Author: Wartawan WartaRakyat

  • DUN Selangor bubar Jumaat ini- Setiausaha Sulit Sultan Selangor

    DUN Selangor bubar Jumaat ini- Setiausaha Sulit Sultan Selangor

    SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu dibubar pada 23 Jun ini.

    Ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan di negeri tersebut, lapor Astro Awani.

    Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menghadap Sultan Sharafuddin pagi ini bagi memohon perkenan untuk membubarkan DUN Selangor.

  • Kita akan kesan aktiviti judi haram lepas ini- MB Perlis

    Kita akan kesan aktiviti judi haram lepas ini- MB Perlis

    MENTERI Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, selepas kerajaan negeri menutup premis-premis judi di sekitar negeri itu, tindakan seterusnya adalah mengesan aktiviti-aktiviti perjudian haram di negeri itu.

    “Usaha ini bagi menghapuskan kegiatan perjudian di Perlis. Kita juga akan mengesan aktiviti-aktiviti judi haram yang beroperasi dalam usaha bagi menghapuskan kegiatan berkenaan di Perlis.

    “Tak susah pun untuk kesan mereka (yang jalankan operasi judi haram) ini kerana Perlis adalah negeri yang kecil sahaja,” katanya yang dipetik portal Utusan Malaysia, hari ini.

    Pada Jumaat lalu, Media melaporkan syarikat judi Da Ma Cai memberi amaran risiko ketagihan judi akan menjadi semakin parah selain pertambahan lebih banyak isu sosial jika kedai mereka ditutup.

    Da Ma Cai berkata, demikian ketika menjawab soalan berkaitan kesan tindakan kerajaan Perlis yang mahu menuntut kedai judi pada tahun depan.

    Tarikh akhir lesen operasi mereka di Perlis pada 6 Mar 2024.

    Exco perumahan dan kerajaan tempatan, Perlis Fakhrul Anwar Ismail sebelum ini dilaporkan berkata operasi enam premis perjudian di Perlis tidak akan disambung selepas tamat tempoh itu.

    Menurutnya, keputusan itu selaras dengan pendirian Perikatan Nasional (PN), parti pemerintah Perlis, dan Shukri untuk menghentikan aktiviti perjudian.

    Fakhrul Anwar juga berkata langkah itu bukan mengejutkan atau perkara baru, memandangkan sudah lama dilaksana di negeri-negeri lain PN, iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

    Da Ma Cai mempunyai satu kedai nombor ekor di Perlis di samping syarikat judi Sports Toto dan Magnum.

    Mengulas kenyataan beberapa pengusaha premis perjudian di Perlis di Perlis bagi mendapat penjelasan lebih lanjut, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri tidak ada masalah bertemu dengan mereka.

    Namun, katanya, keputusan untuk tidak menyambung lesen operasi premis judi tetap muktamad.

    Katanya, pihaknya tiada masalah bertemu mana-mana pengusaha premis terlibat dan pertemuan boleh diatur bagi membincangkan tentang perkara itu.

    Mohd. Shukri juga dipetik sebagai berkata, kerajaan negeri tidak terlalu agresif dalam mengambil tindakan berkenaan dan memberi tempoh masa mencukupi kepada pengusaha terlibat untuk membuat persediaan.

    “Ruang masa yang diberikan bagi pelaksanaan ini adalah mencukupi iaitu bermula April lalu dan kita tidak akan memberi lanjutan tempoh lagi,” katanya lagi.

  • Gerakan pastikan calon bertanding PRN fasih Bahasa Melayu 

    Gerakan pastikan calon bertanding PRN fasih Bahasa Melayu 

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SETIAP calon dari Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi perlu melepasi beberapa syarat utama antaranya fasih berbahasa Melayu.

    Menurut Presiden parti itu, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, pihaknya menetapkan syarat tersebut bagi memastikan kalangan calon tersebut mampu membela dan menyampaikan isu rakyat dengan baik di Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat.

    Katanya, sebuah jawatankuasa bebas akan membuat penilaian terhadap calon-calon yang dicadangkan badan perhubungan negeri termasuk berkaitan kefasihan berbahasa Melayu serta faktor boleh menang di kawasan ditandingi.

    “Fasih berbahasa Melayu adalah syarat yang sangat penting kerana kita tak mahu mereka ini tidak boleh membela nasib rakyat di DUN disebabkan masalah bahasa.

    “Jika tak boleh patuhi syarat ini, jangan jadi calon atau ‘Yang Berhormat. Beri pada orang lain yang berkemahiran dan mempunyai potensi untuk menang.

    “Kita juga akan buat kajian mengenai ‘winnable candidate’ untuk diketengahkan. Bukan mereka cakap saja sebaliknya akan ada jawatankuasa bebas yang menilai,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Kedah di Alor Setar, malam tadi.

    Sementara itu Dominic yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, Gerakan akan bertanding di tiga kerusi DUN Kedah dalam PRN akan datang.

    “Rundingan kerusi dah selesai tetapi pengumuman mengenai kerusi mana akan ditandingi parti komponen PN, akan diumumkan apabila tiba masanya nanti. Setakat ini saya berpuas hati dengan kerjasama antara setiap parti komponen di Kedah,” katanya.

    Terdahulu ketika menyampaikan ucapan perasmian, Dominic berkata, strategi terbaik untuk PN menang dalam PRN kali ini adalah menceritakan realiti sebenar mengenai keadaan negara ini.

    “Kita faham rakyat sekarang tengah susah. Duit tak cukup manakala inflasi dan harga barang masih tinggi hingga nak membeli pun tak mampu.

    “Nilai mata wang kita juga semakin menurun tetapi saya tak terperanjat kerana Menteri Kewangan kita memang tak mampu buat kerja. Beliau cuma tahu bercakap saja untuk memberi gambaran baik tetapi tak mampu untuk kawal inflasi. Selama enam bulan ini, memang mereka gagal memimpin negara,” katanya.

  • Bubar DUN : Sultan Selangor belum beri perkenan – MB

    Bubar DUN : Sultan Selangor belum beri perkenan – MB

    SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah belum memberi sebarang perkenan berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

    Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Selangor Mega Job Fair 2023 di Shah Alam hari ini, lampor Sinar Harian.

    Amirudin berkata, tarikh pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor hanya akan diumumkan selepas mendapat perkenan baginda.

    “Mengenai pembubaran DUN ini sekali lagi ia adalah perkenan Tuanku jadi saya tidak hendak mendahului Tuanku atau pun mengumumkan sesuatu yang tidak mendapat perkenan lagi,” katanya.

    Pada Khamis lalu, media melaporkan Amirudin menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.

    Amirudin menaiki kereta rasmi Menteri Besar jenis Toyota Camry dengan diiringi pasukan pengiring Polis Diraja Malaysia tiba di istana berkenaan kira-kira jam 5 petang.

    Teka-teki tarikh pembubaran DUN Selangor juga bakal terjawab apabila pertemuan itu dipercayai bagi menyembah maklum tarikh pembubaran DUN bagi mendapat perkenan baginda.

    Sementara itu, mengenai pengagihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional dalam menghadapi PRN pula, Amirudin memaklumkan perbincangan di peringkat negeri selesai walaupun terdapat kerusi belum dapat dimuktamadkan.

    “Sekarang ini perbincangan saya rasa telah tamat dan kita hanya ada dalam satu, dua kerusi sahaja yang perlu kita muktamadkan dan itu kita serah kepada Pusat untuk menetapkannya.

    “Kita serah kepada Presiden (Presiden PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim) atau kepada kepimpinan parti di peringkat atasan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutup program berkenaan.

    Lebih 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi program Selangor Mega Job Fair 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Sabtu dan Ahad.

  • Tajuddin beri tempoh seminggu Khairul Azwan minta maaf

    Tajuddin beri tempoh seminggu Khairul Azwan minta maaf

    BEKAS Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menuntut kepada Khairul Azwan Harun untuk mengemukakan permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari.

    Tajuddin berkata, tuntutan itu dibuat setelah Khairul Azwan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak mendakwa beliau telah mensabotaj kempen bahagian itu pada Pilihan Raya Umum ke-15, tahun lalu.

    “Saya telah melantik peguam untuk menulis surat kepada Azwan Bro (Khairul Azwan) dan kita beri tempoh seminggu buat kenyataan maaf secara terbuka. Dalam tempoh itu tidak tarik kenyataan dan minta maaf, saya akan mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang iaitu saman beliau,” katanya lapor Sinar Harian.

    Tajuddin berkata, aduan juga akan diajukan kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk diambil tindakan lanjut.

    “Selain tindakan undang-undang, tindakan dalaman parti iaitu aduan kepada Lembaga Disiplin akan dilakukan sekiranya beliau tidak membuat permohonan maaf itu. Perbuatan fitnah ini merupakan satu kesalahan besar dan tidak boleh kita terima. Pihak Lembaga Disiplin mesti mengambil tindakan terhadapnya dan kita sedia kemukakan bukti,” katanya.

    Tegas Tajuddin, beliau tidak melakukan perbuatan seperti yang didakwa itu malah berusaha membantu parti sepanjang tempoh berkempen bagi memenangkan calon BN.

    “Ramai menyaksikan apa yang saya lakukan sepanjang 14 hari dengan pergi ke pelosok kampung dan Pusat Daerah Mengundi (PDM). Saya telah membelanjakan lebih RM1 juta bagi melancarkan jentera pilihan raya ketika itu. Apabila kalah, dia salahkan saya cakap tidak sokong. Ini satu fitnah,” katanya.

    Berhubung rayuan penggantungan keahlian UMNO, Tajuddin berkata, pelbagai ikhtiar dilakukan termasuk isterinya, Datin Seri Rohkiah Abd Samat bertemu dengan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    “Saya sudah buat rayuan bertulis tiga kali, tidak bertulis banyak kali, sudah bersalam cium tangan, penyokong saya telah bertemu (Presiden) malah, Wanita UMNO juga membuat usul. Saya menjalankan kerja dengan baik sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO. Saya sudah 50 tahun dalam UMNO takkan hendak tinggalkan UMNO. Banyak jasa UMNO kepada saya,” katanya.

    Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan kenyataan Khairul Azwan yang mahu MKT UMNO untuk tidak menerima rayuan penggantungan keahlian Tajuddin kerana mendakwa bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu berterusan memburukkan kepimpinan parti.

    Dalam kenyataan itu juga, Khairul Azwan turut mahu memastikan rayuan Tajuddin tidak diterima oleh MKT UMNO.

    Tajuddin pada 9 Jun lalu mendedahkan sudah menghantar tiga kali surat rayuan terhadap penggantungan keahliannya namun dipandang sepi.

    Bagaimanapun dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023, Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu sentiasa terbuka menerima kembali ahlinya yang dipecat mahupun digantung.

  • Daripada beli rim motor, lebih baik simpan di Tabung Haji – Wazi

    Daripada beli rim motor, lebih baik simpan di Tabung Haji – Wazi

    PESANAN  buat anak muda yang banyak berhabis duit untuk motosikal mereka, ubahlah tabiat itu dan mulalah menyimpan wang di Tabung Haji (TH).

    Legenda lumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid,52, berkata, dengan simpanan bermula RM1,300, anak muda sudah boleh mendaftar untuk menunaikan haji.

    “Daripada beli rim motor RM2,000 hingga RM3,000 lebih baik simpan di TH. Daftar haji pun RM1,300 sama macam harga helmet…daftar dulu simpan sikit-sikit, Insya-Allah cukup nanti dapat panggilan haji,”katanya kepada media Malaysia , lapor wartawan SINAR HARIAN di Mekah.

    Wazi yang hadir sebagai jemaah haji pada tahun ini berkata, beliau cemburu apabila melihat jemaah haji muda dari negara lain yang sudah menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

    “Saya tertanya-tanya kenapa anak-anak muda ini boleh tinggalkan keseronokan dan utamakan dulu untuk datang ke sini tunai haji,”katanya.

    Oleh itu beliau mencadangkan supaya TH memperbanyakkan program yang dapat mendekatkan diri anak muda dengan institusi itu.

    “Orang muda nampak imej TH ini macam untuk orang tua, jadi mungkin boleh meremajakannya melalui pelbagai program yang menarik minat orang muda,”katanya.

    Beliau yang kini aktif dalam kempen keselamatan jalan raya berkata, anak muda ketika ini memerlukan bimbingan dan panduan supaya mereka dapat menjadi individu yang mempunyai hala tuju jelas.

    “Anak muda dalam proses untuk matang mereka akan tercari-cari tempat yang betul, jadi kita kena bagi mereka ruang dan bawa mereka ke laluan yang tepat.

    “Saya dulu setahun saja bergelumang dengan geng motor yang tiada arah kemudian Alhamdulilah pada umur 19 tahun dah boleh masuk cub prix dan menjadi pelumba profesional,” katanya.

    Mengulas mengenai kehadirannya ke Tanah Suci ini, Wazi berkata beliau menjadi pengiring kepada ayah mertuanya dan bertanggungjawab menguruskan kebajikan warga emas berusia 80 tahun itu.

    “Walaupun agak sibuk dengan kalendar perlumbaan Wazimotor, saya tetap datang ke sini kerana undangan untuk menjadi tetamu Allah tidak wajar ditolak.

    “Hadir bantu ayah mertua untuk beribadah dan pada masa sama dapat tunai haji adalah nikmat berganda bagi saya,”katanya.

    Muhammad Haqim (kiri) berbincang dengan petugas Tabung Haji.

    Sementara itu, seorang pemuda berusia 18 tahun yang tiba di Tanah Suci untuk menunaikan haji tidak berasa bimbang datang secara solo tanpa diiringi ibu bapa.

    Muhammad Haqim Mohd Farid (GAMBAR), anak tunggal dari Seremban, Negeri Sembilan tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri di sini kerana mudah mesra dengan petugas haji dan jemaah lain.

    “Saya suka tolong jemaah lain, saya pernah bawa jemaah yang tersasar naik teksi pulang ke penginapan mereka,” katanya yang turut menjadi Sahabat Maktab Hujjaj.

    Katanya, hadir pada usia muda ke Mekah dan Madinah lebih menyeronokkan kerana urusan ibadah lebih mudah serta dapat membantu jemaah lain yang memerlukan.

    Nasihatnya kepada rakan sebaya yang lain, pasang niat untuk tunai haji dan Insya-Allah akan dipermudahkan laluan ke Tanah Suci.

  • Noh Omar tak bertanding PRN

    Noh Omar tak bertanding PRN

    BEKS pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Noh Omar tidak akan bertanding pada PRN bagi memberi peluang kepada pemimpin lebih muda menjadi wakil rakyat.

    Namun, bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu akan menjelajah ke seluruh Selangor bagi memastikan BN dan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada PRN nanti.

    “Saya tidak bertanding dalam PRN nanti, rasa cukuplah setakat ini dan mahu beri peluang kepada muka baharu kerana di Selangor sendiri ramai tokoh muda berwibawa boleh diketengahkan.

    “Namun, saya akan turun padang berkempen kerana mahu meneruskan perjuangan saya untuk menewaskan PH di Selangor selepas BN kalah dalam PRU 2008 lalu,” katanya menurut Sinar Harian.

    Beliau ditemui selepas majlis pelancaran jentera Perikatan Nasional (PN) dan kempen Selangor Baharu di Pusat Konvensyen Bangi, malam tadi.

    Beliau percaya PN mempunyai peluang cerah merampas Selangor, jika hanya berlaku pertembungan dua penjuru antara PH-BN dan PN.

    “Sebab itulah semasa menjadi pengerusi Umno (Selangor) dulu, saya beritahu pucuk pimpinan supaya memastikan tidak berlaku pertembungan tiga penjuru di Selangor, iaitu antara BN, PH dan PAS kerana ia akan merugikan parti.

    “Saya sudah cakap kita kena cari jalan supaya jangan bertembung tiga penjuru dan sekarang ramalan saya terbukti apabila PH menang, manakala PAS dan BN akan kalah di Selangor seperti berlaku pada PRU14 lalu.”

    Beliau juga menjangkakan BN menang sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen di Selangor, jika tidak berlaku pertembungan tiga penjuru pada PRU15.

    “Pada awalnya saya menjangkakan Tengku Zafrul Aziz (bekas menteri kewangan) pun boleh menang di Kuala Selangor, jika tidak berlaku pertembungan tiga penjuru yang akhirnya memihak kepada PH.

    “Sebab itulah saya katakan sekarang (matlamat) PN adalah untuk mengalahkan PH di Selangor, dengan syarat tidak berlaku pertembungan tiga penjuru pada PRN nanti,” katanya.

  • Pegawai polis ditahan selepas hina lans koperal

    Pegawai polis ditahan selepas hina lans koperal

    POLIS  mengesahkan telah menahan seorang anggota polis wanita yang tular sebelum ini mengeluarkan kata-kata kurang sopan serta menghina anggota bawahan pasukan itu.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar berkata, penjawat awam itu telah ditahan pada jam 1.20 tengah hari hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

    “Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak telah membuat tangkapan terhadap seorang perempuan warga tempatan yang berumur 35 tahun.

    “Polis juga turut merampas telefon bimbit untuk membantu siasatan berkait Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil,” katanya kenyataan lapor Astro Awani.

    Hussein berkata, suspek akan diberi jaminan sebaik sahaja kertas siasatan lengkap berikutan ada beberapa lagi laporan yang dibuat terhadap suspek sama.

    Dalam rakaman yang tutar sebelum ini suspek dipercayai seorang pegawai polis telah meninggikan suara dengan mengatakan anggota polis berkenaan tidak layak menegurnya selain merendahkan jawatannya sebagai lans koperal.

    Sementara itu tular satu lagi rakaman video didakwa membabitkan pegawai polis yang sama, dalam kejadian pertengkaran berbeza di lokasi lain.

  • Wanita dipercayai hina Agong di media sosial ditahan polis

    Wanita dipercayai hina Agong di media sosial ditahan polis

    POLIS Pulau Pinang menahan seorang wanita berusia 32 tahun kerana dipercayai memuat naik kandungan yang berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di media sosial.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, wanita itu ditahan Selasa lalu selepas dipercayai memuat naik kandungan di media sosial berhubung penganugerahan pingat kepada veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang dan mengaitkan figura tersebut sebagai pencetus rusuhan 13 Mei 1969.

    Menurut beliau, polis menerima laporan daripada orang awam pada 7 Jun lalu mengenai beberapa kandungan di media sosial yang berupaya menjejaskan ketenteraman awam.

    ”Susulan itu, pada 13 Jun pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah menahan seorang wanita berusia 32 tahun di pekarangan ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) kerana dipercayai memuat naik kandungan di media sosial yang berbaur penghinaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, bahan bukti berupa komputer riba, telefon bimbit dan kad sim telah diambil daripada suspek bagi membantu siasatan.

    Tambah beliau, suspek telah diberikan jaminan polis pada hari yang sama kerana mengadu sedang mengandung enam bulan.

    “Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan kes disiasat oleh USJT Bukit Aman,” katanya.

  • Kedah terima pelaburan RM5 bilion

    Kedah terima pelaburan RM5 bilion

    Oleh BADLISHAH MAT

    KEDAH menerima pelaburan komited berjumlah RM5 bilion setakat suku pertama tahun ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
     
    Menurut beliau, Kedah turut mencapai prestasi ekonomi memberangsangkan apabila merekod pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 3.2 peratus pada 2021 dan pertumbuhan yang mengukuh bagi tahun lalu.
     
    Katanya, pencapaian itu seiring dengan KDNK nasional yang telah mencatatkan lonjakan pertumbuhan sebanyak 8.7 peratus.

    “Ini merupakan manifestasi daripada usaha berterusan kerajaan Tuanku melaksanakan pelbagai strategi dan inisiatif yang didasari Pelan Pembangunan Kedah 2035.
     
    “Kejayaan yang dicapai ini diterjemahkan, antara lainnya melalui keyakinan komuniti industri untuk terus melabur di negeri ini yang mencatat jumlah pelaburan melebihi sasaran RM10 bilion setahun untuk dua tahun berturut-turut,” katanya.
     
    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-81 di Balairung Seri, Istana Anak Bukit hari ini.


    Tambah Muhammad Sanusi, hasil pelaburan puluhan bilion ringgit itu bakal menjana 19,568 peluang pekerjaan kepada rakyat dan menjanjikan peningkatan hasil tambahan kepada kerajaan negeri.
     
    “Momentum pelaburan yang berkembang pesat ini akan diteruskan melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti Pembangunan Delapan SBEZ, Kedah Rubber City, Pembangunan Kedah Aerotropolis, Kedah Science & Technology Park dan Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa Pulau Bunting di Yan,” katanya. 
     
    Kata beliau , kerajaan negeri juga berusaha mempelbagai sumber hasil negeri dengan meneroka sumber alam Kedah yang kaya dengan khazanah bahan mineral untuk memastikan negeri itu mempunyai pendapatan stabil.
     
    “Penemuan bahan mineral baharu iaitu unsur nadir bumi (REE) di negeri ini yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit, dijangka dapat meningkatkan hasil pendapatan negeri melalui bayaran royalti

    “Di sebalik usaha eksplorasi sumber kekayaan baharu ini, pemuliharaan khazanah alam semulajadi tetap menjadi agenda utama bagi memastikan kelestarian alam sekitar kekal terpelihara,” katanya.