Author: Wartawan WartaRakyat

  • Muslimat ingatkan Anwar: Kedah bukan musuh Putrajaya

    Muslimat ingatkan Anwar: Kedah bukan musuh Putrajaya

    MUSLIMAT Pas Kedah menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri gagal kerana terganggu dengan saingan politik daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor.

    Ketua penerangannya, Mardhiyyah Johari berkata demikian susulan Anwar masih tidak memberikan jawapan terhadap permohonan Sanusi untuk bersua muka bagi membincangkan isu pembangunan Kedah.

    “Tindakan Perdana Menteri kesepuluh yang lemah akal budi ini sangat bercanggah dengan salah satu nilai Madani yang diketengahkan Anwar,” katanya dalam kenyataan bertajuk Kedah bukan musuh Putrajaya hari ini.

    Sanusi hujung bulan lalu berkata, beliau masih menunggu persetujuan Anwar setelah menghantar dua pucuk surat bagi membincangkan projek pembangunan industri penerbangan Aerotropolis di Kedah.

    Aerotropolis ialah projek metropolitan subwilayah yang merangkumi kemudahan awam, guna tanah dan ekonomi berpusatkan lapangan terbang di Kuala Muda.

    Projek seluas 9,800 ekar itu melibatkan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan Hab Logistik, Aerospace, dan Pembuatan Sidam (Slam).

    Anwar yang juga menteri kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat sebelum ini berkata, Pusat tidak boleh mempertimbangkan pembinaan lapangan terbang baru di Kulim.

    Sebaliknya, kata Anwar, kerajaan bercadang menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, berbanding membangunkan hab baharu.

    Menurut Anwar, kerja naik taraf itu akan dilaksanakan pada kos jauh lebih rendah berbanding cadangan membina lapangan terbang baharu di Kulim yang dianggarkan berjumlah RM7 bilion.

    Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Mardhiyyah berkata, Anwar gagal melaksanakan fungsi Perdana Menteri serta Menteri Kewangan secara profesional.

    Katanya, apa yang berlaku juga adalah bukti bahawa Anwar tidak dapat membezakan antara seteru politik kepartian dan tanggungjawab sebagai pentadbir negara.

    “Berkali-kali Muhammad Sanusi menegaskan bahawa perbezaan pendirian politik serta isu saman antara beliau dengan Perdana Menteri adalah hal peribadi dan bersifat hubungan antara parti politik dengan parti politik yang lain,” katanya.

    Kata Mardhiyyah, amatlah rugi sekiranya projek pembangunan ini tidak dilaksanakan hanya disebabkan perbezaan pandangan politik antara pemimpin negeri dan persekutuan.

  • Jangan perkecil rakan komponen, PH Terengganu tegur UMNO

    Jangan perkecil rakan komponen, PH Terengganu tegur UMNO

    PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Raja Bahrin Shah mengingatkan UMNO negeri itu supaya tidak memperkecilkan kekuatan ‘rakan kerajaan perpaduan’ dalam usaha bersamanya memenangi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Raja Bahrin mengakui UMNO sememangnya telah lama bertapak di negeri itu berbanding gabungan PH dan Parti Amanah Negara (Amanah), namun sokongan ‘parti baharu’ itu mampu menjadi penentu kemenangan di lapan kerusi mencatat majoriti tipis pada pilihan raya lalu.

    “Contoh antara lapan kerusi itu ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil dimenangi Pas dengan majoriti empat undi manakala kemenangan Barisan Nasional (BN) di Bukit Besi hanya dibezakan dengan 46 undi.

    “Undi diperoleh PH lebih tinggi dari majoriti kemenangan UMNO atau Pas, perlu diingat peranan parti gabungan lain tidak harus diperkecilkan.

    “Parti ‘baru’ boleh membantu menjadi penentu ‘King Maker’ dalam situasi Terengganu yang lapan DUN majoriti menang begitu tipis jika penglibatan kami dihargai dan tidak direndahkan,” katanya memetik laporan FMT.

    Beliau mengulas kenyataan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mengingatkan PKR supaya ‘ukur baju di badan sendiri’ susulan permintaan parti itu bertanding di banyak kerusi pada PRN.

    Ahmad berkata, parti itu seharusnya melihat kekuatan jenteranya dan menerima hakikat pertarungan sebenar di Terengganu hanya membabitkan Pas dan UMNO.

  • Pertemuan dengan Anwar, Khairy dipanggil bagi pandangan- Rafizi

    Pertemuan dengan Anwar, Khairy dipanggil bagi pandangan- Rafizi

    PERTEMUAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pelbagai pihak sama ada kerajaan atau pembangkang, termasuk bersama Khairy Jamaluddin baru-baru ini adalah bagi mendapatkan pandangan berhubung hala tuju negara.

    Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, media dan netizen seharusnya lebih fokus kepada isu teras berbanding cerita ‘clickbait’ dengan siapa Khairy akan jumpa selepas ini.

    “Dari satu sudut, kalau kita jadi kerajaan sama ada Perdana Menteri atau saya sebagai Menteri Ekonomi, kalau saya hanya jumpa orang PKR sahaja, nanti media dan netizen kata tak nak ambil idea daripada orang-orang lain.

    “Jadi Perdana Menteri pun panggilla semua datang jumpa dia untuk bagi pandangan. Dia panggil timbul isu pula. ‘Ooo, ini jumpa KJ. KJ jumpa (Tan Sri) Muhyiddin.

    “Jadi timbul cerita Muhyiddin pula… dan timbul pula soalan anda akan duduk (dengan Khairy)? Saya fikir mari fokus pada isu struktur teras,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) di Putrajaya hari ini.

    Terdahulu, Rafizi ditanya adakah beliau akan melibatkan Khairy dalam sesi libat urus selepas bekas Menteri Kesihatan itu mengadakan pertemuan dengan Anwar dan kemudiannya bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Sementara itu laporan The Star yang memetik sumber melaporkan Khairy akan kekal tanpa menyertai mana-mana parti buat masa ini tetapi didakwa akan membantu kempen Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Menyifatkan Khairy sebagai kawannya, Rafizi berkata, beliau mungkin akan meluangkan masa bersama bekas Ahli Parlimen Rembau itu untuk minum kopi.

    “Saya rasa anda semua media dan netizen menghabiskan banyak masa untuk mencipta cerita.

    “Saya rasa anda akan membuat lebih banyak kemajuan dalam menguruskan hari-hari daripada menghabiskan banyak ‘clickbait’ dan ruang digital untuk cerita, lepas ini KJ jumpa siapa?,” ujar Rafizi lagi.

    Jumaat lalu, Khairy dengan statusnya yang masih tidak mempunyai parti politik, hadir dalam perbincangan mengenai hala tuju ekonomi negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Semalam, Khairy menyiarkan gambarnya bersama Muhyiddin di ruangan laman sosial, InstaStory, namun tidak disertakan sebarang keterangan.

  • PN akan bina pusat jagaan kanak-kanak seluruh Selangor jika menang PRN

    PN akan bina pusat jagaan kanak-kanak seluruh Selangor jika menang PRN

    PERIKATAN Nasional (PN) menyasarkan untuk membina pusat penjagaan kanak-kanak di seluruh Selangor sekiranya berjaya menawan negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Pengerusi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Pengerusi PN Selangor itu berkata, ia adalah antara manifesto gabungan itu bagi memastikan golongan ibu dapat terus bekerja dengan tenang dalam usaha meningkatkan pendapatan isi rumah.

    Bekas menteri besar Selangor itu berkata, cadangan tersebut muncul selepas mendapati 80% wanita terpaksa berhenti bekerja semata-mata ingin menjaga anak dan ibu bapa di rumah.

    “Saya akan beritahu kepada semua wanita di Selangor, jangan berhenti bekerja,” katanya pada Ceramah Selangor Baru PN Gempur Kuala Langat.

    “Biar kami jaga anak tuan-tuan dalam pusat penjagaan kanak-kanak yang akan dibina di seluruh negeri Selangor dengan tenaga profesional.”

    Selain itu, Azmin berkata, inisiatif lain yang bakal diketengahkan PN ialah menjadikan negeri ini sebagai hab pertanian dengan mengusahakan tanah terbiar menerusi pertanian pintar.

    Katanya, inisiatif itu bakal menyediakan peluang pekerjaan yang lebih berkualiti untuk anak Selangor dalam usaha memajukan lagi negeri tersebut.

    Menyentuh mengenai prestasi Selangor dari aspek pelaburan, Azmin meluahkan rasa kecewa terhadap pimpinan Datuk Seri Amirudin Shari apabila Johor mengatasi kedudukan Selangor bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

    “Tak malu kita? Selangor ini dulu paling tinggi.

    “Masa saya MB (menteri besar) dulu, kami menyumbang kepada kerajaan Pusat 24%, yang tertinggi dalam negara, kalah negeri lain.

    “Sekarang, tiga bulan pertama, Wilayah Persekutuan mencatatkan RM22 bilion, Johor di tempat kedua RM11 bilion manakala Selangor hanya RM7 bilion,” katanya.

    Mengulas lanjut, Azmin berkata, kejayaan PN mentadbir sesebuah negeri boleh dinilai menerusi prestasi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor apabila beliau pada 2021 berjaya membawa masuk pelaburan berjumlah RM68 bilion ke negeri itu.

    Tambah Azmin, kemasukan pelaburan yang lebih tinggi akan menjamin peluang pekerjaan yang lebih berkualiti kepada warga Selangor.

    “Kedah negeri pertanian selama berpuluh-puluh tahun. Tiba-tiba PN mentadbir, Sanusi jadi MB dapat RM68 bilion.

    “Kita ada potensi, keupayaan dan kemahiran. Anak Selangor harus diberikan peluang supaya semua anak-anak Cina, India dan Melayu dapat maju,” tambahnya lapor Malaysianow.

  • Kalut lari dari polis, kereta pengedar dadah menjunam ke tali air

    Kalut lari dari polis, kereta pengedar dadah menjunam ke tali air

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEKALUTAN seorang pengedar dadah melarikan diri daripada pihak berkuasa mendorongnya memandu secara berbahaya di laluan sempit hingga mengakibatkan kereta Perodua Myvinya terbabas lalu terjunam ke dalam tali air di Kampung Alor Besar dekat Pendang, Kedah, semalam.

    Menurut Ketua Polis Pendang, Deputi Superitenden Arriz Sham Hamezah, keadaan itu memaksa dua anggota polis turut terjun ke dalam tali air tersebut bagi mengeluarkan suspek berusia 30-an dari kereta dipandunya itu.

    Katanya, kejadian itu bermula kira-kira pukul 6.30 petang apabila suspek dikesan memandu kereta berkenaan dalam keadaan mencurigakan di Kampung Batu Menunggul oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang yang menjalankan tugas Ops Tapis Khas Kontinjen Kedah 2.0.

    “Melihat keadaan itu, sepasukan anggota polis menghampiri kenderaan berkenaan untuk diperiksa namun dia memecut keretanya menuju ke jalan besar arah Kobah.

    Seorang pengedar dadah melarikan diri daripada pihak berkuasa mendorongnya memandu secara berbahaya di laluan sempit hingga mengakibatkan kereta Perodua Myvinya terbabas lalu terjunam ke dalam tali air

    “Pihak polis kemudiannya mengejar kereta tersebut hingga memasuki kawasan mini tar di Kampung Alor Besar. Tiba di satu lokasi, kereta suspek terbebas secara tiba-tiba ke dalam tali air di kawasan tersebut,” katanya.

    Berikutan itu katanya, anggota polis terlibat segera terjun ke tali air bagi membawa suspek keluar dari kenderaan untuk dibawa ke tebing.

    “Pemeriksaan dilakukan terhadap suspek tidak menemukan sebarang barangan menyalahi undang-undang. Dia juga didapati tidak mengalami kecederaan.

    “Suspek kemudiannya dibawa ke IPD Pendang untuk tindakan lanjut. Semakan mendapati suspek merupakan seorang pengedar dadah yang aktif di Pendang dengan gelarang nama ‘Diuh’,” katanya.

    Tambahnya, suspek kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

  • ‘KJ kekal tanpa parti buat masa ini, tetapi sokong PN pada PRN?’

    ‘KJ kekal tanpa parti buat masa ini, tetapi sokong PN pada PRN?’

    SEJAK kekalahannya pada pilihan raya umum lalu dan dipecat daripada UMNO, tindakan seterusnya oleh Khairy Jamaluddin sentiasa menjadi teka-teki.

    Bagaimanapun, The Star, yang memetik sumber, melaporkan bekas menteri kesihatan itu akan kekal tanpa menyertai mana-mana parti buat masa ini, tetapi bakal berkempen untuk Perikatan Nasional pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Menurut sumber itu, Khairy telah memaklumkan pendirian itu kepada Pengerusi PN dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika pertemuan mereka semalam.

    “Muhyiddin menerimanya (pendirian Khairy),” kata sumber itu sambil menambah tindakan serupa akan diambil oleh bekas veteran UMNO, Tan Sri Noh Omar yang aktif dalam kempen PN menjelang PRN akan datang.

    Dalam usaha ‘memikat’ Khairy bersama Bersatu, Muhyiddin dilaporkan telah menawarkannya jawatan majlis tertinggi.

    Sementara itu, Timbalan Presiden Bersatu, DatuK Seri Ahmad Faizal Azumu memberitahu Malaysiakini bahawa pertemuan antara Muhyiddin dan Khairy berakhir dengan positif.

    “Saya tidak hadir sama jadi saya tidak boleh bercakap banyak, tetapi saya tahu ia adalah pertemuan yang baik,” katanya.

    Susulan pertemuan itu, spekulasi bertiup kencang bahawa Khairy telah ditawarkan jawatan timbalan presiden Bersatu dan akan diletakkan sebagai calon di kerusi DUN Kota Damansara di Selangor.

    Ketika menolak perkara itu, Faizal berkata: “Saya percaya tidak ada sebarang perbincangan mengenainya”.

    Khairy dipecat daripada UMNO pada akhir Januari semasa pembersihan terhadap pencabar presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, bekas ahli Parlimen Rembau itu gagal merampas kerusi Sungai Buloh daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Khairy sebelum ini menerima tawaran daripada pelbagai parti politik termasuk Bersatu.

    Beliau juga tidak menolak mengenai kemungkinan untuk menubuhkan partinya sendiri.

    Semalam, Ketua Penerangan PKR yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil menafikan PKR mengeluarkan surat tawaran kepada bekas Khairy untuk menyertai parti itu sebagai Timbalan Presiden.

  • Rafizi enggan ulas kenyataan UMNO Terengganu PKR perlu ‘ukur baju badan sendiri’

    Rafizi enggan ulas kenyataan UMNO Terengganu PKR perlu ‘ukur baju badan sendiri’

    TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli enggan mengulas kenyataan Ketua UUMNO Terengganu, DatuK Seri Ahmad Said yang meminta parti itu ukur baju di badan sendiri sebelum meminta kerusi untuk ditandingi pada PRN.

    Beliau yang terkenal dengan jolokan ‘raja formula’ itu menganggap itu perkara biasa untuk parti lama seperti UMNO meminta parti baharu menunjukkan kekuatan mereka.

    “Saya tak nak komen (mengenai kenyataan Ahmad). Dulu dengan Pas setiap kali runding kerusi akan ada jangkaan seperti parti lama akan tanya parti baharu untuk tunjukkan kekuatan mereka.

    “Tak ada masalah. Itu ‘common sense’. Tetapi saya fikir walaupun kita parti baharu, kita mempunyai rekod pilihan raya yang baik,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

    Semalam, Ahmad berkata, PKR perlu melihat kekuatan dimilikinya di negeri itu berdasarkan aspek jentera, jumlah penyokong dan ahli peringkat akar umbi sebelum meminta kerusi pada PRN.

  • Mahkamah Rayuan lepaskan bekas penuntut kolej dari tali gantung

    Mahkamah Rayuan lepaskan bekas penuntut kolej dari tali gantung

    SEORANG bekas penuntut kolej dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah, menangis sejurus dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama sembilan tahun atas kesalahan menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkan.

    Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Mohamed Zaini Mazlan, hari ini secara sebulat suara mengarahkan Nur Izzati Adi, 26, dibebaskan serta-merta.

    Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan dan peguam Nur Izzati sebagai perayu bersetuju supaya sabitan dikenakan mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan (KK) berbanding Seksyen 302 KK sebelum ini yang memperuntukkan hukuman gantung.

    Hadhariah meminta wadar Jabatan Penjara membuka gari Nur Izzati bagi membolehkan wanita berkenaan dibebaskan.

    Perayu disabitkan di bawah Seksyen 309A KK yang boleh dihukum di bawah Seksyen 309B KK (hukuman penjara maksimum 20 tahun) dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara selama sembilan tahun dari tarikh tangkap, 30 Mac 2017.

    “(Nur Izzati) boleh berjalan keluar dari mahkamah dengan lapang dada, sudah bebas,” katanya.

    Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 14 Jun 2020 menjatuhkan hukuman mati terhadap wanita berkenaan selepas didapati bersalah kerana membunuh bayi lelaki, namun diperintahkan menjalani hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan.

    Pada 10 April 2017, bekas penuntut kolej itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jitra atas pertuduhan menyebabkan kematian bayi lelaki di tandas kolej, pada 30 Mac tahun sama.

    Tertuduh, Nur Izzati, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nur Fadrina Zulkhairi, namun tiada pengakuan direkodkan.

    Berdasarkan pertuduhan, Nur Izzati didakwa menyebabkan kematian ke atas seorang bayi dengan tekupan atau kelemasan di tandas perempuan aras tiga Kolej Pertanian Malaysia Bukit Kayu Hitam pukul 5.20 petang pada 30 Mac 2017.

    Terdahulu ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Mokhzani Faris Mokhtar berkata, peguam Izzati menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 11 April lalu, sebelum pihaknya menawarkan pendakwaan kes itu di bawah Seksyen 309A KK yang boleh dihukum di bawah Seksyen 309B KK.

    “Saya percaya pihak peguam sudah berbincang dengan keluarga (Nur Izzati) dan mereka bersetuju untuk menerima tawaran balas berkenaan,” katanya.

    Susulan itu, peguam bela Nur Izzati, Datuk Amirul Ridzuan Hanif, mengesahkan mengenai persetujuan berkenaan.

    “Benar, setelah berbincang dengan perayu (Nur Izzati) dan keluarganya, mereka bersetuju terima tawaran itu.

    “Kami mencadangkan hukuman yang sesuai penjara selama sembilan tahun bermula tarikh tangkap 30 Mac 2017. Itu adalah cadangan pihak perayu demi menyelesaikan kes pada hari ini,” katanya lapor Berita Harian.

    Mohammed Mokhzani Faris tidak membantah cadangan berkenaan.

  • Tiada hala tuju ekonomi punca Melayu tak puas hati terhadap Anwar, kata KJ

    Tiada hala tuju ekonomi punca Melayu tak puas hati terhadap Anwar, kata KJ

    KESUKARAN Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan orang Melayu lebih kepada rasa tidak puas hati terhadap pentadbirannya yang tiada hala tuju ekonomi, bukan ‘gelombang hijau’ dibawa Perikatan Nasional (PN), kata Khairy Jamaluddin.

    “Apa yang berlaku di Malaysia hari ini adalah lebih sedikit daripada kebangkitan gelombang hijau, lebih rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat Melayu yang melangkaui isu 3R (kaum, agama dan raja),” kata Khairy dalam artikel di portal Singapura, Fulcrum.

    Bekas ketua Pemuda UMNO itu berkata, negara sejak tujuh bulan lalu berdepan masalah ‘kekurangan hala tuju ekonomi yang jelas’, ditambah ringgit lemah serta peningkatan kos sara hidup yang menjejaskan kuasa beli rakyat.

    “Kemarahan orang Melayu yang ketara ini dikuatkan dengan sikap hipokrit pentadbiran sekarang, yang bercakap tentang menghapuskan rasuah dan menegakkan tadbir urus baik tetapi menampung kepimpinan UMNO yang tercemar,” katanya, lapor FMT.

    Beliau merujuk keputusan tidak popular Anwar melantik Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai salah seorang timbalan perdana menterinya.

    Zahid berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi selain dakwaan menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.

    “Apa yang kita mungkin lihat pada pilihan raya negeri adalah kurang (kesan) ‘gelombang hijau’ berbanding tsunami ketidakpuasan hati,” kata Khairy yang dipecat UMNO pada Januari lalu.

    Pada 17 Mei lalu, Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin secara umum menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu kerana percaya Khairy mampu memberi sumbangan kepada parti.

    Khairy bagaimanapun meminta masa untuk mempertimbangkan tawaran oleh Muhyiddin dan tidak mahu membuat keputusan berkait pengembaliannya ke arena politik semata-mata kerana PRN.

  • Badan Pengelola Haji Thailand pelajari cara TH urus jemaah

    Badan Pengelola Haji Thailand pelajari cara TH urus jemaah

    BADAN Pengelola Haji Thailand berminat dengan strategi dan pengalaman Tabung Haji (TH) dalam pengurusan jemaah memandangkan negara berkenaan masih ketinggalan daripasa aspek berkenaan.

    Ketua Rombongan Haji Thailand, Dr. Zakee Abdulaziz Pitakkumpun berkata, seperti semua sedia maklum, umat Islam di Thailand adalah minoriti dan badan yang menguruskan jemaah haji di negara berkenaan perlu bergerak atas kaki sendiri.

    “Disebabkan itu pihak kami sentiasa mengadakan perbincangan dan pertemuan dengan TH bagi mendapatkan input berkenaan pengurusan haji.

    “Kami dapat mempelajari sistem TH yang kukuh seterusnya dapat meningkatkan keupayaan kami dalam memberi perkhidmatan yang terbaik untuk jemaah haji Thailand,” katanya pada sidang media selepas kunjungan ke Ibu Pejabat TH di Abraj Janadriyah, Makkah, kelmarin.

    Dr. Zakee berkata, pada tahun ini sebanyak 11,300 jemaah haji dari Thailand hadir ke Tanah Suci berbanding kuota penuh sebanyak 13,000 orang yang diperuntukkan kerajaan Arab Saudi.

    “Semua jemaah dari negara kami perlu membayar antara 220,000 sehingga 280,000 Thai Baht seorang (RM29,000 hingga RM37,000) untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu,” ujarnya.

    Kata beliau, jumlah bayaran berkenaan meningkat berbanding tahun sebelumnya dan mereka menerima rungutan daripada jemaah haji Thailand.

    “Haji itu wajib bagi mereka yang mampu (istito’ah). Malaysia telah melakukan yang terbaik dalam memahamkan jemaah mengenai istito’ah jadi kita harap dapat mempelajarinya,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, hubungan baik di antara kedua-dua negara telah lama terjalin dan setiap tahun diadakan perjumpaan di Makkah, Malaysia dan Thailand bagi bertukar pandangan, pengalaman dalam urusan haji kedua-dua negara.

    Rombongan Haji Thailand dibawa bertemu dengan jemaah haji Malaysia di Ibu Pejabat TH di Abraj Janadriyah di Makkah.

    Rombongan Haji Thailand dibawa bertemu dengan jemaah haji Malaysia di Ibu Pejabat TH di Abraj Janadriyah di Makkah.

    “Kita adakan perbincangan secara mendalam atas hal ehwal yang mempunyai kepentingan bersama kerana negara-negara Asia Tenggara berada di bawah satu muassasah yang sama.

    “Turut dibincangkan dari segi hukum-hakam kerana setiap tahun diadakan muzakarah untuk bincang pendirian memperhalusi berkenaan hukum dalam melaksanakan ibadah haji.

    “Kita juga bincang soal pengendalian penerbangan, operasi Masyair, pengendalian jemaah yang lanjut usia yang memerlukan rawatan perubatan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Syed Saleh berkata, TH turut berkongsi model diaplikasikan institusi tabungan itu dalam mendepani kenaikan kos yang dihadapi saban tahun.

    “Kita ada terangkan model TH iaitu kekuatan dana yang ada untuk buat pelaburan seterusnya beri balik pulangan kepada pendeposit supaya mereka dapat tingkatkan simpanan hingga satu tahap dapat tunai haji.

    “Dengan dana yang kukuh boleh uruskan tempahan hotel, penerbangan dari awal tanpa perlu tunggu wang simpanan jemaah haji. Kita juga boleh uruskan perjanjian jangka panjang seperti dilakukan dengan Masyariq untuk mengelakkan peningkatan kos,” katanya.