Author: Wartawan WartaRakyat

  • Intipati skim kesihatan baru Madani sudah ditawar di Selangor 6 tahun lalu, kata pakar

    Intipati skim kesihatan baru Madani sudah ditawar di Selangor 6 tahun lalu, kata pakar

    SKIM kesihatan yang baru diperkenalkan Kementerian Kesihatan (KKM) sudah pun dilaksanakan di Selangor menerusi Skim Peduli Sihat yang diperkenalkan pada 2017 semasa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjadi Menteri Besar.

    Pakar kesihatan awam Dr. Zainal Ariffin Omar turut berkata, semua perkhidmatan yang diumumkan sudah disediakan di fasiliti KKM dengan bayaran RM1.00.

    “Skim baru ini lebih kurang sama dengan skim kerajaan Selangor, iaitu Skim Peduli Sihat Selangor,” katanya kepada MalaysiaNow.

    “Tujuannya untuk beri peluang kepada golongan yang menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mendapat rawatan yang cepat daripada pegawai perubatan umum (GP) dan mengurangkan kesesakan dan masa menunggu di fasilti KKM.”

    Dalam satu kenyataan, Menteri kesihatan Dr. Zaliha Mustafa berkata KKM memperkenalkan program rintis Skim Perubatan Madani hari ini yang bermula di 10 daerah di seluruh negara, setelah diumumkan dalam Bajet 2023 tahun lepas.

    Menerusi skim baru itu, golongan berpendapatan rendah yang menerima STR boleh mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer.

    “Perkhidmatan percuma yang ditawarkan adalah seperti konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan akan diberikan di GP kepada penerima manfaat mengikut pakej yang ditentukan,” katanya.

    Menurut Zainal, sebanyak 700,000 isi rumah dijangka memanfaatkan skim tersebut yang mempunyai peruntukan sebanyak RM100 juta.

    Secara asasnya, kedua-dua skim itu merupakan subsidi kesihatan yang mana kerajaan akan membayar kos rawatan kepada GP yang terlibat.

    “Ada had maksima utk setiap isi rumah dan jenis perkhidmatan,” tambah Zainal.

  • Mohon pengampunan diraja bukan bermakna seseorang itu tidak bersalah-Anwar

    Mohon pengampunan diraja bukan bermakna seseorang itu tidak bersalah-Anwar

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, permohonan pengampunan diraja yang dikemukakan bekas presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara bukan bermakna beliau tidak bersalah terhadap pertuduhan yang disabitkan terhadapnya.

    “Apabila anda memohon pengampunan, ia bukan bermakna anda menganggap diri anda tidak bersalah,” kata Anwar, yang turut dibebaskan selepas mendapat pengampunan diraja pada 2018 atas sabitan dan hukuman atas kesalahan meliwat, dalam satu wawancara bersama program 101 East Al Jazeera semalam.

    Anwar berkata, beliau percaya mahkamah yang mensabitkan Najib bersalah bertindak bebas.

    “Saya menyokong keputusan mahkamah. Dan saya percaya mahkamah bebas,” tambahnya.

    Najib, yang disabitkan pada 2020 atas kesalahan jenayah pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa ke atas dana SRC International, mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada Ogos tahun lalu.

    Pada Mac, Mahkamah Persekutuan menolak semakin kehakiman yang difailkan Najib atas sabitan dan hukumannya, sekali gus meneruskan kempen penyokongnya dalam Umno untuk mendapatkan pengampunan diraja.

    Pada April, Anwar mengakui bahawa beliau akan menjadi sebahagian daripada anggota Lembaga Pengampunan yang ditugaskan untuk memutuskan pengampunan untuk Najib.

    Anwar berkata, tidak wujud konflik kepentingan dengan beliau yang terlibat dalam proses pengampunan bagi seorang pemimpin daripada parti yang membentuk sebahagian daripada kerajaan campurannya.

    “Ada proses, dan saya menghormati proses itu.

    “Sesiapa sahaja, mana-mana banduan, berhak merayu kepada Agong dan memohon pengampunan.

    “Mengapa menafikan hak Najib? Biarkan proses itu berjalan,” katanya.

    Awal bulan ini, perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO, ketika Anwar menjadi tetamu jemputan, berdiri menyokong gesaan untuk mendapatkan ‘keadilan’ bagi Najib.

    Perwakilan membawa sepanduk mendesak agar beliau dibebaskan, manakala Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta keluarga Najib supaya bersabar.

    Penganalisis menegaskan gesaan untuk mendapatkan pengampunan Najib adalah sebahagian daripada ganjaran politik yang dituntut UMNO sebagai pertukaran kepada langkah parti itu untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri tahun lepas.

    Mereka juga memberi amaran Anwar boleh hilang segala-galanya jika pengampunan diraja tidak dapat dicapai.

    Rakan sekutu Anwar DAP dan Amanah setakat ini menjauhkan diri daripada kempen UMNO untuk membebaskan Najib, dengan mengatakan ia bukan pendirian kerajaan.

    Pemimpin utama dalam kedua-dua parti itu juga secara terbuka mengutuk sebarang tindakan untuk memberi pengampunan kepada Najib, yang menjadi sasaran serangan mereka dalam dua pilihan raya umum lepas.

  • PAC mahu laporan projek Land Swap Mindef dinyahklasifikasi

    PAC mahu laporan projek Land Swap Mindef dinyahklasifikasi

    JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu Laporan Projek Land Swap di bawah Kementerian Pertahanan (Mindef) dinyahklasifikasi.

    Pengerusinya Mas Ermieyati Samsudin berkata, ini susulan dua laporan yang pernah dibentangkan sebelum ini oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) bersama Laporan Land Swap kepada PAC semasa persidangan Parlimen ke-14, telah dinyahklasifikasi sebelum jawatankuasa itu dibubarkan.

    Dua lagi laporan yang dbentangkan ketika itu ialah Laporan Automated Enforcement System (AES) pada 16 Nov 2020, Laporan Perolehan Enam Buah Second Generation Patrol Vessel (SGPV) berkeupayaan kapal tempur persisir (LCS) pada 1 Dis 2020, manakala Laporan Land Swap pula pada 2 April 2019 dan 16 November 2020.

    “Dua daripada tiga laporan JKSTUPKK ini telah dinyahklasifikasi oleh Jabatan Perdana Menteri, iaitu Laporan AES pada 8 Julai 2022 dan Laporan Perolehan Enam Buah Second Generation Patrol Vessel (SGPV) berkeupayaan kapal tempur persisir (LCS) pada 17 Ogos 2022.

    “Laporan Projek Land Swap masih belum dinyahklasifikasi dan memandangkan JKSTUPKK telah dibubarkan, saya telah menulis sepucuk surat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, untuk nyahklasifikasi laporan ini,” katanya pada sidang media di Parlimen, semalam.

    Mas Ermieyati berkata ia bagi membolehkan PAC melihat semula kepada perkara tersebut.

  • Tak ramai hadir PAU petanda UMNO berpecah, kata pemimpin akar umbi

    Tak ramai hadir PAU petanda UMNO berpecah, kata pemimpin akar umbi

    PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) baru-baru ini mencatatkan kehadiran lebih rendah berbanding sebelumnya, kata beberapa perwakilan, dengan seorang mengaitkannya dengan perpecahan dalam parti.

    Seorang pemimpin akar umbi dari Johor yang enggan namanya disiarkan berkata, suasana pada PAU yang diadakan awal bulan ini amat menyedihkan.

    Jelasnya, keadaan tersebut tidak seperti PAU sebelum ini.

    ‘Mood’ kali ini sangat tidak baik. Ahli parti berpecah-belah. Ada yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan manakala yang lain memilih untuk menyertai parti yang mereka rasa perjuangkan hak Melayu,” katanya kepada FMT, merujuk kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Seorang lagi pemimpin akar umbi dari Tapah bersetuju PAU tahun ini menyaksikan perhimpunan perwakilan yang lebih kecil.

    “Sebagai orang lama dalam UMNO, (keadaan) ini menyedihkan saya. Rakan seperjuangan saya enggan hadir kerana tidak percaya dengan kepimpinan (parti),” kata pemimpin itu yang juga enggan namanya disiarkan.

    Beliau berkata, ramai hadir pada PAU untuk menunjukkan solidariti kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

    Semasa perhimpunan itu katanya, mereka mengangkat poster menuntut keadilan bagi bekas presiden UMNO yang kini dipenjarakan.

    Seorang lagi pemimpin akar umbi dari Negeri Sembilan, yang juga enggan namanya disiarkan, berkata, beliau hanya menghadiri perhimpunan untuk menilai perancangan parti bagi PRN akan datang.

    “Tetapi sebaik sahaja saya masuk ke dewan pada hari pertama (perhimpunan), saya dapat rasa kami tidak akan berjaya pada PRN.

    “PAU ialah acara terbesar bagi parti, tetapi, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, kali ini tidak ramai yang hadir,” katanya.

    Seorang pemimpin Pemuda dari Kuala Lumpur bersetuju penyertaan pada PAU kali ini lebih rendah, tetapi beliau menyangkal dakwaan ia disebabkan rasa tidak puas hati ahli terhadap kepimpinan semasa.

    Beliau berkata, kekurangan dana untuk menganjurkan acara, menyediakan pengangkutan, dan menyediakan makanan menyebabkan tidak ramai ahli menghadiri PAU kali ini.

  • ‘Saya tak peduli langsung nama dikaitkan” – Hasni

    ‘Saya tak peduli langsung nama dikaitkan” – Hasni

    Hasni jawab dakwaan beliau Antara tiga ‘Panglima Perang’ bakal sertai PN

    AHLI Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohammad tidak mengendahkan tuduhan antara tiga pemimpin UMNO yang dilabel ‘panglima perang’ dari Johor yang dikatakan bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat.

     Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, sebarang huraian yang akan diberikan mengenai tuduhan itu tidak akan membawa erti kerana dirinya mahu menumpukan tugasnya sebagai wakil rakyat.

    “Ya, saya tahu nama saya terkait dengan nama tiga ‘panglima perang’ UMNO dari Johor itu. Tetapi saya tidak ambil peduli langsung label yang diberikan itu.

    “Ada yang bertanya kepada saya semalam pasal hal ini, tetapi saya tidak jawab. Pada saya penjelasan dan huraian ini tidak membawa apa-apa erti,” katanya ketika ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut dan bekas Pengerusi UMNO Johor, menjelaskan ruang rayuan diberikan UMNO kepada ahli yang digantung dan dipecat tidak membawa sebarang erti sekiranya gelaran negatif diberikan.

    “Ini bukan masanya melabel sesiapa. Lebih-lebih bila kerajaan mempunyai banyak perancangan untuk menjadikan negara kita sebagai destinasi pelaburan. Selain banyak usaha perlu dilakukan untuk menstabilkan kerajaan.

    “Jadi tidak mungkin kerajaan boleh stabil jika parti tidak. Kalau ada perkara yang boleh menyumbang kepada ketidakstabilan kerajaan maka usaha untuk melabel sebagai ‘warlord’, pengkhianat dan parasit, ini bukan pendekatan mencari kebaikan.

    “Begitu juga saya melihat, usaha untuk memberi ruang merayu ke atas mereka yang diambil tindakan sama ada dipecat atau pun digantung daripada parti. Apa juga kaedahnya masalah yang ada di hadapan tak selesai. Oleh itu, apa kebaikannya jika memberi label negatif kepada pemimpin tertentu,” katanya.

    Pada Selasa, Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman meminta pemimpin dan ahli UMNO yang mempunyai rasa kurang senang hati dengan hala tuju baharu parti agar tidak menjadi parasit yang hanya akan merosakkan parti.

    Sebelum ini, PN mengumumkan 10 ‘panglima perang’ atau ‘warlord’ UMNO yang bakal menyertai gabungan itu menjelang pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi, di mana tiga daripada mereka dikatakan berasal dari Johor.

    Menurut sumber, ketiga-tiganya adalah pemimpin berpengaruh dan mempunyai jawatan penting dalam UMNO sebelum ini.

  • Gunakan keputusan ‘flip flop’ benarkan pengeluaran KWSP – Wan Saiful

    Gunakan keputusan ‘flip flop’ benarkan pengeluaran KWSP – Wan Saiful

    KERAJAAN harus membuktikan tiada masalah untuk membuat keputusan ‘flip-flop’ untuk membantu rakyat dengan membenarkan pengeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar.

    Ketika membuat gesaan itu Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan berkata, pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhububung keputusan ‘flip flop’ itu harus dizahirkan dengan tindakan membantu rakyat yang terkesan.

    “Jika dah tak mampu nak buat keputusan konsisten, tolonglah flip- flop dalam isu KWSP,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata, kerajaan perlu mengubah keputusan tidak membenarkan kepada membenarkan pengeluaran bersasar KWSP agar mereka yang terkesan dapat dibantu.

    Anwar sebelum ini berdepan dengan desakan segelintir pihak yang meminta membenarkan satu lagi pusingan pengeluaran bersasar KWSP susulan masih ramai terkesan dengan kos sara hidup dan kesan penularan Covid-19.

    Namun beliau kekal dengan pendirian tidak membenarkannya dengan alasan sebagai simpanan selepas bersara.

    Bagaimanapun kerajaan membenarkan pencarum menggunakan simpanan dalam Akaun 2 KWSP untuk menyokong permohonan pinjaman peribadi mereka.

    Di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, kerajaan pimpinan mereka membenarkan pengeluaran bersasar KWSP bagi membantu ramai terjejas akibat penyebaran virus Covid-19.

  • DAP ada pengaruh kuat dalam Kerajaan Perpaduan – Tun Mahathir

    DAP ada pengaruh kuat dalam Kerajaan Perpaduan – Tun Mahathir

    Oleh TUN DR.MAHATHIR MOHAMAD

     SEBELUM PRU15 terdengar berita angin bahawa orang Melayu sudah bosan dengan politik. Benarkah?

    Dalam PRU15, 75% sahaja dari pengundi Melayu keluar mengundi. Apakah ini bermakna 25% Melayu bosan? Tetapi 95% dari orang Cina keluar mengundi. Apakah ini bermakna orang Cina tidak bosan dengan politik di Malaysia? Apakah ini bermakna mereka berminat dengan politik. Mengapa?

    Apa kesannya? Pada PRU 14 DAP dapat 42 kerusi Dewan Rakyat. Tak pernah jumlah yang begini besar. Sebab – Pengundi Melayu dari parti Bersatu, yang benci dengan Najib, beri undi kepada DAP. Pada PRU15 Bersatu tidak lagi bersama dalam Pakatan Harapan (PH). Sudah tentu DAP tidak dapat undi Melayu.  Tetapi DAP menang 40 kerusi Dewan Rakyat.

    Sebab? Kerana 95% orang Cina keluar undi. Orang Cina tidak bosan. Hasilnya Pakatan Harapan yang lebih ramai bukan Melayu memperolehi 82 wakil rakyat. Sementara orang Melayu yang jadi majoriti penduduk di Malaysia dapat hanya 73 wakil rakyat (tidak termasuk Melayu Keadilan, Amanah dan DAP).

    Hari ini parti yang terbesar dalam Kerajaan ialah DAP. Tentulah pengaruh DAP dalam Kerajaan Unity amat kuat.

    *Dipetik daripada Twitter Tun Dr.Mahathir Mohamad.

  • Tangguh,teliti semula cadangan naikkan kadar bayaran perkhidmatan kesihatan – Muhyiddin

    Tangguh,teliti semula cadangan naikkan kadar bayaran perkhidmatan kesihatan – Muhyiddin

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan supaya menangguhkan dulu dan meneliti semula cadangan untuk menaikkan kadar bayaran perkhidmatan kesihatan.

    Katanya,  kenaikan kadar itu akan menambah beban terhadap rakyat yang kini sedang bergelut akibat kenaikan harga barangan, kadar inflasi dan peningkatan kadar dasar semalaman (OPR)

    Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut berharap kerajaan boleh mengecualikan golongan berpendapatan rendah (B40) daripada dikenakan bayaran rawatan kesihatan bagi meringankan beban mereka.

    “Tetapi kita tahu melalui kajian yang dibuat, ramai mereka yang tidak tergolong dalam kelompok B40 telah jatuh miskin akibat kenaikan kos sara hidup yang mendadak,” katanya ketika berucap pada sesi perbahasan Kertas Putih Kesihatan.

    Beliau berkata, dalam beberapa kajian, majoriti rakyat merasakan kedudukan kewangan peribadi mereka pada tahun ini lebih teruk berbanding tahun lalu dan dapatan ini tidak terhad kepada golongan B40 sahaja.

    “Justeru, jika ada cadangan kerajaan menaikkan kadar bayaran rawatan di kemudahan kesihatan awam, saya minta supaya ia ditangguhkan dulu dan diteliti semula,’’ katanya.

    Kertas Putih Kesihatan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini menyebut bahawa kadar fi yang dikenakan di fasiliti penjagaan kesihatan awam akan dikaji semula

    Menurut dokumen 57 halaman itu, struktur fi sedia ada telah menyumbang kepada ketidaksamaan besar antara bayaran yang dikenakan berbanding dengan kos penyediaan.

    Pada masa sama, Muhyiddin turut menyambut baik cadangan kerajaan meningkatkan pembiayaan kesihatan daripada pelbagai sumber secara berperingkat kepada 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

    Malah, katanya, cadangan itu adalah satu perkara yang terkandung dalam manifesto PN pada Pilihan Raya Umum ke-15, November tahun lalu.

    “Saya faham bahawa dalam keadaan berhadapan dengan masalah kekangan fiskal yang agak meruncing, maka sumber lain perlu dicari untuk menampung perbelanjaan kerajaan termasuk mengenakan bayaran tertentu bagi perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat.

    “Namun, saya mengingatkan kerajaan supaya tidak tergesa-gesa untuk meningkatkan bayaran perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan kerana ini akan menambah lagi beban rakyat,” tambahnya.

  • Polis tumpas sindiket dadah bernilai RM3.7 juta didalangi warga Iran

    Polis tumpas sindiket dadah bernilai RM3.7 juta didalangi warga Iran

    POLIS menahan dua lelaki termasuk seorang warga Iran kerana disyaki terlibat sindiket pengedaran 143 kilogram (kg) dadah dianggar bernilai RM3.7 juta dalam dua serbuan di ibu negara, pada Selasa lepas.

    Polis telah menyerbu dua kondominium di Taman Segambut Aman dan Jalan Ampang, di Kuala Lumpur dalam operasi yang bermula sekitar 6 petang hingga 11 malam.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kesemua suspek yang ditahan masing-masing berusia 39 dan 48 tahun itu telah bergiat aktif mengedar sejak Mei lepas.

    Beliau berkata modus operandi kegiatan mereka adalah dengan menjadikan unit kondominium mewah sebagai stor simpanan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

    Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur, hari ini polis turut merampas 4.2kg syabu, 103.3kg syabu serta 34.7kg ganja dan kesemua dadah yang dirampas dipercayai diseludup dari negara jiran bagi kegunaan pasaran tempatan.

    “Jumlah keseluruhan rampasan dadah berkenaan mampu menampung penggunaan seramai 1.4 juta orang pengguna dadah,“ katanya.

    Selain itu, polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Estima dan Perodua Alza serta wang tunai bernilai RM30,500.

    “Hasil siasatan mendapati suspek lelaki tempatan merupakan seorang penganggur yang menjadi runner kepada suspek warga Iran iaitu seorang jurutera duda kepada tiga anak.

    “Suspek warga Iran ini telah masuk ke Malaysia menggunakan visa pelancong sejak Mei lepas dan polis percaya suspek adalah pembekal kepada sindiket dadah tempatan dan telah terlibat dengan sindiket ini di Iran sejak 2014,“ katanya.

    Beliau berkata kedua-dua lelaki itu tidak memiliki sebarang rekod jenayah tetapi suspek lelaki tempatan disahkan positif methamphetamine hasil ujian saringan air kencing.

    Mohd Shuhaily berkata mereka direman selama tujuh hari sehingga 20 Jun untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    kepada pihak polis supaya kegiatan jenayah dan dadah di ibu negara diambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang selamat.

    “Segala maklumat yang berkaitan dengan dadah boleh disalurkan melalui hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222 (24 jam),“ katanya.-Bernama

  • Dua warga Bangladesh maut terhidu asap dalam kebakaran kilang

    Dua warga Bangladesh maut terhidu asap dalam kebakaran kilang

    DUA  daripada enam warga Bangladesh maut akibat terhidu asap dalam satu kejadian kebakaran di sebuah kilang percetakan di Jalan P10/18, Taman Industri Selaman, Bandar Baru Bangi, di sini, hari ini.

    Mangsa yang maut dikenali sebagai Liton, 34, dan Murade, 38, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata kedua-dua mangsa terhidu asap disebabkan kawasan kilang berkenaan tiada ruang pengudaraan. 

    Beliau berkata bomba menerima panggilan kecemasan kebakaran itu pada 4.14 pagi daripada orang awam dan mengarahkan seramai 36 keanggotaan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Bangi, BBP Kajang, BBP Semenyih dan BBP Serdang.

    “Setibanya di lokasi bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah kilang percetakan dan pemadaman dilakukan secara terus ke dalam bangunan oleh anggota bomba. 

    “Kebakaran melibatkan kertas kitar semula yang terdapat di dalam bangunan dan api berjaya dikawal dan dipadam kira-kira 4.50 pagi tadi. Kerja-kerja overhaul masih dilakukan di lokasi kejadian.,” katanya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.

    Wan Md Razali berkata kesemua mangsa terlibat adalah lelaki merupakan pekerja di kilang pencetakan terbabit dan punca kebakaran masih dalam siasatan.