangan tetapi kami tidak beberapa yakin dari segi keberkesanan pelaksanaannya.

    “… tidak seperti bekalan elektrik kita tahu rumah itu, kilang,… tetapi diesel suatu yang berbeza,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi Temu Mesra di Pusat Penjaja Madani di Jalan Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur hari ini.

    Anwar berkata pelaksanaan subsidi bersasar adalah bagi memastikan hanya golongan yang selayaknya, dapat menikmati kemudahan tersebut.

    Sebelum ini Perdana Menteri berkata adalah tidak munasabah untuk kerajaan meneruskan subsidi seperti kos mengerjakan haji dan elektrik, kepada golongan T20.

    “Ia memandangkan sekurang-kurangnya 40 peratus daripada subsidi yang disalurkan kerajaan kepada orang miskin sebelum ini, turut dinikmati oleh golongan terbabit,” kata Anwar.

    Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan pada Mei berkata penetapan mekanisme bagi pemberian subsidi bersasar, sudah 75 peratus selesai dan hasil perbincangan berhubung mekanisme itu yang membabitkan pelbagai jawatankuasa, akan dibentangkan di Kabinet, sebelum sebarang keputusan lanjut dimuktamadkan.

  • 8,500 jemaah haji guna pakej Rahmah bernilai RM50,000 ke bawah

    8,500 jemaah haji guna pakej Rahmah bernilai RM50,000 ke bawah

    PAKEJ Rahmah untuk menunaikan haji yang diperkenalkan pada tahun ini mendapat sambutan memberangsangkan apabila menjadi pilihan 35 peratus daripada kira-kira 8,500 jemaah haji.

    Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH), Mohd Zawawi Bostam berkata, Pakej Rahmah RM50,000 ke bawah yang ditawarkan 22 syarikat PJH menarik minat jemaah kerana jurang yang tidak ketara daripada bayaran penuh muassasah sebanyak RM30,850.

    Beliau berkata, secara keseluruhan, jemaah haji yang hadir ke Tanah Suci dengan PJH meningkat kepada 27 peratus berbanding 20 peratus pada tahun-tahun sebelumnya.

    “Angka tahun ini meningkat mungkin selepas Covid-19 jemaah agak yakin untuk pilih pakej berkenaan dibantu tawaran dan promosi menarik yang diberikan syarikat terlibat,”katanya pada sidang media di Hotel Abraj Janadriyah di Mekah, lapor wartawan SINAR HARIAN.

    Mohd Zawawi berkata, pada tahun ini pakej syarikat PJH bermula dari RM43,257 sehingga RM250,000 dan dua peratus jemaah memilih pakej RM100,000 ke atas.

    “Terdapat 250 pakej yang ditawarkan dan keistimewaannya seperti jarak yang dekat dengan Masjidil Haram, bilik selesa, sajian bufet, nisbah petugas menjaga jemaah dan lain-lain lagi. Syarikat berkenaan juga menawarkan nilai tambah kepada jemaah iaitu ada pakej tambahan ketika operasi Masyair, jarak penginapan ke tempat melontar lebih dekat dan sajian makanan,” katanya.

    Wakil syarikat PJH (tengah) yang hadir mengemukakan dokumen di pejabat operasi PJH di Abraj Janadriyah.

    Oleh itu pihaknya bertanggungjawab untuk memantau operasi yang diuruskan oleh syarikat terlibat supaya mereka mematuhi standard yang ditetapkan TH.

    “Pada tahun ini kita membawa seramai 25 anggota untuk pantau syarikat terlibat yang terdiri daripada dua pasukan yang ditempatkan di Mekah dan Madinah. Pasukan ini akan pastikan apa yang ditawarkan syarikat berkenaan melalui iklan dan sebagainya sama seperti disediakan di 47 hotel di Mekah dan 21 hotel di Madinah,”katanya.

    Ujar beliau, jika syarikat berkenaan tidak mematuhi standard ditetapkan maka ada beberapa peringkat tindakan seperti amaran lisan, amaran bertulis, denda kewangan atau pun digantung lesen perkhidmatan.

    “Syarikat terlibat perlu mendapat markah melebihi 80 peratus bagi melayakkan mereka untuk mohon lesen pada tahun berikutnya. Mereka juga perlu mematuhi beberapa syarat ketat seperti kewangan syarikat kukuh sekurang-kurangnya modal berbayar RM500,000 dan kriteria lain yang telah dipersetujui bersama TH,”katanya.

    Malaysia menerima kuota haji berjumlah 31,600 jemaah daripada Kerajaan Arab Saudi bagi musim haji 1444 Hijrah ini termasuk mereka yang mengikuti pakej PJH.

  • Saifuddin dedahkan wujud elemen naungan politik dalam kegiatan judi talian

    Saifuddin dedahkan wujud elemen naungan politik dalam kegiatan judi talian

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) hari ini mendedahkan kepada Dewan Rakyat bahawa wujud elemen naungan politik kegiatan perjudian dalam talian di negara ini.

    Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata elemen berkenaan menjadi kekangan terbesar kepada KDN dan Polis Diraja Malaysia (PRDM)  serta kerajaan secara keseluruhannya dalam usaha membanteras kegiatan itu.

    “Untuk mengatakan Malaysia ini bebas naungan politik judi dalam talian, orang akan ketawakannya…jadi ya, memang wujud elemen naungan politik kepada pemain ini (judi dalam talian).

    “Dari situ wujudnya pengaruh dan perlindungan, dari situ juga datangnya rasuah dan sogokan, …tipis kehendak politik untuk mengadakan dan memperbaharui tekad untuk memerangi perkara ini habis-habisan, jadi pusingannya adalah pemaindinaungi dan dia membalas tuan politik yang melindunginya agar tindakan tidak diambil…. polis faham sungguh-sungguh dengan pola ini,” katanya.

     Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan tambahan Datuk Ramanan Ramakrishnan (PH-Sungai Buloh) sama ada wujud naungan politik dalam kegiatan perjudian dalam talian menyebabkan pihak berkuasa sukar untuk membanteras jenayah itu.

    Saifuddin Nasution berkata hal itu memerlukan perhatian berat dan KDN akan menyemak sama ada terdapat kelulusan lesen-lesen (perjudian) baharu dan wujud atau tidak naungan ini membabitkan orang politik tertentu.

    Pada masa yang sama, beliau berkata KDN juga sedang meneliti dan akan mempercepatkan proses untuk meminda Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953.

    Beliau berkata terdapat usaha meminda akta itu pada 2019 namun prosesnya agak perlahan, justeru KDN akan berbincang dengan Perdana Menteri agar pindaan dapat dibuat segera.

    “Tahun 1953 ketika itu judi hanya laga ayam, kini dah 2023, judi secara dalam talian. Akta yang kita guna masih sama…kalau polis ambil tindakan dan mereka (penjudi) cabar di mahkamah…judi dalam talian tak termasuk dalam kedua-dua akta ini, mereka akan menang,” katanya.

    Menurutnya, antara usaha lain membanteras kegiatan itu termasuk menyekat laman web judi yang menyaksikan sebanyak 2,119 laman web judi telah disekat bagi tempoh 2021 hingga Mei lepas.

    “Dalam aplikasi Telegram juga banyak judi dalam talian, kalau kerajaan sekat aplikasi ini kita dikatakan tidak mesra perniagaan dan ini menjadi ancaman baharu.

    “Saya beri jaminan tekad politik baharu kerajaan ini ialah pindaan kepada akta lama ini dibuat segera dan memperkasakan keupayaan PDRM dalam membanteras masalah ini,” katanya menjawab soalan asal Ramanan mengenai langkah KDN menangani kegiatan judi dalam talian.

  • DAP bertolak ansur walaupun dapat jawatan Kabinet lebih rendah – Anthony

    DAP bertolak ansur walaupun dapat jawatan Kabinet lebih rendah – Anthony

     DAP menerima bilangan jawatan dalam Kabinet yang lebih rendah dan tidak seimbang kerana parti itu memilih untuk bertolak ansur dengan menjangkakan masalah yang mungkin timbul berikutan landskap politik yang semakin terpolarisasi di negara ini, terutama berkaitan isu kaum dan agama.

    Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke juga berkata pelantikan menteri Kabinet adalah hak mutlak perdana menteri.

    “Sudah tentu (polarisasi) membimbangkan kami dan itulah sebabnya kami membuat keputusan tertentu seperti yang kami buat. Jika kita tidak sentiasa sedar tentang isu-isu itu, saya boleh saja buat bising. Seperti kenapa kita hanya diberi empat jawatan menteri? Kerana pada fikiran saya, kita tahu terdapat polarisasi dalam masyarakat.

    “Ia berbahaya kepada fabrik negara kita dan itulah sebabnya kami mengambil langkah tertentu untuk memastikan kerajaan ini dapat berfungsi,” kata Loke dalam temu bual di BFM Breakfast Grill, hari ini lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata, bagi memastikan negara berbilang kaum seperti Malaysia makmur, beliau berkata tiada pilihan lain untuk Perdana Menteri selain Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa ini.

    Jika pentadbiran pimpinan Anwar tumbang, satu-satunya pilihan yang ada ialah Perikatan Nasional yang menurut Loke bukan merupakan pilihan DAP.

    “Jika hari ini kerajaan ini tidak berfungsi, jika kerajaan ini gagal, apakah pilihannya? Pilihannya ialah anda mendapat gabungan yang tidak mempercayai kepelbagaian budaya.

    “Itu bukan pilihan bagi kita, setakat apa yang DAP tahu, jadi kita kena buat kerajaan ini berfungsi kerana kerajaan ini menjunjung fabrik masyarakat dan negara kita yang berbilang kaum dan Perdana Menteri komited kepadanya.

    “Itulah sebabnya kami membuat keputusan yang kami buat,” kata Loke, yang juga Menteri Pengangkutan.

  • ADUN Belantek meninggal dunia 

    ADUN Belantek meninggal dunia 

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek Datuk Mohd Isa Shafie meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, malam ini.

    Berita kematian Mohd Isa dikongsikan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di laman Facebooknya malam ini.

    “Saya menerima berita bahawa YB (Yang Berhormat) Dato (Allahyarham Mohd Isa) telah meninggal dunia lebih kurang pukul 11.23 malam  di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Salam takziah buat seluruh ahli keluarga (Allahyarham),” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebooknya, lapor BERNAMA.

    Sebelum ini media melaporkan Mohd Isa, 69, yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Kedah menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di HSAH kerana mengalami jangkitan kuman pada jantung, paru-paru dan buah pinggang pada bulan lepas.

    Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 Mohd Isa dari PAS menang kerusi DUN Belantek dengan majoriti 2,574 undi selepas mendapat 9,600 undi menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Mohd Tajudin Abdullah (7,026 undi) dan calon PKR Abdul Rashid Abdullah (2,376 undi).

    Kedah yang tidak mengadakan pilihan raya negeri (PRN) serentak dengan PRU ke-15 pada November lepas akan mengadakan PRN dalam masa terdekat bersama lima negeri lain.

  • Pemandu lori sebabkan kematian polis bantuan dipercayai mengantuk, tiada lesen memandu

    Pemandu lori sebabkan kematian polis bantuan dipercayai mengantuk, tiada lesen memandu

    LETIH dan mengantuk ketika memandu dipercayai menjadi punca seorang pemandu lori hilang kawalan hingga menyebabkan seorang anggota polis bantuan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) maut dalam nahas di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) di Batu Kawan, Pulau Pinang, awal pagi tadi.

    Lebih mengejutkan, lelaki berusia 26 tahun itu juga didapati tidak memiliki lesen memandu, namun bebas daripada sebarang pengaruh dadah atau alkohol hasil saringan air kencing terhadapnya.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintenden Lee Chong Chern berkata, kejadian itu berlaku selepas seorang wanita yang memandu kereta Perodua Viva memberhentikan keretanya di lorong kecemasan di Kilometer (KM) 11.6 jambatan berkenaan kerana mengalami kerosakan kira-kira pukul 8.30 pagi itu.

    Ekoran itu, katanya, mangsa, Musyiri Bakar, 49, tiba tidak lama kemudian bersama kenderaan Toyota Hilux yang diletakkan di belakang Perodua Viva itu untuk memberikan bantuan kecemasan.

    Bagaimanapun, jelasnya, ketika mangsa sedang berjalan ke arah kereta Perodua Viva itu, sebuah lori datang dari arah belakang dan melanggar Toyota Hilux tersebut sebelum ia menggelonsor dan mengenai mangsa yang sedang berdiri di antara kenderaannya dan pembahagi jalan.

    Lee Chong Chern

    “Akibatnya, mangsa tersepit sebelum terpelanting ke lorong motosikal dan dilanggar pula oleh seorang penunggang motosikal yang kebetulan melalui jalan itu.

    “Mangsa bagaimanapun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurut beliau, hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Sungai Bakap kemudian mendapati punca kematian mangsa disebabkan pelbagai kecederaan yang konsisten akibat pelanggaran kenderaan motor.

    Jelasnya, penunggang motosikal yang melanggar mangsa pula kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala pemandu Perodua Viva berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

    Tambah beliau, keempat-empat kenderaan yang terlibat termasuk kereta Perodua Viva serta motosikal yang melanggar mangsa turut mengalami kerosakan akibat kejadian berkenaan.

  • 3 panglima perang UMNO Johor sertai PN:Maulizan ‘kunci mulut’

    3 panglima perang UMNO Johor sertai PN:Maulizan ‘kunci mulut’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang yang disebut-sebut seorang daripada tiga bekas panglima perang UMNO yang akan menyertai Perikatan Nasional (PN) ‘mengunci mulut’ apabila ditanya berkenaan perkara terbabit.

    “Saya tak nak komen apa-apa dulu dan biarlah masa yang menentukan,” katanya yang tidak menafi atau mengiyakan beliau antara tiga panglima perang UMNO yang akan menyertai PN.

    Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram ketika dihubungi berkata, apa yang mahu dilakukan ketika ini ialah mahu berehat dan menumpukan perhatian terhadap keluarga.

    Ditanya sama ada pernah dihubungi atau didekati pemimpin PN, beliau mengakui mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin-pemimpin PN.

    “Saya memang mempunyai hubungan baik dengan rakan-rakan pemimpin. Saya berkawan dengan sampai sekarang,” ujar beliau yang juga bekas Exco kerajaan negeri Johor semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN).

    Dalam pada itu, beliau yang digantung keahliannya selama enam tahun oleh UMNO berkata, pemimpin parti itu kini sudah ‘tersasar’ daripada perjuangan asal.

    Namun Maulizan mengakui tidak pernah menyalahkan parti atas penggantungan keahliannya.

    “Parti tak salah, cuma pemimpin-pemimpin yang mengemudi parti sudah lari jauh daripada matlamat perjuangan asal,” katanya yang sebelum ini memberitahu, tidak pernah dipanggil lembaga displin parti atau diberi peluang membela diri berhubung tindakan penggantungan itu.

    Warta Rakyat sebelum ini melaporkan, ketiga-tiga panglima perang UMNO dari Johor itu adalah pemimpin berpengaruh dan mempunyai jawatan penting dalam parti itu sebelum ini.

    Kelmarin, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ketika ini barisan kepimpinan gabungan parti sedang memuktamadkan urusan berkenaan kemasukan 10 bekas panglima perang UMNO itu.

  • Suami alami tekanan perasaan tak hirau isteri meninggal dalam rumah

    Suami alami tekanan perasaan tak hirau isteri meninggal dalam rumah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEAKAN tiada apa yang berlaku, seorang lelaki dipercayai mengalami tekanan perasaan, selamba duduk di meja depan rumahnya sambil menemani anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) autisme berusia 9 tahun menjamah nasi, ketika jasad isterinya terkulai di dalam bilik.

    Menurut Ruhaina Radzali, 41, dia hadir ke rumah pasangan tersebut di Pekan Ayer Hitam dekat Jerlun, Kedah kira-kira pukul 12.15 tengah hari bagi menghantar nasi ayam dimasaknya sebagai bekalan makanan tengah hari keluarga itu.

    Katanya, isteri lelaki tersebut yang juga OKU lembam, Nur Syahani Safarina Ibrahim, 42, merupakan birasnya dan dia memang selalu menghantar makanan kepada keluarga tersebut.

    “Sebaik tiba di rumah mereka, saya bertanyakan lelaki itu di mana isterinya. Dengan selamba lelaki itu mendakwa isterinya tiada kerana sudah mati.

    “Saya terkejut mendengarnya dan bertanyakan sekali lagi mengenai perkara itu. Lelaki tersebut lalu menyuruh saya masuk ke rumah untuk melihat keadaan isterinya sendiri jika tidak percaya,” katanya.

    Berikutan itu katanya, dia masuk ke dalam rumah tersebut dan ternampak wanita berkenaan terkulai di tepi katil dengan kepalanya terlentok atas tilam.

    “Saya memanggilnya beberapa kali namun tiada maklum balas. Apabila saya memegangnya, badannya sudah sejuk.

    “Ekoran itu, saya berlari ke rumah jiran sebelum memaklumkan kejadian itu kepada petugas klinik kesihatan berhampiran. Petugas yang hadir bersama ambulans kemudiannya mengesahkan Nur Syahani sudah meninggal dunia,” katanya.

    Ruhaina menambah, suami Nur Syahani asalnya seorang yang sihat dan mula bercakap sendirian dan kerap menjerit siang malam sejak berhenti kerja dari sebuah pasar Raya kira-kira setahun lalu.

    “Memang dia sering bercakap seorang diri dan sukar difahami tetapi tak pernah pula dia dilihat memarahi isterinya,” katanya.

    Dalam pada itu Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

    “Pemeriksaan dijalankan termasuk oleh Unit Forensik mendapati tiada unsur-unsur jenayah, pergelutan mahu pun darah di lokasi kejadian.
    Selain itu keluarga wanita berkenaan memaklumkan mangsa ada mengadu terasa penat semalam dan dia dikatakan memang menghidap penyakit semput selain kencing manis.

    “Suami wanita itu turut dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. Jasad wanita berkenaan kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat,” katanya.