Author: Wartawan WartaRakyat

  • 6,000 anggota, pegawai polis Pulau Pinang siap sedia berdepan PRN

    6,000 anggota, pegawai polis Pulau Pinang siap sedia berdepan PRN

    LEBIH 6,000 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang akan bertugas sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu yang akan berlangsung tidak lama lagi.

    Sehubungan itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, pihaknya kini sudah bersedia bagi menghadapi PRN tersebut.

    Dalam masa sama, ujar beliau, pihaknya juga akan memohon bantuan daripada Bukit Aman serta kontinjen lain bagi membantu anggota sedia ada di negeri itu sekiranya keadaan memerlukan.

    “Kita memang telah buat persiapan untuk menghadapi PRN bermula daripada proses penamaan calon, kempen, undi awal, hari pengundian serta pasca PRN.

    “Secara umumnya, kita di Kontinjen Pulau Pinang sudah bersedia bagi menghadapi PRN,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Kok Chin menambah, pihaknya juga akan menjalankan Op Cantas dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman PRN bagi memastikan tidak berlakunya sebarang kekecohan selain memastikan tindakan awal dapat diambil terhadap situasi yang dijangkakan boleh mencetuskan kekecohan.

    Selain itu, jelasnya, bantuan daripada pasukan pemantau udara menggunakan helikopter dan dron, pasukan Light Strike Force (LSF), pasukan Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) dan pasukan lain termasuk pasukan pencegahan jenayah juga akan digerakkan sepanjang PRN terbabit.

    “Oleh itu, kita harap dan nasihatkan semua pihak untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan agar proses PRN nanti berlangsung dengan lancar,” katanya.

  • Naim sifatkan perkhidmatan Tabung Haji sistematik, bertaraf antarabangsa

    Naim sifatkan perkhidmatan Tabung Haji sistematik, bertaraf antarabangsa

    PERKHIDMATAN Tabung Haji (TH) menyantuni jemaah haji Malaysia di Tanah Suci adalah sistematik dan bertaraf antarabangsa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

    Beliau berkata, pengalaman sendiri mengikuti perjalanan seperti jemaah lain bermula dari tanah air hingga tiba di Tanah Suci menunjukkan operasi TH disusun dengan rapi.

    “Saya bukan sekadar terima laporan tapi lalui sendiri perjalanan ke sini yang secara keseluruhannya menepati objektif untuk memberikan keselesaan dan keselamatan kepada jemaah untuk mendapatkan haji yang mabrur,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke Ibu Pejabat TH di Abraj Al Janadriyah.

    Wartawan SINAR HARIAN di Mekah melaporkan,  Mohd Na’im berkata, banyak perkhidmatan dan penambahbaikan dilakukan oleh TH dan beliau tertarik dengan aspek kebajikan yang diutamakan terhadap jemaah haji.

    “Antara inisiatif saya puji ialah Safari Wukuf iaitu satu khidmat melibatkan tugas membawa jemaah yang terlantar dengan bas ke Arafah agar mereka dapat menyempurnakan ibadah haji.

    “Banyak lagi inisiatif yang dilakukan petugas haji semasa operasi Masyair di Arafah, Mudzalifah dan Mina yang disusun dengan baik agar semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.

    Sementara itu, dalam satu program Pelancaran Kebersihan Masyair pada Khamis, Mohd Na’im memberikan penarafan lima bintang kepada TH dari sudut komitmen dan pembaharuan dalam menyantuni Duyufurrahman.

    Kata beliau, usaha yang dibantu petugas daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu membuktikan bahawa TH sentiasa mengutamakan kebajikan jemaah haji.

    “Syabas kepada TH yang sentiasa kreatif menganjurkan pelbagai program dan kira-kira 25 pendekatan dilakukan untuk memberikan khidmat terbaik kepada jemaah haji.

    “Dalam proses itu juga setiap maklum balas jemaah mengenai sebarang kekurangan dari segi penginapan, makanan, pengangkutan terus ditambah baik untuk musim haji depan,” katanya.

    Mengulas mengenai maklum balas pihak Arab Saudi berkenaan cadangan Simposium Haji Perdana untuk diadakan di Malaysia, Mohd Na’im berkata, pihaknya telah menerima respons yang positif.

    “Saya dapat berhubung dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fauzan Muhammed Al Rabiah dan beliau akan bantu Malaysia supaya dapat menjadi penganjur di peringkat Asia Tenggara.

    “Kita akan adakan perbincangan lanjut dan TH sudah bersedia untuk laksanakannya dan kita harap selepas ini hubungan Malaysia dan Arab Saudi akan bertambah erat,” katanya.

  • Harga beras naik bulan depan

    Harga beras naik bulan depan

    PEMILIK rangkaian pasar raya besar memberi amaran bahawa harga runcit beras 10kg akan meningkat sekurang-kurangnya RM1 bulan depan.

    Pengarah Urusan Pasar Raya Besar Mydin Datuk Ameer Ali Mydin berkata, ia adalah tambahan kepada kenaikan harga bulan lepas antara RM1 dan RM2 sekampit bagi beberapa jenis beras, termasuk beras putih import.

    “Kami telah diberitahu oleh pembekal bahawa akan ada peningkatan lagi antara RM1 hingga RM2 untuk beras 10kg. Ini jelas akan meningkatkan harga jualan runcit sebanyak RM1 hingga RM2 untuk beras 10kg,” katanya lapor portal FMT.

    Beliau mengaitkan kenaikan harga itu berpunca daripada kelemahan ringgit serta kenaikan kos lain, termasuk elektrik dan buruh.

    Ameer berkata pembekal sudah mula menjual beras putih tempatan, 5% “Super Spesial Tempatan” pada RM12.80, meningkat daripada RM12.50 untuk beras 5kg, mengurangkan keuntungan peruncit.

    “Kos kepada kami juga telah meningkat daripada RM12.50 untuk beras 5kg kepada RM12.80 untuk beras 5kg, tetapi kami masih perlu menjual pada harga RM13,” katanya merujuk kepada kawalan harga yang dilaksanakan oleh Putrajaya.

    Beliau mengaitkan lonjakan harga beras putih tempatan berpunca daripada kekurangan bekalan akibat gelombang panas baru-baru ini yang menjejaskan penuaian musim lalu, namun katanya, bekalan dijangka stabil menjelang September.

    Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia (Primas), J Suresh, memberi amaran bahawa satu lagi kenaikan harga beras import, bersama-sama dengan peningkatan kos bahan mentah, boleh memaksa pengusaha restoran menaikkan harga mereka.

    Beliau berkata ini juga boleh menyebabkan tawaran Menu Rahmah terhenti, inisiatif kerajaan yang menawarkan hidangan pada harga RM5 dan ke bawah di kedai makan terpilih.

    Suresh berkata menu berharga rendah itu memerlukan pengusaha restoran menyerap kos tertentu, yang hanya boleh dilakukan untuk sebulan lagi.

    “Kami juga menawarkan Menu Rahmah, sehingga hari ini kami terus melakukannya. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memberitahu kami mereka akan memberikan sedikit subsidi, tetapi (mereka) tidak melakukan apa-apa (sehingga kini),” katanya.

    Beliau merujuk pengumuman Perdana Menteri AnwAnwar Ibrahim April lalu berhubung diskaun khas kepada peniaga Menu Rahmah untuk barangan seperti ayam, bawang dan bahan makanan asas lain di pasar raya terpilih.

  • Zuraida diperintah bayar RM10 juta kepada PKR

    Zuraida diperintah bayar RM10 juta kepada PKR

    MAHkAMAH Tinggi  Kuala Lumpur hari ini membenarkan saman oleh PKR untuk menuntut RM10 juta daripada bekas Naib Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin, kerana melanggar syarat bon yang mengikat kepada parti.

    Hakim, Datuk Akhtar Tahir, membuat keputusan itu berhubung saman difailkan PKR menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pada 28 September 2020, lapor Berita Harian.

    Menerusi saman itu, PKR mendakwa Zuraida bersetuju membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

    Pada 24 Februari 2020, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain mengumumkan peletakan jawatan, namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali Perikatan Nasional (PN).

    PKR turut menuntut Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak, faedah lima peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

  • Kapal selam Titan, 5 penumpang termasuk billionair Britain terkorban

    Kapal selam Titan, 5 penumpang termasuk billionair Britain terkorban

    *Dipercayai meletup berdekatan kapal Titanic

    KESEMUA lima penumpang kapal selam Titan yang dalam perjalanan untuk meneroka sisa bangkai kapal persiaran mewah, Titanic dilaporkan telah meninggal dunia.

    Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) berkata, kapal selam berkenaan yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu itu dipercayai meletup berdekatan dengan Titanic.

    Ahli keluarga lima-lima mangsa tragedi tersebut telah dimaklumkan, lapor Astro Awani.

    Serpihan kapal selam berkenaan yang ditemui pasukan pencarian dan penyelamat berhampiran Titanic sekali gus menjadi petunjuk Titan telah berakhir di Laut Atlantik.  

    Bahagian ekor Titan bersama serpihan lain ditemui kira-kira 500 meter dari bangkai Titanic, yang terletak pada kedalaman 4,000 meter di bawah laut berkenaan.

    Dalam perkembangan sama, syarikat yang mengedalikan ekspedisi berkenaan, OceanGate berkata, kesemua penumpang Titan termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Stockton Rush, dipercayai telah meninggal dunia.

    Empat mangsa lain dikenal pasti sebagai Shahzada Dawood serta anaknya Suleman Dawood, jutawan British Hamish Harding dan Paul-Henri Nargeolet.

    “Dengan penuh rasa duka, kami kini mempercayai bahawa CEO kami, Stockton Rush, Shahzada Dawood dan anaknya Suleman Dawood, Hamish Harding, dan Paul-Henri Nargeolet, telah hilang,” kata syarikat itu dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Dawood merupakan seorang ahli perniagaan berbangsa Pakistan-Britain dan anaknya berusia 19 tahun.

    Harding, 58, pula seorang billionair Britain, manakala, Nargeolet merupakan seorang peneroka berusia 77 tahun dari Perancis.

    “Mereka adalah pengembara sejati yang berkongsi semangat pengembaraan yang unik, dan semangat yang mendalam dalam meneroka dan melindungi lautan dunia.

    “Hati kami bersama lima jiwa ini dan setiap ahli keluarga mereka dalam masa yang tragis ini,” kata OceanGate lagi.

    OceanGate mengenakan bayaran sebanyak AS$250,000 (RM1.2 juta) setiap seorang bagi menyertai ekspedisi ke bangkai Titanic, yang terletak pada kedalaman 3,800 meter dan 700 kilometer selatan St John’s, Newfoundland.

    Kapal selam OceanGate yang dilaporkan hilang itu mampu memuatkan lima orang dengan bekalan oksigen selama empat hari.

    Bagaimanapun, OceanGate tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai bagaimana ia mengesahkan kesemua penumpang meninggal dunia. 

  • Ronnie Liu mohon tamatkan keahlian DAP

    Ronnie Liu mohon tamatkan keahlian DAP

    AHLI Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Ronnie Liu memohon menamatkan keahliannya selepas 41 tahun bersama parti tersebut.

    Ronnie dalam satu surat kepada setiausaha agung DAP, berkata beliau memohon untuk menamatkan keahliannya bersama DAP berkuat kuasa mulai 24 Jun.

    “Saya melibat diri dalam perjuangan DAP semenjak di peringkat sekolah menengah dan telah menjadi ahli DAP sejak 1982.

    “Namun selepas 41 tahun bersama DAP, banyak perkara telah berlaku dan ada yang di luar jangkaan saya. Dengan itu saya memohon untuk menamatkan keahlian saya bersama DAP,” katanya dalam surat itu, lampor FMT.

    Beliau turut mengucapkan terima kasih mengucapkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan DAP atas segala peluang dan keyakinan diberikan kepadanya.

    “Semoga DAP terus maju dan sentiasa memegang prinsip sosialisme demokratik dan konsep perjuangan ‘Malaysia untuk rakyat Malaysia’,” katanya.

    Sepanjang penglibatannya dalam politik, Liu pernah menjadi Adun Pandamaran dari 2008 hingga 2013 sebelum berpindah dan memenangi kerusi DUN Sungai Pelek di Selangor pada 2018 hingga sekarang.

    Beliau juga dilantik sebagai exco kerajaan tempatan, kajian dan penyelidikan Selangor

  • UMNO Selangor nafi keluar surat desak Rafizi letak jawatan

    UMNO Selangor nafi keluar surat desak Rafizi letak jawatan

    BADAN  Perhubungan UMNO Selangor menafikan mengeluarkan surat atau kenyataan yang mendesak Menteri Ekonomi Rafizi Ramli melepaskan jawatan beliau.

    UMNO Selangor dalam kenyataan memaklumkan surat itu adalah palsu dan fitnah terhadap kepimpinan parti di negeri berkenaan.

    Kenyataan itu memaklumkan UMNO Selangor tidak pernah mengeluarkan surat atau kenyataan mengenai perkara tersebut.

    “Berita palsu seumpama ini sememangnya mempunyai agenda jahat untuk menjejaskan imej dan reputasi kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Selangor serta kerajaan perpaduan dalam menghadapi PRN Selangor akan datang,” menurut kenyataan itu, lampor BERNAMA.

    Katanya Badan Perhubungan UMNO Selangor terus komited bagi mengukuhkan kestabilan politik tanah air serta menyambut baik kerjasama dalam kerajaan perpaduan dan akan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

    Baru-baru ini tular surat bertarikh 22 Jun yang menggunakan kepala surat Badan Perhubungan UMNO Selangor kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi mendesak Rafizi meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi.

  • ‘’Tiada ada modal politik…hanya mahu laga-lagakan pemimpin PN’’ – Muhyiddin

    ‘’Tiada ada modal politik…hanya mahu laga-lagakan pemimpin PN’’ – Muhyiddin

    ‘’SENGAJA dibuat pasal sudah tidak ada modal’’ – Itulah reaksi Tan Sri Muhyiddin Yassin Beraubung dakwaan beliau bertelagah dengan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

    Sambil menyifatkan mereka yang menyebarkan dakyah itu ketandusan modal politik, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata,  pihak berkenaan hanya mahu melaga-lagakan pimpinan gabungan itu.

    “Ini macam cerita Timbalan Presiden (Bersatu) dan Ketua Penerangan (PN) sebelum ini, sengaja dibuat pasal sudah tidak ada modal. Mereka mahu melaga-lagakan, sedangkan dalam parti kita antara yang paling harmoni.

    “Pas, Bersatu dan Gerakan tidak ada masalah langsung. Dalam parti masing-masing pun stabil, tak ada krisis. Ada dengar bergaduh? bila masa saya bertumbuk dengan Datuk (Seri) Hamzah? tidak ada. Segalanya dibuat-buat.. janganlah percaya,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PN yang turut dihadiri oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.

    Sebuah portal berita sebelum ini mendakwa Muhyiddin dan Hamzah bertelagah mengenai hala tuju parti itu.

    Ini berkaitan timbul khabar angin yang menyatakan Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mungkin digantikan sebagai ketua pembangkang di Parlimen.

     Muhyiddin percaya pihak berkenaan membuat dakwaan itu  untuk mengalihkan perhatian kepada masalah yang sedang berlaku terhadap lawannya.

    “Ini perbuatan ‘cywar’ oleh ‘cybertroopers’ mereka (pihak lawan) yang menggunakan media sosial untuk mengalih pandangan terhadap isu pokok yang tidak diselesaikan mereka,” katanya.

    Mengenai pelawaan PN kepada bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sebelum ini, Muhyiddin berkata,   tidak ada apa-apa perkara baru yang dapat dikongsikan.

    “Tanya dia. Dua pun ada jawab dalam Podcas, tak perlu saya bincang panjang perkara itu. Saya sudah nyatakan apa yang patut kita bincang.

    “Beliau pun sudah memberi penjelasan dalam media arus perdana. Itulah apa yang sudah berlaku setakat hari ini,” katanya.

  • PRN: PN tanding kesemua 245 kerusi DUN di enam negeri

    PRN: PN tanding kesemua 245 kerusi DUN di enam negeri

    PRN: PN tanding kesemua 245 kerusi DUN di enam negeri

    PERIKATAN Nasional (PN) akan akan bertanding di semua 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri  iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

    Ketika mengumumkan perkara itu,Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerusi-kerusi tersebut ialah  36 kerusi di Kedah, 45 kerusi di Kelantan, 32 kerusi di Terengganu, 40 kerusi di Pulau Pinang, 56 kerusi di Selangor dan 36 kerusi di Negeri Sembilan. 

    ‘’’Jumlah kerusi yang bakal ditandingi oleh Bersatu (83 kerusi), Pas (126 kerusi) dan Gerakan (36 kerusi),’’ katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PN, di Kuala Lumpur hari ini.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, jumlah kerusi baharu bukan incumbent yang bakal ditandingi oleh anggota parti  PN ialah  Bersatu (64 kerusi), Pas (50 kerusi) dan Gerakan (36 kerusi).

    Beliau berkata, jentera Pilihan Raya PN di peringkat negeri-negeri ketika ini pada tahap tertinggi dan komited dalam gerak kerja menghadapi PRN dalam mempertahankan 3 negeri (Kelantan, Terengganu, Kedah) dan menawan 3 negeri (Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan).

    ‘’Perikatan Nasional komited untuk menjunjung keluhuran perlembagaan, membela kebajikan rakyat dan memacu kemajuan ekonomi menerusi pembentukan kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil,’’ katanya.

    Katanya lagi, PN akan menggunakan lambang gabungan itu negeri selain Kelantan dan Terengganu, yang akan menggunakan lambang Pas.

    “Kecuali pimpinan PAS nak guna lambang PN,” katanya.

    Ditanya mengenai calon yang diketengahkan, Muhyiddin berkata sebahagian besarnya penyandang.

    “Semua calon kita ini akan angkat ikrar aku janji dan akan melalui penapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis, Jabatan Insolvensi, Suruhanjaya Pilihan Raya, dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

    Muhyiddin juga memaklumkan bahawa PN tidak membincangkan ‘poster boy’, dan mengharapkan peratusan keluar mengundi yang tinggi mengatasi PRU15.

    Dewan Undangan Negeri bagi Kedah akan dibubarkan pada 28 Jun, Pulau Pinang (28 Jun), Selangor (23 Jun), Negeri Sembilan (2 Julai secara automatik), dan Kelantan (22 Jun), manakala Terengganu dijangka bubar selepas 26 Jun.

  • MB dijangka umum bubar DUN Terengganu selepas 26 Jun

    MB dijangka umum bubar DUN Terengganu selepas 26 Jun

    MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas 26 Jun ini.

    Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman tidak menolak kemungkinan proses pembubaran DUN akan berlaku antara 27 hingga 28 Jun memandangkan ia adalah tempoh paling sesuai sebelum DUN terbubar secara automatik pada 30 Jun.

    “Bergantung kepada Menteri Besar, tetapi saya yakin (pembubaran DUN) selepas program di Istana Syarqiyyah sempena Hari Keputeraan Baginda Sultan Terengganu pada 26 Jun ini, akan berlakulah (pembubaran DUN).

    “Saya yakin beliau (Menteri Besar) akan ambil masa selepas program 26 hari bulan itu, iaitu selepas majlis jamuan bersama warga istimewa dan fakir miskin di mana ia merupakan program terakhir di istana bersama rakyat,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok Kediaman (RTB) DUN Alur Limbat di Dewan Sivik Bukit Payung, di Marang, hari ini.

    Sementara itu, Ariffin berkata, seluruh jentera kini bersiap siaga dalam menghadapi pilihan raya yang akan berlangsung tidak lama lagi.

    Pihkanya tiada masalah sebab dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu yang mereka istilahkan sebagai ‘simulasi pilihan raya’.

    “Maksudnya ia sebagai ‘training ground’, jadi kami masih panas-panas lagi. Bendera-bendera kita pun masih ada dan sudah ada beberapa tempat yang telah menaikkan bendera.

    “Jadi tak perlu yang barulah (bendera) sebab kalau bendera macam tu (masih baharu), orang pun macam tu. Masih ‘fresh’ lagi,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Sehingga kini, Terengganu masih belum memutuskan tarikh sebenar pembubaran DUN di negeri berkenaan.

    Lima negeri yang akan berdepan PRN telah memuktamadkan tarikh pembubaran DUN iaitu Kelantan (22 Jun), Selangor (23 Jun), Pulau Pinang (28 Jun), Kedah (28 Jun) dan Negeri Sembilan (30 Jun).