Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bersatu Kelantan letak calon boleh menang lawan BN pada PRN

    Bersatu Kelantan letak calon boleh menang lawan BN pada PRN

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan mempertaruhkan calon boleh menang dalam usaha merampas kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

    Pengerusinya, Datuk Kamaruddin Md. Nor berkata, usaha itu bagi mengukuhkan lagi tampuk pentadbiran kerajaan Pas Kelantan yang merupakan rakan sekutu mereka menerusi Perikatan Nasional (PN).

    “Calon yang kita pertaruhkan ini datang daripada pelbagai latar belakang merangkumi akademik, profesional dan sebagainya bagi memastikan kemenangan menjadi milik Bersatu dan PN,” katanya semasa sidang akhbar di Kota Bharu hari ini.

    Katanya, Bersatu Kelantan sudah menyerahkan senarai nama calon kepada Pusat untuk dinilai sama ada layak atau sebaliknya.

    Senarai itu katanya, akan diputuskan dalam masa terdekat termasuklah agihan kerusi secara muktamad.

    “Setakat ini Bersatu sah akan bertanding di enam kerusi sahaja, ujar beliau, memetik laporan Sinar Harian.

  • Pemandu treler tidak mengaku salah sebabkan kematian Siti Nur Alia Saffiyah, Siti Mazurah

    Pemandu treler tidak mengaku salah sebabkan kematian Siti Nur Alia Saffiyah, Siti Mazurah

    PEMANDU treler dihadapkan ke Mahkamah Khas Trafik, hari ini, atas pertuduhan memandu tanpa cermat sehingga menyebabkan kematian dua beradik di Jalan Kuantan-Segamat, Kuantan pada 13 Jun lalu.

    Tertuduh, Muhammad Noor Azwan Abd Saman, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatinah Abu Bakar, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran persimpangan lampu isyarat Felda Lepar Hilir, di Kuantan pada 11 malam, 13 Jun lalu.

    Tertuduh didakwa memandu treler tanpa cermat dan menyebabkan kematian Siti Nur Alia Saffiyah Zulkifli, 18, dan Siti Mazurah Zulkifli, 30.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87 – Pindaan 1999).

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhlin Hani Khairon manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.

    Selain itu, lesen memandu diendors oleh mahkamah, hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun dari tarikh sabitan.

    Jika sabitan kedua dan seterusnya, hilang kelayakan selama 10 tahun.

    Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM15,000 terhadap tertuduh.

    Namun, tertuduh dalam rayuannya memohon jumlah itu dikurangkan kerana pendapatannya hanya RM3,000 sebulan dan menanggung isteri, tiga anak dan ibunya.

    Majistret kemudiannya menetapkan jumlah ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan turut menggantung lesen memandu tertuduh sehingga kes selesai.

    Tarikh sebutan semula kes pada 21 Julai depan.

    Media sebelum ini melaporkan dalam kemalangan kira-kira jam 11 malam itu, Siti Mazurah dan Siti Nur Alia Saffiyah yang menaiki Proton Wira meninggal dunia di tempat kejadian.

    Siasatan awal mendapati treler tangki membawa muatan petrol dipercayai hilang kawalan menyebabkan kenderaan itu memasuki laluan bertentangan lalu melanggar Proton Wira terbabit.

  • 11kg ganja ditinggalkan penyeludup tepi pagar sempadan

    11kg ganja ditinggalkan penyeludup tepi pagar sempadan

    GERAK-geri mencurigakan seorang lelaki di kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand di Chuping, Padang Besar, membongkar penemuan 11 ketulan mampat ganja di anggar bernilai RM34,100 semalam.

    Ketulan ganja mampat dengan anggaran berat sekilogram setiap satu itu ditemukan selepas ditinggalkan lelaki terbabit, sejurus menyedari gerak-gerinya diperhatikan pihak berkuasa.

    Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu tujuh anggota termasuk seorang pegawai Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) sedang melakukan rondaan dan pemantauan di sekitar ladang getah berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di Chuping.

    “Ketika itu anggota ternampak motosikal dinaiki seorang lelaki di negara jiran sedang berhenti berhampiran pagar keselamatan Malaysia-Thailand dalam keadaan mencurigakan.

    “Menyedari gerak gerinya diperhatikan kita, suspek kemudian melarikan diri.

    “Hasil pemeriksaan di kawasan terbabit kemudian menemukan satu guni berwarna putih di mana di dalamnya terdapat satu kotak mengandungi 11 bungkusan plastik lutsinar ketulan mampat daun kering dipercayai ganja dengan anggaran 11 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohd Shokri berkata, siasatan awal mendapati bekalan ganja itu diseludup dari negara jiran menggunakan ‘laluan tikus’ di kawasan ladang di Chuping.

    “Tiada tangkapan dilakukan namun rampasan ganja berkenaan dianggarkan bernilai RM34,100,” katanya, lapor Berita Harian.

    Rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk siasatan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • UMNO di bawah pengaruh ‘pemandu mabuk ketum’, sindir Annuar

    UMNO di bawah pengaruh ‘pemandu mabuk ketum’, sindir Annuar

    TAN Sri Annuar Musa terus mengkritik kepimpinan UMNO dan menyifatkan mutakhir ini dikendalikan parti itu yang diibaratkan sebagai sebuah kenderaan kini dipandu pemimpinnya yang mabuk ketum.

    Bercakap mengenai ‘pengkhianatan’ pemimpin UMNO terhadap kerjasama dengan Pas sebelum ini, Annuar berkata, beliau tidak ada masalah apabila dipecat daripada parti itu.

    “Boleh buang ambo (saya), buang ambo takda masalah sebab pegangan ambo parti politik itu adalah (macam) kenderaan.

    “Tiap-tiap kenderaan kena ada pemandu, kenderaan ini buatan manusia, pemandu itu manusia. Pada ambo yang penting adalah stesen, kita orang Islam stesen itu penting bukan kenderaan dan pemandunya saja.

    “Adik, kakak dah lama pilih kenderaan Pas, ambo pilih kenderaan UMNO.

    “Pada ambo kesemuanya kenderaan, tetapi kenderaan Pas pergi sampai ke stesen tidak tergelincir, lurus sokmo. UMNO pula lurus juga, kemudian akhir-akhir ini boleh pemandu mabuk ketum. Kereta sama tapi pemandu jenis bengon tak sampai ke stesen,” katanya.

    Annuar berkata demikian semasa berucap dalam program Jelajah Ceramah Ppakat Pertahan Kelantan di Pasir Puteh, malam tadi.

    Bekas ahli Parlimen Ketereh dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata UMNO sepatutnya memperjuangkan dan menegakkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam, serta mengepalai penyatuan ummah bertepatan dengan namanya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu.

    Kini menjadi ahli Pas secara rasmi, Annuar turut membuat dakwaan yang didakwanya menjadi punca perpecahan kerjasama di antara UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.

    Kata Annuar, Pas tidak tidak pernah menimbulkan masalah sepanjang parti itu bekerjasama dengan UMNO dalam membentuk kerajaan sebelum ini.

    “Kalau tidak biasa kerja dengan Pas, orang kata macam-macam, Pas susah untuk kerjasama. Namun apabila duduk sekali, pemimpin parti ini sangat mudah untuk berbincang dan buat kerja.

    “Sangat jauh perbezaan dalam muafakat antara UMNO dan Pas, Pas boleh UMNO. UMNO kata nak buat perhimpunan di PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra), okay.

    “UMNO kata ini draf nak dibuat perbincangan bersama, Pas ambil baik sikit-sikit, okay. Nak buat sekreatariat dalam bangunan UMNO, okay.

    “Semasa nak tubuhkan kerajaan orang lain masing-masing tanya jawatan apa, Tok Guru Haji Hadi (Abdul Hadi Awang) awal-awal lagi bagi tahu dia tidak mahu jawatan dalam kabinet walaupun dia presiden Pas,” katanya.

    Annuar yang pernah dilantik sebagai Pengerusi UMNO Kelantan dalam usaha BN merampas negeri itu daripada Pas berkata, dalam perbincangan kerusi untuk menghadapi PRU ke-15 lalu juga tidak timbul masalah berbanding berbincang sesama UMNO sendiri.

    “Bersatu kata, UMNO ambillah kerusi paling banyak sebab UMNO parti besar dan kena runding dengan Pas sebab parti ini ada 18 kerusi (Parlimen). Pas tak minta 50, 60 kerusi pun.

    “Pas kata yang mana parti itu menang, dia akan bertanding, kalau kerusi UMNO menang, UMNO akan tanding.

    “Jika kerusi UMNO dan Pas kalah, tapi undian banyak kepada UMNO, maka UMNO yang akan tanding di lokasi itu, dan sebaliknya jika banyak undian kepada Pas, maka Pas akan bertanding di kerusi itu, manakala baki, UMNO dan Pas akan berbincang agihan kerusi.

    “Mudah untuk berbincang dengan Pas. Saya bagi tahu UMNO jika mengikut formula ini, UMNO ada peluang untuk bertanding antara 65 ke 85 kerusi, Pas antara 25 hingga 35 kerusi dan Bersatu pula antara 40 hingga 45 kerusi.

    “Daripada 140 kerusi majoriti orang Melayu dan Islam, kita yakin boleh menang semua kalau kita tidak berpecah-belah,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Akhirnya dakwa Annuar, bukan setakat perjanjian tidak dihormati UMNO, malah fitnah pula direka mengatakan Pas belot.

  • Rundingan PH-BN berdepan masalah, PKR ditempelak tuntut lebih banyak kerusi

    Rundingan PH-BN berdepan masalah, PKR ditempelak tuntut lebih banyak kerusi

    UMNO mempersoalkan usaha sekutunya Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding lebih banyak kerusi di Terengganu, dalam apa yang dilihat mencerminkan situasi rundingan kerusi antara dua bekas musuh politik itu di negeri lain.

    Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, PKR harus ‘ukur baju di badan sendiri’ apabila parti itu membuat tuntutan untuk mendapatkan lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    “Berapa cawangan PKR ada? Siapa tokoh-tokoh dia,” soal bekas Menteri Besar Terengganu itu kepada wartawan semalam.

    Memetik contoh, Ahmad berkata, PKR antara lain mahu bertanding di Jabi, di mana UMNO kalah tipis kepada Pas dengan 55 undi pada pilihan raya 2018. 

    Beliau berkata, PKR tidak boleh menganggap hanya kerana mempunyai 300 ahli di sana, ia berpeluang memenangi kerusi itu.

    “Mana boleh macam tu? Orang UMNO setuju tak? Formula tu tak betul. Nak, nak semua. Jangan glamor nak je. Tunjuk kekuatan dia, berapa cawangan dia ada, berapa ahli dia ada?” katanya, lapor MalaysiaNow.

    Sumber dalaman UMNO memberitahu MalaysiaNow kenyataan Ahmad itu hanyalah sebahagian daripada masalah yang lebih besar dihadapi oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam memuktamadkan pembahagian kerusi. 

    Kedua-dua pakatan itu bersetuju untuk tidak bertembung antara satu sama lain di enam negeri di mana PRN akan diadakan tidak lama lagi. 

    “PH memberitahu perkara yang sama kepada UMNO di Selangor. UMNO menuntut beberapa kerusi yang sudah lama menjadi kubu PH, tetapi setakat ini PH menyuruh mereka jangan berangan.” 

    Sumber itu, yang biasa dengan perbincangan kerusi UMNO dan PH, berkata UMNO tidak gembira diturunkan hanya di kerusi majoriti Melayu, di mana berkemungkinan akan dikalahkan sekali lagi oleh Perikatan Nasional (PN).

    “Ia mencari sekurang-kurangnya beberapa kerusi separa bandar dan bandar, dengan harapan PH boleh mengorbankan kerusi boleh menang mereka supaya BN boleh bersuara dalam pentadbiran negeri sekiranya PH dikekalkan,” tambah sumber itu.

    Meskipun pemimpin tertinggi PH dan BN berkata rundingan kerusi berjalan lancar, namun belum ada hasil perbincangan yang konkrit antara mereka.

    Setakat minggu lepas, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang mengetuai rundingan dengan UMNO, membisu mengenai jumlah itu.

    “Tiada komen mengenai butiran tetapi perbincangan berjalan lancar,” katanya dipetik sebagai berkata pada Khamis, selepas keluar daripada perbincangan tiga jam dengan pemimpin UMNO yang turut dihadiri Ahmad.

    Pilihan raya 2018, berkisarkan kepada skandal 1MDB yang menyebabkan BN kalah teruk di peringkat Persekutuan, menyaksikan parti PH menunjukkan prestasi terbaik mereka, dengan PKR memenangi separuh daripada 56 kerusi, diikuti DAP (14) dan Amanah (5).

    Calon UMNO pula menang di empat kerusi majoriti Melayu.

    Difahamkan, rundingan kerusi antara UMNO dan PH turut menemui jalan buntu di Kedah, negeri penting dan strategik dalam usaha mendapatkan sokongan orang Melayu.

    Satu sumber berkata, tuntutan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk mendapatkan lebih banyak kerusi mengganggu rundingan, dengan pemimpin UMNO bertegas bahawa mereka harus diberi bahagian yang besar.

    “Semua parti tuntut kerusi lebih. Itu adat perundingan. Saya beritahu kawan-kawan, jangan kita hirau orang nak tuntut lebih, sebab teknik kita pun nak tuntut lebih,” kata Pengerusi PH Kedah, Mahfuz Omar.

    Sebanyak 36 kerusi di Kedah menjadi tumpuan perbincangan antara PH dan BN.

  • ‘Tiada masalah berbincang dengan Pas’, kata Annuar

    ‘Tiada masalah berbincang dengan Pas’, kata Annuar

    PENGERUSI Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa mengakui Pas tidak pernah menimbulkan masalah sepanjang parti itu bekerjasama dengan UMNO dalam membentuk kerajaan sebelum ini.

    Beliau berkata, perkara itu dibuktikan apabila pemimpin Pas turut apa sahaja keputusan yang dibuat oleh UMNO.

    “Ketika UMNO dan Pas bekerjasama dalam Muafakat Nasional (MN), pemimpin Pas juga buat kerja.

    “Kalau tidak biasa kerja dengan Pas, orang kata macam-macam, Pas susah untuk kerjasama. Namun apabila duduk sekali, pemimpin parti ini sangat mudah untuk berbincang dan buat kerja.

    “Tok Guru Haji Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang) awal-awal lagi bagi tahu, beliau tidak mahu jawatan dalam Kabinet walaupun beliau Presiden Pas,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika berucap di Jelajah Ceramah Pakat Pertahan Parlimen Pasir Puteh di Dewan Saripudin Maahad Saniah di Pasir Puteh, malam tadi.

    Annuar berkata, pada peringkat awal kerjasama antara UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas, beliau yang terbabit untuk mengadap pemimpin Bersatu.

    “Bersatu kata, UMNO lah ambil kerusi paling banyak sebab UMNO parti besar dan kena runding dengan Pas sebab parti ini ada 18 kerusi (Parlimen). Pas tak minta 50, 60 kerusi pun.

    “Pas kata yang mana parti itu menang, dia akan bertanding, kalau kerusi UMNO menang, UMNO akan tanding.

    “Jika kerusi UMNO dan Pas kalah, tapi undian banyak kepada UMNO, maka UMNO yang akan tanding di lokasi itu dan sebaliknya jika banyak undian kepada Pas, maka Pas akan bertanding di kerusi itu, manakala baki, UMNO dan Pas akan berbincang agihan kerusi.

    “Mudah untuk berbincang dengan Pas. Saya bagi tahu UMNO jika mengikut formula ini, UMNO ada peluang untuk bertanding antara 65 ke 85 kerusi, Pas antara 25 hingga 35 kerusi dan Bersatu pula antara 40 hingga 45 kerusi,” katanya.

    Annuar berkata, jika ikut formula itu, beliau yakin boleh menang semua kerusi, namun sudah tahu kerusi kalah tetapi UMNO nak juga bertanding.

    “Daripada 140 kerusi majoriti orang Melayu dan Islam, kita yakin boleh menang semua kalau kita tidak berpecah-belah.

    Apabila sampai kepada sesetengah pemimpin UMNO, walaupun tahu kalah, nak berebut juga bertanding. Mereka tidak mahu 60, 70, 80 kerusi secara bersama tetapi nak tanding 120 kerusi,” katanya.

  • UMNO tidak serius mengenai pengampunan buat Najib, kata Zaid

    UMNO tidak serius mengenai pengampunan buat Najib, kata Zaid

    BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen), Datuk Zaid Ibrahim membidas UMNO kerana gagal meyakinkan orang ramai mengapa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak layak mendapat pengampunan.

    Zaid yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu mendakwa, UMNO tidak membuat sebarang usaha serius untuk mencadangkan pengampunan itu.

    Jelasnya, ini termasuk tiada perincian dikemukakan mengenai mengapa pengampunan itu wajar dan sesuai, serta apakah isu yang perlu diambil kira untuk pengampunan.

    “Tiada apa-apa. Mereka cuma berjanji dengan ahli mereka akan melakukan segala-galanya untuk Najib.

    “Sebab itu UMNO tidak akan berjaya dalam pilihan raya akan datang. Ahli akan tanya apakah janji yang akan UMNO berikan kali ini yang mereka akan tunaikan,” kata Zaid, yang merupakan ahli UMNO dan pernah berkhidmat sebagai peguam Najib.

    Zaid berkata, tindakan pemimpin utama UMNO adalah hanya dengan membuat petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi alasan petisyen itu tidak pernah didedahkan.

    Sebaliknya, kata Zaid, bekas presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menjelaskan sebab untuk meringankan hukuman penjara 35 tahun ke atas Chelsea Manning, yang membocorkan rahsia ketenteraan.

    “(Bekas presiden AS Gerald) Ford mengampuni (Richard) Nixon kerana dia mahukan perdamaian nasional. Dia menerima kongres adalah betul untuk mendakwa (Nixon) tetapi merasakan pengampunan perlu.

    “(Bekas presiden Afrika Selatan Nelson) Mandela dan (FW) de Klerk memberikan pengampunan kepada mereka yang melakukan jenayah semasa apartheid untuk pembinaan semula negara,” ciap Zaid di akaun Twitternya, lapor Malaysiakini.

    Zaid menyentuh soal proses pengampunan itu ketika pendedahan bahawa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada kesalahan terhadap Hakim Mahkamah Tinggi Mohd. Nazlan Mohd Ghazali, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib.

    Perkara itu didedahkan kepada Dewan Negara semalam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menjawab soalan senator Pakatan Harapan (PH), Kesavadas A. Achyuthan Nair.

    Semasa peringkat rayuan, peguam pembelaan Najib telah banyak bergantung kepada cadangan supaya Nazlan tidak mendengar kes itu kerana dia didakwa mempunyai konflik kepentingan.

    Bagaimanapun Mahkamah Persekutuan menolak hujahan berkenaan, manakala Nazlan kini adalah hakim di Mahkamah Rayuan.

  • PRN: PN dahului kerusi di Selangor, kata Azmin

    PRN: PN dahului kerusi di Selangor, kata Azmin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa parti itu sedang mendahului dalam persaingan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

    “Ini juga menjadi punca mengapa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sukar untuk mendedahkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

    “Setakat malam ini, laporan daripada pihak polis dikemukakan ke Putrajaya, PN telah mendahului dari jumlah kerusi di negeri Selangor.

    “Sebab itu itu Amirudin susah nak umum tarikh pembubaran, satu hari Itu penting untuk dia, talian hayat tapi sudah pun diumumkan, jadi kerja kuat, catatkan satu lagi kejayaan.

    “Insya-Allah, Selangor menjadi milik PN,” katanya ketika muncul dalam Ceramah Selangor Baharu Perikatan Nasional Gempur Kuala Langat, semalam.

    Azmin juga membidas kenyataan Amirudin kononnya tindakan beliau mengumumkan pembubaran DUN Selangor akan berlaku pada 19 Jun, sebagai bertentangan dengan adab.

    “Ramai tanya kenapa istana yang umum bubar… sebab yang ada di pejabat tingkat 21 itu lembap. Tak ada keyakinan. Orang lain sudah umum, dia tak umum lagi.

    “Kamu (Amirudin) tak nak umum, biar saya umum. Tetapi kemudian dia kata tak hormat adab, tak tahu proses. Saya Menteri Besar dulu, saya tahulah.

    “Saya sekadar nak letak tekanan. Kamu (Amirudin) nak lari ke mana? 25 Jun ini talian hayat habis, kamu tak boleh tangguh lagi jadi umumkanlah,” katanya lagi, lapor Astro Awani.

    Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu, Jumaat ini, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Perkara itu diumumkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani pada Istiadat Pembubaran DUN Selangor di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah.

  • Bekas Ahli Parlimen DAP, PKR persoal pelantikan eksekutif Berjaya dalam lembaga CAAM

    Bekas Ahli Parlimen DAP, PKR persoal pelantikan eksekutif Berjaya dalam lembaga CAAM

    BEKAS Ahli Parlimen DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Wee Choo Keong
    mempersoalkan pelantikan seorang eksekutif penerbangan dalam Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang didakwanya wujud konflik kepentingan.

    Wee turut mendakwa pelantikan Chester Voo dalam lembaga pengawal selia penerbangan melanggar Akta CAAM 2017.

    Voo ialah ketua pegawai eksekutif (CEO) penerbangan kumpulan bawah Berjaya Land.

    Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai CEO CAAM antara 2020 dan 2022.

    “CAAM ialah pihak berkuasa yang mengawal selia industri penerbangan, jadi bagaimana seorang CEO syarikat penerbangan boleh jadi ahli lembaganya,” soal Wee.

    Wee berkata, Seksyen 5(4)(a) Akta CAAM menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh menjadi ahli Pihak Berkuasa jika dia kini memegang jawatan atau pekerjaan dalam atau berkaitan dengan penerbangan.

    Pengecualian boleh dibuat jika individu tersebut dilantik sebagai wakil Kementerian Pengangkutan.

    Bagaimanapun kata Wee, tiada tanda-tanda menunjukkan Voo dilantik sebagai wakil kementerian.

    Justeru beliau meminta Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook menjelaskan perkara itu.

    “Jika Voo dilantik sebagai wakil kementerian, maka kerajaan perlu memastikan Berjaya Land tidak mendapat kelebihan tidak adil berbanding pesaingnya..

    “Tidak digalakkan melantik kakitangan sebuah syarikat penerbangan untuk menganggotai lembaga pengarah CAAM. Loke mesti bersedia untuk menghadapi tuduhan wujudnya konflik kepentingan dan ketidakadilan,” katanya, lapor FMT.

    Wee merupakan bekas Ahli Parlimen Bukit Bintang menwakili DAP dari tahun 1990 hingga 1995 dan Wangsa Maju mewakili PKR dari 2008 hingga 2010.

  • Wanita maut dihempap bumbung sekolah semasa ribut

    Wanita maut dihempap bumbung sekolah semasa ribut

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita maut selepas bumbung sekolah berhampiran diterbangkan angin kencang dan menghempap kediamannya dalam kejadian ribut di Kampung Tahang Rimau, Segamat, pukul 7.49 petang semalam.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Pegawai Bomba Kanan II Abd. Rahim Rahmat berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai V. Mahadevi, 55.

    “Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung bumbung runtuh di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Seg Hwa, pukul 7.41 petang.

    “Runtuhan bumbung berkeluasan 5,400 kaki persegi itu diterbangkan angin kencang dan menghempap rumah mangsa yang terletak bersebelahan sekolah berkenaan.

    “Mangsa kemudiannya berjaya dibawa keluar dengan bantuan orang awam sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) Segamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, operasi tersebut melibatkan lima anggota dibantu sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT).

    Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Segamat ketika dihubungi berkata, kejadian ribut yang melanda daerah berkenaan petang semalam turut menjejaskan struktur bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat.

    Katanya, kawasan yang paling teruk terjejas adalah di Mukim Sungai Segamat yang membabitkan 20 keluarga daripada Kampung Tahang Rimau, Kampung Jawa dan Kampung Tengah.

    Kejadian itu dikatakan menjejaskan kira-kira 15 kediaman di Mukim Gemereh dan Mukim Pogoh selain beberapa gerai peniaga.

    Sementara itu, Ketua Polis Segamat, Superitenden Ahmad Zamry Marinsah yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR).