Author: Wartawan WartaRakyat

  • KJ tidak bertanding PRN

    KJ tidak bertanding PRN

    BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan tidak akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) buat sementara waktu dan juga tidak akan bertanding dalam pilihan raya di enam negeri.

    Sinchew Daily melaporkan, Khairy bagaimanapun akan memberi sokongan kepada PN, termasuk membantu pakatan politik itu berkempen dalam pilihan raya enam negeri yang bakal diadakan.

    Menurut sumber, Khairy telah menyatakan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai hasratnya untuk tidak menyertai mana-mana parti politik buat sementara waktu.

    “Khairy tidak akan menyertai Bersatu dan tidak akan bertanding menggunakan panji PN kerana PN tidak membenarkan penamaan calon langsung.

    “Khairy menentang Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Selagi Ahmad Zahid ada, Khairy akan menyokong PN,” kata sumber tersebut, lapor MalaysiaGazette.

    Sementara itu, PN dilaporkan mahu menjadikan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai ‘poster boy’ perikatan politik itu di Selangor.

    Bagaimanapun, Setiausaha Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir berpendapat bahawa Mohamed Azmin bukan satu-satunya calon dari PN yang layak untuk jawatan Menteri Besar Selangor.

  • Penganalisis dakwa naratif dibawa Anwar masih gagal tarik sokongan Melayu

    Penganalisis dakwa naratif dibawa Anwar masih gagal tarik sokongan Melayu

    NARATIF tata kelola, masa depan ekonomi dan watan, yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini didakwa masih gagal untuk menarik sokongan orang Melayu kepada beliau serta kerajaan pimpinannya.

    Penganalisis politik berpendapat, apa yang dijanjikan Anwar sebelum beliau menjawat jawatan Perdana Menteri, termasuk agenda pembaharuan dalam institusi masih longgar, manakala masa depan ekonomi tidak jelas.

    Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM), Dr. Muhammad Asri Mohd. Ali berkata, Anwar sering menyebut untuk mewujudkan tata kelola yang baik dan membuat pembaharuan, namun ia masih belum meyakinkan.

    “Sebagai contoh, reformasi institusi Peguam Negara dan pendanaan politik yang masih belum dilaksanakan dan setakat ini menjadi sesuatu yang populis saja.

    “Ini antara perkara yang perlu dilaksanakan, selari dengan hasrat reformasi yang dijanjikan,” katanya kepada BH, hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, sebelum ini bahawa kesukaran Anwar untuk meraih sokongan Melayu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang lebih didorong rasa tidak puas hati rakyat terhadap pentadbirannya yang dilihat kurang berkesan dari segi hala tuju ekonomi, berbanding faktor ‘Gelombang Hijau’ dibawa Perikatan Nasional (PN).

    Khairy berpandangan, sejak tujuh bulan Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri, jelas terdapat kekurangan pada hala tuju ekonomi, dengan ringgit terus melemah dan krisis kos sara hidup terus menghakis kuasa beli rakyat.

    Daripada segi ekonomi, Muhammad Asri berpandangan, masalah struktur tidak dijadikan agenda besar dan banyak ukuran terhadap ekonomi negara menunjukkan kemerosotan.

    “Kita juga makin merosot dari segi produktiviti, berbanding negara jiran, indeks persaingan dan mata wang, belum lagi menyebut mengenai kedudukan mata wang.

    “Selain itu, masalah struktur kita adalah gaji, namun tiada apa-apa yang dilakukan mengenainya dan tiada apa-apa yang kukuh dalam usaha mengatasi masalah kos sara hidup setakat ini,” katanya.

    Pada masa sama katanya, Anwar juga dilihat sebagai pemimpin yang lebih memperjuangkan kepelbagaian kaum, berbanding Melayu.

    “Orang Melayu mahu Islam dan budaya, bahasa dan ketinggian ekonomi Melayu sentiasa didaulatkan. Disebabkan itu, Pas mendapat sokongan kerana memainkan sentimen Melayu, yang bermakna untuk orang Islam.

    “Apabila disebut Madani yang dibawakan kerajaan ketika ini, ia lebih kepada nilai sejagat, bukan nilai watan dan orang Melayu masih kabur di mana kedudukan Melayu serta Islam dalam kerangka Madani ini,” katanya.

    Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Abdul Aziz Azizam, turut berpandangan kemerosotan sokongan orang Melayu kepada Perdana Menteri lebih kepada pentadbiran kerajaan, bukan tertumpu kepada ‘Gelombang Hijau’.

    “Terdapat beberapa faktor pemberat utama yang memberi kesan itu, antaranya bebanan ekonomi yang ditanggung rakyat. Ini juga tidak setara dengan cadangan dan dasar yang sebelum ini digambarkan, berkaitan formula pemulihan ekonomi rakyat.

    “Selain itu, pengendalian pentadbiran kerajaan hari ini berkaitan isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam, seperti isu kalimah Allah,” katanya.

  • Khairy masih pertimbang tawaran Muhyiddin, minta ‘cytro’ PH tak sebar berita palsu

    Khairy masih pertimbang tawaran Muhyiddin, minta ‘cytro’ PH tak sebar berita palsu

    KHAIRY Jamaluddin hari ini memberi gambaran beliau menolak tawaran untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) semasa pertemuannya dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu.

    Bagaimanapun, katanya, dia mempertimbangkan semula tawaran itu atas permintaan Muhyiddin.

    “Beliau telah tawar keahlian Bersatu dan tawar peluang untuk terlibat PRN (pilihan raya negeri).

    “Saya telah jumpa beliau dan beri pandangan saya kepada beliau, dan beliau minta saya fikir lagi.

    “Saya pun setuju untuk fikir lagi dan saya pun minta beliau sedikit masa,” kata Khairy dalam episod terbaru video siar Keluar Sekejap yang disiarkan hari ini.

    Ditanya oleh pengacara bersamanya Shahril Hamdan sama ada dia telah memberikan jawapan muktamad, Khairy menjawab bahawa dia telah tetapi bersetuju untuk mempertimbangkannya lebih lanjut atas rasa hormat.

    Timbul spekulasi sebelum ini berhubung kemungkinan Khairy telah memutuskan untuk menyertai PN selepas bertemu Muhyiddin kelmarin.

    Sumber PN mendakwa Khairy tidak akan menyertai mana-mana parti tetapi akan berkempen untuk gabungan itu dalam PRN.

    Sementara itu, dakwaan tersebar di media sosial bahawa Khairy akan dilantik sebagai ‘appointed deputy president’ atau timbalan presiden (lantikan) dalam Bersatu.

    Menjawab khabar angin berkenaan, bekas ahli parlimen Rembau itu berkata beliau mendapati ‘berita palsu’ itu tidak menyenangkan, dan mendakwa ia disebarkan oleh tentera siber Pakatan Harapan (PH).

    “Saya nak bagitahu kepada cytro (tentera siber) PH, janganlah sebarkan berita palsu. Benda ni adalah tak beretika dalam politik.

    “Salah satu sebab saya tak berapa senang dengan PH hari ini dan saya rasa sebahagian besar (orang ramai) tak senang dengan PH, adalah kerana perangai cytro PH ni,” katanya.

    Jumpa PM sebagai khidmat negara

    Sementara itu, Khairy berkata pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lalu adalah semata-mata untuk berbincang mengenai ekonomi negara.

    Jelas Khairy, beliau menerima jemputan daripada Pejabat Perdana Menteri dan bertemu dengan Anwar, bersama individu lain, termasuk bekas menteri kewangan II Datuk Seri Johari Ghani.

    “Ia bukan tentang politik tetapi lebih kepada idea berkaitan ekonomi dan sebelum mesyuarat berakhir, perdana menteri berkata beliau mungkin akan memanggil semula kumpulan saya dalam masa sebulan untuk melihat draf naratif ekonomi Madani untuk kami teruskan memberikan input kami.

    “Jadi bagi saya tiada masalah, walaupun saya bukan ahli PH atau BN yang menjadi teras kerajaan sedia ada.

    “Kenapa saya pergi? Saya menganggapnya sebagai khidmat negara. Perdana menteri negara menelefon saya, dan saya tidak peduli siapa perdana menteri… Saya pergi dan memberikan pendapat saya, tanpa sebarang ikatan dan itu sahaja,” kata bekas menteri itu.

    Secara berasingan, Khairy membidas Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor kerana komennya mengenai pakaian seragam jururawat wanita yang disifatka pemimpin Pas itu sebagai terlalu ketat dan tidak patuh syariah.

    Wan Razali berkata demikian semasa perbahasan Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat minggu lepas.

    Sebagai bekas menteri kesihatan yang memulakan proses Kertas Putih Kesihatan, Khairy berkata, belliau mahu Parlimen membincangkan isu serius berkaitan sistem penjagaan kesihatan negara dan bukannya isu seperti pakaian seragam jururawat.

    “Saya tahu ini bukan satu-satunya isu yang dia bangkitkan tetapi kenapa dia perlu bangkitkan perkara ini? Ia sebenarnya bukan isu.

    “Bahagian yang paling mengecewakan ialah dengan kenyataan ini, beliau telah mengesahkan stereotaip Pas… bahawa Pas tidak ada isu lain, Pas konservatif,” katanya.

    Pas telah berusaha sejak beberapa tahun kebelakangan ini untuk menjadi lebih inklusif, katanya, dengan barisan pemimpin yang merangkumi lebih ramai golongan profesional dan bukan hanya ulama.

    Daripada pengalamannya bekerja dengan menteri Pas dalam kabinet yang sama pada pentadbiran sebelum ini, Khairy berkata, menteri dari parti itu seperti Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man tidak menggambarkan stereotaip yang sama seperti Wan Razali.

    “Tetapi anda hanya perlukan satu kenyataan untuk mengingatkan rakyat bahawa di sebalik imej profesional baru, Pas masih Pas lama,” kata Khairy, lapor MalaysiaKini.

  • Amanah tepis tuntutan kerusi Ketua Amanah Hulu Selangor

    Amanah tepis tuntutan kerusi Ketua Amanah Hulu Selangor

    KEPIMPINAN Parti Amanah Negara (Amanah) menepis tuntutan oleh Ketua Pemuda Amanah Bahagian Hulu Selangor yang mahu sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam atau DUN Batang Kali diberikan kepada parti itu sebagai pendapat peribadi.

    Naib Presiden Amanah, Adly Zahari berkata, kerajaan perpaduan mempunyai formula tersendiri untuk mengagihkan kerusi di Selangor dan lima negeri lain yang akan berpilihan raya tidak lama lagi.

    “Hanya pendapat peribadi beliau,” katanya mengulas kenyataan Abdul Mun’im Roslin yang mahu salah satu kerusi itu diberikan kepada Amanah kerana rekod perkhidmatan parti tersebut di situ, lapor FMT.

    Mun’im dalam kenyataan semalam tidak bersetuju dengan niat UMNO untuk bertanding di Hulu Bernam dan Batang Kali atas alasan kerusi tradisi.

    Beliau berkata, tiada jaminan Barisan Nasional boleh menang lagi di situ.

    UMNO mewakili rakyat Hulu Bernam sejak dua penggal lalu, manakala Bersatu merampas Batang Kali daripada UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    “Perbincangan rundingan kerusi di peringkat jawatankuasa telah selesai dan hasilnya dikemukakan kepada kepimpinan parti,” kata Adly yang terlibat dalam rundingan kerusi kerajaan perpaduan.

  • 4 pelajar ditahan akibat belasah, pukul rakan sekolah

    4 pelajar ditahan akibat belasah, pukul rakan sekolah

    POLIS menahan empat pelajar lelaki sebuah sekolah menengah kerana disyaki memukul seorang rakan mereka.

    Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Brodie Brangka, berkata pelajar terbabit ditahan untuk siasatan selepas mangsa membuat laporan kira-kira 5 petang, Isnin lalu.

    “Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di belakang blok kedai Taman Desa Permai, Kota Samarahan. Mangsa seorang pelajar Tingkatan 1 dipukul empat pelajar lelaki dari sekolah sama.

    “Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

    Brodie berkata, pihak pengurusan sekolah berkenaan juga dimaklumkan mengenai kejadian itu.

    “Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan rakaman video tersebut dan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian supaya tidak mengganggu siasatan dijalankan,” katanya.

    Terdahulu, tular di media sosial rakaman video berdurasi 47 saat yang menunjukkan mangsa dipukul semua suspek.

  • Biar menang dulu baru cakap soal calon ketua menteri-Gerakan

    Biar menang dulu baru cakap soal calon ketua menteri-Gerakan

    PERIKATAN Nasional (PN) perlu menang dulu sebelum bercakap soal calon ketua menteri, kata Ketua Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong.

    “Jika tidak, perkara itu tidak membawa apa-apa makna. Gerakan hanya ada satu tujuan tumpukan pada pilihan raya negeri dan menang. Kemudian barulah kita cakap soal calon ketua menteri.

    “Bincang sekarang cuma buang masa,” katanya, memetik laporan FMT.

    Veteran DAP Lim Kit Siang baru-baru ini membangkitkan sama ada Presiden Gerakan Dominic Lau akan menjadi ketua menteri jika Gerakan merampas semula Pulau Pinang daripada DAP.

    Lim juga mahu tahu sama ada Oh akan menyokong pencalonan itu.

    Lau akan bertanding di Pulau Pinang kali ini setelah dua usahanya di Kuala Lumpur sebelum ini gagal.

  • SPR sudah maklum pembubaran DUN Kelantan esok – Speaker

    SPR sudah maklum pembubaran DUN Kelantan esok – Speaker

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) sudah dimaklumkan mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan esok, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh 60 hari.

    Speaker DUN Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub berkata pihaknya sudah menghantar surat pemakluman tersebut, minggu lepas.

    “Surat pemakluman mengenai pembubaran DUN Kelantan esok (22 Jun) telah dihantar ke SPR pada 14 Jun,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Rabu lepas, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob memaklumkan DUN Kelantan yang mempunyai 45 kerusi akan dibubarkan esok selepas mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

    PAS menguasai DUN Kelantan dengan 37 kerusi, Barisan Nasional (tujuh) dan Bersatu (satu).

  • PRN: Pas Kelantan serah lebih 100 nama calon

    PRN: Pas Kelantan serah lebih 100 nama calon

    PAS Kelantan menyerahkan lebih 100 nama untuk diangkat sebagai calon kepada pucuk pimpinan tertinggi parti pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Setiausaha Pas negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, senarai nama itu termasuklah penyandang yang memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

    Jelasnya, setiap DUN mengemukakan antara tiga hingga lima nama untuk diletakkan sebagai calon wakil rakyat.

    Calon-calon itu katanya, adalah hasil kajian dan suara diberikan oleh ahli di peringkat akar umbi.

    “Kebanyakan calon merupakan individu yang bersih dan boleh memberikan kemenangan kepada parti,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kota Bharu hari ini.

    Ujarnya, kesemua mereka akan ditapis oleh Majlis Syura Ulamak sebelum diumumkan sebagai calon sah untuk PRN dan proses tapisan berkenaan merupakan amalan Pas setiap kali menghadapi pilihan raya.

    “Untuk PRN kali ini, kita akan tampilkan 30 muka baharu daripada pelbagai latar belakang termasuklah profesional,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • ‘Selfie’ selepas tumbuk pekerja kedai, 2 lelaki ditahan

    ‘Selfie’ selepas tumbuk pekerja kedai, 2 lelaki ditahan

    POLIS hari ini menahan dua lelaki disyaki mencederakan pekerja kedai serbaneka sebelum mengambil swafoto bersama mangsa dalam kejadian di Bandar Rinching, Semenyih.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata suspek yang berusia 31 dan 32 tahun ditahan berasingan di Seremban dan Sepang kira-kira pukul 11.30 pagi dan 12.30 tengah hari.

    “Suspek yang ditangkap masing-masing mempunyai satu rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.

    Mohd. Zaid berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan.

    Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

    Dalam kejadian kira-kira 5 pagi semalam itu, dua suspek berkenaan dikatakan membeli minuman sebelum seorang daripadanya mengambil tiga batang payung tanpa membuat sebarang bayaran.

    Berang ditegur kerana tidak membuat pembayaran, seorang daripadanya menumbuk mangsa di bahagian muka.

  • Saya berundur awal atas ‘kehendak’ PM, kata Idris Jusoh

    Saya berundur awal atas ‘kehendak’ PM, kata Idris Jusoh

    DATUK Seri Idris Jusoh mendedahkan pengundurannya sebagai pengerusi Felda lebih awal dari tarikh sepatutnya pada Mei tahun depan atas kehendak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Atas kehendak YAB PM,” kata bekas Menteri Besar Terengganu itu secara ringkas kepada FMT.

    Bagaimanapun, Idris enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

    Bekas Ahli Parlimen Besut tiga penggal dari UMNO itu dilantik sebagai pengerusi Felda pada Mei 2020, kemudian kontraknya disambung dua tahun lagi berkuat kuasa Mei 2022 oleh pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau menggantikan Mohd. Bakke Salleh yang meletak jawatan sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Felda.

    Terdahulu, bekas Menteri Pendidikan Tinggi itu mengumumkan beliau akan menamatkan perkhidmatannya sebagai pengerusi Felda pada 30 Jun ini, lebih awal daripada tempoh sepatutnya.

    “Saya menerima keputusan dari pejabat Perdana Menteri untuk mengundur diri dari jawatan pengerusi Felda berkuat kuasa pada 30 Jun.

    “Keputusan ini dibuat bagi memberi laluan kepada pimpinan negara melantik pengganti yang lebih sesuai,” katanya.