Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bunuh teman wanita, warga asing mengaku salah

    Bunuh teman wanita, warga asing mengaku salah

    SEORANG lelaki mengaku salah membunuh teman wanitanya di sebuah kondominium di Kelana Jaya selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

    Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki warga asing berusia 30 tahun itu membuat pengakuan itu susulan didakwa kelmarin.

    “Suspek direman selama 13 hari untuk siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    “Kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Selangor dan mendapat arahan tuduh pada Khamis (kelmarin). Suspek mengaku membunuh teman wanitanya,” katanya menurut Harian Metro.

    Pada 9 Jun, dilaporkan seorang lelaki warga India dipercayai menikam teman wanitanya sehingga 18 kali menggunakan pisau pemotong buah.

    Tindakan suspek terbongkar selepas ditahan sepasukan Polis Bantuan Express Rail Link (ERL) Salak Selatan dipercayai untuk membunuh diri.

    Suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan hasil soal siasat dijalankan, suspek mengaku membunuh teman wanitanya berumur 40 tahun yang juga warga India antara 4 hingga 6 petang, 2 Jun lalu.

    Suspek membunuh kekasihnya itu gara-gara cemburu kerana percaya wanita berkenaan mempunyai hubungan sulit dengan lelaki yang tinggal serumah dengan mereka.

  • JKNS, PDRM siasat kes kematian mengejut dua petugas kesihatan

    JKNS, PDRM siasat kes kematian mengejut dua petugas kesihatan

    JABATAN Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung kes kematian mengejut dua petugas kesihatan di Klang baru-baru ini.

    Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian petugas yang berkhidmat di dua fasiliti kesihatan berbeza masing-masing pada 4 dan 6 Jun lalu.

    “Situasi ini dianggap menyedihkan kepada semua terutama ahli keluarga dan kenalan rapat individu tersebut.

    “Pihak JKNS telah menjalankan siasatan bagi kedua-dua kes dan polis juga sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Dr Sha’ari berkata, semua pihak dinasihatkan mengelak daripada membuat sebarang spekulasi dan tidak menyebarkan maklumat berkaitan dengan dua kes berkenaan.

    “Orang ramai diminta memberikan ruang privasi kepada mereka yang menempuh tempoh sukar berkenaan,” ujar beliau.

    Sehubungan itu, katanya, Dr. Sha’ari mengingatkan mana-mana individu yang mengalami masalah emosi supaya tampil mendapatkan bantuan sokongan daripada golongan profesional.

    Tambahnya, mereka boleh menghubungi Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental, di 15555 yang dikendalikan oleh Pegawai Psikologi (Kaunseling) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    “Talian itu beroperasi setiap hari bermula jam 8 pagi sehingga 12 tengah malam,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Lelaki warga AS cedera, jatuh di air terjun Rimba Kanching

    Lelaki warga AS cedera, jatuh di air terjun Rimba Kanching

    SEORANG lelaki warga Amerika Syarikat cedera akibat terjatuh ketika mandi di air terjun Rimba Kanching di Rawang hari ini.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada pukul 11.16 pagi.

    Susulan itu katanya, seramai tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 11.40 pagi.

    “Mangsa berumur lingkungan 29 tahun dipercayai terjatuh ketika mandi di lokasi kejadian

    “Mangsa mengalami kecederaan di bahagian pinggang menerusi pemeriksaan awal yang dijalankan.

    “Mangsa kemudian dibawa turun oleh anggota bomba terlibat untuk rawatan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

  • Mengapa diam, soal Bersatu kepada DAP selepas wanita disiasat kerana kritik Kit Siang

    Mengapa diam, soal Bersatu kepada DAP selepas wanita disiasat kerana kritik Kit Siang

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengecam sikap berdiam diri pemimpin DAP yang tidak menentang siasatan terhadap seorang wanita mengikut Akta Hasutan, sambil mengingatkan tentang gesaan parti itu sebelum ini supaya memansuhkan undang-undang tersebut. 

    Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu turut menyelar pemimpin kerajaan campuran diketuai Pakatan Harapan (PH) berhubung penahanan aktivisnya, Norhanani Abu Hassan di Pulau Pinang baru-baru ini. 

    “Sepanjang PH menjadi pembangkang, kerajaan ketika itu akan dikritik berkali-kali mengenai penggunaan Akta Hasutan terhadap pembangkang dan/atau orang ramai dan membuat banyak gesaan agar akta tersebut dimansuhkan,” kata timbalan pengerusi biro berkenaan, Sasha Lyna Abdul Latif dalam satu kenyataan. 

    Beliau mengimbas kembali kenyataan Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo pada 2018 yang menggesa supaya Akta Hasutan dimansuhkan. 

    “Beliau juga menegaskan, ‘undang-undang itu tertakluk kepada penyalahgunaan dan digunakan untuk menyekat perbezaan pendapat politik’. 

    “Kenapa parti itu dan rakan gabungan diam sekarang,” soal Sasha.

    Difahamkan, Norhanani yang juga ketua penerangan Srikandi Muda Bersatu Pulau Pinang, sedang mengandung tujuh bulan ketika pegawai dari Bukit Aman menahannya.

    Telefon bimbit dan komputer riba milik Norhanani turut dirampas. 

    Siasatan itu dipercayai ada kaitan dengan tindakan Norhanani mengulang siar catatan di media sosial yang mengkritik penyokong kuat Lim Kit Siang. 

    Sasha juga memetik kenyataan Lim pada 2015, di mana beliau mempersoalkan penggunaan Akta Hasutan ke atas pengkritik kerajaan. 

    Antara lain, beliau memetik Lim yang menyuarakan tentang penggunaan ‘undang-undang zalim dalam mengekalkan kuasa’.

    “Kita jangan lupa Malaysia adalah negara demokrasi, bukan diktator,” Lim dipetik sebagai berkata.

    Sasha mempersoalkan sikap berdiam diri Lim berikutan Akta Hasutan digunakan untuk membelanya. 

    “Adakah keadaan sekarang sudah berubah apabila PH a.k.a Kerajaan Madani berkuasa sebagai pemerintah dan kini menggunakan Akta Hasutan terhadap pemimpin pembangkang dan ahli parti serta penyokongnya? 

    “Bukankah ini menunjukkan sikap sangat hipokrit Lim Kit Siang, DAP dan PH,” soalnya menurut laporan Malaysianow.

  • Muhyiddin yakin PN menang ’20 kerusi’ menjelang PRN P. Pinang

    Muhyiddin yakin PN menang ’20 kerusi’ menjelang PRN P. Pinang

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjangkakan gabungan itu berdepan tentangan sengit menjelang pilihan raya negeri (PRN) di Pulau Pinang.

    Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, PN mampu menang hampir 20 kerusi.

    Pada masa sama beliau menyeru ahli gabungan terbabit bekerja lebih keras untuk menang satu lagi kerusi bagi membentuk majoriti mudah yang melibatkan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) keseluruhannya.

    “Sekarang dah hampir dekat 20 (kerusi) agak ya agak-agak lah kalau kita nak menang hanya perlu 51 peratus.

    “Tinggal satu peratus cari, tak kan tak boleh,” katanya ketika mengadakan pertemuan pada Konvensyen PN Pulau Pinang, lapor FMT.

    Muhyiddin berkata, walaupun kemenangan di peringkat negeri tidak mengubah apa-apa di peringkat Pusat, namu impak daripada kemenangan di PRN enam negeri akan bergema di seluruh negara.

    “Kesan dan impak besar daripada kemenangan besar di enam buah negeri akan mempermudah kita mengambil alih kerajaan pusat dalam satu tempoh yang akan datang insya-Allah,” katanya.

    Awal hari ini, Ketua Pemuda PN negeri, Zuzalee Ariffin mendedahkan berdasarkan kajian gabungan itu, 55 peratus orang Melayu Pulau Pinang menyokong PN, manakala 28 peratus menyokong Barisan Nasional (BN), dan 15 peratus bersama Pakatan Harapan.

    Katanya, 93 peratus masyarakat Cina di Pulau Pinang menyokong PH, dengan 1 peratus menyokong PN, dan 5 peratus menyokong BN.

    Masyarakat India juga sebahagian besar bersama PH dengan 84 peratus, dengan 12 peratus komuniti itu bersama BN, dan 4 peratus menyokong PN.

    “Kita hanya memerlukan sedikit peralihan daripada pengundi Cina dan India untuk menang. Hakikatnya, untuk menang di Pulau Pinang, kita perlu bekerja keras untuk menawan undi Cina,” katanya.

    Zuzalee juga mendakwa slogan pilihan raya PN negeri, ‘Pulau Pinang try kalih’, merekodkan tahap sokongan tinggi di TikTok, dengan perkongsian tanda pagar sebanyak 11 juta.

    PH menang 37 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2018, dengan BN menang dua dan Pas satu. Susulan penjajaran politik pada 2020, kedudukan kerusi PH berkurang kepada 33, memandangkan Bersatu meninggalkan PH, yang mana dua wakil rakyat PH menyertai Bersatu.

    Pada PRU14, Bersatu menang di Bertam, Seberang Jaya, Sungai Acheh, dan Teluk Bahang, di bawah PH. Bagaimanapun, semua kerusi itu diisytihar kosong susulan penguatkuasaan undang-undang anti-lompat.

    Justeru, menjadikan PN hanya mempunyai satu kerusi milik PAS, di Penaga.

    Sebelum ini, sumber dalaman PN memberitahu FMT, 15 kerusi majoriti Melayu berkemungkinan dikuasai PN, selaras sokongan pengundi muda terhadap gabungan itu.

  • Wanita maut kereta dipandu terhumban dalam gaung

    Wanita maut kereta dipandu terhumban dalam gaung

    SEORANG wanita maut selepas kereta yang dipandu terhumban ke dalam gaung sedalam 15 meter di Jalan Lubuk Yu dekat Sungai Jering, di Maran, hari ini.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.34 pagi dan seramai enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Jengka dikejarkan ke lokasi kejadian.

    Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa yang memandu kereta Toyota Rush dipercayai terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam 15 meter, hingga ke sungai berdekatan.

    Orang ramai berjaya mengeluarkan mangsa sebelum ketibaan pasukan bomba. – Foto JBPM

    “Orang ramai berjaya mengeluarkan mangsa sebelum ketibaan pasukan bomba dan pasukan bomba menggunakan tali dan pengusung untuk menaikkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan. – Foto JBPM

    Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan, dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

  • Semangat pengundi untuk sokong PN pada PRN pada tahap luar biasa

    Semangat pengundi untuk sokong PN pada PRN pada tahap luar biasa

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan semangat pengundi terutama orang Melayu untuk menyokong PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang berada pada tahap luar biasa ketika ini.

    Mengambil contoh di Selangor, ujar beliau, 80 peratus orang Melayu diyakini akan menyokong PN pada PRN kelak sekali gus memberi kelebihan kepada calon-calon PN di negeri tersebut.

    “Hasrat orang Melayu ikut kajian kita di Selangor atau di seluruh negara 80 peratus sokong PN.

    “Ikut kajian kita di Selangor, pengundi Melayu 89 peratus akan keluar mengundi, 80 peratus undi PN, orang Cina kita tidak tahu, semangat pengundi terutama Melayu untuk sokong PN luar biasa,” katanya.

    Beliau berucap merasmikan majlis Konvensyen dan Pelancaran Jentera PN Pulau Pinang di George Town, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi PN Pulau Pinang, Datuk Dr. Dominic Lau dan pimpinan-pimpinan PN peringkat negeri.

    Muhyiddin dalam majlis Konvensyen dan Pelancaran Jentera PN Pulau Pinang di George Town hari ini.

    Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, agihan kerusi PN bagi menghadapi PRN di enam negeri sudah selesai 99 peratus.

    Jelas beliau, segala isu berkaitan pembahagian kerusi itu akan dimuktamadkan antara parti-parti komponen PN pada 22 Jun ini (Rabu).

    Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, semangat rundingan antara parti-parti komponen PN juga berada pada tahap terbaik yang mana setiap parti mampu bertolak ansur antara satu sama lain.

    “Semangat PN luar biasa, apabila kita runding lebih kurang tidak apa, pasal kalau Pas menang kita menang, Gerakan menang kita menang, Bersatu menang kita menang, semua ini PN menang.

    “Kita kena berganding sepenuhnya, bukan soal siapa nak tanding, siapa nak tanding, tandinglah, mungkin kali ni tak ada rezeki, esok ada rezeki tak kira siapa (calon),” katanya.

  • Remaja dibelasah rakan akibat kata-kata kesat

    Remaja dibelasah rakan akibat kata-kata kesat

    SEORANG remaja cedera dibelasah rakan akibat mengeluarkan kata-kata kesat dalam kejadian di Jalan Langsat, Kluang, kira-kira 12 tengah malam semalam.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, mangsa berusia 18 tahun cedera di kepala dan tangan selepas diserkup dalam karung guni sebelum dipukul enam suspek berusia 15 hingga 18 tahun.

    “Siasatan awal mendapati mangsa menjadi punca pergaduhan kerana mengeluarkan kata-kata kesat sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakan-rakannya.

    “Mangsa mengenali beberapa suspek terlibat kerana merupakan rakan-rakannya di mana ketika itu mereka sedang makan di sebuah restoran dekat pusat bandar.

    “Senjata yang digunakan dalam pergaduhan itu, iaitu kerusi plastik, selain iPhone 12 Pro Max dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, semua tangkapan tiada rekod jenayah lampau dan pemeriksaan urin menunjukkan mereka negatif dadah.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya memetik laporan Harian Metro.

  • Siasatan LHDN terhadap Hamzah bersifat politik, kata Muhyiddin

    Siasatan LHDN terhadap Hamzah bersifat politik, kata Muhyiddin

    SIASATAN Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin bersifat politik, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Pengerusi PN itu tidak melihat sebab lain siasatan itu dilakukan, sama seperti fokus siasatan terhadap beliau sebelum ini serta siasatan lain terhadap pemimpin-pemimpin parti komponen PN.

    “Justeru kita menggesa pihak berkenaan menghentikan siasatan bermotifkan politik tersebut sebaliknya memberi peluang kepada semua individu selaras dengan amalan demokrasi negara.

    “Melainkan mereka melakukan sesuatu yang salah, itu perkara lain, terpulang kepada polis untuk melakukan siasatan, bukannya mengambil tindakan semata-mata untuk kepentingan politik mereka,” kataya.

    Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Konvensyen dan Pelancaran Jentera PN Pulau Pinang di George Town hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan, kediaman Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut telah diserbu LHDN Selasa lalu bagi membantu siasatan kes cukai yang didakwa tidak dilaporkan.

    Bagaimanapun, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang menafikan kediamannya telah diserbu dan mendakwa ia merupakan fitnah yang ditujukan terhadap beliau menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

  • SPRM terima laporan ‘naungan politik’ lindungi judi dalam talian-Azam

    SPRM terima laporan ‘naungan politik’ lindungi judi dalam talian-Azam

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima laporan berkaitan dakwaan mengenai ‘naungan politik’ yang melindungi pengendali platform perjudian dalam talian di negara ini.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya ada menerima laporan dan maklumat tertentu berkaitan isu berkenaan.

    “Kita juga bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyiasat dakwaan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ketiga Pemerhati Rasuah Malaysia di Universiti Putra Malaysia, di Serdang hari ini, lapor Sinar Harian.

    Semalam, media melaporkan PDRM telah menerima maklumat terdapat penglibatan pihak politik dalam aktiviti judi dalam talian.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, PDRM dan SPRM sedang berkongsi maklumat siasatan bagi menentu sahkan dan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut.

    Kelmarin media melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan terdapat ‘naungan politik’ yang melindungi pengendali platform perjudian dalam talian di negara ini.

    Justeru, Saifuddin menjelaskan, hal demikian menjadi kekangan terbesar dihadapi Kementerian Dalam Negeri (KDN), PDRM dan kerajaan untuk membanteras kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa.

    Saiffuddin berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk R. Ramanan (PH-Sungai Buloh) yang ingin mengetahui jika benar wujud naungan politik dalam kegiatan perjudian dalam talian haram.

    Dalam pada itu Saifuddin memaklumkan, Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953 perlu dipinda segera agar pengendali platform berkenaan boleh dihadapkan ke muka pengadilan