Author: Wartawan WartaRakyat

  • Tular pandu berbahaya: Pemandu lori dipenjara 2 hari, denda RM6,000

    Tular pandu berbahaya: Pemandu lori dipenjara 2 hari, denda RM6,000

    MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua hari dan denda RM6,000 terhadap seorang lelaki kerana memandu kereta dengan membahayakan pengguna jalan raya lain dengan kejadian itu tular di media sosial.

    Memetik laporan Berita Harian, Majistret, Fatin Dayana Jalil memutuskan hukuman berkenaan selepas Lim Ching Hong, 26, yang bekerja sebagai pemandu lori mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

    Mahkamah turut mengarahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan, selain lesen memandu digantung selama lima tahun dan kesalahan akan dimasukkan pada lesen terbabit.

    Mengikut pertuduhan, Ching Hong didakwa memandu kenderaan jenis Lexus berwarna perak yang bernombor pendaftaran BQA 1188 dengan membahayakan pengguna jalan raya lain di Jalan Syed Putra, di sini, pukul 9.19 pagi, Ahad lalu.

    Oleh demikian, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama jika disabitkan kesalahan.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda hingga RM15,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu minimum lima tahun, lesen memandu percubaan dibatalkan serta kesalahan akan ‘diendors’ (dimasukkan) pada lesen memandu.

    Ketika prosiding, pegawai pendakwa, Inspektor Mohd Nor Hafiz Mohd Wazir, memohon hukuman maksimum atas kesalahan membahayakan pengguna jalan raya, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum kerana tiada pekerjaan tetap dan perlu menanggung keluarga.

    Semalam, media melaporkan polis menyiasat tindakan pemandu kereta itu yang berhenti mengejut hingga dirempuh sebuah motosikal.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, dipetik berkata siasatan awal mendapati suspek dan mangsa masing-masing berada di lorong pertama serta kedua sebelum kemalangan berlaku.

    Suspek dikatakan memandu secara melulu dan berbahaya dengan mengubah haluan ke lorong kedua dan membrek secara mengejut sebelum mangsa yang gagal mengawal motosikalnya melanggar belakang kereta terbabit dan terjatuh.

    Tular video kamera perakam video atau dashcam berdurasi 24 saat menerusi media sosial yang memaparkan sebuah kereta memberhentikan kenderaannya secara mengejut di hadapan penunggang motosikal.

  • Bapa ADUN Gurun Baddrol Bakhtiar meninggal dunia

    Bapa ADUN Gurun Baddrol Bakhtiar meninggal dunia

    Oleh BADLISHAH MAT

    BAPA kepada bekas pemain bola sepak yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar meninggal dunia pada pukul 6.04 pagi ini.

    Allahyarham Bakhtiar Md. Isa, 66, dilaporkan menghembus nafas terakhir di kediaman Baddrol di Cinta Sayang Resort Villa, Sungai Petani.

    Difahamkan bapa kepada enam anak itu baru selesai menjalani pembedahan berkaitan penyakit angin pasang, baru-baru ini.

    Sementara itu, besan arwah, Mustafa Khalid Hanafi, 62, memaklumkan jenazah Bakhtiar akan diurus dan disembahyangkan di Masjid Al-Muttaqin, Taman Ria.

    Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Busyra, Merbok selepas solat Zohor, hari ini.

    Terdahulu, berita pemergian arwah dimaklumkan menerusi Facebook rasmi Baddrol yang juga anak keempat kepada Allahyarham Bakhtiar.

    Baddrol yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan sepanjang penglibatannya dalam bola sepak tanah air baru memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos lalu.

  • UMNO tidak lagi jaga kepentingan umat Melayu?

    UMNO tidak lagi jaga kepentingan umat Melayu?

    Oleh MUHAMMAD AFIFI ABDUL RAZAK

    PARTI politik ialah antara entiti penting dalam proses demokrasi bernegara. Ia dikatakan mempunyai jangka hayat yang panjang, melebihi jangka hayat ahli politik itu sendiri. Antara contoh parti politik yang tertua dan masih wujud hingga pada hari ini ialah Parti Demokrat di Amerika Syarikat, yang ditubuhkan oleh dua orang negarawan tersohor Amerika Syarikat, iaitu Thomas Jefferson dan James Madison kira-kira sekitar tahun 1790-an.

    Di Britain, ada parti Konservatif yang ditubuhkan oleh Sir Robert Peel sekitar tahun 1832. Manakala di Malaysia pula ada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) yang ditubuhkan pada tahun 1946 oleh Datuk Onn bin Jaafar. Kebanyakan parti ini masih lagi berkuasa, setidak-tidaknya masih wujud dalam kerangka politik di negara masing-masing.

    Biasanya, kelangsungan jangka hayat parti politik ini ditentukan oleh objektif penubuhannya dan juga strategi atau cara berpolitiknya dalam usaha untuk mendapat, mengembang dan mengekalkan kuasa politik yang diperolehinya menerusi proses pilihan raya, sekiranya ia wujud dalam kerangka politik demokrasi.

    Hari ini, perbincangan mengenai kelangsungan (survival) sesebuah parti politik tidak lagi dikendalikan dengan cara perbincangan secara ‘gaya kampungan’ tetapi sebaliknya menggunakan gaya perbincangan ilmiah yang moden, lengkap dengan kata-kata serta ayat-ayat yang tinggi maknanya serta disulami dengan pelbagai gaya retorika politik.

    Justeru itu, kejayaan kelangsungan sesebuah parti politik pada hari ini telah dikaitkan oleh sesetengah orang dengan aspek idealisme dan uslub. Dua konsep ini digunakan bagi menggambarkan keadaan politik kepartian yang masih wujud dalam kerangka sistem demokrasi moden.

    Secara ringkasnya, istilah ‘idealisme’ berasal daripada perkataan ‘idea’ yang bermaksud ‘dunia dalam jiwa’, yang mana menurut Plato, menekankan perkara-perkara yang bersifat ‘idea’ dan sering kali memperlekehkan perkara-perkara yang bersifat ‘kebendaan’ dan ‘fizikal’. Manakala ‘uslub’ pula ialah perkataan dari bahas Arab yang ‘jalan’, ‘cara’ atau ‘metode’.

    Baru-baru ini, satu tulisan telah dikeluarkan oleh mantan Perdana Menteri merangkap mantan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, mengenai keadaan parti tersebut khasnya pasca Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) yang tamat baru-baru ini.

    Keputusan PRN15 menyaksikan Umno kalah teruk di mana parti tersebut hanya mampu menang sebanyak 19 kerusi sahara daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi di Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

    Tulisan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam akhbar Utusan Malaysia kelmarin, “Apa makna PRN ini kepada Umno?”, menjadi topik perbincangan hangat.

    Keras tulisan Ismail Sabri. Antaranya mengenai kemarahan orang Melayu kepada Umno yang bertambah marak seperti api membakar jerami sebagai manifestasi kemarahan serta kebencian pengundi Melayu malah terdapat dalam kalangan pendukung serta ahli parti.

    Kesimpulan Ismail Sabri ringkas, punca yang sebenar penolakan pengundi Melayu bila mereka menafsirkan Umno telah menyimpang daripada idealisme perjuangan asal sehingga Umno kini terpaksa bergantung kepada undi bukan-Melayu untuk mencapai kemenangan.

    Justeru, mengikut beliau, Umno memerlukan perubahan drastik dari segi pendekatan, menjual naratif yang boleh diterima oleh rakyat dan perubahan kepimpinan untuk terus relevan dalam arus politik negara.

    Malangnya ada pemimpin Umno yang bersikap defensif dengan perkara ini. Ada yang mengatakan Ismail Sabri silap dan gagal membezakan antara idealisme dan uslub politik Umno. Menurut beliau, Umno tidak pernah sesekali mengubah idealisme perjuangannya. Ia masih kekal dengan dasar perjuangan Melayu dan Islam.

    Apa yang berubah ialah cara atau kaedah perjuangan (uslub) yang dikatakan boleh berubah mengikut keperluan semasa. Menyertai Kerajaan Perpaduan yang turut disertai DAP tidak ada kena mengena dengan idealisme tetapi adalah uslub perjuangan.

    Memang betul jika dilihat dalam Perlembagaan Umno, ia masih kekal dengan dasar perjuangan Melayu dan Islam. Bagaimanapun orang Melayu tidak melihat kepada apa yang tertulis dalam Perlembagaan Umno tetapi memerhati tindak-tanduk Umno.

    Mereka berpendapat tindak-tanduk Umno kebelakangan ini semacam tidak selari dengan dasar ini. Sejak dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lagi sebenarnya perkara ini telah dipersoalkan bila ada ura-ura kerjasama Umno dengan Pakatan Harapan (PH).

    Jika dilihat kepada kandungan Manifesto BN dalam PRU15 pun komitmen Umno kepada dasar perjuangan Melayu dan Islam sudah menjadi persoalan. Ada 13 Tawaran Utama di dalam Manifesto BN dan tidak ada satupun daripadanya yang menjaga kepentingan umat Melayu.

    Tawaran 9 di dalam Manifesto BN ini paling jelas bercanggah dengan perjuangan Umno, bertajuk ‘Mengamalkan Dasar Berasaskan Keperluan’, berbunyi BN akan “memastikan keseimbangan dan keadilan sosial melalui peralihan daripada dasar berasaskan kaum kepada berasaskan keperluan (needs-based policy)”.

    Tambah hangat lagi bila Datuk Khaidhirah Abu Zahar membuat hantaran di stories Instagram miliknya berbunyi ‘Masih terngiang-ngiang di telinga, jelas di mata… suara-suara pemimpin Umno yang memperlekehkan kepentingan orang Melayu Islam di Malaysia ini dalam meeting MKT (23 November 2022)’ disertai petikan ayat difahamkan daripada pemimpin Umno berbunyi ‘Tak perlu dah jaga orang Melayu ini.’

    Kerjasama dengan DAP telah mengesahkan idealisme perjuangan Umno telah digantung dan dipesongkan. Ini kerana agenda DAP, Malaysian Malaysia, jelas memperjuangkan kesamarataan dan sehingga ke hari ini DAP tidak pernah menarik balik agenda tersebut.

    Orang Melayu melihat kepada tindakan, bukan pengucapan. Di sini jentera penerangan Umno lemah. Tidak ada penerangan yang tersusun bagaimana penyertaan Umno dalam Kerajaan Perpaduan akan memartabatkan kedudukan Melayu Islam di negara ini.

    Selagi orang Melayu tidak dapat diyakinkan mengenai perkara ini, sukar untuk mereka menerima bahawa uslub yang diguna pakai oleh Umno sekarang akan membolehkan ia kekal dengan idealisme asalnya, sebaliknya mereka lebih cenderung dengan pandangan Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin yang lantang berhujah bahawa Umno kini lebih kepada menjaga kepentingan kelompok tertentu, bukan idealismenya.

    *MUHAMMAD AFIFI ABDUL RAZAK adalah penganalisis politik

    *Artikel ini dipetik daripada HarakahDaily.net

  • Dakwaan sekolah agama sebabkan perkauman ditolak – Pakar, NGO

    Dakwaan sekolah agama sebabkan perkauman ditolak – Pakar, NGO

    PAKAR hubungan etnik dan badan bukan kerajaan (NGO) menolak dakwaan seorang penganalisis politik yang mengatakan kebanjiran sekolah agama menyebabkan lahirnya generasi orang-orang Melayu yang bersifat perkauman.

    Menurut mereka, tiada satu data yang membuktikan sekolah agama menjadi punca kebangkitan sentimen Melayu dan Islam yang menebal sehingga menyebabkan Perikatan Nasional (PN) menjadi begitu kuat.

    Pengarah dan pengasas Institut Kajian Etnik (Kita) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Shamsul Amri Baharuddin berkata, ia merupakan andaian semata-mata tanpa sebarang bukti.

    “Ini hipotesis tanpa bukti yang datang dari pihak yang takut dengan gelombang hijau.

    “Sentimen perkauman tidak datang daripada hipotesis tersebut,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Beliau mengulas mengenai kenyataan penganalisis politik James Chin di Twitter yang mengatakan sekolah agama akan menjadi lubuk perkauman berdasarkan data bilangan sekolah agama berdaftar yang dimuat naiknya.

    “Perlu saya katakan dengan lebih jelas, lebih 4,000 sekolah agama yang berdaftar di seluruh negara ini tidak termasuk yang tidak berdaftar) menjadi medan pendidikan bagi kaum Melayu, Islam dengan persekitaran atau pergaulan antara kaum lain yang sangat terhad atau mungkin tidak ada langsung.

    “Adakah ini sebab mereka begitu berasa was-was dengan kaum Cina dan India,” katanya.

    Shamsul menambah salah faham yang sama turut berlaku dalam isu melibatkan isu 3R (agama, raja dan kaum).

    Beliau berkata, polemik 3R ini hanya dilihat lebih berat kepada kaum Melayu atau parti Melayu sedangkan ia wujud dalam setiap kumpulan etnik dalam negara ini.

    “Sentimen 3R ini dalam politik Malaysia adalah sebahagian yang kita sebut ‘identiti politik’.

    “Situasi ini wujud apabila kebanyakan parti politik mendakwa mereka mewakili suara dan perjuangkan setiap daripada kumpulan etnik yang ada.

    “Kerana itu 3R ini wujud dalam setiap kumpulan kaum di negara ini bukan hanya kepada Melayu sahaja,” katanya.

    Islam menolak perkauman

    Sementara jurucakap Gagasan Bangsa, Aminuddin Yahaya berkata persepsi itu tidak berasas kerana hakikatnya kecenderungan ibu bapa menghantar anak mereka ke institusi pendidikan tersebut adalah kerana timbulnya kesedaran melihat pentingnya untuk mengimbangi antara mata pelajaran umum dan pengajian Islam.

    “Ramai ibu-bapa menghantar anak mereka ke sekolah agama kerana mereka bimbang dengan pendidikan yang ada sekarang tidak menekankan soal agama sangat.

    “Ya lah dulu bila ada cadangan untuk ajar tulisan jawi untuk diletakkan dalam silibus mata pelajaran, kita dihalang bukan main.

    “Jadi inilah kebimbangan ibu bapa hanya bertumpu kepada soal pendidikan agama anak-anak dan perkara ini tidak akan melahirkan perkauman yang menebal,” katanya.

    Tambahnya, pihak yang membuat dakwaan itu sebenarnya tidak memahami agama Islam itu sendiri yang tidak akan mengajar umatnya untuk membenci kaum lain.

    “Bekas ketua polis negara, Musa Hassan sebelum ini pernah kata kaum Cina tidak akan wujud dalam negara jika betul sekolah agama ini melahirkan generasi Melayu yang bersifat perkauman.

    “Tapi ini adalah hasil pendidikan agama Islam yang tidak pernah mendidik umatnya untuk bersifat perkauman, bagi saya itu hanya persepsi semata-mata,” katanya.

    Chin turut mengaitkan senario tersebut akan menjadi faktor kemenangan parti yang berorientasi Melayu-Islam akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17).

    Biarpun tidak menyebut nama mana-mana parti, dipercayai Chin dari Unversiti Tasmania, Australia yang merujuk kepada gabungan PN.

    “Saya tidak perlu sebut siapa yang akan menang, seawal PRU17 dan selepas itu.

    “Kita mungkin boleh bercakap tentang reformasi pendidikan dan kepelbagaian budaya selamanya tapi anda tidak boleh mengubah hakikat di bawah. Masa depan Malaysia diputuskan sekarang di sekolah ini,” katanya.

    Bagaimana dengan sekolah vernakular?

    Aminuddin berkata sepatutnya orang-orang Melayu yang mempersoalkan sekolah vernakular yang menyebabkan jurang perkauman.

    Katanya, sekolah vernakular sepatutnya dihapuskan kerana menjejaskan perpaduan dan menyebabkan bahasa kebangsaan terpinggir.

    Beliau memberi contoh bagaimana DAP ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pusat 22 bulan selepas menang pada 2018 banyak membuat keputusan yang seolah mencabar hak orang Melayu-Islam di negara ini.

    “Contoh masa itu mereka cuba meratifikasi enam triti hak asasi manusia termasuk Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

    “Mereka yang tak nak asimilasi dengan budaya kita. Sebab itu kita jangan lihat hanya satu aspek sahaja tengok sama ada orang nak undi sana atau nak undi sini.

    “Kita boleh dengar sendiri dalam kempen mereka yang menguar-uarkan kenyataan sensitif kepada umat Islam. Jadi sebenarnya merekalah yang mencetuskan sentimen takut kepada orang Islam,” katanya.

    Katanya, sejarah juga membuktikan menerusi tulisan buku tokoh-tokoh peneroka Inggeris yang datang ke Tanah Melayu seperti Frank Swettenham, Hugh Clifford yang memuji sikap dan adab orang Melayu.

    “Tulisan mereka ini sebagai contoh bagaimana sikap orang Melayu ini dari dulu sangat bertoleransi, berbudi bahasa pada masa sama sangat berdikari dan kreatif, kita kena tengok balik sejarah ini,” katanya.

    Sementara Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Teo Kok Seong bersetuju bahawa struktur atau persekitaran pembelajaran di sekolah agama membawa kepada kesukaran untuk menerima kaum lain.

    Tapi beliau menolak situasi itu dilabelkan sebagai sentimen yang menaikkan perkauman sebaliknya ayat lebih tepat lagi ialah “kekauman”.

    “Ia mengundang kepada sifat ‘kekauman’ tapi bukan perkauman. Itu memang tidak dapat nak elakkan sebab mereka tidak bergaul dengan kaum lain, persekitaran mereka tidak terdedah jadi kita tak dapat nak nafikan itu.

    “Kalau perkauman itu sikap mendiskriminasi tapi itu tidak wujud dan tidak berlaku cuba isunya mereka hanya tidak bergaul dengan kaum lain,” katanya.

  • Tiada hasrat mansuh Sosma, akan ditambah baik -Ramkarpal

    Tiada hasrat mansuh Sosma, akan ditambah baik -Ramkarpal

    TIMBALAN Menteri Undang-undang dan Pembaharuan Institusi Ramkarpal Singh berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) yang membenarkan penahanan untuk tempoh lama tanpa bicara.

    Beliau berkata, kerajaan sebaliknya berhasrat menambah baik undang-undang itu dengan memperkenalkan beberapa pindaan secara berperingkat.

    “Ia tiada dalam perancangan. Tetapi kita sedang melihat penambahbaikan,” katanya menurut Malaysiakini.

    Timbalan menteri itu berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat rancangan untuk memansuhkan Sosma.

  • Penyokong Penang FC, Kedah FC ‘bertempur’ di luar padang

    Penyokong Penang FC, Kedah FC ‘bertempur’ di luar padang

    PEMINAT bola sepak Penang FC dan Kedah FC dilaporkan ‘bertempur’ di pekarangan Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang sejurus perlawanan Liga Super antara kedua-dua pasukan itu berakhir malam tadi.

    Beberapa video pergaduhan antara penyokong kedua-dua pasukan itu yang berlaku kira-kira pukul 11 malam tadi juga turut tular di media sosial awal pagi ini.

    Satu video yang berdurasi satu minit 42 saat turut memaparkan provokasi di antara kedua-dua kumpulan penyokong sebelum berakhir dengan pergaduhan.

    Difahamkan, insiden tercetus rentetan keputusan pengadil membatalkan gol kedua yang diledakkan kapten tuan rumah, Rafael Vitor pada minit ke-66 gara-gara berlaku kekasaran dalam kotak penalti.

    Keputusan pengadil terbabit dikatakan turut mencetuskan ketegangan penyokong kedua-dua pasukan selain menyaksikan pemain pertahanan tuan rumah, Muhammad Adib Abdul Ra’op dibuang padang pada minit ke-76 selepas menerima layangan kad kuning yang kedua.

    Pada perlawanan malam tadi, Kedah FC berjaya menundukkan Penang FC 2-1 dalam aksi ‘derby’ utara.

    Pada 1 April lalu, media turut melaporkan insiden pergaduhan yang tular di media sosial dipercayai membabitkan sekumpulan penyokong Perak FC dan Penang FC selepas berakhir perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya.

    Dalam kejadian itu, polis menahan tiga lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam pergaduhan tersebut.

    Sementara itu, Ketu Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian pergaduhan malam tadi dalam masa terdekat.

  • Syok sangat dengan jawatan sehingga ditolak rakyat, kata veteran UMNO

    Syok sangat dengan jawatan sehingga ditolak rakyat, kata veteran UMNO

    TAN Sri Shahrir Abd Samad menggesa supaya UMNO mengubah budaya seronok dengan jawatan politik sehingga mereka ditolak rakyat.

    Veteran UMNO itu berkata, sikap sedemikian perlu diubah dengan mengubah pemikiran supaya menjadi sebuah parti politik dan bukan parti kerajaan kerana hanya cara itu mereka dapat menjadi relevan.

    “Ubah cara kita berparti dan kedudukan parti mesti berbeza dengan kerajaan. Kita mesti jadi parti politik, bukan parti kerajaan. Pasal kita anggap kita ini parti kerajaan, kita tak akan menjadi parti politik yang sebetulnya.

    “Kita akan berharap kepada jentera kerajaan untuk melakukan tanggungjawab dan peranan kita sebagai siasah politik seolah-olah diketepikan. Mana-mana parti politik kedudukannya tak boleh syok sendiri.

    “Kita kena lihat kehendak orang ramai. Kehendak yang mengundi, supaya kita terus menjadi relevan dan orang masih merujuk kepada kita. Sekarang ini, orang merujuk kepada UMNO, tapi mereka balun kita, sebab UMNO sendiri tak mahu mengubah keadaan dan cara kita berpolitik,” katanya dipetik laporan Berita Harian.

    Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengakui parti itu kini sedang mengalami penolakan besar-besaran orang Melayu, susulan kekalahan berturut-turut parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu dan terbaru Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri yang berakhir 12 Ogos lalu.

    Mengulas lanjut, Shahrir berkata, penolakan pengundi Melayu terhadap UMNO mungkin dipengaruhi banyak faktor dengan undi protes juga dianggap sebahagiannya.

    “Ini tanggungjawab Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Mereka harus fikirkan ini dengan serius. Dia ada banyak faktor (penolakan), undi protes dan mungkin bercampur yang lain. UMNO kena bawa perubahan untuk tukar naratif dalam parti ini.

    “Kita sudah melalui pengalaman PRU14. Kita nampak macam mana pemimpin kita ini masih syok sangat dengan jawatan. Gaduh berebut pasal jawatan, seolah-olah meletakkan parti ke tepi.

    “Menyatakan seolah-olah Parlimen yang menentukan kerajaan, bukan parti. Jadi, itu pengalaman yang kepimpinan yang ada sudah lalui dan mesti hadapi,” katanya lagi.

    UMNO baru-baru ini semasa PRN, UMNO hanya menang 19 kerusi.

    UMNO kalah teruk di Kedah dan Terengganu apabila tiada kerusi dimenangi calon mereka, manakala hanya satu calon daripada parti itu menang di Kelantan.

  • PRK:PN tampil calon berwibawa di DUN Simpang Jeram

    PRK:PN tampil calon berwibawa di DUN Simpang Jeram

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERIKATAN Nasional (PN) akan menampilkan calon berwibawa daripada Pas yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September ini.

    Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, calon berkenaan akan diumumkan di Markas Pas Bakri, Kampung Jeram, Muar malam esok.

    “Calon PN itu berusia bawah 50 tahun dan merupakan anak jati negeri ini selain diyakini parti boleh diterima pengundi dan mendapatkan menang.

    “Kita ketengahkan calon yang berwibawa dan tidak terlalu tua atau terlalu muda, kirakan golongan pertengahanlah. Saya tidak mahu memberitahu namanya kerana biarlah diumumkan secara rasmi pada malam esok.

    “Pada majlis pengumuman malam esok akan dihadiri Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noh yang juga Menteri Besar Kedah.

    “Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Man Tuan Ibrahim juga ada menyatakan kesediaannya untuk hadir,” katanya ketika dihubungi.

    Abdullah berkata, PN percaya mempunyai peluang untuk menang dalam berhadapan menentang calon Pakatan Harapan (PH) dan BN, Nazri Abdul Rahman.

    “Kita merasakan tidak mustahil untuk menang. Ini ditambah lagi dengan ‘gelombang hijau’ dan perubahan sokongan rakyat terhadap PN dalam PRN (pilihan raya negeri) baru-baru ini,” ujar beliau.

    Pada PRN di Johor sebelum ini, PN diwakili Zarul Salleh mendapat 6,360 undi manakala Parti Amanah Negara (Amanah) yang diwakili DatuK Seri Salahuddin Ayub memperolehi 8,749 sekali gus menang dengan 2,389 undi.

    Sementara calon BN, Datuk Lokman Md. Don memperolehi 6,062 undi.

    PRK DUN Simpang Jeram diadakan berikutan penyandangnya, Salahuddin meninggal dunia meninggal dunia pada 23 Julai baru-baru ini.

  • Bot meletup di Mersing: Dua kru, lapan penumpang cedera

    Bot meletup di Mersing: Dua kru, lapan penumpang cedera

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 10 penumpang cedera selepas bot yang mereka naiki untuk ke Pulai Aur meletup di bahagian lantai pada kedudukan lebih kurang 7.6 batu nautika timur laut Pulau Pemanggil, Mersing pukul 11.50 pagi tadi.

    Menurut Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin, mangsa merupakan empat lelaki dan enam wanita berusia 32 hingga 48 tahun.

    Beliau memberitahu, dua mangsa wanita mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki, manakala seorang mangsa lelaki cedera parah pada bahagian dan belakang pinggang.

    “Mangsa yang mengalami kecederaan ringan di kaki terdiri daripada empat wanita dan seorang lelaki, manakala dua orang kru bot hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, semua mangsa diberikan rawatan awal sebelum dipindahkan ke bot Perkasa 44 serta bot awam yang berada berhampiran lokasi kejadian.

    Tambah beliau, semua mangsa dibawa ke Hospital Mersing bagi menerima rawatan lanjut.

    “Punca sebenar letupan berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa,” ujar beliau.