Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kerajaan negeri serah 12 rumah kepada mangsa ‘Tragedi Iboi’

    Kerajaan negeri serah 12 rumah kepada mangsa ‘Tragedi Iboi’

    Oleh BADLISHAH MAT

    KERAJAAN negeri Kedah berjaya mengambil masa kurang setahun untuk menyiapkan 12 buah rumah kepada mangsa banjir aliran puing yang terlibat tragedi itu di Kampung Iboi, Baling pada 4 Julai tahun lalu.

    Malah, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bukan sahaja menyerahkan kunci kediaman itu kepada keluarga yang hilang rumah mereka, tetapi turut memberikan geran tanah yang sekali gus mengubati perasaan duka mangsa terutama yang kehilangan ahli keluarga.

    “Rumah ini bukan sahaja dilengkapi kemudahan bekalan air dan elektrik tetapi turut disediakan infrastruktur yang baik seperti jalan mini tar dan sistem perparitan.

    “Walaupun terdapat sedikit kelewatan, namun alasannya adalah kerana perlu memasukkan infrastruktur serta kemudahan asas untuk penghuninya.

    “Langkah itu agar mereka lebih selesa dan gembira setelah menduduki rumah baharu bagi mengantikan rumah lama yang hilang dalam tragedi itu,” katanya pada Majlis Penyerahan Geran dan Kunci Rumah Kepada Mangsa Banjir Aliran Puing di Kampung Sadek, Kupang.

    Kejadian aliran puing dan banjir lumpur terbabit yang turut meragut nyawa tiga sekeluarga dianggarkan menyebabkan kerugian berjumlah RM28 juta.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, rumah baharu yang mempunyai tiga bilik dan dua bilik air berkeluasan 750 kaki persegi itu berharga RM75,000 seunit.

    Namun katanya, jumlah sebenar perbelanjaan adalah kira-kira RM178,000 seunit termasuk penyediaan infrastruktur dan utiliti di sekelilingnya.

    “Kos keseluruhan pembinaan dan pembangunan rumah ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

    “Sementara proses pemindahan fasa kedua bagi 17 buah lagi rumah yang berada dalam zon bahaya akan dilaksanakan tidak lama lagi setelah proses pengambilan tanah di Kampung Bok Bak yang diuruskan kerajaan negeri telah selesai,” katanya.

    Projek pembangunan 17 buah rumah melalui peruntukan RM3 juta oleh Kerajaan Persekutuan itu diluluskan pada 1 September lalu oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

  • Remaja lelaki didakwa rogol pelajar sebaya

    Remaja lelaki didakwa rogol pelajar sebaya

    SEORANG remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas satu pertuduhan merogol pelajar perempuan berusia 16 tahun, dua tahun lalu.

    Tertuduh yang juga berusia 16 tahun, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md. Ruslan, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Persiaran Bestari, Sepang pada November 2021.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Ogos depan untuk jatuh hukum sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

    Dalam kes ini pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Zaharah Jaafar sementara tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), CH Low.

  • Along simbah cat, tinggal nota ugutan dipenjara 2 tahun sembilan bulan

    Along simbah cat, tinggal nota ugutan dipenjara 2 tahun sembilan bulan

    MAHKAMAH Majistret di Sandakan hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun sembilan bulan penjara terhadap seorang lelaki selepas mengaku bersalah atas empat kesalahan perbuatan khianat dan satu kes ugutan jenayah.

    Bagi pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, Mohd. Hasifuddin Yamin Jamain, 34, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohammad Azeem Mohd Ridzo.

    Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan khianat dengan cara menyimbah cat berwarna merah pada pintu rumah seorang mangsa lelaki berusia 37 tahun sehingga menyebabkan kerugian RM96.50

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 22 November tahun lalu bertempat di Taman Murni, Sandakan, lapor Harian Metro.

    Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan cara menyimbah cat merah pada pintu hadapan rumah mangsa wanita berusia 42 tahun dan menyebabkan kerugian RM2,400 pada 16 Mei lalu di Taman Bahagia di Sandakan.

    Untuk pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan kaedah sama sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM52.50 terhadap mangsa lelaki berusia 20 tahun pada 21 Februari lalu di Tam

    Ketiga-tiga kesalahan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Majistret Mohammad Azeem kemudiannya menjatuhkan hukuman masing-masing 12 bulan penjara terhadap ketiga-tiga kesalahan berkenaan dan mengarahkan hukuman dijalankan serentak.

    Bagi pertuduhan keempat dan kelima pula, pendakwaan dijalankan di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali.

    Mohd. Hasifuddin Yamin turut membuat pengakuan bersalah atas kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun sama.

    Mengikut kertas pertuduhan keempat, tertuduh didakwa melakukan ugutan untuk menakutkan secara jenayah dengan meninggalkan nota amaran kepada mangsa lelaki berusia 68 tahun pada 19 Februari lalu di Taman Sejati di Sandakan.

    Bagi pertuduhan kelima, Mohd. Hasifuddin didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat merah di rumah mangsa wanita berusia 32 tahun sehingga menyebabkan kerugian RM50 pada 22 Mac lalu di Taman Nuri di Sandakan.

    Majistret Wan Farrah Farriza kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bagi pertuduhan keempat dan penjara sembilan bulan bagi pertuduhan kelima.

    Beliau turut mengarahkan agar hukuman penjara dijalankan secara berasingan.

  • Pujuk isteri orang lakukan seks, pegawai kanan DBKL mengaku tak salah

    Pujuk isteri orang lakukan seks, pegawai kanan DBKL mengaku tak salah

    SEORANG pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana cuba memujuk seorang wanita berkahwin melakukan seks.

    Khairul Anuar Juri, 49, seorang Pengarah Eksekutif DBKL, didakwa memujuk wanita berusia 37 tahun melakukan persetubuhan, antara 14 Jun dan 4 Nov 2022, di Ibu Pejabat DBKL.

    Beliau dituduh mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan, lapor FMT.

    Pengarah Eksekutif (Pengurusan) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Khairul Anuar Mhd Juri menghadapi pertuduhan atas kesalahan memujuk seorang wanita yang juga isteri orang untuk melakukan persetubuhan haram tahun lalu ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Khairul berdepan dua tahun penjara, denda atau kedua-duanya sekiranya disabit.

    Majistret Nurul Izzah Shaharuddin membenarkan Khairul diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menangguhkan kes kepada 25 Julai.

    Nurul Izzah juga mengarahkan Khairul tidak mengganggu saksi dalam kes itu.

    Wanita berkenaan tidak dinamakan kerana alasan perundangan.

    Khairul diwakili peguam Fahmi Abd Moin, manakala kes pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Noor Diana Saad. Nor Azri Mohd. Arif pula sebagai pemerhati bagi wanita itu.

  • PM, Menteri Luar digesa diberi penjelasan isu Ambalat

    PM, Menteri Luar digesa diberi penjelasan isu Ambalat

    AHLI Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menggesa Perdana Menteri dan Menteri Luar memberi penjelasan terperinci berhubung isu blok Ambalat selepas menandatangani perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia pada 8 Jun lalu.

    Beliau berkata, rakyat berhak mendapat penjelasan terperinci mengenai isu Ambalat agar ia tidak menimbulkan sebarang spekulasi.

    Jelasnya, pembahagian sempadan maritim Malaysia dan Indonesia itu sebenarnya ada lebih daripada dua isu.

    Namun bekas Menteri Luar Negeri itu berkata, hanya dua yang ditandatangani dan menimbulkan persoalan terutamanya bagi kawasan yang digelar Ambalat.

    “Persoalannya, adakah ia (kawasan Ambalat) termasuk dalam dua perjanjian yang ditandatangani itu.

    “Jadi, sebab itu, saya minta PM (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Menteri Luar (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) memberi penjelasan tentang isu ini. Biar rakyat faham dan jelas,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota, Indera Mahkota di Kuantan hari ini.

    Blok laut Ambalat adalah seluas 15,235 kilometer persegi terletak di Selat Makassar dan mempunyai potensi luar biasa terutama membabitkan hasil minyak.

    Terdapat satu titik perlombongan di Ambalat yang mempunyai simpanan potensi 764 juta tong minyak dan 1.4 trilion kaki padu gas.

    Mengulas lanjut, Saifuddin bagaimanapun enggan membuka mulut berkaitan blok Ambalat itu.

    Beliau mengakui mengetahui jawapan berhubung isu Ambalat.

    “Saya tidak boleh jawab kerana ia diluar bidang kuasa saya. Malah, saya tiada masalah berkenaan perjanjian yang ditandatangani baru-baru ini kerana ia juga pernah dirunding ketika saya memegang jawatan Menteri Luar.

    “Cadangan untuk tandatangan dua perkara itu telah pun dibawa oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri sewaktu bertemu Presiden Indonesia. Cuma tak sempat nak tandatangan.

    “Jadi ia telah ditandatangani oleh PM (Anwar) bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo sekitar awal Jun lalu,” ujarnya lagi.

    Anwar menandatangani perjanjian persempadanan maritim dengan Indonesia pada 8 Jun lalu selepas perbincangan dengan pakar daripada Maritim Malaysia, Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Negara, Peguam Negara serta Jabatan Ukur dan Pemetaan serta Pusat Hidrografi Nasional.

    Anwar berkata, perjanjian yang ditandatangani bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo telah menyelesaikan isu persempadanan yang berlanjutan selama 18 tahun.

  • Serah kepada polis, gesa kumpulan hak asasi lepas kematian suspek dalam tahanan SPRM

    Serah kepada polis, gesa kumpulan hak asasi lepas kematian suspek dalam tahanan SPRM

    KUMPULAN hak asasi, Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengecam ulasan Tan Sri Azam Baki terhadap berita suspek dalam tahanan agensi itu meninggal dunia, mengatakan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ‘tidak perlu tergesa-gesa membuat kesimpulan atau menjelaskan punca kematian’. 

    Pengarah LFL, Zaid Malek berkata, adalah menjadi tanggungjawab polis menyiasat dan mendedahkan penemuan, atau merujuk perkara itu kepada Jabatan Peguam Negara. 

    “Tiada rumusan boleh dibuat pada ketika ini sama ada terdapat atau tidak kesalahan dalam kematian ini, seperti yang dilakukan oleh Azam dalam kenyataannya,” katanya. 

    Azam semalam mengesahkan kematian seorang suspek dipercayai terlibat dalam kes pengubahan wang haram berkaitan perlombongan haram di Pahang.

    Beliau berkata suspek berkenaan meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Putrajaya. 

    “Dalam siasatan, pegawai kami mendapati lelaki itu tidak sihat dan terus menghantarnya ke hospital Putrajaya,” kata Azam seperti dilaporkan The Star.

    Beliau juga berkata, pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan kes itu akan memberi kenyataan kepada polis, dan agensi itu sudah menyerahkan rakaman CCTV untuk membantu siasatan. 

    Dalam kenyataannya hari ini, Zaid berkata, penjelasan Azam adalah ‘tidak bernilai’ kerana ketua pesuruhjaya SPRM merupakan ‘pihak berkepentingan’. 

    “Ini sepatutnya jelas kepada ketua pesuruhjaya, yang sepatutnya tidak membuat komen lain kecuali mengatakan bahawa perkara itu dalam siasatan polis,” tambahnya. 

    “Kenyataan umum ke atas siasatan polis yang sedang berjalan seperti ini berpotensi untuk mempengaruhi atau mengganggu siasatan sedemikian.”

    Beliau juga menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani untuk membentuk unit siasatan khas di Bukit Aman bagi menyiasat perkara itu, dengan mengingatkan kematian suspek lain dalam tahanan SPRM termasuk Teoh Beng Hock pada 2009 dan Ahmad Sarbani Mohamed pada 2011. 

    “Polis mesti memandang serius perkara ini dan mengutamakan penyiasatan sebagai perkara yang mempunyai kepentingan awam yang serius,” katanya. 

    “Siasatan mestilah telus, tidak berat sebelah dan tergesa-gesa. 

    “Tindakan tegas di bawah undang-undang mesti diambil sekiranya mana-mana anggota SPRM didapati bersalah dalam apa jua cara membabitkan kematian suspek dalam tahanan ini.”

  • Kerajaan namakan Wan Junaidi ganti Rais di Dewan Negara

    Kerajaan namakan Wan Junaidi ganti Rais di Dewan Negara

    BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar disebut sebagai calon Yang Dipertua Dewan Negara bagi menggantikan Tan Sri Rais Yatim yang tamat perkhidmatan secara rasmi semalam.

    Beberapa sumber kerajaan mengesahkan kepada Malaysiakini, nama Wang Junaidi yang turut pernah dilantik menjadi timbalan speaker Dewan Rakyat diangkat sebagai calon kerajaan..

    “Kerajaan pilih nama Tan Sri (Wan Junaidi). Akan ada pengumuman pada Isnin ini,” katanya kepada Malaysiakini.

    Sumber itu juga memaklumkan nama Wan Junaidi dipersetujui untuk dicalonkan kerana dia memiliki kepakaran dalam bidang undang-undang, selain pengalamannya selama ini.

    Bekas ahli parlimen Santubong yang kini berusia 78 tahun tidak bertanding pada PRU ke-15 lalu selepas menjadi ahli parlimen selama tujuh penggal iaitu sejak 1990.

    Sehingga laporan ini ditulis, Malaysiakini difahamkan, sebarang nama lain dihantar untuk dicalonkan bagi mengisi jawatan Yang Dipertua Dewan Negara.

    Sementara itu, beberapa sumber daripada Barisan Nasional (BN) memberitahu kerajaan akan mencalonkan pemimpin UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed, untuk awatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara.

    Tempat itu kini kosong selepas penyandangnya Mohamad Ali Mohamad juga tamat tempoh sebagai senator.

    Nur Jazlan merupakan Ahli Parlimen Pulai sejak 2004. Namun beliau kalah di kerusi tersebut dalam dua PRU terakhir masing-masing pada 2018 dan 2022.

    Kemunculan nama anak bekas setiausaha agung UMNO itu dilihat agak mengejutkan.

    Hal itu kerana, sebelum ini terdapat ura-ura bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia memberikan jawatan itu kepada wakil MCA atau MIC yang merupakan komponen BN.

    Untuk rekod ketika ini tiada seorang pun wakil dari parti itu diberikan jawatan dalam kabinet.

    “Memang ada perbincangan di antara pucuk pimpinan parti dengan perdana menteri dan wakil MCA serta MIC dimaklumkan, Anwar bersedia mempertimbangkan tempat tersebut kepada parti komponen BN.

    “Tapi dengan perkembangan terbaru ini nampaknya Umno menjadi semakin tamak dan tak bersedia berkongsi jawatan bersama-sama parti komponen BN yang lain,” kata satu sumber dari MIC.

    Untuk rekod, ketika ini MCA mempunyai tiga ahli Dewan Negara iaitu Koh Nai Kwong, Lim Pay Hen dan Ti Lian Ker, manakala MIC ada diwakili empat orang iaitu Nelson Renganathan, Sivarraajh Chandran, Vell Paari Samyvellu dan Mohamed Haniffa Abdullah.

    Dalam perkembangan sama nama senator DAP, Kesavadas A. Achyuthan Nair turut berada dalam senarai calon Timbalan Speaker.

    Walaupun begitu sumber DAP memberitahu parti terbabit tidak mengesyorkan nama senator terbabit.

    “Nampaknya ada ahli Dewan Negara lain menjadi pencadang kepada Kesavadas,” katanya.

    Tambah sumber DAP itu, Kesavadas yang berasal dari Negeri Sembilan masih perlu memenuhi satu lagi syarat sebelum layak dipertimbangkan oleh senator lain iaitu disokong oleh senator lain.

    Jika, terdapat lebih daripada satu nama dikemukakan, proses pengundian akan diadakan secara bertulis untuk memilih pemenangnya.

    Sementara itu PN pula mengemukakan nama ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris sebagai calon Timbalan Speaker.

    “PN tidak mencalonkan sesiapa bagi jawatan speaker cuma untuk kekosongan jawatan timbalan, kami hantar nama Razali,” kata satu sumber daripada Bersatu.

  • ‘Kau lans koperal tak layak cakap dengan aku’

    ‘Kau lans koperal tak layak cakap dengan aku’

    TULAR video memaparkan seorang wanita didakwa mengeluarkan kata-kata berbentuk hinaan kepada anggota polis dalam kejadian baru-baru ini dipercayai berlaku di sekitar kawasan Gombak.

    Video berdurasi 25 saat itu memaparkan individu berkenaan dipercayai merupakan seorang pegawai polis telah meninggikan suara dengan mengatakan anggota polis berkenaan tidak layak menegurnya.

    “Kau lans koperal lah, tak layak cakap dengan aku, cara cakap macam OCPD, kau tak layaklah.

    “Kau jadi pegawai dululah lans koperal, hei lans koperal berlagak macam apa, pangkat dah la rendah,” katanya kepada anggota polis tersebut.

    Bagaimanapun tidak dinyatakan punca wanita terbabit bertindak sedemikian menerusi video tular berkenaan.

    Tinjauan Sinar Harian dalam media sosial mendapati rata-rata netizen mengecam tindakan wanita terbabit.

    Mereka turut mempersoalkan tindakan wanita itu yang disifatkan tidak sopan selain memalukan anggota polis berkenaan.

    Sinar Harian sedang berusaha mendapatkan pengesahan pihak polis berhubung kejadian tersebut.

  • Wanita baharu tamat PhD ditemui mati di apartmen

    Wanita baharu tamat PhD ditemui mati di apartmen

    SEORANG wanita warga Bangladesh ditemui mati di sebuah apartment di Seri Kembangan, Serdang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian itu selepas menerima panggilan pada pukul 3.06 petang.

    “Siasatan awal mendapati mangsa berusia 34 tahun dilihat berada dalam keadaan kemurungan ketika menghadiri majlis makan malam bersama rakannya.

    “Rakan mangsa memaklumkan mangsa telah kematian ibu dan hanya tinggal bapa dan suaminya di kampung.

    “Mangsa dikatakan tidak gembira untuk pulang ke Bangladesh atas masalah peribadi dan keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, mayat mangsa yang baharu tamat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam lulusan perniagaan itu ditemui penjaga apartment terbabit setelah dimaklumkan mangsa tidak dapat dihubungi sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

    Menurutnya, siasatan masih dijalankan untuk memastikan punca kematian dan motif sebenar kejadian.

    “Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • 38 suspek termasuk 4 wanita ditahan polis dipercayai terlibat sindiket ah long

    38 suspek termasuk 4 wanita ditahan polis dipercayai terlibat sindiket ah long

    SERAMAI 38 suspek termasuk empat wanita ditahan selepas dipercayai menjadi ahli sindiket ah long dalam operasi khas yang dijalankan polis Pulau Pinang bermula 5 Jun lalu sehingga semalam.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua suspek berusia antara 21 hingga 72 tahun itu ditahan di sekitar Pulau Pinang dan negeri jiran dalam usaha berterusan pihaknya membanteras aktiviti pinjaman wang tidak berlesen di negeri itu.

    “Kebanyakan tangkapan dibuat di Pulau Pinang, bagaimanapun terdapat beberapa tangkapan yang dibuat di negeri jiran selepas mereka melarikan diri.

    “Mereka yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di Georgetown, Pulau Pinanh hari ini.

    Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan sedang memburu sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen yang menghantar sepucuk surat amaran dan ugutan jenayah kepada Kok Chin.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya memandang serius tindakan ahlong yang berani mencabar serta mengugut pegawai tertinggi PDRM di Pulau Pinang.

    Surat layang tersebut yang ditujukan kepada Kok Chin dimasukkan di dalam sampul surat dan diterima pada 1 Jun lalu melalui perkhidmatan Pos Malaysia.

    Sementara itu, ditanya sama ada suspek-suspek yang ditahan itu terlibat dalam kes ugutan jenayah terhadap beliau, Kok Chin berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap mereka.

    “Kita sedang menyiasat sama ada mereka terlibat, cuma apa yang saya boleh maklumkan, kita ada modus operandi untuk mengesan (ahlong) yang terlibat dengan ugutan jenayah ini,” katanya.