Author: Wartawan WartaRakyat

  • Lelaki Bangladesh didakwa beri rasuah RM1,000

    Lelaki Bangladesh didakwa beri rasuah RM1,000

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG buruh binaan warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan memberi rasuah kepada pegawai penguatkuasa di sebuah premis perniagaan di Nusa Jaya, Iskandar Puteri pada 15 Februari lalu.

    Bagaimanapun, Shahin Alam, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Kamal Ariffin Ismail.

    Berdasarkan pertuduhan, Shahin didakwa cuba memberikan rasuah kepada Pembantu Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) agar tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas premis perniagaan berkenaan kerana telah melanggar syarat-syarat lesen perniagaan.

    Shahin didakwa cuba memberikan rasuah berjumlah RM1,000 sebagai dorongan agar tidak dikenakan tindakan penguatkuasaan.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

    Jika sabit kesalahan, Shahin boleh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

    Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin mencadangkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh dalam cagaran wang tunai dengan dua penjamin warganegara Malaysia dan tertuduh perlu melapor diri hadir ke Pejabat SPRM, Johor Bahru sekali sebulan.

    Peguam, R. Jegathisvaran memaklumkan bahawa tertuduh bersetuju untuk mendapatkan dua penjamin warganegara Malaysia serta bersetuju untuk melapor diri di Pejabat SPRM Johor Bahru, sekali sebulan.

    Bagaimanapun, tertuduh memohon agar wang jaminan dikurangkan kepada RM10,000 kerana hanya memiliki gaji RM1,500 sebulan dan sejumlah RM1,000 akan dihantar ke Bangladesh bagi tujuan menyara kehidupan isteri dan seorang anaknya.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan wang jaminan RM10,000 dalam cagaran wang tunai dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dan tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor Bahru sekali dalam sebulan mengikut mana-mana hari yang dipilih.

    Mahkamah juga menetapkan tarikh 20 Julai 2023 sebagai tarikh sebutan semula kes dengan melantik seorang jurubahasa Bangladesh dan tarikh serahan kesemua dokumen.

  • 44 motor disita, 128 saman dikeluarkan dalam Op Samseng Jalanan

    44 motor disita, 128 saman dikeluarkan dalam Op Samseng Jalanan

    SEBANYAK 44 buah motosikal disita manakala 128 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan oleh polis Pulau Pinang dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan berhampiran kawasan gedung perabot terkemuka, IKEA di Batu Kawan, kira-kira pukul 6 petang kelmarin.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Deputi Superintenden Mohd. Norazmi Abd. Ghapar berkata, tindakan itu diambil di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Terdahulu, katanya, operasi itu dijalankan hasil risikan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS dengan kerjasama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.

    “Mereka ditahan kerana mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam.

    “Ketika ini, kesemua penunggang yang berusia antara 17 hingga 26 tahun dibawa ke IPD SPS untuk tujuan dokumentasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Mohd. Norazmi menasihatkan semua penunggang motosikal supaya tidak berkumpul sehingga boleh menyebabkan berlakunya gangguan terhadap keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

    “Polis juga menasihatkan semua pemilik motosikal supaya tidak membuat sebarang pengubahsuaian terhadap motosikal masing-masing tanpa kebenaran,” katanya.

  • Siasatan ahli perniagaan diugut ‘mafia korporat’ di peringkat akhir

    Siasatan ahli perniagaan diugut ‘mafia korporat’ di peringkat akhir

    KERTAS siasatan berkaitan kes seorang lelaki bergelar Datuk Seri disyaki melakukan ugutan jenayah terhadap ahli perniagaan di sebuah restoran di Jalan Dutamas, Kuala Lumpur akan diserahkan Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

    “Siasatan sudah di peringkat akhir dan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sementara itu, sumber berkata, difahamkan dua kejadian berasingan berlaku pada 6 Jun dan 14 Jun lalu.

    Katanya, kejadian berlaku ketika ahli perniagaan berusia 63 tahun mengadakan pertemuan bersama suspek berusia 54 tahun dan seorang lagi rakan.

    Menurutnya, suspek dipercayai tidak puas hati apabila mangsa tidak menunaikan permintaan supaya melantiknya dan seorang lagi rakan sebagai pengarah ayarikat.

    Menurutnya, suspek yang digelar ‘mafia korporat’ itu didakwa menunjukkan sepucuk pistol yang diselit pada seluar sambil mengugut mahu menembak mangsa.

    “Dalam pertemuan kedua pula, suspek sekali lagi mengugut dan menampar mangsa menyebabkan berlaku pertengkaran kecil sebelum dileraikan oleh seorang rakan mereka,” katanya.

    Berikutan kejadian itu, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

  • Tiada unsur jenayah ditemukan pada kes Nazlan-Anwar

    Tiada unsur jenayah ditemukan pada kes Nazlan-Anwar

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyiapkan siasatan mereka terhadap hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berdasarkan siasatan itu SPRM tidak menemukan sebarang bukti berlaku kesalahan jenayah.

    “SPRM telah menyiasat secara menyeluruh perkara itu dan mendapati tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan.

    “Perkara ini telah diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC),” kata Anwar kepada Dewan Negara pagi ini, lapor Malaysiakini.

    Mohd. Nazlan merupakan hakim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar perbicaraan membabitkan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang berdepan pertuduhan jenayah membabitkan syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).

    Beliau yang kini berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan didakwa terbabit dalam konflik kepentingan semasa mendengar perbicaraan tersebut dan melanggar kod etika.

    Pada 28 Julai 2020 Mohd. Nazlan mensabitkan Najib atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

    Ini melibatkan dana SRC bernilai RM42 juta.

    Beliau kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

  • Wan Junaidi dilantik Yang Dipertua Dewan Negara, Nur Jazlan timbalan

    Wan Junaidi dilantik Yang Dipertua Dewan Negara, Nur Jazlan timbalan

    BEKAS menteri undang-undang, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Negara bagi menggantikan Tan Sri Rais Yatim bermula hari ini.

    Namanya dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Pelantikan itu kemudiannya diluluskan oleh Dewan Negara tanpa perbahasan kerana dia adalah satu-satunya calon yang dinamakan.

    Terdahulu, Wan Junaidi, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara.

    Ketiga-tiga mereka mengangkat sumpah sebagai senator di hadapan pengerusi sementara Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan pada majlis yang berlangsung di Dewan Negara.

    Wan Junaidi dan Nur Jazlan adalah lantikan Yang di-Pertuan Agong manakala Mujahid pula merupakan pilihan Dewan Undangan Negeri Perak pada 25 Mei lalu.

    Sementara itu, bekas ahli parlimen Pulai, Nur Jazlan dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara selepas pengundian dijalankan.

    Pembangkang juga telah mencalonkan wakil mereka, Datuk Razali Idris, untuk jawatan itu.

    Namun, mereka tidak berjaya apabila Razali hanya mendapat 11 undi, berbanding Nur Jazlan yang memperolehi 43 undi, manakala lapan lagi senator tidak hadir.

    Dalam ucapan sulungnya, Wan Junaidi berkata, walaupun sudah bersara daripada politik, beliau memutuskan untuk menerima jawatan ini kerana mahu terus berkhidmat kepada negara.

    Beliau menggariskan tiga reformasi utama Parlimen yang diharapkan dapat dicapai sepanjang tempoh perkhidmatannya iaitu menggubal Akta Perkhidmatan Parlimen dan meminda Akta Dewan Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) serta Peraturan Mesyuarat Dewan.

    Pembaharuan terakhir yang beliau harap dapat dilaksanakan adalah sesuatu yang pernah dikatakannya dan telah diusahakannya sejak 2011, iaitu memperkenalkan garis panduan etika untuk ahli parlimen.

    “Bagi saya, tugas dan tanggungjawab ahli parlimen bukanlah untuk bergaduh di Dewan dan bukan untuk mempermainkan politik.

    “Tugas dan tanggungjawab mereka… adalah untuk menggubal dan meluluskan belanjawan untuk memartabatkan kerajaan dan di samping memberikan perkhidmatan kepada rakyat dalam konteks politik Malaysia,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

  • Wanita warga emas maut dipukul selepas tegur anaknya buat bising

    Wanita warga emas maut dipukul selepas tegur anaknya buat bising

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG warga emas maut dipukul menggunakan pisau dan kapak selepas menegur anaknya yang membuat bising di rumah mereka di Taman Temiang, Muar, malam tadi.

    Kejadian tersebut dimaklumkan kepada polis pukul 8.20 malam bahawa terdapat pergaduhan melibatkan senjata tajam antara dua beranak itu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Muhkhliz Azman Aziz, siasatan awal pihak polis mendapati mangsa iaitu wanita warganegara tempatan berumur 73 tahun terbunuh di tempat kejadian.

    “Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta leher.

    “Kejadian berlaku dipercayai akibat tindakan mangsa menegur suspek kerana membuat bising, menyebabkan suspek mengamuk dan memukul kepala mangsa menggunakan senjata tajam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar untuk dibedah siasat.

    Beliau berkata, polis menangkap anak mangsa, 47, di tempat kejadian dan merampas sebilah pisau dapur serta kapak disyaki senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut.

    Siasatan awal katanya, pihak polis dapati suspek mempunyai rekod psikiatrik lampau.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan membawa hukuman mati.

    “Polis Daerah Muar menasihati orang ramai, kepekaan dan pemantauan rapi perlu diberikan terhadap individu-individu yang mengalami masalah psikiatri seumpama ini supaya tidak mendatangkan bahaya nyawa dan harta kepada individu lain, ahli keluarga serta keselamatan awam umumnya,” katanya.

  • Pastikan menang dulu, baru bincang siapa KM Pulau Pinang

    Pastikan menang dulu, baru bincang siapa KM Pulau Pinang

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SOAL siapa yang bakal menjadi nakhoda di Pulau Pinang sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang di negeri itu tidak seharusnya ditimbulkan sekarang ketika semua pihak seharusnya memberi fokus kepada usaha untuk menawan negeri itu terlebih dulu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, beliau sudah mengingatkan ahli-ahli parti itu agar mengambil pengajaran daripada peristiwa pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008 yang menyaksikan Gerakan kehilangan negeri tersebut.

    Menurutnya, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada perkara itu namun salah satu sebab utamanya adalah perebutan jawatan Ketua Menteri dalam kalangan ahli parti itu sendiri.

    “Sebab itu dalam Konvensyen PN di Pulau Pinang saya dah nyatakan yang kita tak perlu bincang lagi siapa akan jadi Ketua Menteri. Pastikan menang dulu, kemudian baru kita bincang.

    “Jangan bangkitkan isu orang Melayu jadi Ketua Menteri, Cina, atau India. Semua itu tak penting lagi sekarang.

    “Saya tak mahu kegagalan yang dihadapi pada 2008 berulang sekali lagi. Sebab itu saya dah beri arahan agar jangan bincangkan perkara itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Kedah di Alor Setar, malam tadi.

    Gerakan dilaporkan akan bertanding sekurang-kurangnya 15 kerusi DUN di Pulau Pinang dengan Dominic juga sudah mengesahkan akan tampil selaku calon di salah sebuah DUN dalam negeri itu. 

    Terdahulu ketika merasmikan persidangan tersebut, Dominic mendakwa Pakatan Harapan (PH) kian aktif menggunakan taktik kotor bagi menyerang Gerakan termasuk dirinya menjelang ketibaan PRN tidak lama lagi.

    “Untuk mendapatkan sokongan kaum bukan Melayu dan bukan Muslim, mereka kata jika PN tadbir negeri tak boleh lagi makan babi, minum arak dan kena pakai songkok. Malah apabila saya pergi ke Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri dengan memakai baju Melayu dan songkok, mereka kata kononnya Presiden Gerakan dah masuk Islam dan bersama Pas.

    “Tetapi saya juga ingin ingatkan, apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang hadir ke Sambutan Tahun Baharu Cina, mereka juga mengenakan pakaian kaum Cina dikenali sebagai ‘tang zhuang. Bukan itu saja, kedua-dua pemimpin iu turut memberikan angpau kepada anak yatim selain sama-sama menggaul Yee Sang dan membuat kaligrafi Cina,” katanya.

    Justeru katanya, apa yang berlaku bukanlah gelombang hijau semata-mata sebaliknya gelombang rakyat yang akan menggunakan PRN kali ini sebagai referendum bagi menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN).

    “Statistik kita pada masa ini, sokongan orang Melayu kepada PN adalah sebanyak 85 peratus. Sokongan itu saya lihat bukan saja akan kekal malah bakal bertambah pada masa depan kerana apabila saya bersama Muhyiddin di Pulau Pinang, semua kaum tak kira Melayu, Cina dan India mahu bergambar bersama termasuk di Lapangan Terbang.  

    “Dengan sokongan sebegitu, kita yakin akan menang kesemua 36 kerusi ditandingi PN di Kedah termasuk yang diwakili Gerakan. Saya percaya dan yakin, kita akan menang kali ini termasuk dengan sokongan sepenuhnya daripada ahli-ahli Gerakan,” katanya.

  • Bekas pemain bola kebangsaan didakwa cederakan kekasih

    Bekas pemain bola kebangsaan didakwa cederakan kekasih

    SEORANG bekas pemain bola sepak kebangsaan tiba di Mahkamah Majistret di Petaling Jaya pada pukul 8.15 pagi tadi, bagi menghadapi pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada teman wanitanya di sebuah hotel, baru-baru ini.

    Dia yang memakai baju T berkolar biru dengan berseluar jean, kini aktif beraksi bersama sebuah pasukan terkemuka, telah ditahan di sebuah hotel di Petaling Jaya bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.

    Menerusi laporan media sebelum ini, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, berlaku perselisihan faham antara mangsa dan teman lelakinya.

    Ini disusuli dengan kejadian menyebabkan kecederaan di bahagian badan mangsa, selain suspek didapati merosakkan telefon bimbitnya.

    Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 323 / 427 Kanun Keseksaan, lapor Sinar Harian.

  • Boleh menang lebih 20 kerusi di Pulau Pinang bukan angan-angan PN

    Boleh menang lebih 20 kerusi di Pulau Pinang bukan angan-angan PN

    MUNGKIN ramai dalam kalangan pemerhati politik beranggapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memasang angan-angan terlalu tinggi apabila membayangkan gabungan parti politik itu mampu menang sehingga 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Jumlah itu adalah separuh daripada keseluruhan 40 kerusi DUN di Pulau Pinang dan kemenangan hanya satu kerusi DUN lagi membolehkan PN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah (21 kerusi DUN).

    Sangat mudah untuk memahami mengapa ramai dengan mudah merumuskan Pulau Pinang tidak mungkin akan terlepas daripada DAP selepas parti itu berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan merampas pentadbiran kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

    Dengan sentimen sokongan berasaskan kaum khususnya dalam kalangan pengundi Cina yang masih menebal, situasi itu memberi kelebihan kepada DAP di Pulau Pinang yang mana majoriti pengundinya merupakan masyarakat Cina.

    Demografi persempadanan kawasan pilihan raya juga menguntungkan DAP apabila sebanyak 19 kawasan DUN di Pulau Pinang merupakan majoriti pengundi Cina.

    Bermula pada PRU 2008, calon-calon DAP memenangi kesemua 19 kerusi DUN itu dengan rekod majoriti undi paling tinggi dalam sejarah PRU negara.

    Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pastinya tidak membuat andaian semberono berkenaan peluang PN di Pulau Pinang, melainkan berdasarkan realiti politik semasa terutama selepas PRU-15.

    Petanda paling jelas adalah gelombang PN pada PRU-15 yang turut merempuh Pakatan Harapan (PH) dan BN di Pulau Pinang yang mana kerusi Parlimen yang sebelum ini diketahui kubu kuat kedua-dua parti itu antaranya Permatang Pauh dan Kepala Batas berjaya ditumbangkan.

    Sehingga kini, dalam tempoh yang singkat menjelang PRN Pulau Pinang, gelombang PN pada PRU-15 itu bukan sahaja tidak menunjukkan tanda-tanda akan padam, sebaliknya membara semakin kuat dalam kalangan rakyat.

    Jika keputusan PRU-15 dijadikan ukuran yang mana gelombang PN itu mencipta kejayaan bersih di kerusi-kerusi DUN majoriti Melayu, maka PN Pulau Pinang sudah boleh menjangkakan kemenangan selesa di 15 kerusi DUN melayu di negeri itu.

    Cabaran sebenar ketika ini adalah bagaimana untuk PN mengambil peluang di kerusi pengundi bercampur dengan peratusan kaum seimbang di Pulau Pinang yang berbaki kira-kira enam kerusi DUN lagi. PN mungkin berpeluang mencipta kejutan sekiranya meletakkan calon yang tepat di kerusi-kerusi pengundi bercampur ini khususnya dalam kalangan anak tempatan yang dilihat lebih dekat dengan pengundi setempat.

    Selain itu, PN juga perlu mengambil peluang untuk membuka mata pengundi setempat berhubung kepincangan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah DAP sejak parti tersebut mengambil alih pentadbiran pada 2008.

    Antaranya mengenai isu banjir, kesesakan jalan raya, ketiadaan projek rumah mampu milik, projek-projek pembangunan yang merosakkan alam sekitar seperti tambak laut dan banyak lagi.

    Pergeseran dalam kalangan penyokong dan pemimpin DAP Pulau Pinang juga boleh dijadikan modal politik kepada PN untuk membuka mata pengundi negeri itu khususnya dalam kalangan masyarakat Cina.

    Sehingga kini, pemimpin DAP masih gagal menguruskan dengan baik rasa marah dan tidak puas hati penyokong mereka berhubung keputusan mengadakan kerjasama politik dengan BN untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

    Ramai penyokong DAP masih belum dapat menerima kerjasama politik antara kedua-dua parti itu memandangkan kedua-dua pemimpin parti tersebut sebelum ini saling mendedahkan keburukan dan salah guna kuasa antara pemimpin mereka di pentas politik.

    Kesemua faktor ini, ditambah dengan situasi pentadbiran negara di Putrajaya yang disifatkan Muhyiddin seolah-olah tidak berfungsi di bawah Kerajaan Perpaduan, boleh menjadi kelebihan kepada PN untuk membuat kejutan pada PRN Pulau Pinang.

  • Acryl Sani berundur sebagai ketua polis negara Julai ini

    Acryl Sani berundur sebagai ketua polis negara Julai ini

    TAN Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan bakal mengundurkan diri sebagai ketua polis negara tiga bulan lebih awal selepas menerima tawaran pekerjaan di luar pasukan itu.

    Menurut laporan BH Online, Acryl Sani mengesahkan bahawa beliau akan bersara dari pasukan polis pada minggu pertama Julai ini.

    “Keputusan ini dibuat disebabkan ada tawaran di luar sana (luar pasukan PDRM) yang perlu saya terima pada masa ini,” katanya.

    Acryl Sani dilantik ketua polis negara pada Mei, tiga tahun lalu, menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador. Pelantikan beliau diumumkan menteri dalam negeri ketika itu Hamzah Zainudin.

    Beliau sepatutnya bersara wajib apabila mencecah usia 60 tahun, tetapi ditawarkan kontrak dua tahun bermula 4 Okt 2021 hingga 3 Oktober tahun ini.

    Acryl Sani pernah mengetuai beberapa jabatan di Bukit Aman termasuk siasatan jenayah komersial, sumber strategik dan teknologi, pencegahan jenayah dan keselamatan komuniti sebelum dilantik sebagai timbalan ketua polis negara pada Ogos 2020.