Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bekas teman wanita pemain bola sepak Sabah ditahan

    Bekas teman wanita pemain bola sepak Sabah ditahan

    SEORANG wanita ditahan polis selepas dipercayai merosakkan pintu rumah bekas teman lelakinya yang juga pemain bola sepak Sabah.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, wanita berkenaanditahan pada pukul 8 malam tadi bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

    “Tangkapan dibuat susulan laporan polis yang dibuat pemain bola sepak berkenaan pada 17 Jun lalu. Pengadu mengatakan bahawa pintu rumahnya telah dirosakkan oleh bekas teman wanitanya.

    “Suspek kemudian berjaya ditahan dan dengan tertangkapnya suspek, kita percaya dapat menyelesaikan kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi, perkongsian dan menyebarkan sesuatu berita daripada sumber yang tidak sahih berhubung kes ini yang telah dimuat naik dan tular di platform media sosial.

    “Tangkapan dibuat bersabit dengan kes melakukan khianat dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • ‘Dulu asyik pertikai, bila jadi kerajaan tak tahu buat’ – Shahrir

    ‘Dulu asyik pertikai, bila jadi kerajaan tak tahu buat’ – Shahrir

    VETERAN UMNO, Tan Sri Shahrir Samad mengkritik kerajaan perpaduan kini didakwa tidak cekap dalam pengendalian urus tadbir negara.

    Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) itu mendakwa, ketika menjadi pembangkang, pihak berkenaan terlalu banyak mempertikaikan pelbagai perkara.

    “Bertahun sebagai pembangkang asyik menyalahkan dasar dan strategi kerajaan, tapi bila sudah jadi kerajaan tidak pula tahu buat yang betul,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook miliknya hari ini.

    Beliau turut memuat naik hantaran berhubung kritikan terhadap Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang didakwa masih tidak dapat menyelesaikan kemelut ekonomi melanda negara.

    “Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah boleh bubar jawatan Menteri Ekonomi itu.

    “Ekonomi rakyat dan negara semakin tergugat,” kata beliau, lapor Sinar Harian.

  • PM nafi Zahid bercuti, tapi Saifuddin mengesahkan

    PM nafi Zahid bercuti, tapi Saifuddin mengesahkan

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi sedang bercuti dua minggu.

    Setiausaha Agung Parti Keadilan (PKR) itu berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menemui Zahid tidak lama lagi bagi memuktamadkan rundingan beberapa kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi PRN di enam negeri.

    “(Mereka akan berjumpa) apabila Zahid pulang dari cutinya. Zahid sedang bercuti,” katanya dalam wawancara di pejabatnya semalam, lapor FMT.

    Saifuddin turut mengesahkan Zahid bercuti dua minggu dan pengerusi BN itu dijangka pulang ke tanah air dalam masa beberapa hari lagi.

    Minggu lalu, Anwar menafikan khabar angin Zahid bercuti selama dua minggu.

    Saifuddin berkata, rundingan agihan kerusi dengan BN mudah, tidak seperti rundingan pembahagian kerusi PKR dengan Pas dahulu.

    Katanya, beliau menganggotai jawatankuasa PKR untuk rundingan agihan kerusi bagi PRU sejak 1999 dan proses itu lebih rumit dahulu.

    Beliau berkata, mudah berurusan dengan UMNO kerana pemimpin BN lebih bersikap terbuka berbanding Pas yang cenderung membuat ‘kejutan’ apabila rundingan dianggap sudah selesai.

    “Perkara paling penting ialah sebaik anda bersetuju dengan sesuatu, jangan jadi pengkhianat. Dalam sejarah kita dengan Pas, mereka telah mengkhianati kita.

    “(Pada PRU 2013) kita tewas di kerusi DUN Kota Damansara. Calon kami kalah kerana Pas memutuskan untuk meletakkan calon dan UMNO menang,” katanya merujuk PKR, Pas dan DAP menjadi sekutu dalam Pakatan Rakyat.

    Beliau berkata, hubungan dengan parti Islam itu jauh lebih baik ketika ia diterajui pemimpin seperti Allahyarham Tan Sri Nik Aziz Nik Mat, Datuk Seri Fadzil Noor dan Datuk Haron Din.

    Saifuddin berkata, Pas yang diketuai Tan SriAbdul Hadi Awang bukan parti dikenalinya kerana pemimpinnya mengambil laluan agama dan menyamakan perbezaan politik dengan pertikaian agama.

    Katanya, lebih baik Perikatan Nasional berkempen menentang kerajaan berdasarkan dasar dan program berbanding menggunakan royalti, kaum atau agama (3R).

    Tetapi, beliau menjangkakan isu 3R akan dimainkan pembangkang khasnya menjelang PRN di enam negeri.

  • Beri kelonggaran pilih pakaian seragam harian, kata jururawat

    Beri kelonggaran pilih pakaian seragam harian, kata jururawat

    BEBERAPA jururawat tampil menyuarakan rasa lega apabila isu pakaian seragam mereka menjadi bualan orang awam sejak minggu lalu selepas kenyataan seorang ahli Parlimen di Dewan Rakyat. 

    Bercakap kepada portal MalaysiaNow, masing-masing menyatakan pakaian seragam sememangnya menjadi isu yang belum selesai meskipun masalah yang sama seringkali dibangkitkan kepada pihak atasan mahupun persatuan. 

    Ini termasuklah isu potongan baju yang menampakkan bentuk badan, penggunaan pakai seragam untuk tugasan luar fasiliti kesihatan dan kebebasan untuk memilih jenis pakaian seragam ketika bekerja. 

    Seorang jururawat wanita mahu dikenali sebagai Wati berkata, dia pernah berkhidmat di klinik kesihatan dalam kawasan pedalaman Pahang selama enam tahun. 

    Di sana, katanya, dia perlu masuk ke kawasan penempatan Orang Asli untuk membuat lawatan ke rumah khususnya melibatkan rawatan ibu dan bayi. 

    “Ada rakan-rakan pula kena masuk ke kampung Orang Asli untuk hantarkan ubat tibi. 

    “Kadang-kadang kena panjat semak samun dan belukar guna uniform putih jururawat. 

    “Sangat tak selesa dan baju selalu juga terkoyak sebab potongan baju yang  ikut badan ataupun tercarik sebab kena duri atau dahan pokok,” katanya kepada  sambil menambah baju seragam jururawat walaupun dijahit besar dariapada saiz badan tetap akan menampakkan bentuk badan. 

    “Sebab memang dah designnya begitu,” katanya. 

    Dalam pada itu, seorang jururawat lelaki yang berkhidmat di Hospital Sultanah Nora, Batu Pahat, Johor juga mengatakan hal yang sama mengenai pakaian seragamnya. 

    Mahu dikenali sebagai Nas, dia bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor supaya mereka dibenarkan untuk memilih pemakaian yang selesa semasa bertugas.

    “Tak ada isu uniform misi di Malaysia ni ikut acuan Barat atau sebagainya. 

    “Tapi kita tak ada acuan sendiri, jururawat di Malaysia tak standardize uniform yang boleh dipakai. 

    “Ada hospital universiti pakai uniform acuan mereka, fasiliti KKM guna uniform putih. Ada hospital swasta benarkan pakai baju scrub,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Atas sebab itu, kedua-dua mereka memberitahu dalam kalangan jururawat amat berbesar hati sekiranya mereka dibenarkan untuk memilih jenis pakaian seragam ketika menjalankan tugas. 

    Sejak minggu lalu, isu pakaian seragam jururawat menjadi satu polemik di Malaysia apabila Wan Razali ketika membahaskan Kertas Putih Kesihatan mempersoalkan etika pemakaian jururawat wanita di klinik dan hospital kerajaan, yang didakwa berpakaian ketat dan tidak patuh syariah. 

    Sementara itu, Persatuan Jururawat Malaysia dalam satu kenyataan pada Isnin menafikan dakwaan Wan Razali. 

    Katanya, reka bentuk pakaian seragam jururawat itu memudahkan pergerakan jururawat dalam melakukan tugas harian mereka selain ianya turut mematuhi kod pakaian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

    “Isu pakaian ketat adalah isu terpencil dan tidak mencerminkan jururawat di Kementerian Kesihatan secara keseluruhan. 

    “Teguran sempit secara tidak langsung akan menjejaskan semangat kita,” kata kenyataan itu. 

    Dalam pada itu, Wan Razali menegaskan bahawa tujuannya menyentuh isu pemakaian jururawat adalah kerana terdapat pihak yang menggesa supaya ianya dibawa kepada perhatian Dewan Rakyat. 

    Katanya, beliau sebelum ini juga pernah menyentuh pelbagai isu melibatkan kesihatan yang mana tindakan positif telah diambil oleh pihak kementerian, menyebabkan dia hanya tumpu kepada beberapa isu yang tidak disentuh ahli Parlimen lain. 

    “Justeru, apa yang saya sebut dalam Parlimen bukan sebab suka-suka. Saya luahkan apa yang telah diluahkan kepada saya. 

    “Walaupun perkara ini dianggap sebagai remeh bagi sesetengah pihak, tetapi bagi saya ini adalah satu amanah yang telah diberikan kepada saya,” jelas beliau dalam sesi Live TikTok Pemuda Pas Pahang minggu ini. 

    Terdahulu, dalam ucapannya di Parlimen, beliau turut menggesa KKM meneliti semula etika pemakaian jururawat wanita, termasuk mempertimbang keperluan memberi kelonggaran kepada pihak klinik dan hospital menentukan etika berpakaian yang sesuai. 

    Beliau memetik contoh di dua hospital di Kelantan (Hospital Universiti Sains Malaysia) dan Pahang (Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah) yang mengambil inisiatif memberi pilihan kepada kakitangan wanitanya mengenakan pakaian yang lebih sesuai. 

  • Mahkamah tolak rayuan Rosmah cabar kes rasuah solar

    Mahkamah tolak rayuan Rosmah cabar kes rasuah solar

    MAHKAMAH Rayuan menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan cabaran undang-undang untuk membatalkan kes rasuah terhadapnya yang dikaitkan dengan projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion, lapor Malaysiakini.

    Panel tiga hakim yang bersidang, dipengerusikan oleh Hakim Hanipah Farikullah sebulat suara menolak permohonan supaya isteri kepada bekas perdana menteri yang dipenjarakan Datuk Seri Najib Razak meneruskan semakan kehakimannya yang mencabar kesahihan pelantikan ketua pendakwa raya kes solar, mendiang Gopal Sri Ram.

    Prosiding hari ini ditetapkan buat panel hakim yang turut diketuai oleh Hakim Che Mohd. Ruzima Ghazali dan See Mee Chun untuk menyampaikan keputusannya berhubung rayuan Rosmah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi (bidang kuasa sivil) Kuala Lumpur pada 30 Ogos tahun lepas.

    Pada 1 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi (bidang kuasa jenayah) Kuala Lumpur mensabitkan Rosmah bersalah dalam kes rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.

    Bagaimanapun, beliau memperoleh penangguhan pelaksanaan terhadap hukuman itu, dan rayuan jenayahnya yang berasingan terhadap keputusan bersalah berkenaan ditetapkan untuk dibicarakan di hadapan Mahkamah Rayuan pada 11 Julai (perbicaraan pada mulanya ditetapkan untuk pendengaran pada bulan Jun sebelum tarikh itu dikosongkan).

    Mahkamah Rayuan juga memerintahkan Rosmah membayar kos RM10,000 kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

  • Disifatkan sebagai ‘biawak hidup’, pemimpin MIC kecam kenyataan Lokman 

    Disifatkan sebagai ‘biawak hidup’, pemimpin MIC kecam kenyataan Lokman 

    AHLI Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Adam dikecam kerana menyifatkan MIC dan MCA sebagai “biawak hidup” kerana tidak lagi mampu menyumbang kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).

    Ketua Penerangannya Thinalan Rajagopalu berkata jika benar parti itu dirasakan sebagai beban, beliau meminta Lokman mencadangkan kepada Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya mengeluarkannya dari gabungan berkenaan.

    “Jika berat sangat beban memikul MIC, bincanglah dengan Presiden UMNO dan bawakan satu resolusi untuk mengeluarkan MIC daripada BN.

    “Jangan hanya untuk mendapat perhatian murahan, Lokman mengeluarkan kenyataan sinis…beliau sendiri pun tidak mampu menang pilihan raya,” katanya merujuk kekalahan Lokman di PRK Sungai Kandis pada 2018, Labor FMT.

    Katanya, MIC tidak pernah meminggirkan BN sejak penubuhannya dan kekal sehingga kini walaupun parti itu tidak diberi sebarang kedudukan dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

    “Adakah kami menuntut apa-apa jawatan hanya untuk mengekalkan sokongan kepada BN?

    “Tidak ada satu jawatan pun diterima oleh MIC sedangkan UMNO yang menerima semua jawatan kerajaan dan GLC pula menuding jari kepada parti komponen?,” katanya.

  • Pas tidak buat tahaluf siyasi sebarangan – Idris

    Pas tidak buat tahaluf siyasi sebarangan – Idris

    NAIB Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menyanggah kenyataan dangkal daripada pihak Umno yang menyamakan hubungan parti itu dengan DAP adalah seperti kerjasama terdahulu pernah dilakukan PAS.

    Katanya,  Pas bersama DAP khususnya menerusi Pakatan Rakyat (PR) dahulu tanpa sama sekali memberi ‘walak’ mahupun dikawal oleh parti tersebut, berbeza dari UMNO yang kini tidak lagi memegang prinsip perjuangannya.

    Beliau berkata, Pas boleh bersama DAP sebagai barisan pembangkang ketika itu kerana wujud usaha dan perbincangan bagi menentang isu-isu seperti ketirisan dan kebobrokan yang berlaku di pihak pemerintah kerajaan.

    “Bukan kita buat (tahaluf siyasi) secara sembarangan. Kalau kita ni nak sangat kuasa, kebulur untuk nak jadi menteri, nak jadi menteri besar, nak jadi Exco, kita akan (terus) berpakat dengan DAP dalam PR,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Jentera Bantu Pilihan Raya Pas Telok Bahang, di Balik Pulau malam tadi, lapor harakahdaily.net

    Katanya, PRU-14 memperlihatkan pengajaran khususnya kepada orang Melayu-Islam di mana DAP walaupun dengan kerusi yang bukan majoriti, tetapi cukup mempengaruhi kedudukan, bahkan menguasai Putrajaya.

    Tegas Idris,  DAP lebih awal menunjukkan sikap menentangnya terhadap Pas dan keluar daripada Barisan Alternatif (BA) sebelum itu kerana ketegasan Pas terhadap Dokumen Negara Islam.

    “Ini prinsip perjuangan kita. Dalam kita berpolitik, kita meletakkan maslahah ummah dan maslahah agama mengatasi segala-galanya,” katanya menangkis pelbagai tohmahan dan label buruk pernah dipalitkan kepada Pas.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai turut menceritakan revolusi di peringkat ahli-ahli Umno dan penyokong Pakatan Harapan (PH) atas penipuan dilakukan para pemimpin mereka pada PRU-15.

    “Bukan satu benda mustahil orang-orang Cina menolak DAP kerana mereka ni pun pantang tok nenek juga jenis tipu-tipu ni. Mereka tak boleh terima pemimpin yang menipu. Dulu kamulah duduk menyanyi ‘hoi hoi ya hoi‘. 

    “Penyamun, penyangak apa yang kamu (PH) tak kata? Sekarang kes 1MDB kamu senyap. Dulu kes LCS kamulah yang bangkitkan. Pada maruah orang Cina mereka nak tengok pemimpin yang cakap serupa bikin,” ujarnya lagi.

    Begitu juga kata Idris di pihak ahli bawahan Umno sukar menerima DAP kerana sering mempertikaikan dasar Bumiputera, selain menghina orang Melayu dan membangkitkan sensitiviti lain. 

  • Semakin banyak Ahmad Maslan buat kenyataan, ekonomi merudum begitu pantas -Khairy

    Semakin banyak Ahmad Maslan buat kenyataan, ekonomi merudum begitu pantas -Khairy

    KHAIRY  Jamaluddin Abu Bakar mendakwa semakin banyak Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan mengeluarkan kenyataan berkaitan ekonomi maka ia akan merudum dengan begitu pantas.

    Katanya, tindakan Ahmad berbicara soal ekonomi, seolah-olah ada pengumuman besar untuk memastikan nilai ringgit lebih kukuh.

    “Kenyataan dibuat itu menjadikan individu di pasaran kewangan, pelaburan mahu mengetahui berita yang bakal disampaikan itu.

    “Bagi saya cara pengumuman itu bagus kerana ia merupakan gerakan taktikal, namun ia tidak akan mengubah soal gambaran landskap pelaburan di negara kita,” katanya menerusi rancangan podcast Keluar Sekejap, lapor Berita Harian.

    Sebaliknya, Khairy menjelaskan dua cara untuk menarik pelaburan dan mengukuhkan nilai ringgit di Malaysia adalah dengan menjual sedikit pegangan kepada Sovereign Wealth Fund (SWF) dan menjadikan negara sebagai pejabat keluarga (family office).

    Katanya, pelabur yang datang melabur melihat kepada kerajaan, usaha syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam menyediakan peluang untuk dilaburkan dalam sesuatu usaha niaga.

    “Apabila pegangan dijual sedikit kepada SWF, ia akan memberi kesan lebih besar daripada pengumuman yang kecil untuk jangka masa panjang.

    Pada masa sama, Khairy berkata, untuk meningkatkan pelaburan ke dalam negara, kerajaan bukan sahaja perlu menarik perhatian syarikat dan profesional, sebaliknya pejabat keluarga juga.

    “Sejak beberapa tahun lalu, strategi Singapura adalah menarik pejabat keluarga yang mana ia merupakan satu entiti ditubuhkan oleh keluarga kaya untuk menguruskan kewangan mereka.

    “Cuma kita perlu ada persekitaran polisi yang lebih fleksibel untuk pejabat keluarga ditubuhkan di sini,” ujarnya.

  • Rafizi, takkan ingin biarkan ringgit jatuh begitu sahaja – tanya Isham Jalil

    Rafizi, takkan ingin biarkan ringgit jatuh begitu sahaja – tanya Isham Jalil

    SEORANG ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menyifatkan, kejatuhan pasaran modal dan ringgit ketika ini sebagai satu krisis yang perlu dibincangkan segera oleh kerajaan.

    Ahli MKT UMNO, Isham Jalil, berkata ini kerana ringgit sudah lama jatuh serta terus jatuh hingga memberi kesan buruk kepada kenaikan harga barang dan makanan negara yang kebanyakan bergantung kepada import.

    “Rafizi (Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli) kata kerajaan tidak bincang lagi pun tentang sama ada kerajaan akan campur tangan untuk mempertahankan ringgit. Dia kata kita bukan ada banyak rizab pun untuk mempertahankan ringgit.

    “Saranan saya, kerajaan perlu bincang segera. Ringgit sudah lama jatuh dan terus jatuh dan ini memberi kesan buruk kepada kenaikan harga barang dan makanan yang banyak bergantung kepada import,” katanya menerusi perkongsian di Facebook, hari ini, lapor Berita Harian.

    Isham berkata, ada banyak cara kerajaan boleh mempertahankan ringgit dan bukan hanya dengan menggunakan rizab.

    “Perlu bincang segera, jika tidak takkan kerajaan ingin biarkan ringgit jatuh begitu sahaja, Rafizi?,” katanya.

  • Aktiviti penyelewengan diesel tumpas, stesen minyak dipercayai bersekongkol

    Aktiviti penyelewengan diesel tumpas, stesen minyak dipercayai bersekongkol

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Selangor menumpaskan satu sindiket menyeleweng minyak diesel membabitkan sebuah stesen minyak di Seksyen 22, dekat Shah Alam, kelmarin.

    Sindiket tersebut dipercayai menjadikan kegiatan tersebut sebagai aktiviti harian sejak enam bulan lalu.

    Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Negeri Selangor, Mohd. Khairi Jamaludin berkata, satu operasi hendap secara strategik telah dilakukan bersama petugas khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberkas sindiket tersebut.

    Sebuah lori yang telah diubah suai berjaya dirampas pihak KPDN Selangor selepas disyaki terlibat dalam urus niaga melibatkan barangan kawalan bahan api diesel bersubsidi ketika KPDN mengadakan operasi di Shah Alam, baru-baru ini.

    Beliau berkata, serbuan di stesen minyak tersebut membolehkan KPDN Negeri Selangor menyita minyak diesel berjumlah 13,802 liter yang dipercayai telah diisi ke dalam tiga buah lori diubah suai.

    “Intipan yang dilakukan beberapa jam sebelum serbuan menyaksikan lori-lori tersebut telah mengisi minyak ke dalam tangki biasa, sebelum disedut menggunakan pam khas ke tangki yang telah diubah suai atau tangki tambahan.

    “Modus operandi suspek sindiket ini adalah mengisi minyak menggunakan nozel pengisi secara serentak serta membuat dua transaksi pembayaran dalam satu-satu masa.

    Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Selangor, Mohd Khairi Jamaludin mengadakan sidang media di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Bukan sekali sekala kumpulan sindiket ini membuat penyelewengan tetapi ia dilakukan pada setiap hari antara pukul 9 malam hingga 1 pagi, malah suspek dipercayai membuat pengisian secara berulang antara enam hingga 10 kali satu hari untuk dihantar ke stor penyimpanan.

    “Kita percaya, ia bukan sahaja dijual kepada pihak industri malah diseludup ke negara jiran,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

    Mohd. Khairi berkata, kesemua lori yang disita tidak mempunyai dokumen atau permit untuk urusan membeli barangan kawalan daripada KPDN.

    Katanya, dalam serbuan tersebut, sebuah treler yang mempunyai tangki tambahan berkapasiti 20,000 liter telah digunakan untuk mengisi minyak sebanyak 8,352 liter, sementara dua lori lagi berjaya mengisi lebih daripada 5,000 liter.

    Sebahagian daripada suspek ditahan pihak berkuasa KPDN Selangor selepas disyaki terlibat dalam urus niaga melibatkan barangan kawalan bahan api diesel bersubsidi ketika KPDN mengadakan operasi di Shah Alam, baru-baru ini.

    Menurutnya, nilai minyak diesel dan lori yang disita dianggarkan berjumlah RM250,000.

    Selain itu pihaknya juga merampas wang tunai berjumlah RM20,000 yang dipercayai hasil jual beli minyak diesel bersubsidi tersebut.

    “Selain tiga lori dan empat suspek warga tempatan dipercayai sebagai pemandu lori, seorang warga asing merupakan pekerja stesen minyak telah direman sehingga Jumaat ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sebuah lori yang telah diubah suai berjaya dirampas pihak KPDN Selangor selepas disyaki terlibat dalam urus niaga melibatkan barangan kawalan bahan api diesel bersubsidi ketika KPDN mengadakan operasi di Shah Alam, baru-baru ini.

    Ditanya sama ada pihak pengurusan stesen minyak terlibat dengan aktiviti penyelewengan tersebut, beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan keterangan percakapan telah diambil.

    Jelasnya, siasatan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 ke atas pemilik stesen minyak kerana melanggar Peraturan 12A kesalahan di bawah Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 kerana menjual diesel kepada kenderaan melebihi 250 liter, seperti yang ditetapkan oleh Pengawal Bekalan.