Author: Wartawan WartaRakyat

  • Malaysia sedia jadi tuan rumah Simposium Haji Perdana

    Malaysia sedia jadi tuan rumah Simposium Haji Perdana

    SIMPOSIUM Haji Perdana di Arab Saudi yang membincangkan semua perkara berkaitan haji dan umrah dicadangkan untuk diadakan di Malaysia pada masa hadapan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, dengan penganjuran di Malaysia, ia akan dapat membantu negara ASEAN lain untuk mengambil bahagian selain tidak perlu mengeluarkan kos yang besar untuk ke Arab Saudi.

    “Saya berpandangan, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fauzan Muhammed Al Rabiah tidak mempunyai halangan untuk membincangkan cadangan berkenaan disebabkan hubungan baik antara kedua-dua negara.

    “Kita ada ramai pensyarah universiti yang menulis mengenai haji dan umrah dan saya rasa kalau kita buat simposium di Malaysia, kita boleh cungkil lagi bakat baharu untuk memberikan idea-idea terbaik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Haji Perdana kali ke-47 di Jeddah semalam.

    Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Syed Hamadah Syed Othman dan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

    Simposium sehari itu menghimpunkan para cendekiawan dan pakar dari seluruh dunia bagi berkongsi pengetahuan, penemuan penyelidikan dan amalan terbaik dalam pengurusan ibadah haji.

    Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Abdulrahman Al-Sudais dan Dr. Tawfiq turut serta sebagai panel bagi mengupas mengenai perkhidmatan menyeluruh disediakan kerajaan Arab Saudi untuk memudahkan ibadah di Tanah Suci.

    Mengulas mengenai penyertaan Malaysia dalam simposium itu, Dr. Mohd. Na’im berkata, ia penting bagi mendapatkan maklumat secara terus daripada kerajaan Arab Saudi mengenai usaha yang diperkenalkan negara itu untuk kemudahan bakal haji.

    “Tema pada tahun ini ialah berkisar mengenai khidmat memudahkan jemaah beribadah di Tanah Suci apabila 40 agensi bekerjasama bagi memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kerajaan Arab Saudi.

    “Mereka menyelaras agensi-agensi bermula dari proses di setiap negara, berada di Tanah Suci kemudian balik ke negara masing-masing selamat dari segi keselamatan dan kesihatan,” katanya lapor Sinar Harian.

  • Bapa rogol anak kandung dijel 30 tahun, enam sebatan

    Bapa rogol anak kandung dijel 30 tahun, enam sebatan

    SEORANG bapa dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Gua Musang semalam atas lima pertuduhan termasuk merogol anak kandungnya dan memiliki video pornografi.

    Sinar Harian melaporkan, tertuduh yang berusia 45 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah.

    Pada masa sama, tertuduh turut mengaku salah terhadap tuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya ketika mangsa berusia 12 tahun di sebuah rumah di daerah ini sejak Jun 2020.

    Kali terakhir tertuduh melakukan perbuatan terkutuk itu pada 30 Mei lalu.

    Tertuduh berdepan dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan yang mana masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

    Bagi pertuduhan pertama dan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara serta tiga sebatan bagi setiap pertuduhan.

    Bagi pertuduhan ketiga mengikut Seksyen 292(B) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Selain itu, tertuduh turut mengaku memiliki video lucah dalam telefon bimbit jenis Realme dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan dari tarikh tangkapan dibuat.

    Bagi pertuduhan keempat dan kelima, masing-masing pertuduhan mengikut Seksyen 8 (A) dan 14 (D) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Terdahulu, pada 4 Jun 2023, mangsa telah tampil membuat laporan polis di Balai Polis Bertam, selepas tertuduh bertindak meraba mangsa pada 30 Mei lalu.

  • Pengundi muda terus kekal bersama PN pada PRN

    Pengundi muda terus kekal bersama PN pada PRN

    SOKONGAN dan momentum prestasi Perikatan Nasional (PN) menerusi Pas dan pengundi muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat dapat terus dikekalkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Prof. Datuk Dr. Mohamad Nasir Saludin berkata, lebih mengejutkan lagi gerakan Pas dari Pantai Timur itu juga dilihat semakin tersebar menghala ke barat dan juga selatan.

    “Hasilnya amat memberangsangkan di mana gabungan dalam PN itu terdiri daripada tiga parti komponen besar iaitu Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). Kita lihat kerjasama yang erat itu membuahkan hasil dan momentum PRU15 itu akan terus dikekalkan, tidak pernah dilenturkan.

    “Kerjasama tiga parti itu amat baik, contohnya kita lihat setiap negeri sudah membuat persiapan untuk PRN ini dan sambutan amat menggalakkan apabila PN membuat himpunan mega di mana disertai oleh satu golongan yang amat kita perlukan iaitu golongan muda.

    “Kita lihat hasil PRU15 itu macam ada kebenaran ‘gelombang hijau’ itu bergerak daripada sebelah timur, utara menghala ke arah barat dan selatan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika dalam program Wacana Sinar Siri ke 402 yang bertajuk PRN: Debar Menunggu Bubar yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam malam tadi.

    Program yang dihoskan Ismail Adnan itu turut menampilkan dua panelis lain iaitu Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari dan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak.

    Sementara itu, ujar beliau, keyakinan terhadap gelombang itu turut ditambah lagi dengan penglibatan beberapa tokoh UMNO yang turut menyertai ke komponen parti PN seperti Tan Sri Annuar Musa.

    Menurutnya, penyertaan tokoh itu merupakan satu nilai tambah yang baik kepada pimpinan PN untuk meraih lebih ramai lagi undi dalam PRN akan datang.

    “Beliau (Annuar) ada pengikut-pengikut tegarnya, jadi mereka akan menyokong. Itu akan menambahkan lagi kekuatan,” ujarnya.

    Dalam pada itu ketika ditanya mengenai siapa lagi tokoh-tokoh UMNO yang akan menyertai PN, Mohamad Nasir berkata, ada beberapa lagi nama baharu namun ia bukan di bawah kuasa beliau.

    “Ada nama baharu, tetapi itu di bidang kuasa kami. Kami mengalu-alukan sesiapa yang mahu sertai parti kami,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Agihan kerusi PH-BN: Enam daripada Sembilan pertindihan di tiga negeri

    Agihan kerusi PH-BN: Enam daripada Sembilan pertindihan di tiga negeri

    BERLAKU enam daripada sembilan pertindihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan BN pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang di Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah.

    Daripada enam kerusi berkenaan, pertindihan dua kerusi berlaku di Selangor dan dua kerusi di Negeri Sembilan manakala dua kerusi di Kedah.

    Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaludin Alias mengesahkan pertindihan di Negeri Sembilan ketika dihubungi Malaysiakini.

    “Dua (kerusi) saja (berlaku pertembungan). (Kita) serah kepada majlis presiden untuk memutuskannya,” katanya tanpa mendedahkan dua kerusi yang bertindih itu.

    Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, isu pertindihan kerusi antara PH dan BN di beberapa negeri termasuk Selangor bagi PRN yang tidak dapat diputuskan di peringkat negeri, akan diselesaikan oleh kepemimpinan tertinggi kedua-dua gabungan.

    Amirudin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, perkara itu akan dibawa kepada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk diputuskan.

    Selain Selangor, Amirudin berkata, terdapat sebilangan kecil kerusi di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Terengganu yang perlu dimuktamadkan di peringkat kepimpinan tertinggi.

    Dalam pada itu, sumber UMNO Kedah memaklumkan, terdapat dua pertindihan kerusi di negeri itu antara PH dan BN yang kini dalam rundingan.

    “Di Kedah hanya dua kerusi yang masih gagal diselesaikan. Kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menyelesaikan isu berkenaan,” katanya.

    Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub pula memaklumkan proses agihan kerusi antara PH dan BN di negeri itu berjalan lancar dan tiada pertindihan berlaku.

    Bagaimanapun nada berbeza di Terengganu apabila Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said memberi bayangan wujud pertembungan dengan PKR dalam soal agihan kerusi.

    Ahmad dilaporkan menggesa PKR mengukur kekuatan mereka di Terengganu sebelum meminta untuk bertanding di lebih banyak kerusi.

    Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, pertembungan di negeri berkenaan lebih tertumpu kepada BN dan Pas.

    Terdahulu, Pengerusi PKR Terengganu, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, parti itu berpotensi untuk menawan beberapa kerusi di negeri itu dan memiliki kekuatan di kawasan bandar.

    Pada Pilihan Raya Umum PRU14, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing bertanding di 11 DUN di Terengganu manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang ketika itu masih merupakan komponen dalam PH, bertanding di 10 kerusi.

    Namun kesemua calon PH ditewaskan sama ada oleh Pas atau BN.

  • DAP Sarawak cuma tahu komen negatif terhadap kerajaan GPS

    DAP Sarawak cuma tahu komen negatif terhadap kerajaan GPS

    MENTERI Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak mengkritik DAP Sarawak kerana komen yang hanya bersifat negatif terhadap kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, walaupun kerajaan Sarawak berjaya dengan cemerlang dalam menguruskan kewangan, sumber atau infrastruktur, DAP Sarawak akan terus memilih berdiam diri atau mencari sesuatu untuk dikritik.

    “Biarlah mereka menyalak. Mungkin pada mereka, yang menyalak paling kuatlah pemimpin paling kuat bekerja dan patut dipersiapkan untuk mengambil alih kepimpinan,” katanya memetik laporan FMT.

    Hari ini, Pemuda DAP Sarawak berkata, RM30 juta dibelanjakan untuk tiang bendera di Petra Jaya sepatutnya boleh digunakan dengan lebih baik untuk projek praktikal serta program pembasmian kemiskinan.

    Malah Ketuanya, Peter Hee, mlmenuduh 76 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS gagal menangani kesan ekonomi teruk dihadapi rakyat dan meringankan beban mereka.

    Beliau mendakwa ADUN GPS sedar tiang bendera itu sebenarnya bukan satu keperluan malah salah urus dana, tetapi memilih berdiam diri.

    Kenyataan Hee itu selepas Borneo Post semalam melaporkan tiang bendera itu disiapkan lebih awal daripada dijadualkan.

    Tiang bendera setinggi 99m itu dikatakan 4m lebih tinggi daripada tiang bendera di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

    Terletak antara kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Fort Margherita, tiang bendera itu merupakan projek tanggungjawab sosial korporat bagi memperingati ulang tahun ke-60 penyertaan Sarawak dalam Malaysia.

    Sebelum ini, Ketua Pemuda DAP, Dr. Kelvin Yii mendesak kerajaan Sarawak telus mengenai projek tiang bendera itu, sekalipun dibiayai swasta.

    Yii, yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dan Petua Pemuda Pakatan Harapan (PH) berkata, ini penting bagi memastikan projek itu tidak digunakan sebagai habuan untuk sebarang kontrak daripada kerajaan negeri, sama ada pada masa ini atau akan datang.

  • Rohana Jalil meninggal dunia

    Rohana Jalil meninggal dunia

    PENYANYI popular era 1980-an, Rohana Jalil, dilaporkan meninggal dunia sebentar tadi.

    Difahamkan, Rohana, 68, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 11.30 malam di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di ibu negara.

    Pada April lalu, Rohana yang juga pelantun lagu Rayuanku dilaporkan kritikal dan dimasukkan ke ICU akibat kebocoran pada usus.

    Sementara pada 23 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan menziarahi penyanyi veteran itu.

    Rohana atau nama sebenarnya, Dara Abdul Jalil memulakan karier sebagai penyanyi sejak usia 17 tahun pada 1979.

    Berbekalkan pengalaman menyanyi ekspo dan fun fair, penyanyi kelahiran Kota Tinggi, Johor itu mencuba nasib dalam pertandingan Bintang RTM 1976, tetapi tuah tidak menyebelahinya.

    Dengan bakat dan kesungguhannya, Rohana kemudian dinobatkan sebagai juara Bintang RTM 1980, sebelum dilamar syarikat rakaman, AB Records.

  • Bomba kesan sisa kilang dibuang dalam parit kawasan industri

    Bomba kesan sisa kilang dibuang dalam parit kawasan industri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengesan sisa bahan buangan berbahaya dalam sebuah parit berpunca daripada sisa industri di Kawasan Perindustrian Maju Jaya, Kempas, Johor Bahru pada jam 1 petang tadi.

    Pencemaran tersebut menimbulkan bau busuk sebelum orang awam menghubungi pihak bomba untuk bantuan kerana bimbang dengan keselamatan mereka.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, Penolong Penguasa Bomba Mohd . Ridzuan Malek Rivan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung pencemaran bau di kawasan tersebut pada pukul 1.29 petang.

    Berikutan itu katanya, seramai 14 anggota dengan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS) dari BBP Kempas dan BBP Larkin dihantar ke tempat kejadian.

    “Siasatan mendapati berlaku kejadian pencemaran bau di kawasan parit yang bersebelahan sebuah kilang. Pihak bomba juga maklum terdapat air bertakung dan bau busuk.

    “Bomba membuat pemantauan di lokasi kejadian dan menghubungi pihak Jabatan Alam
    Sekitar (JAS) Johor untuk hadir ke lokasi.

    “Pasukan Hazardous Material Unit Team (HAZMAT) JBPM Johor turut hadir yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Saifulbahri Safar dan membuat tugas-tugas ‘detection’ dan
    mengambil sampel bersama-sama pegawai JAS Johor.

    “Hasil awal mendapati parit tersebut tercemar dengan bahan-bahan ‘schedule waste’. Bahan- bahan yang didapati hasil dari kerja-kerja ‘detection’ dan ‘sampling’ ialah ‘acrolein’, ‘benzene’, carbon dioxide, ‘methane’ dan ‘ethylene oxide’,” ujar beliau dalam kenyataan malam ini.

    Lokasi insiden katanya, telah diambil alih pihak JAS kerana susulan kerja-kerja ‘detection’ tiada bahan yang sepadan dengan hasil yang dijumpai di peringkatawal.

    Tambah Mohd Ridzuan, operasi ditamatkan pada pukul 6.59 petang.

  • Lelaki ragut wanita warga asing ditahan polis

    Lelaki ragut wanita warga asing ditahan polis

    SEORANG lelaki tempatan berusia 46 tahun ditahan reman selama lima hari bermula hari ini kerana disyaki terlibat dalam kejadian ragut dan samun seorang wanita warga asing di Jalan Macalister, Georgetown, Pulau Pinang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam kejadian itu, suspek yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 menghampiri dan meragut beg mangsa kira-kira pukul 11.30 malam itu.

    Bagaimanapun, ujar beliau, suspek gagal melarikan diri dan ditangkap oleh orang awam di sekitar tempat kejadian sebelum diserahkan kepada polis.

    Jelasnya, hasil semakan mendapati motosikal yang digunakan oleh suspek adalah motosikal curi yang dilaporkan hilang di daerah Timur Laut.

    “Suspek berasal dari Pulau Pinang, dan mempunyai lapan rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambahnya, hasil ujian saringan awal polis juga mendapati suspek positif dadah jenis ganja (THC), methamphetamine (Meth) dan amphetamine (Amp).

    Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan bagi kesalahan samun ragut yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 14 tahun berserta denda atau sebatan.

    “Siasatan juga dibuat di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan bagi kesalahan curi motosikal yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun dan denda,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai yang melihat kejadian itu tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bagi membantu siasatan.

  • MB Selangor tak kata ada kerjasama Muda-PH dalam PRN

    MB Selangor tak kata ada kerjasama Muda-PH dalam PRN

    MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tidak pernah berkata, bahawa Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di negeri itu.

    Setiausaha akhbarnya, Jay Jay Denis berkata, apa yang dinyatakan oleh Amirudin adalah pendirian dan komitmen Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga kini yang menganggap MUDA sebagai rakan kerja.

    Jelasnya, ini susulan kerjasama antara mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

    “Apabila ditanya oleh wartawan sama ada Pakatan Harapan akan berunding dengan MUDA dalam PRN Selangor yang akan datang, menteri besar menjawab bahawa rundingan dengan MUDA akan ditentukan oleh PH dengan fahaman bahawa PH dan MUDA adalah rakan sekerja.

    “Amirudin juga tidak bercakap bagi pihak MUDA. Saya berharap kenyataan ini dapat diperbetulkan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau meminta agar MUDA berhenti dari menampilkan politik yang tidak matang dan membuat semakan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

    “Kalau nak main politik pun, paling kurang semaklah fakta,” katanya, lapor FMT.

    Terdahulu, Ketua Penerangan MUDA, Luqman Long berkata, kenyataan dikeluarkan Amirudin yang MUDa akan meneruskan kerjasama dengan gabungan itu pada PRN akan datang adalah tidak benar.

    Katanya, setakat ini tiada rundingan dibuat bersama PH berhubung kerjasama, jumlah kerusi dan kawasan akan ditandingi pada PRN.

    Beliau merujuk hantaran Facebook PKR yang memetik Amirudin sebagai berkata: “Muda akan terus bekerjasama dengan PH dalam PRN”.

    Bagaimanapun, hantaran itu kemudiannya dipadamkan.

  • Chow menghadap Yang di-Pertua Negeri 27 Jun untuk bubar DUN

    Chow menghadap Yang di-Pertua Negeri 27 Jun untuk bubar DUN

    KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow bercadang untuk menghadap Yang Dipertua Negeri Ahmad Fuzi Abdul Razak pada 27 Jun bagi mendapat perkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Chow berkata sekiranya semua berjalan lancar, pembubaran DUN dijadualkan pada 28 Jun bagi memberi laluan kepada PRN.

    “Kita bercadang 27 Jun ini untuk memaklumkan kepada Tuan Yang Terutama (Ahmad Fuzi) bahawa DUN akan dibubarkan (28 Jun) untuk memberi laluan kepada PRN,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Senagin.

    Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan pada PRU14, PH memenangi 37 kerusi termasuk dua daripada calon Bersatu yang ketika itu masih bersamanya manakala masing-masing dua dan satu kerusi dimenangi BN dan PAS.

    Pada PRU15, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu, tidak membubarkan DUN masing-masing.