Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kurangkan bercakap, biar kerja buktikan, Hamzah tegur Anwar

    Kurangkan bercakap, biar kerja buktikan, Hamzah tegur Anwar

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kurangkan bercakap dan biar kerja membuktikannya.

    Ketua Pembangkang itu berkata, sebagai perdana menteri, Anwar sepatutnya menunaikan tanggungjawab memimpin negara dengan membantu menyelesaikan masalah rakyat, khasnya kenaikan kos sara hidup.

    “Kita perlu menjaga negara ini dengan begitu baik sekali, bukan hanya bercakap hari-hari. Tidak pernah ada Perdana Menteri jadi jurucakap kepada Kabinet hari-hari.

    “Tiap kali ada mesyuarat Kabinet, dia yang menjadi jurucakap kepada kerajaan,” katanya ketika pelancaran jentera pilihan raya PN Marang di Terengganu malam tadi.

    Ahli Parlimen Larut itu turut menasihatkan Perdana Menteri tidak patut membuat kenyataan ‘flip-flop’ kerana boleh menjejaskan pelaburan asing dalam negara.

    “Esok kata polisi nak bantu, esok kata insentif nak diberi, lusa dia kata aku tak cakap macam tu. Akhirnya, larilah pelabur yang ada dalam Malaysia ni,” katanya lapor FMT.

    Hamzah turut meminta kerajaan tidak menyalahkan pembangkang jika pelabur lari dari Malaysia kerana mereka hanya meminta penyelesaian daripada kerajaan untuk membantu ekonomi dan isu menjejaskan rakyat.

    Selasa lalu, Anwar memberitahu Dewan Rakyat, beliau tiada masalah dengan isu ‘flip-flop’ atau sering menukar keputusan berhubung dasar kerajaan jika ia membantu rakyat.

    Ini menyusul keputusan kerajaan mengekalkan pemberian subsidi ayam dan telur serta biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi pelajar perubatan, pergigian dan farmasi.

  • PDRM, SPRM kongsi maklumat siasatan pemimpin politik terlibat aktiviti judi dalam talian

    PDRM, SPRM kongsi maklumat siasatan pemimpin politik terlibat aktiviti judi dalam talian

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang berkongsi maklumat siasatan berhubung terdapat penglibatan pihak politik dalam aktiviti judi dalam talian.

    Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, pihaknya sentiasa memantau kegiatan yang menimbulkan kemudaratan kepada masyarakat dan negara.

    Beliau memberitahu, PDRM telah menerima maklumat bahawa terdapat penglibatan pemimpin politik dalam aktiviti judi dalam talian.

    “PDRM mengulangi komitmen yang tidak akan membiarkan kegiatan yang menimbulkan kemudaratan kepada masyarakat dan negara serta segala langkah yang diambil adalah berteraskan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam mengesahkan kegiatan perjudian dalam talian dinaungi pemimpin politik.

    Menurutnya, elemen itu menjadi kekangan terbesar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PRDM serta kerajaan secara keseluruhannya dalam usaha membanteras kegiatan itu.

  • KJ sertai mesyuarat hala tuju ekonomi bersama PM

    KJ sertai mesyuarat hala tuju ekonomi bersama PM

    DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan perbincangan berkait hala tuju ekonomi negara yang turut disertai Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama ahli-ahli ekonomi.

    Perdana Menteri yang berkongsikan perkara itu dalam Facebook miliknya hari ini berkata, perbincangan itu diadakan bagi mendapatkan pandangan dan idea mengenai ekonomi negara daripada segenap lapisan masyarakat.

    Jelas catatan itu, perbincangan turut menyentuh bidang pertumbuhan baharu dan kaedah untuk memperkukuh ekosistem pelaburan.

    “Segala pandangan yang dikongsikan pastinya akan digunakan untuk membentuk naratif ekonomi Madani yang sedang dirangka bagi mencorak hala tuju ekonomi negara dalam tempoh jangka masa sederhana dan panjang.

    “Pakar ekonomi yang saya temui hari ini juga bersetuju bahawa kita punyai masa yang terhad untuk menyelesaikan masalah atau cabaran yang melanda ekonomi negara dan membawa Malaysia kembali ke landasan yang betul.

    “Saya faham sebarang reformasi atau pembaharuan memerlukan disiplin dan kesabaran. Ia juga memerlukan keyakinan serta keberanian untuk melakukan perkara yang baharu dan membuat keputusan yang berat untuk kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam perkongsian sama, lapor Astro Awani.

    Dalam pada itu, kata Anwar, kerajaan bertekad dan akan bekerja keras bagi memacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan.

    Jelasnya, pertumbuhan ekonomi bukan hanya angka semata-mata tetapi harus menggarap keperluan serta kehendak rakyat.

    Turut hadir dalam perbincangan itu, Pengerusi bersama Ahli-ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Nungsari Ahmad Radhi, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof. Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Azlan Ghazali, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron.

  • Mat Sabu jalani pembedahan appendicitis malam ini

    Mat Sabu jalani pembedahan appendicitis malam ini

    MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu akan menjalani pembedahan bagi rawatan penyakit appendicitis di Hospital Putrajaya, malam ini.

    Pejabatnya dalam satu kenyataan berkata, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dimasukan ke hospital hari ini untuk menjalani prosedur yang diambil atas nasihat pakar perubatan.

    “Kesihatan beliau kini dalam keadaan stabil dengan pemantauan rapi.

    “Atas nasihat pihak hospital, buat masa ini hanya ahli keluarga terdekat yang dibenarkan melawatnya,” katanya, lapor FMT.

  • Maklumat siasatan bocor: SPRM perlu lapor polis buktikan tiada ‘komplot’-Wan Saiful

    Maklumat siasatan bocor: SPRM perlu lapor polis buktikan tiada ‘komplot’-Wan Saiful

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil tanggungjawab dengan membuat laporan kepada polis sekiranya berlaku kebocoran maklumat siasatan agensi itu kepada media jika benar perkara tersebut tiada kaitan dengan pihaknya.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan itu perlu diambil bagi membuktikan tidak wujud sebarang kebocoran ‘terpilih’.

    “Baru-baru ini, saya bertanya di Dewan Rakyat berkenaan kebocoran maklumat siasatan SPRM kepada media. Perkara ini penting kerana ia boleh menimbulkan tanda tanya tentang adakah SPRM menjadi alat politik pihak tertentu.

    “Ketika menjawab soalan saya, pihak kerajaan menyatakan bahawa laporan polis boleh dibuat jika berlaku kebocoran. Saya menyambut baik jawapan ini, bagaimanapun ternyata ada persoalan lain pula yang timbul.

    “(Katakan) kalau nak buat laporan polis, yang sebenarnya patut buat laporan polis adalah SPRM sendiri kerana maklumat didakwa bocor daripada ‘sumber SPRM’.

    “Siapa sumber ini? Adakah terdapat anggota yang tidak berintegriti dan membocorkan maklumat? Maka SPRM lah yang perlu membuat laporan polis sebagai tanda mereka tidak merancang dan mahu menghentikan pembocoran itu,” katanya dalam kenyatan hari ini.

    Tegasnya, jika tiada tindakan dibuat oleh agensi itu, secara tidak langsung ia boleh mendatangkan andaian bahawa kebocoran maklumat siasatan tersebut dilakukan oleh sumber yang dilantik SPRM sendiri.

    Katanya, jika berterusan, ada kemungkinan rakyat akan sangsi sejauh mana SPRM boleh dipercayai.

    Sebab itulah tanggungjawab membuat laporan adalah terletak di bahu mereka, jelas Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu lagi.

    “Kita tidak mahu rakyat mempersoalkan integriti SPRM. Saya menyeru kerajaan dan SPRM untuk mengambil serius isu ini supaya tidak timbul tuduhan bahawa ini kebocoran yang disengajakan dan ini adalah kebocoran terpilih yang sengaja dirancang atas tujuan tertentu,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Ahli politik tinju muka cikgu, tak datang mahkamah

    Ahli politik tinju muka cikgu, tak datang mahkamah

    AHLI politik yang merupakan suspek kes pergaduhan gagal hadir ke prosiding Mahkamah Majistret Rompin untuk bacaan pertuduhan, hari ini.

    Memetik laporan MalaysiaGazette, suspek berusia 64 tahun tidak dapat hadir dengan alasan ada urusan keluarga yang tidak dapat dielakkan.

    Bagaimanapun seorang lagi suspek kedua berusia 58 tahun yang juga seorang kontraktor hadir bagi mendengar pertuduhan dibacakan.

    Majistret Wahidah Zainal Abidin memutuskan kedua-dua suspek dilepaskan tanpa dibebaskan.

    Kes tersebut akan dibacakan di bawah Seksyen 323 bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan memperuntukkan hukuman yang sama.

    Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali.

    Pada 12 April lalu, media melaporkan insiden pergaduhan melibatkan salah faham antara beberapa orang ahli politik hingga mendatang kecederaan ringan kepada mangsa di Pekan.

    Ini membabitkan bekas pemimpin kanan UMNO bahagian itu yang dipercayai menumbuk seorang individu yang juga ahli parti di sebuah restoran mamak.

    Mangsa yang juga seorang guru berusia 42 tahun ditumbuk pada bahagian mulut disusuli pula pukulan di bahagian pipi oleh suspek kedua.

  • Anak bekas MB Sarawak fail saman terhadap ibu tiri

    Anak bekas MB Sarawak fail saman terhadap ibu tiri

    ANAK kedua Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib memfailkan saman terhadap ibu tirinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib.

    Memetik laporan The Borneo Post, tindakan undang-undang itu difahamkan berkaitan pemindahan saham sebuah syarikat swasta kepada Raghad.

    Difahamkan, sebutan kes itu akan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Alexander Siew, Isnin ini.

    Menurut laporan itu, Sulaiman menamakan Raghad dan seorang lagi sebagai defendan.

    Sulaiman, 55, adalah Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata Sarawak Berhad (CMSB).

    Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Samarahan menggantikan bapanya, Tun Abdul Taib Mahmud pada 2008 hingga 2013.

    Sulaiman juga pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Pelancongan pada 2008 namun meletakkan jawatan setahun kemudian atas alasan peribadi.

  • Polis tahan pelancong asing rogol pekerja pusat peranginan di Genting Highlands

    Polis tahan pelancong asing rogol pekerja pusat peranginan di Genting Highlands

    SEORANG pelancong asing ditahan bagi membantu siasatan kes rogol di sebuah hotel di Genting Highlands, di Bentong.

    Penahanan itu susulan laporan diterima daripada gadis berusia 20 tahun bekerja di pusat peranginan itu yang mendakwa diperkosa suspek dalam kejadian pukul 5.20 pagi Isnin lalu.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 9 pagi hari sama.

    “Berdasarkan laporan, mangsa mendakwa dipanggil seorang lelaki tidak dikenali untuk bertanya mengenai kemudahan yang disediakan pihak hotel. Suspek kemudian mengajak mangsa untuk tidur bersama, namun mangsa menolak pelawaan itu.

    “Suspek bertindak menarik tangan mangsa secara paksa dan membawanya masuk ke dalam bilik lalu merogolnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zaiham berkata, siasatan mendapati suspek adalah warga asing berusia 41 tahun yang datang ke Malaysia untuk tujuan melancong.

    Katanya, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menahan suspek berhampiran hotel terbabit, pukul 1 tengah hari kejadian.

    “Suspek direman tujuh hari bermula 13 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Hina anggota: Pegawai polis wanita dipanggil bantu siasatan

    Hina anggota: Pegawai polis wanita dipanggil bantu siasatan

    SEORANG pegawai polis wanita yang mengeluarkan kata-kata berunsur hinaan kepada anggota polis menerusi video tular dipanggil untuk memberi keterangan.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek telah dikenal pasti dan dipanggil ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

    “Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari di sebuah kedai makan di Taman Seri Gombak, Batu Caves, semalam.

    “Siasatan awal mendapati seorang individu didatangi suspek yang bertindak memarahi dirinya kerana mendakwa telah membuat bising berhampiran rumah jiran berhampiran.

    “Suspek yang memperkenalkan diri sebagai penjawat awam itu mengeluarkan nada suara tinggi dan menyatakan ingin menahan individu berkenaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Katanya, suspek turut bertindak mengugut hendak memukul individu tersebut selain memarahi beberapa individu lain yang turut berada di lokasi kejadian.

    “Anggota polis yang turut berada di lokasi telah meminta suspek menunjukkan kad kuasanya namun suspek tidak memberikan kerjasama.

    Menurutnya, suspek bertindak mempersenda anggota polis tersebut ketika diminta memberikan kerjasama.

    Tambah beliau, dua kertas siasatan dibuka bagi siasatan lanjut berkaitan kejadian.

    Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, klatanya.

    “Siasatan lanjut turut mendapati terdapat dua video tular berkaitan kejadian dan orang ramai dinasihatkan agar tidak terus menularkan video tersebut dan memberikan komen-komen yang boleh menggugat ketenteraman awam dan menggangu siasatan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Hari ini tular video memaparkan seorang wanita didakwa mengeluarkan kata-kata berbentuk hinaan kepada anggota polis dalam kejadian baru-baru ini dipercayai berlaku di sekitar kawasan Gombak.

    Video berdurasi 25 saat itu memaparkan individu berkenaan dipercayai merupakan seorang pegawai polis telah meninggikan suara dengan mengatakan anggota polis berkenaan tidak layak menegurnya.

  • Bekas pensyarah usia 81 tahun didakwa edar kokain 2.643kg

    Bekas pensyarah usia 81 tahun didakwa edar kokain 2.643kg

    SEORANG bekas pensyarah di sebuah universiti awam, didakwa di Mahkamah Majistret di Sepang hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kokain seberat 2.643 kilogram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), minggu lalu.

    Tertuduh yang juga warga emas berusia 81 tahun itu, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan dia didakwa melakukan kesalahan itu, di balai Ketibaan Dalam Negeri KLIA, di Sepang pada pukul 6 petang, 6 Jun lalu.

    Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 398(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 398(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori.

    Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Jamilah Shuhadah Tohet.